Thursday, December 23, 2010

Buku Jingga: Tawaran terbaik buat rakyat Malaysia

Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah, kerana dengan keizinan-Nya, Konvensyen ke-2 Pakatan Rakyat dapat diadakan dengan gilang gemilang pada 19 Disember 2010 yang lalu.

Pada konvensyen pucuk pimpinan Pakatan Rakyat telah memilih tema 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia' atau dalam bahasa Inggerisnya, 'Change Now, Save Malaysia.'

Beserta dengan tema 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia' sertakan Buku Jingga (Orange Book), yang terdapat di dalamnya beberapa cadangan dan program-program untuk diteliti secara rasional oleh rakyat Malaysia.

Di dalam Buku Jingga, Pakatan Rakyat mempertegaskan tekad dan tawaran perubahan yang besar dalam tempoh 100 hari, sekiranya diberi kuasa memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Pakatan Rakyat juga mengulangi pendirian dan penegasan yang dicapai pada Konvensyen pertama pada 19 Disember 2009 di Shah Alam, bahawa ia tetap memelihara kedaulatan Raja-Raja, keluhuran undang-undang, memperkukuhkan Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan, memelihara hak-hak orang Melayu, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Tawaran ini dikemukakan kepada rakyat, berikutan kepincangan Umno-BN memerintah negara. Bagi Pakatan Rakyat, Umno-BN tidak melaksanakan apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan secara adil dan saksama.

Umno-BN menggunakan kuasa yang dinikmati sekian lama untuk menindas dan mengetepikan kepentingan kaum selain Melayu dan tidak mampu memelihara keharmonian beragama dalam ertikata yang sebenarnya, demi survival politik mereka.

Umno-BN sentiasa mempergunakan agenda perkauman yang tajam, sentiasa mengapi-apikan faham perkauman dan agama supaya rakyat berpecah belah. Akibat daripada itu rakyat tidak mempunyai pilihan, selain menyokong mereka.

Namun, dasar pecah perintah Umno-BN ini sudah berakhir. Rakyat sudah tidak mempercayai mereka. Walaupun berita dan perkembangan Pakatan Rakyat ditutup, namun rakyat semakin mempercayai Pakatan Rakyat.

Konvensyen ke-2 Pakatan Rakyat, membuktikan kesepaduannya walaupun teruk dicaci maki media talibarut Umno-BN, siang dan malam.

Pakatan Rakyat berjaya mengemudi diri bagi menjadi sebuah entiti rakyat yang kuat, stabil dan bersatu padu untuk menggantikan BN.

Hakikat yang tidak dapat ditolak ialah, Pakatan Rakyat adalah goverment in-waiting (kerajaan menunggu) dan alternatif terbaik buat rakyat untuk menghentikan segala kerosakan dalam negara.

Kita amat yakin bahawa pegawai-pegawai kerajaan, anggota keselamatan, agensi kerajaan akan rasional, menghormati kerajaan pilihan rakyat dan memberi kerjasama supaya peralihan kuasa dapat dilakukan dengan aman dan teratur.

Sejarah membuktikan, apabila PAS berjaya mengambil alih kerajaan negeri Kelantan (1990) dan Terengganu (1999), semuanya berjalan dengan teratur dan lancar.

Malah selepas PRU 8 Mac 2008, di mana Pakatan Rakyat memenangi lima negeri, peralihan kuasa berjalan dengan baik.Demokrasi hanya cacat apabila Umno-BN merampas kuasa di Perak pada Februari 2009.

Bukti keberkesanan, ketelusan yang diamalkan kerajaan Pakatan Rakyat dapat pujian dalam dan luar kerana ia mentadbir secara adil, bebas rasuah berbanding negeri-negeri di bawah BN.

Pakatan Rakyat merupakan harapan baru rakyat Malaysia untuk memulihkan keadilan, memperbetulkan kepincangan sistem demokrasi, menghapuskan rasuah serta mengembalikan ekonomi negara ke landasan yang betul.

Justeru, Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa, sekiranya semua pihak mematuhi sistem demokrasi, membenarkan Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya di atas kehendak rakyat, maka Malaysia akan melihat sebuah transformasi baru, era pemerintahan baru, anjakan paradigma baru untuk kebaikan seluruh rakyat jelata.

Selama rakyat tidak mempunyai pilihan, tetapi kali ini rakyat sudah melihat sebuah pakatan yang jitu, sebuah pakatan yang komprehensif terdiri dari semua bangsa dan agama, dapat bersatu padu untuk bekerjasama membentuk kerajaan baru bagi menggantikan BN.

Impian rakyat untuk mempunyai sebuah negara yang aman makmur, maju, sejahtera akan tercapai tidak lama lagi.

Undilah Pakatan Rakyat untuk kemakmuran, keadilan sosial dan persaudaraan erat sesama rakyat.

No comments: