Wednesday, April 15, 2009

Syarat damai untuk Najib

HARAPAN Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak agar pembangkang sama-sama membantu kerajaan Barisan Nasional menangani kemelut ekonomi semasa membentangkan Bajet Mini di Dewan Rakyat, Selasa lepas, disambut baik Pakatan Rakyat, tetapi dengan syarat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu Najib mempamerkan keikhlasannya terlebih dahulu sebelum tawaran bekerjasama dalam bidang ekonomi disambut Pakatan Rakyat.

Tok Guru mahu Najib, meredakan kecamukan politik di Perak dengan memohon kepada istana supaya dibubar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

"Bagaimana dengan mudah beliau mahu Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik bagi memberi fokus kepada perkembangan ekonomi dan rakyat," tegas Menteri Besar Kelantan itu.

Bagi Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa, Pakatan Rakyat harus meletakkan syarat, bukan mudah-mudah untuk bekerjasama dengan BN yang telah menindas dan menzalimi pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.

Semasa membahaskan bajet mini di Parlimen beliau berkata, pembangkang sedia beri kerjasama jika, pertama; Kerajaan mesti mengkaji semula perjanjian konsesi lebuh raya, penjana tenaga bebas (IPP) dan konsesi air.

Kedua; Kerajaan mesti menghentikan kezaliman dan fitnah yang dilakukan oleh media massa dan ketiga; Membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri itu diadakan.

Sebelum ini pun, PAS sebagai sebuah parti pembangkang yang utama dalam negara pernah terbabit dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara atau Mapen. Tetapi pandangan wakil-wakil PAS tidak diterima baik oleh kerajaan.

Justeru penegasan senada Tok Guru Nik Aziz dan Anwar, adalah mewakili pendirian sebenar sebahagian besar rakyat Malaysia, khususnya yang menyokong Pakatan Rakyat.

Rakyat tidak mahu tatkala pemimpin parti-parti politik yang bertentangan, berjabat tangan dan bekerjasama di Kuala Lumpur, dalam masa yang sama mereka 'memejamkan mata' terhadap kezaliman BN yang menggunakan jentera-jentera kerajaan dan media menindas rakyat bawahan.

Menghulurkan kerjasama adalah suatu tindakan yang baik dan wajar dipuji. Memang ia sesuai dengan kehendak Islam. Tetapi Islam juga melarang kita membuang masa untuk bekerjasama dengan orang-orang yang zalim dan penindas.

Kerjasama dalam bidang ekonomi sahaja tidak memadai dan tidak akan memberikan kesan yang positif kepada Pakatan Rakyat dan tidak memberi apa-apa keuntungan kepada rakyat.

Hakikatnya, kemakmuran ekonomi tidak akan diperolehi tanpa kestabilan politik. Dan, kestabilan politik akan wujud, hanya apabila rakyat yakin, BN telah memerintah dengan adil dan rakyat dapat merasai keberkesanan sistem demokrasi yang dilaksanakan.

Bagaimana rakyat boleh menyakini keikhlasan BN, khususnya Najib sebagai bakal PM, apabila banyak institusi dan jentera kerajaan dipergunakan untuk kepentingan politik BN buat menindas Pakatan Rakyat?

Rakyat kini tidak mempercayai institusi seperti Kehakiman, Polis, SPR, SPRM dan media yang kelihatan bertindak menekan Pakatan Rakyat dengan lagak seperti seolah-olah mereka sebahagian dari cawangan Umno.

Pada rakyat, kehilangan integriti institusi-institusi ini amat serius sebenarnya, dan pemuliharaan semula semua institusi terbabit mesti menjadi asas, sebelum kerjasama dalam bidang ekonomi dibuat.

Ekonomi hanya akan dapat dipulihkan jika Umno-BN menghentikan amalan politik kotor mereka dan membenarkan amalan demokrasi tulen terlaksana.

Mana-mana negara pun tidak akan dapat memulihkan ekonomi jika mempunyai iklim politik yang tidak stabil. Pemulihan ekonomi tidak hanya berasaskan kepada kekuatan domestik sahaja, ia juga harus mendapat sokongan daripada pelaburan asing atau FDI.

Masalahnya pada ketika ini bukan sahaja pelabur asing enggan memasuki pasaran Malaysia, yang lebih utama majoriti rakyat tidak yakin dengan keupayaan BN memulihkan ekonomi negara.

Asasnya di sini adalah keyakinan. Selagi rakyat tidak mempercayai orang-orang politik Umno-BN yang menguasai pengurusan ekonomi negara, kerana banyak terbabit dalam kes-kes salahguna kuasa dan rasuah, selagi itulah kerjasama yang ditawarkan tidak akan harus diterima.

Kerjasama dalam sudut-sudut yang khusus seperti dalam bidang ekonomi sahaja, hanya akan memberi keuntungan politik kepada Umno-BN.

Seperti kata Dato' Husam Musa, cara terbaik untuk memulihkan ekonomi, hanyalah dengan menukar kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat.

(Harakahdaily, 17 Mac 2009)

Cabaran setahun kemenangan kuasa rakyat

8 MAC 2009. Genap setahun kuasa rakyat menghapuskan hegemoni Barisan Nasional. Keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 itu amat mengejutkan.

BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Hilang kuasa di enam negeri, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Trend rakyat menunjukkan bahawa rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum di negara, sudah menerima gabungan pembangkang daripada PAS, KeADILan dan DAP, walaupun terdiri daripada latar belakang dan ideologi yang berbeza.

Sekaligus rakyat memberikan harapan besar kepada pemimpin ketiga-tiga parti untuk membentuk suatu front yang dinamakan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat adalah platform yang amat unik. Ia mengandungi gabungan anggota-anggota dari parti-parti politik yang tidak sehaluan ideologi pada asalnya.

Orang-orang Cina dan India sudah menerima PAS. Tiada lagi tuduhan pelampau agama, tiada lagi 'ketakutan' kepada watak dan ciri-ciri kepimpinan Islam yang cuba dilabel buruk BN sekian lama.

Pemerintahan empat penggal Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan sepenggal Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Terengganu, sudah menjadi asas yang kuat.

Orang-orang Melayu juga sudah semakin menerima DAP. Dasar, kemesraan dan keterbukaan pemerintahan Lim Guan Eng di Pulau Pinang, menunjukkan DAP lebih baik daripada Gerakan.

Pilihan raya umum 8 Mac menunjukkan rakyat sudah menolak politik perkauman yang sempit dan menolak parti perasuah dengan pelbagai gejala politik wang merosakkan masa depan rakyat dan negara.

Rakyat sudah keluar daripada kepompong eksplotasi agama, kaum, puak dan suku yang digunakan BN sebagai senjata untuk berkuasa sekian lama.

Strategi mengapi-apikan sentimen kaum dan memanaskan iklim politik dengan konflik agama sudah tidak laku lagi.

Rakyat mahukan sebuah gabungan parti politik yang boleh dipercayai untuk menyatupadukan rakyat dari pelbagai agama dan bangsa, menjamin keadilan politik dan sosial.

Justeru Pakatan Rakyat dibentuk. Dengan suatu tujuan dan matlamat, iaitu mengembalikan kuasa rakyat, memperjuangkan keadilan dan demokrasi tulen yang memberikan layanan yang saksama kepada semua rakyat dalam negara.

Keadilan, ketelusan dan keterbukaan pemerintahan Pakatan Rakyat dapat dirasai rakyat. Rakyat dari kalangan berbilang kaum, sudah dapat memahami perbezaan jurang yang amat besar hasil pemerintahan setahun Pakatan Rakyat, berbanding 50 tahun BN.

Gabungan Pakatan Rakyat, yang ditunjangi kebanyakannya anak-anak muda dari kalangan pelbagai kaum dan agama, merupakan ancaman yang paling besar buat BN.

Selepas kemenangan besar pembangkang dalam pilihan raya 8 Mac, tembelang BN mulai terbongkar satu persatu.

Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa berundur daripada kerajaan dan parti.

Umno sebagai parti teras yang menunjangi BN dilihat semakin lesu, tidak bermaya, berpecah dengan pelbagai penyakit yang amat kronik.

MCA, MIC dan Gerakan sebagai parti utama dalam BN juga semakin berpecah dan mengalami keretakan dalam yang teruk.

Kedudukan BN di mata rakyat kini terumbang ambing. Belum tentu peralihan kuasa yang dibuat Umno akan dapat memulihkan persepsi rakyat.

Pemimpin Umno dan BN menyedari dan merasai fenomena ini. Di mana-mana sahaja mereka pergi, semakin ramai rakyat, secara terbuka menunjukkan penolakan terhadap Umno-BN dan menyokong Pakatan Rakyat.

Tiada strategi lain yang mampu menyelamatkan Umno-BN selain menggunakan media untuk menyerang dan melumpuhkan keutuhan perpaduan kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

Usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dibuat secara berterusan. Sebaik sahaja selepas pilihan raya umum, Umno-BN yang tidak dapat menerima hakikat kekalahan di beberapa negeri, berusaha untuk membeli wakil-wakil rakyat PAS, KeADILan dan DAP.

Sebelas bulan pertama semua langkah, usaha dan tekanan yang dilakukan mereka gagal. Mereka hanya berjaya apabila berjaya memerangkap dua Ahli Dewan Undangan Negeri dan Exco dari KeADILan di Perak terbabit dalam kes jenayah dan seorang Adun DAP yang berkepentingan.

Perak berjaya dirampas mereka, kini terheret ke dalam kancah polemik yang amat kritikal. Selangor dan Kedah sedang cuba diganggu. Hanya Kelantan dan Pulau Pinang sahaja nampaknya tidak banyak gangguan.

Percayalah, BN tidak akan terus berhenti setakat itu. Rancangan mereka akan berterusan kerana kewujudan dan kesaksamaan pemerintahan Pakatan Rakyat, memberikan impak buruk kepada negeri yang mereka terajui.

Selepas ini akan lebih banyak lagi dakwaan palsu dan omong-omong kosong terpaksa diciptakan demi memburuk-burukkan parti dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Jika mereka tidak mampu 'membunuh' parti-parti gabungan, mereka akan cuba untuk 'membunuh' personaliti (character assassination) tertentu yang ada dalam Pakatan Rakyat.

Cabaran getir menanti pemimpin Pakatan Rakyat. Mereka harus menyedari bahawa tekanan yang akan ditimpakan oleh Perdana Menteri baru selepas Abdullah, barangkali lebih hebat.

Maka pemimpin PAS, KeADILan dan DAP tiada pilihan lain selain berusaha sedaya upaya memperkukuhkan perpaduan dan menunjukkan kemampuan bekerja dengan baik sebagai satu pasukan.

Pakatan Rakyat harus sedar dan berubah! Tidak harus ada lagi pemimpin yang memperjuangkan kepentingan peribadi, satu puak atau satu parti sahaja.

Tidak harus ada lagi pemimpin yang menghentam parti kawan secara terbuka dengan menggunakan media milik BN.

Tiada harus ada pemimpin yang menegakkan ideologi atau agenda peribadi tanpa konsensus rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

PAS, KeADILan dan DAP juga harus berusaha mengelakkan pertikaman lidah sesama sendiri dan berusaha mengelakkan bibit-bibit perpecahan dalaman Pakatan Rakyat.

Demi merealisasikan impian rakyat, yang rakyat mahu Pakatan Rakyat mengganti BN pada PRU ke 13 kelak, semua pemimpin dan penyokong harus sedia berkorban demi kebaikan bersama.

(Harakahdaily, 8 Mac 2009)

Salah catur BN di Perak

APAKAH Barisan Nasional menyangka mereka akan mendapat laluan mudah untuk memerintah negeri Perak, selepas mendapat 'perkenan' istana?

Apakah BN menjangkakan dengan menabur strategi 3R (Race, Religion & Royalty - Kaum, Agama dan Raja), mereka dapat menarik sokongan rakyat kepada mereka?

BN tewas dalam Pilihan Raya Umum 2008 di Perak. BN hanya memperolehi kerajaan dengan dengan 'rampasan' yang dipaksakan kepada rakyat Perak!

Timbulnya krisis perlembagaan dan pelanggaran demokrasi, ialah kerana BN menubuhkan kerajaan secara 'haram' dan bercanggah dengan kehendak rakyat, kerana kerajaan pilihan rakyat yang sebenar adalah dari Pakatan Rakyat.

Setelah merampas kuasa dan menjatuhkan kerajaan pimpinan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, BN menggunakan strategi yang bahaya iaitu cuba menyemai bibit-bibit pertelagahan yang serius di kalangan rakyat.

Isu-isu perkauman, agama dan Raja adalah senjata membahaya mainan politik kotor BN, untuk 'menangguk di air yang keruh' bagi menjustifikasikan kerajaan haram mereka.

BN sentiasa cuba memainkan politik yang sensitif bagi mencetuskan polemik di kalangan orang-orang Melayu dengan bukan Melayu, orang Islam dengan bukan Islam dan melagakan Pakatan Rakyat dengan istana.

Taktik pecah dan perintah ini merupakan senjata ampuh BN, yang buat sekian lamanya berkuasa dengan cara mengeksplotasi sentimen dan kelemahan rakyat.

Sememangnya bagi rakyat, sukar hendak diterima jika ketuanan orang-orang Melayu dicabar kaum lain. Umat Islam juga akan menentang keras sebarang percubaan untuk menghina agamanya, manakala rakyat akan turut terpengaruh dengan sentimen anti Raja yang cuba dilabel oleh BN kepada individu tertentu.

Itu memang kerja jahat Umno-BN. Buat apa Pakatan Rakyat dengan menyahut cabaran mereka. Tetapi malangnya, cabaran BN ini disambut oleh DAP, khususnya Karpal Singh.

Penulis tidak salahkan Karpal seratus peratus. Beliau mungkin bertindak sendirian, kerana melihat kes di Perak, pada sudut undang-undang yang disifatkan sebagai tragedi yang membunuh demokrasi, bukan dari sudut politik.

Sahutan beliau kepada cabaran Umno-BN nampaknya ditambah eksploitasi dengan perbagai serangan yang boleh memalit persepsi yang lebih buruk.

Sebagai suatu teguran ikhlas, penulis mencadangkan, pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, sama ada daripada PAS, KeADILan, khususnya DAP, tidak sepatutnya terjebak dalam perangkap perkauman, persengketaan agama dan usaha melagakan dengan istana yang cuba diracun BN.

Pemimpin Pakatan Rakyat seharusnya lebih matang dalam menangani krisis ini. Tanganinya secara berhemah dan jangan sesekali celupar mulut sebagaimana pemimpin dan wakil rakyat BN.

Memang kita amat geram dengan tipu helah, caci maki dan tohmahan BN. Namun kita masih ada ruang untuk memberikan tekanan kepada mereka, mengikut segala ruang yang dibenarkan oleh undang-undang.

Walaupun kita tahu polis, SPRM dan boleh memihak kepada BN, tetapi di pihak kita, kita ada rakyat. Mari kita tentukan sama ada kuasa orang politik yang menggunakan jentera kerajaan, media, wang dan sebagainya, mana yang lebih berkuasa daripada kuasa rakyat.

Sekarang ini pun 'kerajaan negeri' pimpinan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, berjalan tanpa haluan atau lost direction. Jentera kerajaan negeri terbantut, pegawai-pegawai kerajaan keliru, kontraktor tidak mahu membuat projek kerana takut tidak dapat bayaran dan pelbagai masalah timbul.

Semua peruntukan tidak boleh diguna atau ditambah tanpa kelulusan Dewan Undangan Negeri. Kerajaan negeri tidak boleh berfungsi kerana Menteri Besar dan anggota Exco digantung daripada menghadiri sidang Dun.

Segala perancangan dan perbelanjaan kerajaan akan terbantut kerana status kerajaan negeri terumbang ambing.

Jika dapat dibuktikan secara undang-undang bahawa kerajaan Nizar adalah sah, maka segala arahan, perbelanjaan dan projek yang dibuat Zambry boleh dipertikaikan.

Zambry, anggota Exconya, setiausaha kerajaan negeri, penasihat undang-undang negeri, pegawai kewangan dan beberapa penjawat lain boleh disabitkan dengan kes salahguna kuasa dan subahat.

Malahan ke mana sahaja Zambry pergi beliau terpaksa berulangkali menyebut beliau adalah MB yang sah? Jelas, Zambry sedang dalam keadaan fobia. Fobia kerana rakyat tidak mahu menerima beliau.

Ke mana sahaja Zambry pergi, sama ada di masjid atau di tempat awam, beliau tidak diraikan. Bagi orang Melayu, Cina, India dan lain-lain, Nizar adalah MB mereka yang sebenar.

Sampai bila-bila pun Zambry tidak akan dapat mengatasi populariti Nizar dan tidak akan dapat menghapuskan persepsi buruk rakyat kepada beliau, walaupun beliau sebenarnya, bukan punca kepada segala krisis yang tercetus.

Jelasnya, Perak kini berada di persimpangan. Negeri kucar-kacir dan tidak ketahuan lantaran krisis demokrasi dan pelanggaran perlembagaan.

Sebenarnya majoriti rakyat amat tidak menyenangi kewujudan krisis sebegini. Krisis ini timbul akibat kerakusan kuasa BN. Rata-rata rakyat Perak berpendapat cara yang terbaik untuk dikembalikan demokrasi, ketelusan dan integriti ialah dengan mengadakan pilihan raya umum negeri.

Apa pun, akhirnya terpulang kepada Sultan Perak, kepada siapakah yang hendak diperkenan, Nizar atau Zambry? Mudah-mudahan baginda tidak membiarkan krisis ini berpanjangan.

(Harakahdaily, 4 Mac 2009)

Langkah sumbang Khir Toyo

HANYA semata-mata mahu mengaut politik murahan untuk mendapat sokongan perwakilan pemuda dalam perebutan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Mohamad Khir Toyo cuba berlagak hero.

Tetapi malangnya langkahnya sumbang. Khir mahu menjadi jaguh, untuk memerangi rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Khir sebenarnya hanyalah seorang jaguh kampung yang desprado. Menghentam Pakatan Rakyat secara semberono, hasil maklumat juak-juak Umno yang masih berjawatan dalam kerajaan dan anak-anak sytarikat kerajaan negeri Selangor.

Khir tidak layak menjuarai isu-isu rasuah kerana sepanjang dua penggal pemerintahannya beliau dipalitkan dengan puluhan tuduhan kes-kes rasuah di Selangor.

Malangnya pendakwaan terpilih dibuat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, yang khabarnya akibat ketakutan mereka untuk bertindak kerana duduk di bawah telunjuk Umno.

Beberapa minggu sahaja Khir dilantik menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar sebagai Menteri Besar Selangor, sudah ada dakwaan rasuah terhadap beliau dikemukakan kepada BPR, khususnya dakwaan yang dikemukakan oleh wartawan Ahmad Lutfi Othman.

Khabarnya Menteri yang menjaga undang-undang ketika itu, Dato' Seri Rais Yatim sudah mengangkat fail kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad, kerana dikatakan selepas BPR membuat siasatan, wujud beberapa keraguan.

Soal kenapa tidak diambil tindakan, tanyalah kepada kerajaan dan Umno. Banyak kes-kes rasuah membabitkan pemimpin Umno ditutup dan dilindungi.

Bukan soal kes Khir Toyo sahaja. Kes Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Dato' Seri Rafidah Aziz, yang dibawa oleh Mohamed Ezam Mohd Nor, mengapa diperamkan begitu sahaja?

Kalau BPR dulu, tidak mahu mengambil tindakan kerana mereka duduk direct dibawah ketiak pemimpin Umno, sekarang ini sudah jadi suruhanjaya, bertindaklah kalau benar-benar telus.

Saya percaya Ezam pun hendak mengetahui status dakwaan rasuah yang dibuatnya sebelum ini, walaupun beliau sudah menjadi salah seorang anggota parti perasuah (politik wang dalam pemilihan).

Berbalik kepada cerita Khir Toyo, kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat bukan tidak mahu membongkar satu persatu 'tahi-tahi Khir yang bersepah-sepah' semasa menjadi MB Selangor dahulu.

Namun pada penulis, kelemahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah beliau lambat bertindak terhadap banyak dakwaan penyelewengan yang wujud di zaman Khir. Ada puluhan kes membabitkan Khir secara khusus sudah dikenalpasti.

Untuk bersikap adil kepada Menteri Besar Selangor, mungkin beliau tidak perasan kes-kes tersebut, mungkin juga beliau 'tersekat' untuk bertindak kerana ramai 'barua-barua' Khir Toyo masih duduk dalam kerajaan dan anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Penulis difahamkan kebanyakan penjawat politik dalam kerajaan dan anak-anak syarikat diisikan oleh Khir, dengan juak-juaknya yang terdiri daripada pemimpin Umno peringkat bahagian, pemuda dan puteri, masih ramai yang bertenggek di pusat pentadbiran kerajaan.

Pakatan Rakyat, secara khususnya Khalid, tidak wajar membiarkan 'anai-anai' ini terus merobek keutuhan kerajaan. Mereka adalah 'duri dalam daging' yang gunanya hanya untuk mensabotaj Pakatan Rakyat.

Semua lantikan politik harus ditapis dan dirombak segera. Mereka yang benar-benar genuine dan tidak berpihak sahaja harus menjadi pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Jika tidak mereka akan menjadi 'mata dan telinga' Umno-BN, yang dibayar gaji oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Khalid harus bertindak segera, 'jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah'. Jika wujud anggapan, selepas diserang teruk baru Khalid, tersentak dan hendak membalas 'kedurjanaan' Khir Toyo, itu kan kurang baik.

Masanya belum terlambat untuk Pakatan Rakyat retaliate. Sebelum mereka lebih rakus dengan pendekatan rough politics, kemaraan mereka harus disekat.

Pakatan Rakyat mesti terus membongkar penyelewengan Umno-BN dan Khir segera, dengan menyenaraikan dakwaan rasuah mereka untuk tatapan rakyat Selangor. Pakatan Rakyat harus pastikan senjata rasuah yang digunakan untuk menyerang Khalid dan kerajaan negeri, 'menikam' mereka kembali.

Khir Toyo tidak layak menjuarai isu rasuah. Lagi banyak dakwaan penyelewengan terhadap Pakatan Rakyat, hanya akan mendedahkan muslihat jahat Umno-BN.

Keangkuhan Khir Toyo harus disekat. Rakyat Selangor kini, patut menghadiahkan 'penyapu' kepada beliau, kerana menjadi 'tukang sapu dan tukang kaut' harta-harta rakyat di Selangor.

Akhirnya, rakyat mesti teguh berada di belakang Pakatan Rakyat dan memastikan Umno-BN, khususnya Khir, menjadi 'kera sumbang' dalam arena politik negara.

(Harakahdaily, 1 Mac 2009)

Kisah katak dan barua politik

POLITIK Malaysia memang hebat. Penuh warna-warni dengan pelbagai konflik, dramatik, sarkastik dan kontradik.

Politik Malaysia sejak akhir-akhir ini sudah memasuki fasa ala barbarian dan kemelut yang berlaku dalam negara, menunjukkan kita sedang menuju ke arah rough politics.

Rakyat sedang dihadapkan dengan tiga kes yang dilakukan secara 'rough' hasil daripada kegelojohan pemimpin Barisan Nasional.

Belum habis rakyat dikejutkan dengan rampasan kuasa di Perak, dibangkitkan pula kes gambar Elizabeth Wong, sekarang dihebohkan pula kes lembu dan kereta Tan Sri Khalid Ibrahim.

BN bukan peduli siapa salah atau siapa betul kerana mereka pun tahu, kes-kes penyelewengan, salahguna kuasa dan salahlaku moral bertimbun-timbun dalam Umno-BN.

Bagi BN, mereka tidak peduli itu semua. Tujuan mereka satu sahaja. BN menggunakan media untuk menanamkan persepsi buruk rakyat terhadap Pakatan Rakyat, bahawa kononnya pemimpin Pakatan Rakyat derhaka, mempunyai salahlaku moral dan melakukan penyelewengan.

Umno-BN beruntung kerana banyak pihak yang membantu. Selain media, propaganda BN memburuk-burukan Pakatan Rakyat dan menanamkan persepsi buruk, dibantu oleh pegawai-pegawai kerajaan yang sanggup menjadi 'barua' atau pencacai upahan.

Sama ada mereka bertaraf mufti, ketua SPRM, ketua polis, ketua hakim, setiausaha kerajaan negeri, pentadbir anak-anak syarikat kerajaan negeri mahupun para editor.

Tiap-tiap hari media pengampu cuba menggambarkan pemimpin Pakatan Rakyat sebagai golongan 'jahat' sedangkan elemen rough politics yang mengkucar-kacirkan politik negara, wujud dengan bantuan mereka-mereka ini semua.

Bukan main marah mereka jika penulis melabelkan mereka sebagai barua politik, tetapi, salah mereka juga, demi kepentingan tertentu mereka sanggup diperalatkan.

Ungkapan sekasar barua ini, harus ditujukan, sesuai dengan realiti politik negara hari ini. Malah, ungkapan-ungkapan kasar nampaknya sudah menjadi mainan orang-orang politik.

Ahli-ahli Parlimen Malaysia adalah antara penyumbang politik 'ala samseng' dengan pertuturan bahasa yang amat tidak beradab.

Menujukan perkataan 'babi', 'anjing', 'beruk' dan 'bangsat', seperti yang terpacul dari mulut Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali dalam sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini, adalah amat tidak wajar samasekali. (Rujuk Penyata Rasmi Parlimen, 19 Februari 2009)

Walaupun beliau sudah menarik balik ungkapan tersebut, namun ia sudah didengari semua yang hadir, malah rakyat yang melayari internet sudah melihat gelagat hodoh beliau.

Lebih hodoh lagi apabila beliau menujukan ungkapan buruk itu terhadap rakan-rakan dari PAS dan KeADILan dalam Pakatan Rakyat.

Bukan sekali, banyak kali tindakan Ibrahim, boleh dikatakan dilakukan secara sedar, bercanggah dengan Pakatan Rakyat, walhal beliau bertanding di Pasir Mas, atas ihsan PAS.

Maka tindakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen mesti disokong.

"Ibrahim sudah buat damage yang cukup teruk, kita tidak perlu pedulikan dia lagi," kata MP Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

"Dahulu kita boleh tolerate dengan dia, sekarang sudah cukup, beliau sendiri yang mengundang dirinya dihentam," komen MP Kuantan, Fuziah Salleh.

"Saya amat sedih cukup kecewa, pernah bergaul dengan dia, saya rapat kerana dia mewakili PAS dan saya akrab dengan pejuang PAS, tiba-tiba perangai berubah sokong Umno dan mempunyai fikiran sempit.

"Cukup tidak sopan tidak betul, apabila beliau tujukan perkataan yang buruk itu terhadap saya," ujar MP Padang Serai, N Gobalakrishnan.

Pada kedudukan sekarang, Ibrahim sukar menepis persepsi rakyat bahawa cara berpolitik beliau adalah salah. Sebelum ini pun, beliau penah dilabel sebagai 'katak' dalam arena politik negara akibat kekerapan berpindah parti.

Diakui, tiada siapa yang suka dilabel katak dalam politik, juga tiada siapa yang suka jika diberi gelaran barua orang politik.

Katak dalam istilah politik Malaysia, dirujuk kepada orang yang tidak berprinsip, sering melompat parti atau mengubah pegangan atas sebab-sebab tertentu.

Manakala barua pula dirujuk kepada orang yang membenarkan dirinya dipergunakan, sanggup menggadai maruah demi kepentingan wang, jawatan, projek, saham dan sebagainya.

Dalam ertikata lain, kedua-dua katak dan barua ini menggambarkan betapa hodohnya sifat manusia yang berkepentingan.

Sebagai muhasabah, jika tidak mahu menjadi katak dan barua, tolonglah jangan sesekali membuat tindakan seperti pesalahlaku yang dirujuk dalam catatan ini.

(Harakahdaily, 25 Februari 2009)

Risiko kerajaan 'mi segera'

WALAUPUN Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dirampas jawatannya, dihalang masuk ke pejabat, disuruh memulangkan kereta dan rumah rasmi, belum tentu Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dapat mentadbir dengan selesa.

Zambry tidak akan selesa kerana beliau sedar kerajaan pimpinannya, didirikan secara instant noodle (mi segera), tidak demokratik dengan bantuan pihak yang defect (berpaling tadah) dan bias (berpihak).

Pada kedudukan sekarang Pakatan Rakyat mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional juga ada 28. Dengan tiga orang Adun yang defect sebagai bebas tapi menyokong BN.

Media pro BN, cuba mempamerkan persepsi baik kononnya kerajaan baru yang haram itu ditegakkan secara demokratik.

Media pengampu juga memainkan isu ketuanan institusi Raja, kononnya Umno pembela ulung Raja-Raja Melayu, manakala Pakatan Rakyat cuba dilabel sebagai golongan penderhaka.

Malangnya mereka tidak boleh menipu sejarah. Banyak kes-kes penderhakaan Umno terhadap Raja. Bukan sekadar derhaka enggan meletak jawatan, malah derhaka Umno sehingga membuat pertabalan 'Raja Palsu'.

Kes-kes penderhakaan Umno ini, insya Allah jika ada masa, akan diperincikan dalam artikel yang lain.

Apapun yang berlaku, apapun tuduhan dilemparkan ke atas Pakatan Rakyat sebagai golongan yang dipersalahkan kerana enggan patuh kepada Raja, hakikat di Perak, adalah sebaliknya.

Gambaran one sided media pengampu, tidak dapat menutup fakta dan hakikat bahawa rakyat Perak sedang menghukum pihak-pihak yang defect dan bias.

Rakyat membenci dan menempelak mereka. Adun-Adun yang berpaling tadah tidak berani menzahirkan diri dikhalayak.

Mereka dibelenggu dengan rasa bersalah sendiri kerana mengkhianati amanah rakyat dan mengheret Perak ke kancah kemelut politik yang berpanjangan.

Tiada siapa yang menggangu mereka sebenarnya, tetapi rakyat menganggap mereka seperti 'anjing-anjing kurap yang memakan bangkai'.

Malah keluarga Adun DAP yang berpaling tadah turut menerima padah. Diceritakan, ketika bapa beliau ke pasar untuk membeli sayur, peniaga-peniaga enggan menjual kepadanya.

"Dia punya luit talak laku ma..kita cakap sama dia..wa tak mau BN punya luit ma..kita tau mau juai," kata seorang peniaga Cina yang ditemui penulis.

Mungkin sukar untuk membuktikan wujudnya rasuah sama ada dalam bentuk wang, jawatan, penghapusan kes atau saham kepada pihak yang defect dan bias ini.

Namun, media pengampu dan BN sendiri, gagal untuk menghapuskan persepsi bahawa wujud rasuah dalam proses pengambilan kuasa secara haram di Perak.

Kata lah apa pun, nafikan lah apa pun! Rakyat percaya bahawa mereka yang defect dan bias ini mempunyai kepentingan tertentu, demi kepentingan peribadi, sehingga sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan keluhuran undang-undang.

Tiada siapa yang menyuruh rakyat membenci mereka atau mempunyai persepsi yang sebegitu. Rakyat yang faham sendiri. Kesedaran rakyat adalah gelombang yang sukar dibendung.

Dalam kes rampasan kuasa di Perak, rakyat turut menempelak Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, kerana terlalu gelojoh, sehingga mencetuskan persepsi, beliau akan 'lebih rakus' jika menjadi Perdana Menteri.

Kegelojohan beliau menimbulkan amarah penyokong Pakatan Rakyat. Sehingga ada kalangan kaum Tionghua membawa 'colok Cina mati' untuk menyambut kehadiran beliau pada sambutan Tahun Baru Cina di Ipoh baru-baru ini.

"Wa..nasib baik dia talak latang wo..kita olang sikalang pakai baju hitam wo..itu serupa (sambut) mati punya olang,

"Ini semua Cina cakap talak baik oo..ini macam kasi Nizar jatuh, serupa 'najis' punya olang," getus seorang peniaga pasar besar Ipoh.

Hasil mainan politik kotor BN rakyat menganggapnya sebagai mainan politik yang amat kotor dan bahaya.

Lazimnya kekotoran dikaitkan dengan najis, sama ada ia merujuk kepada individu yang membuat onar dalam politik atau politiking menjatuhkan sesebuah kerajaan dengan cara yang tidak bermoral.

Justeru, kita orang Melayu, jangan sesekali salahkan kaum Tionghua yang pandai menggunakan istilah 'najis' dalam kegawatan politik negara.

Malah kita harus berbangga kerana merekalah yang memahami falsafah sastera dan perumpamaan Melayu seperti dalam novel SHIT, tulisan Sasterawan Negara, Dato' Shahnon Ahmad.

Tetapi bukan sahaja rakyat yang bangkit menentang BN, di kalangan Umno sendiri juga, walaupun kembali memperolehi kuasa, masih terbelengu dengan politiking dalaman parti.

Menurut sumber Umno, perlantikan Zambry sendiri sebagai Menteri Besar Perak tidak dapat 'perkenan' mudah di kalangan pemimpin-pemimpin Umno.

Najib selaku Pengerusi Umno Perak, mahukan orang lain menjadi MB kerajaan mi segera BN.

Namun, khabarnya dengan campurtangan the one and only Khairy Jamaluddin Abu Bakar, PM Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa bergegas ke istana pada petang itu untuk mengemukakan nama Zambry. Malam itu nama Zambry diumumkan.

Abdullah khabarnya berjaya memintas Najib. Calon dipilihan Najib diberikan jawatan Exco Kanan.

Zambry sendiri bukannya dari grup Umno tulen. Beliau dulunya adalah budak Anwar (Dato' Seri Anwar Ibrahim) dalam Umno.

Zambry adalah aktivis ABIM dan rakan rapat bekas Ketua AMK KeADILan, Mohamed Ezam Mohd Nor, manakala Ezam adalah sekutu rapat dan 'balaci' Khairy. Grup ini adalah grup anti Najib

Namun Najib masih tidak berputus asa. Beliau enggan berbicara walaupun kecewa dengan pintasan Abdullah.

Najib hanya perlu menunggu selepas Mac. Gilirannya menjadi PM dan Presiden Umno. Jika Zambry tidak mengikut 'line Najib' selepas ini, maka kerajaan mi segera pimpinan Zambry juga tidak lama hayatnya.

Pusing ke kiri, pusing ke kanan. Zambry akan sentiasa berada dalam keadaan tertekan kerana BN dan Umno sentiasa terbelengu dengan masalah dalaman yang kronik.

Pihak yang defect dan bias juga sedang tertekan. Ibarat 'diluah mati mak, ditelan mati bapa.' Mereka berada dalam keadaan buntu dan confuse.

Rakyat akan mengadili mereka. Penghalang kuasa rakyat ini akan tumbang dan dibalas dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau April depan.

(Harakahdaily, 23 Februari 2009)

Kami bukan penderhaka!

KAMI bukan penderhaka. Kami sama sekali tidak berniat untuk menentang Raja. Kami sekadar berpendapat bahawa keputusan yang diambil Raja di Perak tidak bertepatan mengikut lunas undang-undang.

Kami berbeza, kerana kami berpendapat bahawa jalan terbaik untuk membentuk sesebuah kerajaan, ialah melalui pilihan raya, bukan dengan cara membeli dan mengumpan wakil rakyat.

Adalah tidak adil sesebuah kerajaan dibentuk, bukan dengan mandat rakyat, tetapi dengan mandat rasuah, sama ada dalam bentuk wang, jawatan atau penarikan balik kes-kes jenayah yang sedang dihadapkan ke mahkamah.

Kami berbeza dengan Raja kerana kami berpendapat, jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak, ialah dengan memulangkan mandat semula, kepada rakyat melalui pilihan raya umum negeri.

Kami hanya meminta, jika pun hendak dijatuhkan sesebuah kerajaan negeri, biarlah dengan cara yang demokratik, iaitu dengan membuat undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Bukan dengan menyuruh Menteri Besar atau anggota Exco meletakkan jawatan atas alasan parti yang memerintah sudah kehilangan majoriti di dewan.

Inilah pendapat dan pendirian pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, yang dipilih secara adil dan demokratik dalam Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac 2008 lepas.

Pakatan Rakyat bukan sebuah entiti yang kecil. Ia adalah suatu 'force' yang didukung oleh jutaan rakyat Malaysia, terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Kuasa rakyat ini adalah suatu kuasa yang besar, membentuk sebilangan kumpulan yang besar, sehingga berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen.

Bilangan yang besar ini dibuktikan dengan, menempatkan suara mereka sebanyak 82 kerusi Parlimen dan beratus-ratus kerusi Dewan Undangan Negeri.

Suara rakyat yang besar ini juga mewakili negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Derhaka Umno Terengganu bukan PAS Perak

Justeru dalam menghadapi krisis di Perak, Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak keseorangan.

Penyingkiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau, tidak dipersetujui banyak pihak dalam negara, yang tidak gembira dengan keputusan Raja.

Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan keputusan Raja, manakala, Umno sudah tentu menyokong, kerana mereka mendapat kembali kerajaan negeri dengan cara yang amat mudah.

Apa pun tuduhan yang dilemparkan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, salahkah rakyat punyai pandangan berbeza dengan Raja?

Jika peristiwa di Perak menyebabkan kebanyakan rakyat mempunyai persepsi bahawa Raja membuat kesilapan, apakah kewujudan persepsi ini menyalahi undang-undang?

Jalan mudah untuk media pengampu BN menjerat Nizar ialah dengan, menuduhnya menderhaka kepada Tuanku.

Namun Umno/BN jangan lupa, 'sederhaka' manapun Nizar, jika ia berlaku, jauh lebih bersopan dari sekumpulan pemimpin Umno Terengganu yang 'membinatangkan' Raja, dalam demonstrasi di Istana Terengganu, Mac 2008 yang lalu!

Sultan Terengganu dihina dan dilemparkan dengan kata-kata nista oleh orang-orang Umno, kerana mereka mahukan Dato' Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar.

Orang-orang PAS, KeADILan dan DAP di Perak, tidak pernah sama sekali mencera Sultan Perak, sebagaimana dilakukan orang-orang Umno di Terengganu.

Soal derhaka tidak timbul sama sekali. Jika ada pihak yang menghasut Raja di Perak, baginda harus mengetahui, memahami dan membuat pertimbangan sewajarnya, jika baginda mahu menjatuhkan hukuman derhaka kepada Nizar.

Kes di Terengganu menunjukkan bahawa yang paling derhaka ialah Umno. Bukan PAS! Umno sanggup buat demo dan membawa kain pemidang yang jelas 'membinatangkan' Raja!

Bukankah tindakan pemimpin Umno itu suatu tindakan derhaka? Mana penderhaka itu semua? Mengapa mereka dibebaskan tanpa tindakan?

Apakah mereka boleh derhaka dan menyanggah Raja sesuka hati kerana mereka Umno? Apakah kerana Umno 'dilahirkan' di Istana Johor pada 11 Mei 1946, maka segala tindakan mereka terhadap Raja, semuanya boleh 'dipejamkan' begitu sahaja?

Apakah kerana Umno terlalu sinonim dengan Raja, maka Raja harus dilihat memihak kepada Umno?

Harus diingat, berlaku dalam sejarah politik negara, yang 'memaki hamun' Raja dan melucutkan hak kekebalan Raja pada tahun 1993, ialah orang-orang dan pemimpin Umno.

Umno yang mewujudkan mahkamah untuk membicarakan perilaku Raja.

Kalau boleh 'diflashback' atau dimainkan kembali pita siaran televisyen dan akhbar ketika itu, nescaya seluruh rakyat Malaysia akan memahami betapa hinanya Raja di mata Umno.

Siapa yang tampil membela Raja ketika itu? Tanyalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Yang membela Raja ketika itu ialah PAS dan Semangat 46.

Nizar bukan Hang Jebat

Dalam kes Perak, Nizar tidak menderhaka. Nizar bukannya Hang Jebat. Nizar pun tidak mahu menjadi Hang Jebat, seperti hikayat Melayu purba.

Hulubalang Hang Jebat 'mengamuk' kerana membela sahabatnya, Laksamana Hang Tuah yang menjadi mangsa fitnah. Di Perak, Nizar adalah mangsa ketidakadilan.

Menurut sejarah tragedi purba kala tersebut berlaku, akibat ketidakadilan titah Sultan Mansur Shah yang dinasihatkan secara salah oleh memanda pembesar istana di sekeliling baginda, yang mempunyai kepentingan tertentu.

Lantaran fitnah tersebut, lalu dititahkan agar Hang Tuah dibunuh.Hikayat lagenda difilemkan dengan lakonan Tan Sri P Ramlee dan ditayangkan berulang kali dikaca televisyen.

Secara moralnya, rakyat boleh mempelajari daripada ceritera-ceritera ini, berlaku dalam sejarah, ada kalanya orang-orang istana sama ada Raja, Bendahara atau sebagainya, membuat keputusan yang silap.

Sehingga wujud dalam seloka Melayu ungkapan 'Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah.'

Dalam kes Perak Nizar tidak keseorangan. Di belakangnya ada berjuta-juta rakyat Malaysia yang menyokong Pakatan Rakyat, amat kecewa dengan keputusan yang diambil Sultan Perak.

Rakyat dari kalangan rakyat berbilang kaum menyokong pendirian diambil Nizar, untuk tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Bilangan rakyat yang marah dan kecewa dengan 'rampasan kuasa' di Perak bukannya sedikit.

Sehingga ada yang menzahirkan secara terbuka kritikan terhadap Raja. Sekaligus kritikan-kritikan tersebut jika dipaparkan, hanya akan menjejaskan kredibiliti dan integriti Raja.

Akibat daripada persepsi ketidakadilan yang berlaku di Perak, ianya telah mewujudkan pemahaman bahawa 'credibility Malay Rulers at stake', apabila mereka dianggap berpihak kepada Umno.

Raja-Raja Melayu seharusnya 'above political party' dan mengelak wujudnya persepsi di kalangan rakyat bahawa mereka pro atau menjadi alat Umno-BN. Hanya dengan cara itu sahaja kredibiliti dan integriti Raja dapat dipulihkan.

Jalan terbaik untuk memulihkan keadaan di Perak ialah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri dan diadakan pilihan raya negeri semula.

Nescaya rakyat akan menerima keputusan pilihan raya dengan baik walau mana-mana pihak yang menang sekalipun, asalkan ianya dijalankan secara adil dan demokratik.

(Harakahdaily, 12 Februari 2009)