Monday, July 02, 2012

Kemenangan Ikhwan Muslimin bukti gerakan Islam tetap relevan

Penulis di HQ Ikhwan Muslimin.
Kemenangan calon Ikhwan Muslimin, Dr Muhammad Morsi sebagai Presiden Mesir, menerusi sistem demokrasi berpilihan raya, membuktikan perjuangan harakah Islamiyah atau gerakan Islam tetap relevan di zaman moden ini.

Semasa Pilihan Raya Umum Mesir berlangsung, pelbagai kecaman, hinaan dan kata-kata nista dihamburkan terhadap Ikhwan Muslimin, oleh  media yang menjadi alat propaganda Barat.

Barat melabelkan Harakah Islamiyah Ikhwan Muslimin sebagai tidak sesuai menerajui Mesir, yang sedang menjalani proses transformasi pendemokrasian sebenar.

Barat dan golongan anti-Islam mendakwa jika rakyat Mesir memilih Ikhwan Muslimin, mereka akan membawa Mesir mundur ke belakang.

Mereka melakukan pelbagai propaganda untuk memburuk-burukkan Ikhwan Muslimin dan cuba mempamerkan imej radikal terhadap gerakan Islam Ikhwan Muslimin.

Walaupun dengan bantuan seluruh jentera media Barat, kerjasama dengan pasukan tentera yang menguasai Mesir dan agensi kerajaan yang masih dikuasai golongan pro bekas Presiden Hosni Mubarak, mereka tetap gagal.

Rakyat Mesir ternyata tidak termakan dengan propaganda jahat tersebut. Sejak jutaan rakyat bangkit menggulingkan regim tajaan Barat-Israel pada 25 Januari 2011, mereka cenderung untuk menyokong Ikhwan Muslimin.

Namun, kejayaan Ikhwan Muslimin tidak datang bergolek. Ianya adalah manifestasi daripada perjuangan yang amat panjang. Iaitu perjuangan yang diasaskan as-Syahid Imam Hassan al-Banna sekitar 1920-an.

Suatu perjuangan yang melalui siri tekanan yang cukup pahit dan getir. Pengasasnya, Imam Hassan al-Banna ditembak sehingga korban syahid. Ramai pemimpin Ikhwan Muslimin yang syahid di tali gantung, termasuk as-syahid Syed Qutb.

Malah sebahagian besar pemimpin Ikhwan Muslimin sudah merasai keperitan seksaan di penjara sejak Gamal Abdul Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak.

Mereka melalui siri kejahatan, kezaliman dan kedurjanaan diktator zalim yang tidak terperinya, sehingga mereka tidak boleh bangkit atas nama Ikhwan Muslimin. Diharamkan dari menyertai politik dan sebagainya.

Namun, hasil pengorbanan dan istiqamah para pejuangan, hari ini Allah membalasnya dengan kejayaan Ikhwan Muslimin menang besar dalam pilihan raya Parlimen dan berjaya menduduki jawatan yang paling tinggi dalam negara.

Tidak harus dinafikan bahawa kejayaan yang dikecapi Ikhwan Muslimin sekarang adalah natijah daripada kebijaksanaan kepimpinannya yang diterajui Mursyidul Amnya, Dr Muhammad Badi'e.

Ikhwan Muslimin adalah harakatul dakwah dan harakatul siasah yang berjaya. Mereka berjaya menggerakkan amilin daieyah (pekerja-pekerja para pendakwah) yang gigih memartabatkan Islam dengan struktur tarbiyah yang bersistematik (tanzim).

Dalam masa yang sama, Ikhwan Muslimin bergelumang dengan perjuangan politik, yang unik, menerusi Parti Kebebasan dan Keadilan yang dianggotai bersama muslim dan kristian.

Kejayaan Ikhwan Muslimin adalah gabungan unsur-unsur istiqamah dalam perjuangan yang amat getir, tanzim dakwah yang tersusun dan kebijaksaan perencanaan strategi kepimpinannya.

Inilah perjuangan yang harus dicontohi gerakan Islam seluruh dunia. Memang 'padang permainan' tidak sama, memang budaya dan waqi'e tidak sama, tetapi kita berhadapan dengan musuh yang sama, iaitu mereka yang memusuhi agama Allah, yang senantiasa berusaha menghancurkan gerakan Islam.

Kemenangan Ikhwan Muslimin membuktikan bahawa perjuangan Islam, yang asasnya memberikan keadilan dan keharmonian sejagat, tetap relevan selamanya.

Setiap kita, anggota jamaah Islam PAS, harus menanam keyakinan ini. Bahawa tarbiyah kita betul, perjuangan kita betul, ghayah atau matlamat kita betul. Setiap anggota PAS harus punyai niat yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menjalankan kerja dakwah dan politik.

Cumanya,  kita harus memperkukuhkan tanzim, bijaksana dalam mengatur strategi, mudah-mudahan Allah memberikan kemenangan kepada kita di Malaysia, sebagaimana anugerah-Nya kepada Ikhwan Muslimin. Takbir!

No comments: