Monday, August 27, 2012

Asas perbezaan sebenar PAS dengan Umno

Dalam beberapa hari menjelang umat Islam menyambut Aidilfitri, sehingga kini, polemik mengenai hukum hudud dibangkitkan semula, sehingga riuh rendah media massa memainkan isu ini.

Adakah di kalangan kita, boleh menerima alasan, bahawa isu mengenai hukum hudud ini dibangkitkan dan digembar-gemburkan media massa yang dikuasai kerajaan Umno-Barisan Nasional, kerana mereka kini sudah sedar dan benar-benar ikhlas, bangkit untuk memperjuangan Islam?

Dan dengan kesedaran ini juga Umno-BN akan bangkit melawan bermati-matian, terhadap semua tentangan golongan bukan Islam terhadap hukum hudud?

Sudah tentu tidak. Tujuan utama media pro Umno-BN membangkitkan isu ini hanya satu sahaja. Iaitu mereka memang mahu memecahbelahkan perpaduan dan kerjasama yang wujud di antara PAS dan DAP. Oleh sebab itu apabila DAP menentang hudud, mereka akan bangkit dan memaki hamun DAP, tetapi apabila MCA menentang hudud, Umno 'duduk menikus di belakang pintu'.

Jelas kepada kita, Umno-BN sangat takut dengan keakraban komponen parti dalam Pakatan Rakyat khususnya antara PAS dan DAP. Kerana Umno tahu, PAS dan DAP merupakan tonggak yang kuat dalam Pakatan Rakyat.

Selama mana PAS dan DAP berpadu, selama itulah Umno-BN takut untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan.

Maka, media massa diarahkan oleh pemimpin Umno-BN untuk berusaha keras dan cuba memecahbelahkan kedua-dua parti ini, dengan memainkan  pelbagai isu yang boleh menimbulkan pertentangan di antara kedua-dua pihak.

Agenda setting mereka mudah. Jika pemimpin kedua-dua parti melatah dan bergaduh, mudah mereka 'masuk jarum' untuk mencetuskan perbalahan dan dalam masa yang sama memaparkan imej negatif di kalangan rakyat, bahawa parti-parti Pakatan Rakyat tidak 'sekepala', oleh itu mereka tidak layak diberikan kuasa untuk memerintah. Itu sahaja agenda Umno.

Oleh itu pemimpin PAS dan DAP khususnya, usaha melatah menurut 'agenda setting' yang dibentuk menurut acuan Umno.

Sebelum ini, media pro-Umno memainkan isu DAP kafir harbi kerana menentang hudud dan seolah-olahnya MCA yang bersekongkol dangan Umno adalah kafir zimmi.

Apabila isu ini mendapat tentangan hebat rakyat dan MCA dengan keras mengeluarkan kenyataan menentang hudud, pemimpin Umnpo terdiam. Usaha mereka untuk memainkan sentimen agama dengan menuduh DAP 'jahat' tidak kesampaian kerana rakan baik mereka iaitu MCA, pun sama-sama 'jahat' menentang Islam.

Isu sebenar ini di sini, bukan soal DAP atau MCA. Mereka adalah golongan bukan Islam. Tidak pelik bagi bukan Islam, yang menentang dilaksanakan hukum-hukum Islam.

Isu asasnya di sini adalah kecelaruan tahap kefahaman Islam yang ada pada pemimpin dan orang-orang Umno. Sejak dahulu lagi, direkodkan beratus-ratus kenyataan pemimpin Umno yang berketurunan Melayu, yang beragama Islam, menentang hukum-hukum ciptaan Allah dan mempersenda-sendakan hudud.

Kenyataan dan cercaan itu mereka buat, ketika Umno berada di puncak kuasa, yang terlalu hebat dan gah, sehingga tidak boleh digugat oleh sesiapa pun.

Maka apakah hari ini, apabila parti mereka sudah jatuh terjelepuk dan hampir terhumban ke lubang gaung, baru mereka hendak sedar dan menerima hukum hudud sebagai hukum yang wajib ditaati, diimani dan dilaksanakan sebagai seorang Islam?

Sifat Umno ini berbeza dengan PAS. PAS konsisten dengan perjuangan Islam sejak dahulu hingga hari ini. Tiada perubahan dalam soal dasar, tiada kompromi dalam melaksanakan kehendak Allah yang termaktub di dalam al-Quran.

PAS hanya mengubah pendekatan dan strateginya, sesuai dengan keperluan politik semasa, selama mana ianya bertepatan dengan garis panduan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Pemahaman dan pegangan Islam inilah yang membezakan PAS dengan Umno. PAS menjadikan politik sebagai platform untuk memperjuangkan Islam, manakala Umno mempergunakan Islam sebagai platform untuk terus berkuasa.

Justeru, tiada jalan lain untuk menyelamatkan Islam, melainkan menurunkan Umno dari tampuk kuasa.

Lawan Umno-BN sampai mereka 'tumpo'

Berbual dengan Nizar yang ditemani Amran di Sungai Rokam.
Kesempatan beraya di Perak tidak sah jika tidak mengunjungi teratak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Sungai Rokam, Ipoh pada pagi Jumaat lepas.

Banglo  agam dua tingkat itu, di kelilingi dengan pagar batu, agak tersembunyi, di kawasan perumahan yang berhampiran Gunung Rapat, Rapat Setia Lama, Rapat Setia dan Taman Rapat Indah.

Kunjungan kami disambut Nizar dan isteri, Datin Seri Fatimah Taat dan pembantu khas beliau Amran Harun dengan penuh ceria.

"Apa khabar anta," tanya Nizar sejurus kami bersalaman. "Alhamdulillah baik," jawab penulis.

"Itu pun Amran tunjukkan jalan, kalau tidak pakat tak jumpa," ujar penulis kepada beliau.

"Rumah ana ini kawan-kawan yang biasa datang pun berpusing-pusing cari, hari itu Dato' Ngeh Ko Ham (Pengerusi DAP Perak) pun terpaksa telefon minta ditunjukkan jalan," ujar Nizar sambil ketawa.

Sejurus kami melabuhkan punggung, Nizar terus membuka tirai perbualan.

Hubungan erat PAS, DAP dan KeADILan di Perak menjadi asas kepada kesepaduan kerjasama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan BN.

Bagi Nizar, tiada cara lain untuk Umno-BN mengekalkan kuasa selain memecahbelahkan PAS dengan DAP, khususnya dalam isu hudud yang dimainkan media pro Umno.

Kata Nizar beliau berpendapat sebaliknya. Malah beliau menulis twitter bahawa isu hudud akan menambah eratkan hubungan PAS dengan DAP.

"Ada orang komen twitter Dato' Seri?" tanya penulis.

"Ada. Dia tulis 'gila'," katanya sambil ketawa. Kami turut ketawa beramai-ramai.

Pada hemat penulis, apa jua tanggapan dan penentangan mana-mana pihak terhadap hukum hudud, sekurang-kurangnya ia membuka ruang untuk membincangkannya secara ilmiah.

Golongan bukan Islam yang tidak akan setuju kerana hudud adalah hukum dari agama Islam, kini boleh mengkaji keberkesanan undang-undang Islam berbanding undang-undang sivil.

Kami tinggalkan bicara tentang isu hudud seketika. Perbincangan panjang dan rancak menyentuh pelbagai isu, antaranya fitnah yang mahu melaga-lagakan beliau dengan institusi Raja, pengalaman mentadbir Perak dan sebagainya.

"Ada banyak blog, akhbar yang mengeluarkan kenyataan jauh lebih keras daripada twitter saya mengenai WWW1. Tetapi pihak berkuasa tidak mengambil tindakan.

"Mereka semua selamat kerana serangan Umno ditujukan kepada saya," kata Nizar.

Bagaimanapun bagi Nizar, semuanya itu tidak menjadi alasan untuk melemahkan gerakan politik beliau.

"Alhamdulillah sekarang orang sudah mula 'buka mata'. Hari raya ini, ada saudara mara saya yang duduk di Johor, bila kami berjumpa, mereka mengatakan orang Johor sekarang ini bukan penakut macam dulu.

"Mereka berani bangkit bersuara. Malah mereka memberikan sokongan kepada isu yang kita bangkitkan," ujar beliau.

Sedar tidak sedar masa sudah menjangkau hampir jam 12. Bersembang dengan Nizar tidak sah jika tidak menyentuh soal Perak.

Katanya apa yang didedahkan bekas Setiausaha Dewan Negeri, Abdullah Antong mengenai rampasan kuasa, menunjukkan Nizar berada di pihak yang benar dan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir tidak sah menjadi MB Perak.

Banyak tindakan yang Zambry lakukan, mencetuskan kemarahan pegawai kerajaan dan rakyat. Sebab itu katanya sehingga sekarang Zambry cukup fobia dengan gelaran 'MB haram'.

"Lihat dalam isu Teluk Rubiah, beliau dengan angkuh menyerang saya dan berikrar untuk mendedahkan semua butiran.

"Tetapi apabila beliau keluarkan nama syarikat terbabit, kemudiannya blog-blog menyiarkan bahawa syarikat tersebut ada kaitan dengan istana, Zambry terkedu malu," ujar Nizar.

Dalam tempoh hampir 11 bulan Nizar menjadi MB, begitu banyak perkara berkaitan pentadbiran negeri yang dihazaf beliau. 11 bulan Nizar, jauh lebih baik dari MB rampasan kuasa yang sudah mentadbir lebih tiga tahun.

Berbual dengan Nizar memang tidak cukup masa. Banyak perkara yang mahu disentuhnya. Insya Allah akan kami sambung pada masa akan datang.

Nizar dan rakan-rakan Pakatan Rakyat di Perak, pada tahap ini sudah selesai banyak perkara, termasuk soal pembahagian kerusi dan manifesto negeri.

"Kita tunggu masa PRU, kita akan gempur Umno-BN sampai deme (mereka) tumpo (melingkup)," katanya dalam loghat Perak.

Thursday, August 16, 2012

Raja- Raja Melayu harus teladani Sultan Kelantan

Versi lengkap artikel yang ditulis untuk editorial Harakah

DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda dan para sahabat yang muttaqin.

Kita turut menumpang bangga dan terharu apabila Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menganjurkan majlis qiamullail dalam satu program yang dinamakan 'Qiam With Me' di Istana Negeri Kubang Kerian.

Ribuan rakyat Kelantan membanjiri Dewan Jubli Perak, Istana Kubang Kerian untuk menunaikan qiamullail bersama Sultan Muhammad ke V pada  9 Ogos 2012.

Program Qiam With Me bermula dengan Solat Isyak kemudian diteruskan dengan solat tarawih bersama Sultan Muhammad V, dihadiri Menteri Besar, Dato' Bentara Setia, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan penceramah popular dari Terengganu Ustaz Azhar Idrus. Program seterusnya dimulakan pada jam 4 pagi untuk qiamullail sehingga sahur dan kemudiannya solat Subuh secara berjemaah.

Kita berbangga dan terharu kerana tidak pernah dalam sejarah Kesultanan Melayu moden, Sultan dan rakyat sama-sama bersujud memohon keampunan dari Allah dalam majlis seumpama itu.

Kerana sebelum ini, walaupun Raja-Raja Melayu berstatuskan Ketua Agama Islam negeri, dibacakan doa untuk mereka setiap kali selepas khutbah jumaat, namun ruh sebenar daripada kedudukan mereka tidak direalisasikan dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Sebelum ini, dijaja dalam media pro kerajaan tentang kedudukan istimewa Raja, beza taraf mereka, kedudukan dan kemuliaan mereka berbanding rakyat kebanyakan. Malah di sesetengah negeri, golongan Di Raja dipamerkan tidak mewarisi ruh Islam sebenar, kerana terbabit dalam perkara-perkara yang mencemarkan.

Di dalam media massa kita, bagaimana tatkala Umno bersanggahan dengan istana, mereka memaparkan rencana dan berita-berita buruk mengenai institusi Raja, yang dikaitkan dengan perbuatan tidak bermoral dan sebagainya.

Walau apa pun persepsi dan tujuan ia disiarkan, sedikit sebanyak, paparan ini memberikan kesan di hati rakyat, sehinggakan ada sesetengah pihak meragui peranan Ketua Agama Negeri, dengan nilai moral yang sedemikian.

Namun, situasi ini ternyata berbeza di Kelantan, beberapa tahun kebelakangan ini, sejak mengambil alih takhta pemerintahan, Sultan Muhammad V, mempamerkan keperibadian yang berbeza berbanding dengan kebiasaaan yang diamalkan Raja-Raja Melayu yang lain.

Kita tidak menafikan, kebanyakan Raja-Raja kita 'berjiwa rakyat'. Tetapi kita melihat, keperibadian yang ditonjolkan oleh Sultan Muhammad V, dilakukan di luar kebiasaan resmi Raja, begitu dekat dan menyentuh hati nurani rakyat.

Baginda bukan sahaja menjadi Sultan yang memerintah negeri, malah mempamerkan keperibadian yang 'humble', menepati ciri-ciri seorang Sultan yang merealisasikan amalan Islam sebenar. Dan selaku Ketua Agama Islam Negeri, baginda benar-benar berusaha merealisasikannya di dalam penghidupan yang sebenar.

Bersedekah di bulan Ramadan, amalan biasa. Berbuka puasa bersama rakyat juga amalan biasa. Menghadiri majlis tilawah dan sebagainya, juga biasa dilaksanakan Raja-Raja Melayu. Yang luarbiasanya ialah apabila seorang Sultan mengajak rakyatnya bersolat malam bersama baginda.

Justeru, alangkah bahagianya rakyat Malaysia, jika program sebegini dapat kita nikmati bersama-sama di negeri masing-masing. Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Negeri, menjadi peneraju utama dalam menyuburkan amalan Islam di negeri-negeri yang dinaungi mereka.

Tuanku al-Sultan Kelantan sudah mendahului, memberikan contoh terbaik, sebagai Raja yang sama-sama sujud ke hadrat Ilahi. Baginda memohon keampunan dan rahmat dari-Nya. Sesungguhnya, apa yang dilakukan oleh Sultan Muhammad V ini, bukan sahaja merapatkan diri baginda dengan Allah SWT, malah semakin menyuburkan kasih sayang rakyat Kelantan terhadap beliau.

Mudah-mudahan suatu hari nanti, kita boleh sama-sama qiamuillail dengan Raja yang kita sayangi di Istana Selangor, Johor, Perak, Pahang dan sebagainya. Mudah-mudahan satu hari nanti, ianya akan menjadi realiti, insya Allah.

Friday, August 10, 2012

Raja- Raja Melayu boleh contohi Sultan Kelantan

Sultan dan rakyat sama-sama memohon keampunan dari Allah.
Program Qiam With Me di Istana Kubang Kerian

Ribuan rakyat Kelantan membanjiri Dewan Jubli Perak, Istana Kubang Kerian untuk menunaikan qiamullail bersama Sultan Muhammad ke V pada  9 Ogos 2012. Program Qiam With Me bermula dengan Solat Isyak kemudian diteruskan dengan solat tarawih bersama Sultan Muhammad V, dihadiri Menteri Besar, Dato' Bentara Setia, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan penceramah popular dari Terengganu Ustaz Azhar Idrus. Program seterusnya dimulakan pada jam 4 pagi untuk qiamullail sehingga sahur dan kemudiannya solat Subuh secara berjemaah.

Alangkah bahagianya rakyat Malaysia, jika program sebegini dapat kita nikmati bersama-sama di negeri masing-masing. Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Negeri, menjadi peneraju utama dalam menyuburkan amalan Islam di negeri-negeri yang dinaungi mereka.

Tuanku al-Sultan Kelantan sudah mendahului, memberikan contoh terbaik, sebagai Raja yang sama-sama sujud ke hadrat Ilahi. Baginda memohon keampunan dan rahmat dari-Nya. Sesungguhnya, apa yang dilakukan oleh Sultan Muhammad ke V ini, bukan sahaja merapatkan diri baginda dengan Allah SWT, malah semakin menyuburkan kasih sayang rakyat Kelantan terhadap beliau.

Rasa seronok jika kita boleh sama-sama qiamuillail dengan Raja di Istana Selangor, Johor, Perak, Pahang dan sebagainya. Mudah-mudahan satu hari nanti, ianya akan menjadi realiti, insya Allah.

Jangan lengah, jangan dalih..bayar segera royalti Kelantan

Pakatan Rakyat sepakat guna tema merdeka, sambut hari Malaysia

Pakatan Rakyat tempelak propaganda Utusan

Thursday, August 09, 2012

Jawapan terbaik Dr Asri buat ulama bingai Umno

Twitter Dr Asi yang dipetik.
Kadang-kadang kita naik tergelak dengan telatah bodoh ulama-ulama upahan Umno mudah-mudah membuat kenyataan mengharamkan sokongan orang Melayu terhadap DAP. Mereka ini buat-buat lupa, puak-puak bukan Islam yang bekerjasama dalam BN merupakan penentang Islam nombor satu dalam negara.

Terlalu banyak dicatatkan penentangan MCA, Gerakan dan MIC terhadap pembangunan Islam dalam negara.

Semasa Pak Lah Badawi mula-mula jadi PM dahulu, sembilan orang Menteri bukan Islam dalam Kabinet, sepakat menghantar memo kepada PM, membantah pelaksanaan Islam.

Bukan soal kafir harbi atau zimmi. Isunya ialah non-muslim adalah rakyat Malaysia dan mereka menurut undang-undang ada kuasa undi untuk menentukan kepimpinan negara.

Pada saya, tidak sesuai untuk kita bahaskan soal rasis atau sentimen ketaksuban agama untuk meraih sokongan atau menunjukkan tentang kepada mana-mana pihak.

Jadilah rakyat yang beradab, rasional dan matang. Kecuali jika mereka ingin termasuk dalam kelompok beruk-beruk yang bingai.

Wednesday, August 08, 2012

Tanah kerajaan negeri Terengganu kena lelong

Dr Syed menunjukkan dokumen perisytiharan lelongan.
PAS mengecam kelemahan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang gagal menyelamatkan tanah kerajaan negeri yang sebahagian besarnya untuk pembangunan orang-orang Melayu dari terlepas kepada syarikat milik bukan Islam.

Penolong Setiausaha Agung, PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dalam kenyataannya kepada Harakah memberitahu, beliau amat kesal kerana Terengganu yang mempunyai bajet paling besar sehingga mencecah RM2 bilion, gagal menyelamatkan tanah yang bernilai hanya RM5 juta.

"Tanah ini adalah milik Kerajaan Negeri Terengganu yang diletakkan di bawah Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu dilelong pada 18 Julai di Bilik Lelong Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

"Tanah yang mempunyai 432 lot bercamnpur telah ada 158 lot rumah sesebuah,  168 lot rumah berkembar dan 106 lot rumah kedai di Mukim Kertih, Kemaman, dilelong oleh bank dengan harga rezab sekitar RM5 juta," jelas beliau.

Syed Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Kuala Terengganu menegaskan, tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana tanah ini milik kerajaan negeri dan pemilik berdaftar adalah Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu dilelong secara terbuka.

Apa yang menjadi isu katanya adalah, tanah milik kerajaan negeri ini telah bertukar milik kepada satu sahaja pembida, iaitu sebuah syarikat milik bukan bumiputera yang berpangkalan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Syarikat berkenaan telah membuat bayaran RM5,599,000.00 dengan pembayaran penuh pada 26 Julai dihadapan peguam yang dilantik melaksanakan proses jual beli.

"Saya terima dokumen lengkap yang dihantar seseorang melalui pos, lengkap dengan semua dokumen lelongan, perjanjian dengan bank dan cagaran yang dilakukan pada tahun 1997. Pada 6 Februari 1997, tanah ini telah dicagar oleh Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad dengan pelbagai fasiliti oleh pihak bank," ujarnya.

Tegas beliau, walaupun kes tersebut berlaku pada zaman Wan Mokhtar, tetapi tanah yang dilelong tersebut berada di kawasan Kemaman, yang mana MB Terengganu sendiri menjadi Ketua Umno Bahagian.

"Ini jelas menunjukkan kecuaian pemimpin Umno dan kerajaan BN, mereka mendakwa menjadi juara membela nasib Melayu, tetapi apa yang kita lihat hari ini menunjukkan mereka hanya berbohong kepada rakyat," bidas beliau.

Ahmad Said katanya, barangkali terlalu sibuk menguruskan haiwan-haiwan di Zoo Kemaman dengan belanja yang mencecah RM100 juta, sehingga nilai tanah yang begitu penting, beliau terlepas pandang.

"Isu ini pada saya amat besar dan saya sudah berbincangkan dengan Pengarah Strategi KeADILan, Mohd Rafizi Ramli yang juga orang Kemaman, untuk kita bawa isu ini bersama," ujar beliau.

Monday, August 06, 2012

Logo Merdeka cadangan Pakatan Rakyat


Futsal Harakah dapat penyertaan menggalakkan

KEJOHANAN Futsal Harakah yang akan diadakan September ini telah menerima penyertaan yang menggalakkan meskipun baru seminggu diiklankan.

Pengarah Program Kejohanan Futsal Sempena 25 Tahun Harakah, Mohd Rashidi Hassan berkata, setakat ini 47 pasukan telah menghubungi sekretariat kejohanan untuk mengesahkan penyertaan mereka.

Beberapa pasukan terkenal di Kuala Lumpur juga sedang menimbangkan untuk menyertai kejohanan kali ini, katanya.

Begitupun kata Mohd Rashidi, penganjur masih mengalu-alukan seberapa banyak penyertaan dari pelbagai pasukan yang ada di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kita masih buka pendaftaran. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi kami, kami sasarkan 64 pasukan, namun kami boleh menerima 100 pasukan" kata Rashidi.

Beliau juga memaklumkan, sedikit perubahan tarikh kejohanan di mana sebelum ini akan diadakan pada 22 September, dan keputusan terkini dianjakkan sehari iaitu pada 23 September.

Begitupun lokasi kejohanan masih di Ampang Sports Planet, katanya.

Dalam masa yang sama, penganjur juga merayu mana-mana pihak dan individu yang berminat untuk memberi penajaan atau sumbangan wang bagi menjayakan kejohanan ini.

Kepada mana-mana yang berminat bolelah menghubungi Bendahari Karnival, Mohd Fauzi di talian (012-6869236) atau Setiausaha, Ahmad Faisal Tawang (0166894322).

Sementara itu bagi mereka yang mahu mendaftar pasukan menyertai kejohanan ini bolehlah menghubungi Timbalan Pengarah, Wan Nordin (017-2591429); Bendahari, Fauzi (012-6869236) dan Setiausaha, Mohd Faisal Tawang (0166894322).

Hadiah berupa wang tunai RM3000 beserta piala pusingan, piala iringan dan medal akan diberikan kepada johan, sementara naib johan akan menerima RM2000 beserta medal selain tempat ketiga akan menerima RM1500 beserta medal.

Selain itu penganjur menyediakan hadiah piala iringan kepada pemain terbaik dan penjaring gol terbanyak kejohanan.

Thursday, August 02, 2012

Isu merdeka: Rais lidah bercabang

Antara logo dan slogan merdeka cadangan Pakatan Rakyat.

Bulan-bulan puasa ini Rais Yatim buat hal. Dia cuba hendak memutarbelitkan fakta. Isunya di sini ialah, kegagalan beliau selaku penganjur Hari Kemerdekaan Negara dan kelemahan beliau yang menjadi punca seluruh anggota Kabinet kerajaan mendapat malu.

Faktanya, parti-parti pembangkang yang menguasai Kerajaan Negeri Kelantan sejak 1990 hingga sekarang dan 4 buah negeri Pakatan Rakyat tidak pernah satu kali pun dalam sejarah, membelakangkan Hari Kemerdekaan negara.

Kita boleh lihat rekod dengan jelas, sudah 20 tahun, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menyantuni perbarisan dan perarakan hari merdeka di Kelantan. Begitu juga dengan Tan Sri Khalid, Lim Guan Eng, Ustaz Azizan dan Dato' Seri Nizar satu ketika. Semua kami dari Pakatan Rakyat, menerima dan mempraktikkan acara merdeka.

Justeru, soal membelakangkan Hari Kemerdekaan tidak timbul sama sekali. Yang jelas apabila Rais sudah silap, beliau cuba hendak cakap berbelit-belit. Sama ada lidah dia bercabang atau berlidahkan buaya.

Salah besar Rais ialah apabila mengemukakan logo dan slogan BN sebagai logo serta sloga merdeka. Langsung tidak menunjukkan ciri-ciri neutrality. Itu yang sebenarnya rakyat lawan dan tidak setuju. Hari Merdeka kami setuju! Yang kami tidak setuju ialah usaha 'memBNkan merdeka'.

Letihlah bila dah dapat Phd undang-undang pun IQ zero macam ni....

News Malaysiakini dirujuk

Rais: Jangan terpesong, hormati Hari M'sia
 Pembangkang dinasihatkan tidak membelakangkan Hari Kemerdekaan yang disambut setiap tahun di negara ini hanya kerana perbezaan fahaman politik dengan parti yang memerintah.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pembangkang perlu menghormati Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos dan bersama dengan kerajaan dalam meraikan hari keramat Malaysia itu.
"Sesiapapun boleh beri pandangan termasuk mengatakan kami tidak bersetuju dengan Janji Ditepati (tema Hari Kemerdekaan tahun ini)... juga kritik simbol diwujudkan tetapi saya mohon jangan terpesong daripada hormati Hari Merdeka.
"Bagi seseorang yang menjadi pembangkang di negara ini, bangkangan itu tidak sahih jika dia membelakangi Hari Merdeka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementerian di Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pembangkang yang bercadang menggunakan tema "Senegara, Sehati, Sejiwa" bagi sambutan Hari Kemerdekaan dan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan yang berasingan menggunakan tema dipilih mereka itu.

Wednesday, August 01, 2012

Karnival Futsal Harakah terbuka kepada penajaan

Harakah media aspirasi anak muda anjur Karnival Futsal
Penganjur Karnival Futsal sempena 25 Tahun Harakah yang bakal berlangsung 22 September ini terbuka untuk menerima sumbangan dan penajaan daripada pelbagai pihak.

Menurut Pengarah Karnival Futsal, Mohd Rashidi Hassan, penganjur amat mengharapkan adanya syarikat-syarikat swasta atau persendirian untuk menaja samada piala, wang tunai dan kelengkapan selain hamper.

Katanya, mana-mana pihak dan individu yang berminat untuk memberi penajaan atau sumbangan wang, bolelah menghubungi Bendahari Karnival, Mohd Fauzi di talian (012-6869236) atau Setiausaha, Ahmad Faisal Tawang (0166894322).

Dalam pada itu, Mohd Rashidi juga mengalu-alukan penyertaan pelbagai pasukan futsal di seluruh Malaysia untuk menyertai karnival tersebut.

Sehingga kini, penyertaan masih dibuka, katanya.

Kejohanan futsal itu akan diadakan di Ampang Sports Planet dengan sasaran penyertaan sejumlah 64 pasukan.

Katanya lagi, hadiah berupa wang tunai RM3000 beserta piala pusingan, piala iringan dan medal akan diberikan kepada johan, sementara naib johan akan menerima RM2000 beserta medal selain tempat ketiga akan menerima RM1500 beserta medal.

Selain itu penganjur menyediakan hadiah piala iringan kepada pemain terbaik dan penjaring gol terbanyak kejohanan.

Untuk pasukan-pasukan yang berminat menyertai kejohanan ini bolehlah menghubungi Timbalan Pengarah, Wan Nordin (017-2591429) dan Setiausaha, Mohd Faisal Tawang (0166894322).

Sambutan 25 tahun, Harakah anjur Karnival Futsal

Akhbar rasmi PAS, Harakah akan menganjurkan Karnival Kejohanan Futsal pada 22 September ini sempena 'Sambutan Ulang Tahun ke-25 Tahun Harakah'.

Menurut Pengarah Karnival Futsal Harakah, Mohd Rashidi Hassan, kejohanan futsal itu akan diadakan di Ampang Sports Planet dengan sasaran penyertaan sejumlah 64 pasukan.

Kejohanan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang berminat menyertainya, kata beliau pada 27 Julai lalu.

Katanya lagi, hadiah berupa wang tunai RM3000 beserta piala pusingan, piala iringan dan medal akan diberikan kepada johan, sementara naib johan akan menerima RM2000 beserta medal selain tempat ketiga akan menerima RM1500 beserta medal.

Selain itu penganjur menyediakan hadiah piala iringan kepada pemain terbaik dan penjaring gol terbanyak kejohanan.

Mohd Rashidi berkata, Harakah berbesar hati menjemput seluruh pasukan futsal yang ada di negara ini untuk menyertai kejohanan yang julung kali diadakan sempena sambutan ulang tahun Harakah ke-25.

Program ini juga bakal diserikan dengan kehadiran beberapa tokoh pemimpin muda dan artis.

Untuk pasukan-pasukan yang berminat menyertai kejohanan ini boleh menghubungi Timbalan Pengarah, Wan Nordin (017-2591429) dan Setiausaha, Mohd Faisal Tawang (016-6894322) atau Bendahari, Fauzi (012-6869236).Yuran penyertaan RM150 satu pasukan.