Tuesday, October 19, 2010

Beri majoriti 2/3 kepada Pakatan Rakyat

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bakal berdepan dengan laluan sukar untuk memperolehi semula majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang ekoran prestasi suram PM terdahulu.

"(Najib) warisi kerajaan yang buruk. Beliau lebih hebat daripada (perdana menteri) nombor lima (Tun Abdullah Ahmad Badawi) yang tidak cekap.

"Bila kamu mendapat dua pertiga majoriti, ia patut digunakan untuk perkara yang betul. Dalam empat tahun, daripada 2004 hingga 2008 Abdulllah lakukan banyak perkara salah yang menyebabkan beliau kalah pada 2008," katanya menyerang Abdullah.

Itu pendapat Mahathir. Pendapat tersebut diutarakan menjelang Perhimpunan Agung Umno ke-64, kerana Umno-Barisan Nasional berhadapan dengan penolakan rakyat.

Mahathir berpendapat penolakan rakyat terhadap Umno-BN adalah berpunca daripada penggantinya Abdullah Badawi.

Mahathir seolah-olah tidak mahu menerima hakikat bahawa penolakan dan kebencian rakyat terhadap Umno-BN bermula pada zaman pemerintahannya.

Kemenangan besar kerajaan BN pada 2004 hanya bersandarkan kepada dua faktor, iaitu persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat tidak mengikut etika dan rasional, serta 'persepsi' Abdullah mungkin lebih baik dari Mahathir. Itu sahaja.

Kemenangan tersebut bukan kerana Umno-BN kuat. Kekuatan Umno-BN sudah semakin luntur sejak zaman Mahathir. Kelantan dirampas kembali PAS pada zamannya. BN Terengganu tumbang juga pada zaman Mahathir.

Apa yang didakwa sebagai kekuatan Umno-BN pada PRU 2004 sebenarnya tidak wujud. Yang wujud hanyalah manipulasi lokaliti pengundi, khususnya di Kedah, kemasukan pengundi baru secara luar biasa di Terengganu dan penipuan masa pengundian, dilanjutkan selama dua jam di Selangor.

Hakikatnya kemenangan besar Umno-BN pada 2004 adalah kemenangan palsu atau fake victory. Kemenangan yang diciptakan, untuk menanamkan persepsi kononnya Umno-BN kuat dan diterima rakyat.

Apakah Mahathir lupa gelombang pertama penolakan rakyat pada tahun 1990? Apakah Mahathir lupa gelombang kedua penolakan rakyat pada 1999? Kerana apa penolakan tersebut berlaku? Hanya satu sebab, iaitu rakyat menolak kezaliman pemerintahan Umno-BN di bawah kepimpinannya.

Penolakan rakyat terhadap kepimpinan Umno yang diwarisi sejak zaman Mahathir, berterusan dan tidak dapat dibendung lagi pada zaman Abdullah menjadi PM.

Penolakan ini akan berterusan pada zaman pemerintahan Najib sekarang, khususnya menjelang PRU ke-13 akan datang.

Rakyat menolak Umno-BN bukan semata-mata kerana Mahathir, Abdullah mahupun Najib.

Rakyat menolak mereka kerana rakyat sudah muak pemerintahan kerajaan BN. Selepas lebih 50 tahun memerintah, rakyat mendapati kerajaan BN yang ditunjangi Umno gagal membawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan persefahaman antara kaum serta agama.

Rakyat amat sedar bahawa ideologi yang menjadi asas perjuangan parti-parti komponen BN hanya menjadi sandiwara manipulasi Umno-BN menipu rakyat, mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama.

Di atas ideologi nasionalis Umno-BN, pemimpin mereka begitu kaya raya, hidup mewah dengan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme.

Justeru kebobrokan Umno-BN ini akan dihentikan rakyat, bukan sekadar memberi majoriti mudah, malah memberi kepercayaan dengan majoriti dua pertiga kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui Kerajaan Persekutuan.

No comments: