Tuesday, May 12, 2009

Tok Guru bersyukur Perak dikembalikan secara undang-undang


Harakahdaily

KOTA BHARU, 11 Mei (Hrkh) - "Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini boleh menampung kecacatan yang berlaku dalam institusi kehakiman di negara ini," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berharap kewibawaan institusi kehakiman yang dipertikaikan banyak pihak sebelum ini kembali pulih semula.

"Saya sangat bersyukur dengan perkembangan yang berlaku hari ini. Sebaik sahaja mendengar berita itu saya telah menunaikan sujud syukur," katanya dihubungi di sini, petang ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Abdul Aziz Abdul Rahim petang tadi mengembalikan semula kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 5 Febuari lalu jawatan Nizar dirampas kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) Perak yang diketuai Dato' Dr Zambry Abdul Kadir selepas tiga bekas Adun Pakatan Rakyat meninggalkan parti lama.

Mahkamah juga memutuskan Zambry dan enam anggota Exconya mengosongkan segera pejabat mereka di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.

Pada penghakiman itu Abdul Aziz berkata, seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) seperti kes Stephen Kalong Ningkan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berharap dengan keputusan mahkamah tersebut akan menyelesaikan konflik yang berpanjangan di Perak sejak Febuari lalu.

Ditanya kemungkinan Dr Zambry akan memohon membubarkan Dun katanya, ia terpulang kepada pihak terbabit bagi menentukannya bagi memastikan politik di Perak kembali stabil.

"Saya bersyukur dengan apa yang berlaku. Saya juga berharap semua pihak dalam Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh melukakan hati pihak lawan dalam isu ini.

"Biarlah isu ini berakhir dalam suasana aman dan diterima semua pihak," katanya.

Peluang Sultan Azlan dan Raja Nazrin pulihkan integriti


Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dalam web blognya mencatatkan bahawa:

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meletakkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah mengejutkan.

Mengejutkan bukan kerana point undang-undang tidak menyebelahi Nizar, tetapi mengejutkan kerana keberanian Hakim Abdul Aziz Rahim membawa Mahkamah Malaysia keluar sebagai institusi yang bebas dan berintegriti. Beliau adalah seorang hero baru.

Keputusan apa pun oleh Mahkamah Tinggi memang boleh dirayu. Tetapi, jika bagi orang awam biasa sekalipun boleh mengerti bahawa pemecatan Nizar adalah tidak sah, dan itu telah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sepatutnya tidak lagi menggunakan saluran undang-undang untuk menyelesaikan krisis Perak yang beliau sendiri mulakan.

Keberanian menerima realiti dan keberanian menyelesaikan kemelut ini mengikut saluran politik adalah segala-galanya.

Jika rayuan itu nanti masih memihak kepada Nizar, Najib dan Umno akan menanggung malu yang lebih besar. Jika keputusan itu atas apa sebab pun memihak kepada BN, rasa euphoria rakyat atas bebasnya kehakiman negara ini kembali menjadi negatif.

Jika Najib berani bertindak bersama Pakatan Rakyat untuk memujuk Sultan Perak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, BN mendapat dua markah.

Markah atas bebasnya kehakiman di bawah pentadbiran Najib dan point yang kedua, kerana berani mencari jalan penyelesaian kepada krisis atas prinsip kembalikan kuasa penentuan kepada rakyat.

Umno dan BN mungkin tewas dalam pilihanraya itu nanti, tetapi maruah politik dan integriti BN akan dapat dihindarkan dari terus koyak.

Ia telah pun koyak dengan parah sebelum ini. Umno-BN mendapat kuasa di Perak, tetapi ia meranapkan imej BN di seluruh negara, bahkan dunia. Harganya terlalu mahal.

Samada Najib ingin terus bermandi dalam lumpur politik yang tidak mungkin dibersihkan selagi ia menggonggong kuasa di Perak melalui jalan di luar batas undang-undang dan amalan demokrasi yang terpuji atau kembali ke pangkal jalan.

Institusi Di Raja Perak yang amat dihormati sebelum ini juga, mempunyai peluang tersendiri menunjukkan kesaksamaannya.

Institusi ini tidak harus dilihat bertindak memihak kepada satu golongan tetapi bertindak berteraskan peraturan dan undang-undang. Prinsip-prinsip demokrasi harus dihormati.

Peluang institusi Diraja Perak keluar dari kemelut ini dengan tahap imej yang lebih tinggi adalah terbuka luas. Bubarkan saja DUN Perak dan biarkan rakyat memutuskan penghakiman mereka.

Bagi PAS dan Pakatan Rakyat, bukan bermakna pembubaran itu akan menguntungkan mereka. Rakyat Perak mungkin mengundi tidak seperti yang PR harapkan. Apa pun, pembubaran DUN tetap langkah terpuji yang membuktikan PAS dan PR adalah pemain demokrasi yang jujur dan pruden serta berani meletakkan rakyat di tempat teratas. Kuasa bukan segala-galanya tetapi prinsip-prinsip utama lebih didahulukan.

Doakan pembubaran!


Inilah harapan rakyat sebenarnya. Rakyat tidak mahu Sultan Azlan Shah dan Raja Nazrin dilihat cenderung kepada BN. Sukarnya bagi Sultan dan anakanda baginda mengetepikan persepsi yang telah wujud sejak Februari lepas.

Saya merasakan, inilah peluang terbaik buat kedua baginda untuk memulihkan integriti baginda berdua, yang tercemar sekian bulan akibat kerakusan Umno-BN yang kemaruk kuasa.

Saturday, May 09, 2009

Pengajaran buat Nik Abduh


Harakahdaily melaporkan:

KOTA BHARU, 9 Mei (Hrkh) - Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman yang baru seminggu menang jawatan Yang Dipertua PAS Kuala Krai, hari ini dinobat pula sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Beliau mengatasi Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz pada pertandingan dua penjuru sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan kali ke-50 di Perdana Resort.

Manakala Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah pula menang tanpa bertanding Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Seorang peguam, Hisham Fauzi pula menang jawatan naib ketua. Jawatan itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru kesemua dari golongan profesional.

Berdasarkan hierarki tersebut jelas golongan profesional semakin mendapat tempat memandangkan pada penggal lalu, kesemua tiga jawatan utama dewan pemuda negeri diterajui ulama muda.

Pengumuman keputusan tersebut dibuat pengerusi urusetia pemilih, Haji Samsuddin Mat Daud mewakili PAS Kota Bharu yang dilantik sebagai pengendali pemilihan, kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Saya tidak dapat pastikan secara jelas mengapa Nik Abduh tewas dalam merebut jawatan Ketua Pemuda PAS Kelantan.

Yang pasti bukan golongan profesional atau golongan 'mi celup' yang menentang beliau. Beliau ditewaskan oleh ustaz juga.

Pertandingan merebut sesebuah jawatan, tidak seharusnya dikaitkan dengan baik atau buruk, kebenaran atau palsu.

Ianya lebih berkait dengan soal merit dan persepsi perwakilan terhadap seseorang. Justeru ada kemungkinan jika Nik Abduh tidak mendedahkan keburukan pemimpin PAS tertentu yang didakwanya sebagai membuat kerja bodoh dalam blog beliau, lebih baik buatnya.

Seseorang pemimpin sama ada ulama atau bukan ulama, tidak seharusnya memikirkan bahawa dengan mendedahkan apa sahaja yang berlaku sama ada dalam rumahnya atau dalam partinya, suatu tindakan yang betul.

Kadang-kadang berdiam diri lebih baik dari banyak bercakap.

Friday, May 08, 2009

Gila!! Drama kemaruk kuasa kerajaan haram BN Perak



Pembaca nilailah sendiri..sidang DUN yang diatur BN Perak, gila dan memalukan. Saya tak perlu komen panjang.

Berikut diambil catatan lintas langsung daripada Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim mengenai apa yang terjadi dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak semalam, 7 Mei.

9.45 pagi:
Kami masuk ke Dewan dan mendapati tempat duduk telah berubah, kami mencabut semua tanda nama dan juga diikuti dengan Adun BN yang tidak membantah.

Kedudukan kami sekarang sama seperti kedudukan semasa PR memerintah Perak.

9.55 pagi:
Apabila Adun Lompat Jelapang ke Dewan, kebanyakan Adun DAP menyoraknya dengan panggilan KATAK dengan suara yang kuat.

Hee duduk di bahagian tempat duduk Adun BN. Kelihatan sama Osman dan Jamaluddin, Adun lompat dari Behrang dan Changkat Jering.

10.00 pagi:
Penasihat Undang-undang diarahkan keluar.Ketetapan Speaker semasa masuk ke Dewan sebelum dewan bersidang ialah:

1. Minta orang yang tidak dijemput keluar dewan. Saya ada senarai di sini.

2. Tempat duduk ikut sebelum ini.

3. Saya tidak mahu 7 digantung berada dalam dewan sebab mereka digantung oleh jawatankuasa hak dan kebebasan, bukannya saya. Kalau tidak keluar saya tidak mahu mulakan mesyuarat.

4. 3 orang yang meletak jawatan juga diarah keluar.

5. Saya mahu kesemua yang tersebut termasuk penasihat undang-undang keluar dewan.

6. Saya tidak masuk siapa-siapa bercakap sebelum mereka keluar dewan. Saya buat keputusan dengan jawtaankuasa yang dilantik oleh dewan ini.

Mereka yang dihalau speaker belum keluar dewan, YB Tajol Rosli didapati bangun untuk mencelah tetapi tidak diizinkan oleh Speaker.

Menurut perintah Tetap 11 adalah sah dan itu hak saya, Umum Speaker.

Speaker masih mengulangi arahan supaya keluar Dewan


10.10 pagi:
Keadaan tegang dalam Dewan, suasana sangat kecoh, semua Adun bangun. Sebentar tadi Adun BN cuba mengemukakan usul pecat Speaker namun diumumkan oleh Speaker, Usul itu ditolak.

Sebentar tadi, Abdullah Antong Setiausaha Dewan yang digantung, dikerumuni oleh Adun PR.Speaker juga mohon SUK tidak mencampuri urusan Speaker dalam Dewan.

10 orang masih belum keluar, Speaker mengatakan berulang kali sidang tidak dimulai selagi 10 orang terbabit tidak keluar.

10.30 pagi:
Sidang masih tidak dapat dimulai, DYTM Raja Muda Perak masih dikamar Diraja menunggu suasana dewan yang kecoh tenang kembali.

Sementara itu Speaker berulangkali keputusan mengantung dilakukan oleh JK Hak dan Kebebasan, itu bukan keputusan saya. saya tidak boleh ingkar kepada keputusan yang dibuat oleh JK yang dilantik dalam dewan ini.

Cubaan berulang kali BN untuk mengusulkan perlantikan baru diterima dengan sorakan Adun PR dan penolakan oleh Speaker disebabkan sidang belum dimulai dan pembawa dan penyokong usul adalah dari pihak yang telah digangtung oleh Speaker.


10.20 pagi:

Pangkor cuba mengemukakan usul memecat Speaker dalam keadaan sidang belum bermula, dan suasana dalam dewan semakin kecoh.

Keadaan kelam-kabut ini telah berlanjutan sejak Adun masuk ke dalam dewan setengah jam yang lepas.

Speaker masih mengarahkan Adun yang digantung untuk keluar dari dewan sebelum sidang bermula

10.40 pagi:
Adun Jelapang yang digantung dan dihalau keluar oleh Speaker cuba merampas kuasa dengan cuba membuat pengumuman tetapi cuba digagalkan oleh kebanyakan Adun Pakatan Rakyat.

Cubaan terbaharu itu nampaknya gagap dan nampak sangat menyalahi peraturan sidang. Hee nampaknya cuba memberikan pengumuman namun dihalang oleh Adun Pakatan.

Saya tidak pasti sampai bila keadaan kecoh ini akan berakhir.

10.55 pagi:
Adun BN sedang berkerumun adun Jelapang dalam dewan semacan sidang bawah pokok untuk cuba merampas kuasa speaker.

Keadaan menarik itu disaksikan oleh semua adun PR dan disaksikan oleh pegawai-pegawai kerajaan dan tamu yang hadir.

Dalam sidang "haram" mereka telah melantik calon yang dicadangkan bekas adun Sungkai, Ganesan.

11.00 pagi:
Keadaan tegang berlanjutan apabila Ganesan dilantik sebagai Speaker dan mengangkat sumpah di meja Adun Jelapang (Timbalan Speaker)

Adun Sungai Rapat pula meneruskan sidang haram dengan mencadangkan perlantikan JK Dewan.

Adun Pakatan Rakyat melaungkan "haram" memecah kesunyian dewan dan menenggelamkan suara Speaker Haram.

Ganesan dalam keadaan tidak lancar kelihatan cuba menggunakan pembesar suara mengumumkan Jawatan PAC yang dicadangkan oleh Sungai Rapat.


11.10 pagi:

Ganesan sedang mengendalikan beberapa usul berikutnya dengan mengumumkan usul perlantikan Jawatan Kuasa Dewan yang baru sesuai dengan peraturan tetap dewan negeri.

Keadaan menarik ini saya umumkan sebagai sidang "Bawah Syiling". Sidang kebudak-budakan dan macam lakonan itu disaksikan oleh seluruh dunia dan mencemarkan demikrasi.

Lucu, aneh, tapi benar...

11.15 pagi:
Speaker umumkan semua usul telah ditolaknya di dalam kamar bertarikh 7 Mei dan sementara itu Zambry mengusulkan sidang ditangguh sejam dan diterima oleh sidang haram iaitu selama sejam sebagaimana yang diumumkan oleh Speaker haramnya.

Dewan menjadi senyap setelah sidang haram berakhir beberapa minit yang lepas.

11.35 pagi:
Speaker mempersoalkan sekali lagi dan mengulangi pendiriannya tidak akan memulai sidang sekiranya mereka yang digantung keluar dari dewan.

Semasa mengumumkan demikian dewan kembali kecoh dengan suara kedua belah pihak.

Sekarang keadaan kembali tegang dan sesekejap sunyi kembali.

Saya tidak menjangkakan bila keadaan ini akan berakhir?

11.45 pagi:
Semua Adun PR saya pohon kepada mereka semua jangan keluar jika tidak ada sesuatu yang penting perlu dilakukan. Sekiranya mereka yang ingin keluar walaupun untuk ke tandas mereka saya pohon keluar berdua.

Sementara itu Speaker yang masih sah, Sivakumar masih berada dikerusinya dan tidak berganjak. Kekuatan, ketegasan mereka nampak lebih kuat pada hari ini sehingga ada yang membuat cerita lucu : "silap jampi oleh bomoh, makin kuat bukan makin lemah ".

Jam 12.20
Tadi baru beliau memaklumkan kepada dewan bahawa sidang tidak akan dimulai jika mereka yang digantung tidak keluar dari dewan.

12.20 tgh:

Sah sekarang ada 2 MB di Perak dan sebentar tadi menyaksikan ada 2 Speaker dan ada dua sidang yang paling ajaib, satunya di bawah pokok dan satu di bawah syiling.

Kelihatan semasa ini Speaker yang masih sah, V. Sivakumar sedang berada di kerusinya dan tidak berganjak sedikitpun dari tempat duduknya sejak pagi tadi.

12.35 tgh:
Ganesan cuba jalan tugasnya tetapi dihalang Adun PR.

Keadaan kecoh ini hampir mencetuskan pergaduhan

Hee dikerumuni oleh Adun-Adun PR dengan pelbagai macam-macam kata dalam bahasa yang saya faham.

Speaker haram cuba menjalankan tugasnya sebentar tadi tetapi dihalang oleh ADUN Pakatan Rakyat.

Hampir belaku pergaduhan antara sorang Adun BN dan Adun PR dalam pertikaman lidah tadi dan dewan kembali kecoh dan tidak menentu. Speaker masih dikerusinya.

Speaker mengarahkan Ganesan keluar dewan dengan kuasa yang ada padanya.

12.50 tgh:

Speaker berulang kali arah speaker haram keluar dewan.

Ganesan di kerusi Adun dengan jubah Speaker haramnya.

Speaker Sivakumar disabotaj kerana sejak tadi pembesar suaranya ditutup oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu dia berulang kali menghalau keluar tanpa pembesar suara, supaya Ganesan keluar dari dewan.

1.00 petang:

Speaker haram sekali lagi gagal untuk mengendalikan sidang dengan jawatannya yang disandangnya secara tidak sah apabila diganggu oleh semua Adun PR dengan laungan "Ular" sehingga menenggelamkan suara Ganesan walaupun menggunakan pembesar suara yang cuma dibuka untuk kerusi Adun yang dipinjamnya.

Inilah tindakan sabotaj yang tidak bertanggungjawab sedangkan Speaker yang sah sejak tadi pembesar suaranya tidak berfungsi.

Kerana gangguan itu menyebabkan beliau menangguhkan lagi sidang selama satu jam.

2.05 petang:
Sidang yang ditangguhkan sejak sejam yang lepas akan dimulakan bila-bila masa. Jangkaan seterusnya amat sukar untuk dipastikan setakat ini.

Menurut maklumat yang saya terima Raja Muda Perak masih berada di kamar Diraja untuk menerima isyarat bagi merasmikan sidang pada hari ini.

Kekecohan mengenai status 3 katak dan 7 Adun yang digantung mewarnai perjalanan DUN Perak pada hari ini.

2.30 petang:
Pergelutan di meja Speaker oleh BN yang menggunakan samseng yang tidak dikenali, dan ada yang berpakaian seragam polis. Inilah keadaan yang berlaku sekarang, suasana semakin kecoh. Speaker diseret dari kerusinya dan dibawa keluar dewan.

2.40 petang:
BN berjaya rampas kerusi speaker dengan bantuan samseng dan pihak polis.

Sejarah baru dilakar lagi dengan tindakan pihak keselamatan menceroboh masuk dan membantu BN untuk merampas kerusi speaker.

Speaker Haram, Ganesan mengendalikan sidang dengan meja Speaker di kawal ketat oleh pasukan yang berpakaian kemas yang tidak dikenali siapa mereka.

3.10 petang:
Saya tidak dapat mengagak siapakah orangnya yang telah menceroboh masuk tanpa kebenaran bagi menjayakan usaha rampasan kuasa yang dilakukan BN pada hari ini, demikianlah malangnya sejarah yang dialami oleh rakyat Perak pada hari ini.

Ganesan apabila berada di kerusi Speaker sebentar tadi menggunakan kuasa haramnya untuk mengarahkan Adun Teja dan Simpang Pulai untuk keluar dari dewan.

Anehnya Bentara dewan yang tidak mengikut arahan Speaker Sivakumar sejak pagi tadi cuba menjalankan tugasnya mengarahkan kedua Adun PR itu keluar.

Namun arahan itu tidak di patuhi oleh 2 Adun berkenaan.

3.21 petang:
Semasa Raja Muda Perak, Raja Nazrin masuk ke dewan ahli-ahli yang Berhormat Pakatan Berdiri dan Datuk Seri Nizar melaporkan kepada Raja Nazrin bahawa Speaker Sivakumar telah dibawa keluar dengan paksa.

Laau Raja Nazrin memanggil Dato' Ngeh dan DS. Nizar untuk naik mengadap dan menyatakan sesuatu kepada kedua mereka.

Apabila turun, DS. Nizar memohon kami untuk duduk di kerusi masing-masing untuk menghormati kehadiran Tuanku Raja Muda.

Sebelum Sidang bermula DS. Nizar merafak sembah meminta semua pasukan pengawal yang beruniform dan tidak untuk keluar dari dewan. Lalu diisyaratkan oleh Raja Nazrin untuk keluar.

Sekarang ini Raja Nazrin sedang memberikan ucapan perasmian.

4.10 petang:
Setelah menghabiskan titah ucapan perasmian diraja, Raja Muda Nazrin bercakap dengan menggunakan pembesar suara dan katanya "beta hendak bersalam dengan semua Adun".

Tuanku Raja Muda mendahului bersalam dengan Adun PR didahului oleh DS. Nizar. sesudah itu bersalam dengan Adun PR yang lain dan diikuti oleh Adun BN.

Raja Muda perak sesudah itu meninggalkan Majlis, dengan diiringi oleh DS. Nizar yang difahamkan Dato Ngeh dipanggil mengadap di Kamar Raja.

Dan sidang Dun ditangguhkan pada jam 4.05 petang tadi.

Mahkamah tolak perintah tahanan reman Mohamad Sabu


KUALA LUMPUR, 7 Mei (Hrkh) - Mahkamah Majistret Tanjung Malim petang tadi menolak permohonan tahanan reman polis terhadap Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Mohamad dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan.

Menurut peguam yang mewakili beliau, Aminuddin Zulkifli mahkamah tidak berpuas hati dengan alasan-alasan yang diberikan oleh pegawai penyiasat.

Pegawai penyiasat mengatakan mereka memerlukan masa untuk menyiasat Mohamad yang dituduh melakukan hasutan supaya orang ramai menggagalkan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak hari ini.

Pasukan peguam Mohamad Sabu kemudiannya membantah tuduhan tersebut kerana tertuduh hanya menyeru orang ramai supaya hadir ke majlis solat hajat dan doa munajat memohon agar Perak terus aman.

Laporan maklumat pertama (FIR) terhadap Mohamad Sabu dibuat oleh Ketua Polis Perak sebelum beliau ditahan secara misteri petang semalam di Kuala Lumpur.

Thursday, May 07, 2009

Sasterawan pun tahu Umno pemusnah Melayu


Bukannya saya hendak racist. Masalah yang dihadapi orang Melayu mutakhir ini memang serius. Harga diri dan jati diri orang Melayu terus dimusnahkan Umno. Lima Sasterawan Negara, A Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Shahnon Ahmad, Noordin Hassan dan Abdullah Hussain sanggup dilucut jawatan kerana menentang dasar PPSMI yang membunuh masa depan Melayu.

Dalam blognya Dato' Seri Anwar Ibrahim mengatakan:

Kerajaan Umno- BN tetap berdegil mempertahankan dasar mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris walau menerima tamparan keras dari lima orang Sasterawan Negara? Dua Sasterawan Negara, Dr Muhammad Haji Salleh dan A Samad Said, malah membayangkan untuk melucutkan gelaran rasmi tersebut. Saya kira enam sebab yang digariskan oleh lima sasterawan ulung ini merupakan alasan kukuh untuk kita menyemak sekaligus menamatkan perlaksanaan dasar yang dikenali sebagai PPSMI ini.

Antara sebab mengapa PPSMI perlu ditolak menurut lima Sasterawan Negara itu adalah kerana kebanyakan pemenang Hadiah Nobel adalah mereka yang berkarya mahupun menghasilkan kajian menggunakan bahasa ibunda mereka. Walaupun dihadapkan dengan fakta sebegini, kabinet masih bersikap bertangguh-tangguh seakan-akan takut menyinggung perasaan sesegelintir. Saya kira bapak-bapak menteri mesti mula belajar menyelak helaian karya-karya Gabriel García Márquez, Naguib Mahfouz dan Rabindranath Tagore.

Alasan kerajaan malahan tidak munasabah, kononnya kerana berhasrat meningkatkan penggunaan bahasa inggeris di kalangan rakyat. Jika begitu mengapa Bahasa Melayu menjadi korban? Sepatutnya tumpuan harus diberi untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pengajaran serta pembelajaran bahasa Shakespeare itu, bukannya mengajar subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris . Alangkah sedihnya, jika sekadar itu cita-cita kerajaan, sedangkan kita mahu rakyat benar-benar menguasai bahasa Inggeris sehinggakan setanding VS Naipaul dan Nirad Chowdury. Apa yang berlaku nampaknya dasar PPSMI ini bukan sahaja merendahkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bahkan menyebabkan pembelajaran bahasa Inggeris hanya berada di tingkat vernakular sahaja.


Susah ke orang Melayu nak faham, betapa Umno memusnahkan bangsa sendiri? Kalau orang-orang PAS yang mengkritik Umno, mereka boleh twist dan berkata tuduhan PAS, semuanya kerana politiking.

Tetapi, ini Sasterawan? Faham kah Umno, orang-orang Melayu tentang apa makna Sasterawan? Mengapa mereka-mereka ini digelar Sasterawan Negara? Ini Sasterawan, bukan Ahli Nujum Negara!

Mereka adalah pejuang tulen yang memartabatkan bahasa, pendidikan, kesusasteraan Melayu. Mereka ini bukan orang politik, malah kebanyakan mereka ini adalah penyokong kerajaan Umno-BN suatu ketika dahulu.

Tetapi jika orang secerdik Sasterawan pun, menolak dasar-dasar Umno-BN, khususnya dalam soal masa depan Melayu, tidakkah ini sudah cukup untuk menjadi asas supaya orang-orang Melayu menolak Umno?

Jangan sampai Melayu jadi hampas (hampeh) sudahlah.

Gabungan yang memantapkan PAS


Amanat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat begitu jelas dan mudah difahami.

Sama ada ahli agama ataupun ahli akademik, apabila mereka memasuki PAS, mereka hendaklah mempunyai satu matlamat yang sama iaitu mendaulat dan memartabatkan Islam di Malaysia.

Tuan Guru Nik Aziz berpendirian, tidak seharusnya diwujudkan perbezaan di antara golongan ulama mahupun profesional dalam PAS, asalkan mereka mempunyai ghayyah atau matlamat yang satu.

Bagi Tuan Guru, gabungan ulama dengan profesional inilah yang mewujudkan kemantapan dalam kepimpinan PAS. Semua mereka, alim dan arif pada bidang masing-masing, mempunyai latar belakang yang berbeza, tetapi mempunyai iktikad yang satu.

Penegasan Tuan Guru, yang tidak mahu dibezakan antara ulama dengan profesional membawa maksud bahawa, asas kepada sumber ilmu hanyalah satu. Iaitu ianya adalah susur galur daripada tamadun dan perkembangan ilmu Islam.

Kita mempunyai ulama-ulama tersohor yang mahir dalam ilmu perubatan, ilmu sains, ilmu falaq (astronomi), ilmu hisab (matematik), ilmu biologi, ilmu fizik, ilmu kimia dan berbagai-bagai lagi.

Semua karya-karya agung hasil kajian dan tulisan ulama-ulama besar mengenai ilmu ketamadunan, pembangunan dan teknologi dimuatkan dalam kitab-kitab Arab pada zaman pemerintahan Khilafah Abasiyyah yang berpusat di Kota Baghdad, suatu ketika dahulu.

Pada waktu itu tidak wujud pengasingan ilmu. Semuanya berasal daripada ilmu Islam, semua asas-asas ilmu ini diwujudkan hasil daripada sumber yang satu, iaitu Islam.

Akibat dari kelalaian dan perpecahan di kalangan umat Islam, karya-karya agung keilmuan ini diciplak oleh Barat. Diasingkan dengan Islam. Umpama dipisahkan antara ruh dan jasad.

Peradaban dan kegemilangan tamadun Islam dimusnahkan oleh Barat. Islam dikesampingkan oleh Barat, manakala sekular mula diketengahkan.

Sekularisme Barat sudah menular. Ia berkembang pesat dengan melakukan pemisahan yang ketara antara Islam dengan keduniaan.

Islam dikaitkan hanya kepada ilmu-ilmu ketuhanan, manakala ilmu-ilmu berkaitan perubatan, sains, astronomi, matematik, biologi, fizik, kimia dan sebagainya dianggap tidak Islam atau ilmu sekular.

Nabi Muhammad s.a.w sebagai pelopor perkembangan Islam, tidak pernah membezakan umatnya, melainkan, antara yang beriman dengan yang kafir, yang bertaqwa dengan yang angkuh dan orang yang berilmu dengan orang yang jahil.

Kejahilan akan membawa kepada keangkuhan dan kekufuran, manakala keilmuan akan membawa kepada keimanan dan ketaqwaan.

PAS adalah platform yang terbaik untuk pada ilmuan sama ada di kalangan mereka yang bergelar ulama, mahupun profesional, yang mahir pada bidang masing-masing, untuk menyumbang bakti, ilmu, tenaga dan wang ringgit bagi memartabatkan Islam.

Justeru pada Tuan Guru Nik Aziz, pemisahan yang diciptakan oleh golongan tertentu terhadap keunikan dan kemantapan kepimpinan PAS, dengan gelaran ulama atau profesional, hanyalah berpunca daripada penularan berleluasa sistem sekular Barat.

Perbezaan seumpama ini jika diikuti dan diiyakan, hanyalah membawa kepada perpecahan yang akan memudaratkan PAS.

Elakkanlah perpecahan, jauhilah kemudaratan. Ambillah iktibar dan bermuhasabahlah, bahawa kedudukan PAS hari ini tidak akan tertegak hanya oleh usaha sekelompok manusia sahaja.

Kemantapan kepimpinan PAS dan penghormatan yang dikecapi hari ini, adalah hasil usaha, pengorbanan serta sokongan semua pihak yang bersungguh-sungguh, mahu melihat al-Quran dan as-Sunnah dinobatkan sebagai sistem yang memandu kehidupan manusia.