Wednesday, July 12, 2006

Polemik Mahathir-Abdullah jejaskan peluang Najib

Kritikan keras mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai masalah kepimpinan dan politik Umno sebenarnya tidak langsung memberi kesan terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Yang harus dilihat sekarang apakah motif sebenar kecaman Mahathir terhadap kredibiliti PM dan kerajaan kepimpinannya serta sejauhmana ia memberikan impak terhadap bakal pengganti Abdullah pada masa hadapan?

Jika Mahathir setakat 'menyerang' bekas Ketua Pengarang New Straits Times, Kalimullah Masherul Hassan, barangkali Abdullah boleh biarkan sahaja kerana ianya tidak penting dan tidak memberikan kesan langsung kepada kepimpinannya dan negara.

Namun apakah Abdullah boleh menerima kecaman Mahathir sebagai 'teguran seorang bapa terhadap anaknya' selepas bekas PM menyerang peribadi beliau, anaknya Kamaludin Abdullah dan menantunya Khairy Jamaludin?

Dalam masa yang sama Abdullah juga harus memikirkan, bahawa perkara yang dibangkitkan oleh bekas PM itu, apakah ianya kebimbangan Mahathir seorang atau ia merupakan kebimbangan majoriti ahli-ahli Umno yang begitu bacul bersuara untuk menegur Kamaludin dan Khairy?

Pemimpin-pemimpin Umno seperti Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, Dato' Seri Shahidan Kassim dan lain-lain, boleh cuba mengalihkan isu dan berusaha menyejukkan hati orang-orang Umno dengan memberikan alasan bahawa kritikan Mahathir hanya seumpama marah seorang bapa.

Tetapi apakah mereka boleh memujuk hati Abdullah Ahmad Badawi yang begitu teruk terluka?
Inilah yang sedang Abdullah fikirkan, ketika beliau bercuti untuk menenangkan fikirannya di Perth sekarang ini.

Di sebalik kritikan Mahathir

Pada umur 81 tahun, Mahathir sudah terlalu tua untuk kembali ke arena politik negara. Mahathir pun akui, di sebalik kecaman bertalu-talunya, beliau tiada niat untuk kembali lagi dalam kerajaan dan kepimpinan Umno.

Mahathir sudah tiada kepentingan dalam Umno dan kerajaan. Anak-anak beliau pun tidak dilihat sebagai tokoh yang boleh mewarisi kehebatannya. Justeru apakah niat Mahathir di sebalik kritikan lantang beliau terhadap Abdullah?

Bukan soal siapa akan menang atau siapa akan kalah dalam pertelagahan ini. Soalnya tindakan yang Mahathir buat sekarang ini untuk apa dan untuk siapa?

Sebagai PM dan Presiden Umno, Abdullah tidak boleh mengelak untuk memikirkan barangkali ada orang dalam Kabinet dan partinya yang bersekongkol secara diam-diam 'menikamnya dari belakang' untuk menghadkan kuasa pemerintahannya kepada hanya satu penggal sahaja.

Di depannya menunjukkan kemarahan terhadap Mahathir, di belakangnya bertepuk tangan. Di depannya kata sokong di belakangnya kata 'pancung'!

PM mungkin berfikir bahawa sebenarnya bukan Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi sasaran utama Mahathir Mohamad. Abdullah juga ketahui bahawa dia juga bukan ancaman Mahathir.

Walau sehodoh mana pun kecaman terhadap Mahathir, nama Abdullah sudah tidak boleh dipadam dalam sejarah politik negara sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima.

Tindakan Mahathir harus dilihat sebagai usaha untuk menghadkan tempoh pemerintahan Abdullah kepada hanya satu penggal sahaja. Ataupun mungkin paling lama dua penggal. Dua penggal pun dilihat sudah terlalu lama kerana dalam politik macam-macam boleh berlaku.

Krisis politik dalaman Umno

Sejarah politik Malaysia sudah membuktikan, belum tentu Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno boleh menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno. Krisis demi krisis berlaku, wujud tanpa campurtangan pihak luar, ia adalah angkara orang-orang Umno sendiri.

Jika diimbau kembali sejarah lebih 20 tahun lalu, semasa Dato' Hussein Onn (Allahyarham Tun Hussein) memilih Mahathir sebagai penggantinya pada tahun 1981, orang yang paling kanan selain Encik Abdul Ghafar Baba (Allahyarham Tun Ghafar) adalah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Walaupun ramai yang menjangkakan Mahathir akan memilih Ku Li sebagai timbalannya, namun Mahathir membuat keputusan sebaliknya. Mahathir memilih Dato' Musa Hitam (Tun Musa) sebagai TPM. Ianya merupakan krisis dalaman yang pertama di era Mahathir.

Belum pun Mahathir sepenggal menjadi PM, beliau sudah berkrisis dengan timbalannya.
Orang-orang Umno ketika itu sudah beranggapan bahawa Musa akan menggantikan Mahathir, sedangkan beliau masih belum mahu berundur. Mahathir tidak selesa. Hasilnya gandingan Kerajaan 2M (Mahathir-Musa) ketika itu terlerai akibat perletakan jawatan Musa.

Perletakan jawatan Musa tahun 1986 mendorong krisis besar dalam Umno. Regu Ku Li-Musa Hitam dibentuk untuk berhadapan dengan Mahathir yang bergandingan dengan Ghafar.
Krisis besar ini menyebabkan Umno diharamkan pada tahun 1988.

Selepas kemenangan tipis regu Mahathir-Ghafar, Ghafar terus dilantik menjadi TPM dan Menteri Luar Bandar. Ghafar begitu setia dengan Mahathir dan Umno. Setiap detik masa dan nadinya disumbangkan untuk masa depan Umno.

Namun kesetiaan bukan pengukur untuk seseorang dilantik menjadi pengganti Mahathir.

Semasa Ghafar menjadi TPM, Mahathir tidak segan silu membentuk karier anak emasnya Dato' Seri Anwar Ibrahim. Daripada memegang jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Anwar dinaikkan pangkat setapak demi setapak. Dalam tempoh 11 tahun memasuki Umno, Anwar sudah menjadi orang nombor dua dalam kerajaan dan parti.

Tahun 1993 Mahathir merestui Anwar menentang Ghafar. Ghafar yang setia kepadanya sudah tidak bermakna. Sebagai TPM dan Timbalan Presiden Umno, Ghafar hanya mendapat pencalonan 9 bahagian sahaja berbanding Anwar yang mendapat lebih 100 pencalonan jawatan Timbalan Presiden Umno.

Ghafar terpaksa menarik diri. Anwar jadi pengganti. Namun 'honeymoon' Mahathir-Anwar tidak lama. Krisis Mahathir-Anwar tidak dapat dibendung sehingga menyebabkan Anwar dipecat sebagai TPM dan Timbalan Presiden Umno, pada September 1998.

Krisis demi krisis dalaman Umno ini sebenarnya memberi impak yang besar kepada politik negara.

Ia juga memberi petanda atau indikasi bahawa kedudukan orang nombor dua dalam kerajaan dan parti belum tentu selamat.

Krisis dalaman Umno bermula tahun 1981, 1986, 1988, 1993 dan 1998 semuanya dicetuskan oleh Mahathir. Niat Mahathir ketika itu begitu jelas, satu sahaja, iaitu beliau mahu kekal ditampuk kuasa sebagai PM dan Presiden Umno. Itu sahaja, tiada sebab lain.

Niat di sebalik kecaman Mahathir

Umum melihat krisis terbaru tahun 2006 juga adalah angkara Mahathir dan jika beliau tiada niat untuk kembali berkuasa, untuk apa dan untuk siapakah beliau lakukan semua ini?

Mengapakah selepas membina legasi yang begitu hebat, membangunkan negara dan Umno, Mahathir sanggup menerima kecaman daripada 'orang-orang yang beliau berikan makan?'

Ramai pemimpin Umno dan juga sebilangan wartawan, yang hidup mereka bergantung kepada 'ihsan' Mahathir, kini mengecam Mahathir seolah-olahnya Mahathir 'melepaskan anjing tersepit' dan 'anjing tersebut mengigit tuannya' kembali?

Apakah kecaman yang diterima Mahathir sekarang daripada orang-orang Umno sendiri, berbaloi dengan jasanya lebih 22 tahun itu?

Pada umur 81 tahun, Mahathir terpaksa gagahkan dirinya walaupun dikecam begitu hebat. Beliau tidak dapat lari daripada memberikan indikator bahawa ada tiga subjek utama yang harus difikirkan sebelum kembali ke alam barzakh.

Motif politik beliau jelas berkisar kepada tiga orang sahaja iaitu Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak, menantu PM, yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dan mantan TPM, Anwar Ibrahim.

Mahathir begitu geram dengan Khairy kerana dikatakan banyak campur tangan dalam menentukan hala tuju pentadbiran dan politik dalaman Umno. Selain itu, Khairy didakwa Mahathir bersama sekumpulan lulusan Oxford-Cambrigde mula mengagihkan hasil kekayaan negara untuk kepentingan kroni.

Mahathir begitu pelik bagaimana 'budak belum kering hingus' pada usia 31 tahun begitu ditakuti dan digeruni sebahagian besar pemimpin Umno yang duduk dalam parti dan kerajaan.

Mahathir begitu marah, apa sahaja yang hendak dibuatnya, sama ada ia berbentuk liputan media terhadap aktivitinya, sama ada penerusan dasar pembangunan dan projek sejak zamannya, sama ada percaturan politik dalaman Umno dan percaturan dunia perniagaan yang kompetitif, semuanya ada bayang-bayang Khairy.

Anwar juga begitu. Mahathir tidak mahu Anwar kembali ke gelanggang politik negara. Mahathir dan orang-orang Umno mahu Anwar 'duduk dalam' sehingga 2009 kerana pada waktu itu mereka menjangka Anwar sudah tidak punya daya berpolitik.

Entah apa silapnya Anwar dibebaskan begitu awal membangkitkan 'angin' Mahathir. Mahathir begitu rimas dengan hubungan Anwar-Khairy. Mahathir tidak mahu Anwar berpeluang untuk memperbetulkan 'sejarah hitam' yang dipalitkan di dahi Anwar.

Jelasnya, Khairy-Anwar adalah seteru politik Mahathir.

Episod Khairy-Anwar sebenarnya menjadi topik utama percaturan dalaman Umno yang masih banyak memerlukan analisis lanjutan.

Masa depan Najib menjadi persoalan

Apabila Mahathir menyatakan kekesalannya melantik 'orang yang salah' menerajui kepimpinan negara, pada rakyat, mereka faham bahawa 'orang yang betul' ikut kehendak Mahathir adalah Najib.

Menyedari kedudukan Najib sebagai TPM belum tentu selamat berdasarkan sejarah politik Umno, Mahathir begitu konsisten menyerang Abdullah, tetapi tidak sedikit pun 'menjentik' Najib.

Serangan terhadap Abdullah boleh dianggap sebagai 'character assassination' terancang untuk memberi ruang kepada Najib dilantik sebagai PM yang baru. Sehebat mana pun serangan yang dibuat terhadap kerajaan, Mahathir sama sekali tidak berniat untuk menjejaskan kedudukan Najib.

Namun kadang-kadang perkiraan politik barangkali boleh tersilap. Kadang-kadang juga pergaduhan orang-orang politik hanyalah orkestra untuk mengelabui mata rakyat.
Menteri di JPM, Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz begitu rapat dengan Mahathir, malah suatu ketika, beliau dikatakan amat rapat dengan Marina Mahathir!

Sewaktu Mahathir menggesa Abdullah melantik Najib sebagai TPM, Nazri adalah 'hulubalang' pertama yang menyambut orkestra mendesak Abdullah.

Justeru mengapa pula Nazri beriya-iya mengecam Mahathir, mempertahankan Abdullah dan Khairy?

Nazri sebenarnya bukan hendak mempertahankan Abdullah, jauh sekali hendaklah membela Khairy yang begitu diketahui menjadi bayang-bayang dalam kehidupan Najib. Khairy dikatakan meletakkan orang-orang tertentu di pejabat TPM untuk menjadi 'mata dan telinga' memerhati gerak geri Najib.

Nazri terpaksa membidas Mahathir kerana dia menyedari, serangan mantan PM itu telah mula menjejaskan kepercayaan Abdullah terhadap Najib!

Secara tidak langsung ianya memberikan signal bahawa kedudukan Najib belum tentu selamat sebagai bakal pengganti Perdana Menteri Malaysia.

Serangan Mahathir terhadap Abdullah, walaupun dengan niat untuk 'menabalkan Najib' telah menjadikan beliau berada dalam kedudukan yang paling tidak selesa.

Dalam dua minggu ini akan menjadi penentuan, jika Najib tersilap langkah, akan bertemulah 'buku dengan ruas'.

Kualiti Umno kini

Najib tersepit untuk menilai sejauhmana kepercayaan Abdullah terhadapnya dan sehebat mana sokongan yang Abdullah terima dalam menghadapi polemik dengan Mahathir.

Bagi Najib, jika Abdullah tidak menerima sokongan yang padu, barangkali itu lebih baik untuk beliau. Namun jika ia berlaku sebaliknya, wajarkan Najib menongkah arus?

Najib sudah lama bergelumang dalam politik Umno, pengaruhnya sampai ke akar umbi. Suatu ketika beliau berada dalam kedudukan yang lebih kanan daripada Abdullah.

Orang-orang Umno sendiri tahu bahawa Najib memperolehi sokongan 'grassroot' lebih baik berbanding Abdullah. Jelasnya 'orang Najib' lebih ramai daripada 'orang Abdullah'.

Cuma yang bermain di kepala Najib sekarang, apakah orangnya masih kekal atau sudah berpaling tadah?

Kerana semakin lantang Mahathir melemparkan kecaman terhadap Abdullah, semakin 'lantang bergema'suara sorakan daripada Umno di akar umbi menyokong PM sehingga gegak gempita seluruh negara.

Najib tahu ada kebenarannya, jika Mahathir mempersoalkan kualiti sokongan yang diterima selama lebih 22 tahun memerintah, berbanding Abdullah yang baru lebih dua tahun, ia sebenarnya memberikan perspektif jelas kepada rakyat bahawa orang-orang Umno sudah hilang maruah dan harga diri.

Perjuangan agenda Melayu untuk kepentingan agama, bangsa dan negara sudah semakin longgar.

Dulu, kini dan selamanya orang-orang Umno terpaksa 'inherit' pengaruh 'budaya duduk di tampuk kuasa', takut hilang jawatan, takut hilang punca rezeki dan sebagainya, begitu dominan dalam Umno sehingga terpaksa mengetepikan soal prinsip. Orang-orang Umno boleh 'mati beragan' jika tidak duduk ditampuk kuasa.

Betullah kata Mahathir, 'mana titah patik junjung'. Novel satira politik karya Yahaya Ismail yang bertajuk 'Maharaja Beruk' hampir 20 tahun yang lalu sudah cukup untuk menggambarkan inti pati dalaman Umno.

Sebenarnya yang patut dipertikaikan bukan kualiti sokongan, tetapi kualiti ahli-ahli Umno itu sendiri yang harus dipersoalkan.

Menjadikan mereka menjadi ahli dan kepimpinan parti yang tidak berkualiti umpama 'lembu yang dicucuk hidung', ini semua salah siapa jika bukan salah Mahathir sendiri?

Mahathir tidak hanya harus kesal kerana Abdullah gagal menunaikan janji dan harapannya selepas dilantik sebagai PM ke 5, Mahathir juga harus sedar bahawa salah beliau juga sehingga menjadikan 'Melayu Umno mudah lupa' terhadap jasa-jasanya selepas lebih 22 tahun.

Mahathir tahu beliau sudah tidak penting. Yang penting sekarang bagaimana hendak menabalkan Najib menjadi pengganti Abdullah.

Mari perhatikan langkah Mahathir Mohamad seterusnya dan apakah Anwar Ibrahim dan Khairy Jamaludin akan berdiam diri? Sama-sama kita tunggu dan lihat!

(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 3 Julai 2006)

No comments: