Monday, January 30, 2012

Tumbangkan Barisan 'lembu' Nasional

Parti Umno-Barisan Nasional kini layak menerima gelaran 'barisan lembu' kerana mereka beriya-iya mempertahankan penyelewengan yang dilakukan oleh anggota keluarga Ketua Wanita Umno dalam isu Pusat Fidlot Nasional atau NFC.

Menteri Pertanian, Dato' Seri Noh Omar cuba menjadi 'matador' kepada lembu NFC dengan mengatakan seolah-olah Pakatan Rakyat tiada mahu menerima hakikat sesebuah projek atau perniagaan boleh terjejas atau kerugian.

Pemimpin dan media tali barut Umno-BN mengalihkan fakta dengan cuba menipu rakyat bahawa Pakatan Rakyat memesongkan teguran Ketua Audit Negara terhadap NFC.

Kita memahami asas teguran Ketua Audit. Kita juga memahami, sebagai salah sebuah agensi kerajaan, Jabatan Audit masih mempunyai batasan tertentu dalam membuat teguran.

Kita juga tahu bahawa Ketua Audit tidak pernah mendakwa akaun NFC berada dalam keadaan kucar kacir. Jika tidak ada pun teguran Ketua Audit, rakyat berhak mengetahui butiran terperinci sebuah projek besar yang menggunakan dana negara atau wang rakyat.

Berasaskan teguran audit bahawa wujud beberapa kelemahan dan keraguan mengenai projek NFC, kita mendapati bahawa ianya harus dibongkarkan supaya rakyat tahu apa yang terjadi.

Umno-BN jangan lari dari beberapa persoalan pokok yang kita bangkitkan. Usah kelentong rakyat dengan pelbagai penipuan lagi.

Pertama, rakyat mempersoalkan mengapa projek ini diberikan kepada anggota keluarga Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil yang merupakan seorang Menteri dan Ketua Wanita Umno?

Amalan kronisme ini bercanggah dengan aspirasi rakyat dan ianya boleh mengundang kepada berlakunya salahguna kuasa dan rasuah oleh anggota kabinet atau rakan-rakan yang meluluskannya?

Kedua, mengapakah semua urusan NFC, anak-anak syarikat dan yang berkaitan dengannya, semuanya di atas nama suami dan anak-anak Shahrizat?

Nama, alamat, nombor kad pengenalan dan jumlah pemilikan saham dalam sijil pendaftaran syarikat (ROC), jelas menunjukkan, keseluruhannya milik anak beranak Shahrizat.

Ketiga, rakyat ingin tahu, mengapakah kerajaan mengeluarkan sejumlah besar wang kepada NFC terlalu awal, sedangkan pada waktu itu, perjanjian kerajaan dengan NFC masih belum ditandatangani?

Fakta ini dibongkar dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC), yang dipengerusikan Dato' Seri Azmi Khalid, mendapati kerajaan membuat pembayaran kepada NFC beberapa tahun lebih awal dan dihabiskan pada tahun 2009, sedangkan perjanjian hanya dibuat pada 2010.

Keempat, berkait dengan pembayaran awal kepada NFC, atas prosedur mana diambil dengan dokumen apa yang menjadi asas untuk kerajaan mengeluarkan arahan pembayaran?

Hal ini mengundang dakwaan bahawa wujudnya kesilapan besar kerajaan yang melanggar prosedur kewangan dengan membuat pembayaran kepada syarikat yang belum disahkan secara rasmi melalui perjanjian.

Hal ini juga membangkitkan persepsi, bahawa kemungkinan wujudnya arahan politik kepada kementerian terbabit untuk mengeluarkan dana awam kepada NFC tanpa asas dokumen yang kukuh.

Kelima, adakah wang sejumlah lebih RM70 juta peruntukan awal dari Kementerian Pertanian dan pembayaran lebih RM130 juta (sebahagian daripada RM250 juta) kepada NFC yang diakui Noh Omar, semuanya digunakan untuk projek lembu?

Perkara ini dirujuk kepada pembelian kondo mewah One Menerung dan kondo di Singapura seperti yang diakui suami Shahrizat. Juga perbelanjaan besar percutian mewah anggota keluarga Menteri, dipastikan tidak menggunakan dana NFC?

Mengapa dalam transaksi kewangan NFC menunjukkan dengan jelas, wang itu digunakan untuk perkara selain daripada projek lembu? Apa kena mengenanya lembu dengan kondo?

Keenam, oleh kerana dana NFC diperolehi daripada wang rakyat, rakyat berhak mengetahui mengapa sejumlah ratusan ribu dibayar kepada anak beranak Shahrizat, sama ada berbentuk upah, elaun atau gaji. Apa rasionalnya dibayar upah terlalu tinggi untuk projek perniagaan yang tidak menguntungkan?

Inilah antara beberapa persoalan pokok yang harus dijawab Umno-BN. Jangan lari tajuk, jangan cuba perbodohkan rakyat, kerana rakyat bukan lembu NFC.

Ingatlah rakyat tidak sebodoh pemimpin Umno, daripada Perdana Menteri sehingga Ketua Umno cawangan, yang mempertahankan penyelewengan dan salahlaku anggota keluarga Ketua Wanita Umno.

Atas asas inilah rakyat sudah tidak sabar-sabar lagi hendak menumbangkan Barisan 'lembu' Nasional pada Pilihan Raya Umum akan datang. Hidup rakyat, tumbang BN!

No comments: