Monday, June 01, 2009

Naib Presiden PAS : Calon-calon pilihan Utusan


Rencana dalam Utusan Malaysia, hari ini 1 Jun, mengenai calon Naib Presiden PAS, seperti berikut:

PEMILIHAN Pas yang akan berlangsung pada Jumaat ini, bakal menyaksikan parti itu memiliki tiga Naib Presiden baru. Ia berikutan tiga penyandang jawatan tersebut membuat keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukan berkenaan.

Mereka ialah Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Mohamad Sabu yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi mencabar Nasharuddin Mat Isa manakala Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang pula ingin memberi peluang kepada muka baru.

Berbanding dengan Ahmad Awang, keputusan Husam dan Mohamad Sabu boleh dianggap sebagai "pertarungan berani mati". Ini kerana jika tewas dalam perebutan Timbalan Presiden, mereka tidak akan memiliki sebarang jawatan dalam Pas pusat. Apa pun, tumpuan kini terarah kepada siapa yang akan mengisi kekosongan tiga jawatan Naib Presiden itu.

Pada masa ini, lima calon disah akan bertanding. Mereka ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa; Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Nik Mohd. Amar Nik Abdullah; Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub dan Pesuruhjaya Pas Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jika senarai ini dikaji, ia jelas sekali lagi akan membuka peluang kepada perwakilan untuk menggabungkan antara golongan ulama dan profesional.

Berdasarkan kepada maklumat yang diterima oleh penulis, Nik Mohd. Amar, Tuan Ibrahim dan Salahudin diletakkan dalam senarai pilihan bagi mengisi tiga jawatan Naib Presiden tersebut. Ketiga-tiga mereka dikatakan mempunyai kewibawaan dan kredibiliti sendiri.

Nik Mohd. Amar dan Tuan Ibrahim mewakili golongan ulama manakala Salahudin pula daripada profesional. Nik Mohd. Amar adalah ulama muda yang semakin terserlah di Kelantan dan dilihat pemimpin masa depan Pas negeri itu.

Tuan Ibrahim pula adalah ulama yang akan mewakili suara generasi tua dalam Pas manakala Salahudin adalah pemimpin yang membawa suara generasi muda.

Jika ketigatiga mereka dipilih ia sudah pastilah akan mampu memantapkan kepimpinan Pas. Selain dilihat menyokong kepimpinan ulama, ketiga-tiga mereka juga mempunyai pengalaman yang amat diperlukan oleh Pas dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Nik Mohd. Amar sudah bertahun-tahun membantu Pas Kelantan mengekalkan kuasa pemerintahan kerajaan negeri. Sementara Tuan Ibrahim pula semakin memperkukuhkan kedudukan Pas di Pahang manakala Salahudin berjaya meletakkan Dewan Pemuda Pas Pusat sebagai sayap yang disegani.


Analisis Utusan ini agak menarik untuk diteliti. Sumber mana yang diperolehi beliau sehingga boleh meletakkan calon2 tertentu untuk menang bagi jawatan Naib Presiden.

Sebelum ini pun Utusan rancak memainkan peranan menghentam Dato' Husam Musa, sekaligus menyokong Ustaz Nasharudin Mat Isa untuk kekalkan jawatan Naib Presiden.

Saya cuma bimbang nanti, jika apa yang diramal Utusan ini, sama ada bagi jawatan Timbalan Presiden atau Naib Presiden ini menjadi kenyataan, Utusan akan mendabik dada, berbangga kerana mereka mampu mempengaruhi keputusan perwakilan muktamar PAS.

Apa pun terpulanglah kepada perwakilan PAS, bagaimana mereka hendak corakkan kepimpinan kita.

No comments: