Monday, April 26, 2010

Doa untuk Ahmad Lutfi


BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Bukan mudah untuk berada di persimpangan antara dua alam. Tambahan pula para doktor memberitahu secara jujur, bahawa hanya Allah sahaja Yang Berkuasa untuk menentukannya sama ada terus hidup atau menerima takdir sebaliknya.

Itulah yang dialami oleh Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, 47, yang bakal mengalami pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Bandar Tun Razak, 26 April ini.

Penulis bersama wartawan Wan Nordin Wan Yaacob dan pembantu khas Lutfi, Khairul Hartimi menziarahi beliau di Klinik Pakar HUKM, pada hari Jumaat 24 April lepas, buat kali terakhir untuk beliau mempersiapkan diri untuk menjalani pembedahan.

Beliau ditemani isterinya, Siti Hawa Samsam dan anak sulungnya Ahmad Luqman membuat pendaftaran kemasukan ke wad.

Lufti menyambut kami dengan senyuman. Kelihatan mukanya sedikit pucat. Seluruh tangan dan kakinya seram sejuk. Memang, untuk menghadapi saat-saat kritikal dalam kehidupan bukannya mudah.

Penulis dan rakan-rakan yang lain seolah-olah tidak mampu menatap wajahnya lebih lama. Kami tidak mahu menunjukkan jiwa kami lemah. Kami mesti kuat untuk memberikan beliau kekuatan dan keyakinan untuk menjalani pembedahan.

Walaupun, pada saat sebegini, terasa seperti jantung direntap-rentap. Penulis sendiri pun tidak mampu untuk menjadi sekuat Lutfi dan keluarganya.

Sebelum melangkah pulang dari HUKM, penulis memeluknya dan mendoakan agar beliau selamat dalam pembedahan. Tanpa disedari, beliau menitiskan air mata.

Lutfi tidak pernah sebegini lemah. Penulis mengenalinya lebih 20 tahun. Lutfi adalah seorang pejuang yang gagah dan kuat. bermacam-macam dugaan, tekanan, tahanan dan pelbagai rintangan yang sudah beliau hadapi.

Beliau harus kuat menghadapi takdir kali ini. Penyakitnya begitu serius, tiada pilihan melainkan pembedahan. Entahlah, semuanya terserah ke hadrat Ilahi.

Sebelum ini, sewaktu penulis mengunjungi beliau di kediamannya di Taman Bukit Indah, Ampang, pada hari Rabu 21 April, Lutfi memberitahu bahawa kes seperti beliau agak unik. Beliau mengalami penyakit kencing manis yang amat teruk, selain ketiga-tiga injap utama jantungnya hampir tertutup terus.

Beliau tidak ada pilihan. Beliau memerlukan pembedahan segera. Pembedahan pun, penuh dengan segala risiko. Menurutnya, kebiasaannya di HUKM, pakar-pakar boleh membuat pembedahan jantung dua orang dalam satu hari. Tetapi oleh kerana beratnya keadaan beliau, maka pada hari itu dijadualkan pembedahan untuk beliau seorang sahaja.

"Doktor kata kes seperti aku memang tinggi risiko. Ada orang, selepas pembedahan tak keluar-keluar (terus disimpan), ada orang selamat dan dibawa ke wad.

"Doktor cakap terus terang, doktor minta aku buat persiapan, mental dan spiritual," ujarnya sambil mengemas buku dan al-Quran yang ada di sampingnya.

Penulis agak kaget apabila beliau menunjukkan buku mengenai perjalanan ke alam ruh, keadaan di alam barzakh dan soal-soal kematian.

Sememangnya, mengingati mati merupakan suatu tazkirah yang paling baik buat kita, sekurang-kurangnya ia dapat memandu hidup kita supaya tidak melampau dan mungkar.

Namun, seseorang yang berada dalam keadaan seperti Ahmad Lutfi, amat berbeza. Tiada jaminan mesti selamat dalam pembedahan pintasan jantung buat beliau.

"Doktor pun kata, keadaan aku amat kritikal, mereka hanya berusaha membantu, hanya Allah sahaja yang boleh selamatkan aku, hang tolong beritahu pemimpin PAS dan sahabat-sahabat, tolong doakan aku," ujar Lutfi.

Entahlah..mengenangkan Lutfi..seolah-olah jari jemari ini tidak mampu mengetuk keyboard lagi. Hanya solat hajat dan doa sahaja yang mampu ku titip buatnya.

Mudah-mudahan Allah menyelamatkannya dan terus sihat untuk kembali mengemudi Harakah. Amin.

No comments: