Wednesday, June 13, 2012

Usaha Pakatan Rakyat pulihkan ekonomi orang Melayu

Menemubual Rafizi di Shah Alam.
Ikuti wawancara wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB dan WAN ZAHARI WAN SALLEH dengan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Mohd Rafizi Ramli di Plaza Perangsang, Shah Alam pada 7 Jun lalu.

HARAKAH: Sekarang ini kita memfokuskan isu Melayu, khususnya dalam isu ekonomi. Di mana rakyat, khususnya orang Melayu mahu mengetahui apakah bentuk kemerdekaan atau manfaat ekonomi yang mereka akan perolehi jika Pakatan Rakyat memerintah negara?


MOHD RAFIZI RAMLI : Saya ingin mengutarakan dua isu yang menyentuh rakyat, pertamanya harga kereta dan keduanya isu kadar bil elektrik yang membebankan. Dalam isu kereta, kita telah melihat bahawa harga kereta yang terlalu mahal memberi kesan yang besar kepada ekonomi rakyat kebanyakan di Malaysia. Ianya kerana duti eksais yang sangat tinggi antara 70 ke 100 peratus.

Dari segi kedudukan ekonomi keluarga Malaysia daripada paling miskin hingga pertengahan yang paling konsisten menekan rakyat ini ialah harga kereta, kesannya dua segi kerana pertamanya harga kereta ini secara prinsipnya tak betul yang Malaysia buat, separuh harga kereta yang dibayar kini adalah cukai, beli Waja RM60,000, cukai sahaja RM30,000 dan harga sebenarnya ialah RM30,000 sahaja.

Prinsip cukai ini kita hanya cukai orang yang ada pendapatan lebih, cara cukai eksais ini dikenakan oleh kerajaan Umno-BN ialah tidak kira miskin kaya semua kena cukai, secara moralnya lebih ramai yang miskin kena cukai yang menyebabkan masalah kedua iaitu ekonomi.

Apabila harga kereta dikenakan cukai, harganya akan mahal dan rakyat yang miskin terpaksa membuat pinjaman di bank. Pinjaman di bank akhir-akhir ini terlalu ketat, kadarnya RM1500 ke atas gaji bersih, dan bunganya dalam 3 hingga 4 peratus kadar tetap ianya lebih kurang 7 hingga 8 peratus pada kadar bunganya. Berbanding bunga yang kita bayar biasa. Caj untuk membayar kereta ini amat tinggi, dan rakyat kena pinjam duit pada kadar tinggi untuk membeli kereta.

Kita melihat kepada pendapatan isi rumah, rakyat terpaksa membayar dan menghabiskan wang pendapatan bulanan sehingga 30 hingga 40 peratus untuk membeli kereta sahaja. Tiada negara yang keluarganya pendapatan bulanan yang mana 30 hingga 40 peratus terpaksa membayar kereta sahaja. Jadi dari segi menambah baik kedudukan ekonomi rakyat jika kita tengok, masalah ekonomi ini jangan cakap pasal pertumbuhan seperti BN, kita tidak mahu bercakap seperti BN.

Secara logiknya jika kerajaan pentingkan rakyat ekonomi tumbuh rakyat dapat merasainya, namun di Malaysia ini ekonominya tumbuh rakyat tidak dapat merasai, gaji rakyat tidak naik, namun harga kereta dan harga barangan melambung naik semuanya yang menyebabkan rakyat hidup tertekan dan susah. Ada dua cara untuk kita bantu kedudukan ekonomi ini, sama ada kita naikkan gaji ataupun tengok kos yang mana dibayar yang tidak adil yang boleh dikurangkan atau dikaji semua supaya pendapatan ataupun duit poket rakyat akan bertambah kembali.

Maknanya bila bayar kereta ini separuh daripada pendapatan pergi ke situ?


Ya benar, sebabnya kita melihat dan jika kita mahu membantu keluarga rakyat dengan meningkatkan gaji serta-merta ini bukan suatu yang mudah, sebab mahu mempertingkatkan gaji ianya akan memberi kesan kepada majikan, dan mungkin ada majikan yang tidak akan ikut serta ada kemungkinan mereka ini akan menghadapi masalah.

Benar kita boleh laksanakan gaji minima tetapi kena ambil sedikit masa untuk lonjakan gaji ini. Cara terbaik ialah kita melihat kepada perbelanjaan negara yang besar kepada perkara yang tidak memberi kebaikan dan faedah kepada rakyat dan mana yang tidak patut dan konsesi yang tidak betul kita potong.

Sebab itu, kita menumpukan persoalan membela ekonomi rakyat ini kepada persoalan harga kereta untuk diturunkan. Seratus -peratus lebih mahal daripada harga sebenar, jadi jika kita kurangkan duiti eksais ini, dalam masa lima tahun 100 peratus harga kereta ini boleh dikurangkan, dan jika dapat diturunkan duti eksais ini, saya melihat bayaran bulanan kereta ini boleh dikurangkan kepada lebih separuh daripada harga yang terpaksa dibayar rakyat hari ini. Sebagai contoh Toyota Vios yang dipasang di sini, harganya antara RM70,000 ke RM80,000, sedangkan harga sebenarnya hanyalah sekitar RM30,000 ke 35,000 sahaja.

Jika sekarang ini tiap-tiap bulan orang muda yang baru beli kereta antara RM700 ke RM800 sebulan, jika duti dikurangkan maknanya mereka akan hanya membayar pada RM400 sebulan sahaja dan boleh menjimatkan RM400 sebulan. Penjimatan RM400 sebulan ini lebih sama dengan menaikan gaji RM400, namun untuk menaikkan gaji RM400 ini bukan mudah khasnya kepada syarikat swasta yang pastinya sukar untuk menimbang kenaikan sedemikian. Jadi jalan terbaik ialah mengurangkan kadar harga kereta dengan mengurangkan cukainya.

Kita menumpukan kepada mengurangkan kos, dan kereta ini mudah kita buat.

Apa kesan kepada industri perbankan dan apa kesan apabila ekonomi teruk, syarikat ini memberi ruang kepada pinjaman 10 hingga 12 tahun untuk pinjaman kereta?

Dengan mengurangkan duti eksais yang menjurus kepada harga kereta turun, paling enjoy ialah industri insuran di mana jualan kereta akan meningkat jika harganya diturunkan. Bila harga kereta turun, ia akan merancakkan.

Kesan kepada alam sekitar tetap ada kerana penambahan bilangan kereta.Kesan kepada perbankan pula ialah bank akan rancak kerana lebih ramai akan membeli kereta pertamanya, dan keduanya risiko hutang ini akan turun dan contohnya jika peminjam bergaji RM1,500 dan diluluskan pinjamannya, jika sebelum ini hanya dengan membeli kereta Perodua Kancil, peminjam terpaksa membayar pada harga RM400 hingga 500, ini risiko tinggi kepada bank, namun jika kadar harga kereta turun, pastinya pembayaran untuk harga kereta ini akan turun pada RM200 sahaja dan ianya akan menjadikan sesuatu pinjaman itu ialah pinjaman berisiko rendah. Hanya pada kadar 20 peratus sahaja kadar bayar kereta daripada pendapatan sebulan.

Semasa saya bekerja di United Kingdom selepas tamat belajar, saya dapat gaji tahunan antara 30,000 Pound dan harga kereta Fiat Punto pada masa itu hanya sekitar 9,000 Pound sahaja. Jadi bayaran bulanan hanya sekitar 200 Pound dan ianya hanya sekitar 10 hingga 13 peratus daripada gaji bulanan saya. Dalam ekonomi yang betul yang tidak sendeng seperti di Malaysia hari ini,  sepatutnya rakyat hanya membayar pada kadar 10 hingga 20 peratus sahaja bayaran bulanan hutang kereta daripada pendapatan bulanan yang diperolehi.

Bagaimana pula kepada Proton, sudah tentu akan terjejas?

Kita lihat Proton pun, ianya tidak dikecualikan daripada duti eksais, cukai kepada proton waja 70 hingga 80 peratus duti eksais dan 10 peratus duti jualan, sama harganya pada kadar kereta Toyota yang dipasang di Malaysia. Kadar harga keretanya sama sahaja tiada beza cuma perbezaannya ialah kualiti, yang Proton bimbang ialah bila Waja RM30,000 dan Vios RM35000, rasanya ramai yang akan membeli Vios sebab mutunya.

Bukan akan mewujudkan perbezaan harga yang ketara, cuma cabaran kepada proton ialah kena tingkatkan kualiti dan yakinkan rakyat untuk membeli keretanya dan membina kekuatan untuk hingga boleh dipasarkan ke luar negara.

Yang kedua bila Proton terpaksa bersaing dalam keadaan begitu dia tiada pilihan lain terpaksa cari jalan turunkan kosnya, jika nak pastikan orang ramai membeli Proton berbanding Vios.

Bila harga yang rendah rakyat akan untung,Proton ini harganya tinggi bukan kerana kos ia tinggi tetapi kerana kapasiti yang tidak terpakai. Semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu, mereka berbelanja berbilion ringgit untuk membina Proton City di Tanjung Malim yang menyebabkan hari ini setiap unit Proton baharu yang dikeluarkan harus mengambilkira kos kapasiti yang tidak terpakai itu. Kapasitinya saya tidak ingat berapa juta setahun, tetapi kapasiti yang dipakai di situ sekitar 10 ke 20 peratus sahaja setahun.

Sebagai contoh RM35000 kos Proton Waja, lapan hingga sembilan unit adalah untuk menanggung kos kapasiti yang tidak terpakai. Masalah Proton dia telah membina kapasiti yang terlalu besar sedangkan yang beli hanya sekitar 15 peratus sahaja, sebab itu harga kos 35,000 lebih satu pertiganya ialah kos kapasiti tidak terpakai. Jika dia 'bingai' dan tidak ada usahasama dengan mana-mana pengeluar, ianya boleh  mengurangkan kos pengeluaran Proton. Jika buat begini, Proton tidak ada tempat untuk bergantung lagi. Sekarang ini Proton tidak bimbang sebab ada insentif daripada kerajaan.

Ada sesetengah pihak mendakwa, Proton tidak harus menjadi kebanggaan kerana tiada pemindahan teknologi, apa pandangan saudara?

Untuk berlaku adil kepada Proton saya tidak rasai komen itu adil, untuk menyatakan tiada transfer of technology ini tidak berapa betul sebabnya Proton masa sekarang ini boleh buat enjin sendiri. Soal kualiti ini bukan kerana apa, kerana vendor yang buat 'parts' yang 'bangang'.

Saya ambil masa yang agak panjang untuk study dalam kes Proton ini, nak sebutkan soal pertukaran teknologi ini sebenarnya kita ada Jurutera Proton yang cukup baik dan bagus. Cuma designnya memanglah kurang bagus dan tidak menarik berbanding Honda dan Kia sebagainya. Itu kelemahan Proton.

Masalah utama ialah kos yang tidak membolehkan dia menjual kereta pada harga yang rendah. Soal kosnya yang tinggi. Proton boleh buat kereta dan terpaksa serap kos yang tidak berguna ini sangat tinggi, dan apabila mereka jual Proton ke Indonesia sebagai contohnya, orang Indonesia tidak akan beli kerana harganya mahal dan lebih baik mereka membeli Kia.

Kita lihat Kia, bagaimana Kia boleh menembusi pasaran Malaysia. Orang beli Kia bukan kerana nampak cantik, tetapi harga murah dan apabila Kia meningkatkan designya, lebih ramai orang membeli kereta yang berasal dari Korea ini dan dia dapat market share.

Pasaran luar negara tidak berjaya ditembusi oleh Proton kerana harganya yang mahal. Proton kena bersaing dengan kereta murah seperti Kia dan Daewoo. Kerana bila kerajaan buat Proton City, ianya membebankan Proton yang terpaksa menyerap kos membina Proton City sejak dahulu lagi yang menghabiskan berbilion ringgit. Bukan soal jurutera kita ini tidak pandai tetapi persoalannya ialah Proton terpaksa menyerap kos penyelewengan yang bertahun lamanya.

Dah curi 5 hingga 6 bilion sampai dua tiga generasi akan tanggung kesannya. Harga kereta yang mahal dan tidak boleh dijual ke luar negara dan kosnya akan meningkat. Proton sukar buat design baharu kerana kosnya developmentnya agak tinggi hingga RM300 RM400 juta. Kalau tanya kepada juruteranya, kita tidak boleh buat design baharu kerana setelah kos pengeluaran yang mahal, market sharenya tiada akhirnya mereka kata teruskan dengan model lama untuk buat duit.

Jika nak kira design, jurutera kita cukup bagus. Saya tidak setuju dengan dakwaan tiada pemindahan teknologi. Kita tidak perlu kepada saintis yang terbaik untuk menghasilkan penyelidikan kereta yang bagus kerana kita bukan nak jadi seperti cuma yang diperlukan enjin dan bentuk yang baik, ini boleh dilakukan jurutera kita. Kereta ini ekonomi sosial.

Pandangan saudara..bagaimana hendak selamatkan Proton?

Dengan cara Proton dilatih dan dibawa berdaya saing dengan pasaran yang adil dan telus, itu sahaja cara untuk diselamatkan. Jika Proton terus dilindungi, dia akan tidak mampu bersaing dan menempa pasaran luar negara. Satu-satu cara buat begitu ialah pastikan dia bersaing dengan syarikat pengeluar lain, berbeza dengan Umno-BN, saya yakin jurutera Melayu kita di Proton boleh lakukan, cuma biarkan mereka ini buat keputusan tanpa campur tangan politik.

Setiap kali mereka buat model baharu, masalah besar ialah untuk melantik vendor, sebab jika kos untuk satu pintu ialah RM3,000 designnya, apabila dilantik vendor Umno ini, harganya akan naik hingga RM6,000 namun kereta masih tak laku sebab harganya mahal.

Isunya bukan soal kebolehan jurutera kita di Proton tetapi soalnya ada campur tangan politik. Yang penting bebaskan Proton daripada campur tangan politik, biar ia berdaya saing dan akhirnya boleh merendahkan harganya. Untuk Proton terus 'survive' tak ada pilihan lain sekarang ini ialah bersaing. Saya nak tegaskan bahawa jurutera kita ini di Proton cukup bagus dan boleh buat yang terbaik, cuma kena hapuskan campur tangan politik yang menyekat kreativiti mereka ini untuk buat yang terbaik.

Beralih kepada isu tarif elektrik, rakyat jelas terbeban, bagaimana hendak merungkainya?


Soal kadar elektrik yang membeban rakyat hari ini, bilnya yang dibayar rakyat sekitar RM70 ke RM80 dahulu ianya naik dua kali ganda, sebabnya ialah IPP ini. Jika kita mansuh atau rombak semula perjanjian dengan IPP ini, ianya boleh mengurangkan kadar hingga separuh daripada kadar sekarang ini.Soal IPP ini independent power producer (IPP) ini di mana-mana negara ada IPP, kita tidak menentang kewujudan IPP ini, namun apa yang kita tentang ialah perjanjian konsesi yang mencekik darah rakyat. Perjanjian konsesi IPP ini hanya helah untuk mengkayakan kroni sahaja.

Jika kita nak berharapkan kepada satu sahaja IPP, ia tidak rasional, adalah lebih baik adakan banyak IPP. Namun apa yang berlaku di Malaysia ini, perjanjian dengan IPP ini berat sebelah, dan ianya hanya untuk memberikan pemilik IPP ini wang dengan mudah.

Bagaimana ia berlaku?


Perjanjian generasi pertama terlalu zalim kepada rakyat dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). IPP tidak menanggung harga bahan api, sebagai contohnya ia dapat subsidi gas dan minyak yang percuma.Yang tanggung Petronas dan TNB. Sebab itu, naik atau tidak harga minyak ini IPP tetap buat untung berbilion ringgit.

Seterusnya atas alasan, IPP kononnya dah laburkan duit, ia perlukan pulangan tetap sama ada TNB pakai atau tidak, atas dasar IPP dah wujud ianya perlu dibayar.

Seterusnya kadar bayaran bulanan terlalu tinggi, kadar yang TNB bayar kepada IPP ini terlalu tinggi, sedangkan akhirnya TNB ini jual eletrik kepada rakyat, TNB terpaksa mengambilkira semua kos membayar IPP dan sebagainya untuk menentukan tariff elektrik kepada rakyat. Jadi sebab itulah tarifnya tinggi sebab TNB terpaksa bayar tinggi kepada IPP ini.

Tambahan lagi bukan sahaja TNB perlu bayar, tetapi Petronas pula kerugian RM20 bilion setiap tahun kerana subsidi bahan api kepada IPP ini. Yang rugi ialah Petronas dan TNB memandangkan terpaksa menanggung beban dengan perjanjian IPP ini.

Yang untung ialah IPP, IPP pula jual elektrik kepada TNB dan dengan Petronas ini dia makan dengan kaedah dapat gas dan minyak pada harga rendah. Ini satu kaedah yang dibuat pada zaman Tun Mahathir yang sangat jahat, dan untung kepada IPP sangat tinggi. 10 manusia terkaya di Malaysia ini yang kaya kerana IPP antaranya Ananda Krishnan kaya kerana diberikan IPP oleh Tun Mahathir.

Seperti YTL juga, dia dahulunya satu syarikat pembinaan yang kecil, dia kaya selepas diberikan IPP oleh Mahathir dahulu.

Bagaimana kita hendak membantu rakyat dalam hal ini?

Mengapa perjanjian IPP ini dipertahankan oleh Umno-BN, ini harus dikaji.

Bagi saya, Pakatan Rakyat jika diberi mandat memerintah, boleh berunding untuk mengkaji semula perjanjian konsesi ini. Kita tidak batalkan kontrak tetapi kita rundingkan untuk dia bertolak ansur.

Jika IPP tidak mahu kita juga boleh kenakan cukai laba, iaitu cukai Winfall Tax apabila sesebuah industri itu membuat untung terlalu banyak yang tidak menguntungkan rakyat, ini dikenakan cukai, dan duit itu diambil untuk turunkan tarif
elektrik.

Ada yang mengatakan harga elektrik Malaysia dah cukup baik, cuba bandingkan dengan Thailand, kadarnya jauh lebih rendah. Dr Mahathir ada sebut bahawa kononnya kadar elektif di Malaysia ini rendah, dan subsidi yang diberikan Petronas kepada IPP ini menyumbang kepada harga tarif yang rendah.

Ini satu yang tidak betul dan ini penipuan kerana rakyat memang tidak dapat keuntungannya kerana subsidi hanya dinikmati oleh IPP sahaja. Bila kita bandingkan kadar 1 kilowat dengan Thailand yang tiada subsidi jauh Thailand lebih rendah.

Di Thailand, IPP nya membeli gas dan bahan api pada kadar harga pasaran tetapi kadar satu kilowatnya jauh lebih murah daripada kita. Ia berbeza dengan Malaysia. Subsidi di Malaysia sangkut masuk ke poket kroni.

IPP ini makan depan belakang.Setiap bulan, TNB terpaksa bayar kepada IPP berjuta ringgit. Ada yang mendakwa bekas PM ada sahamnya melalui proksi dalam syarikat IPP. Jadi satu kajian semula kepada perjanjian konsesi ini harus berlaku dan itu azam Pakatan Rakyat apabila memerintah kelak.

No comments: