Tuesday, October 23, 2012

Chua Soi Lek, celupar dan biadap terhadap Islam - Anthony Loke

(Kenyataan penuh Ketua Pemuda DAP terhadap kebiadaban MCA terhadap Islam kepada penulis di Parlimen, 22 Oktober 2012)

Anthony Loke Siew Fook
Ketua Pemuda DAP

Saya rasa beberapa siri kenyataan oleh MCA, khususnya Presiden MCA, Chua Soi Lek dalam Perhimpunan Agung mereka adalah sangat keterlaluan.

Kerana seolah-olah hari ini, di pentas politik MCA sudah tidak ada hala tuju lagi. Di dalam perhimpunan mereka, MCA tidak lagi bincang dasar-dasar parti mereka, tidak bincang langsung hala tuju parti, tetapi hanya menghentam Pakatan Rakyat sahaja.

Khususnya hendak menakut-nakutkan orang Cina tentang pelaksanaan hukum hudud dan menggambarkan Islam itu dalam konteks yang begitu negatif sekali.

Sehingga mereka sanggup memburuk-burukkan Tok Guru dengan mengatakan bahawa orang PAS menggalakkan orang Islam merogol wanita bukan Islam. Ini bagi saya suatu tohmahan yang begitu keji dan begitu teruk sekali.

Dalam twitter saya baru-baru ini, saya katakan Pemuda DAP mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang begitu teruk dan celupar ini, dan saya katakan bahawa Chua Soi Lek adalah Presiden yang paling biadab dalam sejarah MCA. Tidak pernah dalam sejarah MCA, mereka mempunyai pemimpin yang sangat celupar.

Dalam politik kita berbeza pendapat, itu perkara biasa. Umpamanya, kita dalam DAP juga punyai pendapat yang berbeza dengan PAS dalam soal hukum hudud. Tetapi kita tidak pergi sampai ke tahap memburuk-burukkan dan menghina Islam.

Kita hormati Islam, kita hormati hukum-hukum Islam, tetapi dalam soal pelaksanaan hudud, kita punyai pandangan yang berbeza, dalam konteks Malaysia.

Tetapi janganlah kita memburuk-burukkan atau merendah-rendahkan hukum agama lain sebagaimana yang dilakukan oleh Chua Soi Lek dan MCA. Ini adalah 'Islam fobia'. Inilah yang diperjuangkan Chua Soi Lek.

Dan yang lebih teruk sekali, Presiden parti yang mengasaskan perjuangan mereka kepada bangsa, agama dan negara iaitu Umno, Perdana Menteri, Najib Razak sendiri pergi merasmikan Perhimpunan Agung MCA, dia tidak pernah menegur kenyataan sedemikian rupa yang diucapkan oleh Presiden MCA. Bagi saya, inilah hipokrasi mereka.

Bagi saya jika MCA mengatakan bahawa sokongan Cina kepada MCA dan BN semakin pulih itulah 'mimpi di siang hari'. Memang Chua Soi Lek dan MCA 'syok sendiri.'

No comments: