Monday, March 29, 2010

MP badut bawa malapetaka kepada BN


SEJAK dua minggu ini, ramai orang menganggap Parlimen Malaysia macam 'pasar ikan'. Tidak kurang yang mengatakan ianya macam sarkas. Puncanya kerana Ahli-Ahli Parlimen bertelagah, bertempik dan melepaskan kemarahan sehingga menyebabkan Dewan Rakyat riuh rendah.

Sejak Dewan Rakyat memulakan persidangannya 15 Mac lepas, ia menjadi medan tuduh menuduh, fitnah memfitnah dan medan melepaskan kemarahan serta geram sesetengah ahli parlimen terhadap satu sama lain.

Kekecohan bermula akibat usaha Umno-Barisan Nasional untuk mempergunakan empat Ahli Parlimen (MP) Bebas, seorang dipecat, manakala tiga lagi bertindak keluar dari KeADILan, yang 'digunakan' sebagai alat untuk menyerang Pakatan Rakyat, khususnya Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim menemui jalan buntu, akibat ditentang hebat MP Pakatan Rakyat.

Pada awalnya Umno-BN seakan-akan berpesta. Dengan bantuan media talibarut, Umno-BN menghighlightkan ucapan Dato' Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru), Dato' Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Baharu) untuk memusnahkan kredibiliti Anwar dan memburuk-burukkan Pakatan Rakyat.

Usaha-usaha jahat Umno-BN ini seolah-olahnya didalangi pihak tertentu di Parlimen. Mereka mengatur wakil Bebas ini berucap sebaik sahaja pemimpin utama Pakatan Rakyat selesai berucap, walhal Bebas bukannya sebuah parti atau institusi yang penting dalam negara.

Mereka mengatur Zahrain berucap selepas Anwar. Mengatur Ibrahim berucap selepas Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan mengatur Zulkifli berucap selepas Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang).

Tindakan pihak tertentu di Parlimen menyusun atur perbahasan sedemikian rupa dibantah keras Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat. Untuk apa mereka mengutamakan wakil Bebas? Tidak lain tidak bukan semata-mata untuk dipergunakan bagi melanyak Pakatan Rakyat.

Umno-BN amat mengetahui, jika wakil mereka yang berucap menghentam Pakatan Rakyat, nescaya mereka modal mereka tidak akan laku.

Sebab itu mereka gunakan wakil bebas yang mengkhianati perjuangan Pakatan Rakyat, untuk menjatuhkan maruah serta kredibiliti pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Maka sama ada secara sedar atau berkepentingan, Zahrain digunakan untuk melanyak Anwar habis-habisan dengan dakwaan Ketua Umum KeADILan itu mahu menjatuhkan kerajaan pada 16 September 2008, menggunakan nama Yang di Pertuan Agong serta Panglima Angkatan Tentera.

Malah Zahrain turut menamakan lapan orang Ahli Parlimen BN dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang didakwanya 'berunding' dengan Anwar untuk lompat ke Pakatan Rakyat. Terbaru beliau mendakwa ada 40 orang MP BN yang hendak lompat.,

Media talibarut dipergunakan sehebat-hebatnya untuk 'menelanjangkan' Anwar. Zahrain ditabal dengan hebatnya sebagai superhero oleh Umno-BN.

Segala polis dan SPRM heboh dikerah untuk menyiasat Anwar. Pergilah siasat kalau ada bukti. Bukan sahaja siasat Anwar, siasat sama Yang di Pertuan Agong, adakah baginda ada memberi perkenan kepada Anwar untuk menubuhkan kerajaan baru. Siasatlah Panglima Angkatan Tentera, adalah beliau berunding dengan Anwar.

Tetapi amat malang bagi Zahrain apabila ke semua mereka yang dituduh berunding dengan Anwar itu menafikan pembabitan mereka dengan Anwar.

Malah rakan baiknya Tan Tee Beng (Bebas-Nibong Tebal) ketika ditemuramah Astro, ketika ditanya sama ada benar atau tidak dakwaan Zahrain, dari raut muka beliau jelas tidak pasti, malah yang dijawabnya mungkin benar.

Lebih malang buat Zahrain, apabila beliau dituduh pembohong oleh Dato' Seri Abdul Ghafur Salleh (BN-Kalabakan). Selain menggesa Zahrain meminta maaf dan menarik balik dakwaannya, Ghafur mendakwa Zahrain sudah 'buncit dan penuh poket'.

Zahrain sebenarnya, mahu diguna untuk memerangkap Anwar dan Pakatan Rakyat. Sebaliknya dari satu sudut yang lain, Zahrain 'tersilap' dengan memberitahu Pengerusi BN, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, bahawa ada 40 orang MP yang bila-bila masa akan mengkhianati BN!

Ha! Ha! Ha! Hilai tawa Abdullah Sani (KeADILan-Kuala Langat) memecah dewan. Amukan Zahrain tersilap langkah, bukan sahaja gagal mengganggu gugat Pakatan Rakyat, malah berjaya memecahbelahkan Umno-BN sehingga menimbulkan prasangka buruk sesama mereka sendiri.

Mana tidaknya, lapan orang MP yang dinamakan hendak 'cross' ke Pakatan Rakyat, jenuh menapis pertanyaan dan dakwaan dari parti dan pengundi mereka sendiri. Kredibiliti Zahrain sudah dimusnahkan oleh orang Umno-BN sendiri.

Begitu juga dengan Ibrahim Ali. Beliau yang menerajui Perkasa, kononnya memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu, menunjukkan sikap yang amat hodoh di Parlimen.

Beberapa kali beliau melepaskan kemarahan dengan cara yang tidak bersopan. Sebelum ini segala perkataan buruk terkeluar dari mulutnya, memaki hamun MP Pakatan Rakyat, kali ini beliau berdengus dengan nada yang amat marah dan menghempaskan kertas di Parlimen.

Kehodohan sifat beliau bertentangan dengan nilai-nilai murni yang ada pada Islam dan Melayu yang hendak dijuarainya. Malah Ibrahim makin tersepit dengan dakwaan beliau ada kaitan dengan syarikat judi sebagaimana yang didedah oleh Saifuddin Nasution Ismail (KeADILan-Machang).

Walaupun Ibrahim boleh memperbetulkan dakwaan terhadap beliau, namun di atas kedangkalan sikapnya di Parlimen, segala usaha untuk menghentam dan melanyak Anwar dan Pakatan Rakyat, terus menemui jalan buntu.

Usaha Umno-BN untuk mempergunakan Zulkifli turut menemui jalan buntu. Seawal ucapannya Zulkifli diganggu dengan kesilapannya sendiri. Beliau mengaitkan ramai MP. Termasuk Wee Choo Keong (KeADILan-Wangsa Maju).

Wee bangun mencelah ucapannya, membantah namanya dikaitkan oleh Zulkifli. Begitu juga dengan Zahrain, usahanya untuk mencelah ucapan Zulkifli, bagi menegakkan dakwaan hodohnya, tidak dilayan rakan Bebasnya sendiri.

Malah ucapan Zulkifli terganggu dengan pertikaman lidah Ibrahim dengan Saifuddin, sehingga Speaker terpaksa mendamaikan mereka.

Dalam ucapannya Zulkifli mendedahkan sifat 'ularnya'. Beliau cuba untuk membela Anwar dalam kes liwatnya dan cuba memuji Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat.

Tetapi beliau lebih banyak 'mengampu' Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam isu pembunuhan Altantuya, yang didakwanya ada usaha untuk mengupahnya untuk menfitnah PM dan isteri.

Lebih jelik lagi apabila Zulkifli cuba mengampu Menteri Di JPM yang menjaga Parlimen iaitu, Dato' Seri Mohd Nazri Aziz dalam isu dakwaan terbabit pembunuhan membabitkan anak Nazri.

"Eloklah Umno-BN, Najib, Nazri, polis, SPRM semua percaya cakap dia. Saya yakin habis semua kena 'kelentong'.

"Siasatlah dia (Zulkifli Noordin), dah tentu satu bukti pun mereka tak akan jumpa," kata seorang peguam yang juga bekas sahabat karib pengkhianat itu, kepada penulis.

"Tidak mengapa, lepas ini ramai orang akan keluarkan ceramah beliau yang memaki hamun Najib dan Rosmah, kita bandingkan dengan ucapan dia di Parlimen, kita bongkar pembohongannya," kata rakan facebook Rouslan.

Baru-baru ini ketika penulis berkunjung ke rumah saudara di Kulim, penulis berjumpa ramai orang-orang PAS, mereka memang menggelar beliau sebagai YB, tetapi bukan Yang Berhormat, tetapi Yang Bohong!

Apa maksud mereka, penulis tidak berapa pasti. Namun, sudah banyak orang yang 'terkena' dengan pengkhianat spesies lidah bercabang ini.

Biarlah Allah buktikan siapa yang benar, siapa yang bohong. Selepas puas memanipulasi Pakatan Rakyat, biarlah spesies' badut katak dan sesumpah' ini, 'menjual Umno-BN' pula.

Badut-badut ini sebenarnya sudah tersilap langkah. Langkah mereka sumbang semuanya. Selepas mereka keluar dari Pakatan Rakyat, tiada lagi MP yang mahu menyusul mereka, kerana takut 'dimakan sumpah'.

Segala kata-kata badut-badut ini, memakan diri sendiri. Bukan sahaja penyokong Pakatan Rakyat tidak mempercayai mereka, malah orang-orang Umno pun meluat dengan mereka.

Jelas, badut-badut ini hanyalah pencacai yang digunakan buat sementara sahaja. Nasib mereka ini umpama lintah yang diberi makan darah ikan keli banyak-banyak sampai gemuk. Selepas kenyang, mereka 'dimatikan'.

Kepada Umno-BN, penulis ucapkan good luck!

Wednesday, March 24, 2010

Bahaya muqabalah Umno-Yahudi


Hubungan pemimpin-pemimpin Umno-BN, khususnya Perdana Menteri, menggunakan konsultan APCO Worldwide yang mempunyai kaitan dengan elemen Zionis dan Neo-Konservatif Amerika Syarikat, jelas amat membahayakan negara.

Sebagai sebuah negara yang dihormati sebagai antara peneraju pergerakan negara-negara Islam, adalah amat malang dan memalukan apabila pemimpin Umno-BN, membuat hubungan rasmi dengan agen-agen yahudi untuk mempromosikan agenda mereka.

Kerajaan BN jelas menodai mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, sekaligus mereka membohongi rakyat, bahawa kononnya mereka mempertahankan Islam dan anti-Zionis.

Rakyat memandang serius, isu kerajaan BN menggunakan khidmat APCO Worldwide untuk membantu BN menguruskan negara dengan mempromosikan slogan 1Malaysia, menyamai slogan 1Israel semasa kerajaan haram Yahudi dipimpin Perdana Menteri, Ehud Barak suatu ketika dahulu.

Dalam hal ini, bukan soal hendak menyamakan Umno dengan Yahudi, tetapi yang dipersoalkan ialah, mengapa Umno yang mendakwa mereka sebuah parti Melayu-Islam menggunakan khidmat perunding Yahudi?

Apa perlunya Yahudi digunakan untuk mempromosikan slogan One Malaysia? Apakah dalam keadaan sekarang, amat mendesak buat Umno untuk menggunakan khidmat Yahudi untuk menyambung hayatnya dalam politik negara?

Kita mendesak supaya Umno-BN yang dipimpin Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak memperjelaskan keadaan ini. Kita mendesak supaya Umno-BN membatalkan kontrak dengan APCO Worldwide.

Walaupun ada jawapan rasmi kerajaan di Parlimen yang menyatakan bahawa perkhidmatan APCO Worldwide tidak digunakan khusus untuk mempromosi 1Malaysia tetapi untuk semua isu-isu umum komunikasi, tetapi yang dipersoalkan sekarang ini, apakah keperluan dan kewajarannya dibayar syarikat Yahudi ini puluhan juta ringgit menggunakan wang rakyat?

Kerajaan Umno-BN seharusnya sedar bahawa perkhidmatan APCO Worldwide, selain digunakan Israel sebagai konsultan propagandanya, perkhidmatannya turut digunakan oleh diktator di Nigeria dan Kazakhstan.

Justeru dalam hal sebegini, Kerajaan Umno-BN tidak harus menyembunyikan kepada rakyat, apakah peranan APCO Worldwide yang sebenarnya dan berapakah nilai kontrak yang dibayar kepadanya.

Kerajaan Umno-BN harus mendedahkan kepada rakyat, apakah syor-syor yang diberikan oleh APCO Worldwide kepada semua kementerian yang digunapakai untuk faedah rakyat jelata.

Sebagaimana yang ditegaskan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff di Dewan Rakyat, 22 Mac lepas, "Jika Umno-BN tidak membatalkan kontrak APCO, ia memberi implikasi bahawa dasar-dasar Israel menjadi asas kepada komunikasi negara.

"Saya cabar Perdana Menteri jika tidak ada tindakan tegas diambil, rakyat akan berkata kamu bersekongkol dengan pemimpin Israel."

Rakyat Malaysia tidak lupa bagaimana sebelum ini, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menggunakan khidmat pelobi Yahudi yang pro-Zionis dan neo-konservatif ektremis, Jack Abramoff, dengan jumlah bayaran yang begitu besar.

Difahamkan, Kerajaan Malaysia telah membayar yuran perundingan sebanyak AS$1.2 juta (RM4.6 juta) kepada Abramoff bagi khidmat menguruskan pertemuan antara Mahathir dan Presiden Amerika ketika itu George W. Bush di White House, Washington pada Mei 2002.

Malah Menteri Pertahanan Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi turut dikecam keras kerana mengadakan pertemuan bersama Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak di sebuah majlis koktel di Pertunjukan Udara Paris, 17 Julai tahun lalu.

Kesemua bukti ini menunjukkan wujudnya muqabalah antara pemimpin Umno dengan Yahudi, sedangkan pada masa yang sama Yahudi cukup terkenal dengan nama Penyembelih Gaza (The Butcher of Gaza).

Hubungan ini amat menghiris hati umat Islam di negara ini yang majoriti anti-Yahudi. Maka dengan itu, keadaan ini semakin membulatkan tekad rakyat, yang beragama Islam untuk menguburkan Umno pada PRU ke-13 nanti.

Monday, March 22, 2010

Pakatan Rakyat mesti jauhi sifat buruk Umno-BN


Peluang Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 amat cerah. Namun Pakatan Rakyat mesti membuktikan kepada rakyat bahawa ia berbeza dengan Umno, bahkan lebih baik daripada Umno.

Untuk berjaya, kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat mesti berani melakukan perubahan sesuai dengan kehendak perjuangannya. Hidup mencontohi kesederhanaan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Jangan sekadar retorik semata-mata.

Ikuti pandangan sisi AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu yang ditemubual wakil Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB pada 15 Mac lalu di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

HARAKAH: Apa pandangan saudara berhubung prestasi kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat setelah dua tahun memerintah?

MOHAMAD SABU : Dari segi umumnya lebih baik daripada kerajaan-kerajaan BN, terutama sekali perubahan yang dibuat di Selangor Pulau Pinang, untuk wujudkan kerajaan yang berintergriti, wakil rakyat yang berintergriti nampak kedua-dua negeri ini melakukan perubahan yang begitu menakjubkan, adapun negeri-negeri lain perubahan berlaku tetapi perkara fundamental tidak diusik, misalnya peranan RTM, BTN.

Kedah dan Kelantan tidak usik fundamental itu, sedangkan inilah punca kekuatan kepada Umno-BN, penyalahgunaan dua aggensi yang gunakan wang rakyat.

Keberanian Pulau Pinang dan Selangor saya amat kagum dengan perubahan dua negeri ini. Saya harap negeri-negeri lain membuat perubahan terutama dari sudut struktur, penyalahgunaan kuasa yang dilalui atau digunakan Umno-BN selama ini.

Perubahan-perubahan itu perlu untuk kita kemukakan satu pemerintahan yang baru, kalau kita tidak melakukan perubahan ini, bermakna kita hanya mengambil alih pemerintahan daripada Umno-BN, sedangkan segala bentuk strukturnya sama.

Apakah elemen-elemen yang baik yang ada pada pemerintahan negeri-negeri terbabit, mungkin ada contoh dari saudara?

Setakat ini Perak tidak dapat kita nilai sebab ia hanya 10 bulan walaupun ada perubahan yang mereka buat. Pulau Pinang dari sudut menyekat pembaziran, exco dan Ketua Menteri digalakkan berbelanja secara sederhana menggunakan wang kerajaan walaupun mereka berhak menggunakan wang kerajaan atas kerja rasmi, tetapi diminta gunakan secara minimum, dan ternyata mereka boleh selamatkan wang rakyat lebih 36 juta.

Begitu juga segala bentuk perbelanjaan wakil rakyat Selangor dihadapkan kepada jawatankuasa Selcat untuk memberi penerangan walaubagaimana pun perubahan-perubahan itu kita alu-alukan, tetapi kita belum lagi rasa berpuashati. Kita tidak mahu misalnya, kita hanya mengambil alih sahaja pemerintahan BN, iaitu jika dahulu Menteri Besar A dengan Exconya, dan kini Menteri besar B dengan Exconya, tetapi perkara fundamental yang sebabkan penyelewengan tidak berubah.

Ini kita harapkan perubahan. Di samping Kedah menunjukkan prestasi baik dalam memungut hasil balak, tetapi perkara pentadbiran perlu kita berani buat perubahan.

Letakkan perubahan ke arah melahirkan kerajaan yang benar-benar berintegriti. Soal kalah menang dalam pilihan raya umum akan datang itu perkara yang kedua, tidak guna jika kita terus menang pilihan raya tetapi kita mengambilalih perangai dan struktur BN yang akhirnya menjurus kepada negara kepada kekurangan kewangan hasil penyelewengan yang diwarisi bertahun-tahun.

Adakah berlaku perubahan dalam sikap dan imej pimpinan, atau kerajaan negeri?

Adapun pemerintahan Perikatan pada peringkat awalpun penyalahgunaan kuasa dalam pembinaan kekayaan orang politik tidak ketara hanya selepas Tun Dr Mahathir Mohamad memerintah dan kemudian Tun Abdullah Badawi dan Dato' Seri Najib Tun Razak baru kita nampak pemimpin politik kaya mendadak.

Kita tidak mahu benda seperti itu berlaku dalam pemerintahan kita, walaupun bibit-bibit awal itu mahu berlaku, kita perlu menentangnya. Macam kita kata di Kelantan, secara peribadi Tok Guru (Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat) hidup dalam keadaan yang cukup sederhana, tidak menggunakan wang rakyat.

Namun kita mengharapkan beliau mendoktrinkan amalan itu kepada bawahan sebab jika tidak diturunkan jadi satu pentadbiran, bila dia (Tok Guru) pergi nanti samada beliau berhenti atau meninggal dunia, makan cara pentadbirannya akan kembali kepada asal yang dibuat oleh BN, ini kita tidak mahu kerana kita mahu perubahan secara struktur, individu itu perlu tetapi struktur itu lebih penting daripada perubahan dalam hanya bentuk individu.

Kita lihat jika berlaku perubahan individu akhirnya struktur yang serupa akan makan balik apa yang berlaku di Kelantan kebelakangan ini ada dengar suara-suara yang walaupun tidak dibuktikan, tetapi kita dengarlah ada suara-suara orang tertentu dapat konsesi baklak secara berulang dan kaya mendadak berlaku beberapa orang dan perkara itu akan berulang.

Perginya orang-orang yang berintegriti seperti Tok Guru Nik Aziz, kita bimbang pulangan pentadbiran Umno-BN itu kembali.Ini yang kita mahukan perubahan itu dari sudut menyeluruh dan berintergriti kerajaan itu disamping perubahan individu.

Memang perubahan itu bermula dengan individu, tetapi ia mesti dimulakan turun ke bawah untuk wujudkan pentadbiran yang penuh intergriti.

Rakyat sebelum Pakatan Rakyat memerintah mereka mahukan kerajaan intergriti adakah pada saudara sudah menepati atau sebagainya?

Belum menepati, tetapi peringkat awal tadi saya kata persembahan baik. Sebab macam kita kata bahawa kerajaan Umar Abdul Aziz cuba nak memperbetulkan pengagihan kekayaan negara tetapi beliau hanya memerintah dua tahun empat bulan tetapi sistem yang beliau tinggalkan itu menjadi rujukan dan kajian seluruh universiti hingga kini.

Pada saya jika kita buat perubahan belum tentu kita menang dalam PRU13.Kita kena asingkan antara mengwujudkan kerajaan yang menang dalam pilihan raya umum atau mengwujudkan sebuah kerajaan yang berintergriti.

Kadang kala kita takut nak buat perubahan hingga kita takut nak buat apa-apa, ini nanti kita bimbang konsep amar maaruf nahi mungkar itu tak berjalan, kita tengok amar maaruf itu berjalan tetapi nahi mungkar itu kita tidak berani.

Nahi mungkar itu dalam bentuk rasuah, nepotisme, memberi kontrak kepada orang yang sama berulang-ulang, atau dalam nahi mungkar dalam bentuk arak judi dan kelab malam dan sebagainya.

Akhirnya kita tidak berani buat apa-apa dalam nahi mungkar sebaba kita takut hilang kuasa, bila takut hilang kuasa maka kita kekalkan sistem yang ada maka ia berulang apa yang dibuat oleh kerajaan Umno-BN walaupun kerajaannya bertukar yang ini tidak capai matlamatlah.

Bagi saya kita baru dua tahun dan kita boleh baiki keadaanlah, saya nampak fundamental kerajaan lama hanya digoyang oleh Pulau Pinang dan Selangor sahaja, tetapi kalau tanya pilihan raya akan datang merka menang atau tidak itu 'wallahua'lam'.

Tetapi mereka telah ubah, wujudkan Selcat, CAT, tender terbuka di Pulau Pinang, jika kita menguasai kerajaan pusat dan membuat tender terbuka seperti ini mungkin kita akan lihat suatu hari nanti Ketua Umno Bahagian terpaksa jual mee goreng untuk cari makan dan bukan boleh lagi harapkan kita bagi duit ataupun syarikat dua ringgit untuk projek kerajaan, dan sebagainya.

Maka kita akan lahirkan usahawan tulen pada masa akan datang yang menyebabkan rakyat dan masyarakat, negara lebih mewah.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat cukup teruk diserang Umno mutakhir ini, apakah sebabnya?

Ya...Umno rasa terancam terutamanya di Pulau Pinang, jika mereka nak cari makan dengan cara amalan dahulu dah tidak boleh kerana mereka mesti ada syarikat, kena masuk tender dan tidak boleh lagi menelefon orang tertentu untuk masuk projek, mungkinlah ada satu dua yang bocor tetapi secara umumnya payahlah.

Mereka dapat bayangkan kalaulah kerajaan pusat begini pemerintahannya akan datang jadi orang-orang politik ini yang nak cari makan kerana kedudukan dalam politik habis, sekarang ini kita dengar cerita-cerita dalam politik wang sudah menjadi perkara umum, dalam Umno.

Jika nak menang dalam Ketua Bahagian, mereka perlu habiskan dua tiga juta ringgit, kerana mereka tahu selepas jadi ketua bahagian mereka boleh dapat lebih dari itu dalam masa dua tiga tahun, jadi menjadi pemimpin politik adalah pelaburan, jadi benda itulah yang kita di Pakatan Rakyat kena hentikan.

Orang yang nak kaya dia mesti kerja ikut profesionalisme mereka bukan melalui kedudukan politik. Ini yang saya kagum dengan apa yang dibuat di Selangor dan Pulau Pinang, banyak kelemahan tetapi mereka telah memulakan satu era baharu. Tidak dilakukan di negeri-negeri bawah PAS.

Adakah perlu pembaharuan di negeri yang diperintah PAS?


Ya mesti membuat perubahan dan pembaharuan berani buat walaupun kita akan kalah dalam pilihan raya akan datang.

Apa saranan saudara kepada kerajaan negeri di bawah PAS?

Saya lihat dalam PAS sendiri dari segi menentang rasuah dan penyelewengan, dari sudut ceramah dan penerangannya memang berlainan dari parti lain. Dan dalam sudut buat masa singkat ini dalam memerangi rasuah, saya nampak boleh kepada DAP dengan kehidupan wakil rakyatnya yang hanya bergantung kepada elaun-elaun wakil rakyat yang tidak seberapa, mereka lebih zuhud jauh dari wakil rakyat kita.

Sedangkan kita daripada parti Islam mesti atasi DAP. Melainkankan ada mereka yang orang meniaga dan dah kaya kemudian masuk politik, ini cerita lainlah. Kita nampak intergriti hidup bertawaduk dan bergantung kehidupan hanya dengan elaun bukan meniaga, kita nampak hanya wakil rakyat DAP lebih bertahan berbanding kita.

Dengan prestasi yang ada, adakah kerajaan Pakatan Rakyat akan bertahan?

Dalam pilihan raya akan datang ini kita nampak peluang Pakatan Rakyat cerah sebab orang dah meluat dengan Umno, dan orang Umno pun dah meluat dengan Umno, bukan kerana persembahan kita terlalu baik tetapi kerana Umno terlalu lama, dan birokrasi mereka terdedah sekarang.

Misalnya bila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (MB Selangor) melarang pegawai kerajaan negeri mengikuti program BTN dan kemudiannya sepatutnya diikuti dengan Pulau Pinang, diikuti Kedah dan Kelantan sebab itulah senjata yang digunakan oleh Umno-BN kenapa kita tidak berani.

Ada yang kata kita takut hilang kerajaan, biarlah kerana selama ini kita sudah biasa jadi pembangkang, tetapi kita kena tunjukkan berani buat perubahan.

Thursday, March 11, 2010

Lawak bodoh Gerak dengan 'Firaun'

Tindakan Gerakan Rakyat Integriti dan anti Korupsi (Gerak) mempelawa seorang Ahli Parlimen yang dipecat dari KeADILan beserta tiga Ahli Parlimen bebas, untuk menyertai badan itu, adalah lawak yang paling bodoh dalam abad ini.

Dalam satu kenyataannya, Gerak mengajak Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), Dato' Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), untuk 'memperjuangkan isu integriti dan anti-korupsi atas nama Islam.'

"Gerak menghormati pendirian beliau terutamanya terhadap isu penggunaan kalimah Allah.

"Namun Gerak mengajak beliau untuk memperjuangkan isu yang lebih universal dan paling utama iaitu integriti dan anti korupsi di negara ini," ujar kenyataan itu.

Jika Gerak hendak berjuang membanteras gejala rasuah, Gerak seharusnya menempatkan diri mereka sebagai sebuah badan bebas yang bertindak tanpa ada pengaruh sesiapa pun.

Apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Sejak selepas Ezam Mohd Noor keluar KeADILan, Gerak pun turut sama membuat tindakan yang dilihat anti-Pakatan Rakyat dan pro-Umno-Barisan Nasional.

Namun Gerak yang selama ini dilihat pro-Ezam-Umno, menerima tempelak yang paling hebat apabila anak didiknya, Nazree Yunus yang juga Pengerusi Gerak menyertai KeADILan.

Bagi penulis, Gerak sepatutnya menghentikan kerja-kerja bodoh mereka yang selama ini menganggu kerajaan Pakatan Rakyat.

Hari ini, Gerak membuat lawak paling bodoh dengan mengajak 'Firaun-firaun kecil' menyertainya, kononnya untuk menegakkan integriti dan membanteras korupsi dalam negara.

Astagfirullah, apalah bodoh sangat budak-budak yang pegang Gerak sekarang ini. Janganlah buat kenyataan tanpa usul periksa dan hanya menunjukkan mereka sangat berpihak kepada Umno-BN.

Sebelum mengundang mereka-mereka ini menyokong usaha Gerak, cuba lihat fakta yang sebenarnya mengapa 'Firaun-firaun kecil' ini dipecat atau memecatkan diri daripada KeADILan. Cubalah siasat latar belakang mereka, lihat dahulu prestasi perkhidmatan mereka di kawasan parlimen masing-masing.

Selepas mendapati mereka benar-benar bersih, ada kredibiliti dan integriti, barulah boleh kalau-kalau hendak disandarkan kepercayaan kepada mereka untuk memperjuangkan anti korupsi.

Memperjuangkan isu-isu untuk mempertingkatkan integriti dan menentang rasuah merupakan sesuatu yang amat baik, namun apa yang hendak diharapkan dari 'Firaun-firaun kecil' ini, melainkan jika Gerak sudah termasuk dalam kumpulan 'Firaun-firaun kecil'.

'Firaun-firaun kecil' ini banyak dipalitkan dengan perangai yang amat hodoh, ada di antaranya dikatakan 'tahi judi', ada yang hutang keliling pinggang, ada yang marah kerana tidak dapat projek dan premis perniagaan, ada yang kaki 'auta' keliling pinggang dan yang paling penting, ada yang didakwa 'menelan' sejumlah rasuah yang besar.

Apakah elemen-elemen sebegini menepati kehendak Gerak? Mereka semua ini Ahli Parlimen low class. Mereka dipilih dalam pilihan raya atas platform KeADILan, mendapat mandat rakyat kerana KeADILan, tetapi akibat kepentingan peribadi, mereka mengkhianati perjuangan.

Ketika penulis bersama Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman berkunjung ke rumah Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini, merujuk kepada wakil Bayan Baru, beliau mengatakan, "Saya kenal Zahrain luar dalam, keluarga dia pun saya kenal, eloklah dia tak duduk dalam Pakatan Rakyat."

Seorang sahabat lama penulis, yang kini menjadi Ustaz Yaakob Hussin, Adun Bandar Baharu dalam Parlimen Kulim-Bandar Baharu, ketika ditanya mengenai wakil rakyat yang dipecat mengatakan, "Saya tidaklah kata dia (Ahli Parlimen) pembohong, tapi apa yang dia tulis dalam blog dia mengenai dia (tugas) di kawasan ini, semuanya tidak betul.

"Berbelas kali mesyuarat Tindakan Daerah, sekali sahaja dia hadir. Kawasan pun dia tak turun (tidak berkhidmat)," kata beliau yang juga YDP PAS Kawasan Kulim-Bandar Baharu.

Yaakob dengan tegas mencabar Zulkifli supaya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan mengembalikan mandat kepada rakyat, untuk memilih wakil rakyat yang sebenar.

Apa pun pada penulis 'Firaun-firaun kecil' ini, bersama dengan Gerak, sudah termasuk dalam kumpulan cawangan-cawangan Umno seperti SPRM, Peguam Negara dan mahkamah.

Mereka akan terus digunakan sebagai alat-alat pemfitnah dan memburuk-burukkan Pakatan Rakyat, dengan tujuan untuk mengekalkan kuasa Umno-BN.

Pada persidangan Parlimen yang bermula 15 Mac ini, kita tunggu dan lihat sahaja dengan siapa mereka hendak bergaul. Selama ini mereka sentiasa bersama ahli Parlimen PAS, KeADILan dan DAP dalam satu pasukan, kali ini, kita hendak melihat, mana mereka hendak 'letak muka'.

Lensa-lensa jurufoto akan sentiasa bersedia untuk merakam gelagat empat orang ini. Sama ada mereka hendak 'join' kelompok BN atau kelompok 'katak'!

Tuesday, March 09, 2010

Kejayaan dua tahun Pakatan Rakyat


Prestasi Kerajaan Negeri-Negeri Pakatan Rakyat Sepanjang 2 Tahun

Pakatan Rakyat secara tuntas memperlihatkan kerjasama dan muafakat utuh demi memasti serta menjamin kemaslahatan rakyat. Pakatan Rakyat akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang menjamin hak orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Pakatan Rakyat akan terus memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan didasari prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Berdepan dengan masalah perkauman yang meruncing, rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan perpaduan kaum yang semakin jitu dan utuh. Negeri-negeri Pakatan menunjukkan prestasi ekonomi yang memberansangkan jika dibandingkan dengan negeri yang ditadbir umno-barisan nasional.

Selangor

Negeri Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 6.76 billion pada tahun 2009 dan mencipta sebanyak 20 753 peluang pekerjaan. Dari jumlah pelaburan tersebut, RM 2.752 billion(40.8%) merupakan pelaburan tempatan. Manakala Projek Industri yang diluluskan di Selangor berjumlah 278, ianya merupakan yang tertingi dicatatkan di Negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga mensasarkan enam hingga tujuh peratus pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini daripada penguncupan sebanyak 3.87 peratus tahun lepas.

Selangor juga mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus iaitu sebanyak 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes pada tahun sebelumnya.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran berteraskan Islam sepanjang 2010. Peruntukan ini diberikan kepada SAR yang tidak pernah mendapat sebarang peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran dari Kerajaan Negeri mahupun sumbangan individu.

Pulau Pinang

Pulau Pinang meluluskan sebanyak 104 projek industri(ketiga tertingi). Dasar CAT (daya saing, pertanggungjawaban dan ketelusan) menjadi pemangkin kepada kejayaan Pulau Pinang untuk merekodkan lebihan belanjawan(surplus) sebanyak RM 88 juta berbanding jangkaan defisit sebanyak RM 35 juta(belanjawan 2008)

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mewujudkan 200 ekar hub pendidikan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul. Pengiktirafan serta bantuan kewangan (pemberian tunai) kepada pelajar terbaik SPM dan STPM serta para huffaz.

Bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat berjumlah RM 97 ribu per sekolah, RM 60 ribu kepada setiap sekolah Cina dan RM 63 ribu kepada setiap sekolah tamil. Jumlah keseluruhan ialah RM 11.3 juta. Berjaya membasmi kemiskinan tegar dalam masa satu tahun dan menjamin setiap keluarga mendapat RM 500 sebulan.

Kedah

Pelaburan adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Kedah telah mencatatkan pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempoh Januari hingga September 2009, dengan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4 juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta.

Kini dengan keluasan 1,000 hektar kerajaan mendapat hasil RM16.7 juta, tidak termasuk cukai per tan metrik bila balak dikeluarkan dari hutan. Sedangkan di bawah pentadbiran umno-bn, dengan keluasan yang sama, hanya mampu mengutip RM3 hinggga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu pertan metrik. Kejayaan ini merupakan hasil dari pelaksanaan dasar yang telus serta tidak berkompromi dengan rasuah.

Kelantan

Semenjak 20 tahun lepas Kerajaan Kelantan secara berterusan dianaktirikan akan tetapi Kelantan tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan. Program Kifalah untuk anak yatim, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya telah menjadi contoh kepada banyak negeri. Begitu juga dengan program Perbadanan Ladang Rakyat yang membantu golongan marhaen, Bandar Baru Tunjung dibina menjadi pusat komersil satelit kepada Kota Bharu. Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih bekalan air daripada Thames Water kepada Air Kelantan. Selain itu PMBK menjadi agensi pelaburan utama negeri yang sebelum ini gagal di bawah pemerintahan BN sebelum 1990. Kerajaan Negeri berjaya menguruskan 20 sekolah agama bantuan penuh kerajaan negeri yang cemerlang dan menjadi saingan kepada sekolah premier di bawah Kementerian Pendidikan. Kemahiran pelbagai syarikat multinasional adalah bukti kuasa beli rakyat Kelantan terus kukuh. Sepanjang 20 tahun pemerintahan ekonomi tempatan dibina secara kendiri tanpa bantuan stimulus dari kerajaan Pusat.

(Oleh Sekretariat Pakatan Rakyat)

Monday, March 08, 2010

Pakatan 'buang buruk', BN kutip 'sampah'


SELEPAS media propaganda Umno-Barisan Nasional membuat serangan bertalu-talu terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan partinya, kini giliran Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, serta parti dukungannya menjadi mangsa.

Mana tahu selepas ini PAS pula yang akan diserang, kiri kanan depan belakang tanpa belas ihsan oleh media tali barut Umno-BN.

Matlamat mereka satu sahaja, iaitu mereka mahu memecah belahkan Pakatan Rakyat, 'membunuh' karektor pemimpinnya, sekaligus berusaha menciptakan persepsi buruk serta ketidakyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Setakat ini Umno-BN gagal mencapai matlamat mereka. Usaha keras media tali barut tidak mencapai matlamat yang mereka harapkan.

Walaupun Pakatan Rakyat ditekan hebat, bagusnya ialah apabila pemimpin-pemimpinnya tidak mudah melatah akibat provokasi musuh.

Hebatnya setiakawan Pakatan Rakyat ditunjukkan dengan sokongan padu tidak berbelah bahagi oleh PAS dan DAP terhadap Anwar selaku Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia dan peneraju agenda reform dalam negara.

PAS dan DAP tidak samasekali berjaya digugat dengan provokasi media talibarut Umno-BN untuk tumpang semangkuk menyalahkan KeADILan dalam kemelut yang dihadapi.

Malah dengan dokongan kuat PAS dan DAP itu, KeADILan terus mantap dan berusaha melakukan pembersihan serta damage control, bagi menjayakan aspirasi serta cita-cita bersama Pakatan Rakyat.

Namun, kita tidak nafikan, serangan-serangan ini, sedikit sebanyak berjaya mencetuskan keluh kesah di kalangan pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat.

"Huh! Macam macam alasan ada. Rasa nak penampar sahaja wakil rakyat yang lari ini. Lepas ini Anwar jangan kutip lah bekas-bekas Umno dan golongan bermasalah ini," begitulah keluh rata-rata penyokong Pakatan Rakyat, apabila seorang demi seorang Ahli Parlimen KeADILan 'buat perangai' dengan mengkhianati perjuangan rakyat.

Mereka-mereka yang 'buat perangai' ini gelagatnya macam budak-budak pra-matang. Macam-macam alasan diberikan untuk menjustifikasikan tindakan mereka yang mengkhianati Pakatan Rakyat.

Ada yang kata mereka keluar kerana isu kalimah Allah, ada yang kata kerana tidak tahan dibuli parti sahabat, ada yang kata kerana KeADILan sudah lari dari perjuangan asal dan ada yang kata mereka keluar kerana mendakwa Anwar hanya berjuang atas kepentingan peribadinya sahaja.

Dengan pelbagai alasan ini, seolah-olahnya mereka memberi hint bahawa Umno-BN lah yang boleh disandarkan perjuangan mereka kelak.

Maka Dato' Seri Zahrain Hashim, Dato' Salehuddin Hashim, Tan Tee Beng, Mohd Fairus Khairudin dan Mohsin Fadzli Samsuri, mengumumkan keluar parti. Ada yang masuk Umno, ada yang jadi bebas.

Mereka yang kuat mengkritik parti sendiri dan menghentam parti sahabat secara terbuka seperti Zulkifli Noordin dan Wee Choo Keong, setakat rencana ini ditulis, masih belum menyatakan pendirian secara terbuka. (Nota : Zulkifli dipecat daripada KeADILan pada 6 Mac 2010)

Mungkin juga ada beberapa orang lagi yang sedang memikirkan dan mencari alasan untuk 'cabut'. Ada juga yang sedang tunggu dan lihat dahulu, apakah nasib yang bakal menimpa rakan-rakan mereka yang defect itu.

Dengan keluarnya mereka dari Pakatan Rakyat, atau dengan keceluparan mulut menghentam pemimpin Pakatan Rakyat, mereka ini sudah dimusuhi majoriti rakyat berbangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya.

Mereka ini sudah kehilangan kawan, ceramah di surau atau masjid dibatalkan, dibenci dan dicerca pengundi sendiri. Rakan-rakan dan sahabat handai mula menjauhkan diri dari mereka, kerana mereka sudah dikotori dengan najis Umno-BN.

Maka jadilah mereka ini umpama 'kerang busuk' yang sudah tidak laku. Kita tidak perlu berbuat apa-apa pada mereka. Nasihat pun tidak guna kerana, mereka-mereka ini sudah 'setkan minda'. Sudah lama mereka menunggu masa untuk membuat kacau dan keluar dari parti.

Mereka yang berperangai buruk ini, sama ada menjadi ejen Umno, yang dibiarkan duduk dalam Pakatan Rakyat untuk membuat kacau, atau yang mempunyai masalah peribadi sehingga diancam polis atau SPRM, atau yang mempunyai poor performance di kawasan Parlimen yang diwakili. Dan yang paling penting mereka dikatakan menerima tawaran yang amat lumayan, jika keluar parti.

Apa pun, mereka ini barangkali sudah mempunyai deal yang lama dengan Umno-BN. Mereka hanya menunggu masa sahaja untuk keluar. Bagi mereka sekarang ini mungkin perfect timing kerana, pada saat ini Anwar sedang ditekan dengan dakwaan kes liwat. Maka usaha mereka menambah tekanan terhadap Anwar pada saat yang getir ini, amat menggembirakan Umno-BN.

Menambah tekanan terhadap Anwar merupakan suatu kredit buat Umno-BN, kerana Anwar merupakan ancaman yang paling berkredibiliti untuk menumbangkan mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Kerja untuk menjatuhkan, memalukan serta memusnahkan karektor politik Anwar memang kerja-kerja rutin Umno-BN. Kebiasaannya kerja-kerja ini dibuat daripada luar. Namun kali ini Umno-BN ada sedikit kelebihan kerana wujudnya pembantu dari dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Hakikatnya, semua mereka yang mengkritik dan menghentam Anwar, sekaligus menjadi tali barut Umno-BN ini tidak sedar, jika tidak kerana Anwar yang memberi mereka peluang, sama ada dilantik memegang jawatan atau dipilih sebagai calon, tiada siapa pun yang akan kenal atau peduli dengan mereka.

Pepatah Melayu mengumpamakan mereka-mereka ini sebagai, 'anjing yang mengigit tuannya'. Tuan yang memberikannya makan dibalas dengan gigitan.

Perumpamaan ini membawa maksud, wujudnya dalam sebuah masyarakat, parti atau dalam keluarga, ada golongan yang tidak pernah mengenang jasa atau orang yang meletakkan kepentingan peribadi, mengatasi segala-galanya.

Bagi Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, tindakan puak-puak pengkhianat ini disifatkannya 'ada buaya di sebalik batu.'

Orang politik yang berjuang untuk kepentingan peribadi sebenarnya adalah 'gila'. Gila glamour, gila jawatan, gila projek, gila kebendaan dan berbagai jenis gila lagi.

Dalam istilah lain, golongan yang gila macam-macam ini, boleh dianggap sebagai terkena penyakit sawan. Penyakit sawan pun banyak menghinggapi orang politik sekarang ini.

Ada spesies orang politik yang terkena penyakit sawan katak, sawan sesumpah, sawan beruk dan sekarang ini sawan anjing pun ada. Hanya penyakit sawan babi sahaja yang belum ada. Kalau ada, jenuh Pakatan Rakyat kena samak.

Mereka yang mengkhianati perjuangan ini semuanya adalah sampah dan najis. Cumanya mereka dibezakan pada tahap mana kebusukan dan kejijikannya. Ada tahap muhaffafah, ada mutawasitah dan ada yang mukhalazah. Dan usaha untuk membersihkan mereka ini bergantung kepada tahap di mana mereka berada.

Namun, sampah dan najis ini ada di mana-mana. Ada dalam semua parti. Apa yang berlaku kepada KeADILan harus diambil iktibar oleh PAS dan DAP. Pemimpin PAS, DAP mahu pun KeADILan sekarang ini, harus lebih berhati-hati dan bertegas dalam soal disiplin terhadap wakil-wakilnya, khususnya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Lebih baik Pakatan Rakyat 'buang buruk' sekarang. Biar Umno-BN jadi rubbish collector untuk mengutip sampah-sampah masyarakat. Moga-moga dengan ketegasan pemimpin PAS, KeADILan dan DAP, mereka dapat membersihkan Pakatan Rakyat dari segala jenis sampah-sarap dan kotoran.

Mereka-mereka yang sudah menjadi sampah ini, sudah tentu tidak akan diterima oleh rakyat lagi. Malah rubbish collector pun sudah pasti tidak akan mengambil mereka sebagai calon pada PRU akan datang. Mereka-mereka ini sudah rosak dan tidak cukup syarat untuk dikitar semula.

Pertama, sebab dalam Umno-BN sudah cukup ramai berebut hendak jadi calon, dan keduanya, sampah-sampah ini hanya digunakan untuk menyekat arus deras Pakatan Rakyat dan memperlahankan kejatuhan Umno-BN sahaja.

Kita harus memastikan kegembiraan Umno-BN mengutip segala sampah-sarap ini hanya seketika sahaja. Selepas seluruh sampah-sarap dikumpulkan dalam Umno-BN, maka rakyat bersatu menggunakan jengkaut dan kita lupuskan mereka ke tempat pembuangan sampah pada PRU ke-13 nanti!

Manifestasi dari ketakutan BN


Hari ini (8 Mac) genap dua tahun, sambutan kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac 2008.

Dalam tempoh dua tahun ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bekerja keras melaksanakan dan menunaikan amanah serta kepercayaan rakyat yang diperolehi dalam pilihan raya tersebut.

Dua tahun ini bukannya suatu tempoh yang mudah buat Pakatan Rakyat. Laluannya amat sukar dan berliku.

Kesukaran ini wujud bukan kerana ketidakmampuan Pakatan Rakyat menguruskan kerajaan negeri atau melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh rakyat.

Kesukaran wujud kerana ia diciptakan oleh musuh-musuh dari dalam dan luar Pakatan Rakyat.

Musuh dari dalam ialah mereka-mereka yang berkepentingan, menjadi alat musuh dari luar untuk merosakkan nama baik Pakatan Rakyat.

Musuh dari luar Pakatan Rakyat, tidak lain tidak bukan, ialah Barisan Nasional (BN).

BN yang tidak dapat menerima hakikat kekalahan besar pada 2008 dan penolakan rakyat yang berterusan terhadap mereka.

BN amat ketakutan kerana selepas 50 tahun memegang tampuk kuasa secara mutlak, rakyat Malaysia sudah berani menolak mereka.

Umno-BN amat menyedari bahawa, selepas dua tahun ini, mereka terus menerus mengalami kemerosotan dan bercempera di antara komponennya sesama sendiri.

Selepas setahun Tun Abdullah Ahmad Badawi 'dijatuhkan' dari jawatan Perdana Menteri, Umno-BN di bawah Presiden barunya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, persepsi negatif rakyat terhadap mereka, masih belum dapat dipulihkan.

BN menerima tamparan paling hebat apabila dua tahun berturut-turut laporan Ketua Audit Negara memberikan pujian terhadap kesemua kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat dipuji kerana mengamalkan pemerintahan yang adil dan telus, menguruskan negeri dengan cekap, sekaligus berjaya menambah hasil negeri. Dengan peningkatan hasil negeri, maka Pakatan Rakyat berjaya membawa kemakmuran di negeri-negeri pimpinannya.

Sebaliknya Ketua Audit negara memberikan kritikan yang keras terhadap negeri-negeri di bawah pimpinan Umno-BN, yang bukan sahaja gagal menambah hasil negeri, malah meningkatkan beban hutang mereka serta kegagalan mengawal penyelewengan dan salahguna kuasa di peringkat akar umbi.

Maknanya, jika dibuat perbandingan kecekapan dan ketelusan mentadbir kerajaan negeri, Pakatan Rakyat jauh mendahului BN.

BN ternyata amat bimbang, lagi lama Pakatan Rakyat memerintah, selama itulah rakyat akan terus meninggalkan mereka dan memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat.

Umno-BN amat menyedari, jika kemaraan ini tidak disekat, harapan mereka untuk terus menerajui negara pada PRU ke-13 nanti akan terkubur.

Maka mereka tidak ada jalan lain selain memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Setakat ini BN dengan bantuan media talibarut mereka, gagal menghancurkan Pakatan Rakyat dari luar.

Mereka menukar strategi dengan usaha merosakkan Pakatan Rakyat dari dalam. Mereka menumpukan usaha mengkoyak rabakkan KeADILan kerana mereka tahu KeADILan lebih mudah untuk dirosakkan berbanding PAS dan DAP.

Justeru pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat.harus sedar bahawa serangan demi serangan yang dihadapkan kepada mereka, adalah manifestasi dari ketakutan BN terhadap kemaraan Pakatan Rakyat.

Hakikatnya dalam tempoh dua tahun ini, kehadiran Pakatan Rakyat amat dialu-alukan majoriti rakyat dan ia kini menjadi kerajaan menunggu (government in-waiting) di peringkat Persekutuan.

Tuesday, March 02, 2010

Ekonomi makin teruk, Anwar sanggah Najib

Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim menyanggah Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan mendakwa apa yang dikatakan sebagai 'senario ekonomi terburuk negara' telah berakhir sebagai kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Anwar menegaskan petunjuk ekonomi mengenai kenaikan kadar KDNK kepada 4.5 peratus dalam suku terakhir 2009 sebenarnya dipacu oleh perbelanjaan besar-besaran oleh kerajaan sejak setahun lepas.

"Suntikan pakej rangsangan, seperti yang diketahui oleh mana-mana ahli ekonomi, sebaiknya adalah langkah sementara dan tidak boleh dilakukan secara berterusan.

"Saya amat khuatir kerana kaedah pergantungan yang berterusan kepada perbelanjaan kerajaan secara besar-besaran seperti yang diamalkan Barisan Nasional, akan membawa kita ke kancah permasalahan ekonomi yang sangat serius," tegas beliau.

Menurut Anwar, hakikat sebenarnya ialah, saat apabila ekonomi negara yang kini retak akan terbelah dan berkecai sebenarnya sudah hampir tiba.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, Pakatan Rakyat tidak akan membuat pengisytiharan yang cuai seperti Perdana Menteri bahawa ekonomi kita sudah pulih.

"Kerana masih terlalu banyak masalah pokok yang perlu diselesaikan dengan segera sekiranya kita tidak mahu Malaysia terus tertinggal di belakang.

"Tindakan PM merwar-warkan anggaran pertumbuhan 5 peratus bagi 2010 sebagai sangat baik sebenarnya kurang berhemah," ujarnya.

Kata Anwar, apa yang tidak diwar-warkan oleh PM disebalik anggaran pertumbuhan 5 peratus itu adalah hakikat bahawa pada kadar tersebut, Malaysia ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Indonesia, Thailand, Filipina malahan juga Vietnam dalam tahun 2010 kelak.

Menurutnya, Malaysia pada suatu ketika adalah setanding dengan Korea Selatan dan Singapura dan jauh lebih maju dari negara-negara yang lain.

Anggaran terbaru yang dikeluarkan oleh IMF pada Oktober 2009 menunjukkan bagi tahun 2010, Malaysia dijangkakan akan tumbuh pada kadar yang paling lembap berbanding kumpulan negara-negara tadi, walaupun ekonomi dunia dijangka akan mula pulih.

Vietnam dijangka akan tumbuh pada kadar dua kali ganda lebih baik dari Malaysia dan negara-negara lain akan berkembang pada kadar yang secara puratanya 50 peratuslebih pesat dari Malaysia.

Tegas Anwar, Kerajaan BN perlu bertanggungjawab dan menerima hakikat bahawa ekonomi kita tersangkut di dalam perangkap seperti yang diumumkan Menteri Kewangan Kedua suatu masa dahulu; adalah disebabkan oleh salahguna kuasa dan rasuah oleh mereka yang berkuasa sejak sekian lama.

"Kemakmuran negara pada masa hadapan hanya boleh dijamin oleh sebuah kerajaan yang memikul amanah yang diberikan oleh rakyat dengan rasa tanggungjawab yang tinggi. Maka, persoalan ketelusan dan amalan pentadbiran yang baik adalah prasyarat untuk memulihkan ekonomi negara.

"Oleh sebab itu, Pakatan Rakyat akan terus bekerja keras untuk menawarkan kepada rakyat pentadbiran ekonomi yang telus, tulus dan berkembang secara sihat bagi jangkamasa yang panjang demi generasi akan datang," ujar beliau.

Umno-BN tidak layak agih royalti

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Dato' Husam Musa menegaskan pemimpin-pemimpin Umno Kelantan tidak layak untuk mengagihkan royalti petroleum kerana mereka tiada kuasa dari segi undang-undang untuk berbuat demikian.

Katanya, pemimpin Umno Kelantan mahu pun yang berjawatan Menteri, tidak layak untuk bercakap mengenai royalti kerana tidak mempunyai portfolio dalam bidang tersebut.

Husam, Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang menghubungi Harakah berkata, beliau hairan mengata pemimpin Umno beriya-iya mahu menghalang pemberian royalti yang bukannya dalam bidang kuasa mereka.

"Sepatutnya mereka bersatu dengan kita (Kerajaan Kelantan pimpinan PAS) untuk menuntut royalti bagi faedah rakyat Kelantan.

"Tetapi apabila rakyat melabel mereka penderhaka, mereka kelihatan begitu marah," katanya sinis.

Tegasnya, tanggungjawab untuk menjawab isu royalti sepatutnya diserahkan kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan Petronas yang lebih tahu mengenai tuntutan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Tanggungjawab untuk menjawab isu ini ialah perdana Menteri dan Petronas, bukan Menteri atau Timbalan Menteri yang tidak ada kena-mengena dengan Portfolio Petroleum, sebab itu bagi saya, keputusan ini adalah keputusan politik Umno Kelantan.

Husam mendakwa pemimpin Umno Kelantan jelas mengutamakan politik apabila kenyataan yang dikeluarkan dilihat bercanggah dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said yang turut memperjuangkan isu tuntutan royalti petroleum.

"Kenapa Umno Kelantan berbeza pandangan dengan Umno Terengganu serta Ahli Parlimen Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah), satu parti iaitu Umno tetapi ada dua pandangan yang berbeza mengenai royalti, ini menunjukkan ianya sekadar untuk kepentingan politik.

"Kerajaan Negeri Terengganu menuntut dari sudut undang-undang walaupun mereka daripada Umno, Ahli Parlimen Gua Musang juga dari parti Umno, memberi pandangan mengikut undang-undang, tetapi Umno Kelantan mengetepikan undang-undang kerana politik," bidasnya.

Kelantan mempunyai asas yang kuat menuntut royalti


Oleh DATO' HUSAM MUSA

Saya merujuk kepada artikel oleh Profesor Shad Saleem Faruqi yang diterbitkan dalam edisi The Star semalam (24 Februari 2010).

Oleh kerana, penulis tersebut adalah Pakar dalam bidang Perlembagaan, jadi tidak menghairankan jika sebahagian besar daripada rencana menyentuh tentang masalah tuntutan royalti petroleum Kelantan daripada sudut pandangan Perlembagaan.

Dengan demikian, ia memetik semula bahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang tidak relevan dengan tuntutan kami, melainkan ia berpendapat bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 ( "PDA “), 13 Perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak yang ditandatangani oleh 13 negeri dalam Malaysia dan Kerajaan Persekutuan adalah tidak mengikut perlembagaan dan kerana itu maka ianya tidak sah.

Demikian itu hasilnya akan membawa kesan yang luar biasa kepada Petronas itu sendiri kerana ianya ditubuhkan di bawah PDA, hak Kerajaan Persekutuan untuk menerima 5 peratus royalti dari hasil petroleum yang dihasilkan di mana sahaja di dalam Malaysia juga merupakan hasil dari PDA serta Perjanjian dan Greran Penyerah Hak dengan 13 Negeri.

Penyerahan Hakmilik mengikut PDA ke atas petroleum yang dijumpai dan diperolehi di daratan atau luar pantai Malaysia kepada Petronas.

Di bawah PDA, setiap daripada 13 negeri dalam Malaysia yang memeterai Perjanjian dan Geran Penyerah Hak yang sama kepada Petronas pada tarikh yang berbeza dalam 1975/1976 terhadap pemilikan petroleum masing-masing kepada Petronas, dengan pertimbangan bahawa Petronas hendaklah membayar kepada setiap Negeri di mana petroleum dihasilkan samada di daratan dan luar pantai dengan bayaran tunai dalam bentuk jumlah tahunan setara dengan 5 peratus daripada nilai petroleum yang dihasilkan di mana-mana negeri yang berkenaan.

PDA, kesemua 13 Perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak menggunakan istilah "bayaran tunai kepada kerajaan negeri berkenaan”. Perkataan yang popular digunakan oleh semua pihak ialah "royalti". Namun, tidak ada yang berubah mengenai bentuk pembayaran iaitu bayaran tunai kepada kerajaan negeri.

Istilah-istilah yang digunakan dalam PDA, 13 Perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak adalah "di daratan (On-Shore) " dan " luar pantai (Off-Shore)" untuk maksud petroleum yang dihasilkan di daratan dan di luar pantai. Tiada dinyatakan sama sekali sama ada di dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), 13 Perjanjian dengan Negeri-negeri mahupun 13 Geran Penyerah Hak tentang sekatan hak setiap Negeri untuk menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasarkan kepada jarak dari pantai.

Oleh kerana itu, baik PDA, 13 Perjanjian mahupun 13 Geran Penyerah Hak tiada menyekat pembayaran bayaran tunai bagi petroleum yang dihasilkan samaada 3 batu, 12 batu, 200 batu atau jarak lain daripada pantai kepada 13 negeri kerana jarak tersebut tidak dinyatakan sama sekali di dalam PDA, Perjanjian dengan Negeri-negeri dan Geran Penyerah Hak. Sebaliknya perkataan umum yang digunakan ialah ” Off-Shore”.

Pada bulan Mac 1978, Petronas memaklumkan Kerajaan Terengganu bahawa petroleum telah dihasilkan di medan minyak yang bernama Pulai yang terletak sekitar 150 kilometer dari pantai Terengganu.

Pada Jun 1978, Petronas telah membuat bayaran tunai pertama kalinya kepada Terengganu bagi pengeluaran minyak luar pantai Terengganu (di Pulai). Selama 22 tahun berturut-turut, iaitu dari tahun 1978 hingga Mac 2000, Petronas membuat bayaran tunai kepada Terengganu dua kali setahun di bawah PDA, Perjanjian dan Geran Penyerah Hak, meskipun minyak dihasilkan ratusan batu di luar pantai Terengganu.

Hanya apabila PAS membentuk Kerajaan Negeri Terengganu selepas Pilihan Raya Umum pada November 1999, Petronas berhenti membuat bayaran tunai kepada Terengganu, walaupun Petronas masih lagi mengeluarkan minyak di luar pantai Terengganu.

Profesor Shad tampak seperti kurang pasti atau tanya-tanya apakah estoppel digunapakai oleh pihak berkuasa awam. Petronas ditubuhkan di bawah PDA dan ianya juga merupakan syarikat awam (Berhad) ditubuhkan berdasarkan Akta Syarikat 1965.

Petronas adalah syarikat gergasi minyak multi-nasional, setanding dengan Exxon, Shell dan BP di dunia ini – Satu penghormatan yang tinggi bagi Petronas Malaysia yang telah menandatangani perjanjian dengan Kelantan (seperti yang dilakukan dengan 12 negeri dalam Malaysia): ianya merupakan noda kepada reputasi antarabangsa Petronas jika tidak menghormati perjanjian tersebut.

Tentunya, estoppel mengikat Petronas, seperti juga syarikat dagangan dan individu lain. Untuk maksud estoppel, Petronas bukanlah pihak berkuasa awam.

Sehingga PDA mulai berkuatkuasa pada bulan Oktober 1974, asas perundangan bayaran royalti kepada Sabah dan Sarawak adalah undang-undang yang buat oleh pihak kolonial Inggeris. Setelah wujudnya PDA dan pembentukan Petronas, Sabah dan Sarawak diperlakukan dalam cara yang seragam sebagaimana 11 negeri yang lain di Semenanjung .
Jadi, satu-satunya asas perundangan bayaran tunai kepada Sabah dan Sarawak sejak Oktober 1974, adalah PDA, 2 Perjanjian mereka dan 2 Geran Penyerah hak mereka. Kedua-dua negeri tersebut berada dalam kedudukan yang sama dengan Kelantan, Terengganu dan 9 negeri lain di Malaysia .

Semua dilayan sama di bawah PDA untuk mengelakkan diskriminasi di antara 13 Negeri dalam Malaysia.

Ringkasnya, Kelantan mempunyai asas tuntutan yang sangat kuat terhadap bayaran tunai/royalti bagi minyak yang dihasilkan di luar pantai Kelantan.

Mudah-mudahan, kewajaran dan pertimbangan yang baik akan menang, dan Presiden baru Petronas akan akan mengambil langkahan segera untuk membayar atau tindakan sewajarnya.

(Husam adalah Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan).

Gerakan Islam sokong gesaan Yusof Qaradhawi


Gerakan-gerakan Islam Sedunia sepakat menyokong gesaan ulama terkemuka Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi supaya Kerajaan Malaysia menggugurkan dakwaan liwat ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Luar PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmag berkata, kebanyakan pemimpin gerakan Islam yang ditemui di Doha, Qatar baru-baru ini menyatakan simpati dan sokongan mereka kepada Anwar.

Antara pemimpin yang ditemui adalah dari, Ikhwan Muslimin Dr Kamal Halabawi, Jamaat Islami Pakistan, Abdul Ghafar Aziz dan gerakan Islam Sudan, Profesor Dr Zakaria Bashir.

"Mereka yang ditemui melahirkan rasa simpati ke atas Anwar dan berpendapat bahawa pendakwaan ke atas beliau, lebih merupakan pendakwaan politik.

"Pemimpin-pemimpin gerakan Islam ini amat menghormati Anwar dan mereka memberikan sokongan serta dokongan tidak berbelah bahagi terhadap Anwar dalam menghadapi ujian ini," tegasnya.

Malah pemimpin gerakan Islam juga katanya, berjanji akan memberikan sokongan yang berterusan ke atas beliau dalam menghadapi apa jua tekanan daripada kerajaan Malaysia.

Dalam konteks ini katanya, gerakan Islam menyeru umat Islam di Malaysia supaya meletakkan keadilan Islam sebagai tongak kehidupan.

Menurut mereka, keadilan dan kehakiman yang adil, hanya akan diperolehi melalui mahkamah syariah, bukan mahkamah sivil, seperti yang ditegaskan Sheikh Yusof.

"Pemimpin gerakan Islam berpendapat, rakyat Malaysia perlu tampil untuk bela anwar dan mereka juga menyeru umat Islam supaya sentiasa tabah, berdoa serta bermunajat ke hadrat Allah agar keadilan akan terserlah dan Allah memberikan pertolongan menghancurkan pihak yang zalim," tegas beliau yang juga AJK PAS Pusat.


Katanya dalam persidangan di Doha tersebut juga, kesemua kepimpinan gerakan Islam berbincang dengan panjang lebar perkara berkaitan perkembangan umat Islam di seluruh dunia.

Menurut beliau, antara ketetapan yang diambil ialah supaya umat Islam memberikan tumpuan untuk membantu menyelesaikan kemelut yang berlaku di Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain tempatl

"Dalam menangani isu-isu ini, gerakan Islam bersepakat mengerakkan penyatuan umat Islam untuk menghadapi cabaran besar yang ditimpakan oleh musuh-musuh Islam," katanya.