Friday, February 26, 2010

Yusof Qaradawi gesa Malaysia gugur kes liwat terhadap Anwar


Tokoh Maal Hijrah H1431, Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi menggesa kerajaan menimbang untuk menggugurkan dakwaan liwat ke atas Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, kerana ianya menjejaskan nama baik Malaysia di kalangan dunia Islam.

Sheikh Yusof menyeru Kerajaan Malaysia supaya lebih terbuka dan lebih adil terhadap Anwar kerana beliau bukan sahaja seorang pemimpin yang dihormati, bukan sahaja dunia antarabangsa tetapi di kalangan dunia islam sendiri.

Tegasnya, apa yang berlaku, musibah yang dihadapkan ke atas Anwar ini, boleh membawa imej yang buruk terhadap negara Malaysia sendiri, kerana Malaysia adalah antara negara yang dihormati oleh negara Islam sedunia.

"Apa berlaku, pendakwaan ke atas Anwar membawa imej yang buruk kepada negara kerana membuat dakwaan dalam kes yang penuh dengan keraguan. Bagi saya, jelas Anwar dianiaya," tegasnya.

Pada pendapat ulama terkemuka itu, jika sekiranya wujud keperluan untuk membuat dakwaan, ianya hendaklah dilakukan di Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.

Sheikh Yusof berkata demikian kepada Anwar ketika kunjungan Ketua Umum KeADILan itu, bersama AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud di Doha, Qatar baru-baru ini.

Syed Azman yang juga Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Luar PAS berkata, dalam kunjungan tersebut ulama tersohor itu menyatakan kekesalan beliau terhadap dakwaan yang dihadapkan ke atas Anwar.

Katanya, Sheikh Yusof berpendapat adalah amat patut dan wajar Anwar diadili dengan seadil-adilnya di Mahkamah Syariah, bukan dalam Mahkamah Sivil.

Sheikh Yusof yang sentiasa mengikuti perkembangan tersebut menegaskan, beliau menyokong penuh usaha Anwar upaya bawa kes tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah.

Menurut Syed Azman, Sheikh berpendapat dakwaan yang dihadapkan ke atas Anwar adalah tuduhan yang amat erat dan kerajaan perlu telus dalam memberi keadilan kepada orang yang tertuduh.

"Islam menetapkan bahawa kes sebegini perlu diadili di Mahkamah Syariah ianya sabit dalam hukum qazaf kata Sheikh Yusof," ujar Syed Azman.

Dalam pertemuan itu ulama tersohor itu meminta supaya Anwar tidak berputus asa dalam memperjuangkan keadilan dan memintanya bersabar menghadapi ujian dan cabaran fitnah yang besar terhadap beliau dan keluarga.

Sheikh Yusof juga menyeru kepada pemimpin negara supaya kembali kepada ajaran Islam sepenuhnya.

Tunggu keputusan mahkamah rakyat


Penampilan Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan isu royalti minyak Kelantan memang menggerunkan kepimpinan Umno.

Fakta dan data yang dikemukakannya tidak berupaya ditangkis. Hasrat Ku Li hanya satu, agar perjanjian dipatuhi dan rakyat dapat sama-sama menikmati khazanah kekayaan negara.

Berdepan dengan wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN dan WAN NORDIN WAN YAACOB, beliau nampak bebas mengutarakan idea dan pandangan kritisnya.

Wajahnya sering ceria disulami ketawa kecil. Tanpa apa-apa jawatan penting Ku Li tetap menjadi perhatian, dalam dan luar negera. Ditanya sumbangannya kepada negara dan rakyat, selain menjelaskan isu royalti minyak, tanpa ragu-ragu bekas Menteri Kewangan ini menjawab pantas; Mahu bersama-sama membanteras rasuah.

Ikuti bahagian kedua wawancara bersama Tengku Razaleigh Hamzah yang dirakam di kediamannya di Langgak Golf pada 18 Februari 2010.


Harakah : Negara berhadapan dengan krisis kepimpinan, politik, ekonomi, sosial yang agak meuncing dewasa ini. Semasa dan selepas kepimpinan PM Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) sehingga kini, negara masih tidak stabil. Apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan hari ini?

Tengku : Saya rasa tak boleh kita lupakan sejarah pemerintahan tiga perdana menteri terdahulu. Dimulakan dengan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Mereka membangunkan sebuah negara yang kukuh dan baik yang membolehkan pelabur datang.

Apabila kita merdeka dengan kepimpinan ketika itupun berat kepada Barat dan memangpun mereka ini dapat pendidikan dari Barat.

Tiga PM terdahulu semuanya peguam yang diasuh dalam bidang undang-undang dan mereka berpegang teguh kepada prinsip 'rule of law' (keluhuran undang-undang) yang termaktub dalam perlembagaan, dan mereka ini berpegang teguh kepada constitunal.

Oleh kerana latar belakang dan pendidikan mereka ini, mereka ini barang kali bukanlah seorang yang mengambil kesempatan dari apa yang terdedah kepadanya, walaupun peluang ada di hadapan mata mereka.

Mereka ini semuanya anak-anak bangsawan yang tak akan jahanamkan negara dan apatah lagi mereka ini diasuh dengan baik oleh keluarga mereka.

Sememangnya mereka ini mesti berbudi kepada negara. Sebab itu kita tak tengok masa mereka ini memerintah, tidak ada timbul soal mereka ini rasuah atau isu rasuah atau tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan secara berleluasa ketika memegang tampuk kuasa.

Tetapi apa yang saya tahu baik Tunku, Tun Abdul Razak Hussein atau Tun Hussein Onn, apatah lagi Tun Hussein ini orang yang begitu serius dari segi peperangan anti rasuah, ini orang yang ada prinsip dan tak akan izin penyelewengan berlaku dizamannya.

Mereka menjamin kestabilan dalam negara, sebab itu penduduk tak kira kaum mana hormati dan kasih kepada pimpinan ini, baik Tunku dan Tun Razak atau Tun Hussein, walaupun Tunku dianggap agak pro-Cina dan pro-Barat sangat, kalau dibanding dnegan Tun Razak, Tun Razak ini Pro kepada Melayu dan luar bandar, bukan urban sangat, didikan orang Pekan, tetapi rakyat percaya tak boleh seseuatu yang buruk berlaku dengan pimpinan Tun Razak, atas dasar inilah kehamornian terpelihara.

Tetapi Tengku, peristiwa berdarah akibat pertelagahan kaum berlaku 13 Mei 1969...

Walaupun Mei 13 1969 berlaku, ini kerana cetusan pilihan raya tahun 1969 dan kerana perarakan yang dijolok oleh komunis dua hari sebelum tarikh pembuangan undi 1969.

Jadi ini boleh dijadikan sebab kerana kempen pilihan raya yang hangat, ada lemparan tuduhan mengenai kaum dan sebagainya yang dicampur aduk, dan selain isu berbangkit cetuskan perbalahan kaum, itupun di Kuala Lumpur sahaja dfan ia menjadi sejarah yang mengajar kita, namun ia tidak menggugat negara seluruhnya.

Kalau kita tengok selepas Mei 13, dalam masa dua tahun MAGERAN ambil alih kuasa penuh negara dengan penggantungan Parlimen misalnya, perlembagaan tidak digantung dan dapat dipulihkan keadaan, dan wujud serta merta keinginan semangata kerjasama, antara kaum parti-parti, dan Tun Razak berjaya selepas sahaja Parlimen dipulihkan dapat dia tubuhkan BN dengan dipelopori oleh PAS, Gerakan, SUPP dan beberapa parti besar yang berada di luar kerajaan ketika itu.

Ini menunjukkan kepercayaan orang kepada kepimpinan yang ada ketika itu, kalau ada perbezaan ini ialah dari segi idealogi sahajak tetapi nampaknya ada platform yang sama yang boleh hubungkan mereka ini untuk bangunkan negara.

Sebab itu kedudukan ekonomi terjamin walaupun pada tahun 1969 tidak begitu rancak pertumbuhan ekonomi kerana kekacauan dan gangguan komunis. Tetapi tetap ekonomi kita kuat dan kukuh saya rasa kerana kepimpinan yang ada.

Tungku perjuangkan aparteid, mahu orang yang tertindas dibela, memeranjatkan dunia bila Malaysia kemukakan pandangan di Komanwel kerana cadangan Tunku ini tak terfikir dek mana-mana pihak Tunku cadang bukan sahaja gantung Afrika tetapi buang terus Afrika daripada Komanwel dan PBB akhirnya. Ini satu cadangan yang dapat diterima dunia oleh Malaya ketika itu.

Sama juga dengan Tun Razak bila mainkan peranan dalam Afro-Asean Solidarity, walaupun satu ketika menubuhan Malaysia 1963 Afro Asean yang dilobi Beijing dan Pakistan dan didalangi oleh Sukarno dan Marcos dalam isu penubuhan Malaysia.

Tetapi akhirnya menerusi, Tun Rasak, Malaysia mempunyai suara dalam Afro Asean dan NAM dalam G73, Amerika Syarikat pun kadang kala berkuasa penuh biasanya bertanya khabar apakah pandangan G73 sebelum dia buat apa-apa keputusan dalam Majlis Keselamatan.

Jadi kerana penghormatan orang kepada kumpulan negara-negara sedang membangun, pada masa itu pimpinan handal belaka Jawharal Nehru (India), Kho In Lai, Sukarno, Mandela, Tito dan orang yang berjuang untuk negara yang ditindas kolonialis ketika itu.

Kita sebagai sebuah negara yang kecil yang sedang membangun. Dalam hal ini di mana-mana forum yang saya dapat ikuti dan hadir, Malaysialah selalu diajak jadi rappoteur dan drafter, kerana ayat-ayat yang diselit oleh wakil Malaysia ini biasanya mengandungi unsur kesederhanaan, tidak terlampau ekstrem dalam apa yang nak diputuskan dalam sidang-sidang yang diadakan.

Sama juga dengan Tun Hussein, walaupun dia tidak menonjol sebagai pimpinan tetapi dia boleh diterima dan dipercayai, ketika menjadi PM. Jadi kerana itu ekonomi kita ketika itu diyakini kerana kepercayaan rakyat dalam negara dan negara-negara sekeliling dengan Malaysia kerana wujudnya kestabilan rantau ini, tidak lagi menimbulkan risiko bukan-bukan.

Sebab itulah industri mula masuk apabila pelaburan datang di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor Bahru, kereta Volvo dan Mercedes di pasang di sini sejak dahulu lagi.

Memang tidak mudah untuk menghadapi zaman awal untuk membangunkan negara. Keadaan nya agak runcing tetapi orang percaya kepada pimpinan ketika itu. Rakyat 'bulat' kepada kepimpinan kerajaan ketika itu.

Tetapi pembangkang juga hebat ketika itu?

Saya biasa bercakap dengan Allahyarham Dato' Asri Muda ketika itu, mereka kata kita satu dalam soal menjaga keselamatan, cuma dasar perjuangan sahaja yang berbeza.

Maknanya ada titik perjuangan yang dibawa oleh semua pihak kerana titik pertemuan mengenai penerimaan kepimpinan ketika itu 'bulat' oleh kerana itu kestabilan wujud dan kepercayaan dalam dan luar negara kuat.

Nama Tunku cukup terkenal di Timur Tengah apatah lagi dia menganjurkan penubuhan OIC untuk himpunkan negara-negara Islam dalam suatu pakatan supaya dapat kita kumpulkan kekuatan kita dari segi kekayaan dan banyak lagilah.

Saya terfikir... jika kita gunakan kekayaan negara-negara Islam ini iaitu Baitulmal, ini kita kumpul untuk seluruh umat dunia, ini amat besar.


Semua perdana menteri yang saya sebutkan tadi mati dengan tidak meninggalkan harta.

Saya sendiri boleh buktikan, sebab saya yang jaga akaun Tunku. Memang tak ada duit.

Apa yang Tengku sebutkan tadi tentunya berbeza benar dengan kepimpinan tiga perdana menteri selepas itu, kan? Ya, baru-baru ini dikeluarkan senarai orang terkaya yang mana anak menantu mereka pun turut masuk senarai itu...

(ketawa)..... Terkaya...ya terkaya..(ketawa)

Dan ini cukup tidak sihat kepada persepsi rakyat jika hendak dibandingkan dengan pemimpin terdahulu?

Memanglah, yang dahulu tidak tinggal langsung, bukan hasrat kita berjuang nak kumpulkan harta, ini memang betul.

Berbeza sungguh dengan kepimpinan hari ini, integriti mereka dipersoal secara terbuka. Mereka hanya berjuang untuk kepentingan diri dan kelompok. Orang berlumba-luma masuk politik untuk mengejar kemewahan.

Ya...tapi kalau saya bercakap banding ini orang kata kritiklah. Tapi semua nampak dan sedar hakikat ini, perjuangan terdahulu untuk kemerdekaan, membela bangsa dan membangunkan negara serta memajukan Islam.

Dengan itu, kita bukan sahaja bebas dari segala aspek ancaman komunis, dan yang lebih penting ialah dari segi kehidupan kesihatan yang diperjuang mati-matian, sekarang ini tiada merebaknya kolera, yang membawa wabak ke seleuruh masyarakat sudah tidak kedengaran. WHO iktiraf kita sebagai sebuah negara yang bebas penyakit berjangkit.

Perjuangan bidang sosial kita berjaya, namun dalam perihal jurang pendapatan ini kita jauh tertinggal. Kita negara terkaya dikurniakan tuhan dengan pelbagai sumber yang boleh membaiki negara kita berbanding negara jiran Singapura.

Tetapi pendapatan perkapita kita, dengan Singapura ini kita terkebelakang, kita mundur. Pendapatan perkapita Singapura rakyat mereka berkaliganda berbanding negara kita, saya rasa malu. Saya dijemput berucap di Singapura nak bercakap mengenai ekonomi pun saya tidak tahu nak cakap apa.

Negara kita dari segi perniagaan nombor 19 dari segi volume dan pendapatan, tetapi Singapura 26 namun mengapa taraf hidup mereka tinggi, gaji mereka tinggi. Kenapa tidak kita perbaiki tahap kehidupan rakyat kita? Kita kena samakan kedudukan dengan negara jiran dan kalau boleh melangkau kedudukan mereka, bagi saya boleh.

Kenapa saya kata boleh peperangan kita kena holistik dan total. Rasuah, pembaziran dan soal efisyen didikan, ada setengah orang kata pada saya apa yang perlu kita buat untuk capai semua ini.

Saya rasa untuk kita mahu perang kita kena ada pakatan sesama kita, sebab saya tengok orang Melayu, kalau kita lihat budak-budak kampung yang dibawa masuk ke dalam tentera, kerana rejimentasi dan disiplin yang kuat, mereka boleh ikut segala perintah dan arahan yang dikehendaki oleh komanden mereka.

Saya rasa untuk tingkatkan status ekonomi negara kita kita kena fikir untuk melakukannya, supaya rakyat kita tidak membuang masa dan tidak akan membazir kepada perkara yang tidak sepatutnya dibazirkan.

Saya rasa kalau mereka itu dididik dengan disiplin dan rejimentasi, saya rasa mereka boleh lalukan apa yang orang lain buat, ini pandangan yang boleh kita kaji.

Soalnya jika kita tengok realitinya sekarang ini, mereka yang kita bagi lesen menjual lesen, kita bagi bukan untuk jual lesen, tetapi mereka ini buat jalan mudah.

Tadi Tengku sebut seolah-olah memisahkan tiga PM awal dan PM kemudian...

Saya tak kata begitu.

Pertembungan Temgku dengan Tun Dr Mahathir sudah menjadi rakaman sejarah. Perdana Menteri bertukar. Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah bersama Tengku dalam Team B ketika menentang Dr Mahathir pada 1987. Dato' Seri Najib pula tidak mempunyai rekod pertembungan peribadi dengan Tengku. Tengku sendiri memilih untuk bersama Umno sehingga sanggup membubarkan Parti Semangat 46. Tetapi nampaknya kepimpinan Umno, selepas era Dr Mahathir, tidak memanfaatkan Tengku, dengan segala pengalaman dan kemahiran Tengku, untuk bersama-sama memajukan negara, mengapa ya?

Saya rasa soalan ini patut ditujukan kepada mereka (Abdullah dan Najib) mereka layak jawab, kerana mereka ada jawapan mengapa tidak mahu seseorang itu dalam perkhidmatan mereka. Kalau nak sembang soal latar belakangnya memanglah panjang..(ketawa)..

Jelas Dr Mahathir tidak menyenangi pemerintahan Abdullah, tetapi tidak dengan Najib. Pada pandangan Tengku, sejauh manakah pengaruh Dr Mahathir dalam pentadbiran Najib?

Kita tidak nafi bahawa manusia ini dipengaruhi orang, kecuali kita cukup yakin kepada kemampuan dan kebolehan, barulah orang tidak boleh pengaruhi dalam apa yang kita nak buat.

Jadi saya rasa barangkali ada orang bimbang-bimbang takut kerana kurang yakin dengan kemampuanny untuk memimpi. Namun bagi saya jika diberi tugas ialah keyakinan saya kepada negara, tidak kepada sesiapa. Dan kebolehan itu saya akan gunakan semua pihak.

Saya gunakan untuk kebaikan negara saya akan lakukan asalkan tidak bertentangan dengan kehendak Allah.

Jadi saya rasa tiada sebab mengapa seseorang itu tidak boleh digunakan untuk sesebuah kebaikan, bukan maksud saya dipergunakan. Maksud saya mereka ini ada tradisi masing-masing, katakanlah Najib ini tidak mahu gunakan seseorang kerana dipengaruhi Mahathir, itu kesilapan dia, ia bergantung kepada perhitungan mereka sendiri.

Adakah pembabitkan Tengku dalam isu Royalti Minyak Kelantan ini berdasarkan kepada sikap itu, yakni mahu menyumbang untuk kepentingan rakyat, walaupun dilihat bertentangan dengan partinya sendiri?

Tiada perbezaan...apa yang saya ucapkan di Kota Bharu itu adalah saya ucapkan sejarah bagaimana Petronas ditubuhkan dan apakah makna disebalik Akta Kemajuan Petroleum, saya tidak kritik kerajaan atau menyebelahi mana-mana pihak, saya punya pendapat Kelantan wajib dalam 5 peratus 'cash payment'.

Sama juga dengan Terengganu yang mana ada minyak di luar pantai Terengganu, maka dibawah Akta Kemajuan Petroleum, walaupun kawasan itu di luar kawasan 3 batu nautika, tetapi kerana akta ini berkata kalau minyak ditemui di luar pantai negeri berkenaan, maka 5 peratus tetap akan diberi kepada negeri itu sekiranya negeri berkenaan menyerahkan seluruhnya kawasan itu kepada Petronas. Ini terang dalam undang-undang.

Berdasarkan statistik berdasarkan maklumat Petronas, dari Sabah hingga Kelantan, jelas Kelantan ada hak minyak yang keluar di luar pantai Kelantan.

Saya tak kata saya sebelahi Kelantan atau sesiapa sahaja, saya sebelahi rakyat kerana akta itu dirangka atas arahan Tun Razak. Tun Raxak yang kata' 'buatlah Tengku asalkan negeri-negeri di Pantai Timur terutamanya dapat hasilnya dan faedah darinya'.

Saya memang dah tahu dalam 3 batu nautika itu berdasarkan kepada kajian saintifik sebelum Petronas ditubuh memang tiada minyak pada masa itu, dan kemudiannya dapat kajian memang tiada minyak.

Tetapi Tun Razak ada cakap carilah jalan supaya negeri-negeri dapat manfaat dengan hasil minyak. Tun Salleh Abbas lah tauke yang buat undang-undang ini, saya bagi idea sahaja macam mana nak buat supaya Kelantan, Terengganu, Pahang. Johor dapat faedah.
Berbeza dengan Sabah dan Sarawak kerana memang ada hak sebab tiada sempadan antara kerajaan pusat dan negeri kerana kita tubuh Malaysia dengan cepat kerana ancaman dari negera-negara jiran pada tahun 1983, Tunku kata pada masa itu kita buat lukis sempadan ini kemudian, tetapi sebenarnya kita tentukan garis sempadan tiap-tiap negeri apabila bergabung dalam Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan terlebih dahulu sebelum itu.

Jadi berdasarkan kepada jurisdiction dan penemuan saintifik ini, memang semua negeri tiada minyak, tetapi saya runding juga dengan negeri-negeri saya jumpa semua MB dan Exco saya terang dengan jelas, mereka tiada minyak ketika itu tetapi jika ditemui minyak saya minta mereka serah segala-galanya kepada Petronas, biar Petronas jadi agensi utama dan jika minyak ditemui di luar kawasan negeri berkenaan, 5 operatus negeri tersebut patut dapat.

Dalam perjanjian yang saya tandatangani ketika itu, perkataan 'balasan' itu ayat saya itu, kerana 'balasan' kepada negeri berkenaan. Itu ayat yang saya cadangkan.

Apakah balasan itu disebut sebagai royalti?

Kita tidak pakai perkataan royalti, tetapi 'cash payment' ini (pembayaran tunai), terus kepada kerajaan negeri. Tidak boleh dibayar kepada orang lain, ini mesti kepada kerajaan negeri, jika bayar melalui orang lain atau kepada orang lain, ini 'illegal payment'.

Duit minyak hanya boleh buat dua bayaran masa saya buat Petronas dahulu dan saya yang buat undang-undang juga, saya rasa saya lebih tahu daripada orang lain. Saya belum nyanyuk lagi, satunya 'cash payment' tadi 5 peratus kepada kerajaan negeri berkenaan dan 5 peratus kepada kerajaan pusat dan selebihnya dimiliki oleh Petronas.

Petronas ini kerana dimiliki 100 peratus oleh kerajaan pusat, boleh bayar dividen, dividen itulah yang boleh digunakan untuk apa sahaja, dan selebihnya Petronas kena simpan untuk carigali minyak dalam atau luar negara itu hak Petronas.

Tetapi jika nak bagi kepada sesiapa yang bukan hak itu tidak boleh, tetapi untuk derma itu bolehlah...

Jika diserahkan kepada pihak lain, walaupun untuk kepentingan rakyat Kelantan, bagaimana?

Mesti berbalik kepada perjanjian dan undang-undang. Apa undang-undang kata? Undang-undang kata dibayar terus kepada kerajaan negeri, satu dividen kepada kerajaan pusat dan satu lagi 'cash payment' kepada kerajaan negeri 5 peratus dan pusat 5 peratus kalau ada minyak. Itu sahaja.

Tolak dividen tolak bayaran ini maka selebihnya terpulang kepada Petronas untuk belanja dalam urusan dialah, nak carigali minyak atau sebaginya, nak beli kawasan minyak luar negara, ini kebijaksanaan merekalah.

Kenapa pihak berkenaan berkeras juga mahu berikan wang ehsan, bukan 'cash payment'?

Itu kerajaan pusat, ini Petronas perjanjian yang dibuat oleh Petronas dengan kerajaan negeri, tiada perjanjian antara negeri dan pusat, rundingan kita pada masa itu ialah saya selaku Pengerusi Petronas dan kerajaan negeri, itu sahaja..bila setuju hak minyak dalam negeri 3 batu nautika, itu okay, tetapi jika jumpa luar pantai negeri tersebut, kita bagi 5 peratuslah, kerana negeri beri segala haknya.

Nampak jelas perjuangan kepimpinan terdahulu ialah untuk rakyat berbeza dengan sekarang.


Tun Razak ketika itu cakap dekat saya carilah jalan buat undang-undang supaya negeri-negeri ini dapat, saya kata okay.

Kempen sudah dibuat, penjelasan sudah diberikan. Tengku sendiri turun padang, tetapi kerajaan pusat tidak menghiraukannya. Jika dimasukkan ke mahkamah , seperti yang berlaku kepada Kerajaan Negeri Terengganu, sampai kini tidak selesai, dan tidak boleh pula diperjuangkan di luar mahkamah. Jadi apa pilihan yang ada?


Tengok sajalah kes Nizar (Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) bawa ke mahkamah 10 kali pun dia tidak mahu bagi kepada Nizar untuk jadi Menteri Besar, dia (kerajaan) tidak akan bagi juga, sebab alasannya dia tidak mahu bagi, bukan perlembagaan kata, mereka yang suruh kata...

Begitu juga sewaktu Semangat 46 dahulu, saya banyak bawa kes ke mahkamah, sampai ke Mahkamah Persekutuan sekalipun, tidak berjaya. Sebabnya Mahkamah Boneka.

Di Kelantan apa yang boleh dibuat sekarang?

Saya rasa mahkamah yang ada adalah mahkamah rakyat...(ketawa). Bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh negara..

Umno-BN sudah dihukum oleh mahkamah rakyat pada pilihan raya 2008 yang lalu, tetapi mereka masih terus angkuh, tidak mahu terima dan hormati suara rakyat serta ambiul iktibar daripada...

Pendapat saya begitu juga, saya hadir beri penerangan bukan kapasiti sebagai ahli politik tetapi seorang yang penuh minat mahu melihat Kelantan ini maju tidak kira PAS atau Umno yang perintah.

Dalam kes minyak ini, sepatutnya mereka bayar sebab inilah peluang untuk kita majukan Kelantan bersama, faedahnya ialah rakyat akan rasai bersama, seterusnya biarlah rakyat nilai. Dia nak pilih siapa itu pandailah kempen..betul tak..?

Wednesday, February 24, 2010

Hikmah di sebalik perbezaan tender 8 sen


Tulisan LIM GUAN ENG diadaptasi dari sebuah akhbar Cina. Mencerminkan ketelusan dan ketulusan beliau dalam memimpin kerajaan Pulau Pinang.

Bagi kebanyakan rakyat biasa, sistem tender terbuka seolah-olah tidak ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Tetapi ia telah menimbulkan kemarahan Umno dan penyokong-penyokong parti itu.

Mereka marah apabila saya membuat pengumuman bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan sistem tender terbuka bagi semua pemerolehan dan kontrak kerajaan selepas saya mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 2008.
Mereka menuduh saya cuba menidakkan hak-hak orang Melayu, mendakwa ia satu dasar pro-Cina untuk meminggirkan orang Melayu di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, menyedari pentingnya satu dasar yang adil dan telus, sistem tender terbuka terus dilaksanakan. Sepanjang tempoh pelaksanaannya hampir dua tahun ini, bilangan syarikat yang berjaya mendapatkan tender dengan harga tawaran terendah agak banyak juga dan persaingannya begitu sengit sekali, malah melangkaui batas imaginasi saya.

Tujuan pelaksanaan sistem tender terbuka ialah untuk mengamalkan meritokrasi supaya kerajaan dapat menguruskan kewangan secara berhemah dan menghentikan budaya kronisme.
Persaingan secara terbuka membolehkan kerajaan membuat lebih banyak pilihan yang mana pada akhirnya rakyat juga yang mendapat keuntungan. Amalan ini sememangnya tidak menyenangkan kroni-kroni pihak tertentu.

Persaingan hebat tender terbuka Program Perlindungan Insurans Komprehensif untuk Bangunan dan Harta Tetap Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) baru-baru ini sememangnya menakjubkan saya dan ahli-ahli Lembaga PDC. Terbukti persaingan sihat dalam pasaran akan dapat membantu meningkatkan daya saing sektor swasta.

PDC mengadakan Program Perlindungan Insurans Komprehensif untuk Bangunan dan Harta Tetap PDC setiap tahun. Sebelum ini, Program Perlindungan Insurans Komprehensif PDC tersebut adalah dikendalikan oleh satu Konsortium di bawah Syarikat Takaful Berhad dengan jumlah premium RM821,550.88.

Memandangkan tempoh perlindungan insurans komprehensif yang sedia ada akan tamat pada 31 Januari 2010, tawaran telah dibuka kepada syarikat-syarikat insurans dan broker insurans yang mempunyai Lesen Bank Negara dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan untuk mengemukakan tawaran.

Seebanyak 5 syarikat insurans dan broker insurans telah membeli dokumen tender melalui sistem e-perolehan.

Pada tarikh tutup tawaran iaitu pada 11 Disember 2009, tiga syarikat telah mengemukakan tawaran dengan jumlah premium masing-masing, iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad sebanyak RM777,351.40, Sterling Insurance Brokers Sdn Bhd RM777,351.48 dan Sime Darby Lockton Insurance Brokers Sdn Bhd RM816,738.96.

Tawaran yang tertinggi pun 20 peratus lebih rendah daripada peruntukan RM1,020,000.00 yang telah disediakan oleh PDC untuk tujuan tersebut.

Apa yang lebih menakjubkan ialah perbezaan tawaran terendah dan tawaran kedua terendah hanya sebanyak 8 sen sahaja.

Selepas pertimbangan, ahli-ahli Lembaga Tawaran memutuskan Program Perlindungan Insurans Komprehensif untuk Bangunan dan Harta PDC ditawarkan kepada Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang mengemukakan tawaran terendah. Dengan kata lain, Syarikat Takaful Malaysia Berhad telah mengalahkan pesaingnya dengan perbezaan tawaran 8 sen sahaja.

Ini amat memberangsangkan kerana ia telah mencatat sejarah sistem tender terbuka. Lebih-lebih lagi syarikat yang mendapat tawaran itu merupakan sebuah syarikat yang dimiliki seratus peratus (100 peratus) oleh orang Melayu.

Siapa kata orang Melayu akan hilang daya saing kerana sistem tender terbuka?

Asyik manjakan orang Melayu, memberi "tongkat" dan meletakkan mereka di bawah payung naungan tidak akan dapat membantu dalam meningkatkan daya saing orang Melayu.
Sebaliknya, membuka pasaran, menggalakkan persaingan yang adil akan membolehkan lebih banyak syarikat Melayu berpeluang untuk menonjolkan kebolehan mereka dan membuktikan kejayaan mereka dengan mengalahkan pesaing-pesaing yang lain.

Persaingan inilah akhirnya akan menghasilkan orang Melayu yang lebih kental, lebih berdikari dan lebih berkeyakinan diri. Inilah legasi yang terunggul untuk orang Melayu.

Negara China pernah digelar "Orang Sakit Asia" (The Sick Man of Asia) kerana kelemahan ekonomi sistem komunis. Tetapi kini ia telah menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Dasar pasaran terbukalah yang menyumbang kepada kejayaan negeri China.

Faktor penting untuk meningkatkan daya saing rakyat sesebuah negara sebenarnya terletak pada satu sistem yang tidak mengira warna kulit, bukannya payung naungan kerajaan.

Sekiranya negara China boleh berjaya, saya yakin Pulau Pinang dan Malaysia juga akan berjaya. Saya optimistik setelah melihat keputusan tender terbuka PDC tersebut.

Nilai 8 sen sahaja sudah mampu menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu tender. Iini menjelaskan betapa kuatnya kuasa pasaran.

Namun tidak perlu mana-mana pihak risau kerana pihak kerajaan akan tetap memantau untuk memastikan pihak swasta tidak mengabaikan tugas dan tanggungjawab mereka untuk rakyat.

(Lim Guan Eng adalah Ketua Menteri Pulau Pinang)

Kerajaan Umno-BN hutang RM2 billion wang rakyat Kelantan


Laporan Malaysian Insider dipetik:

Kelantan membetulkan kenyataan penjelasan dibuat kerajaan pusat kelmarin bahawa tunggakan royalti yang perlu dibayar kepada kerajaan negeri itu adalah sebanyak RM2 bilion, bukannya RM20 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran semasa yang sepatutnya diterima kerajaan negeri itu adalah RM600 juta iaitu mengikut hasil pengeluaran 2008.

“Royalti sebanyak RM20 juta hanya diperoleh dari telaga Bumi Selatan yang dikeluarkan sejak 2008.

“Yang kita tuntut tunggakan sahaja tidak kurang daripada RM2 bilion dan bayaran semasa tidak kurang RM600 juta.

“Kita berharap kerajaan Malaysia (kerajaan pusat) dapat memperbetulkan semula pendirian mereka secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Ahad lalu, akhbar harian Bahasa Malaysia menyiarkan iklan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum yang ditaja Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, iklan terbabit begitu menggelirukan antaranya perkara yang dirujuk tidak ada kena mengena dengan akta atau undang-undang berkaitan petroleum.

Salah satu perkara menyentuh soalan “Mengapa wang ihsan yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk Kelantan hanya dalam jumlah RM20 juta?”

Penjelasan kerajaan negeri itu menyebut, “kami tidak dapat menjawab soalan ini kerana ini adalah jumlah yang sewenang-wenangnya dibuat oleh kerajaan persekutuan dan tanpa asas perundangan.”

“Tuntutan kami bagi bayaran tunggakan adalah melebihi RM2 bilion dan bayaran tahunan tidak kurang dari RM600 juta,” kata penjelasan itu.

Dalam senarai jawapan yang diedarkan kepada wartawan terdapat lapan perkara bagi menjelaskan mengenai tuntutan royalti.

Antaranya, mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 kesemua 13 perjanjian dan 13 geran penyerahan hak menggunakan istilah bayaran tunai kepada kerajaan negeri berkenaan.

Perkataan yang popular digunakan semua pihak ialah royalti.

Selain itu, semua negeri di Malaysia ditadbir urus mengenai petroleum di bawah akta yang sama termasuk Sabah atau Sarawak.

“Perjanjian tersebut menyebut bahawasanya kerajaan dan Petronas adalah ingin hendak membuat sesuatu perjanjian menurut Seksyen 4 Akta PDA ia tak merujuk kepada Akta Ordinan Darurat 1969 yang telah dimansuhkan,” ujarnya.

Kata Husam, adalah amat memalukan kerajaan menggunakan akta yang telah dimansuhkan.

Seksyen 4 Akta tersebut menjelaskan sebagai balasan bagi penggunaan dan hak-hak kebebasan dan keistimewaan-keistimewaan yang diletakkan hak kepadanya (Petronas).

Mengikut akta itu, Petronas hendaklah membuat bayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui pihak-pihak berkenaan kepada kerajaan Persekutuan lima peratus kepada kerajaan mana-mana negeri yang berkenaan.

“Jadi akta ini dengan jelasnya menunjukkan pembayaran dibuat oleh Petronas kepada negeri dan bukan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan atau Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri,” katanya.

Beliau juga berkata, perjanjian yang dilaksanakan di antara negeri-negeri dengan Petronas pada 1975/1976 menjelaskan hak negeri di daratan dan luar pantai.

Oleh itu, katanya, tiada dinyatakan sama ada dalam PDA 1974 dan perjanjian di antara negeri, di mana setiap negeri menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantai.

Kerajaan Umno-BN cuba pesongkan fakta mengenai royalti


Laporan Malaysian Insider dipetik:

Dalam jawapan balas susulan iklan mengenai isu tuntutan royalti minyak disiarkan kerajaan pusat kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa memberitahu, penjelasan itu “amat mengelirukan” dan menggesa kerajaan pusat membetulkan pendiriannya segera.

Husam merujuk kepada Akta pembangunan Petroleum (PDA) 1974 mengenai tadbir urus petroleum terhadap negeri-negeri yang terdapat hasil pengeluaran minyak antaranya Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

“Di bawah akta inilah perjanjian dengan negeri-negeri dilakukan.

“Dan perjanjian ini adalah sama. Tidak ada akta yang berbeza. Akta tersebut ialah Akta Kemajuan Petroleum 1974,” kata beliau pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Ahad lepas kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum Kelantan dengan menyasarkan pendirian Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian itu, kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.

Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Iklan penjelasan itu diterbitkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menjawab lapan isu termasuk pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas itu dan Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Mengenai isu pertama “Apakah istilah yang disebut dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 mengenai pembayaran hasil minyak dan gas?”, penjelasan itu berkata:

“Istilah yang diguna pakai bagi maksud pembayaran tersebut adalah bayaran tunai sebanyak lima peratus dan perkataan royalti tidak digunakan dalam mana-mana istilah akta berkenaan,” kata kerajaan pusat dalam iklan penjelasan itu.

Oleh itu, Husam tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan memandangkan kesemua 13 perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak menggunakan istilah “bayaran tunai kepada kerajaan negeri berkenaan.”

Kata beliau, perkataan yang popular digunakan oleh semua pihak ialah “royalty”, malah tidak ada yang berubah mengenai bentuk pembayaran iaitu bayaran tunai kepada kerajaan negeri.

“Istilah-istilah yang digunakan dalam PDA, 13 perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak adalah merangkumi onshore (daratan) dan offshore (luar pantai) untuk maksud petroleum yang dihasilkan di daratan dan di lautan.

“Tiada dinyatakan sama sekali sama ada dalam PDA 1974, 13 perjanjian dengan negeri-negeri mahupun 13 Geran Penyerah Hak tentang sekatan hak setiap negeri untuk menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasar kepada jarak dari pantai,” katanya.

Sehubungan itu Husam turut mempertikaikan ukuran jarak yang tidak pernah termaktub dalam PDA yang dijadikan alasan oleh kerajaan persekutuan dalam menafikan hak royalti kepada Kelantan.

“Oleh itu berdasarkan fakta tersebut maka tidak timbul sama ada jarak 12 batu, 200 batu atau jarak lain daripada pantai untuk penafian tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut hujah diguna oleh kerajaan pusat dalam iklan tersebut, Husam berkata, iklan penjelasan itu bersandarkan pada akta yang telah dimansuhkan.

“Seksyen 13 (1) Akta Darurat Kuasa-kuasa Perlu 79 telah pun memansuhkan penggunaaan pemakaian ordinan darurat kuasa-kuasa perlu 1969.

“Jadi saya hairan macam mana akta yang telah dimansuh dijadikan hujah oleh Kementerian penerangan kerajaan Malaysia.

“Kami harap kerajaan Malaysia dapat membetulkan semula pendirian mereka secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan yang berpanjangan,” ujarnya.

Monday, February 22, 2010

Jika tidak kena 'hari bulan' BN akan tumbang

Bahagian pertama

BANYAK isu yang membelenggu negara. Sehingga kini kerajaan masih gagal memulihkan persepsi rakyat terhadap Umno-Barisan Nasional. Banyak pertikaian dalam soal keadilan politik, kestabilan ekonomi, keharmonian kaum, isu kehakiman, rasuah, royalti dan sebagainya yang masih gagal ditangani BN.

Ikuti wawancara wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB dan Jurufoto MOHD NASIR SUDIN, bersama bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga ahli Parlimen Gua Musang di kediamannya di Langgak Golf pada 18 Februari 2010.

HARAKAH : Hari ini keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara masih gagal dipulihkan. Sejarah 1988 menjadi titik bengit kepada krisis kehakiman, sejak dari itu apakah tiada pemulihan sistem kehakiman?

TENGKU RAZALEIGH : Saya ada sebut di Parlimen, sistem kehakiman kita ini perlu dibaiki. Jika tidak harapan rakyat kepada negara ini sebab di mana pembelaan bagi orang yang miskin dan susah. Cuma mahkamah sahaja yang boleh menentukan keadilan untuk mereka.

Selagi mahkamah dikawal oleh eksekutif dan diarah oleh pihak berkuasa dan yang berkepentingan, orang akan kecewa. Tidak wujud pembelaan, tiada keadilan, dan jika tiada keadilan di negara ini. Negara akan huru hara.

Kes yang berlaku di sana sini itu tak mengapa orang boleh faham lagi. Tetapi jika menyentuh hak rakyat secara keseluruhannya, ini tidak boleh dibenarkan berlaku.

Dahulu berlaku kes yang babitkan saya sendiri, saya bertanding pada pilihan raya umum (PRU) dalam tahun 1995, tiba-tiba digugurkan sebagai wakil rakyat Gua Musang, mereka adakan kes perbicaraan, sebab saya bukan pengundi di sana, saya bukan yang membantah, saya bukan terlibat, saya bukan pendudukan di Gua Musang, alamat tetap saya di Kota Bharu, saya mengundi di Kota Bharu, akhirnya dibatalkan kemenangan pilihan raya saya.

Mereka adakan pilihan raya kecil, saya bertanding semula dan saya menang lagi. Maknanya saya nak sebut ini mereka ini boleh lakukan apa sahaja semata-mata kerana nafsu, selagi mereka tidak menang mereka akan buat.

Tak boleh kerana mereka nak menang, sedangkan ini hak rakyat, yang menentukan wakil rakyat adalah rakyat, saya digugurkan jadi wakil rakyat, saya ini simbol sahaja sedangkan yang ramai yang mengundi itu itulah hak yang sebenar, kerana itu hak mereka yang dijamin dalam perlembagaan.

Di Perak bila gugur sahaja kerajaan terdahulu, gugurlah hak rakyat sebenarnya. Inilah kaedah saya baca undang-undang. Tetapi mereka tidak baca macam itu, kerana mereka baca selagi mana mereka tidak boleh menang, mereka kata tak bolehlah.

Mereka (Umno-BN) nak menang..inilah, negara menjadi tidak aman.


Adakah kes di Perak ini menggambarkan bahawa hak rakyat telah dinafikan?


Saya lihat begitulah, dalam perlembagaan jelas Raja ada kuasa dua sahaja iaitu satu melantik Menteri Besar dan ahli Exco. Kedua, membubarkan Dewan apabila dipohon oleh Menteri Besar, sama ada sebelum PRU nak tiba atau seterusnya.

Tetapi Raja ada hak untuk tidak izinkan untuk tidak mengadakan pembubaran sebelum pilihan raya diadakan, apabila genap tempoh 5 tahun, tetapi raja tiada kuasa gugurkan Menteri Besar, kecuali MB telah dikalahkan dengan undi tidak percaya dalam dewan, wakil-wakil rakyat yang boleh gugurkan, Raja tidak terlibat.

Jadi dalam kes Perak ni, nak main cari tilik dan tengok mana sub seksyen dan kutip dan campur sana sini dapatlah.....(ketawa)...betul tak?.

Ia tidak boleh, mereka hanya boleh menjatuhkan MB dengan hanya undi tidak percaya sahaja kepada MB di Dewan. Berdasarkan keputusan Nizar (Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) ini, dengan keputusan lima hakim di Mahkamah Persekutuan, jika berlaku sesuatu YDP Agong boleh buang PM berdasarkan keputusan lima hakim ini, ini kesimpulannya.

Melihat kepada zaman tiga PM terawal, tiada laporan mengenai rasuah berleluasa, bagaimana Tengku melihat keadaan hari ini?

Kita tengok, Tan Sri Nor Yakcop (Menteri di JPM) ini' yang terbabit Setiausaha Politiknya, Hasbie Satar dan sebelum ini ada seorang Setiausaha Politik lain (Dato' Norza Zakaria). Apa kerja dia, banyak betul duit dia, takkan dia (Nor Yakcop) tak tahu. Takut dia terlibat ini saya tak tahu, mewah betul, dulu dia hilang RM30 billion masa dia di Bank Negara, cuba tanya dia.

Bagaimana Abdullah (bekas PM Tun Abdullah Ahmad Badawi) pilih dia jadi Menteri Kewangan dan kini Najib (Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak) pilih dia jadi Menteri di JPM, yang jaga EPU, apa sebabnya?

Ya dia menjaga EPU, tiada kelebihan, ada orang duta luar datang kunjung hormat kepada saya, mereka cakap kepada saya bagaimana boleh dilantik orang macam Nor Yakcop ini, bukan baik punya orang maksud mereka, rekod dialah.

Imej rasuah makin teruk, bagaimana kepercayaan negara luar?

Kita tengok North South Highway hutangnya berbillion yang terpaksa kerajaan ambil alih. Ini syarikat-syarikat yang besar, ini Langkawi Cement, hutang dekat RM 8 billion tak ada siapa sebut. Ini hutang negara yang ditanggung oleh rakyat. 'Heavy industries' Hicom, dekat RM5 dan 6 billion.

Ini tak termasuk MAS yang dah beberapa kali jadi syarikat baru, kerana hutang banyak kerajaan ambil jadikan syarikat baharu dan sekarang ini kapal terbang itu semuanya dimiliki oleh sebuah syarikat kerajaan bukan milik MAS. MAS hanya kotak kosong sahaja, dah tiga kali dah tubuh syarikat baru, macam perwaja juga, Perwaja yang ada hari ini syarikat baru itu kerana nak kikis hutang, jadi mereka boleh tunjuk dalam akaun tak ada hutang, oleh kerana kerajaan yang ambil alih hutang Perwaja RM20 billion lebih.

Maknanya ini semua beban kepada rakyat?

Ya, ini adalah kerana pengurusan kerajaan pusat.

Hutang yang berjuta ini, apakah puncanya yang menyebabkan sedemikian?

Itu kita tak tahulah selain dari siasatan yang dibuat internal audit ini kita tak tahu kenapa berlaku sedemkian.

Tetapi kalau rugi biasanya kita buang pengarah atau manager, ini tak dibuang dan duduk di situ lagi, dan ada pengarah yang ada jet peribadi lah dan sebagainya. Syarikat rugi tetapi pengarah kaya raya (ketawa).

Menyebut soal rasuah ini, bolehkah Tengku huraikan lebih lanjut.

Saya rasa kita tak serius, padahal rasuah ini perkara yang serius. Kerana kos hidup rakyat akhirnya ditanggung oleh golongan bawahan ini, dan kita dengar dahulu apabila Abdullah jadi Perdana Menteri, dia kata nak baiki sistem penyampaian kerana tidak sampai kepada mereka yang dimaksudkan.

Ini soal rasuah, nak dapat satu surat pun kena rasuah RM10 untuk mencari fail, jadi semuanya dan segalanya rasuah. Apakah ini khidmat kerajaan, saya kata kepada institusi yang ada, betul lah Abdullah telah hantar pegawai untuk semak undang-undang yang dipakai di Hong Kong untuk dijadikan contoh untuk kita baiki BPR kita dahulu, tetapi pada saya tidak memuaskan.

Macam di Hong Kong satu ketika dahulu sangat teruk rasuahnya, sehingga diberi badan-badan bebas untuk menyelia BPR di sana ini barulah terkawal, sekarang ini barulah dikatakan hampir tiada rasuah di Hong Kong.

Saya suka ambil contoh yang dipakai itu digunkan sepenuhnya di sini dan perkuatkan lagi undang-undang yang sedia ada, saya suka lihat itu dilakukan. Selain itu macam yang dibuat di China sekarang, satu ketika dahulu ada sahaja orang yang melaporkan mereka buat macam Datuk Bandar di Shanghai, bila dia dibuktikan sahaja bersalah ditembak sahaja Lord Mayor ini. Dibuktikan betul-betul bersalahlah,

Tapi kita tak lah lakukan di sini nanti orang kata tidak adil. Saya cadangkan, kalau boleh kita adakan tribunal, 10 ke 20 tribunal biar Parlimen yang tentukan siapa anggotanya.

Mana-mana orang yang disyaki rasuah, mengumpul harta dilaporkan kepada beberapa tribunal dan disiasat dan jika benar orang-orang ini dapat duit ini cara yang salah atau tidak munasabah maka kita bekukan akaun dan seluruh ahli keluarganya yang terbabit.

Bank-bank diberitahu agar tidak memberi pinjaman kepada mereka yang didapati bersalah ini. Jika mereka mahukan wang, dia kena pergi ke tribunal, dia kena bagi tahu dari mana wang ini diperolehi, kalau tribunal puas hati boleh berikan wang itu.

Ini tak setakat cakap kedai kopi, jika tidak ia hanya sekadar cakap kedai kopi kata orang ini orang itu ada kekayaan, beli kereta mewah yang baharu, jadi kita rasa ia berkesan. Tidak lah timbul anak PM (bekas PM Tun Mahathir) billionaire, kita tak tahu hujung pangkal.

Kita tak mahu macam itu, kena bekukan aset dan bank akaun di mana sahaja dalam dalam luar negara. Kena siasatlah.

Jika dahulu sewaktu zaman Abdullah, anaknya Kamaluddin kaya dengan Scominya dan sebagainya, apakah ini juga boleh dipertikaikan?

Kena buat. Apa mereka nak takut jika mereka tak curi harta, dan buktikan bahawa itu adalah harta pencarian mereka secara halal. Tetapi kalau cara yang ada hari ini hanya mencari ikan bilis sahajalah.

Menyentuh mengenai masalah penghijrahan orang Melayu ke luar negara, kita tengok jika dahulu hanya bukan Melayu sahaja yang lari ke China, UK dan Australia, kini profesional Melayu pula?

Anak-anak Melayu kita ramai ke Singapura, Kanada dan Australia. Ini adalah kerana rasa tidak puas hati mereka terhadap senario di negara ini> Satunya nak kata Islam dah tak Islam sangat dan soal 'favouritesm' ini.

Kalau kita layak ada merit yang baik tak dipilih, tetapi kalau kita kenal orang atasan boleh pulak naik, ini yang menyebabkan anak-anak muda profesional Melayu mula berhijrah ke luar negara untuk mencari pekerjaan di sana.

Ini tak puaskan hati golongan profesional. mereka tak diberi peluang. Sebab itulah ramai anak Melayu dan bukan Melayu semua keluar ke negara, ini menunjukkan sistem kita tak betul.

Satu lagi kita bercakap soal perbelanjaan, langkah berjimat cermat dan mencatu kewangan negara ini, tetapi apa yang dikritik ramai hari ini adalah kenapa dicatukan perbelanjaan pendidikan yang termasuk soal elaun kursus guru dan sebagainya, apa pandangan Tengku?

Ini persoalan prioriti, kalau kerajaan tidak tahu bezakan atau menunjukkan prioriti ini, yang munasabah, ini macam mana? Ini tak adillah, saya lihat tak akan berjalan dengan baik.

Peruntukan untuk benih dan baja petani pun katanya dicatu dan peruntukan untuk minyak kereta peronda polis pun katanya dicatukan. Peruntukan untuk pegawai yang check barang dan sebagainya dipotong.

Bagaimana seriusnya kedudukan kewangan negara ini?

Saya tidak tahu ..tetapi kalau tidak serius takkan mereka potong....(ketawa). Mengapa potong?

Ini belum masuk lagi isu penyelewengan Felda.

Felda ini, anak emas Tun Razak Hussein. Tetapi anak emas Tun Razak yang telah dilonggokkan dahulunya. Tetapi hari ini, kekayaan Felda telah dilonggokan di bandar-bandar bukan lagi kepada peneroka Felda.

Hasrat Tun Razak usahakan ladang-ladang ini untuk mereka yang susah. Tetapi hasil hari ini dilonggok ke bandar ini, berapa juta beri kepada Naza, berapa juta beri kepada bangunan yang ada sebelah ini (dekat dengan rumah Tengku Razaleigh).

Apa gunanya dilaburkan untuk beli bangunan ini, mengapa tidak beri semula kepada peneroka, kenapa mereka tak beli syarikat-syarikat yang ada pada PNB Guthrie dan sebagainya.

Biarlah Felda yang miliki, Sime Darby. Tetapi sekarang ini duk labur buat bangunan, ini nak buat apa?

Dari sudut keseluruhannya, apakah formula terbaik kepada kita semua tidak kira apa latar belakang untuk sama-sama membangunkan semula negara dari sudut ekonomi dan kestabilan politik. Apakah formula Tengku?

Susah nak cakap sekarang ini, kerana kerajaan duduk dalam kebimbangan. Satunya kerana rakyat tidak menyokong dia, kalau kita tengok orang Cina tak sokong mereka sekarang.

Orang India walau diberi 'gula-gula' saya rasa masih ramai tak sokong mereka sekarang. Orang Melayu tahap sokongan 2008, saya rasa tiada perubahan sebagai contoh pilihan raya di Bukit Gantang dan di Kuala Terengganu, tiada perubahan.

Malah makin teruk kerajaan ini. Kita jangan tengok di Dun Bagan Pinang, yang Isa Samad tu sebab dia jaga kawasan itu dan dia 'gula-gulakan' orang di situ sepanjang masa, dan msa PRK baru ini pun banyak duit yang dicurahkannya.

Kalau kita tengok situasi ini keyakinan rakyat kepada kerajaan semakin kurang dan persoalan kredibiliti kepimpinan yang ada pun dipersoalkan orang. Itu masalahnya.

Oleh sebab itu keyakinan itu tidak akan balik kepada mereka. Apatah lagi mereka memikirkan, betul lah bila buat salah zaman Abdullah jadi PM, tetapi sekarang ini tak banyak berubah, rakyat boleh faham soal ekonomi ini tak berubah sebab ekonomi dunia pun lembab.

Apa yang Umno-BN fikirkan ialah mungkin rakyat akan memilih mereka kerana pembangkang kononnya tidak boleh buat apa dalam keadaan ekonomi gawat. Inilah yang jadi kesinambungan mereka dari dulu lagi yang kononnya dah buat jasa ini kesimpulan mereka.

Tetapi saya ada pandangan yang lain. Pilihan raya akan datang jika tak kena hari bulan mungkin majoriti nipis bagi yang ada atau majoriti nipis bagi pembangkang untuk memerintah.

Sunday, February 21, 2010

Hikayat terakhir Khairy dalam Umno

KATA pepatah Melayu, 'jika tiada angin masakan pohon bergoyang'. Dalam pepatah Melayu moden, ayat itu diubah sesuai dengan ungkapan 'jika tiada beruk, masakan pokok bergoncang'.

Dalam terjemahan lain pepatah ini disebut sebagai 'beruk-beruk yang menggoncangkan pokok.'

Pepatah moden ini dipinjam dari seorang tokoh politik muda, sewaktu beliau berkuasa satu ketika dahulu. Ayat ini ditujukan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang amat lantang mengkritik kepimpinan PM waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ayat 'beruk-beruk yang menggoncangkan pokok ini', merujuk kepada gangguan terhadap seseorang pemimpin atau sesebuah organisasi. Orang yang menggugat kestabilan seseorang atau sesebuah organisasi, dilabel dengan gelaran beruk.

Istilah beruk dalam politik Malaysia bukannya baru. Ia sudah lama diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, yang pernah menerbitkan cerpen satira politik bertajuk Maharaja Beruk oleh Yahaya Ismail.

Kepada siapa gelaran beruk itu dirujuk, atau mengapa beruk dijadikan modal politik bukan persoalan yang hendak dibahaskan sekarang.

Persoalan yang hendak dilontarkan penulis, dengan meminjam pepatah Melayu moden, 'beruk-beruk manakah' yang menggoncangkan pokok pemuda Umno, sehinga kedudukan ketua nya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bergoyang?

Bukan goyang sikit-sikit, tetapi bergoyang macam dipukul ribut, sehingga ada desas desus mengatakan, di kalangan exco pemuda Umno mahukan Khairy meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda, kerana didakwa tidak efektif.

Pemuda Umno menunjukkan 'jalan keluar' kepada Khairy, bukan semata-mata kerana beliau tidak efektif. Soal efektif atau efisyen seseorang dalam menjalankan tugas, tidak penting dalam Umno.

Untuk mengelak persepsi negatif terhadapnya, Khairy membuat kenyataan politik, menafikan wujudnya masalah dalam pemuda Umno.

Namun, pergeseran dengan beberapa orang exco pemuda, khususnya Hishamuddin Yahya, jelas menunjukkan beliau tidak mendapat kepercayaan dari kalangan exconya sendiri.

Lebih parah lagi mereka dikatakan memberikan tekanan hebat, dengan mendesak Khairy meletakkan jawatan ketua pemuda.

Khairy seharusnya memahami, mengapa Umno sudah tidak memerlukan khidmatnya lagi. Hakikat ini memang wujud. Bukan kerana Khairy dikecam anggota exconya. Indikator yang paling besar bahawa Umno tidak mengkehendaki beliau ialah, apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, tidak melantiknya ke sebarang jawatan dalam kerajaan.

Sebelum ini ada laporan mengatakan, Khairy tidak diberikan jawatan, kerana Najib mahu beliau menumpukan tugas mempertingkatkan sokongan golongan muda terhadap Umno.

Ini semua alasan politik semata-mata. Sengaja hendak mencari 'excuse' untuk tidak menjatuhkan 'air muka' Khairy dan bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib sudah menunjukkan pendiriannya dengan jelas. Dalam pertemuan pemuda Umno di Putrajaya, 18 Februari lepas. Najib enggan memberikan komitmen untuk melantik Khairy dalam kabinetnya, walaupun ada suara yang mahu beliau diberikan jawatan.

Khairy seharusnya memahami mengapa Najib enggan melantik beliau. Pertamanya, sudah tentu pelantikan Khairy akan dibidas Dr Mahathir. Semua orang tahu Mahathir memang betul-betul anti dengan Khairy. Najib tidak berani lantik Khairy kerana takut diserang Mahathir.

Faktor kedua, barangkali ada kebenarannya cakap-cakap dalam Umno, wujud kerenggangan antara Abdullah dengan Najib dahulu, antaranya berpunca daripada Khairy, dan perkara ini mendorong ramai kalangan penyokong Najib tidak menerima kehadiran Khairy.

Najib sudah menunjukkan sikapnya dengan jelas terhadap Khairy, sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai PM ke-6, beliau menamakan Naib Ketua Pemuda Umno, Dato' Razali Ibrahim sebagai Timbalan Menteri.

Lebih jelas lagi apabila beliau melantik Dato' Mukhriz Mahathir yang kalah dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan ketua pemuda Umno, sebagai Timbalan Menteri juga.

Khairy tidak dilantik apa-apa jawatan. Nasib Khairy sama dengan nasib Dato' Ahmad Zahid Hamidi yang memenangi jawatan ketua pemuda Umno pada tahun 1993 yang lalu.

Zahid tidak dilantik sebarang jawatan kerana beliau dikenali sebagai 'budak Anwar' (bekas TPM, Dato' Seri Anwar Ibrahim) yang dikatakan banyak mengkritik PM Mahathir ketika itu. Zahid tidak dilantik kerana tidak disenangi Mahathir.

Jadi dalam kes Khairy ini, apakah tidak mungkin, Najib enggan melantik Khairy dalam kabinetnya, kerana Najib tidak menyenangi Khairy? Khairy bukan setakat budak, malah menantu kepada bekas PM, Abdullah.

Soalnya, kita tidak harus lupakan sejarah politik Umno pada tahun 1998, iaitu, wujud persepsi di kalangan penyokong Najib, bahawa yang sebenarnya layak menjadi TPM selepas Anwar disingkirkan ialah Najib, kerana Najib adalah Naib Presiden Umno yang memenangi undi paling tinggi dalam pemilihan Umno.

Mereka beranggapan tindakan Mahathir melantik Abdullah, sudah melambatkan peluang Najib menjadi PM, sejak Mahathir meletakkan jawatan pada bulan November 2003 hingga April 2009.

Perkara ini diakui Mahathir sendiri. Acapkali beliau menyatakan kekesalannya melantik Abdullah menjadi PM. Kebencian Mahathir dan termasuk puak Najib, terhadap Abdullah ketika itu disekalikan dengan kebencian terhadap Khairy.

Bukan soal Khairy tidak layak menjadi ketua pemuda atau anggota kabinet. Soal yang besarnya ialah, Khairy memulakan karier politiknya dengan cara yang tidak disenangi oleh orang-orang Umno.

Apabila wujud bad background ini, laluan Khairy untuk melonjak dalam politik Umno tidak akan mudah. Khairy melalui keadaan yang amat sukar sebenarnya.

Masalahnya Khairy dilihat begitu 'arrogant' sejak bapa mertuanya menjadi TPM dan PM ke-5.

Barangkali sifat Khairy tidak begitu, tetapi kedudukannya yang dekat dengan tampuk kekuasaan, menjadikan persepsi orang Umno terhadapnya, sedemikian rupa.

Menjadi lebih bermasalah kepada Khairy, bukan sekadar puak-puak dalam Umno ini tidak menyukai Abdullah dan beliau sahaja. Malah, segala anak beranak, rakan taulan dan kroni-kroninya, semua sekali hendak 'dibakul sampahkan'.

Orang Umno sendiri yang membangkitkan betapa kemarahan mereka terhadap abang ipar Khairy, Dato' Kamaludin Abdullah, kroni-kroni di New Straits Times seperti Dato' Seri Kalimullah Masheerul Hassan dan Brendan Pereira. Turut dikaitkan ialah Dato' Patrick Lim atau Patrick Badawi.

Dari sudut sektor korporat, sebelum kejatuhan Abdullah, Khairy dan kroni dikaitkan dengan syarikat Scomi, ECM-Libra, Equine Capital dan juga penganjur pertandingan Monsoon Cup.

Itu belum masuk isu politik. Bagaimana 'geramnya' orang-orang Umno yang anti Khairy, terhadap langkah-langkah politik Khairy sebelum menang jawatan ketua pemuda. Malah semasa menjadi naib ketua, Khairy di'boo' beberapa kali dalam perhimpunan agung umno.

Jika hendak disenaraikan terlalu banyak tuduhan orang Umno terhadap Khairy. Terlalu banyak alasan untuk mereka tidak menerima Khairy dalam Umno lagi.

Penulis tidak berhasrat untuk mengkritik Khairy, tetapi fakta-fakta yang dipaparkan ini, atau yang dikatakan bad background inilah sebenarnya, yang mendorong exco pemuda Umno, berani mendesaknya meletakkan jawatan.

Bad background inilah sebenarnya yang bakal mempercepatkan kejatuhan Khairy dan susur galur politiknya tercatat dalam hikayat Melayu moden.

Untuk menyimpulkan kedudukan politik Khairy, penulis memetik perbualan telefon dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini.

"Hai, Rashidi, apa khabar," ujar Guan Eng menelefon penulis.

"Hai CM (Chief Minister), saya ok," balas penulis.

"Saya nak beritahu you, saya tengah bengang sekarang ini," katanya.

"You bengang dengan siapa pulak, Utusan (Utusan Malaysia) lagi ke?" soal penulis.

"Bukan, bukan. Itu Utusan satu hal, sekarang saya bengang dengan Khairy. Saya mahu bagi penjelasan pada dia pasal isu Maulid. Dia ada cakap dia mahu penjelasan. Jadi saya call dia. Tapi saya call dia beberapa kali, dia tidak jawab. Lepas itu saya guna satu saluran untuk reach (dapatkan) dia. Itu orang cakap, dia sudah beritahu, dia cakap Khairy tahu saya call, nanti dia akan call balik. Tapi sampai sekarang dia tiada call," ujar Guan Eng panjang lebar.

"Tak payah call dia lah, dia mesti tak mahu cakap dengan you punya," kata penulis.

"Ya lah, saya ingat pun dia tak berani mahu cakap dengan saya. Saya hanya mahu bagi penjelasan saja. Saya mahu dia faham ini semua fitnah," katanya.

"Haiya, kalau itu macam penatlah kerja CM, semua orang hantam you mahu kasi call, biarlah dia," usik penulis.

"Haiya, saya pun hairanlah, apa ini ketua pemuda. Saya ingat dia 'miskin' la. Tak faham kerja kerajaan. Ini pasal (kerana) dia belum jadi Menteri, Timbalan Menteri. Apa ini Oxford (Universiti Oxford) punya orang, saya ingat dia profesional, tapi tak profesional," rungut Guan Eng.

"Tak apalah CM, nanti dia senang-senang dia call you lah. Orang politik selalu itu macam," balas penulis.

"Ha, ha, ha," kami sama-sama ketawa.

Apa pun Khairy harus sedar bahawa sudah tiada tempatnya dalam Umno. Lambat laun, beliau terpaksa keluar juga, sama ada secara paksa atau dikalahkan dengan cara yang amat memalukan dalam perhimpunan agung Umno akan datang.

Keranda politiknya sedang dipersiapkan oleh golongan penentang, hanya menunggu ketukan paku terakhir sahaja.