Thursday, October 21, 2010

Mengapa Mahathir fobia dengan Anwar?

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya masih terus fobia dengan kehadiran bekas Timbalannya, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam politik negara.

Fobianya Mahathir seolah-olah beliau sentiasa dihantui bayang-bayang Anwar, walau ke mana beliau pergi.

Sepatutnya pada usia extra emas seperti sekarang ini, bekas Presiden Umno itu harus banyak berehat dan meluangkan masa dengan anak cucu cicit. Tidak perlu hirau politik negara.

Baru-baru ini pun bekas PM itu dimasukkan ke sebuah hospital di Australia kerana keadaan kesihatannya tidak stabil. Ingatkan bila beliau dalam keadaan tidak sihat, beliau akan berhenti bersuara.

Namun, nampaknya Mahathir ini kata orang Utara jenis 'ketegaq' (keras kepala). Tidak hirau sakit demam, tidak hirau usia dah lanjut, masih hendak campur urusan politik juga.

Dalam satu sesi dialog pada program forum antarabangsa baru-baru ini, Anwar yang sudah dipecat, dipukul dan dihumban dalam penjara sejak 12 tahun lepas, masih menjadi 'ulam' beliau.

Katanya, keputusan mengheret Anwar ke muka pengadilan atas tuduhan meliwat kira-kira 12 tahun lalu merupakan satu tindakan tepat dan bukan konspirasi.

"Sebagai seorang yang rasional mustahil kes Anwar ini hasil daripada konspirasi. Kes Anwar membabitkan institusi kehakiman dan di dalam institusi ini, konspirasi sukar dilakukan kerana kita terpaksa berhadapan dengan banyak pihak.

"Kita bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan satu dua orang tetapi lebih 100 orang. Antaranya hakim, pendakwa, polis, saksi-saksi dan mangsa. Ini bukan kerja mudah kerana banyak pihak yang akan terlibat," katanya pada sesi soal jawab itu.

Dakwanya, sepanjang 22 tahun memimpin negara, beliau tidak pernah sekali mempelawa hakim hadir untuk majlis-majlis rasmi sama ada di kediamannya atau di tempat lain kecuali Ketua Hakim Negara.

"Saya faham kedudukan hakim dan etika yang harus mereka patuhi. Sebagai hakim mereka perlu bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk golongan pemimpin kerana akhirnya mereka yang akan membuat keputusan bagi satu-satu kes," katanya.

Bagi penulis, ironinya, mengapa selepas 12 tahun Anwar dipecat dan selepas tujuh tahun Mahathir bersara, beliau masih terpaksa mempertahankan tindakan memecat Anwar?

Bagaimana mungkin Mahathir boleh menafikan campur tangan beliau dalam urusan kehakiman negara. Semua orang tahu walaupun Ketua Hakim Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi ianya adalah di atas nasihat Perdana Menteri. Dalam logik mudah, PM yang berkuasa melantik Ketua Hakim.

Isu Mahathir campur tangan dalam kehakiman bukannya baru. Rakyat tidak lupa bagaimana beliau terbabit dalam konspirasi memecat Tun Salleh Abas pada tahun 1988 yang lalu.

Kes Tun Salleh adalah satu isu besar yang merosakkan sistem kehakiman negara, sehingga menyebabkan rakyat meragui keadilan mahkamah kita. Ini berlaku zaman Mahathir menjadi PM.

Jika pada waktu itu (1988) pun beliau sudah campur tangan, apakah tidak mungkin tahun 1998 beliau tidak campur tangan? Dah tua-tua begini usahlah Mahathir hendak nafi. Budak-budak sekarang sudah cerdik.

Dalam kes Anwar secara spesifik. Bagaimana Mahathir boleh mengatakan beliau tidak ada konspirasi dan tidak campurtangan, sedangkan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah (arwah) dan penggantinya, Tan Sri Abdul Gani Patail, duduk di bawah ketiak PM?

Ketika Anwar dibawa ke mahkamah selepas beberapa hari ditahan dan diseksa, dipukul sehingga lebam mata, Mahathir beriya-iya mendakwa Anwar memukul diri sendiri untuk meraih simpati rakyat.

Akhirnya terbukti melalui satu suruhanjaya, didapati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor (ketika itu) yang memukul Anwar.

Ketegaqnya Mahathir ketika itu Allah sahaja yang tahu. Beliau beriya-iya mendakwa Anwar memukul dirinya sendiri, bila didapati sebaliknya, sedikit pun beliau tidak mahu meminta maaf.

Isu itu sudah lama berlalu, penulis sekadar mencatat sedikit rentetan sahaja.

Seterusnya, selepas Anwar dibebaskan pada November 2004, beliau tidak pernah menyerang Mahathir, malah enggan memburuk-burukkan bekas ketuanya.

Walaupun banyak kepahitan dialami Anwar, akibat daripada gelagat Mahathir, Anwar cuba 'berjiwa besar'. Beliau enggan bertelingkah dengan orang yang sudah bersara. Biar banyak mana salah bekas PM tersebut, biarlah rakyat yang menghukumnya.

Namun bekas PM itu masih enggan duduk diam. Beliau terus menyerang dan mempersalahkan Anwar, di mana sahaja platform yang beliau sempat bersuara.

Mengapa Mahathir fobia sangat? Mengapa alergi sangat dengan Anwar? Khabarnya begitu fobia Mahathir dengan Anwar sehingga beliau enggan hadir ke majlis makan malam sempena 50 tahun Parlimen di PWTC, 15 Oktober lepas.

Pada majlis itu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menjadi tetamu VVIP. Tun Abdullah Ahmad Badawi hadir, Dato' Seri Najib Tun Razak hadir, semua VIP dan sebahagian besar bekas Ahli Parlimen turut hadir. Entahlah mungkin juga masa itu Mahathir tidak sihat.

Oleh itu, jika Umno-BN semakin lemah, semakin ditolak rakyat, bukan semuanya 100 peratus kerana Anwar. Ada salah Mahathir, ada salah Abdullah Badawi dan ada juga salah Najib.

Apakah semua ini disuarakan kerana Mahathir bimbang, jika Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Persekutuan nanti, beliau akan disumbat ke dalam penjara?

Usahlah fikir macam itu, beliau dah terlalu tua, kesian juga kita kepadanya.

Sepatah komen Anwar sewaktu sembang-sembang sambil menunggu lif di Parlimen dengan penulis, dalam nada berseloroh, "Orang tua ini tidak habis-habis menyerang saya, nanti kalau dikata nyanyuk, marah pula."

Kata-kata spontan Anwar itu disambut gelak besar rakan-rakan Ahli Parlimen yang berada di situ.

No comments: