Wednesday, July 11, 2012

Umno menuai berkat daripada kilang arak San Miguel

Wajarkah seorang beragama Islam punyai saham dalam syarikat arak?
Sudah hampir sepuluh tahun Tun Dr Mahathir Mohamad bersara dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno. Ada orang kata buang 'dakwat' sahaja kalau hendak menulis atau mengkritik mantan PM ini.

Namun, kadang-kadang kita perlu diimbaskan kembali wajah politik Dr Mahathir, yang sehingga kini, masih mendominasi atau dictate masa depan Umno, khususnya pelbagai gesaan yang beliau lakukan terhadap PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Walaupun usianya sudah lanjut, tetapi sehingga hari ini Dr Mahathir masih aktif berpolitik, mengeluarkan kenyataan politik dan menghentam Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sering menjadi sasarannya. Nampak jelas mantan Presiden Umno itu sangat berjaki dengan Anwar.

Baru-baru ini beliau terus menyerang Anwar dan menggesa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersara daripada politik.

"Ada pemberita tanya, Dr Mahathir suruh berhenti sekarang. Saya kata tak apalah. Yang itu biar saya dengan rakyat. Kamu Dr Mahathir, duduk diam-diam. Jaga syarikat anak kamu yang berpuluh bilion ringgit. Kalau kamu pemimpin bersih, malu tahu tak, malu! Seorang pemimpin, puluh bilion kekayaan anak-anaknya," tegas Anwar dalam ceramahnya di Selayang, baru ini.

Anwar mempersoalkan mengapa Dr Mahathir terlalu marah kepadanya. Sedangkan selama ini, beliau tidak pernah mengacau dan telah pun memaafkan bekas PM tersebut.

"Sudahlah. Yang kena pukul saya, Mahathir, bukan kamu. Yang kena penjara saya, yang kena telanjang saya. Sudahlah, saya dah maafkan.

"(Tetapi) yang kamu takut ini apa? Rupanya, dia takut saya nak rampas harta dia dan anak pinak dia," katanya sambil mengimbau detik-detik perselisihan beliau dengan Dr Mahathir sebelum dipecat daripada kerajaan pada September 1998.

Ramai kalangan rakyat Malaysia yang dibutakan dengan fakta. Mereka digelapkan daripada mengetahui kekayaan Dr Mahathir anak-beranak. Kita tidak menuduh beliau kaki rasuah, namun sewaktu beliau masih menjadi PM lagi, anak-anaknya didapati menguasai lebih 160 buah syarikat, mengikut dokumen daripada Pendaftar Syarikat.

Apa yang disebutkan Anwar harus dibongkar. Bagaimana mereka sekeluarga boleh memperolehi kekayaan mencecah puluhan bilion ringgit? Ini tidak harus kita diamkan.

Apa pun, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang berjaya membangunkan negara. Beliau juga berjaya mendidik anak-anaknya, supaya berjaya dalam politik dan perniagaan.

Dr Mahathir adalah bapa mithali. Seorang bekas PM yang hebat dan bekas Presiden Umno yang berjaya. Beliau berjaya kerana beliau dan anak-anaknya menguasai konglomerat terbesar.

Bukan sahaja di Malaysia. Khabarnya kekayaan mereka meliputi Filipina sehingga ke Buenos Aires, Argentina. Kita tidak tahu sama ada syarikat yang dikuasai mereka, meliputi negara-negara bekas jajahan Soviet Union seperti Kyrgyzstan, Kazakhstan dan lain-lain.

Justeru, seluruh anggota dan pemimpin Umno harus mengambil contoh kejayaan Dr Mahathir, anaknya Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz.

Anak sulungnya, Mirzan membuktikan bahawa beliau adalah Bumiputera yang berjaya, hasil didikan Umno. Beliau adalah intipati daripada profesional yang berjaya, hasil doktrin perjuangan kebangsaan Melayu Umno.

Mana tidaknya. Bukan senang orang Melayu hendak berjaya dalam perniagaan. Bukan senang kaum Bumiputera, anak seorang pemimpin Islam boleh menguasai syarikat yang bertaraf antarabangsa.

Seorang lagi anak Mahathir, Mokhzani, bekas bendahari Pemuda Umno adalah pemilik Kencana Petroleum. Kencana merupakan salah sebuah dari tujuh syarikat yang mendapat lesen menggali minyak daripada Petronas. Bapanya, merupakan Pengerusi Petronas. Ada sumber memberitahu kekayaan Mokhzani, hasil daripada syarikat minyaknya, mencecah RM1.6 bilion.

Anak bongsunya, Dato' Mukhriz, walaupun kerjaya politik tidak seberapa, bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno pun kalah, tetapi dilantik menjadi timbalan menteri. Sekarang ini, beliau mencadangkan Mukhriz menjadi antara bakal calon Menteri Besar Kedah. Itu pun jika BN menang, kalau BN melingkup, tiada ada apa hendak dikata lagi.

Bercerita tentang kehebatan Mirzan. Beliau sebelum ini, menguasai syarikat antarabangsa Filipina, San Miguel Corporation, yang juga pemilik syarikat San Miguel Brewery Inc, pembekal dan pengedar minuman arak yang terbesar di negara tersebut.

San Miguel Brewery menguasai 95 peratus pasaran arak Filipina. Syarikat yang sudah mencecah satu abad itu, difahamkan turut mempunyai kilang arak serta kepentingan di China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Malaysia. Menurut laman web San Miguel, ia mempunyai pasaran 60 buah negara di seluruh dunia.

Walaupun San Miguel turut terbabit dalam beberapa bidang perniagaan lain, tetapi yang jelas penglibatan Mirzan, selaku anak kepada bekas PM, anak bekas Presiden Umno yang beragama Islam, yang partinya mendakwa parti Islam terbesar dalam Malaysia, mencetuskan banyak persoalan.

Hari ini rakyat Malaysia mempersoalkan pula, bagaimana Mirzan melalui San Miguel berjaya menguasai syarikat minyak Esso Malaysia. Esso kemudiannya menukar nama kepada Petron dan Petron diberi kontrak untuk membekalkan minyak kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

MAS sebelum ini mendakwa mengalami kerugian, kerana terpaksa menanggung kos bahan api yang dibekalkan oleh Petronas, dan Dr Mahathir selaku Pengerusi Petronas.

Esso sudah 'direbranded' sebagai Petron selepas syarikat asal dari Filipina, Petron Corp yang merupakan sebahagian daripada syarikat milik konglomerat San Miguel menjadi pemegang saham terbesar Esso Malaysia dengan pegangan saham sebanyak 73.4 peratus.

Apa yang jelas hari ini, Putrajaya yang dipimpin Najib begitu membisu dengan penguasaan ekonomi yang semakin rancak oleh anak-beranak Dr Mahathir. Yang jelas, mereka semakin mendominasi ekonomi negara. Penuh dengan 'conflict of interest.'

Kita menggesa Putrajaya untuk memberi penjelasan bagaimana syarikat-syarikat yang merupakan aset penting negara, boleh dikuasai oleh entiti asing dengan harga belian di bawah harga pasaran sebenar.

Seperti yang ditegaskan Anwar, Najib harus membuat penjelasan kepada rakyat, mengapa semua urusniaga yang membabitkan Petronas, MAS, Petron dan sebagainya, dilakukan untuk kepentingan Dr Mahathir anak-beranak?

Bagi Dr Mahathir, beliau anak-beranak, boleh tersenyum bangga kerana mereka merupakan Bumiputera yang berjaya dalam perniagaan, dengan nilai syarikat-syarikat besar yang mereka kuasai mencecah puluhan bilion ringgit.

Tetapi bagi rakyat, kami tidak akan berpuas hati. Kami tidak akan meredai harta milik negara diserahkan kepada syarikat kroni pemimpin Umno. Harta rakyat bukan harta yang mudah-mudah hendak dibidak-bidak pemimpin Umno anak-beranak.

Justeru kita menuntut Putrajaya memberi penjelasan segera. Kita juga menuntut Dr Mahathir dipecat daripada Petronas kerana pelbagai kepentingan negara diraih beliau anak-beranak. Negara akan musnah jika pemimpin Umno dibiarkan untuk bebas sebegini.

Kayalah kamu, mewahlah hidup kamu wahai pemimpin Umno! Itulah berkat daripada kilang arak San Miguel! Berkat dari perjuangan kebangsaan, tanpa mengira halal haram. Meminjam kata Najib di Felda tempohari, memang 'haram jadah'!

Friday, July 06, 2012

Pakatan sukar cari pengganti setanding Anwar Ibrahim

Mohd Sabu, Anwar dan Kit Siang dalam sidang akhbar Pakatan.
Inilah realiti politik di Malaysia. Bukan soal politik kepartian atau fanatisme kepada mana-mana individu. Politik mesti berasaskan kepada realiti semasa.Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam The Malaysian Insider hari ini dirujuk.

Mohd Sabu pada pendapat sesetengah pihak mempunyai pandangan berbeza dengan Anwar dalam banyak perkara. Tetapi hakikatnya beliau adalah pemimpin yang pragmatik dan realis.

Sekurang-kurangnya Abang Mat Sabu memperakui buat masa ini, walaupun Pakatan Rakyat mempunyai pemimpin pelapis, tiada yang dapat menandingi Anwar Ibrahim.

Saya tidak perlu ulas panjang, pandangan ringkas Mohd Sabu sudah memadai untuk dijadikan panduan. Berita dipetik dari TMI.

Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang pemimpin berani dan kata timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, mengulas mengenai temuramah ketua pembangkang dengan Financial Times (FT) baru-baru ini.

Dalam wawancara bersama FT, Anwar Ibrahim mengatakan jika gagal menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) 13 ini, beliau akan bersara dalam politik dan kembali mengajar di universiti.

“Dengan menggeluarkan kenyataan sanggup untuk bersara dari politik jika tidak berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU 13 ini, membuktikan Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin yang berani,” kata Mohamad Sabu dalam temubual telefon kepada The Malaysian Insider sebentar tadi.

“Ertinya beliau yakin dengan kekuatan gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang dipimpinnya.”

Selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2004, Anwar pernah diundang untuk mengajar dibeberapa universiti terkemuka dunia seperti Universiti Oxford dan Universiti Georgetown.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan persaraan politik Anwar benar-benar terjadi, Mohamad yang mesra dengan penggilan Mat Sabu mengatakan PR pasti mengemukakan pengganti kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

“Soal pengganti kepada Anwar bukanlah satu isu kerana PR mempunyai ramai pemimpin pelapis,” jelas Mat Sabu lagi. “Persoalannya adalah apakah pengganti itu setanding dengan Anwar Ibrahim.”

PR ditubuhkan sebaik sahaja PKR, PAS dan DAP yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim berjaya mengurangkan majoriti dua pertiga BN pada PRU 12.

Semenjak berlakunya peristiwa bersejarah — digelar Tsunami politik itu, PR terus menjadi pencabar terkuat BN yang belum pernah lagi tewas dalam PRU semenjak kali pertama ia diadakan.

Jom jadikan Dr M banduan kehormat lima hari

Sewaktu mereka dalam satu kumpulan sebelum Anwar dipecat.
Kita tidak perlu bergurau dengan Dr Mahathir Mohamad untuk menyumbatkan ke dalam penjara, sebagai banduan selama lima hari sahaja. Tak tau la dia tahan ke tidak.

Dr M tidak perlu hendak usik Anwar Ibrahim kerana selepas Anwar dibebaskan dari penjara, Anwar tidak menyerang bekas bosnya secara terbuka. Dr M dah maki Anwar banyak kali. Tiap-tiap kali ada peluang jumpa press, dia akan mula menyerang Anwar.

Saya pernah tanya Anwar secara peribadi, mengapa beliau tidak mahu menyerang bekas bosnya, sedangkan semua orang tahu betapa zalimnya Dr M yang menyumbatkan Anwar ke dalam penjara dan Dr M membiarkan samseng KPN, Rahim Noor memukul Anwar dalam lokap polis tanpa belas ihsan.

"Dato' Seri, anta tidak mahu balaskah serangan Dr M kepada anta, nampak tak henti-henti orang tua tu," tanya saya.

Reaksi Anwar kepada saya,"Tak usahla..ana tak mahu berdendam dengan beliau, biarlah dia hendak kata apa. Barangkali dia tengah meroyan tengok Umno makin teruk," katanya sambil tersenyum kecil.

Saya setuju dengan Anwar. Dalam Islam kita tidak harus berdendam dengan sesiapa. Jika kita boleh menjadi pemaaf, itulah yang terbaik, walaupun kebanyakan orang sukar melakukannya.

Berbalik tentang Dr M. Kita sebagai orang awam, kadang-kadang muak dengan pelbagai kenyataan bekas PM yang bukan sahaja menyerang Anwar, malah menyerang PAS dan DAP.

Ada sumber-sumber dalaman Perkasa mendakwa Dr M ada hubungan yang akrab dengan presiden Perkasa. Kita tahu banyak kerja-kerja kotor dilakukan Perkasa. Apakah ianya disaran oleh Dr M? Kita tidak tahu.

Dr M mungkin berseloroh untuk memperli Anwar untuk dijadikan PM selama lima hari. Tetapi kita tidak harus berseloroh dengan beliau, untuk kita siasat Dr M dan seluruh organisasi Umno di bawah OSA.

Tidak perlu ambil banyak kes. Kita ambil kes seumpama yang dikenakan kepada Uncle Seekers a.k.a Syed Abdullah.

Berapa banyak dokumen yang diklasifikasikan sebagai OSA, diedar pada perhimpunan agung Umno, disiar media massa pro Umno untuk memaki hamun institusi Raja?

Takkan dalam hal Uncle Seekers, pihak Istana boleh bersetuju dengan tindakan polis, tetapi dalam menyiasat pemimpin Umno, pihak Istana boleh mendiamkan diri? Itu persoalan yang rakyat lontarkan.

Jadi, pada kita, pihak polis wajar untuk mereman Dr M selama empat lima hari, untuk dilakukan siasatan di bawah OSA.

Apa macam Dr M? Ada berani?

Ulasan ringkas sebagai reaksi kepada news Bernama:

Dr M: Jadikan Anwar 'PM kehormat' 5 hari

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dia patut bersara sekarang, tak ada guna langsung...dia (Anwar) punya hajat cuma nak jadi perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Czech Vaclav Klaus di ibunegara hari ini.

Dr Mahathir berkata kenyataan Anwar itu merupakan retorik politik sahaja kerana menurut beliau jika pakatan pembangkang kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Anwar masih terus dengan impiannya untuk menjadi perdana menteri.

Beliau diminta mengulas mengenai satu wawancara Anwar yang disiarkan akhbar Financial Times Selasa lalu membayangkan akan berundur daripada politik negara jika pakatan pembangkang kalah dalam PRU-13 dan akan kembali mengajar.

Bekas perdana menteri dengan nada bergurau mencadangkan supaya diwujudkan jawatan perdana menteri 'terhormat' selama lima hari untuk diisi oleh Anwar bagi memenuhi impian beliau sebelum bersara.

"Kita buat dua jawatan perdana menteri, bagi dekat dia satu 'Honour Prime Minister' selama lima hari, lepas itu dia boleh bersara," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan penyelewengan bernilai RM1 bilion oleh kerajaan negeri Selangor dalam urusan penyelesaian hutang sebuah syarikat senaraian awam, Dr Mahathir berkata rakyat Selangor harus bangkit dan sedar dengan penyelewengan kerajaan Selangor.

Katanya, kerajaan Selangor tidak sepatutnya menyalahguna kuasa dan mengguna duit rakyat bagi memenuhi kepentingan tertentu.

Justeru, katanya, rakyat Selangor perlu memberi semula kepercayaan kepada kerajaan BN yang sebelum ini telah memerintah Selangor selama 50 tahun untuk kembali memajukan Selangor.

Thursday, July 05, 2012

Adili Uncle Seekers di mahkamah terbuka

Adili Syed Abdullah sebaik-baiknya
Saya tidak begitu mengenali Syed Abdullah. Tetapi saya mengenali agak rapat dengan ayahanda beliau, SH Alattas atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Habib. Satu waktu dahulu saya sering berkunjung ke teratak Pak Habib di Kg Janda Baik, tetapi tidak pernah bersemuka dengan Syed Abdullah. Malah saya pernah membawa puluhan pimpinan PAS Wilayah Persekutuan, untuk qiamullail di atas padang rumput di tepi alur sungai teratak mereka.

Syed Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Uncle Seekers, barangkali sudah mengetahui apa risiko yang bakal beliau lalui ketika 'membikin' blog yang begitu lantang mengkritik Sultan Johor dan Kerabatnya.

Blog beliau ternyata amat hebat. Dikunjungi puluhan pelayar internet dalam masa beberapa saat. Apa jua isi kandungan yang ditulis beliau, apa sebabnya, hanya Syed Abdullah sahaja yang mengetahuinya.

Kita faham, budaya orang Melayu di Malaysia yang cukup menghormati Raja atau Sultan. Tetapi kita mahukan keadilan. Kita amat kesal, apabila pemimpin Umno, khususnya di Terengganu yang mengadakan demonstrasi dan menggelar Sultan mereka sebagai binatang, tidak diapa-apakan, malah dibiar bebas.

Tetapi apabila rakyat biasa seperti Syed Abdullah mengemukakan pandangan kritisnya, beliau diambil tindakan.

Kita tidak tahu apakah yang akan terjadi kepada Syed Abdullah, tetapi kita mahukan keadilan dan jika kerajaan mahu mengambil tindakan ke atas beliau, bicarakanlah di mahkamah terbuka, supaya tiada apa yang tersembunyi.

Disertakan laporan Malaysiakini

Polis tahan Uncle Seekers mengikut OSA

Penulis blog Syed Abdullah Syed Husein Al-Attas yang lebih dikenali dengan nama Uncle Seekers ditahan polis di plaza tol Senawang, Negeri Sembilan pada malam tadi.

Timbalan ketua jabatan siasatan jenayah Johor ACP Mohd Akhir Ishak berkata, lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Kami menahan seorang lelaki dipercayai pemilik laman blog Uncle Seekers (www.uncleseekers.blogspot.com). Dia ditahan pada pukul 9.45 malam, 4 Julai.

Katanya lagi, polis akan mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan pada petang ini.

Anak kepada penulis buku politik popular Syed Hussein Alattas itu kini ditahan di lokap polis Air Molek, Johor, katanya.

Dalam operasi di Senawang pada malam tadi, polis turut menahan seorang wanita berusia 26 yang berada bersama lelaki berkenaan, tambahnya.

Tiga puluh individu pada Ahad lalu dilaporkan menuntut supaya siasatan dijalankan ke atas pengamal paranormal itu supaya berhubung penyiaran tulisan kontroversi dalam blog tersebut.

Kumpulan itu mendakwa, tulisan dalam blog berkenaan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Tunku Mahkota Johor, Sultan Johor serta penjawat awam kerajaan Johor.

Kumpulan itu juga meminta pihak berkuasa supaya menutup blog yang didakwa menyiarkan "dokumen sulit" itu.

Laporan berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan dakwaan yang ditimbulkan Syed Abdullah.

Pada Selasa lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengulas mengenai tuduhan yang ditimbulkan Syed Abdullah itu berkata: "Biarlah anjing itu menyalak semahunya. Saya tahu kebenarannya, rakyat Johor juga tahu kebenarannya.

Tuesday, July 03, 2012

Apakah Umno bodoh? MCA tuduh Umno gila pun tak berani lawan

PAS sentiasa meragui dakwaan Umno bahawa mereka perjuang Islam.
Umno ke Perkasa ke JMM ke, entah apa-apa NGO lagi, hidup mati mereka hanya menentang PAS dan Pakatan Rakyat. Memaki hamun mendakwa PAS dipergunakan DAP, atas tuduhan yang tiada asas langsung.

Mereka diam menikus dan menjadi dungu macam lembu NFC apabila Presiden MCA mengkritik Umno berulang kali. Pasal apa mereka diam?

Sikap sebegini hanya memalukan Melayu, memalukan Islam sahaja...

Baca kenyataan Mahfuz Omar

PAS mendesak Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak tampil membela Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Dato' Ayub Rahmat yang disifatkan "hilang akal" oleh Presiden MCA Dato' Seri Dr Chua Soi Lek.

Menurut Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar, Chua Soi Lek bukan sahaja menyifatkan Ayub sebagai 'hilang akal'  tetapi ia juga menyifatkan pemimpin Umno itu sebagai "gila".

"Hilang akal maknanya gila. Apa sikap pimpinan Umno terhadap Soi Lek yang mendakwa cadangan Umno satu cadangan menggambarkan orang hilang akal, yang bermakna cadangan daripada orang gila?" soal Mahfuz.

Bercakap dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini, Mahfuz meminta Perkasa dan Perkida mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Soi Lek kerana telah menghina Umno.

Sebelum ini, Ayub mencadangkan Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia pada 20 Jun lalu di mesyuarat pertama penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12.

Ekoran cadangan itu, Soi Lek pula menyifatkan Adun Umno yang mencadangkan supaya hukum hudud dilaksana ke atas orang Islam dan bukan Islam di negeri itu "hilang akal" kerana mengemukakan perkara tersebut.

Malah Soi Lek juga dalam twitternya mengatakan Ayub  telah kehabisan idea sehingga menimbulkan cadangan berkenaan.

Soi Lek juga menegaskan MCA pasti akan menentang usaha itu.

Monday, July 02, 2012

Kemenangan Ikhwan Muslimin bukti gerakan Islam tetap relevan

Penulis di HQ Ikhwan Muslimin.
Kemenangan calon Ikhwan Muslimin, Dr Muhammad Morsi sebagai Presiden Mesir, menerusi sistem demokrasi berpilihan raya, membuktikan perjuangan harakah Islamiyah atau gerakan Islam tetap relevan di zaman moden ini.

Semasa Pilihan Raya Umum Mesir berlangsung, pelbagai kecaman, hinaan dan kata-kata nista dihamburkan terhadap Ikhwan Muslimin, oleh  media yang menjadi alat propaganda Barat.

Barat melabelkan Harakah Islamiyah Ikhwan Muslimin sebagai tidak sesuai menerajui Mesir, yang sedang menjalani proses transformasi pendemokrasian sebenar.

Barat dan golongan anti-Islam mendakwa jika rakyat Mesir memilih Ikhwan Muslimin, mereka akan membawa Mesir mundur ke belakang.

Mereka melakukan pelbagai propaganda untuk memburuk-burukkan Ikhwan Muslimin dan cuba mempamerkan imej radikal terhadap gerakan Islam Ikhwan Muslimin.

Walaupun dengan bantuan seluruh jentera media Barat, kerjasama dengan pasukan tentera yang menguasai Mesir dan agensi kerajaan yang masih dikuasai golongan pro bekas Presiden Hosni Mubarak, mereka tetap gagal.

Rakyat Mesir ternyata tidak termakan dengan propaganda jahat tersebut. Sejak jutaan rakyat bangkit menggulingkan regim tajaan Barat-Israel pada 25 Januari 2011, mereka cenderung untuk menyokong Ikhwan Muslimin.

Namun, kejayaan Ikhwan Muslimin tidak datang bergolek. Ianya adalah manifestasi daripada perjuangan yang amat panjang. Iaitu perjuangan yang diasaskan as-Syahid Imam Hassan al-Banna sekitar 1920-an.

Suatu perjuangan yang melalui siri tekanan yang cukup pahit dan getir. Pengasasnya, Imam Hassan al-Banna ditembak sehingga korban syahid. Ramai pemimpin Ikhwan Muslimin yang syahid di tali gantung, termasuk as-syahid Syed Qutb.

Malah sebahagian besar pemimpin Ikhwan Muslimin sudah merasai keperitan seksaan di penjara sejak Gamal Abdul Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak.

Mereka melalui siri kejahatan, kezaliman dan kedurjanaan diktator zalim yang tidak terperinya, sehingga mereka tidak boleh bangkit atas nama Ikhwan Muslimin. Diharamkan dari menyertai politik dan sebagainya.

Namun, hasil pengorbanan dan istiqamah para pejuangan, hari ini Allah membalasnya dengan kejayaan Ikhwan Muslimin menang besar dalam pilihan raya Parlimen dan berjaya menduduki jawatan yang paling tinggi dalam negara.

Tidak harus dinafikan bahawa kejayaan yang dikecapi Ikhwan Muslimin sekarang adalah natijah daripada kebijaksanaan kepimpinannya yang diterajui Mursyidul Amnya, Dr Muhammad Badi'e.

Ikhwan Muslimin adalah harakatul dakwah dan harakatul siasah yang berjaya. Mereka berjaya menggerakkan amilin daieyah (pekerja-pekerja para pendakwah) yang gigih memartabatkan Islam dengan struktur tarbiyah yang bersistematik (tanzim).

Dalam masa yang sama, Ikhwan Muslimin bergelumang dengan perjuangan politik, yang unik, menerusi Parti Kebebasan dan Keadilan yang dianggotai bersama muslim dan kristian.

Kejayaan Ikhwan Muslimin adalah gabungan unsur-unsur istiqamah dalam perjuangan yang amat getir, tanzim dakwah yang tersusun dan kebijaksaan perencanaan strategi kepimpinannya.

Inilah perjuangan yang harus dicontohi gerakan Islam seluruh dunia. Memang 'padang permainan' tidak sama, memang budaya dan waqi'e tidak sama, tetapi kita berhadapan dengan musuh yang sama, iaitu mereka yang memusuhi agama Allah, yang senantiasa berusaha menghancurkan gerakan Islam.

Kemenangan Ikhwan Muslimin membuktikan bahawa perjuangan Islam, yang asasnya memberikan keadilan dan keharmonian sejagat, tetap relevan selamanya.

Setiap kita, anggota jamaah Islam PAS, harus menanam keyakinan ini. Bahawa tarbiyah kita betul, perjuangan kita betul, ghayah atau matlamat kita betul. Setiap anggota PAS harus punyai niat yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menjalankan kerja dakwah dan politik.

Cumanya,  kita harus memperkukuhkan tanzim, bijaksana dalam mengatur strategi, mudah-mudahan Allah memberikan kemenangan kepada kita di Malaysia, sebagaimana anugerah-Nya kepada Ikhwan Muslimin. Takbir!

Sunday, July 01, 2012

Perkasa 'busuk sampai ke usus' ditaja golongan jahat untuk buat kerja jahat

Lim Guan Eng diserang Perkasa, tetapi polis hanya duduk diam.
Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada 1.7.2012

Polis Harus Menimbang Semula Sikap Tidak Peduli Terhadap Perkasa Untuk Mengelak Persepsi Awam Bahawa Mereka Membenarkan Taktik Ganas Perkasa Untuk Mengugut Pemimpin PR.

Kegagalan pihak polis untuk segera menahan ahli-ahli Perkasa yang terlibat dalam keganasan bukan sahaja terhadap orang awam dan wartawan tetapi juga terhadap keselamatan peribadi saya hanya mengesahkan kebimbangan bahawa tingkah laku Perkasa mendapat sokongan UMNO dan BN. Polis harus menimbang semula sikap tidak peduli terhadap Perkasa untuk mengelak persepsi awam bahawa mereka membenarkan taktik ganas Perkasa untuk mengugut pemimpin PR.

Kejadian semalam di pasar Teluk Bahang, di mana sekumpulan ahli Perkasa telah dibenarkan untuk berdemo dan melempar poster-poster anti-Lim Guan Eng berdekatan dengan saya, membuktikan bahawa pihak polis tidak akan mengambil tindakan walaupun kejadian berlaku di depan mata mereka. Sikap tidak peduli ini mungkin telah memberanikan seorang ahli Perkasa yang tiba-tiba menyerang saya dari belakang dan berjaya menolak saya. Walaupun ahli Perkasa itu sempat menolak saya, saya tidak dicederakan hasil usaha seorang pemimin PR tempatan yang telah mengheret keluar ahli Perkasa itu.

Tugas untuk mengheret ahli Perkasa itu sepatutnya tanggungjawab polis dan bukan pemimpin PR. Kegagalan polis untuk memberi perlindungan yang sewajarnya telah diikuti pula dengan kegagalan polis untuk segera menahan ahli Perkasa yang terbabit. Sekiranya serangan itu telah berlaku ke atas Perdana Menteri dan bukan seorang Ketua Menteri PR, bayangkan sahaja bagaimana reaksi polis.

Insiden yang malang ini telah berlaku walaupun Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim bin Hussain sudah pun memaklumkan pihak polis mengenai demonstrasi Perkasa dan telah meminta perlindungan yang sewajarnya serta tindakan yang tegas. Pun begitu, walaupun Perkasa mempunyai rekod keganasan bersiri terhadap orang awam, wartawan dan pemimpin PR, mereka masih lagi dibenarkan untuk bertindak ganas tanpa dihukum.

Sungguhpun mencatatkan pengurangan dalam indeks jenayah yang kedua paling ketara setakat Mei 2012 (pengurangan 23%), pihak polis sedang diteliti dengan rapi di Pulau Pinang akibat beberapa insiden jenayah di kawasan-kawasan warisan, pelancongan dan perumahan. Kegagalan untuk melindungi Ketua Menteri hari ini tidak akan meyakinkan pihak awam tentang keupayaan pihak polis untuk memastikan keselamatan awam apabila mereka tidak bertindak dengan segera terhadap mereka yang mengancam keselamatan Ketua Menteri.


LIM GUAN ENG
KETUA MENTERI PULAU PINANG