Tuesday, April 13, 2010

BN akur desakan Pakatan

Kerajaan Barisan Nasional yang terbukti terbabit menggunakan khidmat perunding zionis Yahudi Israel berada dalam keadaan yang amat terdesak sehingga wujud ura-ura khidmat APCO Worldwide akan ditamatkan.

Khidmat APCO yang digunakan khususnya untuk mempromosikan 1Malaysia, serta terbabit merancang strategi komunikasi bagi memulihkan imej Umno-BN yang tercalar teruk selepas Pilihan Raya Umum 2008, ternyata menjadi liabiliti yang besar terhadap kerajaan.

Difahamkan, tindakan menamatkan perkhidmatan APCO yang dibuat secara perjanjian bertulis tahun lalu, didorong oleh kebimbangan penolakan rakyat kepada BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Malah ada kajian rambang yang menunjukkan bahawa lebih 80 peratus rakyat Malaysia, menolak pembabitan syarikat Israel dalam negara.

Isu ini ternyata menjadi penyebab utama keseluruhan jentera kerajaan dan BN yang dipimpin Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak diragui keseluruhan rakyat Malaysia, selepas pendedahan mengenainya dibuat Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 30 April 2010.

Usaha untuk mempertahankan kerajaan BN dan kredibiliti PM yang dikaitkan secara rasmi dengan Israel di Dewan Rakyat menemui jalan buntu apabila ia hampir-hampir melumpuhkan persidangan Parlimen.

Anggota-anggota Parlimen Pakatan Rakyat memberikan tentangan yang amat hebat menolak pembabitan APCO, manakala wakil-wakil rakyat Umno-BN, jelas tidak mampu mempertahankan kerajaan.

Isu ini menjadi sangat kritikal, kerana ia menjadi punca Ahli Parlimen Pakatan Rakyat digantung Dewan, menerima amaran keras Speaker dan Anwar sendiri hendak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk digantung oleh BN.

Anwar ternyata tidak mahu mengalah, apabila 6 April lepas beliau terus membuat pembongkaran yang memalukan kerajaan apabila memperolehi bukti-bukti terperinci wujudnya syarikat perisik Israel di Bukit Aman, yang berpangkalan di Singapura dan Israel.

Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Hussein di Putrajaya, 9 April mengakui bahawa wujudnya masalah dengan firma komputer yang mengendalikan perisiannya di Bukit Aman dan telah mengarahkan perkhidmatan berkenaan ditamatkan.

"Sebagai rekod, kontrak dengan syarikat Asiasoft telah ditamatkan,” katanya.

Berkaitan dengan itu, maklumat daripada sumber-sumber kerajaan mendakwa kontrak perunding media dan perhubungan awam APCO Worldwide Sdn Bhd dipercayai tidak akan diperbaharui apabila ia berakhir pada 4 Ogos depan.

"Beliau (PM) kurang senang dengan cara mereka menangani kontroversi yang melanda baru-baru ini dan kini menjadi liabiliti," kata sumber itu.

Sumber berkata, keputusan Najib untuk menamatkan khidmat Apco mungkin dilihat bagi mengurangkan tekanan terhadap kerajaan BN kerana firma antarabangsa itu didakwa ada kaitan dengan Israel.

"Namun hakikatnya perdana menteri dikatakan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka," katanya.

Media melaporkan, dipercayai Najib dikatakan amat tidak berpuas hati dengan khidmat APCO khususnya berhubung persiapan mereka ketika beliau diwawancara oleh Associated Press semasa lawatannya ke Beijing, Jun lalu yang ditanya mengenai pembunuhan model dan penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Soalan yang dilontarkan tidak diduga sama sekali dan PM dikatakan tidak bersedia walaupun beliau mampu menanganinya dan berjaya berseloroh.

Difahamkan, kehadiran wakil APCO yang diuruskan orang kepercayaan Najib, Omar Mustapha Ong, menjadi penyebab utama ketidak-selesaan kalangan pegawai-pegawai Najib dan kakitangan kerajaan di Tingkat 4 JPM, Putrajaya.

No comments: