Wednesday, August 08, 2012

Tanah kerajaan negeri Terengganu kena lelong

Dr Syed menunjukkan dokumen perisytiharan lelongan.
PAS mengecam kelemahan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang gagal menyelamatkan tanah kerajaan negeri yang sebahagian besarnya untuk pembangunan orang-orang Melayu dari terlepas kepada syarikat milik bukan Islam.

Penolong Setiausaha Agung, PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dalam kenyataannya kepada Harakah memberitahu, beliau amat kesal kerana Terengganu yang mempunyai bajet paling besar sehingga mencecah RM2 bilion, gagal menyelamatkan tanah yang bernilai hanya RM5 juta.

"Tanah ini adalah milik Kerajaan Negeri Terengganu yang diletakkan di bawah Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu dilelong pada 18 Julai di Bilik Lelong Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

"Tanah yang mempunyai 432 lot bercamnpur telah ada 158 lot rumah sesebuah,  168 lot rumah berkembar dan 106 lot rumah kedai di Mukim Kertih, Kemaman, dilelong oleh bank dengan harga rezab sekitar RM5 juta," jelas beliau.

Syed Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Kuala Terengganu menegaskan, tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana tanah ini milik kerajaan negeri dan pemilik berdaftar adalah Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu dilelong secara terbuka.

Apa yang menjadi isu katanya adalah, tanah milik kerajaan negeri ini telah bertukar milik kepada satu sahaja pembida, iaitu sebuah syarikat milik bukan bumiputera yang berpangkalan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Syarikat berkenaan telah membuat bayaran RM5,599,000.00 dengan pembayaran penuh pada 26 Julai dihadapan peguam yang dilantik melaksanakan proses jual beli.

"Saya terima dokumen lengkap yang dihantar seseorang melalui pos, lengkap dengan semua dokumen lelongan, perjanjian dengan bank dan cagaran yang dilakukan pada tahun 1997. Pada 6 Februari 1997, tanah ini telah dicagar oleh Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad dengan pelbagai fasiliti oleh pihak bank," ujarnya.

Tegas beliau, walaupun kes tersebut berlaku pada zaman Wan Mokhtar, tetapi tanah yang dilelong tersebut berada di kawasan Kemaman, yang mana MB Terengganu sendiri menjadi Ketua Umno Bahagian.

"Ini jelas menunjukkan kecuaian pemimpin Umno dan kerajaan BN, mereka mendakwa menjadi juara membela nasib Melayu, tetapi apa yang kita lihat hari ini menunjukkan mereka hanya berbohong kepada rakyat," bidas beliau.

Ahmad Said katanya, barangkali terlalu sibuk menguruskan haiwan-haiwan di Zoo Kemaman dengan belanja yang mencecah RM100 juta, sehingga nilai tanah yang begitu penting, beliau terlepas pandang.

"Isu ini pada saya amat besar dan saya sudah berbincangkan dengan Pengarah Strategi KeADILan, Mohd Rafizi Ramli yang juga orang Kemaman, untuk kita bawa isu ini bersama," ujar beliau.

No comments: