Tuesday, March 02, 2010

Umno-BN tidak layak agih royalti

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Dato' Husam Musa menegaskan pemimpin-pemimpin Umno Kelantan tidak layak untuk mengagihkan royalti petroleum kerana mereka tiada kuasa dari segi undang-undang untuk berbuat demikian.

Katanya, pemimpin Umno Kelantan mahu pun yang berjawatan Menteri, tidak layak untuk bercakap mengenai royalti kerana tidak mempunyai portfolio dalam bidang tersebut.

Husam, Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang menghubungi Harakah berkata, beliau hairan mengata pemimpin Umno beriya-iya mahu menghalang pemberian royalti yang bukannya dalam bidang kuasa mereka.

"Sepatutnya mereka bersatu dengan kita (Kerajaan Kelantan pimpinan PAS) untuk menuntut royalti bagi faedah rakyat Kelantan.

"Tetapi apabila rakyat melabel mereka penderhaka, mereka kelihatan begitu marah," katanya sinis.

Tegasnya, tanggungjawab untuk menjawab isu royalti sepatutnya diserahkan kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan Petronas yang lebih tahu mengenai tuntutan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Tanggungjawab untuk menjawab isu ini ialah perdana Menteri dan Petronas, bukan Menteri atau Timbalan Menteri yang tidak ada kena-mengena dengan Portfolio Petroleum, sebab itu bagi saya, keputusan ini adalah keputusan politik Umno Kelantan.

Husam mendakwa pemimpin Umno Kelantan jelas mengutamakan politik apabila kenyataan yang dikeluarkan dilihat bercanggah dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said yang turut memperjuangkan isu tuntutan royalti petroleum.

"Kenapa Umno Kelantan berbeza pandangan dengan Umno Terengganu serta Ahli Parlimen Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah), satu parti iaitu Umno tetapi ada dua pandangan yang berbeza mengenai royalti, ini menunjukkan ianya sekadar untuk kepentingan politik.

"Kerajaan Negeri Terengganu menuntut dari sudut undang-undang walaupun mereka daripada Umno, Ahli Parlimen Gua Musang juga dari parti Umno, memberi pandangan mengikut undang-undang, tetapi Umno Kelantan mengetepikan undang-undang kerana politik," bidasnya.

No comments: