Tuesday, February 05, 2013

Ikhwan Jordan doakan Pakatan menang PRU

Kunjungi Dr Ishak al-Farhan di kediaman beliau, di Amman ibu negara Jordan.
(Artikel ditulis pada 29 Januari 2013 dari Mafraq, Jordan)

Gerakan Ikhwan Muslimin Jordan tidak memasuki Pilihan Raya Umum Jordan yang berakhir minggu lepas. Bagi Ikhwan, sama ada mereka masuk pilihan raya atau tidak, keadaannya sama sahaja.
Ini kerana Perlembagaan Jordan menetapkan kuasa Raja Jordan melebihi kuasa yang diberikan kepada rakyat. Kuasa Raja sebanyak 60 peratus, manakala kuasa rakyat dihadkan hanya 40 peratus. Jika pun Ikhwan menang dalam pilihan raya, kuasa menentukan kemenangan atau kedudukan dalam kerajaan, terletak kepada kuasa Raja.

"Oleh kerana itu kami tidak masuk pilihan raya, dalam erti kata lain kami memboikot pilihan raya, selagi sistem pilihan raya tidak dibetulkan, selagi demokrasi sebenar tidak dilaksanakan," kata tokoh Ikhwan Jordan, Dr Ishak al-Farhan ketika ditemui penulis di kediaman beliau Amman.

Penulis merasa bertuah kerana berkesempatan mengunjungi Dr Ishak di kediaman beliau Ahad lepas dan menyampaikan salam Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi. Dr Syed Azman yang memberikan nombor telefon Dr Ishak. Beliau meminta penulis menemui tokoh tersebut ketika mengunjungi Amman.

Dr Ishak yang sudah berusia bukan calang-calang ulama di Jordan. Beliau amat disegani dan digeruni, kerana ketokohan dan keilmuan beliau. Jika di Malaysia, ketokohannya seperti Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dr Ishak adalah bekas Menteri Pendidikan Jordan, bekas Menteri Wakaf dan bekas Presiden Gabungan Universiti di negara tersebut. Beliau menjadi tempat rujukan utama penggerak Ikhwan di Jordan, Syria dan Palestin.

"Saya sudah bersara, sekarang ini hanya berehat," kata beliau merendah diri kepada penulis.

Dr Ishak yang fasih berbahasa Inggeris, mempunyai pengetahuan yang agak luas mengenai politik Malaysia. Menurut Dr Ishak, beliau beberapa kali pernah berkunjung ke Kuala Lumpur dan bertemu pemimpin serta tokoh-tokoh politik di Malaysia.

Di kesempatan itu juga penulis sempat memaklumkan beberapa perkembangan mengenai gerakan Islam, khususnya PAS kepada beliau.

"Saya dengar anda akan menghadapi pilihan raya umum dalam tempoh terdekat ini, saya doakan agar parti-parti gabungan pembangkang (Pakatan Rakyat) dapat menang pilihan raya dan memerintah Malaysia dengan demokrasi sebenar.

"Semasa saya mengunjungi Malaysia, saya dapati orang Islam di sana mempunyai akhlak yang baik dan kebanyakan mereka penganut Islam yang bagus. Justeru saya doakan agar parti Islam (PAS) dapat menjadi pelopor utama kebangkitan dan perkembangan Islam di Malaysia dan di seluruh Asia Tenggara" ujar beliau.

Membicarakan lebih lanjut tentang Jordan, atau dalam bahasa Arabnya 'Urdun, ia merupakan antara negara Arab yang termasuk dalam gelaran 'Syam' sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Wilayah Syam termasuk Lubnan, Syria, Palestin dan Jordan. Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah di Turki, Jordan diperintah secara monarki atau Raja Berpelembagaan sehingga sekarang.

Dengan bumi seluas 89,342 km persegi, Jordan berada dalam kedudukan yang amat strategik. Ia bersempadan dengan Arab Saudi, Iraq, Syria, Palestin (Jajahan Israel) dan Mesir. Penduduknya sekitar 6.6 juta orang sahaja dan 98 peratus daripadanya terdiri daripada bangsa Arab. 94 peratus penduduknya beragama Islam, manakala selebihnya adalah penganut Kristian.

Jordan menggelarkan dirinya sebagai 'The Hashemite Kingdom of Jordan' atau negara keturunan Bani Hashim (keturunan Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa Quraisy.

Dari sudut politiknya, Arab Spring yang melanda beberapa negara Arab seperti di Maghribi, Tunisia, Libya dan Mesir, masih belum berkunjung ke Jordan. Sebahagian besar penduduknya, khususnya di Amman, menjalani kehidupan yang agak moden dan kehidupan rakyat di bandar-bandar lain tidak semiskin rakyat di Mesir.

Selain dari parti-parti politik yang dikuasai Raja, Jordan mempunyai dua puak Islam. Satu, Ikhwan Muslimin, satu lagi golongan Salafi. Golongan Salafi mempunyai pendirian dan pegangan yang agak 'syadid' dalam perihal agama dan politik.

Berlaku beberapa demonstrasi kecil di Jordan, khususnya dari golongan salafi yang menggesa kerajaan memutuskan perjanjian damai dengan Israel dan menggesa agar dihapuskan rasuah dalam negara. Untuk rekod, Jordan dianggap antara negara utama yang menjadi sekutu rapat Israel dan beberapa sumber utamanya, seperti bekalan air diperolehi dari Israel.

Ikhwan Muslimin mempunyai pendekatan yang berbeza. Pemimpinnya, Himmam Said sebelum ini, menggesa Raja Abdullah II supaya mempertimbangkan tuntutan rakyat untuk mewujudkan reformasi dalam politik.

"Kami mahu Raja Abdullah akan membuat reformasi politik yang realistik, namun, kami kesal kerana ternyata beliau tidak serius tentang hal tersebut," ujar Said kepada media sebelum ini.

Bagi Ikhwan, masalah besar yang dihadapi negara tersebut adalah bebanan kewangan dan hutang yang besar. Ianya lama-kelamaan yang menyebabkan rakyat berada dalam keadaan yang sukar.

"Untuk menjalani kehidupan, akan menjadi lebih mahal. Kerajaan kelihatan berusaha untuk menutup korupsi bukan berjuang untuk menentangnya," tegas Said.

Menyentuh mengenai soal PRU, Himmam Said mempunyai pandangan yang sama dengan Dr Ishak. Beliau berkata,"Undang-undang baru tidak sebagus dengan apa yang rakyat Jordan inginkan. Kami ingin kerajaan mempertimbangkan tuntutan rakyat, bukan atas keinginan Amerika Syarikat dan keinginan Eropah dalam membuat undang-undang baru dan reformasi.

"Malah kalangan rakyat Jordan yakin, pihak yang bertanggungjawab akan memanipulasi pilihan raya dan kebimbangan mereka itu tidak berasas," ujarnya, sambil mendakwa akan berlaku ledakan sosial jika reformasi gagal diterapkan.

Persoalan demokrasi dan ketidak adilan dalam sistem pilihan raya bukan berlaku di Jordan sahaja. Ia wujud di keseluruhan negara Arab. Pemerintah negara Arab, kebanyakan mereka diperlihara oleh penjajah Itali, Peranchis, British yang kebanyakan mereka kini mempunyai hubungan yang akrab dengan Amerika Syarikat.

Oleh sebab itu, sama ada yang mempunyai pemerintahan beraja atau pun republik, kebanyakan mereka memerintah secara kuasa mutlak raja atau cara 'kuku besi', tidak memberikan ruang demokrasi sebenar terlaksana dalam negara.

Akibat daripada itu pemerintah negara Arab sejak puluhan tahun memerintah secara rejim kuku besi, membunuh dan menyeksa seteru politik, mengharamkan parti penentang, menutup ruang demokrasi, walau dengan apa cara pun, mereka dibiarkan dan 'dipelihara' oleh Amerika dalam keadaan sedemikian, semata-mata untuk mengekang kebangkitan Islam.

Namun kita yakin, bantuan dan sokongan Amerika Syarikat ada hadnya. Sezalim mana atau sekuat mana pun sesebuah kerajaan itu, ia akan dihentikan dengan kebangkitan kuasa rakyat (tsaurah).

Kita doakan, mudah-mudahan 'tsaurah' yang melanda Mesir dan negara-negara Arab di Utara Benua Afrika, akan melanda keseluruh jazirah Arab, Insya Allah.

No comments: