Thursday, May 07, 2009

Umno membalas dosa-dosa Khairy


SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itulah malangnya nasib yang menimpa manusia bernama Khairy Jamaludin Abu Bakar, Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Pengunduran secara terpaksa Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, mengundang bala yang lebih buruk buat Khairy, selepas setahun ditempelak oleh orang-orang Umno dan parti-parti komponen Barisan Nasional, sebagai antara punca utama kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum 2008.

Sementara kuasa yang besar diberikan kepada Abdullah, Khairy didakwa orang-orang Umno sebagai anak muda yang bongkak, menguasai parti dan kerajaan.

Orang-orang Umno begitu marah dengan Khairy apabila mereka yang jauh lebih berpengalaman terpaksa tunduk kepada 'budak mentah', sebagaimana tuduhan bekas PM, Tun Mahathir Mohamad.

Khairy walaupun suatu ketika mempunyai 'kuasa yang amat besar' dengan menguasai parti dan kerajaan, kini dianggap liabiliti dan sampah oleh orang-orang Umno selepas pengunduran bapa mertuanya.

Ternyata Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung bulan lepas merupakan satu lagi mimpi ngeri buat beliau.

Walaupun menang sebagai Ketua Pemuda menewaskan dua pencabar lain, namun kemenangan itu tidak menjanjikan apa-apa buat beliau.

Khairy bukan sahaja tidak berpeluang menjadi Menteri, malah kononnya diberikan tugas untuk memulihkan sokongan golongan muda terhadap Umno.

Khairy kononnya diamanahkan untuk membuat kerja-kerja besar dan harus membuat penumpuan penuh tanpa perlu memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Hakikat yang berlaku sebaliknya. Khairy ternyata tidak mampu bergerak dalam Umno. Kepercayaan terhadap beliau bukan sahaja tiada dalam Umno, malah anggota komponen BN pun tidak berminat dengan beliau.

Khairy bakal menghadapi kegagalan kerana pertama; Era beliau berkuasa sudah berakhir, kedua; Pemuda Umno berpecah tiga dan tidak mengiktiraf kepimpinannya, ketiga; Pemuda BN khususnya MCA dan Gerakan begitu skeptikal terhadap beliau, dan keempat; Beliau sedang dihukum oleh golongan anti Abdullah dalam Umno.

Malah lebih buruk lagi bukan sahaja Khairy dihukum, orang disekeliling khairy turut menerima tempias yang sama.

Sama ada kroni, pegawai, rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang terkait dengan Khairy sewaktu Abdullah berkuasa, sedang menerima hukuman yang sama daripada orang-orang Umno.

Menurut sumber, masa depan Khairy dalam Umno begitu gelap. Begitu juga dengan juak-juaknya. Mereka kini dianggap sampah yang hina dalam Umno.

Walaupun ada di antara yang bertugas dengan profesional dan dianggap mempunyai kualiti yang baik, namun nasib malang yang bakal menanti mereka kerana dikaitkan dengan Khairy.

Sekarang inipun khabarnya, juak-juak Khairy yang mengerumuninya semasa di puncak kuasa dahulu, sudah semakin menyusut.

Mereka terpaksa meninggalkan Khairy kerana 'sudah tidak boleh cari makan' dalam suasana gelombang penolakan terhadap Abdullah terlalu tinggi.

Khairy sepatutnya sudah memahami dengan jelas isyarat yang ditunjukkan oleh orang-orang Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, sejak sebelum Perhimpunan Agung Umno lagi.

Rakan-rakan dalam syarikat besar yang menguasai media sudah tidak memandangnya lagi, juak-juak di GLC sudah dicantas satu persatu.

Walaupun mungkin anak muda yang secerdik Khairy, berkelulusan dari universiti terkemuka di luar negara, mahu menabur bakti dengan ikhlas dalam Umno.

Namun bagi Umno, kelulusan tinggi tidak penting, keikhlasan tidak bernilai, yang penting hanyalah restu dari Najib.

Khairy semakin tersisih. Disisihkan oleh Najib dan kroni-kroninya, dijauhi oleh bekas juak-juaknya kerana 'takut terpalit najis' daripada Khairy.

Bekas juak-juak Khairy ini tiada bezanya dengan perangai kebanyakan pemimpin ahli Umno, yang hidup mereka berprinsipkan lalang, tiada pendirian dan hanya mengikut arah mana angin bertiup.

Khairy akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa sokongan yang diterimanya selama ini hanyalah kerana beliau menantu kepada PM yang berkuasa dalam negara.

Sekarang ini Khairy siapa? Tiada pelindung, tiada pendukung. Malah beliau sentiasa tersisih dari arus perdana Umno.

Khairy makin tersisih kerana selepas Abdullah tiada, beliau tidak diperlukan lagi.

Jelas, Najib mahu pemerintahan dan kuasa yang bebas daripada bayang-bayang Abdullah. Najib ternyata lebih selesa dengan Mahathir berbanding Abdullah.

Selain orang-orang Najib yang memusuhi Khairy, Mahathir dan juak-juaknya juga sedang menunggu masa yang sesuai untuk mencantas Khairy.

"Hendak membunuh karier politik (Khairy) bukan susah, Isa Samad (Tan Sri) yang menang Naib Presiden dan jadi Menteri pun boleh dibuang dan dikenakan hukuman akibat mengamal politik wang, dalam Umno apa sahaja boleh berlaku," komen seorang penganalisis politik.

Apalah malangnya Khairy sehingga dihukum sedemikian rupa. Apalah besar sangat dosa-dosa Khairy terhadap Umno sehingga ianya kelihatan amat sukar diampunkan.

Pada waktu ini Khairy kelihatan amat tersepit kerana dalam Umno masa depannya sudah tiada, jika tekanan berterusan, beliau seharusnya menimbangkan secara serius untuk berhijrah menyertai Pakatan Rakyat.

Pada tahap ini ramai yang tertanya-tanya, apakah Abdullah hanya melihat sahaja Khairy diperkotak-katikkan oleh Umno?

Wednesday, May 06, 2009

Mohd Sabu ditangkap sebentar tadi


Harakahdaily melaporkan

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu ditangkap polis jam 3.10 petang tadi di hadapan Restoran Haslam, Jalan Pahang Barat dekat sini.

Sekumpulan anggota polis di percayai Special Branch, dengan tiga buah kenderaan, menyerbu beliau, sebaik sahaja Naib Presiden PAS itu keluar dari restoran berkenaan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub yang berada di tempat kejadian, menyelar tindakan polis yang dianggap beliau tidak bertamadun itu.

"Tangkapan dibuat secara kasar dan tidak bertamadun, mereka (polis) menyerbu dengan menangkap beliau tanpa mengemukakan waran.

"Saya dan beberapa rakan lain cuba membantu abang Mat (Mohamad Sabu) tetapi dihalang anggota yang ramai," ujarnya kesal.

Dipercayai penangkapan terhadap Naib Presiden PAS ini dibuat ada kaitan dengan perhimpunan munajat yang akan dianjurkan subuh esok (7 Mei), bersempena persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.

Ianya berkemungkinan susulan daripada penahanan aktivis Bersih, Wong Chin Huat dirumahnya semalam.

"Ke mana Mohamad Sabu dibawa, apa tujuan mereka tidak diberitahu," kata Salahuddin.

Antara ulama dan profesional – hayati nasihat Tok Guru Nik Aziz


Oleh Mazlan Jusoh, Harakah

KEWUJUDAN PAS dalam lanskap politik negara, tidak lagi dikesampingkan. Selepas 54 tahun PAS mampu duduk sama tinggi dengan parti utama. Maka tidak hairanlah setiap kali menjelang muktamar, pelbagai polemik dicetus media. Ia bertujuan memperlihatkan kecamuk PAS dari luar. Antara isu yang diungkit berkaitan golongan ulama, profesional dan unity government. Bagi memahami situasi sebenar ikuti pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui di pejabatnya Selasa, 5 Mei 2009.

Harakah : Nampaknya isu golongan ulama dan profesional dalam PAS diperdebatkan secara terbuka di media sekarang. Bagaimana Tuan Guru melihat situasi ini?

Tuan Guru : Sepatutnya tidak berlaku pengasingan di antara ulama dan profesional. Tetapi pengasingan berlaku juga hasil daripada penjajahan Barat yang mengasingkan agama dan politik. Sampai kita terbawa-bawa dengan isu tersebut. Bukan sekadar berlaku di Malaysia tetapi di negara Arab juga. Negara Arab dijajah Perancis. Penjajah mengasingkan agama dan politik. Mereka sebarkan kefahaman itu di sekolah sehingga ke universiti. Dan apabila penjajah pulang negara bekas jajahan yang tidak kuat pengaruh agama terpengaruh juga menerima agama lain dan politik lain. Sedangkan agama dan politik adalah perkara yang satu tidak boleh diasing-asingkan. Dalam al- Quran Allah Taala menyebut dalam surah Fathir ayat 27 yang bermaksud, Allah turunkan air dari langit sehingga keluar buah-buahan dari perut bumi dengan bermacam warna dan beraneka rasa. Dan ayat 28 pula bermaksud orang yang gerun kepada Allah ialah ulama. Ini bermakna ulama tidak bererti hanya mengajar fikah sahaja tetapi pandai juga mentadbir. Misalnya air yang diturunkan dari langit ini ada kaitan dengan ilmu astronomi. Ulama kena tahu kedudukan langit. Hujan turun dari langit ke bumi. Air yang turun ditampung oleh udara menyebabkan hujan yang turun bertitik-titik dan tidak segumpal jatuh di atas kepala kita. Ini bermakna ulama dan profesional adalah orang yang sama. Di Kelantan kita banyak buka pengajian agama. Dan sekarang kita buat Maahad Tahfiz Sains, di mana anak kita hafal al Quran dan tahu ilmu sains. Kita hendak lahirkan pelajar yang ada ilmu agama dan sains. Dan 20 atau 30 tahun akan datang penghulu kampung sehingga ketua jajahan dan menteri besar adalah mereka yang hafal al-Quran dan tahu bidang sains.

Pandangan sesetengah pemimpin menyebabkan penyokong di akar umbi tidak faham?

Sepatutnya tidak berlaku kekecohan seperti sekarang kerana kita sudah lama gabungkan ulama dan profesional. Kita sudah lama gabungkan di antara ulama dan profesional. Saya tidak faham kerana apa pula timbul cerita ini. Ada sesuatu macam kena kecek (pengaruhi). Mungkin mereka terpengaruh dengan pihak lawan. Di Kelantan PAS jauh ke hadapan berbanding dengan Umno untuk menawan hati rakyat khasnya non-Muslim. Kita sebut orang Melayu, Cina, India, Siam adalah serupa kerana kita manusia belaka. Maka tidak timbul hendak letak kelompok-kelompok tertentu. Dalam solat kita sebut ‘Maliki Yau Middin’ - pembalasan di akhirat kelak dia tidak kira perlembagaan Malaysia ke, Inggeris, Greek tua atau apa-apa sahaja. Allah Taala hanya kira perlembagaan yang Dia buat iaitu al-Quran. Ulama mesti tahu segala-galanya. Orang yang hendak pimpin sama ada hendak sebut nama Ikwan, Jemaah Islam ke atau apa sahaja perlu tahu agama dan agama itu bermaksud tahu juga akademik. Akademik bermaksud menerangkan kekuasaan Allah. Bagaimanapun proses Allah menurunkan air alim ulama kena tahu. Dan air menyuburkan pokok sehingga mengeluarkan buah yang bermacam-macam rasa. Saya tidak faham kenapa hendak kecoh sekarang.

Kebiasaannya ulama dianggap hanya mereka yang berpendidikan agama?

Itu fahaman lama ketika agama Islam masuk ke Tanah Melayu, orang yang mengajar agama tidak banyak tahu ilmu akademik. Sumber ilmu yang diambil di Makkah tidak banyak bidang akademik. Bagaimanapun sekarang di Makkah dan di mana sahaja ada bermacam-macam ilmu akademik. Al-Quran dia hafal dan akademik pun tahu. Generasi baru sekarang menerajui gerakan Islam.

Apa pula maksud profesional?


Pada tanggapan saya orang yang belajar ilmu akademik. Akademik itu ilmu Allah juga. Siapa rajin dia dapat. Di Kelantan pada peringkat awal institusi pondok mengajar masyarakat pandai agama. Selepas itu berkembang menjadi Jami’ Merbau di mana ilmu pengajian lebih banyak berbanding pondok. Selepas itu ditingkatkan lagi menjadi Maahad Muhammadi dan perkembangan ilmu semakin meluas. Secara jelas di sini, apabila disebut ulama akan termasuk sama bidang akademik.

Bolehkah dikatakan pakar ekonomi dan bidang lain dikenali sebagai ulama memandangkan ada asas agama?

Kalau tidak tahu Islam, tidak bolehkan hendak dikatakan sebagai ulama. Mereka yang sokong PAS tetapi tidak ada ilmu agama, kita tidak boleh lantik sebagai pemimpin. Misalnya kalau kita hendak bawa kapal di laut, bukan sekadar pegang stereng sahaja tetapi kena tahu pelbagai perkara mengenai laut. Dia kena ada pengetahuan mengenai awan, cahaya matahari dan keadaan laut. Orang yang hendak jaga negeri mesti ada asas agama.

Di Kelantan ketika kita mula-mula mentadbir, saya minta pindahkan wang daripada bank riba ke Bank Islam. Cara macam mana hendak buat itu orang belajar bidang akademik yang lakukan. Orang hendak jadi Menteri Besar kena tahu ilmu akademik dan agama.

Barisan anggota Exco yang Tuan Guru lantik sekarang dikategori sebagai ulama?

Katakanlah orang itu tidak belajar di pondok, tetapi dia duduk lama dengan saya. Dia tengok perangai saya, dia dengar ucapan saya, dan hadir usrah bersama saya, macam mana boleh dikatakan tidak belajar agama. Tidak semestinya belajar di pondok baru boleh dikatakan tahu asas agama. Mereka semua sudah lama bekerja dengan saya. Sepanjang perkhidmatan itu mereka boleh menimba ilmu agama. Jadi boleh dikategorikan mereka sebagai ulama juga.

Apa nasihat Tuan Guru bagi mengatasi percanggahan pandangan sekarang?

Saya nasihatkan kita kembali kepada asal. Ini kerana agama ada jalinan dengan akademik. Dalam Islam ada disebut agama dan daulah. Ada pun fahaman yang mengatakan agama lain dan politik lain adalah dibawa oleh penjajah. Kita cuba usaha ranapkan pengaruh penjajah dari sehari ke sehari. Tidak ada pasal hendak kita timbulkan isu tersebut. Kita telah lama memilih pemimpin yang ada asas agama. Sekarang nampak kejayaan apabila orang bukan Islam juga sudah tertarik dengan PAS. Orang Cina yang sokong Pakatan Rakyat sudah pandai beri salam, sedangkan MCA, MIC sudah lama berkawan dengan Umno, namun mereka tidak memberi kefahaman Islam kepada bukan Islam. Generasi orang bukan Islam sekarang sudah ramai berpelajaran. Dan Islam dari awal lagi menyarankan supaya menuntut ilmu. Islam sesuai dengan akal fikiran manusia.

Sekarang ramai pemimpin tampil merebut jawatan dalam PAS, tidakkah itu boleh menimbulkan masalah?

Mereka yang menawar diri untuk bertanding kerana sudah lama berjuang dalam PAS. Mereka tahu asas-asas Islam. Dan kita belum dengar ada orang mengkritik calon-calon tersebut tidak sembahyang atau engkar ajaran agama. Jadi terpulang kepada perwakilan bagi memilihnya. Saya suka orang tawar diri untuk berkhidmat kepada gerakan Islam.

Pada pandangan Tuan Guru wajarkah jawatan utama dikekalkan?

Kita beri peluang kepada kawasan untuk mencalon dan memilih kecuali kalau ada masalah selepas muktamar kita wujudkan peraturan khusus.

Tidakkah boleh menimbulkan perpecahan dalam PAS?

Kita hendak cari manusia yang tidak berpecah tidak ada. Allah telah sebut sebelum Nabi Adam dibawa turun ke bumi di mana Allah Taala menyebut "Hai Adam apabila kamu turun ke bumi kamu akan bertengkar sesama sendiri. Bagaimanapun bagi mana-mana orang yang turut hidayah Aku akan senang lenang tanpa ada sebarang masalah." Sekarang apabila perwakilan ramai kita memilih menggunakan kertas undi dan tidak lagi angkat tangan.

Sebelum ini media harian menganggap wujud dua kelompok dalam PAS iaitu pro Endorgan dan konvensional. Benarkah demikian?

Itu sekadar tanggapan yang dimainkan media hendak lariskan suratkhabar mereka. Ada sesetengah wartawan menulis dengan hasrat mahu melaga-lagakan, dan ada juga wartawan yang lebih berhati-hati kerana mengambil sikap tanggungjawab di dunia dan akhirat. Dalam PAS hanya ada satu kumpulan yang berjuang untuk mendaulatkan Islam. Perjuangan kita di atas dunia hendak daulatkan Islam dan di akhirat mahu ditempatkan oleh Allah Taala ke dalam syurga.

Baru-baru ini timbul dakwaan dalam blog kononnya Tuan Guru dinasihatkan oleh pembantu yang cuba melagakan dengan Presiden. Sejauh mana kebenarannya?

Saya sudah tegur orang terbabit. Hendak cari orang yang tiada silap ini tiada. Orang yang tiada silap langsung ialah kaki lepak yang tidur sepanjang masa. Kesilapan tersebut maka agama ajar suruh nasihat menasihati antara satu sama lain.

Bagaimana pula dengan isu unity government?

Tidak timbul lagi sekarang kerana Presiden telah menarik balik cadangan tersebut.

Tidak perlu halang pertandingan


Dalam wawancara Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan akhbar Sinar Harian, sebagaimana yang disiarkan hari ini (6 Mei), beliau ditanya tentang bagaimana gandingannya sebagai Presiden dengan Ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden.

Ustaz Hadi mengatakan:

Saya tidak mahu berkempen dan saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang bersifat kempen. Saya menyerahkan kepada ahli untuk memilih. kita mengharapkan ahli-ahli matang membuat pilihan.

Ketika ditanya mengenai kewujudan kumpulan Erdogan dalam PAS, Ustaz Hadi mengatakan:

PAS adalah parti yang terbuka sejak dahulu lagi. Kita menghormati pandangan dari mana-mana pihak.

Oleh sebab itu kita menerima percanggahan pendapat tersebut, ini memperbanyakkan pandangan. Kadang-kadang pandangan yang ditolak hari ini akan diterima satu hari nanti.

Kita menganggap apa yang ada kini adalah habitat-habitat yang menyuburkan perjuangan kita.


Saya tidak berhasrat memetik semua wawancara beliau dengan Sinar. Apapun saya beranggapan, signal yang diberikan oleh Presiden PAS ini cukup jelas.

Pertamanya, tidak wujud perpecahan dalam PAS sehingga hendak ditabur dan dijaja wujud pertelingkahan ulama dengan profesional. Juga serangan pihak tertentu terhadap Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa yang dikatakan mengetuai kumpulan Erdogan, sebenarnya tidak wujud.

Presiden PAS sendiri dalam wawancara yang panjang lebar itu, meraikan perbezaan pendapat dalam PAS. Justeru adalah amat tidak wajar apabila, perbezaan pendapat ini, hendak ditafsirkan sebagai perpecahan atau penentangan golongan profesional terhadap ulama.

Kepimpinan ulama dalam PAS terus utuh. Tiada siapa yang hendak menjatuhkan ulama dalam PAS.

Perbezaan pendapat memang sentiasa wujud, tetapi alangkah bodohnya pandangan sesetengah pihak, sehingga hendak memesongkan perbezaan itu sebagai penentangan terhadap Ustaz Hadi.

Golongan yang bodoh dan nakal inilah yang naif membaca dan memahami politik, sehingga gatal mulut dan gatal tangan menulis, mencabar pihak-pihak tertentu bertanding menentang Presiden PAS.

Siapa kata kalau kita punyai pandangan yang berbeza dengan Presiden, kita hendak melawan Presiden dan tidak siqah atau wala kepada Presiden?

Kedudukan Ustaz Hadi dan kepimpinan beliau tidak dipertikaikan sama sekali. Tiada siapa yang hendak melawan beliau, dan tiada siapa hendak menjatuhkan beliau.

Dan apakah kita hendak katakan pandangan Ustaz Hadi yang berbeza dengan Ustaz Nik Aziz, dikatakan sebagai tidak siqah atau wala Presiden terhadap Mursyidul Am?

Adakah hendak kita tafsirkan bahawa Presiden hendak melawan atau menjatuhkan Mursyidul Am?

Keterbukaan Ustaz Hadi begitu jelas, beliau pernah mengumumkan bahawa beliau sedia dicabar sebagai Presiden, walaupun tiada yang mahu mencabarnya.

Dan beliau juga enggan memberikan komen mengenai pertandingan jawatan Timbalan Presiden. Ustaz Hadi jelas menyerahkan kepada kebijaksanaan ahli memilih siapa yang mereka mahu menjadi Timbalan Presiden.

Jika Presiden sudah bersikap terbuka, mengapa pula ada pihak yang mahu menghalang pertandingan dan mahu jawatan itu disyurakan?

Mengapa ketika berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden pada muktamar tahun 2003, 2005 dan 2007, tiada golongan yang beriya-iya mahu memastikan jawatan itu disyurakan?

Mengapa baru sekarang? Kalau pemimpin PAS telus, jujur dan berani, tiada agenda peribadi, serahkan lah sahaja kepada perwakilan muktamar untuk memilih sesiapa sahaja secara bebas dan demokratik.

Hanya orang yang takut kalah sahaja yang cuba mengelak daripada pertandingan.

Pesan Ayahanda Tok Guru Nik Aziz


Harakahdaily melaporkan:

KOTA BHARU, 5 Mei - Tidak sepatutnya berlaku pengasingan di antara ulama dan profesional memandangkan dua kelompok tersebut menerajui gerakan Islam di mana sahaja sekarang.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hanya penjajah Barat sahaja yang sengaja mengasingkan kelompok-kelompok tertentu seperti memisahkan antara agama dan politik.

"Sampai kita terbawa-bawa dengan isu tersebut. Bukan sekadar berlaku di Malaysia tetapi di negara Arab juga. Negara Arab dijajah Perancis. Penjajah mengasingkan agama dan politik.

"Mereka sebarkan kefahaman itu di sekolah sehingga ke universiti. Sedangkan agama dan politik adalah perkara yang satu tidak boleh diasing-asingkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Oleh itu beliau berkata, golongan ulama dan profesional merupakan orang yang sama dalam menerajui gerakan Islam dewasa ini.

"Sepatutnya tidak berlaku kekecohan seperti sekarang kerana kita sudah lama wujud gabungan antara ulama dan profesional yang mempunyai asas agama.

"Kita sudah lama gabungkan di antara ulama dan profesional. Saya tidak faham kerana apa pula timbul cerita ini," ujarnya.

Ditanya takrifan ulama hanya mereka yang mendapat pendidikan formal dalam bidang agama katanya, itu merupakan fahaman lama ketika agama Islam baru masuk ke Tanah Melayu.

Saya percaya apa yang diungkapkan Tok Guru ini, tentang tiadanya pemisahan di antara ulama dan profesional cukup terang dan jelas.

Kepimpinan ulama, khususnya kewujudan Majlis Syura Ulama, adalah satu badan utama yang didokong dan diperakui sebagai badan tertinggi dalam PAS.

Itu dari sudut penjagaan dasar atau polisi. Sebagai policy maker dan penentu hala tuju PAS.

Namun, sebagai pelaksana dasar, tidak seharusnya PAS mengekslusifkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden mesti dari kalangan ulama.

Jika itulah kehendak pihak tertentu, Perlembagaan PAS harus dipinda. Harus dikemukakan usul dalam Muktamar untuk meminda status calon yang layak ke jawatan-jawatan ini.

Dalam sejarah 55 tahun PAS, PAS pernah diterajui oleh kalangan non ulama, mereka diterima baik dan menjalankan tugas dengan baik, selama mana dasar dan prinsip Islam dipertahankan.

Saya percaya pandangan yang dikemukakan oleh Tok Guru dalam hal ini adalah jelas dan tulus. Tiada siapa yang berada di sekeliling Tok Guru yang feed wrong info kepada beliau.

Monday, May 04, 2009

Nasionalisme Umno sudah sampai ke penghujung


FAHAMAN nasionalisme atau asabiyah adalah teras penubuhan dan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu atau Umno yang diasaskan pada 11 Mei 1946.

Dengan menjual slogan untuk Agama, Bangsa dan Negara, Umno yang diberikan mandat untuk British menerajui politik Malaya sejak sebelum merdeka, selepas parti-parti kiri Melayu diharamkan penjajah dari bertapak kukuh meraih sokongan orang-orang Melayu.

Fasal 3 Perlembagaan Umno mencatatkan asas dan tujuan penubuhan parti itu, antara lainnya (fasal 3.3) untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam; (3.4) memajukan ekonomi rakyat Melayu khasnya Bumiputera; dan (3.5) menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu).

Dalam erti kata lain, fahaman nasionalisme Umno, membawa maksud parti itu diasaskan sebagai parti pencinta agama, bangsa dan negara yang patriotik.

Perlembagaan Malaysia dirangka dengan membuat tafsiran bahawa Melayu didefinisikan dengan ciri-ciri, pertama; beragama Islam, kedua; beradat-istiadat Melayu, dan ketiga; bertutur dalam bahasa Melayu.

Selama lebih 50 tahun majoriti orang Melayu bergantung kepada Umno dan menyokong Umno, dan ini telah memberikan kemenangan berturut-turut kepada Umno-BN sehingga dua belas kali pilihan raya umum.

Sehingga selepas PRU ke 12, barulah Melayu tersentak dan sedar dari lamunan, bahawa sokongan membuta tuli yang diberikan kepada Umno sudah memakan diri orang-orang Melayu dan menjadikan mereka terkebelakang dalam segenap bidang, kecuali hiburan.

Sokongan itulah juga yang merosakkan Umno, sehingga menjadi parti yang penuh dengan pengamal rasuah politik wang. Dari segi perundangan pengamal politik wang adalah penjenayah rasuah.

Dari segi hukum Islam, amalan rasuah adalah haram. Demi merebut kuasa, dengan kepentingan wang, seseorang pemimpin itu boleh cenderung untuk menodai kesucian agama, maruah bangsa dan kedaulatan negara.

Penjenayah-penjenayah ini dilepaskan daripada hukuman kerana Umno adalah parti yang berkuasa mengawal undang-undang.

Malangnya jenayah Umno terhadap orang-orang Melayu-Islam diteruskan selepas pucuk kepimpinan Umno dan negara berubah.

Diperkenalkan konsep "One Malaysia", sekaligus membunuh jatidiri bangsa Melayu. Dimansuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi tempat pergantungan peniaga-peniaga kecil Melayu.

Dihapuskan kuota 30 peratus bumiputera dalam sektor perkhidmatan dan terbaru sekali kerajaan Umno-BN menetapkan anak-anak kekal agama asal meskipun ibu bapanya bertukar agama.

Dalam masa yang sama hak Melayu untuk mendapat kedaulatan bahasa melalui penghapusan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), terus dinafikan pemimpin Umno-BN.

Rata-rata orang Melayu amat hampa dengan Umno-BN kerana kesemua langkah-langkah Umno ini hanya membunuh masa depan Islam dan bangsa Melayu.

Tindakan Umno ini, jelas bercanggah dengan hak Melayu sebagaimana pentafsiran Perlembagaan Malaysia.

Tindakan Umno ini juga bercanggah dengan asas dan tujuan penubuhannya, sebagaimana yang dicatatkan dalam Perlembagaan Umno.

Hakikatnya, perjuangan nasionalisme atau asabiyah Umno sudah gagal. Orang-orang Melayu semakin sedar bahawa Umno sedang menggali kubur untuk perjuangan nasionalisme mereka.

Hayatilah pesanan Nabi Muhammad s.a.w yang bersabda (mafhumnya)."Tidak ada beza antara orang Arab dengan orang Ajam (selain daripada Arab), melainkan dengan Islamnya."

Hadis ini membawa tafsiran, bahawa tiada kemuliaan bagi orang-orang Melayu di Malaysia khususnya, melainkan dengan Islam.

Tinggalkanlah perjuangan nasionalisme, kembalilah kepada Islam sepenuhnya. Sebagaimana pesan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, hanya Islam sahaja boleh menjaga Melayu.

Inilah masa yang terbaik untuk meninggalkan Umno dan menyokong PAS.

PAS terus kukuh walau hadapi pertandingan pucuk pimpinan


MUKTAMAR Tahunan PAS Pusat ke 55 yang akan diadakan di Shah Alam awal Jun ini dijangka hangat dengan pertembungan sengit jawatan-jawatan tertinggi dalam PAS.

Pertembungan bagi jawatan tertinggi PAS, khususnya bagi jawatan Timbalan Presiden parti, bukannya perkara baru. Ia bermula selepas peninggalan al-Marhum Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor pada 23 Jun 2002.

Hampir 13 tahun atau enam penggal berturut, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dimenangi Ustaz Fadzil dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tanpa bertanding.

Kedua-dua pemimpin utama PAS itu terlalu terkehadapan sehinggakan, tiada yang dirasakan berkemampuan mengatasi kewibawaan mereka, sebaik sahaja Ustaz Fadzil mengambil alih jawatan Presiden PAS (sebelum ini dinamakan Yang Dipertua PAS Pusat) dari al-Marhum, Ustaz Yusof Rawa pada tahun 1989.

Jawatan Presiden PAS, hanya dipangku oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hadi selepas peninggalan Ustaz Fadzil.

Pada muktamar tahun 2003, Ustaz Hassan Shukri menewaskan Dato' Mustafa Ali bagi jawatan nombor dua PAS. Dua tahun kemudian (pada 2005), Ustaz Hassan ditewaskan oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Ustaz Nasharudin sekali lagi mengekalkan jawatan apabila menewaskan Dato' Harun Taib pada muktamar tahun 2007.

Pada muktamar kali ini, walaupun dijangkakan berlaku pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden, namun perwakilan PAS sudah matang dan biasa dalam menghadapi pertandingan.

Pertandingan kali ini tiada bezanya dengan pertandingan yang berlaku sejak tiga penggal lepas. Yang membezakan ialah, apakah ianya berlaku secara yang aman dan teratur, mengikut konsep syura yang demokratik atau ianya dicemari dengan pelbagai kekotoran.

Setiap seorang ahli dalam PAS mempunyai hak yang sama. Iaitu berhak dicalonkan dan berhak bertanding untuk sesuatu jawatan yang diingini, asalkan ia tidak melanggar disiplin parti dan mendapat sokongan majoriti ahli.

Sistem yang diamalkan dalam PAS sebagai sebuah parti Islam yang berlandaskan demokrasi begitu jelas, jika seseorang pemimpin mendapat pencalonan untuk sesuatu jawatan, maka beliau berhak untuk bertanding.

PAS tidak menetapkan kuota untuk sesuatu jawatan. Tiada paksaan untuk memastikan mereka yang dicalonkan supaya mesti bertanding dan PAS juga tidak akan menghalang mana-mana calon yang mendapat pencalonan untuk bertanding.

Sama ada mereka berlatarbelakangkan pengajian agama atau tidak, juga bukan disyaratkan dalam pertandingan PAS. Dalam PAS tidak wujud 'trend' sebagaimana yang didakwa media arus perdana, iaitu wujudnya pertembungan antara golongan ulama dan profesional.

Kerana dalam PAS, sebaik sahaja menandatangani borang permohonan menjadi ahli PAS, tanpa mengira latar belakang, mereka menjunjung al-Quran sebagai perlembagaan tertinggi dalam hidup, mengamalkan as-Sunnah serta mengikut Ijma ulama dan Qias sebagai sandaran perjuangan.

Dakwaan sedangkal ini (wujudnya konflik ulama dengan non-ulama) tidak akan mempengaruhi perwakilan PAS. Mereka sudah cukup matang untuk memilih dan menentukan siapa bakal pemimpin mereka berdasarkan karisma dan merit seseorang pemimpin.

Tidak dinafikan wujud perbezaan pendapat dan pandangan, berhubung pendekatan terbaik yang bakal diambil dalam sesuatu perkara.

Tetapi kewujudan perbezaan ini bukan merupakan pertelingkahan yang merosakkan parti. Kerana bagi ahli PAS, kepentingan Islam dan masa depan parti, lebih utama daripada kepentingan peribadi.

Jika terdapat mana-mana pemimpin, yang meletakkan kepentingan peribadinya mengatasi kepentingan Islam dan parti, nescaya beliau akan ditolak ahli-ahli PAS.

Walaupun wujud dalam PAS beberapa tokoh dan nama-nama besar dalam arena politik negara, namun mereka akan tidak mempunyai apa-apa nilai jika mereka tidak diangkat sebagai pemimpin-pemimpin PAS.

Dalam erti kata lain, sehebat mana pun seseorang individu itu, jika dia mufarakah dengan PAS dengan merasakan pemikiran dan pendekatan politiknya lebih baik, dia akan ditolak oleh ahli-ahli PAS keseluruhannya.

Sejarah politik PAS membuktikan, pemimpin besar seperti Tan Sri Asri Muda yang menjawat jawatan Yang Dipertua PAS Pusat, bekas Menteri Besar Kelantan, bekas Ahli Parlimen yang menggegarkan Kerajaan Perikatan (BN) ketika itu, tidak mampu memecahbelahkan PAS sebaik sahaja keluar parti.

Begitu juga seorang ideologis, Naib Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Nakhaie Ahmad, meninggalkan PAS, dengan dua tiga kerat penyokongnya.

Dengan kehendak Allah PAS tetap utuh dan terus utuh, walaupun pemimpinnya meninggalkan parti, sama ada kerana perbalahan atau menyahut seruan Ilahi.

Cumanya mutakhir ini wujud 'trend' yang dibimbangi boleh merosakkan PAS dalam jangka masa yang panjang.

Wujud kelompok tertentu yang tidak menggunakan saluran parti untuk memantap dan membaik pulih kepimpinan PAS.

Pemimpin-pemimpin PAS secara umumnya, terbuka kepada sebarang teguran dan kritikan. Tiada sekatan untuk ahli-ahli menegur kepimpinan jika merasakan beliau melakukan kesilapan. Tegurlah dengan cara yang berhemah, jangan memfitnah atau memaki hamun dengan bahasa-bahasa yang kesat.

Dalam dunia siber tanpa sempadan ini, ramai pemimpin, ahli atau sesiapa sahaja yang menyokong PAS, turut menyumbangkan idea dan pandangan melalui blog-blog dan laman web peribadi.

Tiada sekatan yang boleh PAS buat jika mereka membuat teguran atau kritikan tersebut melalui blog-blog peribadi mereka.

Namun, sebagai pemimpin atau ahli PAS, mereka juga tertakluk kepada disiplin parti dan harus menjaga tatasusila sebelum mempamerkan pandangan peribadi mereka mengenai PAS dan kepimpinan PAS.

Bloggers yang terdiri daripada pemimpin dan ahli PAS harus memahami disiplin ini. Jangan sesekali mencemarkan nama baik PAS dan pemimpin PAS. Anda boleh tidak bersetuju dengan mana-mana pemimpin, tetapi jangan sesekali berperanan sebagai 'pencucuk' yang melaga-lagakan pemimpin PAS.

Jangan sesekali mewujudkan blog atau laman web peribadi atau dengan menggunakan nama samaran untuk menceritakan masalah dalaman PAS dan keburukan individu pemimpin tertentu.

Golongan seperti ini barangkali memikirkan pandangan peribadinya sahaja yang betul, walhal hakikatnya mereka sudah merosakkan parti dan mencetuskan pada pemikiran pelayar-pelayar internet bahawa PAS juga menghadapi masalah dalaman yang teruk seperti Umno.

Jika blogger yang dikenali bukan ahli PAS atau memusuhi PAS, kita tidak bimbang kerana memang kerja mereka hendak memburuk-burukkan PAS.

Bahayanya 'trend' mutakhir menjelang pemilihan muktamar PAS, golongan jahil yang takut berhadapan dengan kebenaran ini, menggunakan blog-blog palsu untuk mengaibkan individu pemimpin PAS tertentu dengan cara yang tidak bermoral.

Bloggers seperti ini begitu licik berselindung, tetapi gerak kerja mereka boleh dihidu dan diketahui kerana mereka boleh menceritakan susur galur 'konflik' dalaman PAS dengan begitu teliti.

Sehinggakan apa yang berlaku dalam mesyuarat AJK PAS Pusat juga diketahui dan dipaparkan dalam blog mereka. Perbincangan sisi dan sembang borak pemimpin selepas mesyuarat juga diketahui secara terperinci dan disiarkan dalam blog.

Tidak sukar untuk diagak, bahawa mereka ini adalah orang-orang yang rapat dengan pemimpin-pemimpin tertentu. Sebelum 'nasi menjadi bubur', sebelum kelibat mereka dihambat 'sehingga ke lubang kubur', berhentilah daripada menjaja fitnah.

Sikap buruk ini harus dihentikan serta merta. Sikap buruk ini, dengan memaparkan gejala negatif dan fitnah melalui blog hanyalah seperti 'tikus membaiki labu'.

Ingatlah bahawa PAS tidak akan dapat dipecah selagi pemimpin dan ahli PAS terus utuh dengan perjuangan Islam, malah kedudukan PAS akan terus diperkukuhkan di persada politik negara dengan komitmen untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat bagi menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, Insya Allah.