Tuesday, October 30, 2012

Umno-SPR bersekongkol tipu rakyat Selangor?

Sesi wacana PRU dengan PAS Selangor
Sesi wacana khas bersama pimpinan PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, Timbalannya, Ir Khalid Samad, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar Shamsuddin dan Timbalannya, Ustazah Mariam Abdul Rashid serta beberapa anggota JPPNS di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam pada 19 Oktober lalu bersama wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB, MUHAMMAD ADZHAR TAJUDDIN dan jurufoto WAN ZAHARI WAN SALLEH.

JAAFAR SHAMSUDDIN : Assalamualaikum. Yang saya muliakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman dan rakan-rakan sekalian daripada PAS negeri dan daripada pihak Harakah. Jadi hari ini saya  bersama-sama dengan PAS selangor ingin memberikan maklumat-maklumat tambahan yang membuktikan bahawa daftar pemilih Selangor selepas 2008 pilihan raya umum ke 12 itu mempunyai beberapa sifat yang kita katakan tidak bersih. Yang pertama terdapat banyak pengundi-pengundi yang didaffarkan ini, bukan pemaustatin, didaftarkan baru.

Pemilih-pemilih baru itu bukan pemaustatin. Maknanya tidak tinggal di kawasan yang didaftarkan. Ini dibuktikan dengan kerja semakan, bantahan dalam suku tahun-suku tahun. Semenjak kita mula melibatkan secara yanglebih bersungguh-sungguh melalui petugas-petugas kita yang ada di seluruh parlimen di Selangor.

Kita membuktikan bahawa bantahan kita berasas. Walaupun ada beberapa bantahan yang kita buat itu dari segi tempat lain, ada setengahnya ditolak.

Lebih 90 peratus daripada bantahan yang kita buat kerana pengundi baru itu tidak tinggal di tempat yang didaftarkan atau di alamat itu tidak sah. Kerana mereka tidak adil bila SPR mengadakan perbicaraan awam, bakal pemilih yang dibantah itu tidak hadir.

Ini menandakan bahawa dia bukan pemaustatin dan bantahan kita diluluskan ataupun diterima. Itu kriteria yang pertama.

Kriteria yang kedua, alamat tidak ada. Alamat tidak ada ini masih lagi merupakan suatu perkara yang tidak dapat dilaksanakan oleh SPR. Dalam pertemuan kita dengan SPR di Putrajaya, kita minta supaya dalam buku daftar ini diberikan alamat tapi SPR masih lagi tidak dapat menunaikan tuntutan kita supaya nak menunjukkan bahawa daftar pemilih yang akan digunakanpada pilihan raya yang akan datang itu bersih bahawa alamat ini kena ada. Jadi alamat tidak ada.

Kriteria yang ketiga, dalam satu alamat ini terdiri daripada bakal-bakal pemilih yang begitu ramai. Dalam laporan yang kita sediakan di sini, menunjukkan lebih  daripada tujuh orang dalam satu rumah didaftarkan sebagai pemilih baru. Cuba tuan-tuan bayangkan, tiba-tiba ada tujuh orangatau lebih daripada itu, didaftarkan sebagai pengundi baru di alamat ini. Dan yang keempat, masih kita menegaskan bahawa ada beberapa alamat yang digunakan tidak sama sekali wujud di tempat yang berkenaan. Premis itu tiada.

Misalnya, Jalan 7 Shah Alam no. 14, sedangkan di situ hanya ada tiga buah sahaja. Jadi tiada. Tidak wujud rumah, tidak wujud premis tetapi alamat ini digunakan.Kriteria yang kelima yang menunjukkan pendaftaran daftar pemilih yang kotor ini adalah nombor kad pengenalan lama yang sama. Ada di dalam ini. Saya rasakan pihak Harakah boleh menggunakan bukti-bukti ini dan kita ada banyak bukti lagi.

Di muka surat di dalam sana (merujuk dokumen fakta dafar pemilih yang kotor), bahawa pemilih yang menggunakan kad pengenalan berganda (kad pengenalan lama) dalam itu, Hussin Bin Jamil A 2042851 (kad pengenalan lama). No kad pengenalan barunya 711027-10-6007 dan kad pengenalan baru yang lain, Hussin bin Jamil berbeza pula, sedangkan tarikh lahirnya sama. Jadi ini cukup meragukan. Kad pengenalan lama sama. Kad pengenalanbarunya tidak sama tetapi tarikh lahirnya sama. Satu mengundi di Tanjung Karang. Satu lagi mengundi di Kota Raja. Orang ini kita nak jaga. Elok kita dedahkan, kalau ini satu-satunya bukti yang kita dah hantarkan laporan.

Saya beritahu bahawa PAS Selangor telah menghantar sejumlah lebih daripada lebih 300 nama di antara mereka yang mempunyai kad pengenalan berganda.Ini yang saya kemukan secara lisan bersama  dengan laporan kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Yusof sendiri, yang mengatakan mengapa ada dua nama,dua pengundi ini yang kad pengenalan lamanya sama, kad pengenalan barunya berbeza dan mengundi di dua tempat yang berbeza. Ini cukup meragukan, saya tidak mengatakan dua orang ini adalah individu yang sama tetapi cukup meragukan untuk kita membuktikan bahawa daftar pemilih Selangor ini cukup tidak bersih walaupun mereka menafikannya.

Yang keenam, nama  yang pelik-pelik masih lagi wujud atau kita dapat cari sekarang dalam daftar pemilik induk sendiri bukan sahaja dalam rang pendaftar tapi dalam daftar pemilih induk seperti yang ada di dalam ini iaitu nama-nama yang pelik tadi seperti Koma, Ayang, Sultan, Raja, Mc dan Mu.

Jadi nama-nama kelab bola sepak pun ada didalam daftar pemilih ini. Boleh jadi dia orang ini ini orang England yang mengundi di Selangor. Jadi ciri-ciri pengundi yang mempunyai nama-nama pelik ini masih lagi wujud. Itu ciri keenam tadi. Yang kita mengatakan bahawa daftar pemilih ini tidak bersih kerana nama-nama ini pelik bukan sahaja tiada bin atau anak laki atau anak perempuan. Tapi nama yang seperti simbol, yang seperti singkatan gelaran kita juga dipanggil.

Yang terakhir pula, hari ini saya membawa bahan-bahan bukti daripada laporan polis iaitu bahawa pemindahan-pemindahan ini berterusan sehingga sekarang, pemindahan pengundi di Selangor ini dipindahkan sama ada dipindahkan daripada tempat daerah mengundi ke daerah mengundi yang lain atau ke DUN yang lain atau ke parlimen yang lain atau ke negeri yang lain dalam Malaysia dan ini berlaku.

Saya meminta pihak jentera pilihan raya Tanjung Karang yang diketuai oleh Mislan untuk membuat laporan polis semalam iaitu yang pertama, Zainuddin Bin Mokhtar dan yang kedua Muhammad Yusof bin Iman. Mereka ini daripada Tanjung Karang dan di hantar ke Pahang. Ini disahkan oleh daftar pengundi SPR online.

Yang pertama sekali pemindahan. Pemindahan ini selain bukti yang kita buktikan melalui laporan polis, kita mengesahkan bahawa ini ini adalah maklumat rasmi SPR Selangor. Dalam laporan rasminya, mengatakan bahawa penolong pendaftar pemilih baru SPR yang dilantik bagi pihak kerajaan. Bukan daripada wakil parti politik. Ini daripada jabatan kerajaan yang mana 54 nama yang telah diberhentikan kerana mereka bukan mendaftarkan pemilih baru tetapi mereka memindahkan pengundi-pengundi ini daripada tempat asal tanpa permohonan pengundi-pengundi itu sendiri. Yang melakukan perkara ini adalah wakil daripada jabatan kerajaan (KEMAS).

Ini disahkan sendiri oleh SPR selangor (maksudnya ada dokumen). Walaupun dokumen ini kita dapat secara sulit namun tidak perlulah ianya dinyatakan. Mereka menyatakan tidak berpuas hati terhadap beberapa penolong pendaftar wakil daripada jabatan kerajaan. Ini bukan dari PPP (parti politik), yang mengesahkan bahawa kerja itu merupakan suatu kesalahan dari segi tugas yang sepatutnya diberikan oleh SPR Selangor khasnya.

Dolak-dalik SPR dengan Umno dibantah

DR ABD RANI OSMAN : Jadi yang terkini yang telah didedahkan oleh Cikgu Jaafar ini, pihak Pakatan Rakyat membuktikan bahawa Barisan Nasional sangat terdesak dan lapan tuntutan bersih itu langsung tidak dipenuhi. Inilah di antara sebab yang mereka cukup takut apabila kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengumumkan yang kita tidak mahu membuat pilihan raya secara serentak. Kita nak buat berasingan sebab kalau mereka buat serentak, mereka boleh tipu rakyat tetapi bila kita buat berasingan susah untuk mereka menipu buat kali kedua.

Ini jugak kita minta SPR, jika mereka benar-benar telus sepatutnya mereka telah membenarkan pemerhati dari luar datang untuk pantau pilihan raya dan setakat ini mereka tidak benarkan.

Saya bagi contoh bantahan yang dibuat, sepatutnya bantahan, sudahlah bantahan kita kena bayar RM10, kemudian kalau yang dibantah itu hadir kita kena bayar RM150 sedangkan 90 peratus bantahan itu adalah benar. Sepatutnya SPR lah yang bayar pada kami sebab kami melakukan kerja mereka.

Kita buat kerja mereka sedangkan mereka langsung tidak pantau. Jadi kepincangan-kepincangan yang berlaku di dalam SPR itu sendiri jelas membuktikan bahawa mereka adalah alat Barisan Nasional. Sebab itulah kita minta supaya SPR diletakkan di bawah Parlimen dan bukannya dibawah Jabatan Perdana Menteri.

Sekarang ini kita telah buat laporan polis yang lepas-lepas kita pergi ke Putrajaya, kita cakap benda ini, dia angguk-angguk depan kita. Mula-mula sekali kita bergaduh dan selepas itu dia angguk-angguk balik. Selepas itu dia buang, betul dia buang senarai tersebut tetapi selepas itu dia masukkan balik. Inilah yang berlaku di Terengganu, dia masukkan balik.

Tetapi setelah kita buat secara pendekmokrasian, sebab kita sudah suarakan perkara ini kepada peguam-peguam luar negara dan dalam penemuan mereka, mereka berkata jika ini yang berlaku, 95 peratus kita akan kalah tetapi kita dapat 5 peratus. Yang 5 peratus inilah, Insyaallah sedikit sebanyak yang boleh mengalahkan 95 peratus ini iaitu yang kita sebutkan pendekmorasian (laporan polis, duit kerajaan negeri menolong ketua kampung dan sebagainya).

Secara dasarnya, dengan cara ini yang dicadangkan oleh peguam-peguam luar negara boleh membantu sedikit sebanyak. Kalau nak lawan, lawan di mahkamah. Ini pun satu tamparan juga kepada Barisan Nasional. Biar kita dedahkan perkara ini kepada rakyat dan rakyat akan dapat menilai.

Monday, October 29, 2012

Kelantan boleh hidup tanpa Umno

Oleh DATO HUSAM MUSA
Naib Presiden PAS

Pencapaian Kelantan yang paling besar adalah membantu menghasilkan negeri-negeri Pakatan Rakyat, seterusya insya Allah akan membawa kepada perubahan ke seluruh negara dengan menawan Putrajaya.

Kelantan adalah pencetus perubahan minda, iaitu perubahan yang memberikan alternatif kepada rakyat, untuk tidak lagi memberi ruang bahawa hanya Umno-Barisan Nasional yang boleh memerintah.

Pendekatan yang dibawa Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato. Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 22 tahun ini, adalah pendekatan secara Islam yang meletakkan penyatuan semua kaum dengan kaedah multi racial approach.

Ini menyebabkan di Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz dan PAS, diterima masyarakat berbilang kaum dan agama. Ini dibuktikan dengan perkembangan terbaharu, iaitu sami-sami Buddha menyerahkan sumbangan bagi menyokong pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Kerai.

Ini sangat penting kepada perkembangan hubungan antara kaum dan agama di Kelantan, bahkan di seluruh negara. Kelantan berjaya memecahkan temboh pemisahan antara kaum dan agama yang dipecahkan sejak zaman British.

Malangnya, inilah yang dianuti Umno. Mereka masih kekal dengan semangat perkauman yang menebal dan sentiasa mencetuskan provokasi agama. Bahkan mereka mereka melipatgandakan tindakan, mempergunakan isu-isu ini untuk kepentingan politik mereka.

Kelantan menjadi pengimbang dan menjadi bukti bahawa, dengan pendekatan Islam yang adil kepada semua pihak, ia boleh membuat perubahan kepada politik negara.

Sikap diskriminasi Umno yang berterusan, seperti penafian pembayaran royalti petroleum, pembinaan lebuh raya, lapangan terbang yang masih tidak diberikan status antarabangsa, pelabuhan yang belum benar-benar dimajukan oleh Kerajaan Pusat dan wujudnya pelbagai diskriminasi yang lain.

Namun rakyat Kelantan boleh hidup tanpa Umno. Kerana walaupun tanpa sokongan Umno sebagai Kerajaan Pusat selama ini, pencapaian Kelantan dari segi penurunan tahap kemiskinan, kepesatan pertumbuhan ekonomi dan keutuhan kewangan negeri, menunjukkan Kelantan boleh hidup tanpa Umno-BN.

Malah, kita yakin dan percaya, bahawa di Malaysia, kita boleh hidup tanpa Umno-BN di Kerajaan Pusat. Bahkan boleh menjadi lebih baik daripada Umno-BN, jika Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya.

Selain daripada itu ialah semangat perubahan yang dicetus sejak tahun 1990, insya Allah akan terus kekal di dalam dada pejuang-pejuang PAS di negeri Kelantan. Dengan semangat perubahan tahun 1990, kita mahu melakukan sesuatu yang berbeza daripada Umno dan kita ingin mewujudkan sesuatu yang lebih cemerlang berbanding dari apa yang dilakukan oleh Umno-BN dari sudut berkerajaan, termasuk dari sudut ketinggian budi dan akhlak rakyat jelata yang gagal dicapai Umno.

Oleh kerana itu, Kelantan harus terus kukuh dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan mestilah digunakan sepenuhnya untuk mencetus perubahan ke seluruh negara, khususnya bagi memperjuangkan hak-hak Kelantan yang saya sebutkan di atas.

Kerusi Parlimen di Kelantan hendak digunakan sebaik-baiknya untuk membantu Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya. Jika Kelantan berjaya menerajui kepentingan semua pihak berasaskan prinsip-prinsip keadilan dan akhlak rakyat, maka saya fikir tidak ada sebab untuk Pakatan Rakyat tidak boleh melakukannya selepas menang pada PRU ke-13 nanti.

(Teks khas sempena 22 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, sejak 21 Oktober 1990).

Tuesday, October 23, 2012

Chua Soi Lek, celupar dan biadap terhadap Islam - Anthony Loke

(Kenyataan penuh Ketua Pemuda DAP terhadap kebiadaban MCA terhadap Islam kepada penulis di Parlimen, 22 Oktober 2012)

Anthony Loke Siew Fook
Ketua Pemuda DAP

Saya rasa beberapa siri kenyataan oleh MCA, khususnya Presiden MCA, Chua Soi Lek dalam Perhimpunan Agung mereka adalah sangat keterlaluan.

Kerana seolah-olah hari ini, di pentas politik MCA sudah tidak ada hala tuju lagi. Di dalam perhimpunan mereka, MCA tidak lagi bincang dasar-dasar parti mereka, tidak bincang langsung hala tuju parti, tetapi hanya menghentam Pakatan Rakyat sahaja.

Khususnya hendak menakut-nakutkan orang Cina tentang pelaksanaan hukum hudud dan menggambarkan Islam itu dalam konteks yang begitu negatif sekali.

Sehingga mereka sanggup memburuk-burukkan Tok Guru dengan mengatakan bahawa orang PAS menggalakkan orang Islam merogol wanita bukan Islam. Ini bagi saya suatu tohmahan yang begitu keji dan begitu teruk sekali.

Dalam twitter saya baru-baru ini, saya katakan Pemuda DAP mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang begitu teruk dan celupar ini, dan saya katakan bahawa Chua Soi Lek adalah Presiden yang paling biadab dalam sejarah MCA. Tidak pernah dalam sejarah MCA, mereka mempunyai pemimpin yang sangat celupar.

Dalam politik kita berbeza pendapat, itu perkara biasa. Umpamanya, kita dalam DAP juga punyai pendapat yang berbeza dengan PAS dalam soal hukum hudud. Tetapi kita tidak pergi sampai ke tahap memburuk-burukkan dan menghina Islam.

Kita hormati Islam, kita hormati hukum-hukum Islam, tetapi dalam soal pelaksanaan hudud, kita punyai pandangan yang berbeza, dalam konteks Malaysia.

Tetapi janganlah kita memburuk-burukkan atau merendah-rendahkan hukum agama lain sebagaimana yang dilakukan oleh Chua Soi Lek dan MCA. Ini adalah 'Islam fobia'. Inilah yang diperjuangkan Chua Soi Lek.

Dan yang lebih teruk sekali, Presiden parti yang mengasaskan perjuangan mereka kepada bangsa, agama dan negara iaitu Umno, Perdana Menteri, Najib Razak sendiri pergi merasmikan Perhimpunan Agung MCA, dia tidak pernah menegur kenyataan sedemikian rupa yang diucapkan oleh Presiden MCA. Bagi saya, inilah hipokrasi mereka.

Bagi saya jika MCA mengatakan bahawa sokongan Cina kepada MCA dan BN semakin pulih itulah 'mimpi di siang hari'. Memang Chua Soi Lek dan MCA 'syok sendiri.'

Saturday, October 20, 2012

Mengapa Umno biarkan MCA, Gerakan persenda agama Islam?

Umat Islam di Malaysia, seharusnya bangkit dan mengutuk sekeras-kerasnya Presiden MCA, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek dan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang, yang jelas mempersendakan agama Islam yang dianuti majoriti rakyat Malaysia.

Presiden MCA menunjukkan kebiadaban beliau dengan mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.

Manakala Ketua Pemuda Gerakan itu, menerusi akaun twitternya, menghantar  beberapa tweet yang mempunyai unsur penghinaan, terhadap agama Islam dengan mempersendakan hukum menutup aurat.

Walaupun MCA dan Gerakan merupakan sahabat Umno dalam Barisan Nasional, iaitu Umno yang mendakwa Malaysia sebuah negara Islam, mereka tidak segan untuk menunjukkan sifat kurang ajar mempersendakan Islam.

Kita boleh memahami jika MCA dan Gerakan, tidak mahu menerima Islam kerana mereka terdiri dari kalangan bukan Islam. Dalam konteks ini, Islam tidak pernah sama sekali, memaksa golongan bukan Islam menerima Islam.

Namun, sikap mempersendakan agama Islam tidak boleh diterima sama sekali. Ianya sama seperti orang Buddha, Hindu atau Kristian, akan menunjukkan kemarahan tatkala agama mereka dipersenda.

Dakwaan kedua-dua Chua dan Tan, amat melampaui batas dan merosakkan keharmonian beragama dalam negara.

Chua membuat tuduhan mengarut terhadap hukum hudud, hanya semata-mata mahu mengalih fokus rakyat yang benci terhadap rasuah dan penyelewengan yang diamalkan oleh Umno, MCA dan seluruh anggota komponen BN.

Nampaknya MCA dan Gerakan semakin celupar, mempermainkan isu hudud demi politik sempit mereka, hanya semata-mata berusaha untuk menjauhkan golongan bukan Islam terhadap Islam, khususnya PAS yang mempelopori perjuangan Islam.

Mereka cuba mengotorkan politik Malaysia dengan melakukan provokasi jahat, selepas merasai penolakan demi penolakan rakyat terhadap Umno, MCA, Gerakan dan lain-lain dari PRU 2008 hingga kini.

Sikap MCA dan Gerakan ini, sama seperti Umno. Mereka sanggup bersekongkol, untuk melakukan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan mencecah lebih RM1 bilion dalam kes PKFZ, ratusan juta dalam kes NFC dan sebagainya.

Mereka tidak ada perasaan segan dan malu jika mereka ditahan kerana melakukan rasuah, tetapi mereka akan bertempiaran lari, hanya apabila kerana hudud menjadi sebahagian perjuangan PAS. 

Sebagai sebuah parti politik yang demokratik, sederhana dan terbuka, PAS telah bersama-sama dengan KeADILan dan DAP membentuk Pakatan Rakyat.

Bergabung untuk mendokong agenda reformasi bersama yang tertakluk dalam Buku Jingga. Perjuangan PAS untuk merealisasikan sebuah Negara Berkebajikan juga disokong oleh semua ahli parti dan rakyat Malaysia.

Apa yang mendukacitakan ialah sikap Umno, MCA, MIC dan Gerakan, yang masih mempermainkan isu perkauman dan agama untuk mengaut modal politik.

Umno membiarkan MCA dan Gerakan menghina Islam kerana mereka sendiri tidak faham tentang erti Islam yang sebenarnya. Golongan agama dalam Umno, sudah menjadi syaitan bisu kerana terpesona dengan kemewahan dunia.

Apa yang jelas, pemimpin BN sudah ketandusan idea dan tidak berupaya bersaing dengan Pakatan Rakyat yang berupaya menjadi alternatif, yang terbuka berjaya menyatupadukan rakyat dan sekali gus akan memimpin rakyat ke Putrajaya.

Maka Pilihan Raya Umum yang akan datang amat penting dan signifikan untuk rakyat, merealisasikan perubahan ke arah Malaysia yang adil dan demokratik serta berkebajikan.

Selamatkan Malaysia daripada salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan dengan menghapuskan BN pada PRU akan datang.

Monday, October 15, 2012

Umno-BN fobia hadapi PRU-13

Dalam seminggu yang lalu, terdapat banyak rumours di Parlimen, yang mengatakan bahawa Parlimen akan dibubarkan dalam masa yang terdekat iaitu sekitar Oktober atau November ini.

Antara tarikh yang popular diperkatakan di kalangan ahli-ahli parlimen (MP) adalah, pada 18 November 2012. Ada juga yang meneka Parlimen akan dibubarkan pada 11 November, ianya akan menjadi nombor 11.11.12. Malah ada yang suka bermain dengan angka iaitu 12.12.12.

Bagi kita, tarikh bila pun diadakan Pilihan Raya Umum (PRU), kita akan tetap hadapinya. Namun bagi sesetengah pihak, mereka masih percaya, nombor yang cantik atau nombor yang pelik-pelik, boleh membawa 'ong' (tuah).

Kebetulan baru-baru ini tatkala penulis berbual dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, kami terserempak dengan seorang Menteri dari Umno. Menteri tersebut kelihatan tergesa-gesa dan berjalan dengan ajak laju.

Namun melihat kami sedang duduk di lobi Parlimen, beliau berhenti, lalu menyapa Wahid dan kami bersalam-salaman.

"Bila hendak buat pilihan raya ni," tanya Wahid kepada beliau.

Lantas Menteri menjawab, "Dah dekat dah ni, macam dah nak bubar, kalau buat bulan November, macam tahun 1999, Terengganu you ambil balik." Kata Menteri kepada Wahid.

Lantas kedua-dua mereka ketawa terbahak-bahak, entah apa buat yang mereka geli hati.

Spekulasi mengenai tarikh PRU masih belum berakhir. Sama ada mereka bergurau atau serius, dua-dua pihak, sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, akan tetap menghadapi ujian yang paling getir.

Namun, pada pengamatan penulis ada kalanya gurauan orang politik, boleh menjadi kenyataan.

Jika kita melihat fenomena PRU, pada PRU 1999 yang diadakan pada bulan November tahun itu, PAS berjaya menyapu bersih 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu, sehingga meninggalkan Umno empat kerusi sahaja.

Hampir sepuluh tahun sebelum itu, iaitu pada PRU yang diadakan pada bulan Oktober 1990, PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah berjaya menyapu bersih keseluruhan kerusi Dun dan Parlimen di Kelantan.

Barangkali jika diadakan PRU ke-13 bulan Oktober atau November ini, bukan sahaja Terengganu, malah satu Malaysia pun BN belum tentu selamat.

Walaupun menentukan tarikh PRU itu hak PM, namun Najib dan seluruh pemimpin BN, tidak dapat menyembunyikan ketakutan dan kegelisahan mereka.

BN mengidap penyakit fobia. Mereka fobia kerana takut ditolak rakyat dari tampuk kuasa. Mereka fobia kerana gelisah dengan pelbagai masalah dalam dan skandal pemimpin, terbongkar satu demi satu.

Oleh sebab itu, selepas tiga minggu Parlimen bersidang, wakil-wakil rakyat BN sudah semakin kehilangan fungsi. Mereka semakin tumpul dan tidak berdaya melawan arus MP Pakatan Rakyat.

Hanya dua tiga orang sahaja MP BN yang berani bertembung, tetapi malangnya mereka sering menjadi 'ayam berak kapur' apabila hujah dangkal mereka dipatahkan satu persatu.

Ada banyak sebab mengapa MP BN sudah 'hilang daya tahan'. Pertama, kerana kegigihan Pakatan membongkarkan skandal rakan-rakan mereka seperti Dato' Seri Shahrizat Jalil.

Seorang lagi yang memalukan Umno-BN ialah MP Sabak Bernam, yang dijatuhkan hukuman penjara dan denda akibat jenayah memalsukan tuntutan.

Jadi mereka takut, jika mereka kuat melawan, skandal mereka pula akan terbongkar.

Kedua, kerana mereka tidak pasti dapat menjadi calon BN. Oleh kerana itu mereka fikir, mereka tidak perlu susah-susah melawan Pakatan.

Ketiga, mereka terpaksa berlawan sesama sendiri di peringkat bahagian. Puak-puak yang gila hendak jadi YB, senantiasa berada di sekeliling Najib.

Dan yang keempat, yang paling penting sekali, apabila sudah dapat menghidu bau Umno, yang bakal menjadi bangkai pada PRU akan datang.

Nampaknya MP BN sudah tidak banyak pilihan. Masa mereka sudah hampir tamat. Mereka harus memilih, sama ada hendak menggali kubur sendiri, atau berhijrah ke Pakatan Rakyat.

Wednesday, October 10, 2012

PAS parti yang sesuai untuk saya - Tengku Seri Paduka Raja

Ku Duka sembang santai di kediamannya di Batu Buruk.
Status Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebagai bapa saudara kepada Sultan Mizan Zainal Abidin tidak dipernah dipergunakan untuk kepentingan diri. Pada beliau, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Duka, kepentingan rakyat Terengganu lebih menjadi keutamaan. Di atas kesedaran itu, Ku Duka menyerahkan borang menyertai PAS pada 6 Oktober 2012 kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat di Jabi. Ikuti temuramah beliau dengan wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN dan KHAIRUL AZLAM MOHAMMAD di Batu Buruk, Kuala Terengganu, 7 Oktober 2012.

Apakah yang mendorong Tengku menyertai PAS? 

Pertamanya, saya ingin katakan bahawa saya menyertai PAS kerana Allah. Umur saya pun sudah mencecah 73 tahun, saya tiada apa-apa kepentingan, selain mahu menyaksikan Islam dan kebenaran tertegak di Terengganu dan di Malaysia amnya.

Saya melihat perkembangan politik dalam negara kita, keadaan sekarang ini begitu teruk dari segi penyelewengan, kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan Umno-Barisan Nasional, baik di Pusat dan di Negeri.

Saya bimbang, jika saya duduk diam sahaja di rumah, pandangan saya tidak laku kerana saya tidak di pentas politik. Sebab itu saya memilih PAS, yang saya rasa PAS adalah sebuah parti yang sesuai pada saya.

Tetapi sejak dulu saya baik dengan PAS. Saya cukup-cukup menghormati Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah semasa saya menjadi wakil rakyat Parti Semangat 46, saya sudah akrab dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Saya melihat pemimpin-pemimpin PAS begitu akrab dan mengambil berat tentang permasalahan rakyat. Kita hendak pemimpin macam inilah yang menjadi pemimpin kerajaan negeri. Semasa saya jadi Adun dahulu, sehingga sekarang pun saya masih rapat dengan rakyat.

Justeru, tujuan saya dengan memasuki PAS, kita boleh kemukakan pendapat kita dan membangkit isu-isu yang berkepentingan rakyat.

Agak lama Tengku tidak aktif dalam politik?

Ya..Selepas dibubar Semangat 46 pada bulan Jun 1996, saya dikira sudah bersaralah, main dengan cucu-cucu sahaja (ketawa).

Tetapi sebenarnya dalam politik tiada istilah bersara. Saya bercakap juga, saya menegur juga, malah ada yang meminta pandangan saya, saya terus memberikan pendapat.

Ada dakwaan Umno yang mengatakan Tengku pernah menyertai Umno?

Sebenarnya saya bukan menyertai Umno. Semasa Semangat 46 hendak dibubarkan, syarat Dr Mahathir Mohamad kepada Tengku Razaleigh Hamzah ialah, semua ahli Semangat 46 diminta menyertai Umno. Jadi, keputusan MKT. Ramai yang tidak setuju, tetapi akur dengan permintaan Presiden parti (Tengku Razaleigh) kerana hormatkan beliau.

Saya tidak pernah bayar yuran untuk masuk Umno. Tak tahu lah kalau Pusat (Ibu pejabat S46) yang bayar. Bukan saya seorang, ramai lagi punyai pandangan yang sama dengan saya. Semasa mesyuarat akhir MKT S46, bukan semuanya setuju, tetapi kita akur kepada kehendak Presiden.

Apa pandangan Tengku mengenai kerajaan Umno-BN sekarang?

Dalam konteks Terengganu, saya melihat pentadbiran kerajaan Umno-BN terlalu banyak kucar-kacir. Banyak penyelewengan, kemungkaran dan salahguna kuasa.

Saya tahu apa yang saya cakapkan. Saya tidak akan bercakap sesuatu perkara yang saya tidak ada bukti. Saya tidak buat fitnah. Banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku, dilakukan oleh pemimpin Umno-BN.

Contoh mudah ialah mengenai Zoo Kemaman. Belanja yang diperuntukkan RM100 juta. Pada pendapat saya tidak ada keperluan kita bebelanja besar untuk zoo. Pemimpin Umno-BN sila beritahu saya, di mana di Malaysia ini zoo yang mampu menjana keuntungan?

Kita tahu semua binatang itu harus dibeli. Memang dia tidak mengaku, tetapi kita tahu lah dia beli dengan harga yang mahal.

Kita lihat di Kuala Lumpur misalnya, ada korporat yang membantu dan sponsor makanan dan rawatan untuk haiwan. Tetapi hendak kata untung, memang tiada.

Kemudiannya, mengenai Zon Bebas Cukai di Tasik Kenyir. Ini semua projek tidak masuk akal. Kalau di negeri-negeri yang berkaitan dengan sempadan seperti di Kelantan, Perlis dan Kedah, kita faham. Ia tujuan untuk menarik pembeli dengan saingan harga dengan negara jiran.

Tetapi yang Umno buat di Terengganu dalam hutan, siapa hendak pergi? Buatlah cantik macam mana pun, ia tidak praktikal.

Sebab itu pada saya, peranan utama PAS sekarang ini ialah menukar kerajaan. Bukan semata-mata hendak memperbetulkan kesalahan kerajaan yang ada.

Saya juga bercakap dengan pemimpin-pemimpin Umno, tetapi no response. Mereka seolah-olah tidak mengendahkan teguran rakyat.

Apa pandangan Tengku mengenai royalti minyak Terengganu dan Kelantan?

Satu perkara yang paling mustahak ialah mengenai royalti. Royalti minyak ini, yang dibawa ke Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said menarik balik saman yang dibuat kerajaan PAS dahulu dengan alasan isu itu sudah diselesaikan.

Bila kita tanya dia (MB) selesaikan macam mana? Apa butiran bertulis mengenai penyelesaian itu..dia tidak jawab. Kita tegaskan, adalah hak rakyat Terengganu untuk tahu, kerana duit itu (royalti) bukan milik Umno, bukan milik MB, tetapi milik semua rakyat Terengganu.

Keseluruhannya rakyat Terengganu berhak tahu. Bila kita tanya dia kata ini maklumat sulit. Apa yang hendak disulitkan kita tiada apa yang hendak Umno tutup? Ini mesti ada masalah yang disembunyikan. Apa Ahmad Said hendak takut jika beliau tidak buat salah?

Insya Allah selepas ini, jika PAS dan Pakatan Rakyat menang, saya cadangkan kita bongkar semuanya dan beritahu rakyat apa sebenarnya yang berlaku. Bukan hendak menuduh sesiapa, ini adalah fakta yang harus kita beritahu rakyat, apa sebenarnya yang berlaku.

Begitu juga di Kelantan. Kelantan ada 1.5 juta rakyat, Terengganu ada 1.3 juta. Lebih 90 peratus rakyatnya orang Melayu, orang Islam. Apa yang Umno hendak permainkan orang Melayu-Islam ini? Kejap royalti, sekejap wang ihsan.

Pada saya, saya tidak boleh terima nama 'wang ihsan'. Wang ihsan ini hanya menghina kan rakyat. Sebab nama dia ihsan, dia boleh kata, "aku nak beri boleh, aku tak nak beri pun boleh. Semuanya atas ihsan.

Inilah kuasa yang dipegang Umno-BN untuk mempermainkan orang-orang Melayu khususnya. Cerita sebenar mengenai royalti ini tidak akan keluar dalam media masa yang dikuasai Umno. Sebab itu, kita harapkan Harakah dan Suara Keadilan untuk bersuara.

Mengapa agaknya Terengganu yang kaya dengan hasil minyak, tetapi rata-rata rakyat masih berada dalam kemiskinan?

Semasa dalam S46 lagi saya bawa slogan bahawa 'Terengganu Kaya Rakyat Miskin'. Sekarang ini mengikut jangkaan saya, kerajaan dan Petronas masih lagi berhutang RM5 bilion kepada rakyat Terengganu, yang perlu dibayar daripada wang yang disekat dahulu. Inilah kerja pemimpin Umno Terengganu yang menindas rakyat.

Sebab itu saya menyeru rakyat Terengganu menyokong Pakatan Rakyat. Pakatan komited untuk bayar 20 peratus wang royalti. Jangan cakap 20 peratus, jika 10 peratus pun Terengganu akan dapat 3 bilion setahun. Ini sesuatu yang amat baik untuk kepentingan seluruh rakyat Terengganu. Allahu Akbar.

Rakyat Terengganu kini bersama PAS

Wahid yakin rakyat Terengganu tidak sabar untuk tumbangkan Umno-BN
Temu ramah dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Wahid Endut yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN, HAZAYANI ZAKARIA dan jurufoto MOHD NASIR SUDIN di Parlimen, 8 Oktober 2012.

Apa matlamat Terengganu menganjurkan program PAS Ganti Umno (PGU 5) dan adakah matlamat itu tercapai? 

PAS Ganti Umno (PGU) di Terengganu ini, keputusannya dari PAS Pusat. Kita ambil jenama PGU itu kerana di Terengganu PAS dengan Umno sahaja yang banyak kerusi. Kita jenamakan dan kita kekalkan supaya PGU ini menjadi buah mulut orang.

Pengalaman kita, masa kita ambil alih Terengganu pada tahun 1999, Umno nak ambil balik tahun 2004, mereka gunakan duit royalti minyak yang mereka sapu, mereka guna secara berterusan sampailah pilihan raya dan timbulkan suasana kononnya PAS teruk, tak pandai memerintah, padahal Umno rampas duit kita. Dan mereka beri gambaran kononnya masyarakat menolak PAS.

Bila kita buat kajian, dan objektif PGU ialah kita nak bina balik gelombang rakyat untuk tolak Umno, kita perlu buat PGU. Isu di Terengganu banyak tapi tak sama kalau kita ceramah biasa.
Objektif yang pertama nak bina kebangkitan rakyat untuk tolak Umno. Yang kedua kita nak kerahkan tenaga-tenaga kita.

Sebagai contoh PGU kali ini kita buat di Setiu. PAS kawasan Setiu jadi tuan rumah dan kita ambil satu Dun jadi semua jentera tidak kira cawangan, ahli kita kerah dengan persiapan dan sebagainya sebab nak bagi semangat kepada mereka dan Alhamdulillah semangat meningkat dengan cari duit, cari tapak, cari petugas, siapkan khemah dan sebagainya.

Yang ketiga kita nak bentuk persepsi rakyat bahawa Umno sudah tidak relevan. Kita nak bangkitkan gelombang rakyat, kita nak gerakkan jentera kita, kita nak beritahu rakyat bahawa Umno ini sudah tidak relevan.

Di Terengganu ada lapan kawasan. Tinggal dua lagi. Kita akan buat di Dungun dan di Kuala Nerus selepas ini. Kejayaan kita di PGU-5 ini, alhamdulillah kita dapat menarik beberapa ikon yang paling memberi kesan bapa saudara Sultan Terengganu, Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim yang serah borang PAS. Dalam menghadapi pilihan raya di Terengganu, kita nak beritahu rakyat bahawa semua lapisan masyarakat daripada istana kepada orang biasa, di kalangan orang Cina kita ada, profesional kita ada, muslimat muda pun ada dan kita akan cari tokoh-tokoh lain yang ada.

Apabila kita hadapi pilihan raya dalam gambaran imej baru yang kita bina, kita lebih yakin.


Bagaimana keyakinan menghadapi PAS menghadapi BN kali ini?

Sekarang ini kita yakin mood rakyat bersama kita. Kita pergi mana-mana pun, mereka tanya bila pilihan raya. Macam tak sabar-sabar lagi nak mengundi untuk tumbangkan BN. Yang kedua isu yang kita hadapi cukup banyak.
Kita tengok di kalangan rakyat seperti ada kesedaran baru di kalangan mereka yang selama ini tidak bersama PAS di kalangan orang muda, orang Cina di kalangan profesional.

Kita akan menghadapi pilihan raya di Terengganu dalam keadaan yang lebih bersedia. Calon pun kita dah isytihar. Saya dah isytihar seorang iaitu Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat akan jadi calon di Paka. Maknanya kita dah bersedia.

Gerak kerja yang kita lakukan ke arah pilihan raya. Kita ada banyak isu. Yang pertama isu royalti yang tak selesai-selesai. Dahulu bawa isu royalti ke mahkamah tapi Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said tarik balik.

Yang kedua isu rasuah. Lambang ibu segala rasuah di Terengganu ialah kes stadium runtuh. Sampai sekarang tak baiki. Kenapa tak baiki? Sekolah Menengah Alur Limbat, tanah mendap. Sekolah dah siap tapi tak bleh guna. Tanah mendap, rasuah, bocor, tiris di Terenganu.

Yang ketiga isu tanah. Di Terengganu isu tanah ini, kita sudah tolong rakyat tapi Umno rampas balik. Rumah dia sodok, tanha dia rampas. Keadaan sekarang ini bagaimana dia boleh ambil tindakan sebegitu rupa dalam suasana nak hadapi pilihan raya.

Wakil rakyat Umno dapat tanah. Ini rakyat tahu, rakyat terasa, kenapa wakil rakyat dapat tanah, rakyat tak dapat malah dirampas tanah mereka. Yang keempat isu Lebuh Raya Pantai Timur. LPT guna 50 peratus duit Terengganu. Lapangan terbang seratus peratus guna duit Terengganu. Syarikat perumahan negara pun guna duit Terengganu. Isu-isu inilah yang kita sebut di PGU.

Tuesday, October 09, 2012

Dosa Umno kepada rakyat Kelantan

Sultan Kelantan menurunkan tandatangan baginda menuntut royalti
Kelantan adalah salah sebuah negeri yang berdaulat, dinaungi pemerintahan Beraja sejak berkurun lamanya dan menjadi antara komponen negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Majoriti rakyat Kelantan adalah terdiri dari kalangan orang-orang Melayu-Islam.

Kelantan terkenal sebagai negeri yang subur dengan pendidikan Islam dan kebudayaan Melayu.

Orang-orang Melayu Kelantan terkenal dengan sifat kerajinan mereka, mereka berhijrah merantau di seluruh pelosok negara untuk bekerja. Malah ramai kalangan rakyat Kelantan terdiri dari golongan profesional yang menduduki jawatan penting dalam negara.

Mereka adalah rakyat Malaysia yang setia dengan negara, mereka membayar cukai dan mereka turut menyumbang kepada pembangunan negara.

Tetapi kerana keegoan dan dendam politik Umno-BN, Kelantan diketepikan daripada arus pembangunan. Pelabur-pelabur luar tidak diberi insentif yang menarik sebagaimana negeri-negeri Umno-BN.

Pembinaan lebuhraya ke Pantai Timur yang menghubungkan Kelantan dengan negeri-negeri lain dihadkan hanya setakat ke Terengganu sahaja.

Malah hasil bumi iaitu petroleum yang diakui wujud oleh Kerajaan Persekutuan, sehingga kini terus dinafikan untuk dinikmati hasilnya kepada rakyat Kelantan.

Kejahatan Umno dalam isu royalti ini dimulakan oleh Presiden mereka, yang juga Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir begitu dengki dan berdendam dengan rakyat Kelantan, sehinggakan hasil petroleum yang digali dari perairan Kelantan, di daratkan di Thailand.

Kerajaan Persekutuan yang didalangi Umno, enggan membina pelabuhan petroleum di Bachok, mereka enggan memberi rakyat Kelantan peluang pekerjaan, sekali gus mereka tidak mahu Kelantan maju, semata-mata kerana PAS memerintah Kelantan.

Walaupun Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai hak daripada hasil petroleum seperti mana Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang digubal, namun Umno tidak peduli.

Akibat dari kedangkalan Umno-BN, Kerajaan Pusat sudah menyekat royalti 5 peratus setahun, yang kini  sudah mencecah RM10.4 billion.

Justeru kita menuntut wang royalti dibayar secara tunai seberapa segera kerana rompakan  hasil bumi negeri Kelantan adalah satu isu yang amat serius dan harus diselesaikan secara melampaui batasan kepentingan politik yang sempit.

Kita menuntut PM Dato' Seri Najib Tun Razak dan Petronas agar membina hab pengumpulan, pemprosesan dan pengangkutan gas serta pembinaan paip sepanjang 300 km diwujudkan di Kelantan.

Pembinaan hab di Bachok itu secara tidak langsung dapat menjimatkan kos dan memberi impak ekonomi yang sangat baik kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan.

Ianya juga selari dengan Titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang bertitah agar Gas didaratkan ke Pantai Bachok, memandangkan 4000 ekar tanah sudah disediakan sebagai Zon Industri Petroleum sejak 1990-an.

Monday, October 08, 2012

Kami tuntut royalti 'pah ke cerroh'!

TGNA, TGHA dan Anwar di Himpunan Royalti di Shah Alam
ALLAHU AKBAR! Royalti hak kami! Kami tuntut royalti 'pah ke cerroh' (sampai dapat), Umno-Barisan Nasional zalimi rakyat Kelantan. Itulah slogan keramat yang berkumandang sepanjang jalan dari Kota Bharu ke Putrajaya.

Pada 3 Oktober lepas, rakyat Kelantan menyerahkan refrendum 150,000 tandatangan rakyat ke Pejabat Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak, petang Rabu lepas bagi menuntut pembayaran royalti petroleum yang dinafikan selama bertahun-tahun oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Referendum tersebut dikirim khas menerusi konvoi royalti menuju ke Putrajaya yang dilepaskan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2 Oktober.

Konvoi ratusan kereta dau Kota Bharu, terus menuju ke Shah Alam. Mereka disertai lebih 10 ribu hadirin yang menyertai ceramah mega tuntut royalti yang di adakan di Dataran Kemerdekaan.

Ceramah tersebut diadakan sempena dengan perbicaraan kes saman Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petronas di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 3 Oktober.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika berucap malam tersebut, melahirkan rasa kesal terhadap Kerajaan Pusat yang menafikan hak royalti negeri itu.

"Saya yakin 100 peratus mereka tidak mahu melihat kejayaan PAS bila memerintah negeri.

"Umno telah menarik balik bayaran royalti (semasa PAS memerintah Terengganu) serta tidak pernah diberi royalti langsung (kepada Kelantan)," jelasnya.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang pula berkata apa yang dituntut oleh Kelantan adalah hak mereka yang sebenarnya.

"Saya sebagai seorang nelayan telah mengunjungi pelantar minyak tersebut dan jika benar ia berada di luar perairan Kelantan sudah pasti saya telah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana mencerobohi pengairan antarabangsa.

"Namun segalanya tidak berlaku sebaliknya saya diberi layanan oleh pekerja-pekerja di pelantar tersebut," jelasnya yang pernah sampai ke pelantar itu.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim pula berkata, Pakatan Rakyat seperti dibentang dalam belanjawan mereka, telah memutuskan apabila menguasai Putrajaya, pembayaran tunai royalti sebanyak 20 peratus bagi empat buah negeri akan dilaksanakan serta merta.

"Selain itu juga kita telah bersetuju untuk menyerahkan sebahagian daripada lapangan kecil kepada kerajaan negeri untuk mereka menubuhkan sendiri syarikat minyak dan gas.

"Kita mahu syarikat kerajaan negeri terlibat bersama dalam perusahaan tersebut dan kerajaan pusat di bawah Petronas akan menjamin sebahagian daripada projek tersebut yang dijalankan sendiri oleh kerajaan negeri," ucapnya.

Turut hadir pada ceramah mega itu ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Othman, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti & Pendaratan Gas Negeri Kelantan, Dato' Husam Musa, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

DAP pula diwakili oleh Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw dan juga pimpinan Pakatan Rakyat bagi Negeri Sabah dan Sarawak serta wakil dari exco Kerajaan Negeri Selangor.

Program ceramah itu turut dimulai dengan solat hajat yang diimamkan oleh Presiden PAS sendiri.

Selain itu juga, Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) atau 'R' bagi peringkat nasional yang melibatkan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak dilancarkan pada majlis itu.

Pada keesokan harinya, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan membenarkan Kerajaan Negeri Kelantan mengemukakan rayuan terhadap tiga tuntutan yang ditolak Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Tuntutan itu adalah memohon agar mahkamah menolak permohonan Kerajaan Persekutuan sebagai pencelah serta memohon mahkamah menolak permohonan Petronas membatalkan saman kerajaan negeri.

Satu lagi tuntutan adalah memohon penzahiran dokumen keputusan penyelesaian kes saman Kerajaan Terengganu terhadap Petronas sebelum ini.

Keputusan itu dibuat oleh panel lima hakim yang mendengar kes itu kira-kira jam 9 pagi ini.

Terdahulu, pasukan Konvoi Royalti Kelantan tiba di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya seawal jam 7.30 pagi ini bagi mendengar keputusan hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato' Ahmad Yakub, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan, Dato' Husam Musa, Dato' Takiyuddin Hassan, Dato' Abdul Fatah Mahmod, Dato' Anwar Tan, Dr Mohd Fadhli Hassan, Baihaqi Atiqullah, Che Abdullah Mat Nawi, Wan Ubaidah Wan Omar dan kepimpinan yang lain.

Bercakap kepada peserta konvoi di luar mahkamah selepas itu, Husam berkata keputusan tersebut memberi petanda awal bahawa 'pintu gol lawan sudah ditembusi'.

"Kita bukan sahaja bagi hak kepada Petronas hisap minyak, tetapi juga mebuat explorasi telaga baru.

"Tuan rumah masih kerajaan negeri, Petronas hanya pekerja upahan kita. Bila kita mintak, dia kata tak boleh bagi. Ini bagi kita tak logik," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri tidak akan sesekali akan berkompromi dalam isu ini dan menolak cubaan membayar sebahagian sahaja wang royalti iaitu RM300 juta setahun untuk Blok PM301 tanpa sebarang tunggakan.

"Kita nak kesemua bayaran untuk keempat-empat telaga kita dengan jumlah tunggakan RM10.4 bilion," tegasnya.

Wednesday, October 03, 2012

Menanti BN duduk di blok pembangkang

Selepas PRU-13, BN boleh berpindah ke blok pembangkang
PILIHAN Raya Umum sudah tidak lama lagi. Sama ada dibuat bulan ini atau sehingga Mac 2013, pasti kita akan tempuh juga.

Bagi Pakatan Rakyat, persediaan secukupnya sudah dipasak sejak beberapa bulan lepas, dengan satu niat dan tekad, iaitu untuk menawan Putrajaya, sekali gus menumbangkan Barisan Nasional.

Oleh sebab itu, berbanding dengan 12 kali PRU yang lepas-lepas, BN kali ini, berada dalam situasi yang amat gelabah.

Mereka gelabah kerana gema suara untuk menumbangkan BN, berkumandang di seluruh pelosok negara, sehingga BN berasa amat was-was dan ragu.

Keraguan timbul kerana tiada lagi kawasan yang benar-benar selamat buat BN. Semua negeri yang menjadi tapak kubu kuat mereka, semakin hari semakin goyah dilanda badai rakyat.

Di Sarawak 'wind of change' berkumandang pada Pilihan Raya Umum negeri, sehingga menyebabkan hampir 15 kerusi Parlimen dijangka dirampas Pakatan, berikutan kemenangan pada kerusi Dewan Undangan Negeri.

Manakala di Sabah, seluruh rakyatnya, sudah mempopularkan slogan 'ini kali lah', iaitu slogan keramat yang mengisyaratkan kali ini, rakyat benar-benar bersedia untuk menolak BN.

Sehingga ia mencetuskan fenomena penghijrahan pemimpin Umno-BN ke Pakatan Rakyat. Mereka yang keluar Umno atau BN, bukan yang sudah masuk kategori bersara, tetapi mereka yang masih memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri dan sebagainya.

Johor pula menerima kesan berganda, hasil daripada gerakan politik yang rancak di Semenanjung. Daripada negeri kelahiran Umno, negeri kubu Umno, ia bakal bertukar menjadi pro pembangkang.

Khabarnya pihak-pihak yang membuat perisikan dan kajian politik, amat terkejut apabila dapatan info yang mereka selidiki, menunjukkan sekurang-kurangnya sembilan kerusi Parlimen, semakin menjadi milik Pakatan.

Begitu juga dengan kajian-kajian dari Merdeka Center atau yang terbaru dari Universiti Malaya, walaupun ada 'dented' di beberapa buah negeri Pakatan, yang tidak dapat kita nafikan ianya wujud, namun secara keseluruhannya kerajaan negeri Pakatan dijangka kekal.

Dapatan-dapatan ini menunjukkan bahawa, gerakan politik Pakatan Rakyat, yang didukung majoriti rakyat, amat berkesan dan 'trend' kecenderungan rakyat menolak BN semakin ketara.

Dari sudut purata undi, pada PRU ke 12 2008 yang lalu, walaupun hanya menang 82 kerusi dari 222 kerusi Parlimen,  beza undi popular Pakatan dengan BN hanyalah di sekitar 3 peratus sahaja.

Sokongan lebih 48 peratus rakyat Malaysia kepada parti pembangkang merupakan suatu 'force' yang besar. Ia boleh jadi lebih besar dari ombak 'Tsunami' yang bila-bila masa bakal meranapkan keegoan BN.

'Force' ini adalah kuasa rakyat. Iaitu kuasa rakyat yang komited, menggerakkan Perhimpunan Bersih, Himpunan Hijau, Himpunan Oren dan Gelombang Merah.

Kesemua himpunan dan gelombang ini, didukung kuasa rakyat. Iaitu rakyat yang terdiri dari kalangan berbilang kaum dan agama, dengan satu tekad iaitu untuk membuka jalan yang dinamakan 'Road to Putrajaya' atau RTPJ.

RTPJ diasaskan oleh kuasa rakyat yang mendukung Pakatan Rakyat, sebagai suatu pakatan alternatif untuk menggantikan BN sebagai kerajaan pada PRU ke-13 nanti.

Soalnya apakah impian menuju ke Putrajaya itu suatu yang realistik? Soalnya, bolehkah Pakatan Rakyat memerintah, jika dibandingkan pengalaman BN selama 55 tahun menjadi kerajaan?

Penulis teringat suatu peristiwa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Kedah beberapa bulan sebelum PRU 2008. Di mana berlaku perdebatan di antara pembangkang ketika itu yang diketuai Ustaz Azizan Abdul Razak dengan Menteri Besar, Dato' Seri Mahdzir Khalid.

BN Kedah ketika itu agak sinis dengan PAS dan memperlekehkan ucapan Ketua Pembangkang, Ustaz Azizan. Ketika itu, mereka mempunyai majoriti yang besar dalam Dun Kedah.

Dalam reaksi spontan terhadap sikap pemimpin Umno-BN, Ustaz Azizan berkata, "Hangpa jangan perlekeh kami, mana tahu PRU depan, kami duk sebelah sana, hangpa mai tang ni."

Maksudnya, Ustaz Azizan ketika itu mengatakan, tidak mustahil Umno-BN akan duduk di blok pembangkang dan PAS duduk di blok kerajaan.

Reaksi spontan Ustaz Azizan dianggap seloroh yang melucukan. Pemimpin Umno BN ketawa terbahak-bahak mendengar ungkapan Ustaz Azizan. Pegawai kerajaan juga ketawa sinis.

Tetapi hanya beberapa bulan selepas itu, kata-kata seloroh Ustaz Azizan menjadi realiti apabila PAS benar-benar menang dalam PRU dan menjadi kerajaan.

Hilai tawa pemimpin Umno yang mempersendakan PAS sebelum ini, menjadi tangisan yang tidak berlagu.

Bukan sahaja di Kedah. Malah kebongkakan mereka di Pulau Pinang, Perak dan Selangor, turut dileburkan dengan kuasa rakyat.

Lebih hodoh buat Umno-BN Selangor, yang MBnya ketika itu, Dato' Seri Mohd Khir Toyo menyasarkan 'sifar pembangkang', turut terlungkup. Hasilnya masa depan politik Khir terus sifar dan terkubur dalam Umno.

Oleh sebab itu, dalam konteks Persekutuan, Umno-BN tidak wajar mempunyai sifat bongkak. Mereka hanya mengharap ihsan daripada rakyat untuk kekal berkuasa.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan barisan Kabinetnya, mulai sekarang sudah patut bersedia untuk berpindah dari Putrajaya.

Tempat duduk yang bakal mereka duduki ialah kerusi-kerusi di blok pembangkang di sebelah kiri Speaker dan mereka boleh duduk di pejabat pembangkang di Tingkat 14 Parlimen Malaysia.