Wednesday, October 03, 2012

Menanti BN duduk di blok pembangkang

Selepas PRU-13, BN boleh berpindah ke blok pembangkang
PILIHAN Raya Umum sudah tidak lama lagi. Sama ada dibuat bulan ini atau sehingga Mac 2013, pasti kita akan tempuh juga.

Bagi Pakatan Rakyat, persediaan secukupnya sudah dipasak sejak beberapa bulan lepas, dengan satu niat dan tekad, iaitu untuk menawan Putrajaya, sekali gus menumbangkan Barisan Nasional.

Oleh sebab itu, berbanding dengan 12 kali PRU yang lepas-lepas, BN kali ini, berada dalam situasi yang amat gelabah.

Mereka gelabah kerana gema suara untuk menumbangkan BN, berkumandang di seluruh pelosok negara, sehingga BN berasa amat was-was dan ragu.

Keraguan timbul kerana tiada lagi kawasan yang benar-benar selamat buat BN. Semua negeri yang menjadi tapak kubu kuat mereka, semakin hari semakin goyah dilanda badai rakyat.

Di Sarawak 'wind of change' berkumandang pada Pilihan Raya Umum negeri, sehingga menyebabkan hampir 15 kerusi Parlimen dijangka dirampas Pakatan, berikutan kemenangan pada kerusi Dewan Undangan Negeri.

Manakala di Sabah, seluruh rakyatnya, sudah mempopularkan slogan 'ini kali lah', iaitu slogan keramat yang mengisyaratkan kali ini, rakyat benar-benar bersedia untuk menolak BN.

Sehingga ia mencetuskan fenomena penghijrahan pemimpin Umno-BN ke Pakatan Rakyat. Mereka yang keluar Umno atau BN, bukan yang sudah masuk kategori bersara, tetapi mereka yang masih memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri dan sebagainya.

Johor pula menerima kesan berganda, hasil daripada gerakan politik yang rancak di Semenanjung. Daripada negeri kelahiran Umno, negeri kubu Umno, ia bakal bertukar menjadi pro pembangkang.

Khabarnya pihak-pihak yang membuat perisikan dan kajian politik, amat terkejut apabila dapatan info yang mereka selidiki, menunjukkan sekurang-kurangnya sembilan kerusi Parlimen, semakin menjadi milik Pakatan.

Begitu juga dengan kajian-kajian dari Merdeka Center atau yang terbaru dari Universiti Malaya, walaupun ada 'dented' di beberapa buah negeri Pakatan, yang tidak dapat kita nafikan ianya wujud, namun secara keseluruhannya kerajaan negeri Pakatan dijangka kekal.

Dapatan-dapatan ini menunjukkan bahawa, gerakan politik Pakatan Rakyat, yang didukung majoriti rakyat, amat berkesan dan 'trend' kecenderungan rakyat menolak BN semakin ketara.

Dari sudut purata undi, pada PRU ke 12 2008 yang lalu, walaupun hanya menang 82 kerusi dari 222 kerusi Parlimen,  beza undi popular Pakatan dengan BN hanyalah di sekitar 3 peratus sahaja.

Sokongan lebih 48 peratus rakyat Malaysia kepada parti pembangkang merupakan suatu 'force' yang besar. Ia boleh jadi lebih besar dari ombak 'Tsunami' yang bila-bila masa bakal meranapkan keegoan BN.

'Force' ini adalah kuasa rakyat. Iaitu kuasa rakyat yang komited, menggerakkan Perhimpunan Bersih, Himpunan Hijau, Himpunan Oren dan Gelombang Merah.

Kesemua himpunan dan gelombang ini, didukung kuasa rakyat. Iaitu rakyat yang terdiri dari kalangan berbilang kaum dan agama, dengan satu tekad iaitu untuk membuka jalan yang dinamakan 'Road to Putrajaya' atau RTPJ.

RTPJ diasaskan oleh kuasa rakyat yang mendukung Pakatan Rakyat, sebagai suatu pakatan alternatif untuk menggantikan BN sebagai kerajaan pada PRU ke-13 nanti.

Soalnya apakah impian menuju ke Putrajaya itu suatu yang realistik? Soalnya, bolehkah Pakatan Rakyat memerintah, jika dibandingkan pengalaman BN selama 55 tahun menjadi kerajaan?

Penulis teringat suatu peristiwa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Kedah beberapa bulan sebelum PRU 2008. Di mana berlaku perdebatan di antara pembangkang ketika itu yang diketuai Ustaz Azizan Abdul Razak dengan Menteri Besar, Dato' Seri Mahdzir Khalid.

BN Kedah ketika itu agak sinis dengan PAS dan memperlekehkan ucapan Ketua Pembangkang, Ustaz Azizan. Ketika itu, mereka mempunyai majoriti yang besar dalam Dun Kedah.

Dalam reaksi spontan terhadap sikap pemimpin Umno-BN, Ustaz Azizan berkata, "Hangpa jangan perlekeh kami, mana tahu PRU depan, kami duk sebelah sana, hangpa mai tang ni."

Maksudnya, Ustaz Azizan ketika itu mengatakan, tidak mustahil Umno-BN akan duduk di blok pembangkang dan PAS duduk di blok kerajaan.

Reaksi spontan Ustaz Azizan dianggap seloroh yang melucukan. Pemimpin Umno BN ketawa terbahak-bahak mendengar ungkapan Ustaz Azizan. Pegawai kerajaan juga ketawa sinis.

Tetapi hanya beberapa bulan selepas itu, kata-kata seloroh Ustaz Azizan menjadi realiti apabila PAS benar-benar menang dalam PRU dan menjadi kerajaan.

Hilai tawa pemimpin Umno yang mempersendakan PAS sebelum ini, menjadi tangisan yang tidak berlagu.

Bukan sahaja di Kedah. Malah kebongkakan mereka di Pulau Pinang, Perak dan Selangor, turut dileburkan dengan kuasa rakyat.

Lebih hodoh buat Umno-BN Selangor, yang MBnya ketika itu, Dato' Seri Mohd Khir Toyo menyasarkan 'sifar pembangkang', turut terlungkup. Hasilnya masa depan politik Khir terus sifar dan terkubur dalam Umno.

Oleh sebab itu, dalam konteks Persekutuan, Umno-BN tidak wajar mempunyai sifat bongkak. Mereka hanya mengharap ihsan daripada rakyat untuk kekal berkuasa.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan barisan Kabinetnya, mulai sekarang sudah patut bersedia untuk berpindah dari Putrajaya.

Tempat duduk yang bakal mereka duduki ialah kerusi-kerusi di blok pembangkang di sebelah kiri Speaker dan mereka boleh duduk di pejabat pembangkang di Tingkat 14 Parlimen Malaysia.

No comments: