Monday, October 31, 2011

Masalah Najib-Muhyiddin macam kartun CatDog


JIKA hendak diberikan gambaran permasalahan dalam Umno hari ini, ianya tidak ubah macam rancangan animasi televisyen kartun CatDog. Ia hanya ada satu badan, tetapi ada dua kepala. Satu kepala cat (kucing) satu lagi kepala dog (anjing).

Dua-dua kepala ini punyai perangai, citarasa, pendekatan dan minat yang berbeza, sehingga sering bercanggah antara satu sama lain. Tetapi tiada pilihan kerana terpaksa berkongsi badan yang sama.

Badan yang dikongsi dan hendak dibawa adalah Umno, yang hayatnya sudah hampir sampai ke penghujung. cara mana hendak bawa Umno, pendekatan mana yang paling sesuai untuk menyelamatkan Umno daripada kepupusan.

Perbezaan ini semakin ketara dari hari ke sehari. Ianya umpama 'api dalam sekam' cuba dikambus media talibarut Umno-Barisan Nasional, namun ia tetap membara.

Pertelagahan senyap di antara Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semakin ketara dirasai dalam Umno, dirasai oleh pemimpin-pemimpin Umno di peringkat negeri dan sudah menjalar sehingga ke akar umbi

Masalah dan percanggahan wujud dalam banyak aspek. Terutama sekali dasar 1Malaysia dan pelbagai tindakan Najib mengetepikan hak Melayu dan kuota bumiputera, tidak disenangi Muhyiddin dan juak-juaknya kerana ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Malah media berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, yang khabarnya dikuasai kumpulan Muhyiddin, juga enggan memberi ruang kepada Najib, jika kenyataan PM itu dilihat merugikan orang-orang Melayu.

Antara masalah yang besar dihadapi Muhyiddin dan Umno adalah datangnya dari isteri PM sendiri. Dominasi Datin Seri Rosmah Mansor dalam banyak perkara, yang libatkan parti, kerajaan, projek dan media, amat-amat tidak disenangi mereka.

Ketidaksenangan ini disampaikan seorang kenalan lama bergelar Dato', dalam satu temu janji dengan saya di Bangsar Village baru-baru ini.

Tujuan pertemuan diadakan untuk beliau nyatakan pendapatnya tentang masa depan Melayu, yang katanya hanya akan dapat diselamatkan hanya jika PAS dan Umno boleh bekerjasama dalam hal-hal tertentu.

Saya hanya mendengar sahaja, kerana memang bukan bidang kuasa saya untuk bersetuju atau menolak pandangannya. Saya sekadar mahu meneropong dari sudut hati orang Umno, apa yang sebenarnya berlaku dewasa ini.

Sambil-sambil beliau berusaha meninjau peluang untuk melunakkan hubungan PAS-Umno, saya bertanya kepadanya tentang perubahan kepimpinan dan kepincangan yang terus berlaku dalam Umno.

Kata saya,"Dato' apa agaknya obstacle yang menghalang Umno untuk kelihatan solid dalam menghadapi PRU akan datang?"

"Rosmah," jawabnya ringkas, sambil menghirup cappucino.

"Mengapa Rosmah?" tanya saya sebelum sempat beliau meletakkan cawan kembali ke atas meja.

"Kita pun tak tahu mengapa Najib begitu menurut kata Rosmah. Semua urusan 'stuck' kalau ada campur tangan Rosmah. Sehingga pelantikan politik, termasuk GLC pun Rosmah campur tangan," dakwanya.

"Ooo lebih kurang Rosmah ni macam Khairy (Khairy Jamaluddin) masa zaman Abdullah lah ya," ujar saya kepadanya.

Dato' hanya mengangguk, mengiyakan telahan saya. Banyak ceritanya yang tidak boleh ditulis di sini. Off record katanya.

Pada saya, dakwaan terhadap Rosmah barangkali betul, barangkali tidak. Masalah Najib dan Rosmah adalah masalah Umno. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menghadap apa yang ada.

Masalah sebenarnya adalah masalah perebutan kuasa dan power broker serta juak-juak yang berpihak kepada Najib dengan puak penyokong Muhyiddin.

Keadaan menjadi semakin panas apabila masalah ini meleret-leret, sehingga kepada perihal pemilihan dan penentuan calon Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang. Habis semua hendak jadi calon.

Daripada Ketua Bahagian yang sudah lapuk, sehinggalah budak-budak hingusan dalam Umno, berebut-rebut hendak jadi calon. Mereka melobi Najib dan Muhyiddin. Semuanya kata mereka adalah winning candidate. Habis hiruk pikuk Umno di peringkat bahagian.

Masalah ini diakui oleh Muhyiddin. Kenyataan beliau baru-baru ini merujuk kepada masalah dalaman Umno yang tidak boleh selesai sehingga kini.

Oleh sebab itu MT Umno terpaksa menangguhkan pemilihan dalam Perhimpunan Agung Umno, untuk tempoh 18 bulan bermula Mac 2011.

Penangguhan terpaksa dibuat kerana, pemilihan parti menyebabkan Umno dalam keadaan berisiko tinggi. Umno terpaksa gamble kerana pemilihan akan berlaku di segenap peringkat, meliputi cawangan, bahagian dan kebangsaaan akan memberi natijah yang negatif kepada masa depan mereka. Oleh itu maka pemilihan Umno ditangguhkan, untuk memberi laluan terlebih kepada PRU terlebih dahulu.

Oleh itu, jika diteliti dan dibandingkan tempoh kerajaan BN akan berakhir pada Mac 2013 dengan tempoh penangguhan pemilihan Umno akan tamat pada September 2012, maka tidak dapat tidak PRU mesti diadakan enam bulan lebih awal dari pemilihan Umno.

Maka dijangkakan, tarikh terbaik untuk Najib mengadakan PRU ke-13 adalah di antara Disember 2011 hingga Mac 2012. Itu andaian Najib.

Namun Najib tidak akan selamat jika Umno-BN tewas atau hanya menang dengan majoriti yang lebih kecil daripada PRU 2008. Jika BN tewas, habis cerita. Sama ada Najib atau Muhyiddin, sama-sama akan dimasukkan dalam muzium bersekali dengan Umno-BN

Jika BN menang tipis bagaimana? Sekarang pun dalam Umno, terdapat golongan yang mendesak Najib berundur dan memberi laluan kepada Muhyiddin. Alasan mereka mudah. Najib terlalu lemah dan tidak mampu mengemudi BN berhadapan dengan Pakatan Rakyat. Ada kelompok veteran Umno yang berpendapat, jika Najib terus menjadi PM, masa depan Umno akan terus kelam.

Malah ada antara kalangan Umno yang melabel Najib sebagai PM flip-flop, sama atau lebih teruk daripada Abdullah Ahmad Badawi.

Oleh kerana itu, jika BN menang tipis, Najib bakal mengalami nasib yang sama dengan Abdullah. Justeru bagaimana Najib hendak mengelakkan daripada Muhyiddin naik menggantikan beliau.

"Saya yakin Hisham (Dato' Seri Hishammuddin Hussein) tidak akan benarkan Muhyiddin menggantikan Najib," kata seorang penganalisis Umno.

"Bagaimana nak sekat Muhyiddin? Jika hendak halang, kena ada orang lawan dia jawatan Timbalan Presiden," kata saya.

"Tak perlu. Itu lambat lagi. Kalau saudara hendak tahu, sekarang ini budak-budak Hisham sudah buat kerja di Pagoh (kawasan Parlimen Muhyiddin), nak jatuhkan dia," dakwanya.

Cara mana hendak jatuhkan Muhyiddin tidak dihuraikan lanjut. Barangkali itu hanyalah andaian beliau. Tetapi beliau mengatakan wujud banyak kemasukan pengundi baru di Pagoh, yang akan memberi kesan kepada masa depan Muhyiddin.

Pada saya itu hanya fikiran simplistik. Bukan mudah hendak mengalahkan Muhyiddin. Pagoh ini kawasan hulu. Pedalaman dan masih mundur. Orang-orang yang miskin dan mundur, sentiasa menjadi aset Umno. Tambahan lagi orang Johor. Biarlah PRU nanti menentukan.

Tetapi mesej yang hendak disampaikan di sini, bau wujudnya, unsur pertelagahan dan sabotaj di antara puak Najib dengan Muhyiddin semakin kuat. Mereka boleh cuba menafikan kewujudan masalah ini.

Kita tunggu dan lihat sahaja. Bagi kita sama ada Najib atau Muhyiddin tidak menjadi soal. Asalkan mereka mewakili Umno-BN, mereka harus ditewaskan pada PRU ke-13!

Thursday, October 27, 2011

Tok Guru & nasi bungkus RM2.50


"ANTA dah makan," tegur Tok Guru kepada tatkala melihat kelibat penulis memasuki bilik jamuan. "Alhamdulillah, sudah Tok Guru," jawab penulis sambil mengangguk.

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terus membuka bekas polystyrene yang berada di hadapannya. Bekas tersebut diikat dengan getah plastik. Di dalamnya ada nasi putih, seketul ayam, sebungkus kuah gulai dan sebungkus cili.

Tiada makanan ala buffet. Tiada air sirap, tiada teh dihidangkan. Yang ada hanya air mineral dan nasi bungkus.

Itulah jamuan untuk VIP PAS selepas Menteri Besar Kelantan itu merasmikan Persidangan ICT PAS di Taman Melewar, 22 Oktober lepas. Tok Guru Nik Aziz menjamu selera di bilik khas bersama Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dr Mohd Fadzli Hassan, Che Abdullah Nawi, Setiausaha Politik, Wan Nik Wan Yussof, Pengerusi Lujnah ICT PAS, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Pengarah Urusetia Penerangan Kedah, Zulkifli Yahya dan Pensyarah Unisel, Profesor Dr Azmudden Ibrahim.

Tok Guru dan para VIP kelihatan berselera sekali menjamah hidangan. Mereka menjamu selera dan berbual dengan nada yang amat santai.

Begitu pun, akhlak Tok Guru tetap terpelihara. Beliau mencarik-carikkan isi ayam sedikit demi sedikit, dengan tangan kirinya menahan tulang ayam. Selepas secubit ayam dijamah, beliau menuangkan kuah gulai sedikit-demi sedikit, untuk dimakan dengan nasi. Begitulah selang-seli hidangan dimakan hingga habis.

Berbeza dengan kita. Kalau kita yang makan, kita akan ambil seketul-seketul ayam dan koyakkan dengan gigi sahaja. Biasa kalau kuah gulai tu, kita akan tuang sampai banjir dalam pinggan.

Sambil-sambil mereka makan, penulis memerhatikan tingkah laku mereka. Para VIP PAS, khususnya Tok Guru, tidak pernah merungut, walaupun pada pengamatan penulis, nilai sebungkus nasi dan air untuk hidangan VIP, tidak sampai RM2.50. Itulah juga hidangan yang disajikan kepada seluruh peserta hidangan. Sama sekali tiada beza.

Pada penulis soal harga tidak menjadi persoalan. Bukan soal mahal atau murahnya sesuatu hidangan. Tok Guru tidak pernah melarang sesiapa pun untuk menjamu selera dengan hidangan yang lazat-lazat. Asalkan mereka mampu dan tidak membazir.

Tok Guru juga tidak pernah menolak jika dijemput menjamu selera hidangan yang mahal dan mewah. Tok Guru biasa menghadiri majlis bersama Raja-Raja dan VVIP terkemuka. Moralnya, sama ada makan cara mewah atau makan cara marhain, adalah sesuatu yang lumrah, yang tidak perlu ditunjuk-tunjukkan.

Tetapi Tok Guru tetap Tok Guru. Sifat tawaduknya bukan dibuat-buat. Dah memang semula jadi sifat Tok Guru begitu. Hidangan yang simple dan murah. Makan digerai bersama rakyat kebanyakan sudah biasa baginya. Tidak perlu dihighlight dalam media, tidak perlu diheboh kepada satu dunia.

Bukan macam Perdana Menteri 1Malaysia kita. Pada penulis, elok juga ditegur Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Kalau dah sifatnya bangsawan, hidup sentiasa dalam kantung emas, usah nak berlakon seolah-olah berasal dari gubuk yang buruk.

Kalau asal kehidupannya sejak dilahirkan dah standard, kehidupan sedia mewah, tiada salahnya. Teruskan sajalah, tidak perlu hendak dibuat-buat.

Lebih baik Najib jadi dirinya sendiri. Usah jadi macam artis yang boleh melakonkan apa sahaja watak. Berlakon jadi tok guru membaca tazkirah pun boleh, berlakon jadi kasanova sambil meneguk 'air kencing syaitan' di kelab malam pun boleh.

Pengampu-pengampu Najib pun satu hal. Tak usahlah nak malukan PM kita, kononnya PM berjiwa rakyat, sanggup makan nasi sepinggan RM4.00, kononnya Restoran 1Malaysia, begitu hebat menawarkan hidangan yang murah untuk rakyat.

Dalam sekelip mata rakyat dapat membuktikan, harga makanan yang dimakan Najib, seperti yang dihebohkan tok-tok dalang media pencacai bukannya RM4.00 tapi RM6.00 sepinggan.

Minggu lepas, semasa lawatannya ke Restoran Ukhwah, di Kuala Lumpur yang dikatakan menawarkan Menu Rakyat, Najib menjamah sepinggan nasi, dua ketul ayam, sepotong daging goreng, tauge, dan poppadom. Diriuhkan 1Malaysia bahawa harga sepinggan hidangan Najib itu RM4.00, malah ada media pengampu cuba hendak murahkan lagi dengan harga RM3.50.

Tembelang dan pembohongan Umno-BN terbongkar, dibuktikan apabila staf Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dihantar ke Restoran Ukhwah, mengambil lauk yang sama dengan Najib, dicaj dengan harga RM6.00.

Apabila didedahkan dalam media, Menteri Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob terkial-kial mempertahankan Menu Rakyat 1Malaysia, selepas promosinya untuk menaik dan mengampu Najib, jadi backfire kepada Umno-BN.

"Ketika itu ada beberapa lauk seperti ayam masak merah, ayam masak kicap dan daging, jadi PM hendak rasa kualiti lauk tersebut.

"Secara asasnya menu nasi putih, sejenis lauk dan segelas air memang RM4.00, malah ada yang lebih murah. Apabila kita ambil lebih daripada apa yang ditawarkan dalam menu, maka kita perlulah bayar lebih," kata beliau memberi alasan.

Namun, Ismail tidak mampu menjawab mengapa Najib hanya membayar RM4.00 untuk hidangan berkenaan. Kalau dah tau harganya memang bukan RM4.00, buat apa Ismail Sabri nak biarkan media pengampu membohongi rakyat? Ataupun Ismail Sabri memang kaki kelentong, sehingga memalukan bosnya sendiri.

Itulah hebat Umno-BN ini, punya lah nak menunjukkan pemimpin yang berjiwa rakyat, sampai menggunakan cara yang paling bodoh dan memalukan.

Nanti orang akan balas balik pada Najib, nanti rakyat akan kata, buat apa hendak menunjuk-nunjuk makan nasi RM4.00 sepinggan, sedangkan perbelanjaan mewah PM, isteri dan keluarga menelan belanja berjuta-juta ringgit?

Macam mana Najib hendak jawab, pengubahsuaian rumah mewah Seri Perdana yang menelan kos berpuluh juta wang rakyat, dibandingkan ubahsuai rumah Tok Guru hanyalah beratap zink dan berdinding separuh kayu?

Apa Najib hendak beri alasan, jika rakyat mempersoalkan harga beg-beg tangan Rosmah, pelbagai fesyen, pelbagai jenama mewah, sehingga menelan belanja jutaan ringgit?

Apakah tidak dinamakan mewah, berbelanja jutaan ringgit untuk majlis pertunangan anak di Kazakhztan? Duduk di hotel mewah di Dubai dengan harga mencecah RM100 ribu satu malam? Bercuti dengan menggunakan perbelanjaan kerajaan di Perth?

Jika anda memang jenis hidup mewah dan membazir, usahlah berlakon kononnya susah macam rakyat kebanyakan, kononnya menjiwai perasaan dan kehidupan rakyat miskin.

Sedar dirilah, usahlah Najib berlakon hendak jadi tawaduk macam Tok Guru. Usah jadi bahan gelak ketawa rakyat. Rakyat pun dah muak dengan lakonan tidak menjadi ini.

To Najib, please be yourself.

Monday, October 24, 2011

BN parti 'rojak' dan 'sayur'

SIDANG Parlimen yang bermula awal Oktober lepas, bermula dengan hambar dan kelam kelibut. Kerajaan Umno-Barisan Nasional menunjukkan dengan jelas bahawa mereka tidak mampu menyusun pembentangan Rang Undang-Undang (RUU), Usul mahupun Belanjawan dengan cermat.

Umno-BN seolah-olah diburu bayangan hantu apabila, selepas sehari menarik balik RUU Kg Baru 2010, dikemukakan satu RUU baru dan diluluskan dengan amat tergesa-gesa sehingga Ahli-Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat tidak sempat menelitinya terlebih dahulu.

Begitu juga pembentangan Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Kebiasaannya MP dibekalkan dengan buku belanjawan, beserta dengan Laporan Audit Negara, untuk dibahaskan bersekali. Namun kali ini semua peraturan itu dilanggar dan tidak dipatuhi, semata-mata kerana mereka masih mempunyai kuasa majoriti.

Parlimen bukannya sekolah rendah kebangsaan. Sekolah pun ada silibus, ada homework yang diberikan lebih awal untuk murid-murid membuat persediaan. Parlimen tidak harus jadi lebih cacamerba dari sekolah umum buta huruf.

Parlimen adalah sebuah institusi yang tinggi integritinya. Kesucian dan kemuliaannya harus dipertahankan kerana ia merangka, merencana serta menentukan dasar-dasar negara.

Mana mungkin sebuah institusi semulia Parlimen 'dibulldoze' sesukahati ikut sedap hati penguasa yang rakus. Kerakusan penguasa dalam membentang dan meluluskan apa-apa usul di Parlimen khususnya dalam soal Kg Baru, hanya menyerlahkan sikap tamak haloba mereka untuk menjarah harta rakyat.

Umno-BN meminda RUU dan akta, membentangkan Belanjawan secara terburu-buru serta tidak rasional. Seolah-olahnya mereka hendak cepat-cepat mencari dana menampung belanja pilihan raya.

Soal tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) masih lagi menjadi perbualan hangat. Ada yang kata bulan Disember selepas musim haji. Ada yang kata selepas Hari Raya Cina, Februari atau Mac tahun hadapan.

Hakikatnya, pada bila-bila masa pun Umno-BN harus gamble. Mereka sedar, tiada lagi majoriti dua pertiga. Itu dah jadi mimpi. Yang mereka pening sekarang, ialah cuba mencari formula bagaimana hendak mengekalkan kuasa dengan simple majoriti.

Kebimbangan BN terpancar dari perbualan beberapa orang MP BN di satu sudut Parlimen sewaktu rehat. Sambil-sambil menghirup kopi, mereka berbicara tentang masa depan mereka.

"You ingat selepas PRU ini kita masih ada di sinikah?" tanya MP A dari Umno kepada rakan-rakannya.

"Tak taulah, report dari bawah (rakyat) pun macam tak ok, hari tu TPM (Muhyiddin Yassin) turun kat bahagian aku, report kelabu lagi" jawab MP Umno yang lain.

"Aku ingat kerusi Umno ok, parti komponen lain (MCA, MIC, Gerakan) mana boleh jamin," getus MP A tadi.

"Sebab itulah kita minta you orang sikit rasional, kalau tak boleh menang, kasi sama Umno," kata MP Umno lain kepada MP-MP bukan Melayu di situ.

"Haiya, mana boleh itu macam kawan, kita dalam BN mau kasi sama peluanglah," kata MP B dari MCA.

"Betul tu, kitakan 1Malaysia, kita mesti tolong-menolong, kasi hak (kerusi sama) bukan Melayu," kata MP C dari MIC.

"Patut you orang kuat dalam komuniti sendiri. Macam Umno kuat dalam kawasan Melayu. Ini MCA mau lari, Gerakan mau lari, macam mana BN boleh menang," getus MP A, merujuk kepada hasrat Presiden Gerakan dan MCA untuk mencari kerusi selamat.

"Jangan itu macam kawan, kalau macam tu MIC mana ada kerusi majoriti India," getus MP C.

"Itu sebab Zahid Hamidi (Naib Presiden Umno) cakap, parti komponen BN kena rasional, kalau tak boleh menang, kasi kerusi sama Umno la," kata MP A, menegaskan hujah.

"You orang la kena kuat, tarik Cina, India sokong balik BN," getus MP Umno yang lain.

"Haiya kawan, macam mana mau tarik Cina. You Umno sekejap 1Malaysia, sekejap 1Melayu, macam rojak. Susah ini macam maa, Cina lari la," kata MP B sambil berdengus.

"Betul tu, bila polisi Umno sudah macam 'rojak', MCA, MIC, Gerakan jadi 'sayur' lah, habis tak ada future," kata MP C bersungguh-sungguh.

Bagaimanapun perbualan yang hampir menjadi panas itu terhenti seketika. Masing-masing terdiam apabila loceng masuk ke dewan jam 2.30 petang berbunyi.

Masing-masing bangun perlahan-lahan dari tempat duduk, seperti orang kemalasan, bergerak perlahan-lahan menuju ke dewan. Masing-masing meninggalkan tempat duduk dengan persoalan masa depan yang bersarang di kepala.

Pening memikirkan masa depan diri, masa depan parti yang sudah menjadi 'rojak' dan 'sayur'.

Barangkali mereka sudah mula menerima hakikat bahawa pada sidang hadapan, belum tentu kerusi empuk yang bergelar Ahli Dewan Rakyat, menjadi milik mereka lagi.

Sunday, October 23, 2011

Isu Aziz Bari, bahana malapetaka ciptaan Umno


Umno-Barisan Nasional harus diberi peringatan, bahawa mereka bukanlah tuan kepada negara Malaysia, yang sesukahati boleh menguasai dan mencorakkan semua keadaan demi survival politik Malaysia.

Kuasa yang dinikmati sebagai kerajaan selama lebih 50 tahun, menjadikan Umno-BN alpa. Dengan rakusnya mereka 'mencabul kehormatan' insitusi Parlimen, kehakiman, polis dan sebagainya, sehingga majoriti rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap semua institusi ini.

Kerakusan mereka tidak terhenti di situ. Selepas semua agensi dan badan berkaitan kerajaan dipergunakan sepenuhnya untuk kepentingan politik Umno-BN, kini institusi Raja hendak dicorakkan di atas kehendak Umno.

Buktinya jelas. Ada dua perbezaan yang amat ketara di antara perilaku hodoh pemimpin Umno Terengganu yang membuat demonstrasi di hadapan Istana Terengganu, yang dengan jelas menggelarkan Sultan dengan istilah 'binatang', berbanding dengan satu kenyataan umum Profesor Dr Aziz Bari terhadap Sultan Selangor.

Aziz Bari tidak menghina Sultan Selangor. Beliau tidak menggelarnya binatang seperti yang dibuat Umno Terengganu. Sebagai pakar perlembagaan dan perundangan Islam, Aziz Bari hanya mencadangkan supaya Sultan Selangor mengambil tindakan selaras dengan kuasanya sebagai Ketua Agama Islam negeri, iaitu mengikuti tatacara Islam dalam menangani kes DUMC. Itu sahaja.

Adakah kenyataan Aziz Bari itu suatu penghinaan terhadap Sultan? Mengapa beliau harus disiasat polis? Mengapa SKMM menyoal siasat beliau? Dan mengapa UIA bertindak keras sehingga menggantung Aziz Bari? Apa kesalahannya?

Mengapa Umno-BN terlalu jahat untuk mengenakan tindakan tegas terhadap Aziz Bari, sedangkan kenyataannya itu hanyalah bersifat umum dan langsung tidak menjejaskan kemuliaan Sultan Selangor.

Apa yang disuarakan Aziz Bari, jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Umno Terengganu. Kenapa Umno Terengganu, khususnya juak-juak Dato' Seri Idris Jusoh boleh diampunkan? Umno Terengganu dan seluruh kepimpinan Umno yang merestui tindakan 'membinatangkan' Sultan, adalah penderhaka yang amat jijik dan jahat.

Kita berasa amat kesal kerana ada segelintir golongan istana, yang seolah-olah memejamkan mata dengan kejahatan Umno menghina Raja, dan bersikap keras terhadap mana-mana pihak yang cintakan keadilan, hanya kerana mereka pro-Pakatan Rakyat.

Semua institusi yang dipergunakan Umno-BN harus sedar. Kedurjanaan mereka dengan mencipta malapetaka suatu persatu hanya kerana hendak mengikut agenda Umno, untuk menyelamatkan masa depan Umno, akan dihentikan rakyat.

Kuasa rakyat yang bangkit hari ini (21 Oktober) di UIA, hanyalah permulaan daripada kebangkitan yang lebih besar. Soalnya bukan hanya Aziz Bari semata-mata, bukan hanya pencabulan kebebasan akademik yang dipertahankan, tetapi ke arah sesuatu yang lebih besar daripada itu.

Kiat harus memperjuangkan kebebasan akademik, kebebasan mahasiswa bersuara dan seterusnya kita perjuangkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ciptaan Umno yang mengongkong golongan mahasiswa sebelum ini dihapuskan.

Mahasiswa adalah peneraju kepada perubahan dalam negara. Ayuh bangkit bersama Pakatan Rakyat! Kita perbetulkan sistem akademik dengan mengembalikan martabat universiti dalam negara, kita rebahkan Umno-BN, agar semua institusi dan agensi kerajaan dibebaskan daripada belengu kerakusan orang politik.

Mahasiswa bangkit, negara merdeka!

Wednesday, October 19, 2011

Pakatan Rakyat akan kembalikan hak penduduk Kg Bharu


ISU Kampong Bharu merupakan sesuatu yang amat serius. Ia adalah lambang pengkhianatan Umno-Barisan Nasional yang amat jelas terhadap masa depan orang Melayu di Kuala Lumpur. Kita soroti perkembangannya dan berusaha mempertahankannya. Untuk selanjutnya ikuti wawancara wakil HARAKAH, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB dan jurufoto WAN ZAHARI WAN SALLEH bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden KeADILan di Parlimen pada 17 Oktober 2011.

Pada zaman sebelum merdeka, Kerajaan British sewaktu menjajah Tanah Melayu dahulu ada menggazetkan Tanah Kampong Bharu, Kuala Lumpur kepada orang Melayu dan ianya tidak boleh digadaikan, tetapi mengapakah Umno-BN mahu menggadaikannya?

NURUL IZZAH ANWAR : Pada pengamatan saya, sejarah penubuhan Kg Bharu pada awalnya adalah dikhususkan kepada orang-orang Melayu sejak ia diasaskan pada tahun 1899.

Pada hari ini, bercakap soal tanah yang seluas 223 ekar keseluruhannya yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi, kerana ianya telah dipertahankan sejak 111 tahun dan ianya harus dipertahankan. Tambahan pula mereka (pemilik tanah) di sana pemilik tanah tersebut yang mewarisi sejak dahulu lagi.

Inilah soal yang harus kita lihat, pertamanya isu 'track record' pihak yang mahu membangunkan Kg Bharu itu, dan yang kedua ialah mekanisme yang terbaik yang seharusnya diguna pakai untuk membangunkan tanah (Kg Bharu) jika kerajaan ada niat untuk membangunkannya.

Isu 'track record' Umno-BN ini amat mengecewakan sejali. Jika rakyat melihat dalam kes terdahulu iaitu termasuklah pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) bagaimana sejarah tanah itu seharusnya sebuah tanah lapang pada asalnya, tetapi diberikan juga kepada pemaju iaitu kroni.

Selain itu satu lagi contoh yang saya boleh berikan, ialah dalam kes Kampung Haji Abdullah Hukum di Kerinci. Sekarang ini dikenali dengan KL Atmos City, dahulunya juga milik Yayasan Gerakan kebangsaan, Pemuda Umno.

Niat awalnya dibangunkan kawasan penempatan Melayu pada awalnya, tetapi apa yang terjadi, mereka pada saat pembangunan nak berlangsung memberikan hak milik kepada SP Setia untuk membangunkan dengan bayaran menerusi pegangang saham dalam SP Setia dalam Atmos City.

Jadi pada saya banyak sangat contoh yang menunjukkan kita memberi masa depan khazanah Melayu ini kepada pihak yang tidak bertanggungjawab yang terbukti mengkhianati janji dan hak orang Melayu.

Kini Kg Bharu ini penting kepada kredibiliti pihak bertanggungjawab, bila nak memajukan Kg Bharu.

Saya nampak pelbagai usaha dan cubaan dengan 'referendum', ini cubaan baharu. Dahulu di Kerinci dibuat begitu juga, Sales n Purchase (SNP) Agreemet (Perjanjian) (perjanjian jual beli) bagi Kg Kerinci.

Lebih 400 pemilik Flat 4 tingkat PKNS dipunyai hak sebelum dibuat pembanguna semula. Mereka buat referendum sama dengan mekanisme ini kepada Kg Bharu.

Ini menampakkan pelbagai persoalan yang boleh timbul dalam projek pembangunan Kg Bharu, tambahan pula kenyataan daripada mulut menteri yang menyatakan 60 peratus pegangan Melayu dan 40 bukan Melayu.

Ini 'on record' kalau jadi begini bagaimana kita nak yakin bahawa pembanguan semula memberi manfaat kepada orang Melayu. Ini harus kita fahami mengapa Pakatan Rakyat menolak, bukan sekadar tuduhan kami mahu membangkitkan emosi, jika nak bawa argumen dalam kes pembinaan Little Indian di Brickfields semasa digazetkan, tetapi semua perancangan pembanguan di beri kepada MRCB untuk bangunkan.

Kita dapat melihat bagaimana perniagaan orang tempatan di sana runtuh, jalan dua hala menjadi sehala akhirnya orang tidak boleh pergi atau parkir kereta untuk membeli barangan di Little India (Brickfields).

Jadi akhirnya yang hebat hanyalah Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh datang dengan tunjuk persembahan dua kali. Tetapi di peringkat lapangan ini mereka yang berdepan dengan pembangunan ini akhirnya terpaksa berdepan dengan masalah tidak boleh menjalankan perniagaan, mereka ini merupakan anak jati Brickfileds, orang buta dalam kesusahan menghinakan kerana tiada kemudahan untuk mereka.

Malah lebih menyedihkan lagi Balai Polis Brickfields pula dipindahkan ke tempat yang jauh daripada Brickfields atas dasar keputusan menteri diubah ke tempat lain sedangkan Brickfields ini kawasan berisiko jenayah.

Ini suatu bukti kegagalan dan tiadanya jaminan jika sesebuah tempat di Kuala Lumpur ini hendak dibangunkan kononnya atas dasar untuk membangunkan masyarakat setempat. Keduanya, apakah kerajaan kita hari ini terlalu bongkak, merasakan pemilik tidak mampu membangunkan (dalam kes Kg Bharu) dengan idea dan perancangan, mereka memerlukan dana, dan sebagainya daripada kerajaan yang bertanggungjawab.Jika kerajaan memberikan mereka dana dan khidmat nasihat, pastinya mereka ini boleh melakukan pembangunan yang juga akan dikecapi keuntungannya kepada mereka sebagai pemilik tanah. Mereka ini harus diberikan kebebasan untuk berfikir dan menentukan hak mereka bagaimana untuk menaikkan taraf mereka kerana mereka adalah pemilik tanah.


Adakah isu ini dibawa kepada sidang dan pertemuan dengan Bewan Bandaraya Kuala LUmpur (DBKL)?

Kita bawa, kerana kali pertama Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Raja Nong Chik membawa rundingan bersama penduduk bersama dengan ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarham Dr Lo Lo Mohd Ghazali, tetapi apa yang berlaku Allahyarham (Dr Lo Lo)tidak dibenarkan bersuara, dengan cara yang diktator sangat oleh menteri (semasa sessi berbincang).

Sedangkan pemilik tanah ini daripada pelbagai latar belakang, ada ahli Umno ada ahli PAS dan ada yang tidak berparti, tetapi ini hak mereka yang harus disuarakan oleh mereka dan wakil rakyat mereka, tetapi hak ini juga dihalang.

Jadi dalam rundingan itu tidak pernah dibangkitkan apa rancangan itu, tiada ruang diberikan kepada ahli Parlimen, hatta semasa membentang belanjawan sekalipun mereka putuskan tiada fakta diberikan secara spesifik untuk pembangunan Kg Bharu.

Maknanya kerajaan Umno-BN tidak ikut prosedur dalam hal ini?

Bukan tiada tetapi kuasa yang diberikan kepada menteri (Menteri Wilayah Persekutuan) terlalu besar dan mutlak. Berbalik kepada sejarah pemisahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur daripada Selangor suatu ketika dahulu apabila menangnya 14 kerusi pembangkang pada waktu itu, Perikatan tiada pilihan lain dengan memisahkan Wilayah Persekutuan daripada Selangor.

Buktinya bermula daripada sana, kuasa Menteri dan DBKL sangat besar, hari isnin tarik balik akta, tetapi hari rabu masukkkan semula dan bahas sekejap akhirnya lulus akta.Itu yang berlaku semasa sejarah Kg Bharu.

Mengapa Umno-BN dilihat terlalu menekan dalam mahu memajukan Kg Bharu ini?

Apa lagi tanah yang ada di Kuala Lumpur yang bernilai? Ini bukan percubaan baharu, jika tanah lapang di KLCC itu pun boleh diberikan kepada Tan Sri Ananda Krishnan untuk dibangunkan Twin Towers, apatah lagi kawasan lain. Mereka buat pembangunan tanpa mengambil nilai sejarah dan budaya yang seharusnya mengkayakan lagi mana-mana pembangunan di negara kita.

Ini usaha semberono Umno-BN yang hanya fikir keuntungan sedang kini kemelut ekonomi dunia dan domestik mereka tiada benda lain untuk mencari dana dan dibangun semula.

Semua tanah kerajaan pada awalnya dijanjikan untuk dimajukan dengan memberikan tender terbuka, akhirnya banyak tender kerajaan diberi kepada 1 Malaysia Developement Berhad (1MDB), dan projek perumahan untuk berpendapatan rendah (PR1MA) diberikan kepada syarikat kroni termasuk MRCB syarikat kroni semata.Justeru bagaimana kata nak menjana pendapatan swasta?

Apa tindakan Pakatan Rakyat sekiranya memerintah, apakah akan membatalkan Rang Undang-undang Kg Bharu ini?

Itu janji kita, dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam janjinya berkata, jika kita memerintah (Persekutuan), kita akan menarik balik Rang Undang-undang Kg Bharu, dan kita beri komitmen perjuangkan kebebasan kepada pemilik tanah kerana konsep kita dalam pembangunan semula Kg Bharu. Ini prinsipnya.

Banyak kes seperti Kg Buah Pala banyak walaupun kita tidak sempurna, apa-apapun kita akan memberikan komitmen dan falsafah cara kita lihat pembanguan dan hak rakyat berlainan.

Apa yang boleh dibuat sebab Akta Kg Bharu dah diluluskan?

Ini bukan mudah, saya melihat bila dah diluluskan dengan majoriti mudah di Parlimen, kita perlu memerah otak dan cara untuk mendekati pemilik Kg Bharu.

Kita juga harus berdepan dengan dasar pecah perintah yang diamalkan BN selama ini dasar yang hanya akan beli pihak yang berkepentingan untuk membeli penduduk. Kita akan menjelaskan mengapa kita menolak Rang Undang-undang Kg Bharu ini dengan munasabah dan rasional.

Penduduk rayu MB Selangor henti projek segera


GOMBAK: Ratusan penduduk Pangsapuri Casmaria, Taman Samudera Utama dekat sini merayu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya segera campur tangan menghentikan segera projek pembangunan yang memusnahkan tanah lapang serta kawasan 'green lung' dalam kawasan tersebut.

Mereka menganjurkan demonstrasi aman sebagai langkah terakhir untuk mendesak tindakan segera kerajaan negeri, berikutan permasalahan hak milik strata tanah yang berlarutan sejak 2003.

Dalam demonstrasi yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk-Penduduk Pangsapuri Casmaria (PPPC), mereka juga mengemukakan memorandum kepada MB Selangor, yang merayu agar masalah status tanah dan pemendapan serius di beberapa blok pangsapuri diatasi dengan segera.

Penduduk turut membangkitkan persoalan bagaimana tanah yang berada dalam kawasan pangsapuri bertukar milik beberapa kali dengan wujudnya usaha-usaha pihak tertentu untuk mengalihkan tapak surau sebelum ini.

"Sebelum ini kita dijanjikan dengan pembinaan yang menghadap tasik dan trek joging, tetapi kami tertipu apabila pemaju tidak mengotakan apa yang dijanjikan.

"Kami tertipu apabila pemaju menjanjikan pembinaan pangsapuri dan kawasan berpagar dalam iklan mereka, tetapi sebaliknya mengisytiharkan pangsapuri ini sebagai town house," tegas Pengerusi PPPC, Mejar (B) Wanchik Morad.

Penduduk yang berhimpun dalam demonstrasi tersebut dengan penuh semangat melaungkan desakan agar suatu siasatan terperinci dijalankan terhadap isu pengambilihan dan pemecahan lot, sama ada yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Selayang, mahu pun Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Penduduk berang apabila tasik yang dijanjikan untuk kawasan riadah mereka sudah terlepas dengan pembangunan sebuah taman baru di kawasan bersebelahan.

"Kita mendesak supaya satu lagi projek baru ini dihentikan. Blok rumah kami sudah mulai mendap. Jika diteruskan juga, ia akan mengancam keselamatan kami.

"Lagi pun apabila kami tiada hak ke atas kawasan pangsapuri kerana diisytihar sebagai town house, keselamatan anak-anak dan keluarga terancam," tegas Setiausaha PPPC, Kamal Ariffin Kamaruzzaman.

Kebimbangan penduduk terus disuarakan Pengerusi Surau al-Ehsan, Mejar (B) Thazali Noor Rashidi yang bimbang kawasan surau terjejas.

Katanya, mengikut apa yang didakwa pemaju, keseluruhan kawasan di sekeliling surau, termasuk kawasan letak kereta, adalah milik mereka.

"Sebelum ini ada pemaju yang datang berjumpa kita, meminta surau dialihkan ke satu sudut yang jauh dari pangsapuri, kali ini surau akan terhimpit di tengah-tengah pembangunan.

"Kalau dulu, padang sebelah surau kita jadikan kawasan untuk menyembelih dan melapah korban, sekarang ini kita sudah kehilangan tempat," ujarnya kesal.

Sehubungan itu penduduk memohon jasa baik serta keprihatinan tinggi kerajaan negeri Selangor di bawah terajui Khalid untuk membantu menyelesaikan permasalahan mereka.

"Kami menyanjung tinggi usaha-usaha merakyatkan ekonomi masyarakat oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kami turut memohon agar isu-isu membabitkan status tanah dan hak milik rumah yang begitu bermasalah di Negeri Selangor turut diberi focus utama untuk diselesaikan.

"Kami yakin dengan kepimpinan Tan Sri Dato’ akan membawa kepada perubahan yang akan mendahulukan rakyat dalam segala bentuk usaha dan tindakan," tegas penduduk dalam memorandum yang disampaikan ke pejabat MB sebelum itu.

Tuesday, October 18, 2011

Identiti Melayu lenyap di Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar menyifatkan langkah kerajaan Umno-Barisan Nasional meminda akta untuk membangunkan kawasan komuniti Kampong Bharu sebagai usaha melenyapkan identiti Melayu di ibu negara Malaysia.

Katanya, Kg Bharu merupakan identiti terakhir Melayu dalam kawasan pusat bandar yang dipelihara sejak lebih seratus tahun sebagaimana yang digazetkan British dalam warta kerajaan sebelum merdeka lagi. (Kamarudin ketika ditemui di Parlimen, bimbang kerakusan Umno-BN membangunkan Kg Bharu akan memusnahkan masa depan Melayu)

Tegasnya, berdasarkan pewartaaan kerajaan (British), ia jelas menunjukkan berniat dan bertujuan untuk memastikan bahawa dalam Bandar Kuala Lumpur wujud identiti dan unsur kemelayuan.

"Hari ini lebih jelas apabila timbulnya isu ini. Harus diberi penekanan supaya legasi Melayu ini tidak dihancurkan tidak digugurkan tidak dibatalkan oleh apa-apa tindakan kerajaan sekarang ini.

Oleh itu segala perancangan yang melibatkan Kg Bharu semestinya tidak dilihat dilihat dari kepenting mana-mana pihak dan kepentingan jangka masa yang terhad dan pendek," beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Menurut beliau, jika Kg Bharu hendak dibangunkan sekali pun, ia harus dibangunkan dengan tujuan utama untuk mewujudkan imej kemelayuan dalam bandaraya.

Apabila ia melibatkan anugerah tanah yang luas, maka rakyat yang terlibat, khususnya tuan-tuan punya tanah, mestilah diberikan lebih kedudukan dan tempatnya yang sesuai dengan hak mereka.

Sepatutnya kata beliau, dalam apa perancangan Kg Bharu ini tidak boleh dibuka hak untuk menguasai atau hak untuk menjadi tuan punya, selain daripada apa yang diputuskan dalam pewujudkan Kg Bharu sejak zaman British lagi.

"Kita bersetuju membangunkan Kg Bharu, tetapi konsep bagaimana ia hendak dibangunkan, itu yang membimbangkan kita.

"Ini menunjukkan suatu percanggahan dari pihak umno. Di masa yang lain mereka menekankan soal pembangunan untuk orang Melayu, pembangunan hartanah Melayu, dengan pewujudan dengan rang undang-undang dan akta-akta yang lain. Tetapi apabila berkaitan dengan Kg Bharu, diwujudkan pula akta-akta yang dasar bercanggah sama sekali,' bidas beliau.

Tegas beliau, sepatutnya kerajaan menggunakan segala dana kerajaan, menggunakan GLS dan sebagainya untuk dilaburkan di Kg Bharu, dan membangunkannya untuk memberikan imej Bharu kepada dan dalam masa yang sama warisan Melayu dipelihara sebaiknya.

"Tetapi hal ini tiada dalam pemikiran Umno. yg mereka nampak ialah untuk menjual hartanah ini kepada orang-orang yang bukan Melayu. Inilah yang menimbul kebimbangan," ujarnya.

Friday, October 14, 2011

Himpunan Blogger Johor


Dijemput hadir meramaikan petugas Pakatan Rakyat Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Thursday, October 13, 2011

Belanjawan tidak realistik


PENGANALISIS ekonomi berpendapat Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi akan kekal pada kadar 5 hingga 5.5 peratus tahun ini dan dengan peruntukan RM232.8 bilion untuk tahun hadapan sebagai tidak realistik.

Belanjawan yang dibentang Najib di Parlimen 7 Oktober lepas, merupakan tahun ke-14 negara mengalami defisit berturut-turut.

Jurang defisit ini semakin melebar apabila pendapatan yang diperolehi negara, tidak seimbang dengan peruntukan jumlah perbelanjaan yang besar.

Malahan, Pakatan Rakyat menjangkakan, selepas membentangkan belanjawan sebenar ini, kerajaan Umno-Barisan Nasional dijangka akan mengemukakan usul belanjawan tambahan, sebagaimana kelaziman sebelum ini.

Rakyat tidak harus lupa. Belanjawan yang disasarkan untuk negara bagi tempoh setahun-setahun sebagaimana biasa, bukannya suatu jangkaan atau unjuran yang tepat.

Kebiasaannya Kerajaan BN akan membentangkan usul belanjawan tambahan, apabila peruntukan yang dibuat pada belanjawan asal, selalunya tidak mencukupi.

Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, khususnya akibat krisis ekonomi Amerika Syarikat yang menyebabkan matawang dolarnya tidak stabil, Najib seharusnya mengambil langkah berhati-hati.

Pada waktu ini pasaran saham di Bursa Malaysia dan di kebanyakan pasaran dunia, berlegar dalam keadaan yang agak lembab dan berhati-hati. Harga saham yang didagangkan tidak berada di paras yang stabil, dengan kemungkinan ia akan menjunam lagi.

Pasaran yang tidak stabil ini mencorakkan masa depan ekonomi yang tidak menentu, ditambah dengan penggantungan negara kepada pasaran AS. Justeru kerajaan seharusnya lebih berimbang dalam merencanakan belanjawan.

Najib harus sedar, dalam keadaan sekarang ini, kemungkinan besar pendapatan negara akan terjejas akibat penyusutan dolar dan kekurangan kemasukan pelaburan terus asing serta kurangnya daya saing produk-produk negara di pasaran global.

Kerajaan BN pimpinan Najib seharusnya meneliti terlebih dahulu, pada sumber mana yang harus kerajaan bergantung, selain dari dana Petronas serta tabung dana amanah rakyat yang sering digunakan untuk perbelanjaan serta menampung pasaran.

Sebaliknya beliau cuba berlagak popular dengan mengumumkan pelbagai kenaikan dan bonus, sedangkan sumber kemasukan dana untuk menjana pendapatan negara tidak jelas.

Suatu aspek yang dikesampingkan Najib dan BN adalah persoalan keyakinan pelabur terhadap kestabilan sistem ekonomi dalam negara.

Pelabur sama ada dari dalam dan luar negara, mahukan kerajaan yang stabil. Mereka mahukan negara bersih daripada rasuah, salahurus serta tidak wujud sebarang pembaziran sebelum melabur.

Kelemahan jelas terbukti dalam kerajaan pimpinan Najib apabila teguran dan pandangan rasmi dari Ketua Audit Negara tidak diambil perhatian langsung.

Daripada laporan audit yang dibentangkan di Parlimen sebelum ini, kebanyakan agensi kerajaan dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Umno-BN, didapati diurus dengan tidak cermat, wujudnya penyelewengan serta berlaku pembaziran.

Tiada maknanya bagi sesebuah kerajaan yang cuba mengula-gulakan rakyat dengan sedikit kenaikan dan faedah, sedangkan faktor asasi seperti gejala korupsi, kronisme dan nepotisme tidak mampu diatasi.

Lebih jelek lagi, belanjawan yang dibentang Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, tidak mendapat sambutan dan sokongan dari kalangan anggota mereka sendiri.

Buktinya, selepas pembentangan Najib, tidak ramai yang bangkit menyokong berdasarkan laporan hambar media talibarut BN.

Anggota BN tidak menyokong kerana mereka sedar, belanjawan Najib tidak realistik.

Wednesday, October 12, 2011

Enakmen syariah perkasa Raja Melayu


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu institusi agama di bawah naungan Raja-Raja Melayu diperkasakan, sesuai dengan sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan, kesucian agama Islam dan akidah umat akan lebih terpelihara jika martabat Raja-Raja Melayu diperkasakan menerusi enakmen-enakmen yang berkaitan dalam bidang kuasa negeri. (Bertemu dengan Tuan Guru Nik Aziz di rumah Kelantan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur).

"Di Kelantan, kita telah gubal dan luluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993, yang telah pun ditandatangani oleh Sultan Kelantan.

"Ianya mencakupi pelbagai kaedah dalam syariah Islam, termasuklah hudud, qisas dan takzir, ia digubal bagi memastikan kesucian agama Islam di Kelantan dipelihara sebaiknya dan tidak tercemar," ujarnya kepada Harakah.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, secara tidak langsung, apabila Islam terpelihara sebaiknya, maka dengan sendirinya ia menaikkan martabat Raja-Raja Melayu.

Martabat dan kemuliaan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Negeri katanya, akan terpelihara apabila akhlak umat Islam terkawal, kurang berlakunya jenayah dan sekali gus ia boleh mengelakkan berlakunya gejala riddah (murtad).

Menurut beliau Islam adalah agama yang menitikberatkan pendidikan dan pencegahan, justeru segala syariat yang diperturunkan Allah dalam al-Quran, merupakan penyelesaian terbaik terhadap kemelut yang melanda ummah dewasa ini.

Oleh itu katanya, apabila Kelantan yang diperintah PAS sejak tahun 1990, bertindak memperkasakan syariat Islam dengan penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah, ia bertujuan untuk memelihara martabat ummah.

"Undang-undang yang diciptakan manusia, jelas tidak mampu untuk membendung masalah kemanusiaan. Hanya syariat Allah sahaja yang boleh menyelesaikannya.

"Malaysia dan beberapa negara lain misalnya, boleh menerima hukuman mati di tali gantung. Itu lebih keras dari Enakmen yang kita luluskan. Namun ia tetap tidak mampu menyelesaikan masalah," katanya.

MB Kelantan itu turut menempelak Umno-Barisan Nasional yang sering berdolak-dalik untuk kepentingan politik mereka sehingga mempermain-mainkan syariat yang ditentukan Allah dalam al-Quran.

Tegas beliau, sewaktu Kelantan meminta Enakmen tersebut, terdapat wakil-wakil Umno dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan yang turut sama menyokong usaha murni kerajaan negeri.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri menganjurkan seminar memperkasa syariat Islam saban tahun bagi menyedarkan rakyat Kelantan, khususnya umat Islam tentang kebaikan dan kewajipan mentaati perintah Allah.

"Kita tiada agenda politik, yang kita pegang adalah amanah Allah. Malangnya Umno-BN tidak pernah peduli, sebaliknya menyerang Kelantan dengan memburuk-burukkannya.

"Enakmen syariah Islam sudah ditandatangani dan diperkenankan Tuanku al-Sultan, ia telah menjadi sebahagian daripada undang-undang. Rakyat Kelantan berdiri teguh di belakang Tuanku untuk memartabatkan kesucian Islam di negeri Serambi Mekah," tegas beliau.

Penduduk rayu MB Selangor turun padang


GOMBAK: Sekitar lebih 5,000 penduduk di kawasan Taman Samudera merayu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 'turun padang' bagi menyelamatkan kawasan lapang yang sepatutnya diperuntukkan untuk lapangan permainan penduduk, tidak dibangunkan sebarang projek.

Penduduk-penduduk meliputi kawasan Taman Selasih, Pangsapuri Casmaria, Pangsapuri Fiona, Taman Sri Batu Caves dan beberapa taman lain, kini mengigit jari akibat kerakusan pembangunan dibuat sehingga mereka tiada tempat untuk beriadah.

Kebimbangan rakyat dinyatakan dengan jelas, wujudnya kemungkinan penyelewengan tatacara pembahagian dan pecahan tanah di kawasan tersebut, yang dilakukan sejak zaman kerajaan Barisan Nasional semasa pemerintahan Menteri Besar. Dato' Seri Mohamad Khir Toyo.

Sehubungan itu, rakyat di kawasan tersebut menghantar memorandum ke pejabat MB Selangor, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali yang juga Adun Gombak Setia dan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali untuk tindakan segera pihak berkenaan.

Dalam memorandum yang diwakili Persatuan Penduduk Pangsapuri Casmaria (PPPC), Pengerusinya, Mejar (B) Wanchik Morad memohon Kerajaan Negeri dengan segera mengeluarkan arahan "stop work order" ke atas pemaju dengan memberhentikan kerja-kerja di tapak sehingga siasatan terhadap penyelewengan dan penipuan terhadap pembeli selesai dijalankan.

Penduduk juga meminta MB Selangor menyerahkan semula tanah lapang kepada MPS untuk dijadikan kawasan lapang "green lung" bagi kegunaan lain-lain kemudahan penduduk di masa hadapan.

Ini kerana katanya, mengikut Akta Tanah Selangor, setiap pemaju harus memperuntukkan "green lung", yang tidak boleh dimajukan apa-apa bangunan di atasnya, bagi menampung keperluan rakyat.

"Kami memohon kerajaan negeri menyiasat kemungkinan berlakunya penipuan dan rasuah yang melibatkan pegawai di Pejabat Daerah Tanah dan Galian dan memohon Pihak MPS dan pemaju menyelesaikan isu Hak Milik Strata dengan segera," tegasnya.

Mejar (B) Wanchik juga berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengajukan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuat siasatan ke atas kemungkinan wujudnya elemen rasuah yang membabitkan PTG dan MPS.

Dalam memorandum tersebut, Mejar (B) Wanchik juga menggesa Kerajaan Negeri supaya menyiasat dan mengenakan tindakan ke atas pegawai Pejabat Tanah dan Pihak MPS yang terlibat, serta mengenakan tindakan saman dan disenaraihitamkan terhadap Pemaju Tenaga Ehsan Sdn Bhd sekiranya terbukti bersalah.

Thursday, October 06, 2011

Jangan ada 'musang berbulu ayam' dalam PAS

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai hala tuju yang sangat jelas, iaitu ia bersama dengan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13, sekali gus menawan Putrajaya.

Sebagai sebuah parti yang banyak pengalaman dan tersohor sebagai sebuah organisasi yang berdisiplin, PAS sepanjang 60 tahun penubuhannya, juga tidak sunyi daripada elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan matlamat perjuangannya.

Tidak harus dinafikan, setiap parti ada kelemahannya yang tersendiri. Sama ada ia dari kalangan BN atau Pakatan Rakyat.

Dalam konteks PAS, ia harus melihat jauh ke hadapan, supaya pasca 60 tahun ke hadapannya, tidak wujud sebarang elemen yang boleh menjejaskan hasratnya menguasai Putrajaya bersama Pakatan Rakyat.

Elemen-elemen negatif sebegini, harus diperhati dan diperhalusi. Bukan bertujuan untuk mencari salah sesiapa, bukan juga untuk bersangka buruk dengan sesiapa, tetapi kita harus bertegas dalam mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan individu yang bergelar pemimpin.

Untuk itu PAS harus lebih berhati-hati. Jangan sampai akibat kelemahan kepimpinannya, keyakinan rakyat akan terjejas.

Sebarang elemen yang tidak baik, harus ditangani sebaiknya.

Keyakinan rakyat terhadap PAS, selain daripada kekuatan kepimpinannya, kadang-kadang dibentuk oleh persepsi.

Persepsi yang bagaimana rakyat melihat PAS. Jika ada unsur atau elemen yang negatif, maka ia akan mencetuskan persepsi negatif rakyat terhadap kepimpinan dan kepada PAS sendiri.

Justeru, pada Sambutan ulangtahun ke-60 PAS yang diadakan di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang berlangsung dengan jayanya 1 Oktober lepas, PAS harus kelihatan bersih dan sentiasa bersih, sebagai parti yang bakal menggalas amanah besar rakyat pada PRU ke-13 nanti.

Bagi mengingatkan rakyat tentang peranan PAS di persada politik negara selama 60 tahun, aturcara padat diatur penganjur, bermula sejak 30 September sehingga majlis penutupnya pada malam 1 Oktober 2011.

Dengan Kongres 60 tahun diadakan pada siang hari, pelbagai pameran, pelancaran dan diskusi serta pengkisahan sejarah diatur oleh penganjur.

Pada malam terakhir, seluruh kawasan persekitaran Dewan Milenium penuh sesak dengan pelbagai kenderaan.

Khabarnya lebih 20 ribu penyokong PAS membanjiri dewan yang hanya boleh memenuhi sekitar 3 ribu orang sahaja.Apa pun pada pengamatan saya, walaupun sambutan hebat ditunjukkan rakyat, namun jumlah sekitar 20 atau 30 ribu tidak menunjukkan kekuatan sebenar PAS. Kekuatan PAS bukan hanya ditahap itu sahaja.

Itu pun yang hadir sewaktu ceramah, sedangkan pada waktu lain hanya sekitar 3 ribu orang sahaja yang memenuhi Dewan Milenium.PAS adalah sebuah parti yang amat besar. Keahliannya mencapai sejuta umat.

Kita mungkin tidak memerlukan sejuta umat membanjiri Kepala Batas, cukup sekadar 5 peratus atau 50 ribu ahli dan penyokong hadir sudah memadai.Justeru mengapa kehadiran ahli dan penyokong tidak seramai yang diharapkan? Ada banyak jawapan diberikan.

Antaranya tidak penganjur tidak cukup masa untuk mempromosikan majlis, ada juga yang mengatakan iklan-iklan yang berbentuk poster atau kain pemidang tidak banyak diletakkan di seluruh negara, atau pun sekurang-kurangnya di seluruh Pulau Pinang.
Saya berniat tidak untuk menyalahkan penganjur.

Barangkali kain pemidang atau iklan dalam Harakah tidak banyak. Ianya bukan soal iklan dan promosi, ianya adalah soal kesedaran dan komitmen kita semua, dari kalangan pucuk kepimpinan sehingga ke penyokong di peringkat bawahan.

Sewaktu kami duduk di meja khusus yang ditempatkan untuk wartawan, ada wartawan media arus perdana yang datang dari Kuala Lumpur, bertanya mengapa di atas pentas utama, AJK PAS Pusat tidak penuh walaupun dewan penuh dengan ahli dan penyokong?

Beliau menyebutkan beberapa nama kepada saya, yang saya fikir tidak wajar ditulis dalam ruangan ini.

Namun, sekali imbas, ada logiknya soalan beliau, mengapa dalam event yang sebegini penting, tidak semua pemimpin tertinggi PAS yang hadir.

Beliau mengajukan soalan lagi,"Saya selalu buat liputan ke mesyuarat PAS Pusat, saya lihat ******* dan ******** selalu tidak hadir, mengapa ya?

"Adakah wujud masalah dalam PAS sehingga orang-orang ini tidak hadir mesyuarat dan event besar sebegini?" soalnya mengorek rahsia.

"Ya betul, kita orang pun selalu tunggu mahu minta statement dia..selalu dia tak ada," sampuk seorang wartawan media berbahasa Cina.

Mungkin kita boleh beri alasan simplistik. Pemimpin itu tidak hadir kerana sibuk dengan urusan. Habis, pemimpin lain yang lebih besar tidak banyak urusan?

Jika Mursyidul Am dan Presiden PAS, orang yang paling sibuk dan padat jadual mereka boleh hadir, mengapa orang lain tidak boleh atur jadual mereka untuk menghadiri mesyuarat parti atau Kongres 60 tahun yang penting ini?

Dalam perbualan tersebut, banyak 'soalan-soalan maut' yang ditanya, tetapi tidak dijawab secara verbatim. Semua persoalan yang diajukan menunjukkan bahawa PAS dan pemimpin-pemimpinnya diperhatikan. Kelibat mereka senantiasa menimbulkan pelbagai persepsi.

Malah sewaktu berada di Kongres, ada kalangan hadirin mendapat SMS mengatakan pada waktu yang sama ada kalangan pemimpin PAS yang sembang santai dengan pemimpin Umno di sebuah restoran Arab di Kuala Lumpur.

Kita boleh cipta pelbagai alasan, barangkali si fulan itu sibuk dengan program potfolio atau lujnah yang dipegangnya.

Justeru ditanya balik, tidakkah boleh jenguk sekejap ke Kepala Batas?
Sesibuk Mursyidul Am dan Presiden PAS, hingga penuh masanya bersama rakyat siang dan malam, pun sempat hadir, tak kan anda pemimpin bawahan, lebih sibuk daripada mereka.

Okay lah, kita bagi excuse, kononnya acara yang membabitkan majlis dengan pemimpin Umno sudah diatur lama, maka ianya tidak dapat dielakkan. Ditanya kembali, mengapa tiap-tiap bulan anda tidak hadir mesyuarat?

Mengapa banyak event besar PAS, tidak juga anda hadiri? Juga harus ditanya, misalnya, mengapa anda sering bertemu, minum kopi, bersantai dengan pemimpin Umno, menteri dan sebagainya?

Lebih kerap bertemu mereka daripada menemui atau bergaul dengan pemimpin ada ahli PAS?Dalam dunia tanpa sempadan ini bagaimana kita hendak nafi. Sekali dua boleh kita kata orang fitnah atau sebar SMS palsu.

Tapi kalau dah masuk berpuluh kali, bagaimana? Ini yang bahayanya. Ini yang harus dielakkan oleh PAS, selepas 60 tahun ia wujud dalam negara. Ia harus mempunyai pemimpin yang bersih dan kelihatan bersih.

Persepsi negatif sebegini boleh menjejaskan PAS dalam jangka panjang jika tidak ditangani dengan baik.

Saya tidak berniat hendak memburuk-burukkan sesiapa atau mencetuskan isu dengan mengandaikan sesuatu berdasarkan tohmahan. Anggaplah tulisan ini sebagai muhasabah supaya elemen picisan yang menjejaskan PAS yang timbul daripada orang seperti Dato' Mohd Asri Muda, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad dan Abdul Malek Hussin tidak berulang lagi.

Mereka ini keluar daripada PAS dengan cara yang kotor, walaupun mereka tidak menjejaskan PAS, namun mereka adalah termasuk di kalangan pencatat sejarah buruk 60 tahun PAS. Jangan sesekali PAS benarkan sejarah ini berulang.