Wednesday, February 08, 2012

Parlimen bersidang 12 Mac, Najib belum mahu bubar

AHLI-Ahli Parlimen sudah menerima notis bahawa, sidang Parlimen akan diadakan pada 12Mac, dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong yang baru, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Sultan Badlishah. Parlimen dijangka bersidang dalam tempoh sebulan.

Pada saat ini agak mustahil Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak akan membubarkan Parlimen untuk memanggil Pilihan Raya Umum ke-13, kerana pelbagai persiapan untuk menyambut perasmian YDP Agong di Parlimen sudah dimulakan.

Namun kuasa mutlak adalah di tangan PM. Beliau berhak membubarkan Parlimen pada bila-bila masa. Tempoh pemerintahan selama lima tahun Barisan Nasional, hanya berakhir April 2013.

Dalam seminggu dua ini memang banyak spekulasi menyatakan PM akan memanggil pilihan raya dalam tempoh terdekat, memandangkan BN jarang mengadakan PRU dalam tempoh genap lima tahun.

Membubarkan Parlimen untuk memanggil PRU, merupakan suatu langkah besar yang bakal menentukan hala tuju masa depan kerajaan. Sama ada BN kekal atau Pakatan Rakyat yang menang, kuasanya ada di tangan rakyat.

Selaku PM, sudah tentu Najib tidak akan berani membubarkan Parlimen jika beliau belum yakin BN boleh kembali memerintah. Pada fikiran Najib, dia terpaksa memerlukan keputusan yang lebih baik daripada 2008 buat BN.

Jika keputusan PRU ke-13, sama atau lebih buruk daripada 2008 buat BN, Najib tidak ada jalan lain selain meletakkan jawatan sebagai PM.

Sudah tentu Najib tidak mahu jadi PM sepenggal macam Tun Abdullah Ahmad Badawi. Atau barangkali juga Najib sedang mencongak kemungkinan beliau PM terakhir dari Umno-BN selepas, 60 tahun mereka berkuasa.

Dalam menentukan tarikh PRU, Najib sudah tentu memerlukan laporan-laporan dari agensi kerajaan serta perisik-perisik kerajaan yang diupah untuk memelihara kepentingan BN.

Oleh kerana PRU 2008 menjadi penanda aras kelemahan Umno-BN yang semakin terhakis. Maka Umno-BN harus bergantung kepada laporan Kemas, maklumat Special Branch (SB) ataupun perisik tentera untuk maklumat-maklumat rahsia.

Selaku bekas Menteri Pertahanan, Najib dikhabarkan lebih percaya maklumat perisik tentera atau agen-agen Military Intelligent Officer (MIO). Modus operandi Kemas, SB dan MIO ini sebenarnya sama sahaja.

Namun, Najib lebih mempercayai MIO kerana maklumat dari Kemas sering tersasar, kerana beliau sering menerima laporan positif sedangkan maklumat di bawah negatif.

Begitu juga dengan SB. Kebanyakan SB yang berlonggok di markas-markas pilihan raya BN hanya hendak mengaut duit Umno.

Lalu jika SB membawa laporan negatif, maka mereka tidak akan dapat habuan lagi. Doktrin politik wang sudah merosakkan polis.

Maka Najib tidak ada pilihan selain daripada bergantung laporan MIO, untuk menentukan bilakah wajar Parlimen dibubarkan. Bolehkah BN menang lebih selesa daripada 2008. Justeru dalam kamus Najib, agenda menang besar sudah hampir mustahil.

Maka Najib sedia mengadaptasikan pendekatan 'win some, loose some'. Najib terpaksa menumpukan strategi BN. Khabarnya dalam laporan MIO yang diterima sebulan lepas, petanda untuk BN menang, belum kelihatan.

Dalam laporan itu, BN terpaksa melupakan Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang. Manakala di Perak, peluang BN mengekalkan kuasa amat tipis. Selangor menjadi sasaran utama Najib, tetapi dikhabarkan peluang BN menang di Selangor hanya berlegar di sekitar 40 peratus.

MIO mengatakan BN hanya boleh kembali menerajui Selangor jika BN banyak menabur wang untuk rakyat. Maka Najib terpaksa bergantung kepada BR1M, meninjau peluang BN selepas BR1M habis diedarkan dalam tempoh sebulan lagi.

Tetapi ada khabar buruk yang lebih menggusarkan Najib. Khabar yang diberi MIO kepadanya menunjukkan Negeri Sembilan dan Melaka juga tidak selamat buat BN. Sebahagian Pahang juga terancam, termasuk kawasan di utara dan pantai barat Johor, semuanya menunjukkan BN berada dalam keadaan yang terancam.

Laporan tersebut dikatakan memuatkan prestasi buruk anggota komponen BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan yang masih gagal memulihkan sokongan masyarakat Cina dan India kepada BN.

Oleh itu, PRU ke-13 ini jelas merupakan ujian yang paling getir buat BN. Tiada jalan lain untuk BN kembali memerintah selain terpaksa merasuah rakyat sebanyak mungkin.

Rakyat harus terus diberikan kesedaran, rakyat harus berhati-hati dengan apa jua bantuan yang seumpama dengan BR1M, jangan seronok seketika, merana lagi lima tahun. Sokong Pakatan Rakyat, tolak BN!

No comments: