Tuesday, June 26, 2012

Anwar minta rakyat ambil iktibar Mesir untuk tumbangkan BN

Terjembung  DSAI  di  parking  Parlimen,  beliau  berikan  respon  spontan  walaupun  ada  temujanji  di luar.

Kebangkitan rakyat di Mesir dalam melakar perubahan memberi kemenangan kepada Parti Kebebasan dan Keadilan Mesir (FJP) seterusnya memenangkan calon Ikhwan Muslimin, Dr Muhammad Morsi harus menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dalam melakar perubahan.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, kemenangan Dr Morsi dan perubahan yang berlaku dalam dunia Arab hari ini boleh merebak kepada Malaysia dengan semangat yang ditunjukkan rakyat hari ini.

Namun katanya, ia berlaku dalam mana pengorbanan rakyat Mesir menuntut suatu pilihan raya yang adil dan bersih yang akhirnya diiktiraf oleh tentera di Mesir baru-baru ini.

"Kita telah ucap tahniah kepada Dr Morsi  dan rakyat Mesir dan bangga peralihan itu secara aman dan tenteram, dan pengiktirafan tentera telah dibuat,

"Ini melambangkan jika pilihan raya itu bebas dan adil rakyat akan membuat pilihan secara bebas, dan ianya membuka kepada perubahan yang sebenar," katanya kepada Harakah ketika ditemui di perkarangan depan Bangunan Parlimen pada 25 Jun lalu.

Begitupun beliau melahirkan rasa kesalnya kepada sikap Malaysia yang dipimpin Dato' Seri Najib Tun Razak yang lewat memberi respon kepada kejayaan rakyat Mesir menumbangkan rejim kukubesi Hosni MUbarak.

Beliau melihat, kelewatan ini seolah-olah menggambarkan kerajaan Najib masih lagi terikat dengan rejim Hosni Mubarak.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh yakin, perubahan di Mesir itu akan memberikan lonjakan positif kepada Malaysia, dalam menentang sebuah kerajaan yang zalim, rasuah dan mengongkong rakyat.

"Kerajaan yang zalim, rasuah dan tidak terbuka tidak akan kekal selamanya, dan ini dibuktikan di Mesir," ujarnya lagi.

Ditanya apakah kemenangan dan perubahan di Mesir itu menyamai model
yang sedang dibentuk Pakatan Rakyat hari ini dalam membawa perubahan di Malaysia, beliau tidak menolaknya.

"Kalau melihat dasar-dasar FJP itu, kerjasama parti politik, NGO dan ulama gerakan  Islam semua bersama dalam satu pakatan dan prinsipnya keadilan, izzah, karamah dan hadalah, ia selari dengan apa yang diperjuang Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak boleh lagi menerima suatu sistem yang mengongkong, menindas dan menzalimi hak rakyat seperti yang berlaku di Mesir.

Tidak mustahil, tekanan yang sama dirasai oleh rakyat Malaysia akan membawa kepada perubahan yang sama dalam pilihan raya umum akan datang, katanya.

No comments: