Wednesday, October 10, 2012

Rakyat Terengganu kini bersama PAS

Wahid yakin rakyat Terengganu tidak sabar untuk tumbangkan Umno-BN
Temu ramah dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Wahid Endut yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN, HAZAYANI ZAKARIA dan jurufoto MOHD NASIR SUDIN di Parlimen, 8 Oktober 2012.

Apa matlamat Terengganu menganjurkan program PAS Ganti Umno (PGU 5) dan adakah matlamat itu tercapai? 

PAS Ganti Umno (PGU) di Terengganu ini, keputusannya dari PAS Pusat. Kita ambil jenama PGU itu kerana di Terengganu PAS dengan Umno sahaja yang banyak kerusi. Kita jenamakan dan kita kekalkan supaya PGU ini menjadi buah mulut orang.

Pengalaman kita, masa kita ambil alih Terengganu pada tahun 1999, Umno nak ambil balik tahun 2004, mereka gunakan duit royalti minyak yang mereka sapu, mereka guna secara berterusan sampailah pilihan raya dan timbulkan suasana kononnya PAS teruk, tak pandai memerintah, padahal Umno rampas duit kita. Dan mereka beri gambaran kononnya masyarakat menolak PAS.

Bila kita buat kajian, dan objektif PGU ialah kita nak bina balik gelombang rakyat untuk tolak Umno, kita perlu buat PGU. Isu di Terengganu banyak tapi tak sama kalau kita ceramah biasa.
Objektif yang pertama nak bina kebangkitan rakyat untuk tolak Umno. Yang kedua kita nak kerahkan tenaga-tenaga kita.

Sebagai contoh PGU kali ini kita buat di Setiu. PAS kawasan Setiu jadi tuan rumah dan kita ambil satu Dun jadi semua jentera tidak kira cawangan, ahli kita kerah dengan persiapan dan sebagainya sebab nak bagi semangat kepada mereka dan Alhamdulillah semangat meningkat dengan cari duit, cari tapak, cari petugas, siapkan khemah dan sebagainya.

Yang ketiga kita nak bentuk persepsi rakyat bahawa Umno sudah tidak relevan. Kita nak bangkitkan gelombang rakyat, kita nak gerakkan jentera kita, kita nak beritahu rakyat bahawa Umno ini sudah tidak relevan.

Di Terengganu ada lapan kawasan. Tinggal dua lagi. Kita akan buat di Dungun dan di Kuala Nerus selepas ini. Kejayaan kita di PGU-5 ini, alhamdulillah kita dapat menarik beberapa ikon yang paling memberi kesan bapa saudara Sultan Terengganu, Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim yang serah borang PAS. Dalam menghadapi pilihan raya di Terengganu, kita nak beritahu rakyat bahawa semua lapisan masyarakat daripada istana kepada orang biasa, di kalangan orang Cina kita ada, profesional kita ada, muslimat muda pun ada dan kita akan cari tokoh-tokoh lain yang ada.

Apabila kita hadapi pilihan raya dalam gambaran imej baru yang kita bina, kita lebih yakin.


Bagaimana keyakinan menghadapi PAS menghadapi BN kali ini?

Sekarang ini kita yakin mood rakyat bersama kita. Kita pergi mana-mana pun, mereka tanya bila pilihan raya. Macam tak sabar-sabar lagi nak mengundi untuk tumbangkan BN. Yang kedua isu yang kita hadapi cukup banyak.
Kita tengok di kalangan rakyat seperti ada kesedaran baru di kalangan mereka yang selama ini tidak bersama PAS di kalangan orang muda, orang Cina di kalangan profesional.

Kita akan menghadapi pilihan raya di Terengganu dalam keadaan yang lebih bersedia. Calon pun kita dah isytihar. Saya dah isytihar seorang iaitu Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat akan jadi calon di Paka. Maknanya kita dah bersedia.

Gerak kerja yang kita lakukan ke arah pilihan raya. Kita ada banyak isu. Yang pertama isu royalti yang tak selesai-selesai. Dahulu bawa isu royalti ke mahkamah tapi Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said tarik balik.

Yang kedua isu rasuah. Lambang ibu segala rasuah di Terengganu ialah kes stadium runtuh. Sampai sekarang tak baiki. Kenapa tak baiki? Sekolah Menengah Alur Limbat, tanah mendap. Sekolah dah siap tapi tak bleh guna. Tanah mendap, rasuah, bocor, tiris di Terenganu.

Yang ketiga isu tanah. Di Terengganu isu tanah ini, kita sudah tolong rakyat tapi Umno rampas balik. Rumah dia sodok, tanha dia rampas. Keadaan sekarang ini bagaimana dia boleh ambil tindakan sebegitu rupa dalam suasana nak hadapi pilihan raya.

Wakil rakyat Umno dapat tanah. Ini rakyat tahu, rakyat terasa, kenapa wakil rakyat dapat tanah, rakyat tak dapat malah dirampas tanah mereka. Yang keempat isu Lebuh Raya Pantai Timur. LPT guna 50 peratus duit Terengganu. Lapangan terbang seratus peratus guna duit Terengganu. Syarikat perumahan negara pun guna duit Terengganu. Isu-isu inilah yang kita sebut di PGU.

No comments: