Monday, July 16, 2012

Transformasi pincang demokrat palsu PM Najib

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berusaha menonjolkan dirinya sebagai seorang demokrat dengan pelbagai pendekatan dan perubahan dilakukan, kononnya untuk memberi lebih ruang dan kebebasan kepada rakyat.

Melalui pelbagai program transformasinya, Najib membuat pelbagai pengumuman dan pindaan kepada beberapa akta yang didakwa menyempitkan ruang demokrasi. Dalam bahasa mudah, Najib secara tidak langsung memperakui bahawa selama 50 tahun Umno-BN melaksanakan akta drakonian yang menindas rakyat sekian lama.

Melalui saki baki kuasa majoriti tipis Barisan Nasional di Parlimen, beliau merombak akta dan beberapa penambahbaikan pilihan raya, memansuhkan ISA dan melupuskan Seksyen 27 Akta Polis untuk digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Belum pun akta-akta drakonian yang diperbaharui dinikmati keberhasilannya oleh rakyat, Najib mengumumkan pula bahawa beliau akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

Berdasarkan rekod, ciri-ciri demokrat palsu boleh dilihat antaranya dengan langkah sebelum ini seperti penggantian ISA dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan pengenalan Akta Keterangan (Pindaan) 2012.

Kita amat meragui keikhlasan Najib. Sebelum ini diumumkan pemansuhan ISA, tetapi masih ramai tahanan yang masih ditahan di bawah ISA, malah tangakapan terus dilakukan pihak berkuasa terhadap mana-mana suspek di bawah ISA, walaupun PM sudah memansuhkannya.

Begitu juga dengan beberapa pindaan pada akta pilihan raya. Setelah beberapa hari berbahas di Parlimen, berlaku pertikaman lidah antara wakil Pakatan Rakyat dan BN kerana pindaan tersebut tidak wajar dilakukan, kerajaan BN dengan bebal hati meluluskan pindaan tersebut.

Beberapa hari selepas pindaan akta pilihan raya diluluskan, Kabinet membuat pusingan U-turn, dengan menarik balik pindaan akta, sekali gus membatalkan kelulusan Parlimen.

Perkara yang sama berlaku apabila kerajaan membuat janji palsu ketika membentangkan Akta Perhimpunan Aman 2012. Semasa pindaan, dicanangkan ianya dibentang bagi memberi hak dan ruang lebih besar kepada rakyat untuk berhimpun secara aman.

Malangnya akta tersebut dimanipulasikan dan tidak langsung menjamin keselamatan dan kebebasan rakyat, apabila demonstrasi aman Bersih 3.0 bertukar menjadi medan berdarah, berpunca dari tindakan ganas pihak polis terhadap peserta Bersih 3.0.

Cadangan pindaan Akta Hasutan 1948, tidak membawa makna apa-apa kerana cadangan akta baru didakwa mempunyai dan mengekalkan "kuasa-kuasa drakonian" yang sama.

Walaupun Najib berkata, pengenalan akta baru itu bertujuan mencari mekanisme bagi menentukan keseimbangan terbaik antara menjamin kebebasan bersuara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan di negara ini.

Tetapi jika diukur daripada pengalaman beberapa cadangan transformasi akta yang gagal, hasrat Najib dilihat tidak lebih daripada helah politik untuk mengelabui mata rakyat.

Pada dasarnya kita amat mengalu-alukan sebarang transformasi dan sebarang reformasi undang-undang yang digubal ke arah yang lebih demokratik. Namun, jika Najib benar-benar ikhlas, beliau perlu memansuhkan Akta Hasutan tanpa menggantikannya dengan akta lain yang sama.

Jika pun ianya hendak digantikan juga, kita menggesa kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Khas Parlimen yang bersifat bipartisan untuk mengkaji secara menyeluruh Akta Keharmonian Nasional yang dicadangkan.

Jawatankuasa ini harus diberi mandat untuk membincangkan perihal perpaduan sosial dan perhubungan antara kaum.Kita amat meragui keberkesanan dan ketelusan kerajaan Umno-BN. Semua janji transformasi undang-undang yang dijanjikan PM Najib tidak boleh dipercayai.

Beliau layak dilabel 'demokrat palsu' kerana kebanyakan transformasi yang dilakukannya adalah usaha untuk memulihkan persepsi rakyat terhadap BN, bukannya memulihkan indeks demokrasi sebenar.

Malah, usaha Najib untuk memulihkan indeks persepsi dunia terhadap beliau, ternyata gagal kerana akhbar Kanada, The Globe and Mail pada 8 Jun lalu memuatkan artikel wartawan terkenal Mark Mackinnon, yang mengkategorikan Najib sebagai demokrat palsu, sebaris dengan autokrat seperti Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Sehingga hari ini rakyat Malaysia tidak mempercayai transformasi pincang Najib kerana rakyat sedar bahawa transformasi sebenar hanya boleh terlaksana, hanya selepas Umno-BN dilupuskan dari tampuk pemerintahan.

No comments: