Thursday, November 26, 2009

Mencontohi sikap Tuan Guru

TERIMA kasih tuan guru kerana mendengar rintihan kami. Terima kasih tuan guru kerana mengutamakan perjuangan Islam dan parti PAS lebih daripada kepentingan peribadi dan keluarga.

Terima kasih tuan guru kerana atas nasihat dan kebijaksanaan menilai perjuangan jangka panjang, tuan guru menasihatkan menantu mengundurkan diri.

Terima kasih kepada kepimpinan PAS yang diketuai Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang membantu menyelesaikan kemelut ini dengan sempurna dan bijaksana.

Setelah beberapa minggu dilanda pelbagai kontroversi dan persepsi buruk, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat membuktikan kepada kita semua bahawa beliau boleh ditegur dan diperbetulkan.

Bukan Tuan Guru Mursyidul Am sahaja, malah Tuan Guru Presiden PAS juga mempunyai sifat yang sama. Beliau dikritik secara berdepan pada 7 November lalu, dalam Seminar Memperkasakan PAS.

Keterbukaan kedua-dua tokoh PAS ini merupakan suatu teladan yang terbaik pernah ditunjukkan oleh kepimpinan. Mereka membuktikan bahawa perjuangan PAS bukan sekadar retorik sahaja.

Kepimpinan PAS sedia ditegur untuk berubah ke arah yang lebih baik. Kepimpinan PAS sedia dimuhasabah, demi kebaikan perjuangan Islam.

Ini adalah bukti keberkesanan dan ketelusan sistem Islam, pentadbiran Islam dan politik Islam yang dipelopori PAS. Ianya juga merupakan suatu sistem tarbiyah (pendidikan) dalaman, yang harus diteladani dan dicontohi oleh parti-parti politik lain dalam negara.

Bagaimanapun, dengan satu dua perkara yang baik ini sahaja, tidak cukup untuk PAS berbangga. Terlalu banyak halangan dan cabaran menanti PAS. Mungkin lebih berat daripada fitnah yang melanda kepimpinannya pada waktu ini.

Cabaran yang paling besar kepada sebuah perjuangan, ialah bagaimana ia boleh mempunyai suatu bentuk kepimpinan yang mantap, jujur, lengkap dengan ilmu serta telus dalam tindakan dan amalan.

Cabaran yang paling hebat kepada seseorang pemimpin ialah, bagaimana ia boleh mengelak dari dipalitkan dengan persepi penyalahgunaan kuasa, mengamalkan kronisme atau nepotisme.

Masalah kepada sebuah perjuangan parti politik akan wujud, apabila ada di kalangan kepimpinannya, dilihat tidak bersih.

Dalam soal ini tidak harus ditunding jari atau dipersepsi negatifkan urusan antara Tuan Guru Nik Aziz dengan menantunya sahaja. Tidak juga harus dipersalahkan Presiden PAS seorang, jika PAS berada di tahap yang menurun.

PAS dan Pakatan Rakyat punyai cabaran yang lebih besar. Iaitu bagaimana ia boleh mengekalkan momentum sokongan rakyat, yang diterima pada 8 Mac 2008.

Bagaimana Pakatan Rakyat boleh menarik sokongan rakyat dengan mengenengahkan kepimpinan yang bersih, telus, adil dan demokratik.

Sayugia diingatkan seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat, sama ada daripada PAS, KeADILan, mahupun DAP yang memegang jawatan, mesti benar-benar bersih, bukan sahaja dilihat bersih.

Mereka yang memegang jawatan sebagai Menteri Besar, Ketua Menteri, mahupun Exco Kerajaan Negeri, mesti berusaha mengelakkan sebarang elemen yang mengkayakan diri sendiri. Mereka jangan berebut balak, jangan berebut pasir, projek, tender dan sebagainya.

Mereka harus mengelak daripada dikelilingi oleh circle ahli perniagaan atau kroni-kroni tertentu. Mereka mesti mengelak daripada memberikan apa jua anugerah kepada anak beranak, adik beradik ataupun sanak saudara.

Persoalannya di sini, bukan soal sesiapa yang menerima jawatan, anugerah atau projek atau laba, layak atau tidak. Bukan soal layak atau tidak dari segi undang-undang. Tetapi ianya berkait dengan kesalahan moral dan etika.

Dan antara yang paling utama sekali ialah, pemimpin Pakatan Rakyat mesti mengekalkan cara hidup yang mereka jalani sebelum berkuasa, tatkala mereka memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Apabila pemimpin Pakatan Rakyat mula hidup mewah ataupun menunjukkan cara hidup yang mewah, maka rakyat kebanyakan yang miskin, yang susah akan menjauhi mereka, sekali gus mereka akan memalitkan persepi buruk kepada parti yang diwakili.

Ingatlah, bahawa rakyat menolak Umno-Barisan Nasional kerana pemimpin mereka mengamalkan rasuah, menyalahgunakan kuasa, mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Umno-BN mencipta jurang besar antara mereka dengan rakyat, kerana kebanyakan pemimpin mereka hidup dengan serba mewah. Mewah bukan kerana keturunan mereka kaya, tetapi mewah selepas memegang dalam Umno dan kerajaan.

Semakin lama Umno-BN berkuasa, menjadikan pemimpinnya semakin tamak. Secara beransur-ansur rakyat semakin sedar dan menjauhi Umno. Maka malang bagi kita, jika rakyat melihat kita (Pakatan Rakyat) sama sahaja dengan mereka (Umno-BN).

Tambahan pula jika kita dari PAS, sebuah parti Islam, memperjuangkan kebenaran Islam, maka barang dijauhkan Allah untuk kita melakukan sebarang tindakan yang dilihat sama dengan Umno. Pemimpin PAS jangan jadi seperti pemimpin Umno.

Justeru, bagi seluruh kepimpinan dan ahli PAS, menjadi cabaran besar bagi mereka untuk berjuang melawan hawa nafsu, melawan godaan pangkat, melawan godaan harta dan kuasa.

Tambahan bagi mereka yang 'bertitle' ustaz, cabaran lebih besar bagi mereka untuk memperlihatkan diri mereka bersih dari rasuah atau menyalahgunakan kuasa. Mereka mesti mengelakkan hidup dengan penuh kemewahan dan kemegahan.

Mereka tidak harus menunjukkan kemewahan dengan memiliki banglo mewah, mempunyai kenderaan mewah atau menaiki kapal terbang dengan menempah tiket business class. Semua ini harus dielakkan kerana ia bakal mencetuskan persepsi buruk terhadap PAS.

Perjuangan PAS yang dipelopori oleh alim ulama mesti dibuktikan dengan menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan bersih.

Pemimpin mesti membuktikan bahawa perjuangan dalam PAS bukan diasaskan oleh kekuatan retorik semata-mata, kemurnian dan ketelusan amalan Islam bukan retorik.

Tetapi kemurnian Islam hendaklah dijelmakan dalam bentuk fizikal, iaitu telus dan bersih semasa diberi amanah memegang kuasa.

Buat waktu ini contohilah sikap dan kerendahan jiwa dua tuan guru ini. Merekalah ikon perjuangan kita, kedudukan mereka sebagai pemimpin terlalu tinggi, namun mereka sanggup merendah diri diteguri. Salam perjuangan.

Berkorban menegakkan kalimah tauhid

Ketibaan Aidiladha mengingatkan kita kepada kata-kata Saidina Umar al-Khattab yang mengungkapkan bahawa;

"Sesungguhnya al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, lalu ia disambut dengan Aidilfitri. Manakala hari penurunan terakhir al-Quran pula, ialah pada bulan Zulhijjah, ketika Rasulullah s.a.w menunaikan ibadah haji yang terakhir (haji wada'), maka ia disambut dengan Aidiladha."

Ungkapan ini memberi maksud bahawa Aidiladha merupakan suatu perayaan yang agung dalam Islam. Menyambut Aidiladha, bukan sekadar dengan mengorbankan binatang ternakan.

Malah sebenarnya Aidiladha adalah sambutan merayakan syumulan Islam sebagaimana firman Allah yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w, mafhumnya:

"Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku ke atas kamu, dan aku hanya reda dengan Islam sahaja satu-satunya agama kamu." (Surah al-Maidah, ayat 3).

Apabila umat Islam diajak menyambut Aidiladha sebagai hari kesyumulan Islam, maka umat Islam mestilah memahami maksud sebenar ayat yang diungkapkan pada haji wada' itu, bahawa hanya Islam satu-satunya cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Cara hidup yang lengkap dan sempurna bermaksud, Islam yang diimani ini, mestilah dihayati dan diamalkan dalam segenap aspek kehidupan, mencakupi akidah, syariat, siasah (politik), ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, perundangan, akhlak dan sebagainya.

Islam yang kita anuti ini, bukanlah hanya sekadar ibadah ritual sahaja, ia mestilah dijelmakan kefahamannya dalam semua aspek yang dinyatakan di atas.

Apabila kita menerima Islam, kita mestilah menerima dengan sepenuhnya. Kita mesti mengikut cara Islam tatkala kita berpolitik, menjalankan ekonomi secara Islam, beramal dengan undang-undang Islam, mendidik masyarakat dengan ilmu dan nilai Islam serta menyuburkan Islam dalam semua aspek kehidupan.

Maka dengan mengamalkan ajaran Islam secara syumul itu, semua kita akan selamat.

Di setiap Aidiladha, kita disyariatkan untuk mengungkapkan kalimah tauhid, empat hari empat malam, bermula pada waktu maghrib 9 Zulhijjah sehingga pada asar 13 Zulhijjah.

Antara perisytiharan dalam kalimah tauhid yang diungkapkan pada lafaz takbir ialah (mafhumnya):

"Tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah dan kami sama sekali tidak akan mengabdikan diri melainkan hanya kepada-Nya, dengan ketaatan setulus hati (mukhlisin), walaupun dibenci oleh orang-orang kafir."

Kalimah tauhid ini membawa erti yang cukup besar, iaitu dengan jelas berulang-ulang kali kita menyatakan bahawa ketaatan kita, hanya kepada Tuhan Yang Esa.

Ketaatan dengan mengamalkan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

Ketaatan membawa maksud mematuhi segala tuntutan Allah di dalam al-Quran dengan mendaulatkan seluruh sistem hidup melalui syariat-Nya.

Justeru bersempena Aidiladha ini, kita tidak hanya menghayati ibadah korban, hanya dengan menceritakan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s, sekadar menyembelih binatang ternakan.

Tetapi kita mesti menghayati spirit atau roh pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, dengan mengetepikan seluruh kepentingan duniawi serta mengetepikan kepentingan diri dan keluarga, demi untuk mematuhi arahan Allah.

Maka dengan ini, marilah sama-sama kita menjelmakan semangat korban ini dengan mencontohi perjuangan para Anbiya, mengetepikan segala kepentingan, sanggup bersusah payah, demi menegakkan kalimah tauhid yang suci.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.

Monday, November 23, 2009

Husam bidas laporan bodoh Mingguan Malaysia


Akhbar pro Umno ini sengaja mahu mengusik PAS dengan mengada-adakan cerita yang tidak wujud sama sekali.

Soal fakta betul atau salah, berita palsu atau sahih, tidak penting bagi mereka. Yang penting mereka mahu memalit persepsi.

Tidak ada jalan lain untuk mempertahankan kerajaan rapuh Umno-BN, melainkan dengan menabur fitnah memburuk-burukkan Pakatan Rakyat.

Untuk akhbar ini menjaja kebaikan Umno-BN tiada ada. Bahan untuk mempromosikan Umno-BN tidak wujud dan tidak laku sama sekali.

Maka jalan terbaik bagi mereka ialah dengan menabur fitnah. Asalkan rakyat keliru dengan PAS dan asalkan orang PAS juga jadi keliru dengan laporan mereka.

Kebenaran bagi mereka tidak penting, yang penting mereka mahu memalitkan persepsi buruk dan propaganda mereja akan berjaya jika laporan palsu itu menyebabkan ahli dan penyokong PAS terpedaya.

Apapun, isu ini sudah dijelaskan oleh Husam seperti komennya:

Mingguan Malaysia sekali lagi 'memandang tinggi' pada saya dengan berita provokatif muka depan.

Dulu saya diserang bertubi-tubi menjelang Muktamar PAS.

Agenda 'mematikan' saya nampaknya belum berakhir.

Hari ini, Utusan cuba berbagai cara menghubungi saya untuk 'pohon penjelasan'. Semasa Utusan bersiap 'meletupkan' berita itu semalam sepatah penjelasan saya tidak diminta.

Beratus sms, kegelisahan begitu ramai orang dan deringan talipon sejak awal pagi adalah bukti 'berita' yang sengaja dimasak sebegitu rupa telah mencetuskan kesan negatif yang bukan sedikit.

Saya amat terharu dengan penjelasan segera bos, guru, rakan dan bapa saya - Tok Guru Nik Aziz.

Saya sakit belakang. Jumpa doktor dan doktor minta saya dapatkan rawatan, rehatkan tulang belakang saya dan kurangkan aktiviti. Bila saya nak masuk wad untuk rawatan itu saya boleh tentukan sendiri ikut kelapangan saya, tetapi jangan kurang dari lima hari penuh. Jangan lambat, kata doktor.

Saya maklumkan pada bos saya. Lima hari sebelum raya haji amat sesuai. Tetapi program saya kena tangguh dan mana mesyuarat yang saya ditugaskan wakili Tok Guru kena tukar kepada rakan yang lain.

Apa kata Tok Guru bila saya terus jumpa beliau Khamis lalu?

Jumpa doktor Di Pakar Perdana habis jam 12.30 tengah hari. Jumpa Tok Guru lebih kurang jam 1 sebelum zohor.

"Tak boleh lok (tangguh). Buat (rawat) selalu (segera). Jangan jadi macam ana..."

Saya bercadang masuk hospital hari Isnin. Keluar petang Khamis.

Apa kena mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan?

Letak semua pulak tu?

Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?

Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.

Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba meng-agendakan kami?

Sakit adalah lumrah insan. Letak jawatan tidak boleh diikat dengan satu dua hari di hospital - maka ia bukti Husam letak jawatan.

Kepada teman dan rakan, sahabat dekat dan jauh, saya ucapkan terima kasih atas ingatan anda semua. Ustaz Aziz menalipon pagi hari dari Mekah kerana terbangun dari mimpi, saya hargai erti persahabatan.

Rakyat Kedah menikmati kemakmuran dan perubahan

Catatan kedua tinjauan semasa sidang DUN Kedah 17 November 2009

RAKYAT Kedah kini dapat merasai sendiri perubahan-perubahan yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat, pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak setelah 22 bulan memerintah dan memakmurkan kerajaan negeri.

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Dato' Phahrolrazi Zawawi memberitahu, selepas membentuk kerajaan negeri pada Mac 2008, pihaknya mengambil pendekatan yang berhemah dan diplomasi dalam mentadbir negeri.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah berkata, PAS bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat, berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan manifesto pilihan raya lepas sebaik mungkin untuk kepentingan seluruh rakyat.

"Di bawah pentadbiran Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, kami mengambil pendekatan untuk tidak confront dengan parti lawan khususnya daripada Umno.

"Apa yang penting, kepentingan rakyat mendahului kepentingan parti politik," tegas beliau yang juga Pengerusi JK Perumahan & Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar & Sumber Air Kedah.

Menurut Phahrol, sebab itu tidak banyak isu yang dihadapkan oleh media arus perdana untuk menghentam kerajaan negeri.

Walaupun begitu katanya, dicetuskan beberapa isu yang dibesar-besarkan untuk mengugat kesepakatan Pakatan Rakyat, antaranya isu kandang babi, isu perumahan, isu bekalan air dan beberapa isu lain.

Bagaimanapun katanya, isu tersebut dapat diatasi dan diselesaikan oleh pimpinan Pakatan Rakyat dengan bijaksana.

"Dalam isu kouta perumahan misalnya, kita mengekalkan dasar kerajaan yang lepas, cuma kita ubah sedikit sahaja pada aspek yang membabitkan Tanah Reserve Melayu. Ia tidak menganggu sama sekali golongan bukan Melayu.

"Bagaimanapun isu ini sengaja diperbesarkan untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri. Namun sebagai Exco yang bertanggungjawab, saya bersedia untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja untuk menyelesaikan isu ini," tegasnya kepada Harakah dalam satu pertemuan di pejabatnya di Wisma Darul Aman, Alor Star.

Malah katanya, beliau sendiri akan mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertemuan dengan NGO dan golongan bukan Islam dalam isu perumahan yang dibangkitkan.

Phahrol berkata, dalam kesempatan untuk menerajui kerajaan negeri PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat berusaha sepenuh tenaga untuk menjalankan amanah demi kepentingan rakyat keseluruhan tanpa mengira batasan kaum dan agama.

Bagi Dr Hamdan Mohamed Khalib, Kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, berjaya membina kekuatan serta pentadbiran yang telus berbanding Umno-BN.

Katanya, beliau yakin rakyat Kedah, khususnya golongan belia tidak termakan dengan dakyah pembangkang dan akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri.

Hamdan yang juga Pengerusi JK Belia & Sukan, Kesenian, Warisan, Kebudayaan dan Penerangan negeri berkata demikian, ketika ditemui di Wisma Darul Aman selepas peramian Sidang Dun oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Katanya, setakat ini golongan bukan Melayu terus memberikan sokongan yang padu kepada kerajaan negeri, selepas Pakatan Rakyat berjaya membuat pelbagai program kepentingan rakyat tanpa sebarang prejudis.

"Dalam soal penyusunan dan pembahagian kerusi Ahli Majlis Daerah misalnya, PAS memberi banyak ruang kepada wakil dari Parti KeADILan Rakyat dan DAP.

"Semua golongan diberi peluang untuk menikmati hasil kemakmuran negeri dengan sama rata," tegasnya.

Oleh sebab itu katanya, Kedah antara negeri yang terbaik menerima pujian dari Ketua Audit Negara bersama dengan Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Bagi Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Helmi Khalid, paling ketara perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat ialah memberi keutamaan kepada rakyat miskin untuk mendapatkan pembelaan dengan menubuhkan Takaful Kifaalah.

Ujar Helmi, skim berkenaan dinikmati rakyat miskin tanpa mengira kaum atau fahaman agama serta politik, terutamanya bagi kematian dengan mendapat RM500 jika berlaku.

Selain itu, kerajaan negeri telah mengumumkan 50 peratus potongan cukai tanah yang mana menyebabkan kerajaan mengalami kekurangan pendapatan sekitar RM50 juta.

"Ia adalah semata-mata untuk kepentingan rakyat kerana rakyat tidak akan terbeban lagi dengan cukai yang tinggi sebelum ini. Namun walaupun kita mengalami kekurangan pendapatan dalam cukai tersebut, pendapatan dalam cukai di sektor lain meningkat selain pendapatan dari tender balak yang meningkat.

"Jika di zaman kerajaan BN dahulu, pendapatan bagi satu hektar balak hanya dapat sekitar RM1000 kepada kerajaan negeri, tetapi sebaik PAS memerintah, kita dapat bagi keluasan yang sama sekitar RM16,000, ini kerana tiadanya ketirisan," katanya lagi.

Dalam sektor perumahan pula, kerajaan negeri telah membuat satu garis panduan pembangunan hartanan dengan melarang kawasan-kawasan pertanian untuk dijadikan projek perumahan, katanya.

Selain itu, kerajaan negeri juga memberi garis panduan kepada pemaju perumahan agar memperbanyakkan projek perumahan kos rendah dan sederhana agar golongan miskin dan sederhana dapat memiliki rumah, katanya.

Melalui syarikat milik kerajaan negeri, Bina Darulaman Berhad (BDB), telah menjalankan projek pembinaan rumah mampu milik sejumlah 420 unit rumah kos rendah di Kubang Pasu dan 440 di Baling, katanya.

"Semua ini dijalankan untuk golongan berpendapatan rendah.Dan dalam projek Hidrocarbon Hub (Sulihh) pula, kerajaan negeri tidak mengambil tanah sawah untuk dijadikan tapak projek, ini yang rakyat semua tahu, berbeza dengan kerajaan BN sebelum ini," katanya.

Dalam sektor pendidikan pula, ujar Helmi kerajaan negeri telah berjaya mengembangkan pembangunan pengurusan dan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah.

Antaranya, jika 13 tahun lalu hanya lapan jurusan sahaja yang ditawarkan di Insaniah, sebaliknya selepas beberapa bulan memerintah Kedah, kini Insaniah telah memiliki 40 jurusan termasuk bidang teknikal, perubatan dan pengurusan, katanya.

Kerajaan negeri juga berjaya mencari satu tapak baharu di Kuala Ketil dengan keluasan 830 hektar bagi pembinaan kampus baru (kampus induk) bagi menggantikan kampus sediaada setelah perkembangan kemasukan pelajar ke Insaniah meningkat akhir-akhir ini, ujarnya.

Kerajaan negeri juga telah menyediakan sebuah kilang pemprosesan dan pengetinan makanan bagi memudahkan hasil-hasil para petani dan nelayan ditinkan dan dipasarkan ke peringkat yang lebih jauh termasuk ke luar negara, katanya.

Di peringkat pemasaran pula, Kedah Agro akan mengambil tanggungjawab memasarkan hasil-hasil yang telah ditinkan itu untuk dipasarkan ke luar negara yang mana permintaan pasarannya telahpun ada, katanya.

"Jika zaman kerajaan BN dahulu, mereka hanya berikan bantuan untuk tanam seperti baja dan kursus, tetapi pemasaran tak dibuat, akibatnya lambakan hasil pertanian berlaku, " katanya.

Selain itu, rakyat di negeri ini juga menikmati penjimatan yang diamalkan oleh kerajaan negeri yang mana Menteri Besar sendiri tidak menggunakan kemudahan penerbangan dalam urusan rasmi, kecuali dua kali sahaja dalam kes kecemasan.

Selain itu, Menteri Besar juga tidak mengambil elaun selaku Pengerusi beberapa GLC dan tidak bercuti di luar negara bagi menjimatkan belanja pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri, kata Helmi.

"Tahun ini juga kita cipta sejarah kepada pendapatan kerajaan negeri apabila beberapa buah GLC telah memberikan sumbangan RM30 juta kepada kerajaan negeri, ini tak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Atas asas itu, Hemli menyatakan keyakinan bahawa rakyat di Kedah kini mula dapat melihat dan merasai akan perubahan sebenar yang dibawa PAS dan Pakatan Rakyat dalam memerintah kerajaan negeri berbanding BN sebelum ini.

Sunday, November 22, 2009

Tok Guru pertahan Husam, tolak fitnah media


Selepas kuliah subuh di surau pagi tadi, saya menerima panggilan telefon dan SMS bertalu-talu mengenai kedudukan Dato' Husam Musa yang dilaporkan hendak meletak jawatan di Kelantan

Secara spontan saya menolak dakwaan tersebut. Dalam SMS Dato' Husam kepada saya pagi tadi pun, beliau hanya meminta semua bertenang. Beliau ternyata sangat OK.

Saya cuma mengagak ianya barangkali isu ini, ada kaitan dengan pertembungan antara Syed Azidi dengan Ariffahmi yang sedang hangat ketika ini.

Barangkali wujud kemungkinan ada pihak yang mahu menangguk di air yang keruh untuk menjatuhkan Husam, kerana Syed Azidi @ Sheih @ bloger Kickdefella adalah rakan rapat beliau.

Saya juga dianggap rapat dengan Husam, sama dengan Sheih. Kami banyak berurusan bersama-sama, khususnya dalam bidang media, untuk membantu PAS dan Kerajaan PAS Kelantan dalam isu-isu yang tertentu.

Bagaimanapun urusan kami dijalankan secara profesional, tiada kaitan dengan urusan peribadi. Dalam hal ini saya juga respect dengan Sheih kerana sentiasa bersikap profesional dan menjaga hubungannya dengan Husam. Sheih yang saya kenali, walaupun dilabel 'budak Husam', sama sekali tidak pernah mengaitkan Husam dalam masalahnya dengan Arif.

Saya mengenali Husam dan Sheih agak rapat. Stail mereka pun saya faham sangat. Jika ada yang menuduh Husam dibelakang Sheih dalam perbalahannya dengan Arif, ianya adalah suatu kesilapan dan kebodohan.

Bagaimanapun laporan Harakahdaily hari ini, menjawab segala kemusykilan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan desas desus bahawa Exco Kelantan, Datuk Husam Musa mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan seperti dilapor media Umno BN semalam.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya pagi ini, Nik Aziz memberitahu, Husam juga tidak pernah menghantar surat meletak jawatan sepeti yang didakwa.

Media kerajaan semalam melaporkan Nik Aziz memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran kerana didakwa mahu meletakkan jawatan.

Menurut Nik Aziz, Husam diberi cuti rehat ekoran beliau perlu menjalani pembedahan tulang belakang selepas ditangguhkan sejak dua bulan lalu.

Husam ujarnya ada bertemu dengan beliau di pejabatnya minggu lalu untuk memberitahu bahawa doktor menasihatkan beliau masuk hospital dan berehat selama lima hari kerana masaalah tulang belakangnya.

“Itu lah sebenarnya tak lebih tak kurang. Masalah nak undur langsung tak timbul, baik dalam kepala dia, baik dalam kepala saya.

“Saya baru terbaca sebuah surat khabar hari ini, saya rasa amat terkejut di atas laporan sebuah akhbar hari ini muka depan, tajuk dia Husam letak jawatan, walaupun ada tanda soal,”ujarnya.

Nik Aziz berkata, tiada sebab Husam mahu melepaskan semua jawatannya termasuk sebagai anggota exco kerajaan negeri yang menjaga portfolio perancangan ekonomi dan kewangan.

“Kalau benar sekalipun Husam memohon untuk melepaskan jawatannya, saya tetap tidak akan mengizinkannya, kerana kebijaksanaan dia telah berjaya menyelesaikan pelbagai masaalah rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun politik Malaysia,”ujarnya.

“Husam ni saya nak sebut, Allah Taala buat dia bukan sahaja untuk Kelantan, tetapi untuk Malaysia, budaknya cerdik, pengalamannya banyak, dan pemikirannya jauh ke depan.

“Dan sekarang ni rakyat Kelantan banyak menerima buah fikiran yang baik dari Husam termasuk dengan mengambil tanah Felcra, termasuk mengadakan kifalah yang banyak sehingga dapat dimanafaatkan oleh wasi…OKU dan ramai lagi yang terima banyak manfaat hasil pemikiran Husam.

Sebelum ni, tambahnya beliau tidak pernah menyebut perkara itu, (keistimewaan Husam) sebab takut perasaan anggota exco lain berkecil hati, lagipun exco lain mempunyai portfolio masing-masing.

Tetapi, sambungnya portfolio kewangan yang dipegang oleh Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri banyak memberi manfaat kepada Kelantan dan rakyatnya.

“Tiba-tiba orang kita suka buat cerita (Husam letak jawatan) letak muka depan ni akan mengguriskan hati orang sakit.

"Sudahlah dia sakit, macam ni boleh menambahkan kerisauan dia, rungsing,”ujarnya lagi.

Perkara itu katanya tidak seharusnya berlaku apa lagi sekarang umat Islam berada dalam bulan haji, iaitu bulan Zulhijjah.

Sambungnya, sebagai umat Islam setiap orang dikehendaki membuat kebajikan, puasa sunat, sembahyang sunat, menderma kerana bulan ni bulan Allah Taala di mana bulan ini Allah telah menurunkan malaikat dari langit ke bumi untuk memimpin manusia menuju ke syurga.

“Tetapi dukacitanya wartawan kita masih suka mengkrobek hal peribadi orang, termasuk menuduh orang-orang tertentu dengan sesuatu yang mengejutkan.

“Wartawan kita suka mencari benda panas walaupun perkara tu tak betul tetapi panas, dia fikir untuk melariskan jualan akhbar dia, dia tak fikir ianya boleh melukakan hati orang lain, fikiran orang tergugat, dia tak kira. Ini suatu perkara yang dukacita dalam masyarakat wartawan kita.

Pada masa yang sama beliau turut mempersoalkan kenapa wartawan Melayu bersifat sedemikian yang lebih mementingkan sensasi dari kebenaran sehinggakan pada masa yang sama beliau mempersoalkan wartawan berkenaan tidak mendapat kursus atau bagaimana.

“Adakah wartawan ni hanya pandai ambil kalam… kertas dan tulis tulis… tiada kursus ke wartawan ni…apa ni lagu ni, malu kita pada wartawan cina, wartawan cina lebih pandai pada wartawan kita,”sambungnya lagi.

Datuk Husam Musa ketika dihubungi Harakahdaily bagaimanapun hanya menasihatkan semua agar tidak bimbang dengan perkembangan terbaru itu.

"Harap semua jangan bimbang, baca posting saya dalam (blog) cetusan hati," katanya melalui khidmat pesanan ringkas, SMS.

Mursyidul Am PAS, pemimpin Islam ke 42 paling berpengaruh di dunia

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan satu-satunya pemimpin Malaysia yang tersenarai antara individu muslim paling berpengaruh di dunia bagi tahun 2009.

Menteri Besar Kelantan itu tersenarai di kedudukan ke 42 individu paling berpengaruh, menurut satu kajian yang terbitkan oleh Royal Islamic Studies Center dalam buku berbaru bertajuk "The 500 most influential in the world."

Mengungguli senarai individu paling berpengaruh ialah pertama; Raja Arab Saudi, King Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud, kedua; Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Hajj Sayyid Ali Khamenei, ketiga; Raja Maghribi, King Mohammed VI, keempat; Raja Jordan, King Abdullah II bin Al Hussein dan kelima; Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Tempat keenam; Sultan Oman, Sultan Qaboos bin Sa’id al Sa’id, ketujuh; Imam Besar Najaf (Iraq), Ayatollah Sayyid Ali Hussein Sistani, kelapan; Mufti Universiti al-Azhar, Sheikh Dr Muhammad Sayyid Tantawi, kesembilan; Ulama terkemuka, Sheikh Dr Yusuf Qaradawi dan kesepuluh; Mufti Mesir, Sheikh Dr Ali Goma’a.

Buku ini pertamakali diperkenalkan untuk kajian tahunan membabitkan personaliti muslim terkemuka dari seluruh dunia.

Buku ini terhasil daripada hasil kajian bersama oleh Royal Islamic Strategic Studies Center yang berpangkalan Amman, Jordan dan Prince Alwaleed Bin Talal Center for Muslim-Christian Understanding.

Buku yang baru diterbitkan di Amerika Syarikat minggu lepas, menyenaraikan tokoh-tokoh Islam yang paling berpengaruh di dunia dalam beberapa bidang antaranya, politik, agama, wanita, media dan termasuk di kalangan yang radikal.

Buku tersebut disunting oleh pensyarah terkenal iaitu Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin dari Universiti Georgetown di Washington.

Profesor Esposito merupakan pengarah kepada Prince Alwaleed Bin Talal Center dan Profesor Kalin adalah jurucakap 'the Common Word dialogue' membuat inisiatif awal mengumpulkan kajian di dalam blog mereka.

Kedah berjaya urus ekonomi berhemah untuk kesejahteraan rakyat

Baru-baru ini, saya ditugaskan untuk meninjau perkembangan ekonomi Kedah di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat. Berikut sedikit catatan awal sebagaimana diterbitkan Harakah.

Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mendapat pujian yang memberangsangkan daripada Ketua Audit Negara, untuk laporan tahunan 2008 walaupun baru sahaja mengambil alih kerajaan negeri dari Barisan Nasional pada Mac 2008.

Apakah rahsia kejayaan tersebut? Ikuti sessi temubual wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN bersama Dato' Amiruddin Hamzah, selaku Pengerusi JK Industri & Pelaburan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Bioteknologi di pejabat beliau Wisma Darul Aman, 16 November lepas.

Peranan Dato' di Kedah?

Dato' Amiruddin Hamzah : Saya diamanahkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak untuk mempengerusikan potfolio JK Industri & Pelaburan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Bioteknologi.

Menteri Besar juga mengarahkan saya untuk membantu beliau untuk mengawal-selia beberapa buah syarikat milik kerajaan negeri.

Dalam soal penyediaan bajet tahun 2010, saya diarahkan untuk bekerjasama dengan pegawai-pegawai kerajaan bagi menyeliakan bajet Kerajaan Negeri Kedah bagi tahun 2010.

Ini merupakan satu tugas yang amat mencabar bagi saya, namun dengan amanah dan panduan yang diberikan oleh MB, saya akan melakukannya sebaik mungkin.

Mengenai Bajet Kedah bagi tahun 2010, dari mana sumber dan bagaimana diuruskan?


Ini adalah bajet kedua kita memerintah sebagai kerajaan. Pencapaian yang paling kita banggakan ialah sepertimana dalam laporan Ketua Audit Negara, bahawa kita berjaya menjimatkan perbelanjaan mengurus.

Hasil ini kita capai, hasil dengan dasar belanja berhemah yang dilaksanakan oleh Menteri Besar. Contoh dalam soal berbelanja, zaman dahulu (BN memerintah) belanja jamuan makan sebuah majlis misalnya RM18 sekepala, yang ini kita hadkan dan turunkan.Secara keseluruhan ada penurunan (belanja mengurus).

Dari segi hasil negeri, kita berjaya meningkatkannya, contohnya seperti hasil balak. Jika dahulunya di atas kouta (kawasan keluasan balak) yang sama kerajaan negeri hanya memperolehi RM8 juta. Sekarang di atas kouta yang sama kita berjaya memperolehi RM28 juta. Itupun kita bermula selepas bulan Mac 2008, tiga bulan sudah terlepas.

Inilah antara kejayaan yang dipuji oleh Ketua Audit Negara.

Tetapi pada tahun ini (2009), di atas kouta yang sama kita unjurkan untuk memperolehi antara RM38 juta hingga RM40 juta. Ianya akan mencatat perbezaan besar, iaitu antara RM8 juta zaman BN kepada RM38 juta atau RM40 juta. Ini adalah peningkatan yang berterusan.

Keadaan ini berlaku walaupun kita terpaksa menanggung defisit sebanyak RM50 juta disebabkan janji kita untuk menurunkan cukai tanah. Tetapi defisit ini ditampung balik oleh peningkatan hasil balak.

Bagaimanapun kita juga sedang mengkaji syarat tanah, iaitu penggunaan dari status pertanian kepada perniagaan atau industri. Yang inipun kita jangka boleh capai tambahan sekitar RM8 juta.

Sumber utama kerajaan negeri antaranya ialah dari hasil tanah, yang kita sudah kurang RM50.
Tetapi kita yakin dengan urusan kutipan tanah itu pun sebelum ini kita tidak memperolehi kutipan seratus peratus.

Bagaimanapun dengan pengemaskinian sistem kutipan yang lebih efisyen, kita yakin kita akan dapat menampung jurang defisit yang lebih besar, dengan mengutip tunggakan-tunggakan. Dengan cara ini kita akan dapat menampung kekurangan dari hasil tanah tadi.

Kemudian hasil daripada batu-batuan seperti pasir. Dalam dasar yang kita pertegaskan, semua pengusaha yang baru, mesti bekerjasama dengan GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) negeri Kedah.

Dengan ini kita akan dapat awasi tidak wujudnya penipuan dari segi volume yang keluar, syarikat-syarikat ini, akan membayar apa yang mereka bawa keluar. Dan keduanya, sebahagian dari keuntungan ini akan kembali kepada kerajaan negeri melalui anak syarikat tadi.

Jadi ini adalah antara hasil-hasil yang akan kita perolehi.

Bagaimana dengan hasil dari cukai industri?

Untuk kerajaan negeri, sumbangan industri secara terusnya ialah cukai tanah. Cukai pintunya pergi kepada PBT. Sumbangan utama yang kita perolehi ialah penyediaan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan sampingan, hasil dari keberadaan mereka di negeri Kedah.

Yang mereka berniaga ini keuntungan mereka dari sudut cukainya akan pergi ke Kerajaan Pusat. Bagaimanapun sumbangan daripada negeri, akan dipulang balik dalam bayaran geran per kapita dan sebagainya.

Bagaimana hasil dari pelaburan luar?

Dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak kukuh ini. Kedah mencatat kedudukan nombor lima penerima pelaburan terbesar. Pertamanya Sarawak, tempat kedua jika tidak silap Selangor, Johor ke empat (disebabkan Wilayah Pembangunan Iskandar), kemudiannya Pulau Pinang dan Kedah.

Sehingga September ini kita mencatat sekitar RM870 juta pelaburan. Angka ini mungkin tidak sebaik catatan pelaburan zaman sebelumnya. Pertamanya, kerana tahun-tahun sebelum ini ekonomi dunia masih kukuh, keduanya, mereka mengiktiraf satu projek besar, iaitu projek penapisan milik tokoh perniagaan Syed Mokhtar al-Bukhari.

Bagaimanapun sampai sekarang ini projek ini masih belum berjalan walaupun unjuran pelaburannya besar.

Unjuran Bajet Kedah tahun 2010?

Unjuran bajet kita sebagaimana diunjurkan dalam lampiran. Kita lakarkan dalam empat strategi utama. Fokus kita ialah untuk merakyatkan ekonomi. Kita jadikan GLC sebagai 'anchor' (pemangkin utama).

Dua projek besar yang kita kenalpasti ialah pertamanya ternakan keli dan keduanya, talapia. Kemudiannya kita akan buat 'contract farming' untuk rakyat. Di bawah program ini, kita sediakan dana sebanyak RM2 juta untuk rakyat pinjam.

Misalnya satu projek kita beri pinjam RM20 ribu. Kemudian kita buat 'contract farming' dengan mereka. Kemudian kita akan potong daripada hasil yang diperolehi, sebahagian untuk pengusaha, sebahagian dibayar balik kepada kerajaan negeri.

Sunday, November 15, 2009

Budak-budak nakal dalam Pakatan

SEJAK beberapa bulan kebelakangan ini Pakatan Rakyat teruk dilanyak kiri kanan, depan belakang oleh media-media massa pro Umno-Barisan Nasional.

Barangkali bukan salah media pencacai ini kerana memang sudah kerja mereka macam itu. Mereka dibayar gaji untuk mengampu Umno-BN dengan melakarkan penulisan dan berita yang memaparkan kebaikan Umno-BN dan menyembunyikan sebarang kejahatan mereka dengan apa cara sekalipun.

Mereka juga dibayar upah bagi memecahbelahkan Pakatan Rakyat, dengan membantu usaha BN untuk merampas negeri-negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat, membeli wakil rakyat dan membuat apa cara sekalipun, asalkan imej Pakatan Rakyat terus buruk di mata rakyat.

Semua ini dibuat mereka dengan satu tujuan sahaja, iaitu memastikan kemaraan Pakatan Rakyat tersekat dan gagal menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Masalah yang dihadapi pada waktu ini ialah, media massa pro Umno-BN ini mendapat 'peluru' untuk menghentam Pakatan Rakyat, bukan hasil maklumat yang mereka 'korek' sendiri.

Tetapi mereka dibekalkan 'peluru' oleh orang-orang Pakatan Rakyat sendiri. Sama ada daripada PAS, KeADILan atau DAP. Sama-sama mereka turut 'menyumbang' kepada kerancakan media meraikan pesta menghentam Pakatan Rakyat.

Mereka bagi 'bola tanggung' kepada media pro BN, lalu mereka dan parti mereka sendiri yang menangung malu kena 'smash'.

Mereka-mereka ini bukannya budak-budak kecil. Mereka ini terdiri dari kalangan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, ada yang bertaraf Exco Kerajaan Negeri dan juga dari kalangan pemimpin yang berjawatan dalam parti.

Mereka ini profesional semuanya. Tetapi lagak mereka macam budak-budak nakal. Tidak henti-henti bercakaran sesama sendiri.

Masing-masing bertelagah hendak menegakkan 'benang yang basah', tetapi dengan menggunakan media yang selama ini dituduh menjadi pemfitnah yang meloyakan, membawa berita yang menghairankan.

Mereka juga dalam ucapan dan ceramah-ceramah sering menempelak media pro BN, yang dikatakan hanya boleh dipercayai oleh golongan 'tiga suku' sahaja.

Tetapi bila mereka bergaduh, mereka juga yang 'gatal mulut' memberikan kenyataan kepada media, yang hanya menunggu untuk memerangkap mangsanya.

Peluru-peluru dan bola tanggung yang mereka bekalkan buat media ini menyebabkan Umno-BN bersorak gembira. Mereka tidak perlu bersusah payah untuk melanyak Pakatan Rakyat, mereka hanya perlu goyang kaki sambil minum kopi.

Biar sahaja, tengok sahaja budak-budak nakal dalam Pakatan Rakyat bercakaran sesama sendiri.

Umno-BN sekarang boleh tidur lena, kerana walau seburuk manapun pergaduhan dalam parti gabungan mereka, rakyat tidak tahu. Walau seburuk manapun kecaman Ketua Audit Negara terhadap kepincangan kerajaan pimpinan Umno-BN, rakyat tidak mengetahuinya.

Yang rakyat tahu menerusi paparan media ialah, BN kelihatan semakin baik, manakala Pakatan Rakyat masih bercakaran sesama sendiri.

Bagaimana rakyat hendak mempercayai Pakatan Rakyat boleh menggantikan BN pada PRU ke-13 nanti, jika pemimpinnya sering bercakaran sesama sendiri?

Mereka yang sering bercakaran ini tidak pernah serik dan sedar. Mereka bercakap ikut sedap mulut, menulis di blog sesukahati dan membuat pelbagai kenyataan tanpa memikirkan risiko jangka panjang.

Penulis tidak berhasrat hendak menyenaraikan nama mereka secara individu, 'siapa makan cili dia yang rasa pedasnya'.

Lepas satu isu selesai, timbul satu lagi isu baru. Lepas satu polemik diselesaikan, ditimbulkan polemik baru.

Isunya di sini bukan soal siapa betul atau siapa salah. Masing-masing ada penyokong. Tetapi budak-budak nakal ini harus sedar bahawa sejumlah besar penyokong Pakatan Rakyat tidak menyukai sebarang tindakan yang mencetuskan kontroversi, mencetuskan polemik, yang sekaligus mencacatkan nama baik Pakatan Rakyat.

Tindakan semberono mereka memeningkan kepala pemimpin dan mengharu birukan penyokong Pakatan Rakyat seluruh negara.

Penulis sendiri menerima banyak respons dari kalangan penyokong Pakatan Rakyat, semuanya menyatakan betapa 'tensionnya' mereka, dengan sikap segelintir pemimpin yang suka bercakaran sesama sendiri.

Secara umumnya menganggap tindakan beberapa orang wakil rakyat ini seperti kebudak-budakan, walaupun berstatus ahli politik, tetapi tidak tahu membaca politik.

"Mereka ini bodoh, tidak reti (tahu) baca politik, BN berjaya alihkan isu dengan pergaduhan mereka, dan secara tidak langsung mereka sudah membantu kempen BN," tegas seorang pemimpin PAS di peringkat kawasan menerusi SMS kepada penulis.

Banyak lagi SMS, panggilan telefon dan emel yang bertebaran mengkritik wakil-wakil rakyat yang 'tidak reti duduk diam' ini.

Sehingga ada yang mengatakan, jika mereka ini selalu sangat bergaduh, maka pemimpin tertinggi digesa memikirkan kembali untuk tidak menyenaraikan nama mereka sebagai calon wakil rakyat pada penggal depan.

Malah ada yang menempelak, jika Pakatan Rakyat ditumbangkan dalam waktu terdekat, mereka-mereka inilah yang harus dipersalahkan sebagai pencetus persepsi buruk kepada Pakatan Rakyat.

Kami sebagai penulis politikpun berasa letih dengan karenah yang berlaku. Media pro Pakatan Rakyat tidak banyak dan terhad. Kami letih kerana terpaksa berusaha mengkambus kelemahan-kelemahan yang dicetuskan oleh orang-orang Pakatan Rakyat sendiri.

Justeru, adalah dinasihatkan kepada wakil-wakil rakyat ini, berhentilah daripada menjadi budak-budak yang nakal, usahlah pergaduhan dalam rumah dibawa ke luar lagi.

Anda semua harus memperbetulkan fokus anda. Tugas anda sebagai wakil rakyat adalah menjaga kawasannya dengan baik. Memberi perkhidmatan yang terbaik. Membantu rakyat dan pengundi anda sebaik mungkin.

Supaya dengan kehebatan khidmat anda sebagai wakil rakyat, rakyat akan berasa selamat dan senang dengan Pakatan Rakyat. Supaya dengan kerja keras anda, anda akan dipilih semula sebagai calon untuk mewakili rakyat di kawasan anda.

Ingatlah, bahawa dengan kebaikan anda nanti, rakyat di kawasan yang belum dimenangi Pakatan Rakyat, akan turut memberikan peluang kepada calon Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 nanti.

Berhentilah daripada mencari publisiti murahan, kerana percakaran sesama sendiri, sama sekali tidak akan menguntungkan.

Tanggungjawab membantu Presiden PAS

Seminar Memperkasakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang diadakan pada 7 November lepas telah berlalu hampir dua minggu.

Tetapi ramai yang masih tertanya-tanya apakah PAS mampu untuk melakukan perubahan sebagaimana yang diharapkan, selepas dibedah dengan sebegitu rupa oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari dan Dr Abu Hassan Hasbullah.

Sebenarnya bukan senang untuk menghadapi kritikan secara terbuka. Bukan PAS tidak boleh menerima kritikan, tetapi untuk Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengundang orang luar membedah parti yang dipimpinnya, merupakan satu langkah politik yang besar dan belum pernah dilakukan mana-mana parti politik dalam negara.

Tindakan ini diibaratkan seumpama, Ustaz Hadi 'mengundang orang luar ke dalam rumah untuk memarahi dan menampar mukanya di hadapan anak-anaknya.'

Sepanjang sehari suntuk seminar diadakan wajah Presiden PAS itu penuh dengan ketenangan.

Ternyata beliau berlapang dada dan menerima segala kritikan yang dilemparkan dengan penuh keterbukaan.

Keterbukaan Presiden PAS ini, seharusnya dijadikan suatu titik tolak yang amat positif oleh semua golongan dalam PAS, sama ada seseorang itu ulama, profesional, AJK PAS Pusat, pimpinan peringkat negeri, kawasan dan cawangan.

Harus disedari bahawa, hakikatnya penganjuran seminar tersebut merupakan suatu perubahan dan keterbukaan PAS yang hebat dikritik sejak akhir-akhir ini, sehingga ada yang mengandaikan, pada waktu ini sokongan terhadap PAS semakin menurun berbanding Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008.

Harus difahami kebanyakan yang mengkritik PAS bukannya musuh PAS. Mereka amat menyayangi PAS.

Mereka memberikan pandangan yang praktikal. Pandangan dikemukakan kerana pada mereka, hanya PAS sahaja yang mampu menggantikan Umno dipersada politik negara. Tiada parti lain.

PAS kini diakui sebagai sebuah parti yang besar. PAS mempunyai mempunyai asas disiplin kepimpinan dan ahli yang amat dinamik. Susunan kepimpinan PAS dilihat cukup matang dan mempunyai kredibiliti tersendiri.

PAS tidak lagi dilihat sebagai parti pembangkang sahaja. Sebaliknya PAS sudah diterima sebagai sebuah parti yang mampu mengurus dan mentadbir sesebuah kerajaan dengan baik. Jauh lebih baik daripada Umno.

Oleh kerana meyakini masa depan PAS, maka mereka-mereka yang mengkritik ini sebenarnya, meletakkan harapan yang besar kepada PAS. Mereka mahu melihat PAS, sebagai parti yang memartabatkan dan memantau perlaksanaan Islam dalam negara.

Mereka mahu melihat PAS menjadi juara memperjuangan serta melindungi hak kepentingan orang Melayu dan memelihara kepentingan semua kaum dan agama dalam negara.

Mereka mahu meletakkan kepercayaan kepada PAS, sebagai sebuah parti yang bersih dari gejala rasuah jika diberi amanah menguasai kerajaan.

Segala pengharapan ini mahu disandarkan kepada PAS dan PAS bukannya hanya Ustaz Hadi seorang. PAS adalah milik semua ahli dan pemimpin PAS.

Jika Presiden PAS dipalit dengan persepsi yang menyebabkan PAS lemah, maka menjadi tanggungjawab semua kita untuk membantu memulihkan imej PAS dengan membantu Ustaz Hadi. Untuk itu imej Presiden PAS harus 'dipolish' kembali.

Kita tidak akan dapat membantu Ustaz Hadi, jika kita di kalangan pemimpin atau ahli bawahan terus bercakaran sesama sendiri.

Jika Ustaz Hadi dilihat cenderung melihat satu aliran pandangan, maka ia menjadi tanggungjawab kita untuk mengemukakan pandangan alternatif kepada beliau, untuk membuat pertimbangan dan ijtihad yang lebih adil dalam mengemudi bahtera PAS.

Hakikatnya, untuk memulihkan PAS, bukan tanggungjawab dibahu Presiden PAS seorang, ianya adalah tanggungjawab kita semua secara kolektif.

Mujur kita 'dikejutkan dari tidur sekarang', kerana dengan kejutan ini, kita mempunyai cukup masa untuk membuat persediaan sewajarnya, menjelang PRU ke-13 nanti.

Friday, November 13, 2009

Catatan belasungkawa buat Dato' KJ, permata hatinya pergi buat selama-lamanya

DATO' Kamarudin Jaffar menghela nafas panjang..sesekali nafasnya terhenti seketika..lantas beliau mengetap bibirnya, seolah-olah tersentak bila diajukan bagaimana perasaannya selepas ketiadaan orang tersayang disisi.

Jelas kehilangan Datin Kamariah Kamaruddin, 56 di awal subuh 11 November lepas amat dirasai.

Apa tidaknya..sepanjang 10 tahun arwah disahkan mengidap kanses usus, beliau tidak pernah meninggalkan isterinya. Ke mana sahaja beliau senantiasa bersama.

Malah ketika umat Islam menyambut Aidilfitri baru-baru ini, beliau dan anak-anak terpaksa berhari raya menemani isteri yang terlantar sakit di hospital selama 10 hari.

Malangnya tatkala menjalankan tugas rasmi sebagai Ahli Parlimen, beliau berlepas ke Qatar, beliau menerima berita yang amat tidak diingini berlaku.

"Hati saya amat berat untuk meninggalkan isteri Isnin lepas, namun beliau menyuruh saya pergi (Qatar) juga dan saya dijadualkan balik hari ini (Khamis, 12 November), tetapi apakan daya, saya reda dengan takdir dan ketentuan-Nya," ujar Kamarudin, yang juga AJK PAS Pusat kepada penulis.

Malam sebelum arwah kembali ke rahmatullah, anaknya menghubungi beliau memaklumkan keadaan mama mereka yang semakin nazak. Kamarudin lantas berusaha memendekkan lawatan kerja, lalu menguruskan tiket penerbangan pulang ke Kuala Lumpur seberapa segera.

Menurut Kamarudin, beliau begitu gelisah kerana bimbang tidak sempat berada di sisi isteri ketika menghembuskan nafas terakhir. Namun sudah dapat merasakan bahawa Kamariah seolah-olah tidak mampu menunggu kepulangannya lagi.

"Kira-kira jam menunjukkan 1 pagi waktu Qatar, ketika kapal terbang hampir hendak take off, anak saya menghubungi dan memaklumkan keadaan mama mereka.

"Mereka tidak menyebutnya dengan jelas, mungkin mereka tidak mahu perasaan saya terganggu, namun dari kata-kata mereka saya faham, mama mereka sudah tiada," ujarnya.

Jelas Kamarudin tidak mampu menyembunyikan kegelisahannya. Sepanjang penerbangan selama lapan jam itu beliau tetap berharap agar beliau sempat berada di sisi Kamariah tatkala nyawanya hampir di penghujung.

"Saya tidak putus asa, saya memang harap dapat bertemu dengannya, namun saya reda kehendak-Nya," katanya kesedihan.

Kamarudin hanya dapat tiba di kediamannya di Kelana Jaya kira-kira jam 3.30 petang.

Banglo dua tingkat itu ternyata dipenuhi ramai pengunjung dan orang kenamaan, antaranya Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Kamarudin jelas tidak dapat menyembunyikan kesedihannya tatkala melihat jasad isterinya terbujur kaku, sudah siap dikafan sementara menunggu disembahyangkan sahaja.

Beliau cuba untuk kelihatan tenang, namun airmatanya terus berlinangan apabila menatap wajah Kamariah. Dua malam lepas beliau masih lagi mampu melihatnya menguntumkan senyum, namun kini jasad itu sudah terbujur kaku tidak bernyawa.

Kamarudin mengucup wajah kaku isterinya, lantas beliau berdoa agar Allah mencucuri rahmat-Nya dan mengampunkan dosa-dosa Kamariah serta menempatkannya di kalangan wanita yang salihah.

Kamarudin dipeluk erat anak-anaknya, lalu dibawa pergi untuk membolehkan jenazah mama kesayangan mereka disempurnakan buat kali yang terakhir. Jenazah lalu dibawa ke masjid untuk disembahyangkan.

Seusai pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kamarudin mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran sahabat handai dan rakan taulan yang menghantarkan kiriman SMS yang tidak sempat dibalasnya.

"Saya berasa terharu di atas kehadiran ramai sahabat, saya mohon maaf kepada Tuan Guru Abdul Hadi dan Dato' Seri Anwar serta ramai lagi, kerana waktu mereka datang berziarah, saya masih belum sampai ke rumah.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, di atas simpati dan doa beliau," ujarnya Kamarudin.

Kamariah, anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan, pergi meninggalkan empat orang anak iaitu Nur Adilah, 32; Saiful Adli, 27; Shahid Adli, 21 dan Nur Syifa, 18.

Pasangan Kamarudin dan Kamariah mempunyai seorang menantu iaitu suami kepada Nur Adilah, Rizal Fauzi dan seorang cucu berusia 11 bulan.

"Alhamdulillah mama pergi dengan baik, beliau meninggal dalam tidur. Malam itu beliau minta membawanya ke hospital pada waktu pagi, tetapi sudah ketentuan Allah," kata Nur Adilah kepada penulis.

Kamarudin dan isteri bertemu jodoh di akhir tahun 1975. Berkenalan ketika sama-sama sedang menuntut di London.

"Saya berkongsi kehidupan dengannya selama 34 tahun, sukar hendak digambarkan perasaan saya ketika ini," kata beliau kepada penulis sewaktu mengimbau kenangan bersama Kamariah.

Katanya, isteri beliau adalah lulusan biokimia dan bertugas di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.

Beliau bersara pilihan pada tahun 1993 pada usia 40 tahun kerana hendak menumpukan kepada keluarga dan anak-anak selepas Kamarudin bergiat aktif dalam politik.

"Yang saya tidak boleh lupa, apabila arwah begitu gigih membantu ketika saya ditahan selama 18 hari di bawah ISA pada tahun 1998.

"Beliaulah yang turun naik ke pejabat peguam, berjumpa polis. Hasil kegigihannya arwah dapat menemui saya dua kali," ujarnya.

Menurut Kamarudin, sepanjang 34 tahun perkongsian hidupnya dengan allahyarham, begitu banyak cabaran dan dugaan yang dihadapi, khususnya berkaitan politik dan kewangan.

- Al-Fatihah untuk Allahyarham Datin Kamariah Jaafar -

Monday, November 09, 2009

Pakatan OK, BN yang 'koyak rabak' sebenarnya

TIDAK ada sebab yang kukuh untuk ahli dan penyokong gabungan Pakatan Rakyat, berasa terlalu gusar tentang masa depan gabungan yang dikatakan sedang berkocak sehingga membawa kepada perpecahan.

Buat masa ini perpecahan tidak akan berlaku. Jika PAS yang keluar dari pakatan, PAS yang akan rugi. Jika DAP keluar, DAP akan rugi. Begitu juga dengan Parti KeADILan Rakyat.

Buat masa ini, jika ada mana-mana parti gabungan pakatan, yang mahu membuat haluan tersendiri, mereka akan ditolak oleh rakyat berbilang kaum dalam negara.

Ingat, negara tidak akan terbina dengan hanya kekuatan satu-satu kaum sahaja. Semua kaum memerlukan sokongan antara satu sama lain untuk hidup aman makmur.

Justeru, apabila Pakatan Rakyat dibentuk, hasil kepercayaan rakyat kepada PAS, KeADILan dan DAP untuk berhadapan dengan Barisan Nasional, maka jika Pakatan Rakyat hendak membentuk kerajaan baru di peringkat Pusat, ianya mestilah dengan dokongan semua pihak, semua kaum dan agama.

Apa yang berlaku hanyalah permainan licik media. Tidak dinafikan memang wujud pergeseran kecil antara Tan Sri Khalid Ibrahim, Dato' Dr Hasan Mohd Ali, Ronnie Liu dan lain-lain.

Wujud sedikit ketidak puasanhati pemimpin DAP negeri terhadap Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak dalam isu kandang babi, kouta perumahan untuk bumiputera dan pembahagian jawatan ketua-ketua kampung.

Wujud ketidak puasanhati PAS dan KeADILan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Pulau Pinang, yang dikatakan tidak banyak memberi ruang kepada PAS dan KeADILan.

Dari sudut dalaman parti, tidak dinafikan wujudnya beberapa pergeseran kecil antara individu pemimpin dalam PAS, KeADILan dan DAP.

Akibatnya, ia mencetuskan kesilapan pemimpin dan ahli tertentu, yang nampaknya mudah terpengaruh dengan permainan licik media pro-Umno, iaitu secara terang-terangan mengkritik antara satu sama lain.

Bagaimanapun semua ini hanyalah seumpama, 'kocakan sedikit air di dalam cawan sahaja'.

Ianya tidak akan sama sekali menjejaskan keutuhan kepimpinan PAS, KeADILan mahupun DAP dan ia tidak sekali-kali menjejaskan kesepakatan Pakatan Rakyat.

Apa yang penting, seluruh kepimpinan PAS, KeADILan dan DAP sedar bahawa, masing-masing tidak harus terlalu 'bold' untuk menegakkan perjuangan 'sectarian'.

Kepimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat seharusnya mencipta budaya exceptionalisme, dari sudut agama, nilai, tradisi dan moral-etika dengan menghormati perbezaan asas perjuangan parti yang berbeza.

Kepimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat harus disedarkan dan diikat dengan satu matlamat yang sama, iaitu berusaha mencapai hasil kesepakatan, membentuk Kerajaan Pusat dan Negeri, dengan menumbangkan Barisan Nasional.

Justeru, sasaran utama Pakatan Rakyat ialah untuk menggantikan BN, sebagai peneraju negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

BN seharusnya ditolak secara total kerana pertama; ia telah berkuasa terlalu lama sehingga melakukan banyak tindakan yang merugikan negara, kedua; BN masih gagal mengawal kestabilan agama dan kaum, ketiga; BN gagal menguruskan ekonomi negara dan keempat; pada waktu ini, hampir semua ahli gabungan utama BN sedang koyak rabak.

Cuma Umno sahaja 'kelihatan' kukuh. Umno dilihat kukuh kerana pergeseran dalamannya cepat ditutup media, walaupun keadaannya seperti 'tongkang pecah'. Ini belum lagi dibahas dari sudut sama ada relevan atau tidak perjuangan agama, bangsa dan negara yang dipelopori Umno selama ini.

Tetapi jika kita lihat sekarang, apa sudah jadi dengan parti-parti gabungan BN yang lain? Gerakan nampaknya sudah semakin pupus, yang tinggal hanya Tan Sri Koh Tsu Koon.

MIC sudah disisihkan terus dengan Presidennya, Dato' Seri S Samy Vellu bergaduh dengan PM dan MIC hanya menunggu masa untuk melingkup.

MCA sebagai parti terbesar mewakili kaum Cina sekarang ini berada dalam keadaan yang amat teruk dan sudah hampir lumat dikerat 18. Presidennya, Dato' Seri Ong Tee Keat dan Timbalannya, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek ditolak oleh Mesyuarat Agung Khas MCA.

Kedua-dua pemimpin yang bergaduh antara satu sama lain, kemudian ditolak oleh perwakilan, sebaliknya bergabung semula untuk berhadapan dengan satu kumpulan lain yang diketuai Naib Presiden MCA, Dato' Seri Liow Tiong Lai.

MCA sudah 'koyak' kata seorang pimpinan tertingginya sewaktu sembang-sembang dengan penulis di lobi Parlimen baru-baru ini.

Namun yang harus diteliti adalah, gesaan Ahli Parlimen Seri Gading, Dato' Mohamad Aziz yang menggesa Tee Keat dan Tsu Koon supaya meletakkan jawatan kerana tidak perform.

Tuduhan ini amat serius dan tidak harus dikesampingkan sahaja.

Bukan soal Mohamad Aziz, tetapi persoalan yang lebih besar ialah mengapa Kerajaan BN, SPRM, Umno mendiamkan sahaja dakwaan Pengerusi BBC BN, Dato' Seri Tiong King Sing yang memberikan wang tunai RM10 juta kepada Tee Keat.

"Tee Keat sendiri yang datang ambil, 10 juta (RM) berkotak-kotak, dia pandu kereta sendiri, Dato' Tiong tak bohong, figure yang dia bagi tepat," kata beberapa orang ahli parlimen BN semasa berborak sesama sendiri.

Ini belum lagi dibincangkan secara terperinci isu rasuah pemimpin Umno, dakwaan rasuah ke atas Samy Vellu dan lain-lain.

Isu-isu mengenai 'kejahatan' pemimpin-pemimpin BN, melakukan jenayah rasuah dan salah guna kuasa ini cuba dilindungi media massa pro mereka.

Akibat daripada penguasaan yang begitu lama, mereka tidak segan silu 'menyapu bersih' wang rakyat. Apa yang mereka lakukan amat dahsyat sekali.

Jika diteliti dan diperhalusi, 'kejahatan' mereka dan perpecahan yang melanda mereka, iaitu parti-parti komponen BN, jauh lebih dahsyat daripada pergeseran kecil dalam Pakatan Rakyat yang dipaparkan dalam artikel ini.

Malangnya ramai dari kalangan kita, sering terpengaruh dengan dakyah media jahat ini.

Justeru Umno-BN tidak kukuh sebenarnya, hanya media yang 'menambah-solek' dan menutupi kecacatan wajah mereka.

Pakatan Rakyat tidak berpecah sebenarnya, hanya media yang mengapi-apikan perpecahan.

Oleh itu jangan sesekali kita termasuk perangkap mereka dengan mempercayai dakyah bahawa Pakatan Rakyat merupakan pakatan yang rapuh.

Jika kita percaya dengan dakyah media, maka kita sendiri yang menghalang kemajuan dan tidak yakin keupayaan kita untuk menggantikan BN selepas PRU ke-13 nanti.

Monday, November 02, 2009

Memperbetulkan persepsi terhadap PAS


PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) sudah berada dalam arena politik negara dalam suatu jangka masa yang lama iaitu lebih 55 tahun, sejak ia ditubuhkan pada 23 November 1951.

Sepanjang pembabitannya dalam politik negara sejak sebelum merdeka lagi, PAS dikenali oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, sebagai sebuah parti Islam.

PAS memaktubkan dalam Perlembagannya, bahawa matlamat utamanya ialah untuk mewujudkan masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

Sebagai sebuah parti Islam, PAS bertanggungjawab mempertahankan kesucian Islam, memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Bagi mencapai tujuan tersebut PAS menggariskan 11 usaha dalam Perlembagannya, yang antara lainnya, meletakkan prinsip Islam yang utama dalam berpolitik sebagai usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap aspek.

PAS bertanggungjawab menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, dengan membantu memperbaiki perencanaan politik, ekonomi dan sistem sosial.

Untuk mencapai matlamat dan usahanya, PAS harus bekerjasama dengan badan politik atau lain-lain persatuan bila mana ianya mustahak dan sesuai dengan perjuangannya.

Di atas prinsip-prinsip Islam inilah PAS terus kekal dalam politik negara. Dengan prinsip ini juga PAS mengalami jatuh bangun, kalah menang, memimpin kerajaan negeri atau menjadi pembangkang.

Menyusuri sejarah politik PAS, PAS pernah beberapa kali bertahaluf atau menjalinkan kerjasama politik, sama ada dengan parti yang memerintah atau gabungan parti pembangkang.

PAS pernah bergabung dengan Perikatan (Barisan Nasional) pada tahun 1974, sebelum ditendang keluar pada tahun 1978.

Akibatnya, Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak 1955, ditumbangkan pada 1979 dengan cara yang mengaibkan hasil kegelojohan pemimpin Umno-BN.

PAS juga mengalami krisis kepimpinan apabila Yang Dipertua Agungnya, Dato' Asri Muda bersama beberapa yang lain menyertai Umno pada tahun 1982.

Kepimpinan PAS kemudiannya, diambilalih oleh al-Marhum Ustaz Yusof Rawa. PAS menjalani fasa kesuraman dalam perjuangannya. Wakil Parlimennya hanya tinggal seorang iaitu Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, beserta beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-7 pada tahun 1986, PAS memulakan era politik baru dengan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang seperti Nasma, SDP, CCC dan lain-lain.

Namun kerjasama tersebut tidak mampu memberikan impak besar kepada perubahan iklim politik. Status-quo PAS kekal dengan kerusi tunggal Parlimen dan beberapa kerusi Dun.

PAS mengalami sedikit perbalahan kecil di kalangan kepimpinan, sehingga Naib Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Nakhaie Ahmad meletak jawatan dan menyertai Umno. Bagaimanapun pemergian Nakhaie, tidak langsung memberi apa-apa kesan terhadap PAS.

PAS mula mengalami perubahan selepas kepimpinannya bertukar tangan. Ustaz Yusof Rawa mengundurkan diri kerana keuzuran pada tahun 1987, maka kepimpinan diambil alih oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan gandingan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.

Dalam masa yang sama Umno juga menghadapi pelbagai krisis kepimpinan, Tengku Razaleigh Hamzah bertembung dengan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan sengit jawatan Presiden Umno.

Perpecahan dalaman Umno turut mengheret krisis kehakiman dalam negara yang menyaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dipecat.

Umno berpecah dan diharamkan. Mahathir menubuhkan Umno baru, manakala Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Pada tahun 1989, PAS diajak bekerjasama dengan Tengku Razaleigh. Bertitik tolak daripada beberapa pertemuan antara kedua-dua parti maka terbentuk satu persefahaman politik baru.

PAS bergabung dengan Angkatan Perpaduan Ummah yang membariskan Semangat 46, Berjasa dan Hamim, manakala di sebelah pihak lain dibentuk Gagasan Rakyat yang menggabungkan DAP dan PSRM.

Semangat 46 menjadi orang tengah antara parti Angkatan Perpaduan Ummah dengan Gagasan Rakyat. Idea mewujudkan dua bentuk gabungan yang berbeza ialah dengan tujuan mengelakkan pertembungan antara PAS dan DAP yang bertentangan ideologi.

Bagaimanapun, sejarah politik tidak boleh menafikan kebijaksanaan Tengku Razaleigh, yang mampu meredakan ketengangan politik antara PAS dengan DAP, dengan mencapai matlamat yang satu iaitu menumbangkan Umno-BN.

Gabungan parti-parti pembangkang ini memasuki gelangang PRU ke-8 dengan jayanya walaupun tidak cukup kuat untuk memberikan impak untuk menumbangkan BN di peringkat Pusat.

Hasil dari kerjasama ini, PAS dan Semangat 46 menyapu bersih seluruh kerusi Parlimen dan Dun di Kelantan, beberapa kerusi Dun dan Parlimen di Terengganu. Hasil dari kerjasama ini juga PAS kembali menjadi parti yang dominan di Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada bulan Oktober 1990, sehingga kini sudah 19 tahun PAS memerintah Kelantan.

Namun kerjasama dengan gabungan Angkatan Perpaduan Ummah tidak lama. Menjelang PRU ke-9 pada tahun 1995, Semangat 46 berpecah, beberapa orang pemimpinnya kembali kepangkuan Umno.

Gagasan Rakyat juga tidak kekal kerana DAP membuat keputusan tidak mahu bekerjasama dengan PAS yang komited dengan ideologi Islamnya.

Walaupun berlaku sedikit kesuraman dalam gabungan pembangkang, PAS berjaya mengekalkan kerajaan negeri Kelantan dan kerusi-kerusi Dun dan Parlimen di Terengganu dan Kedah.

Kepimpinan PAS terus utuh dan mantap. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz, PAS menikmati era kepimpinan ulama yang gemilang di kemuncaknya.

Pada ketika itu wujud desas desus yang kuat bahawa Tengku Razaleigh mahu membubarkan Semangat 46 dan kembali kepangkuan Umno. Namun PAS tetap setia dengan kerjasama sehingga saat-saat akhir.

Selepas Tengku Razaleigh memasuki Umno, pembangkang tidak lagi bersatu. PAS dan DAP serta parti-parti lain membuat haluan sendiri.

Bermula tahun 1997 Umno-BN kembali dengan bibit perpecahan dalaman yang hebat. Akibat daripada perpecahan yang sudah sampai kekemuncak, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, dipecat pada September 1998.

Perpecahan dalaman Umno amat hebat sehingga Mahathir tidak menjangka waktu itu pengaruh Anwar begitu kuat di kalangan rakyat. Tiap-tiap minggu rakyat berdemonstrasi di Kuala Lumpur membantah kezaliman Mahathir terhadap Anwar.

Peluang yang terbuka itu memungkinkan satu kerjasama dibentuk menjelang PRU ke-10 tahun 1999. Ustaz Fadzil lantas bekerjasama dengan Anwar. Parti Keadilan Nasional ditubuhkan.

Ustaz Fadzil menerajui NGO yang dinamakan Gerak. Gerak berjaya menggabungkan berpuluh-puluh NGO untuk bersatu menentang kezaliman Mahathir.

Dalam masa yang sama parti-parti pembangkang menubuhkan Barisan Alternatif (BA). Hasil gabungan PAS, Keadilan, DAP dan PRM.

Gabungan BA amat unik. Masing-masing mempunyai ideologi yang jauh berbeza, namun bekerjasama atas matlamat yang sama untuk menumbangkan BN.

Gabungan ini menghasilkan impak yang kuat. Pembangkang menang 45 kerusi Parlimen, mengekalkan Kelantan, merampas Terengganu dari BN dan menguasai hampir separuh dari Kedah.

Walaupun masih tidak mampu menumbangkan BN keseluruhannya. Tetapi gabungan pembangkang ini, menunjukkan kesatuan yang hebat. Mereka berjaya mengetepikan ideologi, sebaliknya bekerjasama erat dalam pelbagai isu nasional.

Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya. Di kemuncak kerjaya politiknya, Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor, yang juga Ahli Parlimen Pendang dan Ketua Pembangkang, dipanggil pulang mengadap-Nya pada 23 Jun 2002.

Kehilangan Ustaz Fadzil amat dirasai sebilangan besar rakyat Malaysia, khususnya ahli-ahli dan kepimpinan PAS.

Ustaz Fadzil pergi, kepimpinan PAS bersilih ganti. Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengambilalih kepimpinan. Beliau juga Ketua Pembangkang dan Menteri Besar Terengganu.

Pada PRU ke-11 tahun 2004. BA menghadapi kesuraman yang besar, Terengganu terlepas, manakala Kelantan hampir tumbang. BN menang besar selepas Mahathir digantikan oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kemenangan besar BN, bukan kerana BN kuat. Tetapi akibat daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2003 dan berlaku beberapa kekecohan khususnya di Selangor pada hari pengundian.

Kemenangan BN pada waktu itu dikaitkan dengan perubahan persepsi rakyat kepada Umno-BN, dan memberi peluang kepada orang baru seperti Abdullah untuk menerajui negara.

Ringkasnya, kemenangan besar BN tidak lama. Hagemoni mereka tersekat pada PRU ke-12 tahun 2008. Kepimpinan Abdullah gagal memperkukuhkan Umno-BN. Gabungan PAS, KeADILan dan DAP berjaya membuat 'comeback' yang cukup besar dalam politik negara.

Kuasa besar dua pertiga majoriti BN di Parlimen hilang. BN tewas di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

Lantas ketiga-tiga parti ini membentuk Pakatan Rakyat. Kerjasama Pakatan Rakyat lebih baik dengan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

Umno-BN kehilangan arah. PM Abdullah menerima tekanan yang hebat. Genap setahun selepas PRU 2008, Abdullah terpaksa melepaskan jawatan kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Selepas setahun bergelut dengan pelbagai masalah dalaman, Umno-BN kini dilihat mula membuat reform dengan PM yang baru. Sementara Pakatan Rakyat kini dilanda pelbagai kemelut dalaman.

PAS punyai kemelut dalamannya sendiri. Begitu juga KeADILan dan DAP. Kemelut-kemelut ini jika dibiarkan berpanjangan, nescaya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Buat masa ini, penulis mahu memfokuskan tulisan ini kepada PAS sahaja.

Bagi kepimpinan, ahli dan penyokong PAS, mereka harus disedarkan bahawa dalam sejarah politik PAS yang disusur-galurkan dalam tulisan ini, walau apapun perseteruan atau berbezaan yang wujud di antara PAS, dengan rakan-rakan, PAS tidak pernah sama sekali mengkhianati tahaluf atau kerjasama politik yang dibina.

PAS juga harus sedar bahawa arus perubahan yang dilakukan PM Najib mungkin memberikan kesan dalam bentuk persepsi positif di kalangan rakyat.

PAS tidak seharusnya membenarkan sebarang persepsi negatif melandanya. Persepsi negatif ini hanya akan mengundang padah yang lebih buruk.

Jika PAS dan Pakatan Rakyat tersilap langkah, atau gagal menunjukkan kesepakatan yang baik, nescaya kesuraman besar yang berlaku pada PRU 2004, tidak mustahil boleh berulang pada PRU ke-13 nanti.

Fikirlah, jika rakyat boleh memberi peluang kepada Abdullah selepas persepsi buruk yang terpalit terhadap Mahathir, apakah rakyat tidak boleh memberi peluang sekali lagi kepada Umno-BN menerusi kepimpinan baru Najib?

Atau apakah PAS sanggup menunggu pusingan lain, iaitu barangkali pada PRU ke-14 atau PRU ke-15 untuk membuat 'come back' politik selepas dilanda kesuraman yang berterusan?

Sepanjang PAS membuat tahaluf atau kerjasama dengan pelbagai parti politik dan NGO, PAS sekali-kali tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan yang digariskan dalam Perlembagaannya. Yang berubah hanya pendekatan dan strategi.

Di atas prinsip inilah PAS dihormati, di atas kesetiaan dalam persahabatan inilah PAS dipercayai dan di atas kekuatan dan kemantapan kepimpinanlah PAS dilihat mampu menggantikan Umno sebagai parti terunggul Islam-Melayu suatu hari nanti.

Sepanjang 58 tahun penubuhan PAS (November 1951-kini), tidak ada seorangpun pemimpin yang boleh memecahbelahkan PAS. Tiada seorang pemimpinpun boleh mengheret PAS ke arah kemusnahan jika beliau keluar daripada parti.

PAS tidak boleh mengelak, kemungkinan wujud pemimpin yang mempunyai agenda peribadi. Namun, sehebatmanapun agenda peribadi seseorang pemimpin itu, nescaya dia tidak akan mampu merealisasikannya. Tiada seorangpun pemimpin yang boleh memaksa PAS menurut agenda peribadinya.

PAS bukan milik individu, PAS adalah milih jamaah keseluruhannya. Ke mana sahaja PAS pergi, sama ada bekerjasama atau berdikari sendirian, PAS tetap utuh sebagai satu pasukan dan dalam satu pasukan yang mantap.

Kemantapan PAS adalah hasil daripada tarbiah fikrah (pendidikan pemikiran) yang meletakkan Islam sebagai keutamaan perjuangan, lebih dari kepentingan diri sendiri.

Justeru untuk waktu ini, untuk menghadapi PRU ke-13 ini, PAS tidak harus menoleh kebelakang lagi. Kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat ialah kerjasama yang terbaik dalam sejarah politik negara.

PAS harus terus menjadi rakan kongsi yang strategik kepada Pakatan Rakyat. PAS harus yakin bahawa dengan kekuatan kepimpinan, kekuatan akar umbi, dengan rangkaian cawangan yang ada di setiap taman dan desa, bahawa suatu hari nanti PAS akan muncul sebagai parti yang dominan dan terunggul dalam persada politik negara.