Monday, February 25, 2013

Pakatan harapan rakyat untuk menggantikan BN

Pakatan Rakyat sudah menghampiri fasa terakhir penentuan 'hidup mati' perjuangan yang didokongi majoriti rakyat yang mendambakan perubahan besar dalam lanskap politik negara.

Selama lebih 55 tahun, rakyat berada di dalam tempurung cengkaman BN. Mahu tidak mahu rakyat 'terpaksa' menuruti segala kehendak dan acuan yang ditentukan BN selama ia memerintah.

Berikutan dengan tempoh berkuasa yang melepasi setengah abad, Umno-BN menjadi suatu institusi yang sangat dominan. Ia mendominasi institusi Raja, ia menguasai Parlimen, ia 'mendictate' institusi kehakiman, menguasai polis, SPR, SPRM dan pelbagai lagi institusi utama dalam negara.

Penguasaan yang terlalu besar ini menghasilkan suatu keadaan yang tidak seimbang, di mana seluruh sistem pentadbiran eksekutif, judiciari dan legislatif, dipergunakan sepenuhnya untuk memperkukuhkan, melindungi dan memanjangkan hayat BN.

Namun sepanjang mana pun usia sesebuah kerajaan, kehebat mana pun pemimpinnya, sekuat mana pun institusinya, ia pasti akan mencecah ke lembah kehancuran dan kepupusan.

Ia akan hancur dan pupus kerana kerajaan yang kuat itu terlalu bermewahan sehingga menanggung beban hutang yang besar. Ia juga disebabkan oleh kepimpinan yang terlalu korup dan institusi yang terbina, sudah tergelincir dari landasan asal perjuangan mereka.

Umno-BN sudah tergelincir jauh, akibat kelalain rakyat yang memberikan mandat secara 'absolute' kepada mereka, sehingga tiada 'check and balance' boleh dipertegaskan agar mereka tidak menyeleweng.

Umno sudah tersasar kerana ia bergabung dengan rakan-rakannya dalam BN, atas dasar memperjuangkan kepentingan bangsa, tetapi akhirnya bangsa itu dikesampingkan dengan amalan kronisme, korupsi dan nepotisme yang melampau.

Justeru, Umno tidak harus dibiarkan untuk kekal berkuasa. Umno tidak harus diberi peluang sekali lagi untuk menerajui negara selepas PRU13, kerana ia terbukti gagal memberikan jaminan masa depan yang baik buat rakyat.

Ia mendakwa berjaya membangunkan negara, membawa arus pemodenan, tetapi sebaliknya cuba menyembunyikan akibat bahawa negara sudah hampir muflis kerana menanggung beban hutang yang besar.

Umno terbukti gagal mensejahterakan hubungan antara kaum, apabila akhbar miliknya sentiasa menyiarkan propaganda rasis yang boleh mencetuskan permusuhan kaum.

Umno gagal memupuk keharmonian beragama kerana ia sentiasa melakukan provokasi, sehingga penganut agama tertentu berasa tertekan dan mempunyai daya sensitiviti yang tinggi.

Umno terbukti jahat ke atas kaumnya sendiri iaitu orang-orang Melayu, oleh hanya kerana mereka berbeza politik, ia menyekat petroleum, menghalang pelaburan dan sentiasa mencetuskan ketidakselesaan di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Pendek kata, Umno adalah spesies yang jahat dan tidak boleh dipercayai. Semasa ia gah ditampuk kuasa, ia akan menindas dan menzalimi sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengannya, walaupun yang sebangsa dan seagama.

Manakala, tatkala ia terjatuh terjelepuk pada PRU 2008, ia mula menghulurkan tali silaturrahim, dengan alasan jika Melayu tidak bersatu, bangsa akan musnah.

Sifat hipokrit ini menjadi rutin dan mainan mereka. Mereka menyalahkan individu tertentu, menyalahkan kaum atau kelompok tertentu, yang didakwa mengancam masa depan agama dan bangsa, sedangkan selama lebih 50 tahun, ia menjadi punca kehancuran bangsanya sendiri.

Justeru, bagi rakyat yang amat-amat prihatin dengan masa depan agama, masa depan anak-anak bangsa, khususnya orang-orang Melayu tidak harus sama sekali ragu-ragu untuk meninggalkan Umno.

Jika tiga orang bekas Presiden Umno, seperti Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn sendiri, diakhir hayat mereka menolak Umno, maka apatah lagi kita, orang kebanyakan.

Maka pada PRU13 ini, pilihlah Pakatan Rakyat. Iaitu Pakatan yang berjaya memerintah dengan cemerlang di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Pakatan yang bakal membawa kecemerlangan di peringkat Persekutuan dengan mandat besar rakyat pada PRU13.

Tanpa ragu-ragu, pada Pakatanlah rakyat menyandarkan harapan untuk menggantikan BN.

Thursday, February 14, 2013

Umno-Gerakan-MCA berganyang gara-gara tarian kuda

BN Pulau Pinang menggunakan penyanyi Psy, akhirnya memalukan Najib.
Malam Selasa lepas, penulis menerima mesej daripada seorang rakan dari Pulau Pinang berhubung dengan peristiwa yang berlaku kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sejurus sebelum persembahan penyanyi Korea Selatan, Psy Gangnam Sytle di padang Sekolah Han Chiang.

Menurut rakan tersebut, beliau berjumpa dengan seorang bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian di negeri tersebut, antara lain menyebutkan;

"BN kantoi lagi Penang nampaknya lepas ni..Najib marah teruk kes Psy ..depa siap askar (anggota upahan) untuk sambut apa yang dia akan ucap...Najib marah sebab depa tak sorak kata 'yes' kepada BN."

Jika kita duduk pada tempat Najib, kita pun akan marah. Belanja program bukannya sedikit, ianya menelan belanja berjuta-juta, sebaliknya penyokong-penyokong yang diupah untuk bersorak, duduk ternganga menunggu persembahan Psy Gangnam Style.

Tindakan pengunjung menjerit 'No' (tidak) apabila PM menyebut BN, bukan sahaja memalukan PM, malah seluruh anggota Umno-BN seluruh negara terpaksa menanggung malu.

Masalahnya kini adalah, apa yang dilakukan oleh Gerakan dan MCA di Pulau Pinang, termasuk menjemput Psy, lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

Tambah-tambah lagi Umno Pulau Pinang, yang masih belum hilang bengang mereka minggu lepas, apabila TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow sebagai ketua menteri jika BN menang Pilihan Raya Umum.

Sedangkan Umno yang mendominasi politik di Pulau Pinang, selepas Gerakan dan MCA kalah di semua kerusi, diketepikan begitu sahaja.

Sekali gus dengan pengumuman Muhyiddin, usaha Umno menggembar-gemburkan semangat Melayu dan Bumiputera untuk menentang kerajaan Pakatan Rakyat selama bertahun-tahun, sudah tidak relevan sama sekali.

Malah, apabila klip video Najib dimalukan di Pulau Pinang tersebar di internet, seluruh warga bloggers dan facebookers Umno-BN menjadi terkedu. Dalam tempoh yang agak lama, mereka mendiamkan diri, tidak mampu bersuara.

Mereka terkedu kerana seminggu sebelum itu, dengan bongkaknya PM memberi amaran kepada pembangkang, bahawa jangan sesekali membuat kacau jika kalah pilihan raya.

Ketika membuat kenyataan tersebut, Najib berada dalam posisi yang terlalu yakin dan keyakinan beliau disambut dengan tepuk sorak juak mereka di laman sesawang.

Namun, keyakinan tinggi untuk memenangi PRU13 yang dibina Najib, runtuh berkecai akibat daripada ungkapan tiga kali 'Ya' untuk Psy dan tiga kali 'Tidak' untuk BN sejurus sebelum persembahan Psy yang menelan belanja jutaan ringgit di Pulau Pinang.

Persoalan siapa yang menaja persembahan Psy tidak berbangkit. Ada yang kata RM2 juta, ada yang kata USD2juta yang bersamaan RM6.2 juta. Tetapi yang dipersoalkan adalah matlamat program tersebut dianjurkan. Ia menunjukkan, betapa BN dan kroni mereka, sanggup menggunakan wang berjuta-juta ringgit, atau dalam istilah politiknya, menggunakan 'kuasa wang' untuk membina imej BN dan PM.

Malangnya hajat mereka tidak kesampaian. 'Kuasa wang" sudah menjadi pembaziran berjuta-juta akibat ditolak rakyat. Rakyat mungkin tidak peduli siapa yang menaja Psy, tetapi terpahat difikiran rakyat, bahawa nilai tiga kali perkataan 'Tidak" kepada Najib dan BN, nilainya adalah berjuta-juta.

Betapa besarnya nilai yang memalukan Najib itu disambut dengan kemarahan blogger dan facebookers Umno kepada Gerakan, MCA dan Umno Pulau Pinang sendiri.

Pada mereka, Pengerusi Umno Pulau Pinang, Dato' Zainal Abidin Osman gagal memainkan peranan untuk memastikan Najib tidak dimalukan.

Kata mereka, Zainal nampaknya hanya pandai mengatur projek, padahal beliau sepatutnya mengatur 10,000 'askar upahan' Umno untuk berteleku di hadapan pentas bagi mengiyakan apa sahaja kata Presiden mereka.

Malah kemarahan yang dihamburkan terhadap Gerakan dan MCA Pulau Pinang lebih dahsyat. Bagi mereka Gerakan dan MCA sudah 'hancur' dan tidak terpakai lagi kerana ditolak kaum Cina.

Sehingga ada yang menggesa supaya Gerakan dan MCA dibubarkan sahaja, bagi membolehkan ahli-ahli mereka masuk dalam parti-parti komponen lain.

Apa yang berlaku sebenarnya adalah manifestasi kepada kegagalan idealisme BN yang berjuang berasaskan kaum. Idealisme ini sudah tidak 'valid' dan tidak diterima lagi oleh rakyat.

BN cuba untuk mengkesampingkan hakikat bahawa mereka adalah gabungan yang 'rotten dan perish'. Yang tinggal hanyalah Umno. Gerakan, MCA, MIC sudah tidak relevan kerana ditolak rakyat.

Perjuangan BN yang berasaskan kaum sudah terkubur kerana kerusi majoriti kaum Cina sudah tidak mampu dimenangi MCA dan Gerakan. Mereka terpaksa bergantung kepada Umno, menerusi kerusi campuran yang diperuntukkan kepada MCA atau Gerakan.

Oleh kerana tiada kerusi majoriti kaum India, maka calon BN dari MIC juga bergantung kepada Umno.

Misalnya di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju. MCA tidak ada kekuatan, cawangan tidak banyak, yang banyaknya adalah cawangan Umno. Tetapi Umno Bahagian rela menjadi 'kuda tunggangan' MCA kerana kouta kerusi itu diberikan kepada MCA.

Hari ini Umno di kedua-dua bahagian tersebut sudah 'naik angin'. Mereka menghantar memorandum dan bantahan kepada pucuk pimpinan. Kata mereka, jika letak calon Cina sama ada dari MCA atau Gerakan, sudah pasti akan kalah, kerana majoriti pengundi adalah kaum Melayu.

Percakaran yang berlaku ini menunjukkan bahawa Umno sudah tidak yakin dan meragui kemampuan rakan komponennya. Kerana bagi Umno, jika MCA dan Gerakan sudah tewas di lubuk mereka, iaitu kawasan majoriti kaum Cina, maka mereka tidak akan mampu menyumbang kerusi bagi memastikan kerajaan BN kekal memerintah.

Sehingga kini, lubuk Gerakan dan MCA, khususnya di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masih belum ada tanda-tanda positif untuk menyumbangkan kerusi buat BN.

Usaha terakhir di Pulau Pinang untuk menggunakan pentas penyanyi popular Psy, untuk menarik skongan kepada BN, turut gagal.

Tarian kuda yang dipertaruhkan sudah menjadi 'feng shui' buruk buat Najib dan isterinya yang turut berada di situ. Tarian kuda membuktikan bahawa Umno sebenarnya menjadi kuda tunggangan Gerakan dan MCA di Pulau Pinang selama bertahun-tahun.

Tarian 'Gangnam style' yang ditunggu-tunggu sudah menjadi 'ganyang style' sesama komponen BN.

Moga-moga ianya mempercepatkan kejatuhan mereka pada PRU akan datang.

Tuesday, February 12, 2013

Samseng BN merosakkan sistem demokrasi berpilihan raya

Beberapa insiden keganasan yang berlaku mutakhir ini, mencemar kedaulatan undang-undang dan merosakkan sistem demokrasi berpilihan raya di Malaysia.

Dalam mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi, semua rakyat diberikan kesaksamaan dan semua parti politik yang terbabit, harus mengawal kegiatannya mengikut lunas-lunas yang ditetapkan.

Sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan dalam negara kita, seharusnya memberi ruang yang saksama kepada mana-mana pihak untuk berkempen, berceramah, menyampaikan risalah dan sebagainya, bagi mendekati serta mendapatkan sokongan pengundi.

Begitu juga di negara-negara lain. Mereka mengamalkan demokrasi, memberi ruang kepada semua parti sama ada kerajaan atau pembangkang, mendapat ruang yang saksama dalam televisyen, radio dan akhbar.

Malangnya demokrasi cara ini tidak dibenarkan di Malaysia. Kerajaan Umno-BN yang memerintah lebih 55 tahun, tidak sama sekali membuka ruang walau seminit pun kepada parti-parti pembangkang.

Jika pun disiarkan berita, rencana atau pun fokus mengenai parti pembangkang, semuanya yang buruk dan hodoh-hodoh belaka.

Keadilan sebegini memang tidak wujud. Umno-BN menutup segenap ruang demokrasi kepada parti pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat untuk bersuara.

Umno-BN tidak membenarkan pemimpin Pakatan Rakyat diberi ruang dalam televisyen, radio dan akhbar milik atau pro kerajaan. Ada akhbar terbitan PAS, KeADILan dan DAP, tetapi ia dihadkan permit dan dikawal pengedarannya.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat difitnah dan diburuk-burukkan saban hari media pro Umno-BN ini, sedangkan ruang untuk mereka menjawab tidak diberikan.

Amalan yang dilakukan Umno-BN ini, jauh lebih buruk daripada yang dilakukan pemerintah di Indonesia, Thailand, Filipina dan beberapa negara serantau.

Justeru Pakatan Rakyat tidak ada pilihan. Pemimpinnya harus dipertahankan, dasar dan programnya harus dikemukakan dan segala salah laku yang dilakukan BN, harus dibentangkan kepada rakyat.

Oleh itu, dalam keadaan ruang bersuara secara adil sudah ditutup, maka tidak ada pilihan lain selain mendekati terus kepada rakyat melalui medium ceramah.

Ceramah tertakluk kepada akta yang dibenarkan kepada mana-mana parti politik untuk berhimpun dan menyampaikan program mereka.

Tetapi mutakhir ini ceramah-ceramah Pakatan Rakyat sudah dicemari. Dicemari dengan gangguan, balingan objek keras, membuat bising, menyekat dan menghalau penceramah Pakatan Rakyat.

Ia berikutan beberapa kejadian, halangan dan sehingga ada yang menyebabkan kecederaan di Jalan Kebun, Gombak, Felda Kampung Awah, Felda Bukit Rotan, Felda Kota Gelanggi dan Felda Sungai Tengi.

Secara jelas pihak yang terbabit dalam keganasan ini, terdiri dari anak-anak muda Umno, pemuda dari Perkasa dan lebih malang lagi, anggota polis yang bertugas di tempat kejadian, seolah-olahnya membiarkan sahaja keganasan tersebut berlaku.

Demokrasi apakah ini? Apakah kerana Umno-BN sudah menghidu mereka akan tumbang, mereka terlalu takut dengan kekalahan, maka mereka menaja keganasan untuk mengendurkan aktiviti Pakatan Rakyat?

Lebih-lebih lagi kawasan Felda yang menjadi kubu kuat BN. Nampaknya Umno terpaksa mengerah seluruh keringat untuk membentengi Felda, walaupun ianya bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Nampaknya keluhuran demokrasi sudah 'dipersetankan' oleh Umno-BN, demi menegakkan kerajaan yang semakin reput.

Kita mendapati undang-undang diketepikan, kita menggesa polis supaya menjaga keamanan dengan saksama dan mengambil tindakan 'tanpa memilih bulu'

Kita mahu keganasan Umno-BN ini dihentikan serta merta, sebelum ia mencetuskan suasana yang lebih buruk pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Tuesday, February 05, 2013

Ikhwan Jordan doakan Pakatan menang PRU

Kunjungi Dr Ishak al-Farhan di kediaman beliau, di Amman ibu negara Jordan.
(Artikel ditulis pada 29 Januari 2013 dari Mafraq, Jordan)

Gerakan Ikhwan Muslimin Jordan tidak memasuki Pilihan Raya Umum Jordan yang berakhir minggu lepas. Bagi Ikhwan, sama ada mereka masuk pilihan raya atau tidak, keadaannya sama sahaja.
Ini kerana Perlembagaan Jordan menetapkan kuasa Raja Jordan melebihi kuasa yang diberikan kepada rakyat. Kuasa Raja sebanyak 60 peratus, manakala kuasa rakyat dihadkan hanya 40 peratus. Jika pun Ikhwan menang dalam pilihan raya, kuasa menentukan kemenangan atau kedudukan dalam kerajaan, terletak kepada kuasa Raja.

"Oleh kerana itu kami tidak masuk pilihan raya, dalam erti kata lain kami memboikot pilihan raya, selagi sistem pilihan raya tidak dibetulkan, selagi demokrasi sebenar tidak dilaksanakan," kata tokoh Ikhwan Jordan, Dr Ishak al-Farhan ketika ditemui penulis di kediaman beliau Amman.

Penulis merasa bertuah kerana berkesempatan mengunjungi Dr Ishak di kediaman beliau Ahad lepas dan menyampaikan salam Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi. Dr Syed Azman yang memberikan nombor telefon Dr Ishak. Beliau meminta penulis menemui tokoh tersebut ketika mengunjungi Amman.

Dr Ishak yang sudah berusia bukan calang-calang ulama di Jordan. Beliau amat disegani dan digeruni, kerana ketokohan dan keilmuan beliau. Jika di Malaysia, ketokohannya seperti Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dr Ishak adalah bekas Menteri Pendidikan Jordan, bekas Menteri Wakaf dan bekas Presiden Gabungan Universiti di negara tersebut. Beliau menjadi tempat rujukan utama penggerak Ikhwan di Jordan, Syria dan Palestin.

"Saya sudah bersara, sekarang ini hanya berehat," kata beliau merendah diri kepada penulis.

Dr Ishak yang fasih berbahasa Inggeris, mempunyai pengetahuan yang agak luas mengenai politik Malaysia. Menurut Dr Ishak, beliau beberapa kali pernah berkunjung ke Kuala Lumpur dan bertemu pemimpin serta tokoh-tokoh politik di Malaysia.

Di kesempatan itu juga penulis sempat memaklumkan beberapa perkembangan mengenai gerakan Islam, khususnya PAS kepada beliau.

"Saya dengar anda akan menghadapi pilihan raya umum dalam tempoh terdekat ini, saya doakan agar parti-parti gabungan pembangkang (Pakatan Rakyat) dapat menang pilihan raya dan memerintah Malaysia dengan demokrasi sebenar.

"Semasa saya mengunjungi Malaysia, saya dapati orang Islam di sana mempunyai akhlak yang baik dan kebanyakan mereka penganut Islam yang bagus. Justeru saya doakan agar parti Islam (PAS) dapat menjadi pelopor utama kebangkitan dan perkembangan Islam di Malaysia dan di seluruh Asia Tenggara" ujar beliau.

Membicarakan lebih lanjut tentang Jordan, atau dalam bahasa Arabnya 'Urdun, ia merupakan antara negara Arab yang termasuk dalam gelaran 'Syam' sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Wilayah Syam termasuk Lubnan, Syria, Palestin dan Jordan. Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah di Turki, Jordan diperintah secara monarki atau Raja Berpelembagaan sehingga sekarang.

Dengan bumi seluas 89,342 km persegi, Jordan berada dalam kedudukan yang amat strategik. Ia bersempadan dengan Arab Saudi, Iraq, Syria, Palestin (Jajahan Israel) dan Mesir. Penduduknya sekitar 6.6 juta orang sahaja dan 98 peratus daripadanya terdiri daripada bangsa Arab. 94 peratus penduduknya beragama Islam, manakala selebihnya adalah penganut Kristian.

Jordan menggelarkan dirinya sebagai 'The Hashemite Kingdom of Jordan' atau negara keturunan Bani Hashim (keturunan Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa Quraisy.

Dari sudut politiknya, Arab Spring yang melanda beberapa negara Arab seperti di Maghribi, Tunisia, Libya dan Mesir, masih belum berkunjung ke Jordan. Sebahagian besar penduduknya, khususnya di Amman, menjalani kehidupan yang agak moden dan kehidupan rakyat di bandar-bandar lain tidak semiskin rakyat di Mesir.

Selain dari parti-parti politik yang dikuasai Raja, Jordan mempunyai dua puak Islam. Satu, Ikhwan Muslimin, satu lagi golongan Salafi. Golongan Salafi mempunyai pendirian dan pegangan yang agak 'syadid' dalam perihal agama dan politik.

Berlaku beberapa demonstrasi kecil di Jordan, khususnya dari golongan salafi yang menggesa kerajaan memutuskan perjanjian damai dengan Israel dan menggesa agar dihapuskan rasuah dalam negara. Untuk rekod, Jordan dianggap antara negara utama yang menjadi sekutu rapat Israel dan beberapa sumber utamanya, seperti bekalan air diperolehi dari Israel.

Ikhwan Muslimin mempunyai pendekatan yang berbeza. Pemimpinnya, Himmam Said sebelum ini, menggesa Raja Abdullah II supaya mempertimbangkan tuntutan rakyat untuk mewujudkan reformasi dalam politik.

"Kami mahu Raja Abdullah akan membuat reformasi politik yang realistik, namun, kami kesal kerana ternyata beliau tidak serius tentang hal tersebut," ujar Said kepada media sebelum ini.

Bagi Ikhwan, masalah besar yang dihadapi negara tersebut adalah bebanan kewangan dan hutang yang besar. Ianya lama-kelamaan yang menyebabkan rakyat berada dalam keadaan yang sukar.

"Untuk menjalani kehidupan, akan menjadi lebih mahal. Kerajaan kelihatan berusaha untuk menutup korupsi bukan berjuang untuk menentangnya," tegas Said.

Menyentuh mengenai soal PRU, Himmam Said mempunyai pandangan yang sama dengan Dr Ishak. Beliau berkata,"Undang-undang baru tidak sebagus dengan apa yang rakyat Jordan inginkan. Kami ingin kerajaan mempertimbangkan tuntutan rakyat, bukan atas keinginan Amerika Syarikat dan keinginan Eropah dalam membuat undang-undang baru dan reformasi.

"Malah kalangan rakyat Jordan yakin, pihak yang bertanggungjawab akan memanipulasi pilihan raya dan kebimbangan mereka itu tidak berasas," ujarnya, sambil mendakwa akan berlaku ledakan sosial jika reformasi gagal diterapkan.

Persoalan demokrasi dan ketidak adilan dalam sistem pilihan raya bukan berlaku di Jordan sahaja. Ia wujud di keseluruhan negara Arab. Pemerintah negara Arab, kebanyakan mereka diperlihara oleh penjajah Itali, Peranchis, British yang kebanyakan mereka kini mempunyai hubungan yang akrab dengan Amerika Syarikat.

Oleh sebab itu, sama ada yang mempunyai pemerintahan beraja atau pun republik, kebanyakan mereka memerintah secara kuasa mutlak raja atau cara 'kuku besi', tidak memberikan ruang demokrasi sebenar terlaksana dalam negara.

Akibat daripada itu pemerintah negara Arab sejak puluhan tahun memerintah secara rejim kuku besi, membunuh dan menyeksa seteru politik, mengharamkan parti penentang, menutup ruang demokrasi, walau dengan apa cara pun, mereka dibiarkan dan 'dipelihara' oleh Amerika dalam keadaan sedemikian, semata-mata untuk mengekang kebangkitan Islam.

Namun kita yakin, bantuan dan sokongan Amerika Syarikat ada hadnya. Sezalim mana atau sekuat mana pun sesebuah kerajaan itu, ia akan dihentikan dengan kebangkitan kuasa rakyat (tsaurah).

Kita doakan, mudah-mudahan 'tsaurah' yang melanda Mesir dan negara-negara Arab di Utara Benua Afrika, akan melanda keseluruh jazirah Arab, Insya Allah.

Monday, February 04, 2013

Pengaruh Ikhwan semakin kukuh di Mesir

Presiden Mohammad Morsi
(Artikel ditulis pada 25 Januari 2013 dari Kaherah, Mesir)

Tanggal 25 Januari 2013, rakyat Mesir menyambut ulangtahun kedua 'tsaurah' (kebangkitan revolusi rakyat), tumbangnya diktator zalim Hosni Mubarak, yang ditumbangkan menerusi demonstrasi jutaan rakyat di Dataran Tahrir di tengah-tengah kota Kaherah.

Penulis yang berkesempatan berada di Kaherah sebelum berlepas ke Amman, Jordan, dapat melihat riak kegembiraan rakyat Mesir, yang merasakan kehidupan mereka jauh lebih baik daripada puluhan tahun di bawah pemerintahan diktator zalim.

Lebih-lebih lagi ialah apabila kerajaan baru yang memerintah Mesir dikuasai golongan Islam dari Parti al-Hurriyah wal-Adalah (Kebebasan dan Keadilan) atau nama ringkasnya FJP yang dinaungi gerakan Islam Ikhwan Muslimin.

Jalan-jalan di kota Kaherah pada cuti Sambutan Maulidur Rasul 24 Januari lepas, sesak dengan ribuan sukarelawan yang turun membersihkan bangunan, mencuci dan mengecat tembok, membaiki lampu jalan dan segala bentuk kerja-kerja amal.

Mesir hari ini berada di dalam suasana yang amat aman dan stabil. Dua bulan lepas, selepas Presiden Mohammad Morsi mengeluarkan Dekri Presiden, 22 November 2012, terdapat sedikit kekacauan yang dicetuskan oleh puak fulul, iaitu bekas-bekas pemimpin parti Hosni Mubarak.

Pada waktu itu tidak kurang dari kalangan pendukung Islam yang bimbang dengan tindakan Morsi. Sehingga ada yang mengatakan beliau terlalu gopoh dan tidak berhati-hati.

Namun tindakan Morsi adalah betul. Beliau ditimpa dengan tekanan yang cukup hebat, kuasa yang cukup terbatas dan berhadapan dengan pelbagai sabotaj lantaran mewarisi kerajaan dari diktator zalim.

Kuasa rakyat menumbangkan Mubarak pada 25 Januari 2011. Setahun selepas itu, pada bulan Januari 2012 diadakan Pilihan Raya Umum Mesir di mana FJP menguasai lebih 60 peratus kerusi Parlimen dalam negara.

Kemudian, pada bulan Jun 2012, diadakan Pilihan Raya Presiden, di mana kemenangan berpihak kepada Morsi.

Dua kemenangan ini, bagaimana pun tidak mencukupi kerana kekangan perlembagaan lama, kuasa Morsi masih terbatas kerana Istana Presiden dikuasai orang Mubarak, hakim orang Mubarak, tentera dan polis orang Mubarak.

Hal yang sama bakal dihadapi Pakatan Rakyat jika menguasai Putrajaya selepas PRU nanti kerana seluruh institusi utama dikuasai pengikut Umno-Barisan Nasional.

Justeru Morsi tidak ada pilihan. Sama ada beliau mesti mengikut kehendak pengikut Mubarak, menjadi Presiden 'patung' atau digulingkan dari tampuk kuasa.

Sehingga sekumpulan pihak bergabung, menggunakan hakim-hakim untuk menjatuhkan Morsi. Namun perancangan jahat mereka dapat dikesan dan Morsi bertindak melancarkan dekri.

Hasil ketegasan Morsi, menetapkan diadakan referendum rakyat 15 Disember 2013, sekali lagi memberi kemenangan kepada rakyat Mesir.

Ini bermakna rakyat Mesir memberi kepercayaan kepada Ikhwan Muslimin untuk menerajui negara. Ikhwan memenangi tiga PRU, iaitu PRU Parlimen pada bulan Januari, PRU Presiden pada bulan Jun dan PRU Perlembagaan (referendum) pada 15 Disember 2012.

Ketiga-tiga keputusan ini menjadikan pengaruh Ikhwan semakin kukuh di Mesir.

Laluan berliku buat Ikhwan dan Morsi

Laluan yang diterokai Ikhwan Muslimin bukannya mudah. Mereka ditekan, ditindas dan ramai pemimpin utamanya gugur syahid dibunuh diktator zalim, sejak 80 tahun yang lalu.

Sebahagian besar pemimpin utama Ikhwan adalah banduan politik yang disumbat dan diseksa bertahun-tahun dalam penjara Mesir, hanya kerana mereka sebuah gerakan Islam. Di zaman diktator berkuasa, Ikhwan terpaksa bergerak dan mengkaderkan anggotanya secara 'siir' (rahsia).

Beberapa tahun lepas ketika penulis mengunjungi Mesir sebelum 'tsaurah', terpaksa bersembunyi-sembunyi untuk berjumpa dengan pemimpin Ikhwan. Buku-buku dakwah yang ditulis Imam Hassan al-Banna, Sheikh Mustafa Mashur, Said Hawwa dan lain-lain terpaksa dijual secara sorok-sorok.

Hari ini, alhamdulillah, semuanya terbuka. Sabotaj masih ada, kekangan masih wujud, tetapi ia akan tenggelam sedikit demi sedikit, dimamah kuasa rakyat.

Jika kita mengungkap kembali PRU Presiden, berlaku usaha untuk mensabotaj kemenangan Morsi. Calon pro Barat iaitu Ahmad Syafiq, memang merupakan anak didik Mubarak, beliau didokong oleh tentera.

Khabarnya, pada PRU tersebut Majlis Tentera yang menguasai kerajaan sementara, merancang untuk mengisytiharkan Ahmad Syafiq sebagai pemenang dalam pilihan raya presiden lalu.

Namun, berdasarkan laporan perisikan menyatakan hura hara yang dahsyat akan berlaku jika Ahmad Syafiq diisytiharkan menang secara tipu, maka tentera terpaksa mengumumkan calon sebenar yang adalah Mohammad Morsi.

Sehingga kini, Ahmad Syafiq yang berada di UAE, berusaha menjadi 'mastermind' utama untuk menggulingkan Morsi. Ada laporan memberitahu beberapa buah negara Arab yang takut 'tsaurah' Mesir berjangkit ke negara mereka, berusaha membekalkan penentang Morsi dengan dana sebesar USD40 billion.

Mereka membeli hampir kesemua surah khabar, membeli saluran tv satelit, membeli stesyen radio, mengupah samseng-samseng untuk bertempur dgn polis dan membakar pejabat pejabat Ikhwan, hingga hampir 28 pejabat Ikhwan dibakar di seluruh Mesir.

Dalam satu pertempuran yang berlaku di Istana Ittihadiah (Istana Presiden), sepuluh orang syahid, beratus-ratus pemuda Ikhwan cedera parah, lebih seribu yang cedera sedangkan mereka tidak bersenjata. Mereka ditembak oleh puak penyangak upahan. Namun apabila desakan dibuat terhadap polis, polis mengatakan, "Mungkin orang Ikhwan sendiri yang membakar pejabat dan membuat tembakan."

Itulah tekanan berat yang dihadapi Ikhwan Muslimin. Namun Mursyidul Am Ikhwan, Dr Mohamad Badi'e dan Presiden Morsi sendiri tidak gopoh dan bersabar dengan karenah birokrasi dan sabotaj.

Selepas menang Referendum Perlembagaan, ketua-ketua golongan penyangak ini bakal berhadapan dengan hukuman rakyat.

Antara yang sedang disiasat adalah pegawai kerajaan iaitu bekas Peguam Negara, Abdul Majid Mahmoud dan Ketua Kelab Hakim, Ahmad Zind.

Ahmad Zind menjadi menjadi Ketua Kelab Hakim sejak zaman Mubarak hingga sekarang, memainkan peranan dengan menggambarkan kepada rakyat bahawa Morsi melanggar dan tidak menghormati badan kehakiman.

Seorang lagi adalah Tahani Jibali, iaitu Hakim Mahkamah Perlembagaan, yang menjadi perancang utama yang menyebabkan mahkamah perlembagaan menjatuhkan hukuman membubarkan parlimen pertama selepas revolusi yg dipilih oleh 30 juta rakyat.

Beliau juga merancang untuk membubarkan Dewan Negara, Jawatankuasa Penulisan Dustur (Perlembagaan) dan cuba membatalkan semua keputusan yang dibuat oleh Presiden.

Manakala penyangak dari golongan politik adalah Dr Mohamad al-Bardaie, yang menjadi anak didik Amerika Syarikat. Secara terbuka beliau menggesa Amerika membantunya menyekat Morsi dan Ikhwan. Beliau secara lantang mengatakan beliau mahu menghalang program Islam terlaksana di Mesir.

Bardaie bekerjasama dengan ketua Parti Tayyar Syabi, Hamdin Sobahi dan ketua Parti Muktamar, Amru Musa.

Setakat ini semua demonstrasi, fitnah media, pembunuhan dan pelbagai sabotaj dibuat terhadap kerajaan Mesir menemui kegagalan.

Mereka mendakwa memperjuangkan demokrasi sebenar, namun sebaliknya mereka cuba menyekat kemaraan agama Allah, mereka merancang, namun kita yakin Allah pasti akan memenangkan agama-Nya.

Monday, January 21, 2013

Bicara dengan Tok Guru di Rumah Kelantan

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Tuan Guru ditemani Wan Zul sewaktu ditemui penulis di Rumah Kelantan.
Pagi Ahad lepas, penulis menerima panggilan dari Wan Zulkifli Wan Muhammad, Pembantu Khas Politik kepada Menteri Besar Kelantan. Beliau yang lebih dikenali dengan nama Haji Wan Zul, memberitahu bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hendak berjumpa di Rumah Kelantan, Jalan Stonor, Kuala Lumpur, jam 10.00 pagi.

Mulanya berasa hendak berehat kerana sudah beberapa hari kesibukan kerana terbabit dalam mobilisasi Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka. Tambahan pula pagi itu hujan membasahi bumi, kesejukan dan keletihan mengakibatkan kemalasan melanda.

Namun panggilan dari Wan Zul, kembali menyegarkan minda. Bergegas ke Rumah Kelantan untuk memenuhi arahan Musyidul Am PAS, lebih utama.

Sesampai di Rumah Kelantan, Tok Guru sudah menunggu. Beliau ditemani Wan Zul dan pengawal peribadinya, Zakaria Deraman (Pok Ya).

Tok Guru tersenyum sambil menjawab salam penulis. Setelah bersalaman dan mencium tangannya, bagi mengambil berkat ulama, penulis duduk disisi beliau. Beliau memakai ketayap putih serta jubah putih dan vest KL112 warna kuning. Lencana R turut tersemat didada beliau.

Menjadi kelaziman bagi MB Kelantan itu jika berkunjung ke Kuala Lumpur, untuk menginap di Rumah Kelantan. Banglo agam dua tingkat itu sudah terbina lama sebelum beliau menjadi MB.

Keadaan di dalam banglo lama itu tidak ubah seperti 20 tahun yang lalu. Masih menggunakan sofa lama, kerusi lama, tidak banyak perabot dan barang-barang perhiasan. Langsirnya juga pun masih kekal seperti dahulu. Jika hendak berubah pun barangkali catnya sahaja.

Tok Guru memang tawaduk, walaupun berstatus MB, beliau sesekali tidak akan membazirkan wang rakyat Kelantan semata-mata untuk keselesaan dirinya.

Penulis teringat tentang pembaziran besar dan pendedahan penggunaan wang jutaan ringgit bagi membaik pulih rumah Perdana Menteri, Timbalan PM dan MB-MB dari Umno. Hidup mereka serba mewah dan membazir.

Bercerita tentang HKR

Tanpa membuang masa Tok Guru menerangkan tujuan beliau memanggi penulis untuk berjumpa. Katanya, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberikan kesempatan untuk menghadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka.

"Saya berasa letih. Letih bukan kerana penat, tetapi letih kerana terlalu gembira dengan komitmen ratusan ribu rakyat berhimpun bagi menuntut keadilan.

"Dua hari lepas (10 Januari) saya menerima banyak ucapan tahniah dan ucapan panjang umur dalam satu majlis khas diadakan di Kota Bharu. Ramai orang doa dan mengucapkan moga saya sentiasa muda termasuk dari kalangan orang Cina. Saya terlalu suka hingga tidak lalu makan," ujar beliau.

Mursyidul Am PAS itu amat terharu dengan komitmen rakyat, walaupun pada beberapa perhimpunan Bersih ada yang cedera dan meninggal, namun mereka begitu berani.

Katanya, sifat tidak takut ini wujud sehingga ramai yang membawa anak-anak untuk hadir di HKR secara aman. Tegasnya, jika dari dahulu lagi kerajaan memberi ruang yang adil kepada pembangkang dalam televisyen dan radio, keadaan tidak berlaku sedemikian.

"Mana ada orang yang sengaja datang dari jauh, tinggal anak-bini, tinggal kerja semata-mata untuk berhimpun.

"Kerja ini sebenarnya lahir dari hati dan cetusan dari kebangkitan rakyat menentang kezaliman. Hal seumpama ini pernah berlaku pada zaman Raja Tsar semasa tercetusnya Revolusi Bolshevik," ujar beliau.

Semangat Tok Guru semakin membara mengenangkan keberanian rakyat berhimpun di HKR. Kegembiraan beliau diserlahkan dengan hasratnya untuk menjamu sekelian pengawal, pengiring dan penyokong PAS yang bersama beliau sepanjang HKR.

"Tok Guru minta saya jemput semua petugas dan penyokong yang mengiringi beliau. Kita bawa 45 orang semuanya, makan dengan Tok Guru di sebuah restoran di Jalan Ampang. Petang itu sahaja Tok Guru bayar RM1500.00," kata Wan Zul.

Isu kalimah Allah menjadi perhatian

Menyentuh mengenai isu kalimah Allah, Mursyidul Am PAS itu menegaskan, beliau mempunyai pandangan yang sama dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Masalah undang-undang (sama ada dibenar atau tidak) kita boleh kemudiankan, yang penting kita berusaha mengelakkan perbalahan sesama Islam dan Kristian," tegasnya.

Tok Guru turut mencadangkan diadakan muzakarah dan perbincangan antara tokoh-tokoh agama dalam negara, bagi membincangkan soal penggunaan kalimah Allah.

Tegas beliau perbincangan tersebut hendaklah dijemput juga tokoh-tokoh agama Kristian, agar sebarang salah faham mengenai isu tersebut dapat di atasi.

Menurut Tok Guru, beliau juga ingin mengetahui, mengapa orang Kristian mahu menggunakan kalimah Allah dan apakah rasionalnya di sebalik pegangan tiga tuhan (trinity).

"Bagi kita orang Islam, Allah yang kita imani adalah Allah Yang Esa. Tiada dua, tidak tiga," tegasnya.

Namun bagi, MB Kelantan itu menggesa semua pihak agar tidak mempolitikkan isu kalimah Allah.

Tegas beliau, jika penglibatan orang-orang politik boleh memberikan kesan tidak baik, dicadangkan pertemuan di antara cerdik pandai di universiti yang terdiri di kalangan tokoh agama Islam yang layak dengan tokoh Kristian.

"Kalau hendak libatkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang lagi baik.
"Jangan sesekali gunakan undang-undang. Buat larangan sedangkan isu sebenar tidak selesai. Kita harus berdialog," ujarnya.

Menurut Mursyidul Am PAS itu, selain mahu mengetahui pendirian golongan Kristian, mengapa mereka mahu menggunakan kalimah Allah, sedangkan mereka mendakwa mereka tuhan itu tiga (trinity), beliau ingin juga mengetahui dari parti Melayu-Islam Umno, mengapa mereka menolak Islam dan sebaliknya menggambil kebangsaan.

"Mereka jangan sibuk hendak pertahankan kalimah Allah dari diguna orang Kristian sedangkan mereka sendiri menolak Islam yang diturunkan Allah menerusi Nabi-Nya, Muhammad s.a.w.

"Sedangkan Islam ini sudah cukup sempurna dan lengkap, jadi mengapa ada orang Melayu-Islam ambil kebangaan dan menolak Islam? Adakah Islam tidak sempurna?" soal beliau.

Tegas Tuan Guru Nik Abdul Aziz, jika ada kalangan Melayu yang masuk Kristian, bukan kerana paderi sahaja, sebaliknya Melayu itu sendiri yang melonggarkan 'skru' Islam iaitu iman.

Seperti Umno yang menolak Islam, beerti katanya, Umno tidak percaya Islam sebagai ad-Din yang syumul yang mencakupi syariat yang diturunkan oleh Allah.

"Usah hendak sibuk jaga kalimah Allah sedangkan arahan Allah tidak dipatuhi," tegas beliau.

Ulama dan politik

Tok Guru hanya tersenyum sinis apabila membaca kenyataan pemimpin Umno yang mendakwa beliau dan Presiden PAS sebagai ulama politik.

"Saya rasa bersyukur dengan dakwaan itu, kerana orang yang pertama, alim ulama yang pertama menjadi ulama politik adalah Nabi Muhammad s.a.w sendiri.

"Dia menjadi imam masjid, dia yang menandatangani perjanjian dengan Yahudi di Madinah. Kalau Yahudi anggap Muhammad ini 'pak lebai kampung' mana dia hendak terima," ujarnya.

Tegasnya, Nabi Muhammad s.a.w berperanan menandatangani 'Suluh Hudaibiyah', menguruskan kewangan dan mengetuai perarakan 'Fathul Makkah'.

Baginda katanya, melakukan semua tugas politik dan kebanyakan melaksanakan tugas politik di masjid.

"Barangkali orang Umno ini tidak tahu beza antara parti dan politik. Parti lain, sedang semua kerja buat kita berkait dengan politik," ujarnya.

Tok Guru begitu bersemangat bercerita dengan penulis. Banyak topik disentuhnya, termasuklah hasrat beliau untuk menerbitka drama mengenai kisah penghidupan Nabi Muhammad s.a.w sebelum ditabal menjadi Rasul.

Menurutnya, beliau telah meminta Dinsman untuk membuat skrip mengenainya dan pihak Kelantan sedang mengenalpasti beberapa orang artis yang menyertai PAS untuk terbabit dalam pembikinan filem tersebut.

Mudah-mudahan hasrat Tuan Guru Nik Aziz dapat dilaksanakan dengan sempurna. Di kesempatan ini penulis dan seluruh warga Harakah, mewakili ahli PAS di seluruh negara mengucapkan selamat hari lahir buat Tok Guru.

Sesungguhnya kehadiran Tok Guru dalam jemaah ini, merupakan suatu hadiah yang paling besar buat kami, pendokong perjuangan Islam ini.

Monday, January 14, 2013

HKR: Asas peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat secara aman

Himpunan HKR di Stadium Merdeka
Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan di Kuala Lumpur di Stadium Merdeka, pada 12 Januari 2013 (HKR #KL112) merupakan asas terpenting kepada peralihan kuasa yang akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Ia menjadi asas dan tunjang demokrasi yang penting kerana, ia membuktikan tanpa sebarang sekatan dan tanpa sebarang provokasi, ia berlangsung dengan penuh aman, damai dan teratur.

HKR juga membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia, bahawa seluruh pendokong Pakatan Rakyat adalah golongan yang sangat tertib dan berdisiplin, berhimpun dengan aman tanpa sebarang kekacauan, seperti yang difitnah pemimpin Barisan Nasional.

Pakatan Rakyat, komited dengan keamanan dan kemakmuran. Pakatan Rakyat mahu mengambil alih kuasa daripada BN dengan tenang dan teratur.

Di dalam merencana dan melaksanakan HKR #KL112, Pakatan Rakyat amat menghargai kerjasama pihak polis yang membantu memastikan keamanan terjamin. Iaitu, pihak penganjur HKR yang senantiasa memelihara keamanan dan dari pihak lain yang sebelum ini senantiasa membuat pelbagai ancaman dan provokasi.

HKR yang berlangsung pada Sabtu lepas, menjadi bukti yang cukup nyata bahawa tanpa sebarang provokasi dari pihak kerajaan, polis, FRU, Perkasa dan sebagainya, ianya berjalan dengan sempurna.

Ini menunjukkan bahawa rakyat yang mendokong Pakatan Rakyat, cukup matang berpolitik, mereka bijak menepis sebarang momokan dari propaganda media pencacai BN.

HKR adalah manifestasi kebangkitan rakyat Malaysia yang tidak lagi tunduk dan tidak percaya sama sekali dengan media pro BN yang sering berusaha menggugah kepercayaan serta keyakinan mereka dengan Pakatan Rakyat.

Hakikatnya, rakyat yang berhimpun dari pelbagai kaum dan agama di HKR bertekad; Menuntut pilihan raya yang bersih dan adil; Menuntut reputasi dan wibawa Felda di selamatkan; Menuntut supaya Sabah dan Sarawak diberikan layanan adil dan setara dengan Semenanjung; Menuntut 20 peratus royalti minyak dikembalikan kepada negeri pengeluar petroleum; Mengiktiraf dan meningkat profesionalisme kakitangan awam; Menuntut alam sekitar yang bersih dan sihat; Menuntut agar Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dan Bahasa Inggeris dipertingkatkan dan; Menuntut pembebasan tahanan politik.

Justeru, HKR yang menjadi pembuka tirai kebangkitan rakyat pada tahun 2013 ini, adalah titik mula kepada proses pendemokrasian sebenar negara di bawah Pakatan Rakyat dengan mandat lima tahun yang akan bermula pada PRU nanti.

Sistem demokrasi tidak dapat subur tanpa sikap demokratik pemimpin dan rakyat sesebuah negara. Seorang demokrat mesti berani mengiktiraf bahawa majoriti tidak selalunya benar dan minoriti tidak semestinya sentiasa salah. Pengiktirafan ini mesti ditunjukkan dengan sikap lapang dada terhadap pandangan berbeza.

Kita menggesa semua pihak, khususnya SPR, Kementerian Penerangan, Polis dan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan, supaya memastikan demokrasi sebenar terlaksana di Malaysia.

Yang penting sekali, kita menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan secara adil dan demokratik. Kita juga menyeru agar penyokong-penyokong BN menerima hakikat bahawa 'tidak dapat tidak' perubahan kepada tampuk pemerintahan harus berlaku dan ianya hendaklah berlaku secara aman dan tersusun.

Oleh itu, demonstrasi aman HKR di Stadium Merdeka adalah suatu simbol untuk Pakatan Rakyat memerdekakan rakyat dari belengu penguasaan BN.