Thursday, October 28, 2010

BN cuai, hutang negara meningkat

PAS merakamkan penghargaan kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang kerana bersikap telus mendedahkan kelemahan di sebalik urus tadbir kewangan negara pada majlis taklimat bersama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, 25 Oktober lepas.

Laporan Audit yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC), urus tadbir kewangan negara tetap disifatkan sebagaipincang walaupun pada 2009, kerajaan mendakwa berjaya menyimpan baki tunai RM6.32 bilion berbanding 2008 hanya RM1.541 bilion.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaffar menegaskan, baki tunai tersebut tidak wajar dianggap sebagai suatu kejayaan kerana jumlah pinjaman tunai yang dibuat kerajaan tahun lepas sebanyak RM107.171 bilion.

Sedangkan katanya, pinjaman tunai kerajaan pada tahun 2008 hanya RM75.156 bilion.

"Maka tak ada ertilah kalau kerajaan berjaya mendapatkan kurangan (baki) RM6.32 bilion kalau pinjaman kerajaan bertambah lebih RM35 bilion (RM35.015 bilion)," ujar beliau yang juga AJK PAS Pusat.

Laporan Audit yang dibentang kepada PAC mendedahkan, hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.

"Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, " kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen.

Hutang RM362.39 bilion ringgit yang disebut dalam laporan audit itu juga jauh lebih tinggi daripada RM233.92 billion yang disebut oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak di Parlimen Jun lalu.

Ketika itu Najib juga mendakwa hutang itu hanya mencakupi 34.3 peratus KDNK.

Dalam laporannya hari ini, Ketua Audit Negara menjelaskan hutang kerajaan meningkat dengan mendadak kerana hutang dalam negara yang semakin membesar.

Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan

Kamarudin yang juga Anggota PAC berkata, pendedahan Ketua Audit Negara tersebut menunjukkan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang diterajui Najib, gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.

"Ketua Audit Negara telah menjalankan tugas mereka untuk mendedahkan segala kelemahan ini, maka perlu diambil iktibar dan ditangani serta-merta oleh kerajaan," ujar beliau.

Sementara itu dalam perbahasan Belanjawan 2011, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menyelar kelemahan kerajaan yang membentangkan bajet defisit selama 14 tahun berturut-turut.

Ini katanya, menunjukkan bahawa kerajaan Umno-BN sudah kehilangan idea dan tidak mampu menghasilkan bajet yang mengandungi kaedah menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara.

"Walaupun kerajaan menyebut defisit hanya 5 peratus lebih sedikit sahaja, hakikatnya peratusan itu bukan berdasarkan kepada jumlah bajet tetapi ianya berdasarkan kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 5.2 peratus atau 2 atau 3 peratus atau 4 peratus daripada KDNK, ia merupakan angka yang cukup besar," katanya.

Menurut beliau juga, berdasarkan bajet yang dibentangkan, pinjaman kerajaan menunjukkan angka yang sangat besar iaitu sebanyak RM46 bilion.

"Kalau kita lihat dalam buku ucapan Bajet 2011, kita akan melihat di muka surat yang mengadungi carta pai jumlah penjaman dan penggunaan daripada aset-aset kerajaan, ianya adalah sebanyak 22 peratus adalah daripada pinjaman.

"Jumlah pinjaman ini adalah sebanyak RM46 bilion. Ini merupakan satu jumlah yang cukup besar dan apabila kita lihat bahawa kita pun pada masa yang sama membayar hutang negara sebanyak RM18 bilion.

"Ini bermaksud kita pinjam untuk bayar pinjaman negara. Ini merupakan satu keadaan yang sangat parah kerana kalau tidak ada pinjaman RM46 bilion itu dengan cara pengurusan kewangan yang dilakukan oleh BN, kita tak akan ada duit untuk membayar pinjaman yang telah kita buat sebelum ini," jelasnya.

Tegasnya juga, kerajaan telah menunjukkan cara pengurusan kewangan yang sangat tidak bertanggungjawab apabila hutang negara melonjak melebihi RM400 bilion dalam keadaan pendapatan kerajaan dan negara semakin berkurangan.

"Hutang bertambah, peratusan wang yang kita gunakan untuk servis pinjaman semakin bertambah, pendapatan semakin menguncup," katanya lagi.

Ujarnya juga, meskipun laporan audit negara dikeluarkan pada setiap tahun, namun kerajaan tidak menunjukkan kesungguhan untuk memulihkan ekonomi negara.

"Bajet ini tidak mengambil kira masa depan anak cucu kita. Kita telah dianugerah Allah satu negara yang begitu kaya dengan hasil minyak dan sebagainya tapi kerana boros, pengurusan yang tidak cekap, penuh ketirisan, walaupun dilaporkan ketua audit negara setiap tahun, tapi tak ada kesungguhan BN untuk mengubah keadaan ini," katanya.

No comments: