Thursday, March 11, 2010

Lawak bodoh Gerak dengan 'Firaun'

Tindakan Gerakan Rakyat Integriti dan anti Korupsi (Gerak) mempelawa seorang Ahli Parlimen yang dipecat dari KeADILan beserta tiga Ahli Parlimen bebas, untuk menyertai badan itu, adalah lawak yang paling bodoh dalam abad ini.

Dalam satu kenyataannya, Gerak mengajak Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), Dato' Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), untuk 'memperjuangkan isu integriti dan anti-korupsi atas nama Islam.'

"Gerak menghormati pendirian beliau terutamanya terhadap isu penggunaan kalimah Allah.

"Namun Gerak mengajak beliau untuk memperjuangkan isu yang lebih universal dan paling utama iaitu integriti dan anti korupsi di negara ini," ujar kenyataan itu.

Jika Gerak hendak berjuang membanteras gejala rasuah, Gerak seharusnya menempatkan diri mereka sebagai sebuah badan bebas yang bertindak tanpa ada pengaruh sesiapa pun.

Apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Sejak selepas Ezam Mohd Noor keluar KeADILan, Gerak pun turut sama membuat tindakan yang dilihat anti-Pakatan Rakyat dan pro-Umno-Barisan Nasional.

Namun Gerak yang selama ini dilihat pro-Ezam-Umno, menerima tempelak yang paling hebat apabila anak didiknya, Nazree Yunus yang juga Pengerusi Gerak menyertai KeADILan.

Bagi penulis, Gerak sepatutnya menghentikan kerja-kerja bodoh mereka yang selama ini menganggu kerajaan Pakatan Rakyat.

Hari ini, Gerak membuat lawak paling bodoh dengan mengajak 'Firaun-firaun kecil' menyertainya, kononnya untuk menegakkan integriti dan membanteras korupsi dalam negara.

Astagfirullah, apalah bodoh sangat budak-budak yang pegang Gerak sekarang ini. Janganlah buat kenyataan tanpa usul periksa dan hanya menunjukkan mereka sangat berpihak kepada Umno-BN.

Sebelum mengundang mereka-mereka ini menyokong usaha Gerak, cuba lihat fakta yang sebenarnya mengapa 'Firaun-firaun kecil' ini dipecat atau memecatkan diri daripada KeADILan. Cubalah siasat latar belakang mereka, lihat dahulu prestasi perkhidmatan mereka di kawasan parlimen masing-masing.

Selepas mendapati mereka benar-benar bersih, ada kredibiliti dan integriti, barulah boleh kalau-kalau hendak disandarkan kepercayaan kepada mereka untuk memperjuangkan anti korupsi.

Memperjuangkan isu-isu untuk mempertingkatkan integriti dan menentang rasuah merupakan sesuatu yang amat baik, namun apa yang hendak diharapkan dari 'Firaun-firaun kecil' ini, melainkan jika Gerak sudah termasuk dalam kumpulan 'Firaun-firaun kecil'.

'Firaun-firaun kecil' ini banyak dipalitkan dengan perangai yang amat hodoh, ada di antaranya dikatakan 'tahi judi', ada yang hutang keliling pinggang, ada yang marah kerana tidak dapat projek dan premis perniagaan, ada yang kaki 'auta' keliling pinggang dan yang paling penting, ada yang didakwa 'menelan' sejumlah rasuah yang besar.

Apakah elemen-elemen sebegini menepati kehendak Gerak? Mereka semua ini Ahli Parlimen low class. Mereka dipilih dalam pilihan raya atas platform KeADILan, mendapat mandat rakyat kerana KeADILan, tetapi akibat kepentingan peribadi, mereka mengkhianati perjuangan.

Ketika penulis bersama Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman berkunjung ke rumah Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini, merujuk kepada wakil Bayan Baru, beliau mengatakan, "Saya kenal Zahrain luar dalam, keluarga dia pun saya kenal, eloklah dia tak duduk dalam Pakatan Rakyat."

Seorang sahabat lama penulis, yang kini menjadi Ustaz Yaakob Hussin, Adun Bandar Baharu dalam Parlimen Kulim-Bandar Baharu, ketika ditanya mengenai wakil rakyat yang dipecat mengatakan, "Saya tidaklah kata dia (Ahli Parlimen) pembohong, tapi apa yang dia tulis dalam blog dia mengenai dia (tugas) di kawasan ini, semuanya tidak betul.

"Berbelas kali mesyuarat Tindakan Daerah, sekali sahaja dia hadir. Kawasan pun dia tak turun (tidak berkhidmat)," kata beliau yang juga YDP PAS Kawasan Kulim-Bandar Baharu.

Yaakob dengan tegas mencabar Zulkifli supaya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan mengembalikan mandat kepada rakyat, untuk memilih wakil rakyat yang sebenar.

Apa pun pada penulis 'Firaun-firaun kecil' ini, bersama dengan Gerak, sudah termasuk dalam kumpulan cawangan-cawangan Umno seperti SPRM, Peguam Negara dan mahkamah.

Mereka akan terus digunakan sebagai alat-alat pemfitnah dan memburuk-burukkan Pakatan Rakyat, dengan tujuan untuk mengekalkan kuasa Umno-BN.

Pada persidangan Parlimen yang bermula 15 Mac ini, kita tunggu dan lihat sahaja dengan siapa mereka hendak bergaul. Selama ini mereka sentiasa bersama ahli Parlimen PAS, KeADILan dan DAP dalam satu pasukan, kali ini, kita hendak melihat, mana mereka hendak 'letak muka'.

Lensa-lensa jurufoto akan sentiasa bersedia untuk merakam gelagat empat orang ini. Sama ada mereka hendak 'join' kelompok BN atau kelompok 'katak'!

No comments: