Monday, July 30, 2012

Logo Merdeka: Rais Yatim malukan Najib

Alasan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menarik balik logo Hari Kemerdekaan Malaysia merupakan suatu tindakan yang amat memalukan kerajaan, khususnya mencemar integriti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kata Rais,"Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi."

Sebagai pengerusi sambutan kemerdekaan, Rais tidak harus membohongi rakyat. Semua orang tahu perancangan untuk mengatur acara Hari Kebangsaan memerlukan masa, tenaga dan peruntukan besar. Maka sudah tentu ia bukan kerja ad-hoc.

Tiada rakyat yang boleh percaya bahawa jawatankuasa sambutan kemerdekaan sudah sampai ke tahap ini, sebulan sebelum Hari Merdeka, masih belum memutuskan logo dan temanya.

Hakikatnya, Rais dan seluruh anggota Kabinet sedar bahawa memang logo dan tema itulah yang diputuskan kerajaan untuk dijadikan moto utama Hari Kemerdekaan.

Jika tidak, mengapa Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan beriya-iya mempertahankan logo dan tema Hari Merdeka, selepas dikritik hebat rakyat.

Saban tahun, iaitu pada setiap 31 Ogos ini rakyat Malaysia akan menyambut ulangtahun kemerdekaan ke 55 daripada penjajahan British.

Bagi rakyat Malaysia, yang terdiri dari kalangan pelbagai kaum dan agama, Hari Kemerdekaan merupakan suatu perayaan yang bukan sahaja membebaskan negara dari cengkaman penjajahan, malah ianya adalah pencetus nilai keharmonian dan permuafakatan.

Dalam erti kata lain, menyambut merdeka harus diasingkan dari kongkongan fahaman ideologi kepartian dan politik.

Tidak kira Melayu, Cina, India, Punjabi, Iban, Melanau, Kadazan, Dusun, Orang Asal, semuanya adalah rakyat Malaysia, yang harus patriotik mencintai negara.

Tidak kira PAS, Umno, KeADILan, DAP, MCA, MIC dan sebagainya, semuanya bertanggungjawab menyuburkan semangat kemerdekaan, dengan hasrat untuk terus memelihara kemakmuran negara.

Kita harus bertegas, tiada kompromi dalam soal keamanan, kemakmuran dan keharmonian negara. Tiada sesiapa yang harus mencemarkan imej negara. Tiada sesiapa yang harus dibenar untuk menggugat keharmonian yang kita kecapi selama ini.

Dan, tidak harus bagi sesiapa pun yang boleh dibenarkan untuk mencemar kesucian kemerdekaan negara, dengan matlamat politik yang sempit.

Tidak harus sama sekali kerajaan Umno-Barisan Nasional, khususnya Perdana Menteri, mempergunakan semangat kemerdekaan, demi menggapai sokongan rakyat yang semakin tiris terhadap mereka.

Inilah peristiwa malang yang berlaku dalam negara kita. Malang apabila slogan 'Janji Ditepati', yang digunapakai sebagai slogan teras kempen Pengerusi BN dan Presiden Umno, dijadikan slogan menyambut Hari Kemerdekaan.

Slogan ini tidak harus diterima kerana ia tidak melambangkan permuafakatan rakyat. Ia tidak melambangkan cetusan untuk memupuk keharmonian kaum.

Ianya adalah slogan satu hala, semata-mata untuk menyemarakkan propaganda BN, kononnya 55 tahun pentadbiran mereka, segala janji sudah ditunaikan.

Jelas pada kita, sama ada mereka dari kalangan pemimpin Umno tidak tahu membezakan peranan parti dengan kerajaan, atau pun, selama ini mereka hanya menganggap kerajaan itu Umno, Umno itu kerajaan. Suka hati hendak buat apa.

Ternyata Umno-BN tidak sedar bahawa mereka kini berstatus pembangkang. Pilihan Raya Umum 2008 rakyat sudah meletakkan Umno-BN menjadi pembangkang di lima buah negeri.

Umno-BN tidak harus 'perasan' mereka akan duduk ditampuk kuasa kerajaan buat selama-lamanya.

Dengan meletakkan tema 'Janji Ditepati' sebagai slogan kemerdekaan, seolah-olah Umno-BN mahu menyatakan kepada rakyat bahawa Jalur Gemilang adalah hak milik mereka. Mereka menghakmilikkan bendera negara macam bendera BN.

Sebab itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak ramai kalangan rakyat yang mahu mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan atau premis milik mereka. Yang mengibarkan bendera negara hanya penyokong Umno-BN sahaja. Itu pun hanya dua tiga kerat.

Justeru, rakyat yang semakin sedia menolak Umno-BN, enggan menaikkan bendera Malaysia. Rakyat takut, dengan mengibarkan Jalur Gemilang mereka dilabel penyokong Umno-BN.

Jelas pada kita bahawa, akibat daripada kerakusan dan ketamakan kuasa, Umno-BN sudah mencabut roh dan semangat patriotik rakyat terhadap negara.

Maka tiada jalan lain bagi kita untuk menyelamatkan negara, selain daripada usaha gigih kita, mencabut roh dan nyawa Umno, dari tampuk kuasa pada PRU ke-13 nanti.

Sebelum roh dan nyawa Umno dicabut rakyat pada PRU depan, ruh dan semangat 'Janji Ditepati' yang dicanang Najib, sudah tercabut akibat kedangkalan Rais Yatim yang hendak 'mengampu tidak kena tempat.'

Thursday, July 19, 2012

Fenomena warna trend tumbangkan BN

Dunia ini penuh dengan warna warni - life is colourful. Allah menciptakan pelbagai warna untuk manusia menikmati keindahan alam semesta ciptaan-Nya.

Manusia hari ini menjadikan warna sebagai sumber inspirasi kehidupan dan aspirasi perjuangan mereka. Hakikatnya manusia cenderung kepada warna. Ada yang suka hijau, ada yang suka biru, suka merah, suka warna oren (jingga) ada yang suka warna ungu.

Warna sangat signifikan kepada kehidupan di alam duniawi, malahdi syurga nanti kita akan diliputi dengan kehidupan yang berwarna warni.

Di dalam al-Quran misalnya. Ada banyak perkataan yang Allah rujuk dengan warna hijau, khususnya menjelaskan keadaan penghuni syurga (al-jannah) dan keadaan di sekelilingnya yang berupa kenikmatan, keindahan, kesenangan dan ketenangan jiwa,

Allah berfirman (mafhumnya):

"Mereka bertelekan (bertelekan: tiduran menyamping, tubuh lurus, dengan salah satu tangannya dilipat dan telapak tangannya menyangga kepala di atas bantal-bantal yang hijau dan permaidani yang indah." (Surah ar-Rahman, ayat 76).

"Mereka mengenakan pakaian sutera halus yang hijau, dan sutera tebal, serta dipakaikan gelang dari perak kepada mereka. Dan Rabb mereka memberi minum mereka dengan minuman yang suci." (Surah al-Insan, ayat 21).

"Mereka mengenakan pakaian sutera halus yang hijau dan sutera tebal." (Surah al-Kahfi, ayat 31).

Salah seorang pakar psikologi, Ardatsham, mengatakan:

"Sesungguhnya pengaruh warna terhadap manusia sangat besar, dan saya pernah melakukan sejumlah penelitian dan menjelaskan bahawa warna berpengaruh terhadap kejiwaan dan semangat serta keupayaan kita; merasa panas; atau dingin; atau tenang; atau bahagia; bahkan ia boleh mempengaruhi keperibadian dan menentukan sikap seseorang.

Dalam politik Malaysia hari ini, pemilihan warna sudah menjadi fenomena dalam menentukan sikap rakyat. Inspirasi warna sudah menjadi semakin dominan, khususnya gerakan yang dilancarkan Pakatan Rakyat dalam membentuk sikap dan kecenderungan rakyat menolak Umno-BN.

Warna dijadikan simbol kebangkitan rakyat. Simbol kesatuan kuasa rakyat untuk menolak Umno-BN dari tampuk kuasa pemerintahan. 

Semasa mengemukakan dasar politik, ekonomi dan sosialnya, Pakatan memperkenalkan Buku Jingga (Oren). Dalam menuntut penstrukturan semula sistem pilihan raya, rakyat diperkenalkan dengan Bersih yang menggunakan tema kuning.

Dalam usaha PAS untuk mengembleng kekuatan ahlinya dan menunjukkan syiarnya, PAS memilih tema Hijau untuk Himpunan Hijau 1 Jun lalu, di Alor Setar. Di Kota Bharu, gerakan rakyat Kelantan menuntut royalti petroleum, mereka menggunakan tema merah dengan simbol R untuk royalti.

Manakala pada perhimpunan rakyat untuk menyelamatkan tanah Felda, Gerakan Selamatkan Felda menggunakan warna oren sebagai tema Himpunan Oren, 14 Julai 2012 di Kuala Lumpur. Malah bagi kempen menyelamatkan rakyat dari kesan Lynas di Gebeng, penganjur menggunakan tema hijau muda.

Tema warna ini ternyata menarik minat rakyat. Ia berjaya menghimpunkan ratusan ribu rakyat yang komited. Hari ini, jika kita menjengah rumah penyokong Pakatan, sudah tentu kita akan menjumpai t-shirt kuning (Bersih), hijau (Himpunan Hijau), merah (Himpunan Tuntut Royalti) dan oren (Himpunan Oren).

Sehingga kini Pakatan sudah mencipta empat gelombang berasaskan warna. Kuning, hijau, merah dan oren. Fenomena warna ini ternyata berjaya membentuk kecenderungan dan kesungguhan rakyat untuk menolak Umno-BN pada PRU akan datang. Rakyat yang komited menolak Umno-BN, tanpa segan silu memakai baju Bersih, baju Himpunan Hijau, baju menuntut royalti dan baju oren bagi menyelamatkan Felda.

Yang tinggal untuk Barisan Nasional hanyalah biru. Lagipun slogan BN diasaskan dengan warna biru. Pada pemahaman kita, warna biru BN ini, bukan warna biru muda, kerana biru muda adalah warna tema parti KeADILan.

BN menggunakan warna biru pekat atau blue black untuk membentuk sokongan rakyat. Tetapi nampaknya warna biru pekat atau biru gelap ini sudah semakin tidak popular di kalangan rakyat. Himpunan biru pekat semakin pudar dan usang. Rakyat yang berhimpun, memakai baju biru pekat hanya kerana dikerahkan hadir, dikerahkan dengan mendapat t-shirt, topi, elaun dan makanan percuma.

Nilai estetika sudah tiada, nilai pengorbanan sudah tiada. Yang ramai hanya kerana diupah, diarah dan tiada pilihan lain.

Berbeza dengan rakyat yang berhimpun bagi Bersih 3.0, Hijau, Merah dan Oren. Kebanyakan rakyat hadir kerana kesedaran, pengorbanan dan kesungguhan untuk mempertahankan hak. Mereka mengeluarkan wang saku sendiri, demi sebuah perjuangan yang benar-benar ikhlas, penuh kesungguhan untuk menumbangkan BN.

Gabungan warna-warna ini sememangnya berjaya mendominasi tema warna biru gelap BN yang semakin malap dan pudar. Memang jelas bagi kita, warna blue black ini sudah tidak lama ditampuk kuasa. Sebabnya, blue black ini akan diblack-outkan rakyat pada PRU akan datang. Takbir! Allahu akbar!

Monday, July 16, 2012

Transformasi pincang demokrat palsu PM Najib

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berusaha menonjolkan dirinya sebagai seorang demokrat dengan pelbagai pendekatan dan perubahan dilakukan, kononnya untuk memberi lebih ruang dan kebebasan kepada rakyat.

Melalui pelbagai program transformasinya, Najib membuat pelbagai pengumuman dan pindaan kepada beberapa akta yang didakwa menyempitkan ruang demokrasi. Dalam bahasa mudah, Najib secara tidak langsung memperakui bahawa selama 50 tahun Umno-BN melaksanakan akta drakonian yang menindas rakyat sekian lama.

Melalui saki baki kuasa majoriti tipis Barisan Nasional di Parlimen, beliau merombak akta dan beberapa penambahbaikan pilihan raya, memansuhkan ISA dan melupuskan Seksyen 27 Akta Polis untuk digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Belum pun akta-akta drakonian yang diperbaharui dinikmati keberhasilannya oleh rakyat, Najib mengumumkan pula bahawa beliau akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

Berdasarkan rekod, ciri-ciri demokrat palsu boleh dilihat antaranya dengan langkah sebelum ini seperti penggantian ISA dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan pengenalan Akta Keterangan (Pindaan) 2012.

Kita amat meragui keikhlasan Najib. Sebelum ini diumumkan pemansuhan ISA, tetapi masih ramai tahanan yang masih ditahan di bawah ISA, malah tangakapan terus dilakukan pihak berkuasa terhadap mana-mana suspek di bawah ISA, walaupun PM sudah memansuhkannya.

Begitu juga dengan beberapa pindaan pada akta pilihan raya. Setelah beberapa hari berbahas di Parlimen, berlaku pertikaman lidah antara wakil Pakatan Rakyat dan BN kerana pindaan tersebut tidak wajar dilakukan, kerajaan BN dengan bebal hati meluluskan pindaan tersebut.

Beberapa hari selepas pindaan akta pilihan raya diluluskan, Kabinet membuat pusingan U-turn, dengan menarik balik pindaan akta, sekali gus membatalkan kelulusan Parlimen.

Perkara yang sama berlaku apabila kerajaan membuat janji palsu ketika membentangkan Akta Perhimpunan Aman 2012. Semasa pindaan, dicanangkan ianya dibentang bagi memberi hak dan ruang lebih besar kepada rakyat untuk berhimpun secara aman.

Malangnya akta tersebut dimanipulasikan dan tidak langsung menjamin keselamatan dan kebebasan rakyat, apabila demonstrasi aman Bersih 3.0 bertukar menjadi medan berdarah, berpunca dari tindakan ganas pihak polis terhadap peserta Bersih 3.0.

Cadangan pindaan Akta Hasutan 1948, tidak membawa makna apa-apa kerana cadangan akta baru didakwa mempunyai dan mengekalkan "kuasa-kuasa drakonian" yang sama.

Walaupun Najib berkata, pengenalan akta baru itu bertujuan mencari mekanisme bagi menentukan keseimbangan terbaik antara menjamin kebebasan bersuara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan di negara ini.

Tetapi jika diukur daripada pengalaman beberapa cadangan transformasi akta yang gagal, hasrat Najib dilihat tidak lebih daripada helah politik untuk mengelabui mata rakyat.

Pada dasarnya kita amat mengalu-alukan sebarang transformasi dan sebarang reformasi undang-undang yang digubal ke arah yang lebih demokratik. Namun, jika Najib benar-benar ikhlas, beliau perlu memansuhkan Akta Hasutan tanpa menggantikannya dengan akta lain yang sama.

Jika pun ianya hendak digantikan juga, kita menggesa kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Khas Parlimen yang bersifat bipartisan untuk mengkaji secara menyeluruh Akta Keharmonian Nasional yang dicadangkan.

Jawatankuasa ini harus diberi mandat untuk membincangkan perihal perpaduan sosial dan perhubungan antara kaum.Kita amat meragui keberkesanan dan ketelusan kerajaan Umno-BN. Semua janji transformasi undang-undang yang dijanjikan PM Najib tidak boleh dipercayai.

Beliau layak dilabel 'demokrat palsu' kerana kebanyakan transformasi yang dilakukannya adalah usaha untuk memulihkan persepsi rakyat terhadap BN, bukannya memulihkan indeks demokrasi sebenar.

Malah, usaha Najib untuk memulihkan indeks persepsi dunia terhadap beliau, ternyata gagal kerana akhbar Kanada, The Globe and Mail pada 8 Jun lalu memuatkan artikel wartawan terkenal Mark Mackinnon, yang mengkategorikan Najib sebagai demokrat palsu, sebaris dengan autokrat seperti Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Sehingga hari ini rakyat Malaysia tidak mempercayai transformasi pincang Najib kerana rakyat sedar bahawa transformasi sebenar hanya boleh terlaksana, hanya selepas Umno-BN dilupuskan dari tampuk pemerintahan.

Saturday, July 14, 2012

Memorandum Himpunan Oren, Selamatkan Felda

Peserta Himpunan Oren.
Gabungan Ngo-Ngo Gerakan Selamatkan Felda (GSF) telah menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 14 Julai lalu bagi mendesak campurtangan istana dalam menghentikan penyenaraian Felda Global Ventures ke Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Memorandum itu antara lain mempunyai tuntutan kepada pihak Istana agar segera campurtangan dalam isu FGVH demi masa depan peneroka Felda.

Berikut adalah sorotan memorandum GSF :

Latar Belakang Penyenaraian Felda Global Ventures


Ketika pembentangan bajet 2012 tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan untuk menyenaraikan Felda melalui anak syarikatnya Felda Global Ventures Holding Berhad di Bursa Malaysia.


Penyenaraian FGV ini melibatkan aset-aset berharga milik Felda. Antaranya tanah Felda Plantation berjumlah 360 hektar dan tanah-tanah milik Felda dan peneroka yang belum menerima hak milik.
Felda Plantation ini merupakan pendapatan utama Felda selama ini dan menyumbang sebanyak RM2 bilion purata setahun.

Selain itu, penyenaraian juga hendak dilibatkan aset-aset milik Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).

Ia disertai oleh peneroka, anak-anak peneroka dan kakitangan Felda sebagai ahlinya. Setiap tahun KPF membayar dividen sebanyak 10-16 peratus. Walaubagaimanapun, setelah melalui beberapa kali Mesyuarat Agung Khas KPF, Felda gagal mendapatkan kelulusan menyenaraikan aset KPF dan aset-asetnya dalam 10 anak syarikat Felda Holding yang dipegang KPF.

Sepanjang usaha penyenaraian ini, berlaku beberapa peristiwa kontroversi. Diantaranya, Pengarah Besar Felda, Dato' Zulkefli Abdul Wahab yang mengetuai seluruh pentadbiran dan kakitangan Felda telah diarahkan bercuti selama sembilan bulan.

Setelah melalui proses lebih setengah tahun, maka pada pada 28 Jun 2012 yang lalu, rasminya FGV disenaraikan di Bursa Malaysia.

Justifikasi Penolakan Penyenaraian

Setelah diteliti pelan penyenaraian dan rentetan peristiwa yang berlaku dalam Felda dan sepanjang proses penyenaraian ini, maka kami Gabungan Ngo-Ngo Gerakan Selamatkan Felda (GSF) dengan ini menentang penyenaraian yang telah dilakukan pada 28 Jun 2012 lalu diatas mudharat-mudharat yang telah dan akan menimpa Felda dan warganya. Berikut sebahagian sebab penentangan:

1. Penyenaraian FGVHB Menyebabkan Pemilikan dan Penguasaan Peneroka ke atas Tanah Felda dan Aset yang lain Berpindah kepada Pelabur-pelabur Bukan Peneroka  

Walaupun terdapat bantahan kuat daripada peneroka-peneroka Felda dan pihak-pihak yang bersimpati dengan mereka, pihak berkuasa Felda di bawah pimpinan Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dengan restu dari Perdana Menteri yang bertanggungjawab di atas Felda, tetap juga meneruskan pelan penyenaraian syarikat FGVHB pada 28 Jun 2012.

Akibatnya, tanah Felda di bawah Felda Plantation Sdn. Bhd. dan lain-lain harta yang selama ini merupa “itek angsa yang mengeluarkan telor emas” kepada Felda dan peneroka Felda terlepas kepada orang lain.

Dari kesemua jumlah saham FGVHB yang diapongkan(2.2 bilion unit saham) hanya 2.5 peratus diperuntukkan kepada peneroka dan 97.5% saham syarikat FGVHB kini dimiliki dan dikuasai oleh pelabur-pelabur bukan peneroka.

Dengan kata lain, ladang kelapa sawit dan getah yang diletakkan di bawah Felda Plantation Sdn. Bhd. dan pelbagai lagi anak syarikat Felda yang menjana untung yang disuntikkan kepada FGVHB telah terlepas dari tangan peneroka kepada pelabur-pelabur yang tidak ada kena-mengena langsung dengan usaha membangunkan tanah dari hutan belantara sehingga menjadi ladang yang luas itu.

2. Pemajakan Tanah Felda kepada Syarikat Swasta Menyalahi Akta Penempatan Berkelompok (Group Settlement Act) 1960 

Dalam hal ini, perlu diimbau kembali sejarah awal secara ringkas penubuhan Felda.

Ia bermula dengan pengenalan Akta Penempatan Berkelompok, 1960 (Group Settlement Act 1960) yang dibentangkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak Bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, di Parlimen pada 27 April 1960. Dalam pembentangan itu beliau memberitahu bahawa matlamat GSA 1960 ialah untuk memberi tanah kepada rakyat yang tidak bertanah (giving land to the landless) serta menambah pemilikan tanah yang tidak mencukupi kepada penduduk luar bandar untuk membolehkan pencarian nafkah yang sempurna.

Bahawa Felda telah menyalahgunakan tanah yang diberikan oleh kerajaan-kerajaan negeri (yang diwartakan sebagai Rancangan Tanah Berkelompok) terbukti apabila Felda sendiri mengusahakan tanah itu dengan menubuhkan Felda Plantation Sdn. Bhd. Sejak diperbadankan pada 13 Januari 1992, FPSB telah mengambilalih semua tanah Felda yang tidak diisi peneroka.

Sehingga kini, tanah Felda yang tidak berpeneroka yang telah dipungut oleh FPSB berjumlah 380,180 hektar (840,245 ekar). Kerajaan negeri tidak dibayar apa-apa dari hasil tanah ini yang keuntungan tahunannya mencecah berbilion-bilion ringgit. Tanah ini pulalah yang telah lupuskan kepada FGVHB, sebuah syarikat swasta yang kini berstatus syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mana pemiliki sahamnya akan terdiri daripada pelabur-pelabur bukan-peneroka termasuk pelabur-pelabur asing.

Jelas bahawa pemindahan milik tanah di bawah Felda Plantation Sdn. Bhd. kepada FGVHB adalah menyalahi GSA 1960 dan bertentangan sama sekali dengan syarat pemberian tanah itu kepada Felda oleh kerajaan-kerjaan negeri. Persoalannya: Apakah yang akan terjadi kepada status penyenaraian FGVHB (jika diluluskan) sekiranya ada pihak bekepentingan, misalnya peneroka sendiri atau koperasi atau kerajaan-kerajaan negeri, membawa perkara ini ke mahkamah memohon GSA 1960 dikuatkuasakan?  Kami telah pun menanyakan hal ini dengan pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam memorandum kami bertarikh 28 Mei 2012 tetapi pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memilih untuk membisu dalam hal ini dan meluluskan penyenaraian saham FGVHB.

Pelanggaran undang-undang secara terang-terangan seperti yang dihuraikan di atas sudah cukup untuk menjadi alasan supaya penyenaraian FGVHB di Bursa Malaysia dibatalkan dengan segera.

3) Penglibatan Pengerusi Felda yang hilang integriti

Umum mengetahui, Pengerusi Felda yang dilantik oleh Perdana Menteri iaitu Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana terlibat dengan rasuah. Begitu juga dengan CEO FGVHB Dato' Sabri Ahmad yang sebelum ini mempunyai rekod buruk ketika mengetuai Golden Hope. Oleh itu, penglibatan mereka berdua dalam mengepalai penyenaraian ini mendatangkan keraguan dan kebimbangan kepada ketelusan dan integriti penyenaraian.

4) Kehilangan 75 peratus pendapatan Felda

Felda yang selama ini berbelanja sebanyak RM2 bilion untuk mengurus pentadbiran dan pengurusan ladang dan rancangan Felda akan kehilangan pendapatan sebanyak 75 peratus. Ini kerana, dengan penyenaraian yang berlaku, tanah Felda Plantation yang menyumbang RM2 bilion selama ini dipajak kepada FGVHB. Pajakan ini hanya memberi bayaran kepada Felda beserta keuntungan dijangka sebanyak RM508 juta sahaja. Bermakna, Felda kekurangan RM1.5 bilion untuk menguruskan pentadbirannya. Secara langsung ia memberi kesan kepada peneroka dan kakitangan Felda. Kehilangan pendapatan ini, jelas kesan buruk daripada penyenaraian yang dilakukan.

Daripada RM2 bilion perbelanjaan Felda ini, sebanyak RM500 juta digunakan untuk kos  pengurusan dan pentadbiran Felda dan bakinya melibatkan perbelanjangan pembangunan ladang peneroka, kebajikan peneroka, pinjaman sara hidup peneroka sepanjang proses tanam semula, kos baja dan lain-lain kos berkait rapat peneroka.
Namun apabila Felda hanya menerima RM508 juta selepas penyenaraian, menyebabkan peneroka menerima kesan buruk utama.

5. Kes Terdahulu: Jutawan Gagal di Lima Buah Felda

Sudah diketahui umum kegagalan Felda dalam kes pembangunan di Felda Cahaya Baru, Masai Johor, Felda Labu Jonson dan Sendayan di Negeri Sembilan, Felda Bukit Cerakah dan Felda Sungai Buaya di Selangor. Peneroka-peneroka Felda ini dijanjikan menjadi jutawan setelah tanah mereka diambil untuk dibangunkan dengan projek perbandaran baru dan pelbagai lagi.

Namun setelah hampir 20 tahun menanti, mereka tidak mendapat bayaran penuh sebagaimana dijanjikan, malah ada diantaranya hanya menerima tidak sampai 10 peratus wang dijanjikan. Dalam masa yang sama tanah ladang mereka telah diambil.


Berdasarkan beberapa fakta keburukan penyenaraian yang berlaku dan kes-kes terdahulu, maka hari ini patik gabungan ngo-ngo Gerakan Selamatkan Felda (GSF) dengan ini menolak penyenaraian yang telah dilakukan dan memohon kepada Seri Paduka Baginda Tuanku untuk meminta kerajaan membatalkan segera penyenaraian tersebut.

Wednesday, July 11, 2012

Umno menuai berkat daripada kilang arak San Miguel

Wajarkah seorang beragama Islam punyai saham dalam syarikat arak?
Sudah hampir sepuluh tahun Tun Dr Mahathir Mohamad bersara dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno. Ada orang kata buang 'dakwat' sahaja kalau hendak menulis atau mengkritik mantan PM ini.

Namun, kadang-kadang kita perlu diimbaskan kembali wajah politik Dr Mahathir, yang sehingga kini, masih mendominasi atau dictate masa depan Umno, khususnya pelbagai gesaan yang beliau lakukan terhadap PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Walaupun usianya sudah lanjut, tetapi sehingga hari ini Dr Mahathir masih aktif berpolitik, mengeluarkan kenyataan politik dan menghentam Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sering menjadi sasarannya. Nampak jelas mantan Presiden Umno itu sangat berjaki dengan Anwar.

Baru-baru ini beliau terus menyerang Anwar dan menggesa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersara daripada politik.

"Ada pemberita tanya, Dr Mahathir suruh berhenti sekarang. Saya kata tak apalah. Yang itu biar saya dengan rakyat. Kamu Dr Mahathir, duduk diam-diam. Jaga syarikat anak kamu yang berpuluh bilion ringgit. Kalau kamu pemimpin bersih, malu tahu tak, malu! Seorang pemimpin, puluh bilion kekayaan anak-anaknya," tegas Anwar dalam ceramahnya di Selayang, baru ini.

Anwar mempersoalkan mengapa Dr Mahathir terlalu marah kepadanya. Sedangkan selama ini, beliau tidak pernah mengacau dan telah pun memaafkan bekas PM tersebut.

"Sudahlah. Yang kena pukul saya, Mahathir, bukan kamu. Yang kena penjara saya, yang kena telanjang saya. Sudahlah, saya dah maafkan.

"(Tetapi) yang kamu takut ini apa? Rupanya, dia takut saya nak rampas harta dia dan anak pinak dia," katanya sambil mengimbau detik-detik perselisihan beliau dengan Dr Mahathir sebelum dipecat daripada kerajaan pada September 1998.

Ramai kalangan rakyat Malaysia yang dibutakan dengan fakta. Mereka digelapkan daripada mengetahui kekayaan Dr Mahathir anak-beranak. Kita tidak menuduh beliau kaki rasuah, namun sewaktu beliau masih menjadi PM lagi, anak-anaknya didapati menguasai lebih 160 buah syarikat, mengikut dokumen daripada Pendaftar Syarikat.

Apa yang disebutkan Anwar harus dibongkar. Bagaimana mereka sekeluarga boleh memperolehi kekayaan mencecah puluhan bilion ringgit? Ini tidak harus kita diamkan.

Apa pun, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang berjaya membangunkan negara. Beliau juga berjaya mendidik anak-anaknya, supaya berjaya dalam politik dan perniagaan.

Dr Mahathir adalah bapa mithali. Seorang bekas PM yang hebat dan bekas Presiden Umno yang berjaya. Beliau berjaya kerana beliau dan anak-anaknya menguasai konglomerat terbesar.

Bukan sahaja di Malaysia. Khabarnya kekayaan mereka meliputi Filipina sehingga ke Buenos Aires, Argentina. Kita tidak tahu sama ada syarikat yang dikuasai mereka, meliputi negara-negara bekas jajahan Soviet Union seperti Kyrgyzstan, Kazakhstan dan lain-lain.

Justeru, seluruh anggota dan pemimpin Umno harus mengambil contoh kejayaan Dr Mahathir, anaknya Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz.

Anak sulungnya, Mirzan membuktikan bahawa beliau adalah Bumiputera yang berjaya, hasil didikan Umno. Beliau adalah intipati daripada profesional yang berjaya, hasil doktrin perjuangan kebangsaan Melayu Umno.

Mana tidaknya. Bukan senang orang Melayu hendak berjaya dalam perniagaan. Bukan senang kaum Bumiputera, anak seorang pemimpin Islam boleh menguasai syarikat yang bertaraf antarabangsa.

Seorang lagi anak Mahathir, Mokhzani, bekas bendahari Pemuda Umno adalah pemilik Kencana Petroleum. Kencana merupakan salah sebuah dari tujuh syarikat yang mendapat lesen menggali minyak daripada Petronas. Bapanya, merupakan Pengerusi Petronas. Ada sumber memberitahu kekayaan Mokhzani, hasil daripada syarikat minyaknya, mencecah RM1.6 bilion.

Anak bongsunya, Dato' Mukhriz, walaupun kerjaya politik tidak seberapa, bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno pun kalah, tetapi dilantik menjadi timbalan menteri. Sekarang ini, beliau mencadangkan Mukhriz menjadi antara bakal calon Menteri Besar Kedah. Itu pun jika BN menang, kalau BN melingkup, tiada ada apa hendak dikata lagi.

Bercerita tentang kehebatan Mirzan. Beliau sebelum ini, menguasai syarikat antarabangsa Filipina, San Miguel Corporation, yang juga pemilik syarikat San Miguel Brewery Inc, pembekal dan pengedar minuman arak yang terbesar di negara tersebut.

San Miguel Brewery menguasai 95 peratus pasaran arak Filipina. Syarikat yang sudah mencecah satu abad itu, difahamkan turut mempunyai kilang arak serta kepentingan di China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Malaysia. Menurut laman web San Miguel, ia mempunyai pasaran 60 buah negara di seluruh dunia.

Walaupun San Miguel turut terbabit dalam beberapa bidang perniagaan lain, tetapi yang jelas penglibatan Mirzan, selaku anak kepada bekas PM, anak bekas Presiden Umno yang beragama Islam, yang partinya mendakwa parti Islam terbesar dalam Malaysia, mencetuskan banyak persoalan.

Hari ini rakyat Malaysia mempersoalkan pula, bagaimana Mirzan melalui San Miguel berjaya menguasai syarikat minyak Esso Malaysia. Esso kemudiannya menukar nama kepada Petron dan Petron diberi kontrak untuk membekalkan minyak kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

MAS sebelum ini mendakwa mengalami kerugian, kerana terpaksa menanggung kos bahan api yang dibekalkan oleh Petronas, dan Dr Mahathir selaku Pengerusi Petronas.

Esso sudah 'direbranded' sebagai Petron selepas syarikat asal dari Filipina, Petron Corp yang merupakan sebahagian daripada syarikat milik konglomerat San Miguel menjadi pemegang saham terbesar Esso Malaysia dengan pegangan saham sebanyak 73.4 peratus.

Apa yang jelas hari ini, Putrajaya yang dipimpin Najib begitu membisu dengan penguasaan ekonomi yang semakin rancak oleh anak-beranak Dr Mahathir. Yang jelas, mereka semakin mendominasi ekonomi negara. Penuh dengan 'conflict of interest.'

Kita menggesa Putrajaya untuk memberi penjelasan bagaimana syarikat-syarikat yang merupakan aset penting negara, boleh dikuasai oleh entiti asing dengan harga belian di bawah harga pasaran sebenar.

Seperti yang ditegaskan Anwar, Najib harus membuat penjelasan kepada rakyat, mengapa semua urusniaga yang membabitkan Petronas, MAS, Petron dan sebagainya, dilakukan untuk kepentingan Dr Mahathir anak-beranak?

Bagi Dr Mahathir, beliau anak-beranak, boleh tersenyum bangga kerana mereka merupakan Bumiputera yang berjaya dalam perniagaan, dengan nilai syarikat-syarikat besar yang mereka kuasai mencecah puluhan bilion ringgit.

Tetapi bagi rakyat, kami tidak akan berpuas hati. Kami tidak akan meredai harta milik negara diserahkan kepada syarikat kroni pemimpin Umno. Harta rakyat bukan harta yang mudah-mudah hendak dibidak-bidak pemimpin Umno anak-beranak.

Justeru kita menuntut Putrajaya memberi penjelasan segera. Kita juga menuntut Dr Mahathir dipecat daripada Petronas kerana pelbagai kepentingan negara diraih beliau anak-beranak. Negara akan musnah jika pemimpin Umno dibiarkan untuk bebas sebegini.

Kayalah kamu, mewahlah hidup kamu wahai pemimpin Umno! Itulah berkat daripada kilang arak San Miguel! Berkat dari perjuangan kebangsaan, tanpa mengira halal haram. Meminjam kata Najib di Felda tempohari, memang 'haram jadah'!

Friday, July 06, 2012

Pakatan sukar cari pengganti setanding Anwar Ibrahim

Mohd Sabu, Anwar dan Kit Siang dalam sidang akhbar Pakatan.
Inilah realiti politik di Malaysia. Bukan soal politik kepartian atau fanatisme kepada mana-mana individu. Politik mesti berasaskan kepada realiti semasa.Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam The Malaysian Insider hari ini dirujuk.

Mohd Sabu pada pendapat sesetengah pihak mempunyai pandangan berbeza dengan Anwar dalam banyak perkara. Tetapi hakikatnya beliau adalah pemimpin yang pragmatik dan realis.

Sekurang-kurangnya Abang Mat Sabu memperakui buat masa ini, walaupun Pakatan Rakyat mempunyai pemimpin pelapis, tiada yang dapat menandingi Anwar Ibrahim.

Saya tidak perlu ulas panjang, pandangan ringkas Mohd Sabu sudah memadai untuk dijadikan panduan. Berita dipetik dari TMI.

Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang pemimpin berani dan kata timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, mengulas mengenai temuramah ketua pembangkang dengan Financial Times (FT) baru-baru ini.

Dalam wawancara bersama FT, Anwar Ibrahim mengatakan jika gagal menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) 13 ini, beliau akan bersara dalam politik dan kembali mengajar di universiti.

“Dengan menggeluarkan kenyataan sanggup untuk bersara dari politik jika tidak berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU 13 ini, membuktikan Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin yang berani,” kata Mohamad Sabu dalam temubual telefon kepada The Malaysian Insider sebentar tadi.

“Ertinya beliau yakin dengan kekuatan gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang dipimpinnya.”

Selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2004, Anwar pernah diundang untuk mengajar dibeberapa universiti terkemuka dunia seperti Universiti Oxford dan Universiti Georgetown.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan persaraan politik Anwar benar-benar terjadi, Mohamad yang mesra dengan penggilan Mat Sabu mengatakan PR pasti mengemukakan pengganti kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

“Soal pengganti kepada Anwar bukanlah satu isu kerana PR mempunyai ramai pemimpin pelapis,” jelas Mat Sabu lagi. “Persoalannya adalah apakah pengganti itu setanding dengan Anwar Ibrahim.”

PR ditubuhkan sebaik sahaja PKR, PAS dan DAP yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim berjaya mengurangkan majoriti dua pertiga BN pada PRU 12.

Semenjak berlakunya peristiwa bersejarah — digelar Tsunami politik itu, PR terus menjadi pencabar terkuat BN yang belum pernah lagi tewas dalam PRU semenjak kali pertama ia diadakan.

Jom jadikan Dr M banduan kehormat lima hari

Sewaktu mereka dalam satu kumpulan sebelum Anwar dipecat.
Kita tidak perlu bergurau dengan Dr Mahathir Mohamad untuk menyumbatkan ke dalam penjara, sebagai banduan selama lima hari sahaja. Tak tau la dia tahan ke tidak.

Dr M tidak perlu hendak usik Anwar Ibrahim kerana selepas Anwar dibebaskan dari penjara, Anwar tidak menyerang bekas bosnya secara terbuka. Dr M dah maki Anwar banyak kali. Tiap-tiap kali ada peluang jumpa press, dia akan mula menyerang Anwar.

Saya pernah tanya Anwar secara peribadi, mengapa beliau tidak mahu menyerang bekas bosnya, sedangkan semua orang tahu betapa zalimnya Dr M yang menyumbatkan Anwar ke dalam penjara dan Dr M membiarkan samseng KPN, Rahim Noor memukul Anwar dalam lokap polis tanpa belas ihsan.

"Dato' Seri, anta tidak mahu balaskah serangan Dr M kepada anta, nampak tak henti-henti orang tua tu," tanya saya.

Reaksi Anwar kepada saya,"Tak usahla..ana tak mahu berdendam dengan beliau, biarlah dia hendak kata apa. Barangkali dia tengah meroyan tengok Umno makin teruk," katanya sambil tersenyum kecil.

Saya setuju dengan Anwar. Dalam Islam kita tidak harus berdendam dengan sesiapa. Jika kita boleh menjadi pemaaf, itulah yang terbaik, walaupun kebanyakan orang sukar melakukannya.

Berbalik tentang Dr M. Kita sebagai orang awam, kadang-kadang muak dengan pelbagai kenyataan bekas PM yang bukan sahaja menyerang Anwar, malah menyerang PAS dan DAP.

Ada sumber-sumber dalaman Perkasa mendakwa Dr M ada hubungan yang akrab dengan presiden Perkasa. Kita tahu banyak kerja-kerja kotor dilakukan Perkasa. Apakah ianya disaran oleh Dr M? Kita tidak tahu.

Dr M mungkin berseloroh untuk memperli Anwar untuk dijadikan PM selama lima hari. Tetapi kita tidak harus berseloroh dengan beliau, untuk kita siasat Dr M dan seluruh organisasi Umno di bawah OSA.

Tidak perlu ambil banyak kes. Kita ambil kes seumpama yang dikenakan kepada Uncle Seekers a.k.a Syed Abdullah.

Berapa banyak dokumen yang diklasifikasikan sebagai OSA, diedar pada perhimpunan agung Umno, disiar media massa pro Umno untuk memaki hamun institusi Raja?

Takkan dalam hal Uncle Seekers, pihak Istana boleh bersetuju dengan tindakan polis, tetapi dalam menyiasat pemimpin Umno, pihak Istana boleh mendiamkan diri? Itu persoalan yang rakyat lontarkan.

Jadi, pada kita, pihak polis wajar untuk mereman Dr M selama empat lima hari, untuk dilakukan siasatan di bawah OSA.

Apa macam Dr M? Ada berani?

Ulasan ringkas sebagai reaksi kepada news Bernama:

Dr M: Jadikan Anwar 'PM kehormat' 5 hari

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dia patut bersara sekarang, tak ada guna langsung...dia (Anwar) punya hajat cuma nak jadi perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Czech Vaclav Klaus di ibunegara hari ini.

Dr Mahathir berkata kenyataan Anwar itu merupakan retorik politik sahaja kerana menurut beliau jika pakatan pembangkang kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Anwar masih terus dengan impiannya untuk menjadi perdana menteri.

Beliau diminta mengulas mengenai satu wawancara Anwar yang disiarkan akhbar Financial Times Selasa lalu membayangkan akan berundur daripada politik negara jika pakatan pembangkang kalah dalam PRU-13 dan akan kembali mengajar.

Bekas perdana menteri dengan nada bergurau mencadangkan supaya diwujudkan jawatan perdana menteri 'terhormat' selama lima hari untuk diisi oleh Anwar bagi memenuhi impian beliau sebelum bersara.

"Kita buat dua jawatan perdana menteri, bagi dekat dia satu 'Honour Prime Minister' selama lima hari, lepas itu dia boleh bersara," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan penyelewengan bernilai RM1 bilion oleh kerajaan negeri Selangor dalam urusan penyelesaian hutang sebuah syarikat senaraian awam, Dr Mahathir berkata rakyat Selangor harus bangkit dan sedar dengan penyelewengan kerajaan Selangor.

Katanya, kerajaan Selangor tidak sepatutnya menyalahguna kuasa dan mengguna duit rakyat bagi memenuhi kepentingan tertentu.

Justeru, katanya, rakyat Selangor perlu memberi semula kepercayaan kepada kerajaan BN yang sebelum ini telah memerintah Selangor selama 50 tahun untuk kembali memajukan Selangor.

Thursday, July 05, 2012

Adili Uncle Seekers di mahkamah terbuka

Adili Syed Abdullah sebaik-baiknya
Saya tidak begitu mengenali Syed Abdullah. Tetapi saya mengenali agak rapat dengan ayahanda beliau, SH Alattas atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Habib. Satu waktu dahulu saya sering berkunjung ke teratak Pak Habib di Kg Janda Baik, tetapi tidak pernah bersemuka dengan Syed Abdullah. Malah saya pernah membawa puluhan pimpinan PAS Wilayah Persekutuan, untuk qiamullail di atas padang rumput di tepi alur sungai teratak mereka.

Syed Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Uncle Seekers, barangkali sudah mengetahui apa risiko yang bakal beliau lalui ketika 'membikin' blog yang begitu lantang mengkritik Sultan Johor dan Kerabatnya.

Blog beliau ternyata amat hebat. Dikunjungi puluhan pelayar internet dalam masa beberapa saat. Apa jua isi kandungan yang ditulis beliau, apa sebabnya, hanya Syed Abdullah sahaja yang mengetahuinya.

Kita faham, budaya orang Melayu di Malaysia yang cukup menghormati Raja atau Sultan. Tetapi kita mahukan keadilan. Kita amat kesal, apabila pemimpin Umno, khususnya di Terengganu yang mengadakan demonstrasi dan menggelar Sultan mereka sebagai binatang, tidak diapa-apakan, malah dibiar bebas.

Tetapi apabila rakyat biasa seperti Syed Abdullah mengemukakan pandangan kritisnya, beliau diambil tindakan.

Kita tidak tahu apakah yang akan terjadi kepada Syed Abdullah, tetapi kita mahukan keadilan dan jika kerajaan mahu mengambil tindakan ke atas beliau, bicarakanlah di mahkamah terbuka, supaya tiada apa yang tersembunyi.

Disertakan laporan Malaysiakini

Polis tahan Uncle Seekers mengikut OSA

Penulis blog Syed Abdullah Syed Husein Al-Attas yang lebih dikenali dengan nama Uncle Seekers ditahan polis di plaza tol Senawang, Negeri Sembilan pada malam tadi.

Timbalan ketua jabatan siasatan jenayah Johor ACP Mohd Akhir Ishak berkata, lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Kami menahan seorang lelaki dipercayai pemilik laman blog Uncle Seekers (www.uncleseekers.blogspot.com). Dia ditahan pada pukul 9.45 malam, 4 Julai.

Katanya lagi, polis akan mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan pada petang ini.

Anak kepada penulis buku politik popular Syed Hussein Alattas itu kini ditahan di lokap polis Air Molek, Johor, katanya.

Dalam operasi di Senawang pada malam tadi, polis turut menahan seorang wanita berusia 26 yang berada bersama lelaki berkenaan, tambahnya.

Tiga puluh individu pada Ahad lalu dilaporkan menuntut supaya siasatan dijalankan ke atas pengamal paranormal itu supaya berhubung penyiaran tulisan kontroversi dalam blog tersebut.

Kumpulan itu mendakwa, tulisan dalam blog berkenaan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Tunku Mahkota Johor, Sultan Johor serta penjawat awam kerajaan Johor.

Kumpulan itu juga meminta pihak berkuasa supaya menutup blog yang didakwa menyiarkan "dokumen sulit" itu.

Laporan berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan dakwaan yang ditimbulkan Syed Abdullah.

Pada Selasa lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengulas mengenai tuduhan yang ditimbulkan Syed Abdullah itu berkata: "Biarlah anjing itu menyalak semahunya. Saya tahu kebenarannya, rakyat Johor juga tahu kebenarannya.

Tuesday, July 03, 2012

Apakah Umno bodoh? MCA tuduh Umno gila pun tak berani lawan

PAS sentiasa meragui dakwaan Umno bahawa mereka perjuang Islam.
Umno ke Perkasa ke JMM ke, entah apa-apa NGO lagi, hidup mati mereka hanya menentang PAS dan Pakatan Rakyat. Memaki hamun mendakwa PAS dipergunakan DAP, atas tuduhan yang tiada asas langsung.

Mereka diam menikus dan menjadi dungu macam lembu NFC apabila Presiden MCA mengkritik Umno berulang kali. Pasal apa mereka diam?

Sikap sebegini hanya memalukan Melayu, memalukan Islam sahaja...

Baca kenyataan Mahfuz Omar

PAS mendesak Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak tampil membela Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Dato' Ayub Rahmat yang disifatkan "hilang akal" oleh Presiden MCA Dato' Seri Dr Chua Soi Lek.

Menurut Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar, Chua Soi Lek bukan sahaja menyifatkan Ayub sebagai 'hilang akal'  tetapi ia juga menyifatkan pemimpin Umno itu sebagai "gila".

"Hilang akal maknanya gila. Apa sikap pimpinan Umno terhadap Soi Lek yang mendakwa cadangan Umno satu cadangan menggambarkan orang hilang akal, yang bermakna cadangan daripada orang gila?" soal Mahfuz.

Bercakap dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini, Mahfuz meminta Perkasa dan Perkida mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Soi Lek kerana telah menghina Umno.

Sebelum ini, Ayub mencadangkan Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia pada 20 Jun lalu di mesyuarat pertama penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12.

Ekoran cadangan itu, Soi Lek pula menyifatkan Adun Umno yang mencadangkan supaya hukum hudud dilaksana ke atas orang Islam dan bukan Islam di negeri itu "hilang akal" kerana mengemukakan perkara tersebut.

Malah Soi Lek juga dalam twitternya mengatakan Ayub  telah kehabisan idea sehingga menimbulkan cadangan berkenaan.

Soi Lek juga menegaskan MCA pasti akan menentang usaha itu.

Monday, July 02, 2012

Kemenangan Ikhwan Muslimin bukti gerakan Islam tetap relevan

Penulis di HQ Ikhwan Muslimin.
Kemenangan calon Ikhwan Muslimin, Dr Muhammad Morsi sebagai Presiden Mesir, menerusi sistem demokrasi berpilihan raya, membuktikan perjuangan harakah Islamiyah atau gerakan Islam tetap relevan di zaman moden ini.

Semasa Pilihan Raya Umum Mesir berlangsung, pelbagai kecaman, hinaan dan kata-kata nista dihamburkan terhadap Ikhwan Muslimin, oleh  media yang menjadi alat propaganda Barat.

Barat melabelkan Harakah Islamiyah Ikhwan Muslimin sebagai tidak sesuai menerajui Mesir, yang sedang menjalani proses transformasi pendemokrasian sebenar.

Barat dan golongan anti-Islam mendakwa jika rakyat Mesir memilih Ikhwan Muslimin, mereka akan membawa Mesir mundur ke belakang.

Mereka melakukan pelbagai propaganda untuk memburuk-burukkan Ikhwan Muslimin dan cuba mempamerkan imej radikal terhadap gerakan Islam Ikhwan Muslimin.

Walaupun dengan bantuan seluruh jentera media Barat, kerjasama dengan pasukan tentera yang menguasai Mesir dan agensi kerajaan yang masih dikuasai golongan pro bekas Presiden Hosni Mubarak, mereka tetap gagal.

Rakyat Mesir ternyata tidak termakan dengan propaganda jahat tersebut. Sejak jutaan rakyat bangkit menggulingkan regim tajaan Barat-Israel pada 25 Januari 2011, mereka cenderung untuk menyokong Ikhwan Muslimin.

Namun, kejayaan Ikhwan Muslimin tidak datang bergolek. Ianya adalah manifestasi daripada perjuangan yang amat panjang. Iaitu perjuangan yang diasaskan as-Syahid Imam Hassan al-Banna sekitar 1920-an.

Suatu perjuangan yang melalui siri tekanan yang cukup pahit dan getir. Pengasasnya, Imam Hassan al-Banna ditembak sehingga korban syahid. Ramai pemimpin Ikhwan Muslimin yang syahid di tali gantung, termasuk as-syahid Syed Qutb.

Malah sebahagian besar pemimpin Ikhwan Muslimin sudah merasai keperitan seksaan di penjara sejak Gamal Abdul Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak.

Mereka melalui siri kejahatan, kezaliman dan kedurjanaan diktator zalim yang tidak terperinya, sehingga mereka tidak boleh bangkit atas nama Ikhwan Muslimin. Diharamkan dari menyertai politik dan sebagainya.

Namun, hasil pengorbanan dan istiqamah para pejuangan, hari ini Allah membalasnya dengan kejayaan Ikhwan Muslimin menang besar dalam pilihan raya Parlimen dan berjaya menduduki jawatan yang paling tinggi dalam negara.

Tidak harus dinafikan bahawa kejayaan yang dikecapi Ikhwan Muslimin sekarang adalah natijah daripada kebijaksanaan kepimpinannya yang diterajui Mursyidul Amnya, Dr Muhammad Badi'e.

Ikhwan Muslimin adalah harakatul dakwah dan harakatul siasah yang berjaya. Mereka berjaya menggerakkan amilin daieyah (pekerja-pekerja para pendakwah) yang gigih memartabatkan Islam dengan struktur tarbiyah yang bersistematik (tanzim).

Dalam masa yang sama, Ikhwan Muslimin bergelumang dengan perjuangan politik, yang unik, menerusi Parti Kebebasan dan Keadilan yang dianggotai bersama muslim dan kristian.

Kejayaan Ikhwan Muslimin adalah gabungan unsur-unsur istiqamah dalam perjuangan yang amat getir, tanzim dakwah yang tersusun dan kebijaksaan perencanaan strategi kepimpinannya.

Inilah perjuangan yang harus dicontohi gerakan Islam seluruh dunia. Memang 'padang permainan' tidak sama, memang budaya dan waqi'e tidak sama, tetapi kita berhadapan dengan musuh yang sama, iaitu mereka yang memusuhi agama Allah, yang senantiasa berusaha menghancurkan gerakan Islam.

Kemenangan Ikhwan Muslimin membuktikan bahawa perjuangan Islam, yang asasnya memberikan keadilan dan keharmonian sejagat, tetap relevan selamanya.

Setiap kita, anggota jamaah Islam PAS, harus menanam keyakinan ini. Bahawa tarbiyah kita betul, perjuangan kita betul, ghayah atau matlamat kita betul. Setiap anggota PAS harus punyai niat yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menjalankan kerja dakwah dan politik.

Cumanya,  kita harus memperkukuhkan tanzim, bijaksana dalam mengatur strategi, mudah-mudahan Allah memberikan kemenangan kepada kita di Malaysia, sebagaimana anugerah-Nya kepada Ikhwan Muslimin. Takbir!

Sunday, July 01, 2012

Perkasa 'busuk sampai ke usus' ditaja golongan jahat untuk buat kerja jahat

Lim Guan Eng diserang Perkasa, tetapi polis hanya duduk diam.
Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada 1.7.2012

Polis Harus Menimbang Semula Sikap Tidak Peduli Terhadap Perkasa Untuk Mengelak Persepsi Awam Bahawa Mereka Membenarkan Taktik Ganas Perkasa Untuk Mengugut Pemimpin PR.

Kegagalan pihak polis untuk segera menahan ahli-ahli Perkasa yang terlibat dalam keganasan bukan sahaja terhadap orang awam dan wartawan tetapi juga terhadap keselamatan peribadi saya hanya mengesahkan kebimbangan bahawa tingkah laku Perkasa mendapat sokongan UMNO dan BN. Polis harus menimbang semula sikap tidak peduli terhadap Perkasa untuk mengelak persepsi awam bahawa mereka membenarkan taktik ganas Perkasa untuk mengugut pemimpin PR.

Kejadian semalam di pasar Teluk Bahang, di mana sekumpulan ahli Perkasa telah dibenarkan untuk berdemo dan melempar poster-poster anti-Lim Guan Eng berdekatan dengan saya, membuktikan bahawa pihak polis tidak akan mengambil tindakan walaupun kejadian berlaku di depan mata mereka. Sikap tidak peduli ini mungkin telah memberanikan seorang ahli Perkasa yang tiba-tiba menyerang saya dari belakang dan berjaya menolak saya. Walaupun ahli Perkasa itu sempat menolak saya, saya tidak dicederakan hasil usaha seorang pemimin PR tempatan yang telah mengheret keluar ahli Perkasa itu.

Tugas untuk mengheret ahli Perkasa itu sepatutnya tanggungjawab polis dan bukan pemimpin PR. Kegagalan polis untuk memberi perlindungan yang sewajarnya telah diikuti pula dengan kegagalan polis untuk segera menahan ahli Perkasa yang terbabit. Sekiranya serangan itu telah berlaku ke atas Perdana Menteri dan bukan seorang Ketua Menteri PR, bayangkan sahaja bagaimana reaksi polis.

Insiden yang malang ini telah berlaku walaupun Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim bin Hussain sudah pun memaklumkan pihak polis mengenai demonstrasi Perkasa dan telah meminta perlindungan yang sewajarnya serta tindakan yang tegas. Pun begitu, walaupun Perkasa mempunyai rekod keganasan bersiri terhadap orang awam, wartawan dan pemimpin PR, mereka masih lagi dibenarkan untuk bertindak ganas tanpa dihukum.

Sungguhpun mencatatkan pengurangan dalam indeks jenayah yang kedua paling ketara setakat Mei 2012 (pengurangan 23%), pihak polis sedang diteliti dengan rapi di Pulau Pinang akibat beberapa insiden jenayah di kawasan-kawasan warisan, pelancongan dan perumahan. Kegagalan untuk melindungi Ketua Menteri hari ini tidak akan meyakinkan pihak awam tentang keupayaan pihak polis untuk memastikan keselamatan awam apabila mereka tidak bertindak dengan segera terhadap mereka yang mengancam keselamatan Ketua Menteri.


LIM GUAN ENG
KETUA MENTERI PULAU PINANG