Friday, June 05, 2009

Usul yang kontroversial, ulama kempen untuk Nasharudin

Harakahdaily melaporkan:

Dewan Ulama terima usul presiden dan timbalan dijawat oleh ulama Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat kali ke-48 menerima sebulat suara usul untuk mengekalkan konsep kepimpinan ulamak dalam menerajui jawatan parti dengan jawatan Presiden, Timbalan dan salah seorang Naib Presiden terdiri daripada kalangan ulamak.

Usul tersebut dikemukakan oleh Dewan Ulama PAS Terengganu selain dua usul yang diterima tanpa perbahasan dari Dewan Ulama PAS Kelantan.

"Memandangkan para ulama banyak memegang peranan sebagai pemimpin dan mengembangkan PAS ke seluruh tanah air sehingga PAS bukan sahaja diterima oleh orang Islam dan bukan Islam tetapi juga di persada antarabangsa," katanya.

Ulama juga ujarnya sentiasa memimpin perubahan berlandaskan siyasah syar'iyyah.

Image"Ia adalah bertunjangkan kepada usul kepimpinan ulama yang diterima dalam muktamar PAS kali ke-23 yang berlangsung pada 29 April 1983 di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur," ujarnya.

Usul tersebut yang sebelum ini pernah dibincangkan itu, turut disokong oleh Dewan Ulama PAS Selangor.

Sementara itu, usul daripada Dewan Ulama PAS Kelantan yang diterima tanpa perbahasan ialah mengesyorkan supaya diperuntukkan cuti bergaji penuh kepada isteri-isteri yang bekerja dengan kerajaan Pakatan Rakyat dan kerajaan persekutuan walaupun selepas bersalin anak kelima.

"Selain itu Dewan Ulama PAS Kelantan juga mencadangkan agar Dewan Ulama PAS dan negeri supaya mengadakan buletin khas versi kefahaman Islam untuk diedarkan ke seluruh negara kepada ahli dan penyokong Pakatan Rakyat khususnya untuk non muslim supaya mereka tidak disesatkan oleh BN dalam memahami Islam," demikian ujarnya.


Seperti yang sudah diduga, ulama PAS mengkehendaki dua jawatan utama PAS iaitu Presiden dan Timbalannya diisi oleh golongan ulama.

Hasrat ini dipersetujui oleh kalangan ulama dalam muktamar mereka, dilihat sebagai satu endorsement terhadap Nasharudin Mat Isa yang ditentang oleh non ulama seperti Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Secara peribadi pada saya, hasrat ini harus dihormati sekadar ianya suatu usul yang mahu memperkukuhkan institusi ulama dalam PAS sahaja.

Namun, ulama tidak boleh meminta parti memastikan dua jawatan utama mesti dari kalangan ulama kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan PAS.

Jika ulama atau mana-mana pihak mahu mewajibkan dua jawatan utama itu diisikan oleh kriteria seseorang yang bertaraf ulama, maka Perlembagaan PAS mestilah dipinda.

Buat satu muktamar khas, selepas itu dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan. Jika sekiranya diluluskan, barulah ianya akan terlaksana.

Justeru pada saya, walaupun ulama jelas berkempen untuk Nasa, namun hasrat mereka ini tidak boleh diaplikasikan dalam muktamar di Shah Alam sekarang ini. Ia perlu mendapat kelulusan muktamar khas dengan meminda Perlembagaan PAS terlebih dahulu.

Ulama-ulama harus menyedari bahawa Husam Musa dan Mohamad Sabu bertanding menentang Nasharudin Mat Isa, bukan institusi ulama. Maka apakah wajar ulama terlalu sensitif dengan mengatakan keduanya menentang kepimpinan ulama? Saya rasa ini tanggapan dan dakwaan yang keterlaluan.

Impikasi daripada usul ini amat bahaya. Sebab pada saya, jika Nasharudin kalah ditangan Husam Musa atau Mohamad Sabu atas pilihan perwakilan muktamar, apakah ulama mahu menerima hakikat bahawa institusi ulama sudah ditolak dalam PAS?

Oleh itu ulama tidak wajar melebarkan perbalahan dalam parti dengan meletakkan masalah peribadi menjadi tanggungan institusi. Jangan besarkan isu yang terpinggir. Kedua-duanya menentang Nasharudin disebabkan oleh kelemahan peribadi dan kekurangan daya memajukan parti, bukan dari sudut ilmu agama.

No comments: