Wednesday, April 28, 2010

Bahaya Zionisme meresapi Umno-BN

Negara kita yang tercinta, kini berada di ambang ancaman yang amat berbahaya akibat kebuasan nafsu pemimpin-pemimpin Umno-Barisan Nasional yang sedang kemaruk untuk mengekalkan kuasa.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak seharusnya tidak memutarbelitkan fakta yang sudah diperakui oleh kerajaan pimpinannya, iaitu menggunakan khidmat perunding Yahudi Zionis APCO Worldwide dengan bayaran terkini RM77 juta sejak setahun lepas.

APCO Worldwide pada asasnya adalah syarikat komunikasi yang digunakan untuk menjernihkan imej Umno-BN yang tercalar teruk pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Peranannya sekarang sudah menjadi begitu besar. Ia menjadi penasihat utama kepada PM untuk membentuk imej baru, memulihkan persepsi rakyat dan menggunakan pelbagai taktik dan strategi.

Oleh kerana APCO sendiri merupakan sebuah syarikat Yahudi Zionis, maka ia tidak boleh lari daripada menggunakan pendekatan ala Zionisme yang terkenal amat licik, ganas dan tidak berperikemanusiaan.

Zionisme menggunakan pendekatan 'matlamat menghalalkan cara' dan menganggap semua penentangnya sebagai ghayyim (hina) yang mesti dimusnahkan walau sekejam mana sekalipun.

Dikhuatiri pendekatan sebegini yang menjadi pegangan Umno-BN, demi untuk mengekalkan kuasa yang mereka nikmati selama lebih 50 tahun dalam negara.

Dikhuatiri pemimpin Umno-BN akan menggunakan pendekatan 'matlamat menghalalkan cara' untuk memusnahkan penentang-penentangnya yang terdiri daripada Pakatan Rakyat.

Elemen-eleman nasihat Zionisme sudah mulai subur dalam negara. Ia sudah menjarah minda pemimpin Umno. Ia sudah dipraktikkan oleh media tali barut Umno-BN dengan sewenang-wenangnya.

Khususnya di Hulu Selangor, Umno-BN memainkan kononnya kesucian calon Pakatan Rakyat tercemar, media tali barut membesar-besarkan cerita mengenai seorang individu, sedangkan bertimbun-timbun manusia Umno yang jauh lebih rosak dan tercemar disembunyi dan dilindungi.

Mereka merasuah rakyat secara terang-terangan, mengagihkan wang, menabur janji pembangunan, memeras ugut penyokong Pakatan Rakyat dengan sewenang-wenangnya akibat kemaruk kuasa.

Mereka cuba menipu rakyat, membohongi rakyat, memperbodoh-bodohkan rakyat, bahawa kononnya merekalah parti yang memperjuangkan nasib rakyat.

Namun, rakyat yang terpelajar, rakyat yang cerdik tidak akan tertipu. Yang tertipu hanyalah rakyat yang minda mereka tertutup, mereka berada jauh dari arus pembangunan, mereka dibiarkan miskin dan susah, agar mereka mudah diperas ugut.

Ayuh pendukung Pakatan Rakyat, atas nama keadilan Islam, atas nama demokrasi, atas nama hak asasi dan kebebasan, kita bangkit menentang kemungkaran ini. Kita bangkit menentang kefasadan yang berlaku akibat nasihat Yahudi Zionis ini.

Kita tidak sama sekali harus membenarkan negara dijajah oleh Yahudi Zionis. Kita adalah bangsa yang bermaruah, kita adalah bangsa yang mempunyai susur galur budaya yang amat murni.

Kita menolak kekejaman, kita menolak manipulasi, kita menolak pengaruh fahaman Yahudi Zionis yang dibawa oleh Umno-BN dalam negara. Jangan sesekali kita berundur walaupun kita terpaksa berhadapan dengan rintangan yang lebih besar di hadapan nanti.

Kita harus bekerja lebih kuat dan gigih, menyatupadukan gerombolan Pakatan Rakyat, mendidik rakyat untuk lebih prihatin dan peka untuk terus menolak BN pada PRU ke-13 nanti.

PRK Hulu Selangor - Pesan Tok Guru


Sebagaimana kita maklum, keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April lalu telah berpihak kepada Barisan Nasional. Sementara Pakatan Rakyat pula berjaya mempertahan undi yang diperolehi pada 2008 lalu.

Sekadar ingatan, pada pilihan raya 2008 Pakatan Rakyat mendapat 23,177 undi dan pilihan raya kecil ini mendapat 23,272 undi. (Gambar- Penulis bersama Tok Guru di Dewan Dato' Abdul Hamid, Batangkali 24 April lepas) Bermakna jumlah undi Pakatan Rakyat tidak berkurang malah bertambah 95 undi.

Berdasarkan pilihan raya kecil ini, kenapa keputusannya jadi begitu? Sudah tentu di pihak Pakatan Rakyat ada kelemahannya menyebabkan tidak mencapai undi majoriti.

Sebaliknya, pihak Barisan Nasional pasti ada kekuatannya menyebabkan mereka menang dan mencapai undi majoriti.

Atas dua nilai itu, segala kelemahan yang ada di sebelah Pakatan Rakyat, maka kita hendaklah sedia memperbaiki dan mengambilnya sebagai pengalaman. Paling penting untuk digunakan bagi mempersiapkan pasukan lawan menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Begitu juga, segala kekuatan yang ada di pihak Barisan Nasional hendaklah dijadikan asas kajian dan disesuaikan dengan keupayaan Pakatan Rakyat. Malah harus jadikan ikutan demi memantapkan jentera pilihan raya untuk berdepan dengan Barisan Nasional nanti.

Pengalaman Pengkalan Pasir

Ukuran pilihan raya kecil Hulu Selangor mungkin sesuai dibandingkan dengan pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada Disember 2005. Keputusannya sama, iaitu PAS telah kalah sebanyak 134 undi. Namun yang penting ialah pengajaran diperolehi daripada kekalahan itu telah mendorong kepada gerak kerja mempersiapkan jentera, terutama pendaftaran pemilih dan program cakna rakyat.

Hasilnya pada pilihan raya umum 2008, PAS kembali meraih kemenangan besar mencecah majoriti lebih 2,348 undi. Wajarlah pihak Pakatan Rakyat di Selangor membina kembali imej kalah itu kepada matlamat kemenangan.

Terlodeh kekotoran Umno

Kempen kotor Barisan Nasional memburuk-burukkan Zaid adalah gambaran strategi kempen bebal pihak Barisan Nasional yang akhirnya memabukkan pemimpin Umno-Barisan Nasional sendiri denga isu minum arak. Sebagaimana didedahkan oleh rakan-rakan kita dari KeADILan yang pernah ’tidur sebantal’ dengan pemimpin itu, hanya Tun Abdullah Ahamad Badawi (Pak Lah) sahaja yang dikatakan tidak terlibat dengan gaya hidup yang memabukkan itu.

Pak Lah yang diketahui tidak minum arak itu pun turut dilodehkan sendiri oleh Umno. Sedangkan minum arak itu adalah ummul kabir (ibu bagi segala dosa besar).

Semuanya, sekaligus mendedahkan sebahagian besar perangai pemimpin mereka, dan ini mencerminkan pegangan longgar Islam pemimpin Umno yang boleh dipanggil Islam Umno.

Atas pendedahan ini, sukacita dinyatakan sikap PAS yang tidak bersetuju untuk berbaik dengan Umno amatlah tepat.

Perjuangan Islam sesuai bersama Pakatan Rakyat

Sesungguhnya, pendekatan kempen Pakatan Rakyat telah memberi ruang kepada PAS mendedahkan Islam. Ini kerana rakan-rakan parti Pakatan Rakyat adalah parti yang memperjuangkan bangsa dan tidak berasaskan Islam. Malah, parti-parti rakan Pakatan Rakyat dilihat sama dengan perjuangan parti-parti politik di negara-negara Eropah yang jelas tidak memperjuangkan Islam.

Hakikat parti yang tidak memperjuangkan Islam ialah parti tidak akan membawa perjuangan ke arah mentakwakan Allah. Sedangkan perjuangan Islam adalah bermatlamat membawa anggotanya bertakwa dari segi akidah, ekonomi, muamalat, munakahat, perundangan dan bertakwa dalam serba-serbi kehidupan.

Oleh sebab itu, bila manusia tidak didedahkan dengan Islam melalui aktiviti parti atau program kerajaan, bagaimana kita nak bawa manusia itu mengenali diri dan mengenal tuhan? Jauh sama sekali bagi manusia untuk memahami asas-asas martabat diri di dunia mahupun di akhirat.

Kepada rakan Pakatan Rakyat, terimalah pendekatan Islam yang dibawa PAS ini sebagai isi perjuangan yang boleh melengkapkan keharmonian masyarakat berteraskan agama.

Tazkirah kiamat

Sebenarnya rangkaian perjuangan politik Islam hendaklah dikaitkan dengan dunia dan akhirat. Merujuk firman Allah SWT (al-Waqiah 56:3) bermaksud, “Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar) dan meninggikan (golongan yang taat).” Justeru itu, setiap orang harus ingat bahawa Allah berkuasa penuh di akhirat nanti. Maka Allah akan merendahkan pangkat dan kedudukan orang-orang yang didapati ingkar terhadap perintah-Nya. Sebaliknya Allah akan meninggikan pula orang yang taat kepada Allah di akhirat kelak. Sehubungannya, tanggungjawab parti yang memperjuangkan Islam hendaklah memupuk kefahaman kepada masyarakat agar menerima kebenaran Islam dan menerimanya sebagai satu sistem hidup yang menyeluruh di dunia sehinggalah ke akhirat.

Begitu pula, firman Allah SAWT (al-Hasyri 59:19) bermaksud, "dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka)."

Natijah perjuangan yang berlandaskan nafsu tanpa dikukuhkan dengan akal akidah Islam pasti tidak menjadi amalan yang boleh menyelamatkan kita di akhirat kelak. Malah, Allah SWT mengecapkan para pejuang nafsu itu sebagai puak fasik dan penentang Allah yang tegar.

Sehubungan itu, peringatan penting untuk para pejuang parti politik sekalian, hendaklah kita memastikan perjuangan yang didukung itu boleh mengingati kita kepada Allah sepanjang masa. Janganlah jadi seperti sesetengah pejuang parti yang langsung tidak ingin menyentuh aspek agama dalam program mereka. Maka janganlah tiru perjuangan orang-orang yang lupa diri dan melupakan Allah.

Ingatlah, kita akan menerima bala daripada Allah apabila kita lupa diri, tak ingat dosa-pahala dan tidak langsung mengingati Allah. Sebenarnya, sifat lupa diri dan melupakan Allah termasuk dalam sifat orang-orang yang fasik.

Janganlah semata-mata kita berjuang dan berpolitik menyebabkan kita tergolong ke lembah kefasikan. Semoga Allah menyelamatkan umat Islam daripada karenah perjuangan yang fasik.

Wassalam.

Al-Faqir,
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Mursyidul Am PAS
merangkap Menteri Besar Kelantan.

Tuesday, April 27, 2010

Terima kasih kepada semua penyokong Pakatan Rakyat


Meskipun kalah kepada Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April lalu, namun Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyokong, pengundi dan petugas yang membantu Pakatan Rakyat.

Ujar Anwar, parti rakan dalam Pakatan Rakyat banyak membantu sebelum, semasa dan selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor, dan kerjasama yang erat ini semakin utuh.

Apa yang dapat disaksikan dari kempen di Hulu Selangor sebenarnya Pakatan Rakyat komited untuk memperjuangkan hak rakyat, kebebasan, keadilan dan kejayaan kepada rakyat, tidak seperti Umno-BN yang hanya menabur janji kosong, katanya.

Kemenangan BN kata Anwar, dicemari dengan taktik kotor yang sejak dahulu diamalkan mereka bagi mencapai kemenangan walaupun terpaksa melanggari prinsip demokrasi.

Mana tidaknya, lebih RM100 juta ditabur di Hulu Selangor dan seluruh menteri dan jabatan kerajaan digunakan untuk kempen di sana, katanya,

Malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri tidak memainkan peranan yang telah diamanahkan secara jujur telus dan saksama dalam pilihan raya kecil tersebut, katanya.

Selain itu pihak berkuasa turut menekan dan bertindak ke atas penyokong Pakatan Rakyat sehinggakan ada kalangan pengundi bimbang dengan situasi tersebut di tempat mengundi, katanya.

Tindakan Umno-BN menggunakan jentera kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan kemenangan sebenarnya hanya memburukkan lagi persepsi masyarakat kepada kerajaan, kata Anwar.

Mereka (Umno-BN) tidak serik dan tidak belajar melalui pilihan raya umum ke-12 yang lalu, dan pastinya rakyat akan sentiasa ingat akan kebobrokan ini pada pilihan raya umum akan datang untuk mengubah kerajaan yang ada, ujar Anwar tekad.

Monday, April 26, 2010

Doa untuk Ahmad Lutfi


BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Bukan mudah untuk berada di persimpangan antara dua alam. Tambahan pula para doktor memberitahu secara jujur, bahawa hanya Allah sahaja Yang Berkuasa untuk menentukannya sama ada terus hidup atau menerima takdir sebaliknya.

Itulah yang dialami oleh Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, 47, yang bakal mengalami pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Bandar Tun Razak, 26 April ini.

Penulis bersama wartawan Wan Nordin Wan Yaacob dan pembantu khas Lutfi, Khairul Hartimi menziarahi beliau di Klinik Pakar HUKM, pada hari Jumaat 24 April lepas, buat kali terakhir untuk beliau mempersiapkan diri untuk menjalani pembedahan.

Beliau ditemani isterinya, Siti Hawa Samsam dan anak sulungnya Ahmad Luqman membuat pendaftaran kemasukan ke wad.

Lufti menyambut kami dengan senyuman. Kelihatan mukanya sedikit pucat. Seluruh tangan dan kakinya seram sejuk. Memang, untuk menghadapi saat-saat kritikal dalam kehidupan bukannya mudah.

Penulis dan rakan-rakan yang lain seolah-olah tidak mampu menatap wajahnya lebih lama. Kami tidak mahu menunjukkan jiwa kami lemah. Kami mesti kuat untuk memberikan beliau kekuatan dan keyakinan untuk menjalani pembedahan.

Walaupun, pada saat sebegini, terasa seperti jantung direntap-rentap. Penulis sendiri pun tidak mampu untuk menjadi sekuat Lutfi dan keluarganya.

Sebelum melangkah pulang dari HUKM, penulis memeluknya dan mendoakan agar beliau selamat dalam pembedahan. Tanpa disedari, beliau menitiskan air mata.

Lutfi tidak pernah sebegini lemah. Penulis mengenalinya lebih 20 tahun. Lutfi adalah seorang pejuang yang gagah dan kuat. bermacam-macam dugaan, tekanan, tahanan dan pelbagai rintangan yang sudah beliau hadapi.

Beliau harus kuat menghadapi takdir kali ini. Penyakitnya begitu serius, tiada pilihan melainkan pembedahan. Entahlah, semuanya terserah ke hadrat Ilahi.

Sebelum ini, sewaktu penulis mengunjungi beliau di kediamannya di Taman Bukit Indah, Ampang, pada hari Rabu 21 April, Lutfi memberitahu bahawa kes seperti beliau agak unik. Beliau mengalami penyakit kencing manis yang amat teruk, selain ketiga-tiga injap utama jantungnya hampir tertutup terus.

Beliau tidak ada pilihan. Beliau memerlukan pembedahan segera. Pembedahan pun, penuh dengan segala risiko. Menurutnya, kebiasaannya di HUKM, pakar-pakar boleh membuat pembedahan jantung dua orang dalam satu hari. Tetapi oleh kerana beratnya keadaan beliau, maka pada hari itu dijadualkan pembedahan untuk beliau seorang sahaja.

"Doktor kata kes seperti aku memang tinggi risiko. Ada orang, selepas pembedahan tak keluar-keluar (terus disimpan), ada orang selamat dan dibawa ke wad.

"Doktor cakap terus terang, doktor minta aku buat persiapan, mental dan spiritual," ujarnya sambil mengemas buku dan al-Quran yang ada di sampingnya.

Penulis agak kaget apabila beliau menunjukkan buku mengenai perjalanan ke alam ruh, keadaan di alam barzakh dan soal-soal kematian.

Sememangnya, mengingati mati merupakan suatu tazkirah yang paling baik buat kita, sekurang-kurangnya ia dapat memandu hidup kita supaya tidak melampau dan mungkar.

Namun, seseorang yang berada dalam keadaan seperti Ahmad Lutfi, amat berbeza. Tiada jaminan mesti selamat dalam pembedahan pintasan jantung buat beliau.

"Doktor pun kata, keadaan aku amat kritikal, mereka hanya berusaha membantu, hanya Allah sahaja yang boleh selamatkan aku, hang tolong beritahu pemimpin PAS dan sahabat-sahabat, tolong doakan aku," ujar Lutfi.

Entahlah..mengenangkan Lutfi..seolah-olah jari jemari ini tidak mampu mengetuk keyboard lagi. Hanya solat hajat dan doa sahaja yang mampu ku titip buatnya.

Mudah-mudahan Allah menyelamatkannya dan terus sihat untuk kembali mengemudi Harakah. Amin.

Wednesday, April 21, 2010

Kamalanathan tidak relevan buat Hulu Selangor

PILIHAN RAYA Kecil Parlimen Hulu Selangor yang bakal diadakan 25 April ini merupakan antara pilihan raya yang paling tercemar dan korup.

Ia dipenuhi dengan taktik kotor Umno-Barisan Nasional, memburuk-burukkan keperibadian calon Pakatan Rakyat, Dato' Zaid Ibrahim.

Ia juga merupakan siri penerusan kecaman dan kata nista terhadap Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, pertuduhan yang dijaja oleh juak, pecacai dan tali barut Umno-APCO pada setiap kali pilihan raya.

"Mengapa setiap kali pilihan raya mesti keluar cerita Anwar?" getus seorang wanita di sebuah restoran kepada rakannya yang sedang membaca akhbar arus perdana.

"Entahlah, nampak sangat kerajaan takut dengan Anwar," komen rakannya yang jelas muak dengan trend politik Malaysia.

Isu mengenai Anwar Ibrahim begitu menarik perhatian ramai. Untuk membunuh karektor politik Anwar, Umno-BN terpaksa mengupah ramai pecacai, mengeluarkan belanja yang cukup besar untuk membuat 'pembelian' pemimpin dan penyokong KeADILan.

Setiap kali pilihan raya maka keluarkan pecacai-pecacai 'mencari makan', macam ulat keluar dari lubang selepas hujan. Mereka memainkan skrip lama, kononnya bertaubat dari menentang kerajaan, memohon maaf kerana 'tersilap' menyokong Anwar dan sebagainya.

Kejahatan Umno-BN ini ditambah dengan usaha memburukkan kredibiliti KeADILan melalui pendekatan smear campaign. Mereka menggunakan broker untuk shopping pemimpin KeADILan yang kecewa.

Lepas satu persatu dibeli Umno-BN. Terdapat ciri-ciri aneh dari kalangan mereka yang keluar parti KeADILan ini. Kebanyakannya membaca skrip, duduk di sebelah bekas Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Salehudin Hashim dan memuji Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Seolah-olahnya kenyataan mereka sudah diskripkan dan diuruskan oleh seorang broker.

Banyak mana yang dibelanjakan untuk membeli 'katak-katak politik' ini setiap 'seekor' tidak diketahui.

"Sekarang ini baru ana faham maksud teks usrah yang kami baca bersama naqib, Ustaz Nakhaie Ahmad di tahun dua universiti Golongan yang gugur di jalan dakwah," kata Setiausaha Agung KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail kepada Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, bersama penulis di lobi Parlimen.

"Tapi selepas itu dengan naqib-naqib pun tinggalkan perjuangan," katanya sambil tergelak besar kami semua.

Saifuddin merujuk kepada betapa lemahnya iman seorang pejuang, kurangnya tarbiah pada jiwa mereka sehingga mereka sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan mengkhianati parti demi kepentingan diri.

"Bagi saya Zaid merupakan contoh seorang yang sudah ditarbiah," kata Naib Presiden KeADILan, Mohd Azmin Ali di suatu sudut yang lain.

"Masa duduk dalam Umno, beliau dirosakkan dan masuk KeADILan, menerima tarbiah, meninggalkan perkara-perkara yang tidak elok.

"Jika beliau terus dalam Umno, barangkali beliau akan terus mengikut cara mereka. Bagi saya Zaid sekarang adalah seorang yang suci dan harus disokong," katanya.

Apa yang jelas, Umno-BN terpaksa membelanjakan peruntukan, wang rakyat dengan begitu besar untuk memenangi kerusi Hulu Selangor yang dikatakan do or die bagi masa depan mereka.

Peruntukan besar ini merupakan rasuah terang-terangan, digunakan untuk membeli orang-orang KeADILan supaya keluar dan mencemuh Anwar serta merosakkan peluang Zaid, membeli undi rakyat dengan merasuah pembinaan Institut Pengajian Tinggi, membina sekolah, memberi peruntukan kepada masjid, mengeluarkan 'bonus' kepada peneroka dan juga orang Asli.

Umno-BN kelihatan begitu agresif dengan bantuan media tali barut mereka. Mereka membuat apa cara sekalipun yang boleh untuk menang. Kempen dengan cara yang buruk, memfitnah dan melaga-lagakan pemimpin KeADILan, merasuah rakyat, tidak kira apa sahaja cara.

Hakikatnya mereka tidak boleh menipu rakyat. Jika Dato' G Palanivel, selama empat penggal berjaya menjalankan tugas dengan baik, sudah tentu beliau akan diterima Umno Hulu Selangor dan rakyat setempat.

Bukan sekadar Palanivel, kawasan Hulu Selangor merupakan kawasan majoriti Melayu. Ia sudah menjadi kawasan pertelagahan Umno dengan MIC. Umno sudah lama menuntut kerusi Hulu Selangor.

Bagaimana P Kamalanathan hendak boleh menjalankan tugas jika Umno bahagian menolak MIC? Bagaimana calon BN boleh berfungsi jika dalam partinya, iaitu MIC pecah banyak kumpulan?

Ada kumpulan Palanivel. Ada kumpulan Mugilan. Ada kumpulan Samy. Umno pun tidak menerima MIC. Kamalanathan tidak relevan bagi rakyat Hulu Selangor.

Beliau tidak layak diundi. Dalam partinya tiada kesatuan. Sesama komponen BN tiada persefahaman. Hakikatnya semuanya berada dalam keadaan yang berselerak.

Mereka hanya beruntung kerana ada media tali barut yang boleh digunakan untuk menutup 'bangkai gajah.'

Undilah calon KeADILan dari Pakatan Rakyat!

Jangan cabar saya dedah menteri Umno kaki botol dan kaki judi


DATO' ZAID IBRAHIM tidak terkejut dengan serangan peribadi yang disasarkan kepadanya oleh Barisan Nasional. Walaupun beliau sedar usaha Umno-BN itu boleh membunuh karier politiknya, beliau bersikap profesional, tidak mahu membalas balik dengan menyebut nama-nama menteri Umno yang kaki botol serta tahi judi.

Baginya, beliau sudah sedar dan insaf dari kesalahannya. Kesedaran itu mungkin tidak timbul jika beliau masih bersama Umno. Ikuti pengakuan ikhlas beliau dalam wawancara eksklusif bersama wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN dan Harakahdaily, NAZRI ABDULLAH di kediamannya, di Tropicana, Damansara 19 April lepas.


HARAKAH: Nampaknya dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor ini, Dato' diserang dengan begitu hebat. Umno-Barisan Nasional melalui media tali barutnya membuat serangan peribadi dengan mendakwa Dato' seorang 'kaki botol', apa komen Dato'?

DATO' ZAID IBRAHIM: Ingin saya perjelaskan bahawa pendirian saya dalam hal ini, saya suka berterus terang. Saya sebenarnya tidak suka mengungkit kisah yang lama. Semasa saya dalam Umno, ramai pemimpin Umno yang meminum minuman keras, tetapi semua ini, semasa dalam Umno tidak dipersoalkan.

Tetapi selepas saya keluar Umno, menyertai Pakatan Rakyat, peribadi dan karektor saya mula dipersoalkan.

Saya sudah berubah, perkara-perkara yang tidak baik semasa dalam Umno, sudah saya tinggalkan.

Saya sudah membentuk keperibadian yang baik dan saya mahu menjadi wakil rakyat yang bertanggungjawab dalam menjalankan amanah.

Saya serahkan kepada rakyat, khususnya di Hulu Selangor, untuk menilai sikap saya dan sifat saya.

Dalam kehidupan ini bagi saya, yang pentingnya ialah, adakah kita sudah sedar dan insaf. Itulah beza saya dengan menteri Umno. Saya berterus terang dan saya bukan hipokrit.

Umno-BN juga menuduh saya sebagai kaki judi. Ini sesuatu yang tidak benar. Yang kuat berjudi di kasino adalah menteri-menteri Umno. Sehingga ada yang berhutang berjuta-juta ringgit tidak bayar. Mereka terlepas kerana mereka ini Umno. Tolong jangan cabar saya dedahkan nama-nama mereka ini.

Saya tidak mahu menyebut nama-nama bekas kawan-kawan saya ini. Saya tidak mahu mengaibkan mereka kerana saya tidak mahu mengikut jejak langkah Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan rakan-rakannya, yang giat menyerang peribadi saya.

Itulah jawapan saya terhadap perkara-perkara yang ditimbulkan oleh media BN.

Apakah yang mendorong mereka membuat serangan peribadi terhadap Dato'? Apakah ianya manifestasi dari kebimbangan mereka (BN)?

Mereka bimbang sebenarnya (ketawa). Jika mereka tidak bimbang, tak akanlah mereka menyerang peribadi saya sedemikian rupa. Mereka juga menyerang peribadi Anwar (Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mereka menaikkan poster Anwar, poster saya, dengan pelbagai cacian. Seolah-olahnya Zaid melawan Najib (Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak). Bukan Zaid lawan MIC.

Jelas, jentera BN yang diketuai sendiri oleh Muhyiddin, mahu mematikan karier politik saya. Cuma saya berharap rakyat di Hulu Selangor dapat memahami dan menolak usaha-usaha jahat yang dilakukan oleh BN.

Dato', sewaktu Dato' bertanding mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum 2004 di Kota Bharu. Pada ketika itu PAS dan KeADILan, dilihat tidak langsung menyerang peribadi Dato', walaupun dikatakan masyarakat di sana agak konservatif. Apa komen Dato'?

Ya. Saya amat menghargai sikap gentleman PAS dan KeADILan. Walaupun, saya tahu, PAS pun mengenali dan tahu latar belakang saya. Tiada pucuk pimpinan PAS yang menyerang saya, walaupun mungkin di akar umbi isu ini mungkin timbul.

PAS tidak menggunakan taktik menghina peribadi calon lawan. Ini amat berbeza dengan budaya politik Umno, terutama yang mereka lakukan sekarang.

Mereka menyerang peribadi saya kerana mereka takut kalah, takut kuasa mereka hilang.

Inilah petanda bahawa mereka berada dalam keadaan yang takut dan cemas dengan kuasa rakyat. Mereka tahu bahawa rakyat menolak mereka.

Pada hari penamaan calon, calon BN P Kamalanathan berkata beliau tidak mahu membuat serangan peribadi, namun TPM sendiri yang mengatakan ianya penting untuk kempen BN, komen Dato'?

Sebab itu saya katakan, saya bukan melawan MIC. Saya lawan PM dan TPM. Sebab itu juga MIC tidak berminat untuk mencungkil isu-isu peribadi. Malah saya tidak langsung mendengar sebarang cemuhan dari MIC sendiri.

Malah yang bersungguh-sungguh mencemuh saya ialah Umno. Disebabkan ketakutan mereka, mereka sanggup berceramah memaki hamun saya, mengupah media talibarut membuat beritadan rencana, mengupah bloggers Umno, seolah-olah mereka tahu benar tentang peribadi saya.

Kebanyakan serangan mereka adalah fitnah. Sehingga ada blog Umno yang mendakwa di firma guaman saya ada bar. Lebih 22 tahun saya di pejabat, tiada langsung bar seperti yang didakwa. Dituduh pula di rumah saya ada wine dan macam-macam lagi.

Isteri saya yang menguruskan rumah tangga, tak kanlah dia benarkan keadaan ini berlaku dalam rumah saya. Dia tahu peribadi saya.

Tetapi saya tidak boleh menghalang kejahatan mereka (BN). Mereka pamerkan poster, billboard yang saya memegang botol arak. Memang ini kerja jahat mereka yang takut kepada kekalahan.

Dalam PRK Hulu Selangor, ada dua calon Bebas. Satu daripada Umno, satu lagi daripada MIC. Bermakna, mereka (Umno-MIC-BN) yang berpecah sebenarnya. Apa pendapat Dato'?

MIC sendiri berpecah belah. Mereka ada banyak kem. Sekarang ini kita dengar calon bebas MIC ini menarik diri. Calon Bebas yang seorang lagi daripada Umno. Ini menunjukkan bahawa Umno sendiri memang tidak puashati apabila BN meletakkan calon dari MIC.

Tetapi mereka cuba menutup kelemahan ini. Orang-orang atasan BN tidak mengetahui masalah orang bawahan yang tidak mahu menerima calon MIC.

Apa pandangan Dato' tentang dakwaan tiada kerjasama dari kalangan KeADILan dan juga keluarnya Dr Halili Rahmat hari ini?

Saya sedar tidak semua yang bersetuju dengan saya. Namun, setahu saya tidak ada yang menyerang saya. Orang yang tidak puashati macam Dr Halili kerana mungkin namanya termasuk dalam short-listed, tetapi tidak terpilih.

Mungkin ada yang mempunyai pandangan berbeza dalam KeADILan tentang pencalonan saya. Tetapi saya lihat mereka bekerja membantu saya (berkempen) sebagai sebuah pasukan.

Di sebalik serangan peribadi oleh media tali barut BN, apakah sambutan yang Dato' terima sewaktu berkempen?

Saya cukup terharu dengan sambutan rakyat. Sama ada mereka orang di bandar atau luar bandar, orang Melayu di kampung dan Felda. Juga orang Cina dan India, mereka keluar beramai-ramai menyambut kempen saya.

Saya yakin, jika tidak ada penipuan, tiada yang termakan fitnah-fitnah yang melampau, pengundi akan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

Setakat ini tidakkah serangan-serangan peribadi ini mengganggu Dato'?

Tidak ada. Tidak sama sekali. Saya pun sudah jangka apabila Muhyiddin kata mereka akan bongkar hal Zaid. Mereka ada beberapa hari lagi untuk membongkar hal-hal peribadi saya.

Seperti yang saya katakan, jika saya melakukan kesalahan. Saya tidak takut untuk meminta maaf dan memperbetulkan kesalahan saya.

Yang lebih penting, saya harap rakyat tidak terkeliru dengan tipu helah BN. Buatlah penghakiman yang sewajarnya menjelang 25 April ini.

Sama ada ia menjejaskan saya, saya dan isteri serta keluarga sudah sedia menghadapinya.

Pada saya jika kita hendak ungkit kelemahan pemimpin Umno, terlalu banyak, tetapi saya fikir, tidak usahlah berbuat demikian.

Apa pun serangan mereka. Saya berpuashati dengan sambutan dan sokongan rakyat sepanjang kempen.

Dalam kempen PRK ini, bagaimana Dato' melihat kerjasama daripada PAS dan DAP?

Saya amat berterima kasih kepada PAS kerana begitu kuat menyokong saya. Terutamanya Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Saya juga sering berbincang dengan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali.

Saya bertemu petugas-petugas PAS yang begitu gigih berkempen di pasar-pasar. Mereka datang dari seluruh negara, bekerjasama dengan PAS Kawasan Hulu Selangor.

Apa pun serangan ke atas saya, petugas-petugas PAS ini begitu gigih menangkisnya Begitu juga dengan DAP, mereka bekerja keras di kawasan bandar dan perumahan kaum Cina. Mereka bekerja siang malam membantu saya.

Malah dalam KeADILan pun, walaupun ada dakwaan pihak tertentu yang tidak membantu saya, tetapi atas arahan dan kesungguhan Ketua Umum (Anwar), saya fikir semuanya akan berjalan lancar.

Serangan-serangan peribadi yang dilancarkan ke atas Dato' kelihatannya bertujuan untuk menggugat undi orang Melayu. Apakah barangkali undi orang Melayu terhadap Dato' akan terjejas?

Saya rasa tidak. Memang ada yang tebal menyokong Umno. Saya rasa orang seperti ini sudah tentu akan percaya semua dakyah Umno.

Tetapi saya percaya, sebahagian besar orang Melayu, orang Islam, akan membuat penilaian seadil-adilnya. Saya tidak katakan permainan isu peribadi ini tidak langsung menjejaskan saya. Tetapi saya yakin ia tidak mempengaruhi kecenderungan majoriti pengundi Melayu.

Umno menjadikan Felda sebagai stronghold mereka, bagaimana Pakaran Rakyat boleh menarik sokongan orang Melayu di kawasan tersebut?

Saya berkesempatan untuk mengunjungi beberapa kawasan Felda. Saya bertemu dengan peneroka, orang-orang tua dan anak-anak muda, mereka memberikan sambutan yang baik.

Jika hendak dibandingkan dengan keadaan dahulu, amat jauh berbeza. Sekurang-kurangnya ketika saya berucap, mereka mahu mendengar.

Saya sempat beberapa kali berceramah sepentas dengan Dato' Seri Hadi dan Dato' Seri Mohammad Nizar Jalamuddin.

Alhamdulillah, pada saya, saya amat berpuashati kerana mereka menyambut saya dengan begitu baik, mereka mendengar apa yang hendak saya sampaikan.

Bagaimana dengan sokongan pengundi Cina?

Saya mendapati orang Cina begitu bersemangat memberi sokongan kepada saya. Mungkin kerana mereka mengingati jasa-jasa saya sewaktu dalam parlimen dahulu. Saya membela beberapa orang Cina yang dikenakan tahanan di bawah ISA.

Saya juga mempertahankan kepentingan kaum mereka, sekolah mereka. Malah ada kalangan pemimpin MCA yang takut untuk bercakap di Parlimen, meminta saya berucap dalam hal-hal berkaitan kaum Cina.

Saya percaya orang Cina tidak akan lupa perkara ini.

Pengundi India pula bagaimana?

Orang India di Hulu Selangor, secara keseluruhannya kemiskinan mereka amat meluas. MIC telah gagal membantu memperjuangkan nasib kaum mereka sendiri. MIC gagal menjadi pembela kaum India.

Bukan sekadar kerana skandal Maika Holdings, MIED dan sebagainya semata-mata. Kerana MIC sendiri berpecah kepada banyak kumpulan besar. Ada kumpulan Samy Vellu, ada kumpulan G Panivel, ada juga kumpulan Subramaniam.

Apabila kumpulan-kumpulan ini dalam satu parti berpecah, maka sukar untuk kaum India menyuarakan permasalahan mereka.

Sebab itu saya menyeru kepada orang-orang India di Hulu Selangor, supaya kali ini beri peluang kepada orang Melayu pula untuk membela nasib mereka. Sudah berbelas-belas tahun wakil rakyat berketurunan India gagal membantu, maka beri peluang orang Melayu pula yang jadi wakil rakyat.

Dalam lawatan saya ke ladang dan perkampungan kaum India. Sambutan mereka terutamanya dari kalangan kaum wanita cukup baik. Malah mereka bercerita tentang permasalahan mereka, persekolahan anak-anak dan sebagainya.

Selama ini MIC pun tidak pernah mengambil berat tentang mereka.

Kempen PRK begitu singkat, apa fokus Dato' pada hari-hari terakhir ini?

Fokus saya ialah untuk cuba bertemu dengan seramai mungkin pengundi Hulu Selangor, kerana itulah sahaja cara saya untuk memperbaiki imej buruk yang dijaja BN terhadap saya.

Saya perlu mengatasi semua fitnah ini walaupun berjumpa seketika dengan pengundi. Dalam setiap pertemuan, saya jelaskan mengapa saya sanggup membela nasib mereka dan apa sejarah perjuangan saya.

Saya amat mengharapkan Zaid yang dikenali orang Hulu Selangor berbeza dengan Zaid yang orang Umno kenal.

Mudah-mudahan 25 April ini mereka memberi undi kepada calon Pakatan Rakyat dari KeADILan.

Monday, April 19, 2010

Bahana upah APCO

Malaysia sertai 'blok' sokong Israel, sekat minyak ke Iran

PAS menyelar Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kerana tunduk dengan tekanan Amerika Syarikat untuk menekan Iran, sekaligus menyertai blok penyokong Israel.

Tindakan Kerajaan Malaysia menghentikan bekalan minyak mentah ke Iran seperti yang diumumkan Najib di AS membuktikan kini pentadbiran negara pro kepada negara haram Israel.

Dengan keputusan ini, membuktikan bahawa perjanjian Kontrak Malaysia dengan APCO Worldwide berjaya menjadikan pentadbiran negara turut serta dalam perang tekanan sekutu Israel ke atas Iran, katanya.

Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Luar PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, sebagai sebuah negara Islam patut malu kepada Venezuela dan Bolivia yang secara berani menentang 'hegemoni'. AS serta Barat dan terus menjalin hubungan dagang dengan Iran.

"Apakah kunjungan Najib ke Washington untuk menjadi pak turut kepada AS?
" Apakah APCO Worldwide yang menjadi konsultan kerajaan turut mengatur pertemuan Najib-Barrack Obama, bertanggungjawab menasihat kerajaan Malaysia menamatkan penjualan gas ke Iran?" soal beliau.

Syed Azman yang juga AJK PAS PUsat berkata, Malaysia seolah-olah lupa bahawa syarikat gergasi negara, Petronas telah bertapak lebih 20 tahun lamanya di Iran.

"Petronas telah mengaut keuntungan berpuluh bilion Dollar dengan hubungan minyak serta gas dan hubungan dua hala Malaysia-Iran begitu baik dan tidak pernah ada tekanan walaupun menghadapi ancaman sekatan dari AS.

"Kita amat kesal dengan tindakan Najib, kerana Iran merupakan satu-satunya negara Islam yang aktif membantu Palestin. Pada kita ancaman nuklear Iran hanya helah AS bagi melindungi kepentingan strategik mereka di Teluk Parsi," tegasnya.

Isu sebenar kata beliau, ialah AS mahu menjaga dan melindungi 'keselamatan Israel' dari ancaman Iran.

Israel sebenarnya kata beliau, menjadi ancaman dunia kerana memiliki senjata nuklear dan tidak pernah menandatangani perjanjian 'nonproliferation nuclear treaty' sedangkan Iran menandatangan perjanjian tersebut.

"Apakah selepas ini Kerajaan Malaysia akan menamatkan perjanjian antara Petronas dengan Sudan yang turut disenaraikan sebagai 'negara pengganas oleh AS?" soal beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaffar berkata, tindakan Najib menghentikan bekalan minyak mentah ke Iran membayangkan pentadbiran negara hari ini seolah-olah sudah duduk dalam blok negara-negara yang menyokong Israel.

"Ini kerana Israel sebenarnya memusuhi Iran, dan hanya Iran sahaja yang menjadi ancaman kepada Israel.

'Kita kecewa dengan tindakan ini kerana seolah-olah mahu membawa negara ini kepada menyokong negara yang kejam (Israel) yang diketahui akan kerakusan mereka membunuh rakyat Palestin," katanya.

Akibat rasa terancam dengan pembangunan tenaga nuklear Iran, Israel menggunakan Amerika Syarikat untuk mengumpulkan kekuatan mencari sokongan menekan Iran, katanya.

Akhirnya ia membawa kerjasama yang kononnya erat bersama Amerika, dan hasil lobi yang dibuat APCO, Malaysia berada bersama-sama negara yang menyokong Israel, katanya.

"Ini satu yang memalukan kepada kita sedangkan kita sebagai sebuah negara Islam dan menyertai OIC," ujar Kamarudin yang juga AJK PAS Pusat.

Wednesday, April 14, 2010

Zaid ajak rakyat Hulu Selangor tolak BN


DATO' Zaid Ibrahim mengakui beliau dihubungi Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor lebih awal. Sebagai ahli parti yang taat, beliau membuat persiapan dengan mengadakan temuramah di kediamannya lebih awal dari tarikh pengumuman. Tetapi jika parti memilih orang lain sebagai calon, beliau menerimanya dengan hati yang terbuka. Ikuti wawancara wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN dengan beliau di Tropicana Golf Resort, 11 April lepas.

HARAKAH : Boleh Dato' jelaskan latar belakang.

ZAID IBRAHIM : Saya dilahirkan di Kampung Chap, Bachok, Kelantan pada tahun 1951. Dilahirkan dalam keluarga kampung biasa di kawasan pedalaman.
Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Marak berhampiran kampungnya, di mana saya terpaksa berjalan kaki selama sejam setiap kali pergi dan pulang dari sekolah, sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Rendah Sultan Ismail.

Apabila keluarga berpindah ke kawasan setinggan di Kota Bharu, selepas ayah saya, yang sebelum ini membuat kerja-kerja kampung sambil berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga, mula berniaga ayam di pasar besar Kota Bharu.

Semasa di darjah lima, saya menerima Biasiswa Kecil Persekutuan sebanyak RM15 sebulan berdasarkan prestasi baik pelajaran dan akibat kesulitan kewangan keluarganya.

Inilah saat paling menggembirakan dalam hidup saya, kerana tanpa bantuan tersebut, saya berkemungkinan tidak dapat meneruskan persekolahannya.

Menyedari hakikat kemiskinan keluarga, saya berusaha gigih dalam pelajaran, Alhamdulillah saya berjaya ke salah sebuah sekolah menengah yang terbaik di Kota Bharu, Kolej Sultan Ismail.

Saya mahu terus timba ilmu, meluaskan pergaulan dan mencari pengalaman baru di negeri orang, berbekalkan duit saku RM 5 dari ayah, saya berpindah ke Johor Bharu, untuk meneruskan pendidikannya di Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.

Ketika itu saya berasa sedikit terpinggir. Semuanya anak-anak orang besar dan hebat. Sebagai orang luar dan pertama kali pula bergaul dengan orang-orang bukan Melayu.

Tetapi dengan galakan dari guru-guru, saya berjaya memupuk bakat berpidato sehingga mewakili sekolah sebagai pendebat Bahasa Inggeris.

Selepas di Johor Bahru, saya meneruskan pendidikan tingkatan enam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, di mana saya mula berjinak-jinak dengan bahan bacaan politik dan sastera di samping meneruskan minat berpidato dan menulis.

Selepas itu?

Saya melanjutkan pelajaran di bidang undang-undang di Institut Teknologi Mara (ITM) di Shah Alam pada tahun 1971. Di ITM, saya meneruskan minat dalam bidang berpidato dan mula aktif dalam persatuan pelajar.

Selepas menerima ijazah tiga tahun kemudian, saya bekerja sebagai eksekutif jualan di Pulau Pinang selama setahun untuk meringankan beban kewangan keluarga di kampung.

Kemudian saya ke London dengan pinjaman MARA untuk mengambil peperiksaan akhir Bar.
Akibat kesilapan di peringkat pemerosesan permohonan, pinjaman yang diterima tidak merangkumi bayaran tuisyen, saya terpaksa belajar sendiri dengan meminjam nota dari teman-temannya di sebelah malam. Namun begitu, Alhamdulillah saya lulus peperiksaan Bar dalam masa 6 bulan.

Adakah Dato' teruskan kerjaya guaman?

Ya. Selepas pulang ke tanah air, saya memulakan latihan chambering dengan syarikat guaman Shook Lin & Bok, syarikat guaman terbesar di Malaysia pada masa itu. Dari 1976-1979, saya memulakan kerjaya guamannya bersama dengan firma Raja Aziz Addruse sebelum menimba pengalaman di firma-firma lain.

Tahun 1987, saya nekad untuk tubuhkan syarikat guamannya sendiri, Zaid Ibrahim & Co (ZICO). Walau dihimpit cabaran kewangan kerana tidak mempunyai senarai pelanggan besar yang kukuh pada awalnya, selepas berjaya diterima sebagai syarikat guaman untuk UEM-Plus Highway, ZICO mula diterima oleh pelanggan korporat dalam dan luar negara.

Dengan rakan kongsi yang pintar dan setia dan reputasi perkhidmatan guaman yang cemerlang, selepas 30 tahun, ZICO kini adalah syarikat guaman terbesar di Malaysia, dengan lebih 130 orang peguam dan ratusan pekerja lain dengan pejabat cawangan di Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu. Sejurus selepas dilantik menjadi menteri, saya lepaskan kepentingan di dalam ZICO.

Bagaimana dengan penglibatan politik?

Semenjak usia remaja tatkala mula mengikut ayah mendengar ceramah-ceramah pemimpin politik era 1960-an di Kota Bharu, terutamanya sekali para pemidato PAS yang hebat.

Saya mula menjadi ahli Umno Bukit Bintang sekitar 1986 tetapi mula bergiat secara lebih aktif di Kelantan selepas pilihan raya 1990.

Tahun 2001, beliau menjadi Ketua Bahagian Umno Kota Bharu dan kemudian dipilih menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan pada tahun 2003.

Oleh kerana saya dilihat mempersoalkan kuasa pemimpin Umno, pada tahun 2005, saya digantung dari jawatan Ketua Bahagian. Namun, saya terpilih menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu dari 2004-2008.

Walaupun tidak terpilih untuk bertanding dalam pilihanraya 2008, saya terus menyuarakan pandangan kritisnya secara terbuka terhadap hala tuju BN dan masalah kepemimpinan di dalam Umno.

Sejurus selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, saya ditawarkan jawatan sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri "untuk membuat perubahan dalam sistem perundangan dan badan kehakiman".

Apa puncanya Dato' meletakkan jawatan menteri?

Tidak sampai beberapa hari selepas menjadi menteri, saya memulakan proses memohon maaf terhadap hakim-hakim yang dipecat semasa Krisis Kehakiman 1988 dan pemberian saguhati kepada mereka, walaupun dikritik hebat oleh pelbagai pihak di dalam Umno.

Namun pada September 2008, selepas 5 bulan dan 27 hari menjadi menteri, saya meletakkan jawatan atas dasar prinsip kerana tidak bersetuju dengan penahanan penulis blog Raja Petra Kamaluddin, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Saya menjadi menteri paling singkat perkhidmatannya di Malaysia, dan menteri yang benar-benar meletakkan jawatan atas dasar prinsip.

Selepas menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia tentang isu ISA pada bulan yang sama dan muncul di majlis-majlis anjuran parti pembangkang selepas itu, saya akhirnya dipecat dari Umno pada Disember 2008.

Pada bulan Jun 2009, saya menyertai Parti Keadilan Rakyat, setelah yakin akan landasan parti tersebut dalam memperjuangkan hak rakyat dan demokrasi tanpa bersandarkan pada sentimen perkauman.

Penglibatan Dato' dalam aspek lain?

Sebagai seorang yang dibesarkan dalam keluarga yang susah, saya cukup prihatin dengan masalah kemiskinan dan kebajikan rakyat.

Seawal tahun 1998, saya dan isteri menubuhkan Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK) di Pengkalan Chepa untuk memberikan perkhidmatan kepada terutamanya warga emas yang kurang upaya seperti melibatkan mereka dalam kegiatan riadah dan berkebun.

Kini YOKUK menawarkan khidmat kebajikan dan pemulihan percuma kepada lebih 2,500 warga kurang upaya tanpa mengira kaum, usia ataupun jenis ketidakupayaan mereka.

Antara khidmat yang diberikan YOKUK termasuklah pelbagai jenis terapi dan perkhidmatan pengangkutan.

YOKUK juga merancang untuk menyediakan atau memperbaiki 500 rumah warga kurang upaya yang memerlukan di Kelantan.

Pada tahun 2008, saya tubuhkan MyFuture Foundation, sebuah yayasan yang bergiat untuk mempromosikan keharmonian antara kaum di kalangan belia Malaysia.

Saya juga telah menulis dua buah buku, Dari Hati yang Ikhlas dan Saya pun Melayu.

Selain itu, saya aktif dalam usaha memelihara kesenian tradisi Melayu Kelantan kerana beliau percaya kebudayaan warisan turun-temurunlah yang dapat memberi pengisian terhadap jatidiri anak bangsa.

Perkembangan saya boleh diikuti di laman blognya, http://myzaidibrahim.wordpress.com dan berkomunikasi melalui http://twitter.com/zaidibrahim dan di Facebook.

Jika dipilih sebagai calon Hulu Selangor, apa matlamat Dato'?

Matlamat saya ke Parlimen adalah untuk menyumbangkan tenaga kepada negara yang kita cintai dan memelihara kepentingan rakyat dan demokrasi di mana "rakyat dapat hidup selesa tanpa takut ditahan pada pagi hari kerana pandangan politiknya malam tadi".

Saya mahu bantu memastikan yang undang-undang negara mesti berteraskan keadilan dan tidak lagi disalahgunakan untuk melindungi kepentingan elit di negara kita yang sudah merugikan rakyat berbilion-bilion ringgit selama ini.

Penyelewangan kuasa dan rasuah dan penggubalan dasar-dasar yang tidak adil BN telah banyak merugikan dan memiskinkan rakyat, yang dapat dilihat dari masalah tanah yang tidak selesai ke persoalan perumahan dan pendidikan sehinggalah ke pengurusan Petronas yang tidak telus.

Saya yakin rakyat Malaysia tiada sebab untuk tidak dapat hidup dengan selesa dengan limpah kurnia kekayaan negara ini melainkan disebabkan pilihan-pilihan politik yang buruk dan kerakusan pemimpin memperkayakan diri dan kroni-kroni mereka.

Saya mahu membela masyarakat yang terpinggir, sama ada disebabkan oleh kemiskinan, masalah kurang upaya ataupun penindasan sistematik yang meminggirkan kaum petani, buruh ladang dan Orang Asal yang masih berleluasa di negara kita.

Apakah selepas 50 tahun negara merdeka, rakyat masih terpinggir?

Saya sering mengutarakan bahawa politik di Malaysia sudah lama ‘sakit’ dan harus diangkat martabatnya. Kita harus berpindah dari kata nista dan serangan berbentuk peribadi, atau tindakan-tindakan yang berbaur perkauman yang melambangkan percaturan politik yang dangkal pemerintah BN, kepada perdebatan tentang dasar dan halatuju negara kita.

Tanpa dasar-dasar yang baik, rakyat tidak kira kaum dan budaya akan merasa terpinggir di negara sendiri.

Apakah ini mendorong Dato' berusaha memperbetulkan kesilapan BN?

Sebelum ini saya memang aktif dalam kerja-kerja kebajikan. Saya mengkritik secara terbuka dasar-dasar Kerajaan BN yang tidak adil walau ketika saya masih lagi bersama BN.

Sebagai menteri pun, saya berani usulkan proses meminta maaf kepada hakim-hakim yang dipecat oleh kerajaan pada tahun 1988.

Dan terbukti, saya meletakkan jawatan menteri atas dasar prinsip menentang konsep penahanan tanpa bicara menunjukkan ketulusan beliau untuk menjaga proses demokrasi, keadilan dan kebajikan masyarakat keseluruhannya.

Malah, saya maklumkan secara jelas kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bahawa saya menerima tawaran menjadi menteri undang-undang atas prinsip mahu membantu BN untuk berubah, menghentikan penyalahgunaan kuasa perundangan dan memperbaiki ketelusan dalam proses kehakiman negara.

Saya lepaskan jawatan dan saya minta maaf kepada rakyat, kerana "kegagalan merubah BN".

Apa pandangan Dato' mengenai politik negara?

Kita mesti menolak politik perkauman dengan sekeras-kerasnya. Ini hanya akan dapat dilakukan dengan baik jika kita bersungguh-sungguh menghargai keragaman kebudayaan rakyat kita.

Kita mesti menghormati dan mempertahankan hak saksama setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama tanpa mengabaikan kumpulan-kumpulan terpinggir yang perlu diberikan bantuan. Inilah tuntutan agama Islam dan inilah tuntutan Perlembagaan Malaysia.

Kita mesti membela ketuanan rakyat dengan memartabatkan kuasa rakyat dan memelihara proses-proses dan badan-badan yang menjaga demokrasi. Beliau percaya bahawa pilihan-pilihan politik yang bijak hanya akan diambil oleh rakyat yang mempunyai kuasa.

Jika mana-mana perkumpulan rakyat ada mengemukakan permasalahan dan tuntutan-tuntutan yang wajar, sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asal atau apapun kaum dan pekerjaan mereka, kerajaan yang ihsan wajib membantu mereka.

Proses politik kita mestilah memerdekakan dan membebaskan rakyat negara ini dari belenggu kuku besi, perkauman, gejala rasuah dan ketidakadilan.

Dato' sebelum ini turut menjadi mangsa serangan BN dan NGO terutama isu Melayu, apa komen Dato'?

Oleh kerana kritikan saya terhadap Umno yang sudah tenat dengan budaya-budaya tidak sihat, saya sering diserang oleh kumpulan-kumpulan yang menggunakan unsur-unsur perkauman untuk melindungi kepentingan politik dan ekonomi mereka.

Sebagai seorang bumiputera yang berasal dari keluarga miskin, sudah tentu saya tidak menentang dasar untuk membantu kaum Bumiputera yang memerlukan.

Apa-apa juga dasar yang membantu membasmi kemiskinan dan memberi keistimewaan terhadap orang-orang miskin dan terpinggir, mestilah diteruskan.

Namun, kebimbangan saya ialah terhadap kesan buruk penyalahgunaan 'keistimewaan' ini kepada negara, yang diuar-uarkan oleh pihak BN.

Dasar apa pun tidak boleh disalahgunakan untuk membolehkan penerimaan faedah tanpa usul periksa tentang latar belakang ekonomi seseorang.

Maknanya Umno menggunakan dasar Melayu untuk kepentingan politik?

Saya sebenarnya amat bimbang bahawa Dasar Ekonomi Baru telah menjadi 'Dasar Ekonomi Umno', kerana ia menggalakkan pemberian subsidi dan bantuan melampaui batas, yang memberikan projek-projek besar negara untuk memperkayakan Bumiputra yang sudah cukup serba serbi dan untuk jentera parti, tanpa memerlukan si penerima faedah berusaha gigih dan berdikari.

Dasar yang disalahgunakan bukan sahaja merugikan negara, tetapi boleh merugikan kaum Bumiputera itu sendiri.

Saya mahu melihat generasi muda kita memahami bahawa tidak ada jalan mudah dalam hidup ini untuk mencapai kejayaan. Jangan sesekali kita terbabit dengan budaya ali-baba yang 'menjual' nama Melayu untuk habuan sendiri tanpa apa-apa usaha.

Tabiat-tabiat seperti inilah yang sebenarnya memalukan bangsa.

Kegemilangan bangsa tidak akan dapat dicapai dengan menyemburkan api perkauman dan menyalahertikan 'keistimewaan' sebagai 'ketuanan’ mutlak.

Kedua-dua ini adalah perkara yang mempunyai implikasi yang jauh berbeda. Jika kita mahu menjadi Tuan, kita mesti bekerja keras, itu sahaja caranya.

Melaungkan tuntutan-tuntutan tanpa janji untuk berusaha keras dan dengan nada berbaur perkauman pula, disertai adegan mencium-cium keris, tidak akan merubah nasib sesebuah bangsa itu. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa itu sendiri jika sesuatu bangsa itu sendiri tidak berubah.

Orang-orang yang berbahaya kepada bangsa dan negara sebenarnya adalah mereka yang meletakkan kepentingan diri di atas kepentingan rakyat.

Inilah orang-orang yang menjual nama bangsa untuk mendapatkan habuan tanpa bekerja keras, orang-orang yang merompak harta kekayaan negara, orang-orang yang tidak menghormati hak-hak rakyat, orang-orang yang menahan warga tanpa membenarkan mereka dibicara, orang-orang yang menggubal undang-undang yang tidak adil dan mereka-mereka yang senang menggalakkan prejudis perkauman.

Bagaimana pula dengan isu Orang Asal, mereka juga terpinggir?

Isu ini sudah lama saya bangkitkan. Saya memang prihatin terhadap nasib Orang Asal di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Saya banyak berbincang dengan peguam dan aktivis hak tanah adat di Sarawak berserta melawat perkampungan Orang Asal di Bidor dan Temerloh bagi mengetahui dengan lebih jelas permasalahan mereka.

Pentingnya negara menggubal Dasar tentang Hak-Hak Orang Asal Malaysia bagi menjamin kesejahteraan masyarakat tersebut dan hak tanah adat mereka.

Kita lihat lebih 2,000 Orang Asal telah berarak ke Putrajaya untuk menyerahkan memorandum mereka yang menceritakan hal-hal penganiayaan di tangan kerajaan BN selama lebih 50 tahun, tentang tanah nenek-moyang mereka yang dirampas dan diambil untuk pembangunan tauke-tauke besar BN dan hanya memberi pampasan 6 ekar sekeluarga kepada mereka.

Saya juga gusar kerana Orang Asli Semenanjung tidak disenaraikan sebagai Bumiputera oleh Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persekutuan.

Saya percaya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal, tetapi juga disebabkan kemiskinan mereka.

Oleh itu dalam konteks Hulu Selangor ini, saya mahu menumpukan perhatian terhadap pengiktirafan hak tanah adat kaum Orang Asal seperti yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan permasalahan tanah adat Orang Asli di negeri ini.

Isu-isu lain yang Dato' akan perjuangkan?

Saya amat sedar tentang masalah kemiskinan yang melanda kaum buruh ladang di Hulu Selangor dan kehidupan mereka yang tidak cukup serba serbi, terutamanya dari segi kemudahan awam.

Begitu juga dengan permasalahan pemilikan tanah rakyat yang tidak selesai sehingga kini dan kegusaran pemilik tanah bahawa tanah mereka sedang diintai oleh pihak-pihak tertentu.

Apabila rakyat biasa sulit untuk mendapatkan jaminan tentang hak-hak mereka setelah lebih 50 tahun merdeka, perkara ini tentunya ada kena mengena dengan dasar dan cara pentadbiran Kerajaan BN selama ini yang tidak telus serta tidak menghormati hak rakyat kecil dan kebajikan mereka.

Oleh sebab itu saya mengajak pengundi-pengundi di Hulu Selangor, mengekalkan kerusi Parlimen ini di tangan Pakatan Rakyat, untuk masa depan yang lebih baik buat mereka.

Tuesday, April 13, 2010

Bahaya tradisi merasuah rakyat

Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor bakal berlangsung mulai 17 hingga 25 April ini, awal-awal lagi sudah dicemari dengan gejala sogokan, ugutan dan pujuk rayu Barisan Nasional.

Belumpun pilihan raya bermula, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, secara terbuka merasuah rakyat dengan pelbagai projek dan janji.

PM dan TPM terang-terangan mengumpan rakyat Hulu Selangor dengan limpahan jutaan ringgit untuk mereka mengundi calon BN dari MIC pada hari pengundian nanti.

Pemimpin-pemimpin Umno BN menjadikan projek jutaan ringgi, menjanjikan membina sekolah, menjanjikan sumbangan untuk masjid dan sebagainya.

Untuk apa mereka hulurkan segala lambakan rasuah ini? Mengapakah selama ini Umno-BN tidak prihatin dengan nasib rakyat di Hulu Selangor yang rata-ratanya hidup serba miskin dan sederhana?

Malah ada di kalangan pemimpin Umno yang menggugut kaum bukan Melayu secara terbuka, dengan menggesa mereka berterima kasih kepada Umno kerana memberikan kerakyatan kepada mereka.

Semua ini dilakukan kerana mereka takut dengan kekalahan. Fobia yang menghantui Umno-BN selepas tersungkur teruk di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, menyebabkan mereka tidak mampu menyembunyikan ketakutan mereka.

Pemimpin-pemimpin Umno sebenarnya tidak pernah insaf dengan buruknya implikasi amalan rasuah. Amalan rasuah yang dinamakan politik wang inilah yang memburuk serta merosakkan masa depan Umno.

Mereka tidak pernah serik dan tidak pernah puas. Umno-BN menyogok penyokong dari ahli-ahli mereka dari akar umbi sehinggalah ke peringkat pusat, dengan pelbagai projek, tender, saham, wang dan sebagainya,

Pemimpin-pemimpin Umno yang beragama Islam tidak pernah ditegur oleh ulama-ulama mereka, terutamanya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, tentang haramnya rasuah.

Barangkali ulama-ulama ini tidak sempat belajar ilmu mengenai rasuah, di mana dalam sebuah hadis, Abu Dawud meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasululah saw bersabda:

"Laknat Allah terhadap pemberi dan penerima rasuah di dalam kekuasaan" .

Dalam sebuah riwayat yang berasal dari Sulaiman bin Yassar, mengatakan bahawa Rasulullah saw mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang baru saja tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah saw telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri yang mengelolanya, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin. Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan yang mereka kumpulkan dari isteri mereka masing-masing. Kepada Abdullah mereka berkata,: “Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh,” Abdulah menjawab,

"Hai kaum Yahudi, demi Allah, kalian memang manusia-manusia hamba Allah yang paling kubenci. Apa yang kalian lakukan ini justeru mendorong diriku merendahkan kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawaban tersebut mereka menyahut, ”Kerana inilah langit dan bumi tetap tegak!” [Imam Malik, Al Muwattha’:1450].

Jelas daripada riwayat ini, gejala rasuah adalah amalan golongan Yahudi. Amalan ini sudah meresap dalam nadi dan jiwa orang-orang Umno

Rasuah dan sogokan sudah menjadi darah daging Umno, ianya ibarat penyakit kanser yang tiada ubatnya.

Ia hanya dapat dihapuskan atau dihentikan apabila nadi Umno berhenti berdenyut pada PRU ke-13 nanti.

Maka kita mengharapkan rakyat di Hulu Selangor, agar tidak merendahkan martabat mereka sehina perasuah dalam Umno. Mereka harus komited menolak calon rasuah dan parti rasuah dengan menyokong calon Pakatan Rakyat, demi masa depan negara.

Tetapkanlah pendirian, takuti azab Allah, tolak BN!

BN akur desakan Pakatan

Kerajaan Barisan Nasional yang terbukti terbabit menggunakan khidmat perunding zionis Yahudi Israel berada dalam keadaan yang amat terdesak sehingga wujud ura-ura khidmat APCO Worldwide akan ditamatkan.

Khidmat APCO yang digunakan khususnya untuk mempromosikan 1Malaysia, serta terbabit merancang strategi komunikasi bagi memulihkan imej Umno-BN yang tercalar teruk selepas Pilihan Raya Umum 2008, ternyata menjadi liabiliti yang besar terhadap kerajaan.

Difahamkan, tindakan menamatkan perkhidmatan APCO yang dibuat secara perjanjian bertulis tahun lalu, didorong oleh kebimbangan penolakan rakyat kepada BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Malah ada kajian rambang yang menunjukkan bahawa lebih 80 peratus rakyat Malaysia, menolak pembabitan syarikat Israel dalam negara.

Isu ini ternyata menjadi penyebab utama keseluruhan jentera kerajaan dan BN yang dipimpin Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak diragui keseluruhan rakyat Malaysia, selepas pendedahan mengenainya dibuat Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 30 April 2010.

Usaha untuk mempertahankan kerajaan BN dan kredibiliti PM yang dikaitkan secara rasmi dengan Israel di Dewan Rakyat menemui jalan buntu apabila ia hampir-hampir melumpuhkan persidangan Parlimen.

Anggota-anggota Parlimen Pakatan Rakyat memberikan tentangan yang amat hebat menolak pembabitan APCO, manakala wakil-wakil rakyat Umno-BN, jelas tidak mampu mempertahankan kerajaan.

Isu ini menjadi sangat kritikal, kerana ia menjadi punca Ahli Parlimen Pakatan Rakyat digantung Dewan, menerima amaran keras Speaker dan Anwar sendiri hendak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk digantung oleh BN.

Anwar ternyata tidak mahu mengalah, apabila 6 April lepas beliau terus membuat pembongkaran yang memalukan kerajaan apabila memperolehi bukti-bukti terperinci wujudnya syarikat perisik Israel di Bukit Aman, yang berpangkalan di Singapura dan Israel.

Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Hussein di Putrajaya, 9 April mengakui bahawa wujudnya masalah dengan firma komputer yang mengendalikan perisiannya di Bukit Aman dan telah mengarahkan perkhidmatan berkenaan ditamatkan.

"Sebagai rekod, kontrak dengan syarikat Asiasoft telah ditamatkan,” katanya.

Berkaitan dengan itu, maklumat daripada sumber-sumber kerajaan mendakwa kontrak perunding media dan perhubungan awam APCO Worldwide Sdn Bhd dipercayai tidak akan diperbaharui apabila ia berakhir pada 4 Ogos depan.

"Beliau (PM) kurang senang dengan cara mereka menangani kontroversi yang melanda baru-baru ini dan kini menjadi liabiliti," kata sumber itu.

Sumber berkata, keputusan Najib untuk menamatkan khidmat Apco mungkin dilihat bagi mengurangkan tekanan terhadap kerajaan BN kerana firma antarabangsa itu didakwa ada kaitan dengan Israel.

"Namun hakikatnya perdana menteri dikatakan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka," katanya.

Media melaporkan, dipercayai Najib dikatakan amat tidak berpuas hati dengan khidmat APCO khususnya berhubung persiapan mereka ketika beliau diwawancara oleh Associated Press semasa lawatannya ke Beijing, Jun lalu yang ditanya mengenai pembunuhan model dan penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Soalan yang dilontarkan tidak diduga sama sekali dan PM dikatakan tidak bersedia walaupun beliau mampu menanganinya dan berjaya berseloroh.

Difahamkan, kehadiran wakil APCO yang diuruskan orang kepercayaan Najib, Omar Mustapha Ong, menjadi penyebab utama ketidak-selesaan kalangan pegawai-pegawai Najib dan kakitangan kerajaan di Tingkat 4 JPM, Putrajaya.

Friday, April 09, 2010

Report card merah untuk Najib


Analisis bersempena setahun kepimpinan PM ke-6 pada 4 April 2010

PERDANA Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menyambut ulangtahun pertamanya pemerintahannya 4 April lepas, dalam keadaan yang getir dan penuh dilema.

Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpinnya, berada dalam keadaan terumbang-ambing dan masih hilang arah akibat cabaran getir dari kelompok pembangkang yang berkredibiliti seperti Pakatan Rakyat.

Najib berada dalam keadaan dilema kerana dalam tempoh setahun pemerintahannya, sarat dengan skandal dan isu-isu panas terbongkar satu demi satu tanpa sempat dikambus, ditambah dengan baggage dari pemerintahan PM yang lalu.

"Saya fikir tiada banyak beza antara Najib dengan Abdullah, cuma Abdullah nampak lebih slow, Najib lebih cergas, tetapi cara keduanya menguruskan politik dan ekonomi, sama-sama teruk," kata Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

"Masalah kepada Najib ialah kerana, beliau mewarisi stail 'flip flop' Abdullah dan tidak konsisten, dalam hal tertentu saya fikir Abdullah lebih tegas dan berpendirian daripada Najib," kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Ternyata, usaha untuk memulihkan imej beliau dan imej Umno-BN yang tercalar teruk semasa kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi masih gagal dipulihkan sehingga kini.

APCO jejaskan Najib

Usaha memulihkan imej peribadinya terus gagal dan dimusnahkan dengan ledakan isu syarikat Israel, APCO Worldwide yang dilantik secara rasmi dengan perjanjian bertulis oleh kerajaan, sebagaimana pendedahan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Bombshell yang dilepaskan Anwar begitu memeranjatkan, sehingga sewaktu ucapan khas beliau di Parlimen, seluruh anggota Kabinet tidak mampu duduk dalam dewan, macam 'cacing kepanasan' walaupun penyaman udara di Parlimen begitu dingin membeku.

Dengan terbongkarnya hubungan erat berbayar kerajaan Umno-BN dengan APCO, baru rakyat tahu bahawa inilah puncanya, selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Abdullah pada 4 April 2009, Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia, yang diteraskan dengan slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Juga ditubuhkan Yayasan 1Malaysia.

Sebelum ini, rakyat tidak mengetahui apa sebenarnya atau dari sumber mana atau siapa yang menasihati Najib memperkenalkan konsep baru ini. Dalam tempoh setahun ini, minda seluruh rakyat Malaysia seolah-olah 'dipaku' dengan 1Malaysia

Seluruh intipati ucapan Anwar yang mengemukakan bukti secara jelas wujudnya penasihat Zionis Israel yang ditempatkan di pejabat PM di Putrajaya, tidak mampu ditangkis atau dijawab sepatahpun, oleh pemimpin Umno-BN. Mereka hanya menjawabnya dengan usaha merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk dihukum.

Najib cuma menjawab Anwar dengan menafikan bahawa konsep 1Malaysia sama dengan konsep 1Israel, yang turut menggunakan khidmat APCO dalam tahun 1990-an oleh PM Israel, Ehud Barak, ketika itu.

"APCO semasa menasihati Ehud Barak, perkenalkan slogan 'people first'. Ini sama dengan slogan 'rakyat didahulukan' cuma kita tambah 'pencapaian diutamakan'. Israel juga buat 1Israel Foundation, sama dengan Yayasan 1Malaysia.

"APCO juga perkenalkan health care untuk Ehud menarik sokongan rakyat. Di sini kita guna Klinik 1Malaysia. Apakah semua ini persamaan secara kebetulan atau sebaliknya," ujar Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim.

"Barangkali mereka tukar letterhead saja, format kertas kerja APCO kekal, 1Israel ditukar jadi 1Malaysia," getus Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Masalah besar yang berlaku ialah, kerajaan Malaysia tidak cermat menyelidiki latar belakang APCO.

"Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaik pulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan. Selain Turkmenistan, Kazakhstan dan Azerbaijan; salah seorang klien APCO yang paling terkenal adalah bekas diktator Nigeria iaitu General Sani Abacha. Mengikut laporan-laporan BBC General Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan No. 4 yang paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya, berbillion-billion dollar dilesapkan. Wang yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD$2.5 billion.

"Apakah pentadbiran PM mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?" soal Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Inilah dilema yang dihadapi Najib. Beliau hanya ada dua pilihan sahaja. Iaitu, mengaku bahawa kerajaan tersilap dengan menggunakan khidmat perisik Israel, atau kedua menghukum Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Omar Mustapha Ong, yang membawa APCO ke dalam pejabat PM melalui syarikat Mind Team dan Ethos Consultancy sebagaimana didakwa Anwar.

Umno masih belum pulih dan BN yang bercelaru

Kecelaruan semakin membungkam Najib, apabila Umno-BN gagal memberikan sokongan padu kepada PM, dengan serangan terbaru terhadap kepimpinannya.

Tatkala Najib bercakap mengenai 1Malaysia, tanpa mengira kaum dan warna kulit, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdegar-degar bercakap soal kepentingan Melayu.

Najib bercakap soal pluralisme, Muhyiddin bercakap soal racisme. Ia kelihatan bercanggah. Tetapi mungkin juga ianya strategi untuk mengaut sokongan lebih banyak.
Apa pun dari segi dalaman Umno, sudah wujud persepsi PM dan TPM tidak sebulu, berlainan kem, sudah lama berlaku.

Ketika penulis bersembang-sembang dengan penganalisis MCA di Parlimen baru-baru ini, penulis melontarkan persoalan dikhabarkan wujudnya campur tangan pemimpin Umno yang cenderung menyokong puak-puak tertentu dalam MCA, beliau kelihatan tidak selesa.

"Kita tahu memang Umno tidak mahu 'orang tertentu' jadi Presiden MCA, tapi buat apa campur urusan MCA, dalam rumah Umno sendiri 'bocor', mereka belum pulih, tapi kata sudah pulih," bidas beliau.

Memang Umno belum pulih. Ketiga-tiga Naib Presiden yang ditempatkan menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, langsung tidak membantu Najib menguruskan Umno.

Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui Pulau Pinang gagal mengawal Ketua Umno Bahagian dan ahli-ahli Umno berantakan sesama sendiri. Bergaduh dengan Gerakan dan menimbulkan pelbagai kekecohan sehingga menjejaskan Umno.

Di Terengganu, Dato' Seri Hishammuddin Hussein gagal mententeramkan gelodak perang kumpulan Dato' Seri Idris Jusoh dengan Dato' Ahmad Said. Umno Terengganu terus berpecah belah.

Di Kedah, Dato' Mohd Shafie Apdal lebih teruk, kerana didakwa gagal mengadakan mesyuarat perhubungan. Ketua-Ketua Umno Bahagian tidak menyokongnya. Mereka menolak orang Sabah dilantik memimpin orang Kedah.

Manakala di Perlis, pergaduhan antara puak Dato' Seri Shahidan Kassim dengan Dato' Seri Md Isa Sabu, berterusan. Kerajaan negeri terumbang-ambing, sama macam Umno Perlis, bergaduh hingga ke akar umbi.

Di Perak, selepas Dato' Seri Mohd Zambry Kadir disahkan oleh Mahkamah sebagai MB. Umno-BN tidak mampu mentadbir negeri dengan baik. Pegawai kerajaan dan rakyat tidak menyokong beliau. Sidang Dun dibuat dalam keadaan kelam kabut seumpama 'penjenayah yang mahu menyembunyikan harta rompakannya.

Di Pahang kerajaan negeri pimpinan Dato' Seri Adnan Yaakob dikhabarkan tidak mampu bertahan akibat keadaan kewangan negeri yang amat buruk. Hasil kerajaan, terutamanya balak sudah licin dikebas kroni. Saman syarikat balak tidak mampu dibayar. Dalam keadaan terumbang-ambing, kerajaan pusat terpaksa menampung bebanan besar kewangan Pahang.

Di Negeri Sembilan, kemasukan semula pesalah rasuah politik wang Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam Dewan Undangan Negeri menjadikan kedudukan MB, Dato' Seri Mohamad Hassan bagaikan 'telur di hujung tanduk.'

Krisis Isa-Mohamad ini memang tajam. Selepas Isa tersingkir dari jawatan MB. Beliau dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Tetapi dijatuhkan selepas menang jawatan Naib Presiden Umno, dipercayai ada kaitan dengan usaha pihak tertentu dari Negeri Sembilan.

Perbalahan ini menjadi semakin tajam apabila ramai orang Mohamad, tewas jawatan Ketua Umno Bahagian dalam pemilihan tahun lepas. Dengan hanya kelebihan empat kerusi di Dun berbanding Pakatan Rakyat, Umno-BN Negeri Sembilan masih hidup tetapi bagaikan 'bernafas di dalam lumpur.'

Begitu juga di Melaka. Najib hanya memburukkan imej Umno-BN, dengan mengekalkan pesalah politik wang dalam Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam sebagai Ketua Menteri.

Seperti kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, "Dia (PM) taruk (lantik) Ali Rustam jadi Ketua Menteri, sudah musnah dia punya imej mahu hapus rasuah.

"Sekarang kita boleh cakap, dia punya bising mahu hapus rasuah cuma 'menanam tebu di bibir mulut' sahaja,"katanya.

Sementara di Johor, kubu kuat Umno, berada dalam keadaan yang sama. Johor juga banyak warlord dalam Umno, banyak berpecah belah. Tetapi mereka masih beruntung kerana rakyat menyokong mereka.

Masalah besar kepada MB, Dato' Abdul Ghani Othman ialah kegagalannya mengurus ekonomi negeri sehingga ditegur dalam laporan audit. Pembangunan di WPI tidak berjalan dengan lancar.

"Lihat sahaja bangunan sebesar Johor Waterfront depan mata MB pun dia tidak nampak, terbengkalai macam 'gajah putih'. Itu pun Umno-BN tidak mampu uruskan," kata AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.

Keseluruhannya kepada kita, jelas bahawa Umno masih gagal dan terus gagal dipulihkan. Keadaan ini ditambah terukkan oleh BN. Komponen-komponennya seperti MCA, Gerakan dan MIC, yang terus gagal berfungsi dan berpecah belah.

Sokongan, keampuhan dan kesepaduan Umno-BN terhadap kepimpinan Najib yang diuar-uarkan dalam media talibarut hanyalah kosmetik semata-mata. Ia tidak lebih sekadar usaha untuk 'membeli persepsi' baik rakyat terhadap PM.

Isu-isu yang menghantui

Memang PM kelihatannya nampak tenang. Tetapi sebenarnya kerajaan yang dipimpinnya serabut dengan pelbagai isu dan skandal yang menghantui.

Yang menghantui Najib bukannya hantu Altantuya Shaariibuu, tetapi kesan daripada kes pembunuhan warga Mongolia itu, begitu kuat impaknya kepada politik negara.

Isu yang membabitkan Najib atau isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dengan kematian Altantuya sebagaimana yang didakwa Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tidak timbul.

Beliau melakukan pembohongan yang besar apabila mendakwa Anwar yang mengarahkannya mengaitkan Najib-Rosmah dengan Altantuya. Soal ini biarlah Anwar menjelaskannya.

Tetapi isu ini memang besar. Tetapi ia sudah dipencilkan, hanya kepada isu pembunuhan. Hakikat yang disembunyikan ialah soal rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

Dari awal kes Altantuya dibongkarkan ialah isu komisyen. Altantuya datang ke Malaysia pada bulan Oktober 2006, untuk berjumpa dengan Abdul Razak Baginda kerana mahu menuntut baki komisyen yang dijanjikan hasil urusniaga kapal selam.

Pada tahun 2002, syarikat Perancis-Sepanyol bernama Armaris mencapai persetujuan untuk menjual tiga buah kapal selam kepada kerajaan Malaysia dengan harga satu bilion Euro, iaitu harga yang paling tinggi dalam sejarah penjualannya.

Kes ini membabitkan DCNS, sebuah syarikat Perancis, yang pakar dalam pembinaan kapal laut tentera. Armaris, yang menjual Scorpene dan satu kapal selam Agosta kepada Malaysia pada Jun 2002, dibeli oleh DCNS pada tahun 2007.

Dalam perbahasan Parlimen, iaitu pada sesi sidang belanjawan tahun 2004, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad mendesak kerajaan menjelaskan kontrak pembelian kapal selam dengan sebuah syarikat di Perancis, DCN International yang melibatkan wang sebanyak RM 7.7 bilion.

Beliau berkata, sebuah syarikat milik Abdul Razak Baginda, Perimekar Sdn Bhd serta rakan kongsinya mendapat keuntungan lebih daripada RM300 juta hasil dari pembelian kapal selam tersebut.

Syarikat tersebut katanya, bertindak sebagai orang tengah dalam pembelian kapal selam itu antara DCN International dengan kerajaan Malaysia.

"Apakah peranan yang dimainkan oleh Abdul Razak Baginda dalam pembelian kapal selam ini sehingga meraih keuntungan sebanyak RM300 juta," soal beliau.

Di Dewan Rakyat, pada Oktober 2007, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Zainal Abidin Zin, mengakui bahawa Armaris telah membayar sebanyak 114 juta Euro sebagai komisyen kepada Perimekar, untuk tujuan perkhidmatan sokongan dan koordinasi.

Kes-kes ini sebenarnya mencetuskan keraguan, siapakah Altantuya sebenarnya. Adakah beliau broker yang digunakan dalam urusan jual beli? Dan, apakah tujuan sejumlah wang yang dibayar kepadanya oleh Razak Baginda sebelum beliau ditemui mati.

Masalah yang cuba ditutup di sini ialah hubungan rapat Razak Baginda dengan Najib-Rosmah, apakah kaitan mereka dengan Perimekar?

Persoalan-persoalan inilah yang berlegar di minda rakyat sebenarnya. Ia masih gagal dihapuskan Najib selepas setahun menjadi PM.

Persepsi yang sukar ditangkis

PM Najib barangkali mempunyai pendekatan yang tersendiri, namun beliau tidak terlepas dari persepsi buruk terhadap stail kepimpinannya.

"Dulu kita ada kerajaan tiga beranak, sekarang kita dipimpin oleh kerajaan suami isteri," getus seorang blogger orang kuat Umno.

Ia bukannya persepsi rakyat atau Pakatan Rakyat. Malah orang dalam Umno sendiri mengakui kalau hendak 'selamat' dalam Umno, mesti baik dengan Rosmah.

Ada sumber mengatakan, orang yang terbabit dalam urusan perniagaan pula mendakwa, jika hendak mendapat rezeki sama ada kontrak atau tender, juga mesti melalui Rosmah.

Malah pada peringkat awal Najib menjadi PM, ada dakwaan bahawa diarahkan kepada pihak tertentu, menyediakan bilik untuk Rosmah (di pejabat kerajaan), juga menyediakan tiga orang pegawai untuk beliau. Hal ini tidak pernah berlaku kepada PM-PM sebelum ini.

Situasi yang sebegini mencetuskan persepsi bahawa kemungkinan ada campur tangan Rosmah dalam pentadbiran Najib.

Barangkali keadaannya tidak begitu. Barangkali Rosmah tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran Najib. Tetapi jika ditanya rata-rata rakyat Malaysia, mereka akan mengatakan bahawa, persepsi mereka ialah, Rosmah yang dictate Najib.

Begitu juga yang dialami oleh Tun Abdullah Badawi. Semasa pemerintahannya dikaitkan dengan campur tangan isteri, anak dan menantunya dalam pentadbiran negara dan parti.

Dalam keadaan sekarang, jika persepsi terhadap Najib terus kekal begitu, ia amat membahayakan masa depan politik beliau. Selagi persepsi ini tidak dapat dihapuskan, selagi itulah Najib tidak akan dianggap pemimpin yang berjaya membawa perubahan.

Isu-isu kempen Hulu Selangor

Najib memasuki tahun kedua pemerintahannya dengan cabaran Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Hulu Selangor dianggap sebagai penentu 'hidup mati' karier politik beliau, dan juga penentu masa depan BN.

Terdapat banyak isu yang tidak dapat dihuraikan secara terperinci dalam kolum yang terhad ini. Barangkali cukup sekadar catatan ringkas, untuk dikaji lebih teliti buat kempen Pakatan Rakyat di Hulu Selangor nanti.

Antaranya ialah isu pesawat pejuang Sukhoi bernilai RM3.2 bilion, yang didakwa membabitkan pembayaran komisyen yang besar juga belum selesai.

Isu GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang menekan dan menindas rakyat terpaksa ditangguhkan pembentangannya di Parlimen kerana bantahan Pakatan Rakyat, juga merupakan satu rekod buruk.

Dua isu besar yang membahayakan keselamatan negara secara khusus iaitu, isu kehilangan enjin jet F5E bernilai 50 juta dan pengakuan kerajaan bahawa maklumat pertahanan negara bocor kepada kedutaan asing juga memalukan negara. Malah yang lebih buruknya ialah, kedua-dua kes ini berlaku semasa Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Isu royalti Kelantan juga harus diketengahkan. Ia bukan soal Najib semata-mata, ianya adalah merupakan salah laku pemimpin Umno, bermula pada Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghalang Terengganu yang diperintah PAS menerima royalti. Mereka tidak peduli walaupun penduduk Terengganu lebih 90 peratus orang Melayu.

Dasar ini diteruskan oleh Abdullah, sehingga wang ihsan digunakan oleh Umno sewenang-wenangnya, melakukan projek yang membazirkan wang rakyat. Penyelewengan wang ihsan terbukti dengan runtuhnya beberapa buah bangunan di Terengganu walaupun hanya baru beberapa tahun dibina.

Kepincangan dasar terhadap orang Melayu juga harus dibangkitkan. Isu PPSMI misalnya. Walaupun kerajaan sudah mengumumkan ia akan dihapuskan pada tahun 2012, namun kesan buruknya terhadap rakyat, sudah dan sedang berlaku pada waktu ini.

Isu ini sebenarnya membuktikan betapa rakusnya pemimpin Umno, untuk mempertahankan kuasa, orang-orang Melayu dimangsakan.

Antara lain yang diboleh dibangkitkan ialah isu Model Ekonomi Baru (MEB), isu Felda dan sebagainya.

Kesimpulan

Daripada rentetan skandal, penyelewengan dan isu yang dipaparkan dalam catatan ini, amat jelas, banyak persoalan yang masih kabur menghantui kepimpinan Najib.

Sehingga kini, Najib ternyata gagal mengurus persepsi bahawa pemerintahannya tiada beza dengan Abdullah.

Data dari skala politik, ekonomi dan sosial menunjukkan dengan jelas bahawa usaha Najib untuk membawa reform, bagi menarik sokongan rakyat pelbagai kaum kepadanya masih gagal

Setakat ini, dalam tempoh setahun, report cardnya dipenuhi dengan dakwat merah. Sekiranya dakwat merah ini berterusan sehingga PRU ke-13, maka beliau berkemungkinan besar menjadi PM terakhir daripada Umno-BN.

Wednesday, April 07, 2010

Bukti APCO Zionis Dan Anti-Islam

Dipetik dari blog Dato' Seri Anwar Ibrahim

Laman web APCO sendiri menunjukkan siapa sebenarnya yang terlibat dengan syarikat ini yang dibayar RM 23 million duit rakyat oleh Perdana Menteri Najib Razak untuk mengendalikan “strategi komunikasi” dan “membina imej” negara.

Ahli lembaga APCO termasuk dua bekas duta Israel – Shimon Stein (bekas duta kepada Jerman), dan Itamar Rabinovich (bekas duta kepada Amerika Syarikat) – serta Doron Bergerbest-Eilon, bekas ketua keselamatan Agensi Keselamatan Israel (Israeli Security Agency, ISA) yang lebih dikenali sebagai Shabak atau Shin Bet. Jawatan ini adalah bersamaan dengan pangkat Mejar Jeneral dalam tentera Israel.

Shin Bet bertanggungjawab menjaga keselamatan dalam negeri Israel, termasuk menghadapi intifada Palestin. Semasa intifada al-Aqsa, Shin Bet memainkan peranan untuk mengenalpasti identiti dan lokasi pemimpin-pemimpin Palestin yang dijadikan mangsa pembunuhan oleh serangan udara tentera Israel.

Shin Bet turut terkenal dengan kaedah-kaedah menyeksa tahanan mereka semasa soal-siasat. Seorang wartawan Palestin, Mohammed Omer, mendakwa beliau ditahan oleh Shin Bet pada tahun 2008 dan dibogelkan, dibelasah oleh lapan pegawai Shin Bet yang bersenjata – mengakibatkan beliau terpaksa dirawat seminggu di hospital. Makhamah Tertinggi Israel sendiri memutuskan bahawa kaedah-kaedah soalsiasat Shin Bet berketerlaluan, melanggar hak asasi manusia, dan bersifat menyeksa.

Penglibatan Shin Bet dengan APCO tidak terhad kepada satu individu. ASERO merupakan sebuah syarikat adik-beradik kepada APCO yang berkait rapat secara terbuka dengan APCO dan mempunyai pengkhususan dalam hal-hal keselamatan dalaman negara. Selain Doron Bergerbest-Elion, tiga lagi pemimpin utama ASERO adalah bekas pegawai berpangkat tinggi Shin Bet – David Harel, Oded Raz, dan Gadi Kalai.

Selain itu, Naib Presiden ASERO Carl Truscott, dan penasihat ASERO, Don Riegle Jr, adalah bekas ahli kerajaan Amerika Syarikat yang didapati bersalah menyalahgunakan kuasa mereka semasa berkhidmat.

APCO dan ASERO seumpama satu keluarga, dengan pemimpin-pemimpin yang sama. Doron Bergerbest-Eilon adalah presiden ASERO, manakala Mara Hedgecoth – anak kepada Margery Kraus, Presiden APCO – merupakan Naib Presiden di kedua-dua APCO dan ASERO. Denise Teeling pula, adalah Ketua Kewangan (CFO) bagi kedua-dua APCO dan ASERO juga. Menurut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Denise Teeling dan Margery Kraus adalah direktor APCO Worldwide Sdn Bhd, yang ditubuhkan di Malaysia.

Mengapakah sebuah syarikat dengan kaitan yang amat rapat dengan elemen-elemen Zionis dan dipimpin oleh individu yang terlibat dengan organisasi yang terkenal kerana menyeksa orang Palestin diberi peluang membentuk dasar-dasar sensitif Malaysia?

Dengan pengupahan APCO, pengaruh Zionis, penyeksa serta mereka yang handal menyalahgunakan kuasa kerajaan kini telah dibenarkan menentukan hala tuju negara, serta kini mempunyai akses kepada semua peringkat kerajaan – termasuk maklumat yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara. Tidak membimbangkan ke, Ketua Kewangan ASERO, Denise Teeling, yang bekerja untuk bekas pegawai Shin Bet, terlibat secara terus dengan operasi APCO di Malaysia?

Selain daripada Israel dan Amerika Syarikat, kepada pengaruh siapakah Malaysia kini dibukakan? Di antara pemimpin ASERO satu-satu individu yang bukan warganegara Amerika, UK atau Israel adalah Kelvin Tan Wee Peng – seorang bekas polis Singapura.

Apakah Perdana Menteri Najib sanggup menggadai masa depan dan kedaulatan negara hanya demi mereliasasikan cita-cita politiknya?

APCO tidak hanya terlibat dengan aktiviti Zionis dan pencabulan hak asasi sahaja, malah juga dengan aktivisme anti-Islam.

Jonathan Winer merupakan Naib Presiden APCO di Washington DC. Pada 2003, Winer memberi keterangan di Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat di mana dia menuduh gerakan Ikhwan Muslimin (Muslim Brotherhood) serta beberapa badan kebajikan Islam sebagai pengganas, dan berusaha untuk menghentikan segala aktiviti kewangan badan-badan ini.

Marc Ginsberg pula, ahli lembaga APCO dan bekas duta Amerika Syarikat, memanggil tokoh pemikir Islam Sayyid Qutb (inspirasi kepada Ikhwan Muslimin dan penulis karya Ma’alim fil Tariq dan Fi Zilal al-Qur’an) seorang “musuh” dan membandingkan beliau dengan Adolf Hitler.

Siapa sebenarnya di merata dunia yang sanggup mengupah syarikat yang dipimpin oleh mereka yang berusaha menentang Islam dan menyemai kebencian?

Klien-klien dan bekas klien APCO termasuk beberapa ‘tokoh’ yang cukup terkenal. Di antaranya adalah Jeneral Sani Abacha, yang mencuri hampir RM 10 billion duit rakyatnya semasa presiden Nigeria. Jeneral Abacha turut dikenali kerana pencabulan hak asasi manusia yang cukup parah, termasuk penahanan dan pembunuhan aktivis-aktivis.

Nursultan Nazarbayev, diktator Kazakhstan yang didakwa bersama keluarganya terlibat dalam rasuah yang cukup besar serta beberapa pembunuhan, turut merupkan seorang klien APCO. Di antara strategi APCO adalah untuk “membeli” beberapa laporan dari institusi pengajian tinggi untuk mengharumkan nama Kazakhstan di Barat.

Narenda Modi pula, Ketua Menteri Gujarat di India yang dikatakan membiarkan rusuhan kaum berlaku antara rakyat Hindu dan Muslim, mengakibatkan hampir 2,000 kematian – kebanyakannya Muslim – juga pernah mengupah APCO untuk mengharumkan balik imejnya.

Beginilah senarai pemimpin yang kini disertai oleh Perdana Menteri Najib, yang seandainya tidak mengenal malu.

Adakah ini sebuah pengakuan diam bahawa Perdana Menteri mempunyai beberapa kesamaan dengan pemimpin-pemimpin yang dituduh berasuah dalam negara kaya dengan minyak, gagal menghentikan konflik perkauman, serta mengakibatkan kematian?

Keputusan Perdana Menteri untuk membuka Malaysia kepada pengaruh Zionis dan anti-Islam serta berganding bahu dengan para perasuah yang paling parah di dunia harus dipertikai oleh setiap rakyat yang cintakan Malaysia.

Sekiranya Perdana Menteri masih berdegil dengan mengekalkan kontrak APCO ini, maka tergadailah negara dan terjejas keselamatan serta maruah kita semua. Kita hanya boleh harap kita masih belum terlambat.

Berikut adalah senarai beberapa sumber maklumat untuk artikel ini:

www.apcoworldwide.com
www.asero.com/index.cfm
www.wikipedia.org
www.harpers.org

Friday, April 02, 2010

Wee Choo Keong cari alasan untuk keluar?


PARA pengundi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mungkin harus bersedia kerana wakil rakyat mereka sudah menunjukkan indikasi yang jelas, bahawa beliau berkemungkinan akan menyertai kelompok MP Bebas seperti empat orang rakan yang lain.

Ucapan Wee di Parlimen, walaupun tidak sekeras rakannya Dato' Seri Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru) dan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu), tetapi adalah seiring dan senada dengan mereka.

Zahrain mengecam Dato' Seri Anwar Ibrahim secara terus, dengan mendakwanya berjuang untuk kepentingan peribadi. Zulkifli sering menggunakan istilah 'Firaun Kecil' dan Wee menggunakan istilah 'Little Napoleon' semasa mengkritik KeADILan di Parlimen.

Nada ucapan mereka adalah sama, menghentam Anwar, Keadilan, DAP atau Pakatan Rakyat, dalam masa yang sama mereka memuji Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Mengapa mereka-mereka ini memuji PM yang juga Presiden Umno? Adakah kerana mereka sudah dibawa berjumpa dengan PM sendiri atau ada ejen-ejen PM yang sudah berunding dengan mereka?

Apakah semua gelaran dan istilah-istilah ini diciptakan sebagai alasan semata-mata? Atau ianya merupakan alasan yang sudah diskripkan oleh pihak tertentu, untuk membalas budi pihak tertentu, dengan habuan tertentu yang dijanjikan.

Ketiga-tiga mereka ini, termasuk Tan Tee Beng (Bebas-Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bebas-Bagan Serai) mendakwa mereka keluar, dipecat, sudah keluar atau hendak keluar kononnya kerana mereka berprinsip.

Mereka menyerang KeADILan dengan mendakwa parti itu dikuasai oleh individu atau sekelompok pemimpin yang digelar 'Firaun Kecil' dan 'Little Napoleon'.

Mungkin mereka ini tidak sedar, atau sengaja tidak peduli apakah persepsi umum, khususnya pelawat-pelawat di Parlimen terhadap mereka, bahawa mereka ini adalah 'pelacur politik' yang tidak berprinsip.

Malah jika dicuri dengar, sembang-sembang beberapa MP Umno-BN pun, mereka ada menyebut rumours berapa nilai yang 'dibayar' kepada MP Bebas ini.

Ada yang menggelar MP Bebas tertentu dengan gelaran 'The Six Million Dollar Man'. Ada yang kata mereka sudah menerima bayaran pertama sebanyak RM1 juta seorang.

"Saya dengar beberapa orang sudah dapat RM1 juta, tapi Mohsin hanya dapat RM100 ribu tunai. Mohsin sudah tidak puas hati, dia cakap macam mahu balik ke Pakatan Rakyat," kata seorang rakan wartawan akhbar tempatan yang menambah sebarkan rumours.

"Ya lah, tadi orang-orang PM cakap ada MP Bebas jumpa PM di pejabat PM (Tingkat Dua, Bangunan Parlimen)," kata seorang yang lain.

Malah ketika penulis bersembang dengan seorang menteri di Lounge Ahli Parlimen selepas Wee berucap, beliau memberikan justikifasi kepada serangan Wee terhadap KeADILan dengan berkata:

"Kalau you nak tahu, Wee sangat marah apabila nama beliau dikaitkan untuk lompat, sewaktu berkunjung ke Washington, bersama Zahrain dan Nazri (Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz).

"Kunjungan itu bukan untuk BN membeli MP KeADILan, tapi itu program yang sudah lama diatur oleh Parlimen," jelasnya bersungguh-sungguh.

Katanya, Wee juga marah apabila dikaitkan oleh 'Little Napoleon' bahawa beliau mahu melompat kerana mempunyai masalah peribadi termasuk bebanan hutang yang besar.

Soal betul atau tidak semua dakwaan dan alasan ini, bagi penulis ia, bukan persoalan asas yang sebenarnya. Semua itu bukan alasan dan penyebabnya.

Berkenaan dengan Wee, ada dua alasan yang besar iaitu, pertama, sebab Wee sejak dulu memang anti-Anwar. Kedua, Wee memang 'tidak sebulu' dengan DAP.

Mengenali Wee secara peribadi, beliau merupakan antara rakan lama penulis. Mengenali beliau sejak tahun 1990, ketika menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang, di atas tiket DAP.

Beliau adalah seorang peguam, yang berasal dari Kampung China, Kota Bharu. Kalau bercakap bahasa Melayu beliau tidak mahir, tetapi kalau 'kecek Kelate', jika tidak melihat wajahnya, nescaya kita akan percaya dia orang Melayu Kelantan.

Namun nasib beliau dalam politik agak kelam. Selepas menang kali kedua dalam Pilihan Raya Umum 1995, beliau dikalahkan dalam mahkamah. Kerusi Bukit Bintang disedekahkan secara percuma kepada calon Barisan Nasional dari MCA.

Wee ketika itu menjawat jawatan Setiausaha Publisiti DAP. Tidak lama kemudian, berlaku krisis kepimpinan dalam DAP, menyaksikan beberapa orang anggota Jawatankuasa Pusat DAP, bertelagah dengan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Beberapa orang rakan Wee, termasuk bekas Ahli Parlimen Seputeh, Liew Ah Kim mengumumkan keluar parti. Wee menubuhkan Malaysian Democratic Party (MDP). MDP adalah splinter group dari DAP.

Masalah Wee dengan rakan-rakan DAP tidak pernah kesudahan. Beliau sering bertelagah dengan mereka. Media-media akhbar Cina khususnya, sering menyiarkan kenyataan Wee.

Namun perjuangan MDP tidak sampai ke mana. Parti itu wujud tetapi tiada sokongan. Ia lebih kecil dari grup parti sosialis pimpinan Dr Mohd Nasir Hashim atau pun mungkin lebih kecil dari Kimma.

Difahamkan atas tiket MDP ini Wee diberi ruang untuk bertanding menggunakan lambang KeADILan, dengan persefahaman MDP akan dibubarkan.

Penulis agak terkejut beliau diberi peluang oleh Anwar untuk bertanding di Wangsa Maju, kerana jika dikaji balik sejarah ucapan Wee di Parlimen sebelum ini, memang banyak ditujukan menghentam Anwar sewaktu beliau duduk dalam Kabinet.

Penulis percaya, Anwar juga tahu sikap Wee terhadap beliau.

Mungkin kerana Anwar fikir Wee barangkali, boleh diterima sebagai rakan politik untuk menentang BN. Tetapi mungkin juga Anwar tersalah calculate, atau salah anticipate tentang sikap Wee terhadap beliau.

Anwar cuba bersikap profesional dengan Wee, walaupun banyak kenyataan MP Wangsa Maju itu mengkritik KeADILan dan DAP secara terbuka.

Antara isu panas, yang dibangkitkan Wee mengenai pejabat Exco Kerajaan Selangor, dari DAP digunakan sebagai tempat mesyuarat bouncer kelab malam, yang membawa kepada campur tangan SPRM sehingga menyebabkan kematian Teoh Beng Hock, menajamkan krisis-krisis ini.

Tanpa mengambil kira apa masalah beliau, secara peribadi, penulis bercakap dengan Wee untuk terus kekal dalam Pakatan Rakyat, walaupun beliau tidak bersetuju dengan pihak-pihak tertentu dalam KeADILan.

Apa pun kata penulis kepada beliau, semua alasan yang diberikan dalam Parlimen, tidak cukup kuat untuk dijadikan asas mengkhianati perjuangan rakyat dengan bersekongkol dengan BN.

Penulis menyarankan agar Wee memikirkan pengundi-pengundi yang menyokongnya, bukan kerana ketokohan peribadinya, tetapi komitmen menolak BN. Penulis mengingatkan Wee, supaya jangan sekali-kali melakukan tindakan yang bertentangan dengan kehendak dan aspirasi rakyat.

Kata penulis kepada Wee, sebagai anak Kelantan, sebelum buat apa-apa sahaja keputusan, Wee sepatutnya berjumpa dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, untuk meminta pandangan beliau.

Kata penulis kepada Wee, "Kalu demo gi jugok, tak rujuk Tok Guru, kapir tobat kawe dan pengundi demo di Wangsa Maju tak terima."

"Takpa kawe pehe, kawe pikir dulu guano," kata Wee.