Wednesday, December 22, 2010

Himpunan anak muda di Titi Hayun

ANAK-anak muda negeri patut 'tabik spring' pada Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat di atas kejayaannya menghimpunkan ribuan anak muda seluruh Daerah Yan.

Majlis himpunan belia anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai dan Pejabat Daerah Yan yang dirancang selama dua bulan, berlangsung pada 18 Disember lepas di di Pusat Peranginan Titi Hayun.

Hujan yang turun sejak dinihari menyebabkan seluruh kawasan peranginan dan air terjun Titi Hayun di kaki Gunung Jerai sejuk membeku.

Namun anak-anak muda, rata-rata berusia di bawah 25 tahun yang datang dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Guar Chempedak, Dun Sungai Limau dan Dun Gurun, begitu bersemangat dan teruja sekali untuk berhimpun.

Selain daripada ucapan-ucapan dan motivasi yang disampaikan oleh Ustaz Firdaus dan Ustaz Rosli Azmi Pengarah Urusetia Belia & Sukan Negeri Kedah, belia dan beliawanis Jerai disajikan dengan pelbagai acara yang menarik.

Bagi acara belia, mereka dipecah-pecahkan kepada beberapa kumpulan untuk menyertai acara himpun telur penyu, permainan 'gagak oh gagak' dan mencari harta karun.

Acara beliawanis diserikan dengan acara baling bola dalam baku, pertandingan meraut lidi dan acara 'semakin jauh semakin sayang.'

Menurut Setiausaha PKWR, Mohd Shubihi Mohd Zain, majlis tersebut adalah acara tahunan himpunan Belia dan Beliawanis Jerai 2010.

Katanya, anggota Kelab Jerai Sejahtera yang mempunyai keahlian 500 orang anak muda, semuanya turun beramai-ramai menyerikan majlis anjuran bersama dengan Kerajaan Kedah, di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Komitmen anak-anak muda dalam program anjuran PAS ini sebenarnya menjadi petanda bahawa kalangan mereka, begitu menyenangi suasana yang ada, mereka selesa dengan PAS dan anak-anak mulia ini komited untuk mempertahankan kerajaan yang ada hari ini.

Dengan adanya program sebegini, ia akan mengisi ruangan kekosongan yang wujud di minda anak-anak muda, sekaligus membantu mereka menyertai acara yang sihat, serta menghindarkan mereka dari terjerumus ke kancah gejala sosial.

Justeru, menjadi suatu perkara yang harus dibanggakan, bahawa Daerah Yan diisytiharkan sebagai kawasan yang paling rendah kadar jenayah di seluruh negeri Kedah, dan Kedah juga merupakan antara negeri terbaik penurunan kadar jenayahnya.

Itulah antara peranan besar PAS, iaitu bekerja keras untuk memurnikan pembangunan insan, khususnya di kalangan anak muda, supaya mereka terbentuk mengikut acuan yang sesuai dengan kehendak Islam.

Ruang inilah yang pandai diisikan Ustaz Firdaus. Pada beliau, belia merupakan aset yang tidak ternilai kepada negara.

"Ana tak mau banyak politiking, sebagai Exco Pemuda, ana nak bawa seberapa ramai anak muda mendampingi kita (PAS), kita suarakan kehendak anak muda serta membantu memenuhi keperluan mereka, takat yang mampu," kata Ahli Parlimen Jerai itu kepada penulis ketika sembang santai di kawasan permainan kanak-kanak di kawasan peranginan.

Ustaz Firdaus bukan sekadar perancang dan pengeluar arahan. Beliau turut sama menyertai sukaneka dan bergurau senda anak-anak muda.

Majlis tidak berakhir setakat itu sahaja, ada persembahan Pak Long, penyanyi yang terkenal di Kedah dan juga acara cabutan bertuah, terdiri daripada basikal, hamper dan lain-lain. Majlis turut menobatkan 5 tokoh belia Daerah Yan, dalam satu acara khas.

Malah Ustaz Firdaus juga turut memberi sumbangan dengan mengadakan jamuan seekor lembu untuk hidangan tengahari para hadirin.

Sebelum menutup majlis, Ustaz Firdaus memberi tiga pesanan kepada belia dan beliawanis Jerai, iaitu pertama, menyertai sukan Bolasepak Piala Menteri Besar yang akan diadakan tidak lama lagi. Kedua, mereka mestilah menyertai Himpunan 30 ribu belia Kedah yang akan diadakan pada bulan Februari nanti.

Dan ketiga, mereka hendaklah mendaftar sebagai pemilih untuk mengekalkan kemenangan kerajaan Kedah Sejahtera di bawah Pakatan Rakyat.

Perasmian penutup himpunan disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dun Kedah, Ustaz Ahmad Izzat Mohd Shauki.

Sambil menghargai komitmen anak muda, Ustaz Izzat berkata, "Hari Sabtu di Kedah merupakan hari kenduri (kenduri kahwin), ramai anak muda akan duduk di kampung, tidak keluar, buat program hari ini memang risiko biasanya (kurang kehadiran). Namun apa yang berlaku hari ini (di Titi Hayun), merupakan suatu keluarbiasaan dan petanda baik kepada penerusan kemenangan PAS, Insya Allah."

No comments: