Monday, August 06, 2012

Futsal Harakah dapat penyertaan menggalakkan

KEJOHANAN Futsal Harakah yang akan diadakan September ini telah menerima penyertaan yang menggalakkan meskipun baru seminggu diiklankan.

Pengarah Program Kejohanan Futsal Sempena 25 Tahun Harakah, Mohd Rashidi Hassan berkata, setakat ini 47 pasukan telah menghubungi sekretariat kejohanan untuk mengesahkan penyertaan mereka.

Beberapa pasukan terkenal di Kuala Lumpur juga sedang menimbangkan untuk menyertai kejohanan kali ini, katanya.

Begitupun kata Mohd Rashidi, penganjur masih mengalu-alukan seberapa banyak penyertaan dari pelbagai pasukan yang ada di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kita masih buka pendaftaran. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi kami, kami sasarkan 64 pasukan, namun kami boleh menerima 100 pasukan" kata Rashidi.

Beliau juga memaklumkan, sedikit perubahan tarikh kejohanan di mana sebelum ini akan diadakan pada 22 September, dan keputusan terkini dianjakkan sehari iaitu pada 23 September.

Begitupun lokasi kejohanan masih di Ampang Sports Planet, katanya.

Dalam masa yang sama, penganjur juga merayu mana-mana pihak dan individu yang berminat untuk memberi penajaan atau sumbangan wang bagi menjayakan kejohanan ini.

Kepada mana-mana yang berminat bolelah menghubungi Bendahari Karnival, Mohd Fauzi di talian (012-6869236) atau Setiausaha, Ahmad Faisal Tawang (0166894322).

Sementara itu bagi mereka yang mahu mendaftar pasukan menyertai kejohanan ini bolehlah menghubungi Timbalan Pengarah, Wan Nordin (017-2591429); Bendahari, Fauzi (012-6869236) dan Setiausaha, Mohd Faisal Tawang (0166894322).

Hadiah berupa wang tunai RM3000 beserta piala pusingan, piala iringan dan medal akan diberikan kepada johan, sementara naib johan akan menerima RM2000 beserta medal selain tempat ketiga akan menerima RM1500 beserta medal.

Selain itu penganjur menyediakan hadiah piala iringan kepada pemain terbaik dan penjaring gol terbanyak kejohanan.

No comments: