Wednesday, April 15, 2009

Abdullah Badawi bagai telur di hujung tanduk, impian Khairy jadi PM berkecai

Kedudukan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia 'bagaikan telur di hujung tanduk' akibat kekalahan teruk Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 12 semalam.

Pada saat ini khabarnya Abdullah menerima desakan yang paling hebat untuk beliau meletakkan jawatan sebagai PM dan Presiden Umno selepas BN kehilangan majoriti di Parlimen serta tewas mengejut di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Tiada lagi keangkuhan dan tidak lagi mendabik dada. Kali ini pemimpin Umno/BN senyap sepi enggan menemui wartawan untuk memberikan komen.

Ibu pejabat BN di PWTC semalam begitu muram. Abdullah dan lain-lain pemimpin BN dilaporkan 'menguncikan diri' di dalam bilik mesyuarat.

Tidak ada live telecast seperti biasa dari PWTC. Yang ada cuma paparan celoteh penganalisis politik yang terkejut dengan kebangkitan rakyat menolak BN.

Daripada 222 kerusi Parlimen, BN hanya memperolehi 137 kerusi sahaja. PRU ke 12 mencatat rekod paling buruk apabila BN kehilangan dua pertiga majoriti, pertama kali selepas lebih 50 tahun berkuasa.

Walaupun BN sudah menang simple majority, kerajaan baru masih belum dibentuk kerana ramai pemimpin utama BN tewas mengejut.

Mana dia slogan 'Selamat, Aman dan Makmur'? Mana dia slogan Islam Hadhari? Mana dia janji pembangunan koridor ekonomi? Mana dia WPI?

Semuanya ditolak rakyat dari kalangan Melayu, Cina dan India.

Khairy adalah burden besar bagi BN

Serentak dengan gesaan supaya Abdullah meletakkan jawatan oleh bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin-pemimpin Umno seluruh negara mula menuding jari terhadap menantunya Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Rata-rata ahli Umno menganggap failure BN khususnya Umno kali ini berpunca daripada campur tangan berleluasa Khairy sebagai menantu PM dalam parti dan kerajaan.

Kesilapan besar Abdullah antaranya walaupun beliau mempunyai anggota Majlis Tertinggi Umno dan Kabinet sebagai penasihat utamanya, namun beliau tidak mengambil pandangan mereka kerana dilaporkan beliau pernah berkata I trust the young one.

Khairy, Kamaluddin Abdullah dan rakan-rakan mereka seperti Kamal Khalid, Kalimullah Masheerul Hassan serta beberapa yang lain didakwa orang-orang Umno sebagai punca kepada kelemahan kepimpinan Abdullah.

Masalah yang paling besar didakwa orang-orang Umno ialah campur tangan Khairy meletakkan orang-orangnya dalam senarai calon BN sehingga mengetepikan ramai incumbent.

Akibat daripada campur tangan ini, orang-orang Umno memboikot calon BN, jentera pilihan raya tidak digerakkan dan mereka enggan keluar mengundi calon pilihan Khairy.

PRU kali ini menyaksikan jentera Umno/BN benar-benar tidak bergerak, kaku dan mandom dalam menghadapi kempen PAS, KeADILan dan DAP.

Keangkuhan Khairy dan juak-juaknya ketika berkempen mengecam PAS untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, dibalas dengan kekalahan yang memalukan.

Ternyata rakyat tidak menerima slogan 'Pade Doh 18 Tahun PAS' (di Kelantan) sebaliknya rakyat membalasnya dengan 'Pade Doh 50 Tahun BN' memerintah Malaysia.

Khairy and his friends has no face right now, komen seorang wartawan asing.

Benar Khairy sudah tidak tahu mana hendak meletak muka, walaupun beliau menang di Rembau, rata-rata ahli Umno tanpa segan silu menyalahkannya.

Rakan-rakan rapat Khairy juga dikhabarkan terpaksa 'menyembunyikan diri' dari orang-orang Umno yang begitu marah sekarang.

"Tidak pernah terbayang Dato' Seri Mohd Khir Toyo, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali dan Dato' Seri Mahdzir Khalid menjadi ketua pembangkang di negeri masing-masing," kata seorang penganalisis.

Krisis dalaman Umno yang memuncak

Umno kini sudah semakin berkecamuk. Keputusan yang mengejutkan ini menyebabkan Umno benar-benar buntu.

MCA, Gerakan dan MIC juga menerima tamparan yang memalukan. Jelas rakyat sudah menolak mereka.

Abdullah Ahmad Badawi, Ong Ka Ting, Samy Vellu dan Koh Tsu Koon sudah tidak diterima rakyat Malaysia.

Dalam Umno, kini krisis dalaman mereka semakin memuncak. Umno harus 'direvamp'. Abdullah didesak melepaskan jawatan untuk diserahkan kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

The fake victory in 2004 sudah berakhir. BN sudah merudum di zaman kepimpinan Abdullah.

Jika dalam waktu yang terdekat ini Abdullah terpaksa melepaskan jawatan, maka impian Khairy untuk menjadi PM dalam usia 40 tahun terkubur buat selama-lamanya.

Episod baru kepimpinan Umno/BN akan bermula pada bila-bila masa. Kita tunggu dan lihat bagaimana rakyat menerimanya.

(Harakahdaily, 9 Mac 2008)

Krisis keyakinan terhadap Abdullah Badawi - BN goyang di lima negeri

Pilihan Raya Umum ke 12 begitu getir buat Barisan Nasional yang menghadapi tentangan sengit dan berada dalam keadaan yang membimbangkan sekurang-kurangnya di lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Hakikat ini tidak dapat disembunyikan apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak terpaksa berhempas pulas berkempen dan menggempur negeri-negeri berkenaan berulang kali.

Media massa yang menjadi agen propaganda BN yang paling hebat memburuk-buruk serta melemparkan pelbagai kecaman terhadap pembangkang nampaknya tidak mampu mengubah pendirian rakyat yang sudah bertekad untuk menolak BN.

{mosimage}Media cuba untuk melindungi pekung BN, yang kini sedang menghadapi krisis penolakan rakyat, khususnya dari kalangan kaum Cina dan India sehingga PM terpaksa membuat rayuan berkali-kali dalam ucapannya di Pulau Pinang.

Mandat besar yang diterima BN, kononnya kerana 'feel good factor' dan penampilannya dengan gaya yang 'berwatak lembut' diterima rakyat berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya tidak wujud.

Jika pun wujud kelebihan di atas personaliti Abdullah, kemungkinan peratusannya terlalu sedikit.

Faktor kemenangan BN 2004

Antara faktor utama yang mendorong kemenangan besar BN pada PRU 2004 adalah pertambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diwartakan dalam tahun 2003.

Persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, jelas memihak kepada BN kerana ia menambah bilangan kerusi Parlimen dan Dun di Johor dan Sabah, dua negeri yang sukar ditembusi pembangkang.

Manakala negeri yang kuat pengaruh PAS seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, kedudukan kerusi hampir tidak berubah, kecuali disusun semula kawasan pilihan raya dengan memasukkan jumlah pengundi bukan Melayu yang besar di Parlimen Kuala Kedah, Pokok Sena dan Baling.

Statistik mengenai jumlah pengundi yang besar di kawasan Parlimen di Kedah dan Kelantan sehingga mencecah 70 ribu pengundi, berbanding dengan Johor dan Sabah hanya di sekitar 40 ribu boleh dirujuk.

Jika SPR membuat persempadanan semula di negeri-negeri tersebut mengikut peraturan yang ditetapkan, nescaya PAS dan pembangkang lain akan terus menguasai ke empat-empat negeri tersebut.

Faktor kedua adalah pertambahan luar biasa pengundi-pengundi baru yang dimasukkan dalam daftar pemilih. Penambahan ini menyaksikan undi yang diterima calon BN di Kelantan dan Terengganu mencecah lebih 50 peratus.

Dalam masa yang sama secara puratanya PAS hanya menerima penurunan sekitar 5 peratus di Kelantan dan hanya 2 peratus di Terengganu.

Pertambahan mendadak dan luar biasa menyebabkan trend undi diragui kerana bagaimana pengundi yang keluar mengundi boleh mencecah sehingga 90 peratus, sedangkan dalam 10 kali PRU diadakan, peratusan keluar mengundi hanya di sekitar 70 peratus.

Kewujudan trend luar biasa ini mendorong faktor ketiga, iaitu kewujudan pengundi 'hantu' melalui daftar pemilih yang tidak bersih sehingga terdapat mengundi, mengundi lebih daripada dua kali, khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Faktor ke empat adalah berpunca daripada arahan 'last minute' SPR yang melanjutkan tempoh pengundian di Selangor sehingga ke jam 7 malam, yang memungkinkan penipuan wujud.

Ada banyak faktor lain yang boleh diketengahkan, apa pun empat faktor yang dicatatkan di sini sudah memadai untuk menjadi kayu ukur bahawa kemenangan dan pengaruh besar Abdullah Badawi sebenarnya tidak genuine.

Faktor BN goyang di lima negeri

Selain daripada kebangkitan rakyat yang jelas terhimpit dalam isu kenaikan harga minyak, harga barang dan sebagainya, boleh disimpulkan antara faktor yang menyebabkan BN goyang di kelima-lima buah negeri tersebut antaranya kerana;

1. Trend pengundi Melayu yang menolak BN pada PRU 1999 kekal pada PRU 2004 dijangka kekal sehingga 2008.

2. Gelombang yang dicetus hasil pemecatan Anwar Ibrahim (1999 dan 2004) hanya dirasai di kalangan pengundi Melayu, sebaliknya BN menang di banyak kawasan Parlimen dan Dun bergantung kepada pengundi bukan Melayu. Untuk PRU 2008 ini, pengundi bukan Melayu sudah jelas menunjukkan bantahan kepada BN menyebabkan kerusi-kerusi tertentu di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dalam bahaya.

3. Faktor penolakan dalaman Umno yang cukup besar dirasai. Di seluruh negara, ramai Ketua Umno Bahagian dan wakil rakyat tidak disenaraikan semula, menyebabkan berlakunya bantahan, sabotaj dan boikot yang meluas. Seriusnya bantahan dibuat sehingga markaz pilihan raya BN dan jentera BN hampir tidak bergerak, jelas boleh di lihat di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Masalah yang disebut-sebut oleh orang Umno adalah faktor Khairy Jamaluddin yang mencampuri urusan calon sehingga mencetuskan bantahan ramai.

4. BN merasakan masalah boikot akan selesai dengan curahan wang. Namun orang-orang Umno yang menerima wang dari pemimpin untuk menghentikan bantahan kepada calon BN, mengambil wang tersebut, tetapi tetap enggan menggerakkan jentera atau membuka markaz. Keadaan ini jelas dapat dilihat di Terengganu, khususnya.

5. Akibat daripada jentera yang tidak bergerak, BN hanya bergantung kepada media cetak dan elektronik yang menjadi alat propaganda mereka. Malangnya, sehingga kini, rakyat daripada pelbagai kaum, semakin meluat dan tidak termakan propaganda tersebut.

6. Politik pembangunan, turapan jalan tar baru dan penggunaan wang ringgit nampaknya sudah tidak mampu untuk membeli pengundi lagi. Rakyat sudah menganggap semua ini adalah hak rakyat bukannya jasa BN yang harus dibayar dengan undi lagi.

Krisis keyakinan rakyat terhadap BN

Hakikat sebenar yang tidak mampu dinafikan oleh Abdullah Badawi ialah pengaruh parti mereka sudah semakin terhakis, kemenangan 2004 bukan berdasarkan kepada kekuatan sebenar dan faktor Anwar Ibrahim yang masih menghantui.

Anwar dikatakan mereka sudah tidak relevan dan tidak berpengaruh.

Namun apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini menunjukkan Umno, MCA, Gerakan dan MIC begitu takut dengan pengaruh Anwar. Televisyen, radio dan akhbar digunakan sepenuhnya untuk membelasah Anwar.

Katalah apa pun terhadap Anwar, sehingga kini BN masih belum mampu melupuskan pengaruhnya di kalangan rakyat. Inilah masalah BN sebenarnya.

Pilihan raya ini sebenarnya bukan soal Anwar sahaja. Abdullah dan BN harus melihat mengapa disebalik janji pembangunan ekonomi yang mencecah trillion RM tidak diterima rakyat.

Barangkali juga Abdullah sedar bahawa krisis keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau, terhadap Umno khususnya dan BN juga sudah semakin memuncak.

Jika tidak kerana SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dato' Wan Ahmad Omar membantu BN untuk PRU 2004, PAS akan terus kekal di Kelantan dan Terengganu serta menambah bilangan kerusi Parlimen dan Dun yang besar di seluruh negara.

Esok rakyat akan mengundi. Jika SPR tidak menjadi agen penipu bagi pihak BN, PAS dan rakan-rakan Barisan Alternatif akan menguasai Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

(Harakahdaily, 7 Mac 2008)

Kelantan, hadiah persaraan Tan Sri Rashid kepada BN?

Apakah Pilihan Raya Umum ke-12 yang berlangsung sekarang ini akan menyaksikan kejutan besar dengan kemenangan besar Barisan Nasional akibat penipuan yang dilakukan, hasil usahasama Suruhanjaya Pilihan Raya yang diketuai Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman?

Untuk rekod, Parlimen beberapa bulan lepas baru sahaja meluluskan had persaraan umur kakitangan kerajaan termasuk badan yang dikuasai kerajaan, sekaligus BN menyambung khidmat Rashid di SPR.

Sumber yang boleh dipercayai mendakwa, Rashid ada memberitahu rakan-rakan rapatnya di SPR bahawa beliau yakin kali ini BN akan menang dengan kelebihan tiga atau empat kerusi iaitu sekitar 26 kerusi dari keseluruhan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Spekulasi ini dikuatkan dengan perancangan jahat BN yang diketuai oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang memberitahu juak-juaknya bahawa beliau akan 'membuat apa sahaja' untuk memastikan BN menguasai Kelantan.

Usaha ini dilakukan dengan begitu agresif walaupun terpaksa dibayar dengan harga yang mahal, semata-mata untuk menyelamatkan maruah bapa mertuanya yang semakin tercalar.

Dengan angkuh dan bongkaknya juak-juak Khairy memberitahu wartawan dalam dan luar negeri bahawa kali ini mereka akan 'menawan' Kelantan.

Hakikat sebenarnya, Khairy mahu membuktikan kepada penentangnya, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa di zaman Mahathir Kelantan terlepas, di zaman Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Kelantan dikembalikan kepada BN.

Anggota tentera digunakan untuk mengundi BN?

Isu yang paling hangat diperkatakan di Kelantan ialah sebagaimana dakwaan Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa bahawa anggota tentera digunakan untuk mengundi BN dengan SPR memasukkan senarai nama mereka sebagai pengundi awam.

"Pada masa yang sama nama mereka ada dalam dua buku daftar pemilih, saudara bayangkan sendiri apa akan berlaku apabila seseorang pengundi diberi peluang untuk mengundi dua kali," ujarnya.

Sebagai Pengerusi SPR, Rashid terus membisu terhadap dakwaan ini!

Seolah-olahnya mengiyakan wujudnya peranan beliau, peranan yang disembunyikan tetapi menjadi 'open secret' di sebalik perancangan kotor BN.

Sejak puluhan tahun pilihan raya diperkenalkan dalam negara, BN begitu 'enjoy' dengan kelebihan undi pos dari kalangan anggota tentera dan polis.

Parti-parti pembangkang tidak dibenarkan memasuki premis pengundian pos yang dibuat di kem-kem tertera atau premis polis.

Keadilan memang tidak wujud dalam sistem pilihan raya kita. Tidak dapat dipastikan sama ada benar-benar anggota berpakaian seragam ini mengundi atau undi mereka ditandakan oleh pegawai atasan yang bertugas untuk BN.

Tambahan pula terdapat dakwaan SPR memasuk nama isteri-isteri atau anak-anak anggota yang tinggal di premis atau kem berkenaan menjadi pengundi pos.

Sebelum ini, Husam turut mendedahkan pengundi yang berusia 100 hingga 128 tahun terdapat dalam buku daftar pemilih di seluruh negara sekarang berjumlah lebih 1,000 orang.

Menurutnya, PAS begitu sangsi terhadap fakta itu memandangkan umur mereka sudah begitu lanjut yang begitu ramai.

"Kalau benar mereka masih wujud, kita telah berjaya mencipta rekod dunia iaitu mempunyai jumlah orang tua yang begitu ramai," ujarnya.

Sebahagian nama pengundi berkenaan tertera dengan nama, alamat dan usia masing-masing dalam buku daftar pemilih.

Usaha terancang SPR jatuhkan PAS di Kelantan

Pada waktu ini kedudukan kerusi Dun sangat 'marginal' iaitu PAS memerintah hanya dengan kelebihan dua kerusi sahaja.

Keadaan genting ini wujud dan menyaksikan terdapat 24 kawasan 'runcing' iaitu 10 kerusi Dun dimenangi BN manakala 14 dimenangi PAS semuanya berada di bawah majoriti 10 peratus.

Keadaan ini berlaku bukan kerana kekuatan BN! Barangkali wujud 'feel good factor' dengan pemilihan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri yang baru.

Kenaikan mendadak undi yang diperolehi calon BN hingga melebihi 50 peratus di seluruh Kelantan pada pilihan raya 2004 berbanding 1999 sememangnya meragukan.

PAS Kelantan dapat mengesan terdapat 'usaha penipuan' dengan kemasukan mendadak pengundi-pengundi menjelang pilihan raya 2004.

Kemenangan PAS di Kelantan pada waktu itu antaranya hasil bantahan PAS terhadap daftar pemilih yang amat diragukan.

Dalam hal sama PAS Terengganu tidak sempat membuat bantahan, menyebabkan kerajaan negeri terlepas ke tangan BN. Tindakan jahat ini dilakukan SPR dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.

Pada waktu ini wujud dakwaan SPR membenarkan pemindahan lebih 85 ribu 'pengundi
hantu' ke dalam senarai daftar pemilih di Kelantan.

Usaha ini dilakukan secara berterusan demi untuk memastikan kerajaan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dijatuhkan.

PAS yakin akan kekal memerintah Kelantan

Apapun Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan bagaimana pun yakin PAS akan terus memerintah negeri Serambi Mekah itu.

Antara faktor yang melemahkan semangat orang-orang Umno sendiri antaranya ialah kemenangan tanpa bertanding calon PAS Dun Kijang, Wan Ubaidah Wan Omar dan penarikan diri dua orang calon BN di Pengkalan Chepa dan di Pasir Mas.

"Ini adalah 'morale booster' kepada kita, sekaligus melemahkan semangat orang-orang Umno, yang kecewa dengan 'bad start' BN di Kelantan," ujarnya.

Takiyuddin yang bertanding untuk mempertahankan kerusi Dun Bunut Payong berkata, dalam kempen-kempen BN kali ini, mereka tidak lagi mendakwa Kelantan tiada pembangunan, sebaliknya mereka mendakwa jika mereka memerintah, mereka akan membawa lebih banyak pembangunan.

Sementara Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dipetik sebagai berkata, PAS akan terus menguasai Kelantan selepas pilihan umum ke 12 ini.

Beliau yang dikenali dengan nama 'Cikgu Rahim' bertanding di Parlimen Kota Bharu menjangkakan, PAS setakat ini memperolehi 29 kerusi Dun berbanding BN.

Rakyat harus sekat karenah SPR

Hakikatnya apa yang dilakukan oleh Rashid dan Khairy sebenarnya adalah ancaman yang paling bahaya kepada keselamatan negara.

Sebagaimana tuntutan Bersih baru-baru ini, rakyat harus memikirkan apakah suasana yang bakal berlaku dalam negara selepas pilihan raya, sekiranya ia dikendalikan tidak bersih dan adil.

"Ini tentunya akan menggugat kestabilan negara yang telah dibentuk oleh kerajaan sebelum ini," kata Husam.

Rashid harus berfikir panjang, mungkin khidmat beliau akan dipuji pemimpin BN kerana membantu BN menawan Kelantan. Mungkin beliau akan diberi gelaran Tun selepas bersara, mungkin pelbagai 'reward' akan diberikan.

Pada rakyat, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebenarnya hampas. Tindakan mengoyak gambar beliau baru-baru ini hanyalah suatu manifestasi daripada kekecewaan di atas sikap 'bias' beliau.

Ingatlah, di belakang PAS, KeADILan, DAP dan pembangkang lain, terdapat berjuta-juta pengundi yang akan membuang undi menentang BN sekaligus tidak mempercayai kepimpinan beliau sebagai Pengerusi SPR yang tidak bebas.

Apakah Rashid mahu mencacatkan perjalanan akhir hidupnya, dipenuhi dengan najis kehinaan?

(Harakahdaily, 29 Februari 2008)

PRU ke 12: Peluang tipis Najib untuk gantikan Abdullah sebagai PM

Apakah Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berfikir, kesetiaan yang ditunjukkan beliau kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membantunya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6?

Mesej sebenar yang hendak disampaikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah, jika Abdullah diberi mandat melanjutkan khidmatnya sepenggal lagi, Najib mungkin tidak berpeluang menjadi PM dan Presiden Umno.

Gesaan Mahathir Mohamad supaya Abdullah Badawi hanya diberi mandat sepenggal sahaja sebagai PM ke-5, harus dipandang serius oleh semua rakyat, khususnya ahli-ahli Umno sendiri.

Mahathir mendakwa, semasa menyerahkan kuasa kepada Abdullah, mereka ada membuat perjanjian lisan supaya Abdullah memegang jawatan hanya sepenggal dan selepas itu menyerahkannya kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kata Mahathir, ianya memandangkan Abdullah lebih tua dari Najib. Apapun Mahathir mendakwa beliau tidak mempunyai bukti tentang kewujudan perjanjian tersebut.

Fokus Mahathir jelas. Mesejnya juga jelas. Iaitu jika Abdullah diberi mandat sekali lagi, ia bukan sahaja membahayakan negara, malah Umno juga akan rosak.

Dalam reaksinya kepada komen Mahathir, Abdullah dengan tegas berkata tiada 'gentlemen's agreement' antara keduanya.

Manakala Najib pula berkata, "Saya tak tahu pasal itu. Saya komited dalam sokongan saya kepada Perdana Menteri (Abdullah) dan taat kepada beliau."

'Beri saya sepenggal lagi'

Sebelum ini Abdullah telah pun meminta mandat rakyat untuk membenarkannya menerajui negara sepenggal lagi, dalam erti kata lain beliau meminta rakyat memberikan kuasa semula kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Barangkali satu penggal tidak mencukupi baginya. Belum ada jaminan dua atau tiga penggal mencukupi baginya untuk membuktikan Malaysia berbaloi mempunyai PM sepertinya.

Abdullah meminta mandat lagi kerana mendakwa kerajaan sedang dalam proses melaksanakan segala program dan projek ekonomi yang dirancang memerlukan masa bertahun-tahun untuk mencapai hasilnya.

Abdullah dilaporkan sebagai berkata, program-program tersebut akan mengambil masa selama 5 tahun dan jika termasuk rancangan pembangunan serta polisi ekonomi negara, ianya memerlukan sehingga 30 tahun barulah hasilnya boleh dilihat.

Jika dilihat kepada faktor kemampuan dan usia, mustahil Abdullah mampu bertahan sehingga 30 tahun sebagai PM, barangkali dua atau tiga penggal beliau masih boleh meneruskan tugasnya.

Dalam hal ini jelas Mahathir tidak bersetuju dengan hasrat Abdullah untuk meminta rakyat bagi meneruskan mandatnya sepenggal lagi.

"Saya faham memang untuk melaksanakan sesuatu projek akan mengambil masa, namun saya fikir ia bukan suatu alasan untuk kekal berkuasa sehingga 18 tahun lagi....," kata Mahathir sinis.

Apapun Mahathir tetap mengulangi pendiriannya bahawa oleh kerana Abdullah harus diberi peluang sepenggal sahaja dan selepas itu jawatan PM diserahkan kepada Dato' Seri Najib Tun Razak.

Nilai kesetiaan dalam Umno

Saranan Mahathir supaya Abdullah hanya diberikan sepenggal sahaja ada logiknya berdasarkan pengalaman 22 tahun beliau menjadi PM dan Presiden Umno.

Sepanjang ingatan penulis, hanya Dato' Musa Hitam (sekarang Tun) sahaja yang dilihat 'menderhaka' kepada PM, mengumpulkan kekuatan dan bergabung dengan Tengku Razaleigh Hamzah, sehingga tersingkir dalam pemilihan parti.

TPM yang paling setia adalah Encik Ghafar Baba (Tun), menggantikan Musa, namun tersingkir apabila tewas kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 1993.

Malahan Anwar sebelum dipecat (tahun 1998) sentiasa menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Mahathir. Mahathir adalah ayahanda, Mahathir adalah segala-galanya.

Malangnya kesetiaan itu tidak memadai dan akhirnya Anwar disingkirkan dalam keadaan yang sangat tragis dalam politik negara.

Unsur-unsur kesetiaan dalam politiking Umno sangat diragui sebenarnya.
Wujudnya rasuah, black mail, character assassination dan real assassination dalam perebutan jawatan parti. Fenomena ni bukannya baru, ia wujud dan subur semasa Mahathir masih menerajui Umno.

Pemimpin-pemimpin Umno juga sedar puak yang menyokong seseorang pemimpin belum tentu kerana kekuatan peribadinya atau kekuatan kewangan dan kuasa yang dimiliki.

Hakikatnya kesetiaan mutlak tidak wujud, yang wujud hanyalah kesetiaan fantasi sementara kuasa dan wang ada pada tangan seseorang yang bernama Abdullah Ahmad Badawi.

Persoalannya apakah kini, Najib dan penyokong-penyokongnya yakin, dengan ikrar kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Abdullah, suatu jaminan untuk tidak tersingkir?

Membantu Umno untuk membersihkannya?

Mahathir turut mengajak rakyat supaya 'mengajar' Barisan Nasional dan mengekang kuasa mutlak Abdullah dengan mengakibatkan ia 'defect' di kawasan tertentu.

Tujuannya jelas kata Mahathir, ia sekaligus akan membantu Umno untuk membersihkannya dari daki-daki yang dibawa oleh Abdullah, Khairy Jamaluddin dan kroni-korninya dari Tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri.

Amalan korupsi, kronisme dan nepotisme yang dikecam rakyat sejak zaman Mahathir, kini begitu subur akibat mandat besar yang diperolehi Abdullah di penggal pertama menjadi PM.

Amalan buruk ini menjadi semakin buruk apabila orang-orang Umno sendiri tidak berupaya 'mengangkat muka' untuk menegur Abdullah dan Khairy. Mereka hanya mampu melepaskan geram dengan 'cakap-cakap belakang' sahaja.

Jika pun Mahathir seorang sahaja yang berani bersuara dan lantang mengkritik Abdullah, tetapi kesedaran ini sudah hampir terlambat.

Usia dan kesihatan Mahathir sudah tidak mengizinkannya memperbetulkan kesilapannya melantik Abdullah sebagai penganti beliau.

Orang-orang Umno tidak boleh diharap untuk memperbetul dan membersihkan kekotoran dalam Umno sebagaimana yang didakwa Mahathir.

Tidak ada jalan lain untuk mengubah keadaan ini melainkan menghentikan mandat kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 tidak lama lagi.

Kelihatannya memang sukar, tetapi tiada yang mustahil jika Allah mengkehendakinya.

(Harakahdaily, 6 Februari 2008)

Layakkah Khairy menjadi penentu masa depan politik Umno dan negara?

Perhimpunan Agung Umno 2007, baru sahaja selesai. Di sebalik keriuhan perwakilan Umno bersidang, pelbagai ucapan dan usul diperbahaskan, semua tenggelam gara-gara telatah menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin AbuBakar.

Menjadi anak atau menantu Perdana Menteri yang berkuasa dalam negara memang merupakan suatu kelebihan (advantage) kepada mereka yang berminat menceburi bidang politik Umno kerana menjadi Presiden parti akan menguasai kerajaan.

Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi tempang seperti Malaysia, parti Umno melalui gabungan Barisan Nasional (dahulu Perikatan), dapat menikmati kuasa lebih 50 tahun.

Dengan tempoh pemerintahan dan kuasa yang panjang ini, sudah tentu ianya membuka peluang untuk kepimpinan diwarisi.

PM pertama, Tunku Abdul Rahman Putra tidak meninggalkan waris yang menjadi kepimpinan Umno.

Kepimpinan PM kedua, Tun Abdul Razak Hussain diwarisi anaknya Dato' Seri Mohd Najib yang dilantik semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Begitu juga anak PM ketiga, Hishamuddin Tun Hussein, diberi tempat dalam Umno oleh Mahathir.

Anak-anak Mahathir sepanjang 22 tahun beliau memerintah, tidak menonjol dalam politik. Mukhriz dipilih dalam Pergerakan Pemuda Umno, hanya ketika saat-saat Mahathir hendak melepaskan jawatan.

Individu yang menjadi fokus di waktu ini, tidak lain melainkan Khairy Jamaluddin, menjadi tumpuan hanya kerana beliau menantu kepada PM dan Presiden Umno.

Khairy bakal Ketua Pemuda Umno

Khairy dikatakan bercita-cita besar menggantikan Hishammuddin Hussein sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno dalam pemilihan parti tahun hadapan.

Hishammuddin sudah 9 tahun menjadi Ketua Pemuda. Juak-juak Khairy dikatakan sudah mula melobi di peringkat bahagian, memuji dan menaikkan nama Hishammuddin sebagai salah seorang calon Naib Presiden Umno.

Tujuan mereka jelas, mereka mahu 'menolak' Hishammuddin ke atas. Kalah menang beliau bertanding Naib Presiden tidak penting, yang mereka mahu, Khairy menang jawatan Ketua Pemuda tanpa bertanding.

Apa pun, ada yang mengatakan Hishammuddin belum tentu yakin untuk masuk ke gelanggang Naib Presiden. Ada yang kata 'jawatan besar kerak lagi besar, hulur pun kena besar'.

Setakat ini Hishammuddin dikatakan hanya berani mempertaruhkan dirinya sebagai calon Majlis Tertinggi sahaja.

Dan bagi juak-juak Khairy, Mukhriz Mahathir sudah tiada pengaruh. Tiada siapa yang mampu mencabar Khairy, usahanya menguasai pemuda sudah semakin hampir.

Malah ada yang mengatakan bahawa Khairy mahu menapak terus ke teraju PM sebelum atau pada usia 40 tahun dengan mengetepikan TPM serta ramai pemimpin veteran dalam parti.

Usaha untuk menapakkan Khairy ke tampuk sudah digerakkan. Khabarnya kumpulan ini sedang menyiapkan senarai calon cadangan mereka (calon BN dari Umno) untuk pilihan raya akan datang.

Sekarang 'team Abdullah' bukan lagi Mahathir

Khabarnya banyak perubahan yang akan dilakukan, antaranya mereka adalah muka-muka baru di kalangan rakan-rakan Khairy untuk menggantikan set-set lama wakil rakyat yang mewakili parlimen dan Dun sejak zaman Mahathir lagi.

Ketika pilihan raya 2004 diadakan, Abdullah dilantik menjadi PM dengan mengekalkan 'team kabinet Mahathir'.

Selepas pilihan raya Abdullah mengekalkan hampir semuanya, dan hanya membuat penambahan seorang dua menteri. Abdullah juga barangkali faham, jika beliau membuat perubahan drastik, hanya akan menyebabkan 'harimau yang sedang terluka' mengamuk.

Pilihan raya akan datang ini Abdullah tidak lagi perlu menoleh ke belakang. Mandat akan datang yang bakal diperolehinya sudah terlepas dari bayang-bayang bekas PM.

Kali ini beliau akan menyenaraikan calon pilihannya sendiri. Kabinet juga adalah kabinetnya sendiri. Tiada siapa berani menyanggah Abdullah pada waktu ini.

Semua orang Umno tahu Abdullah banyak 'bergantung' maklumat yang disalurkan oleh Khairy.

Pengakuan Khairy untuk 'mengubah' parti dan kerajaan

Peluang ini digunakan sebaik-baiknya oleh menantu beliau. Maka dalam laporan akhbar sejurus sebelum Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini dilaporkan seperti berikut:

Khairy Jamaluddin says that being the Prime Minister's son-in-law has provided him "protection" which he wants to use to change things for the better.

The Umno Youth deputy chief said he was able to "push the envelope now" partly because of that relationship with the prime minister. "There's a certain extent (to which) these people in Umno will not go after me. So it gives me 'protection' to change things.

"If I don't use this 'protection' to change things for the better, then I'm just wasting time and marking my time to go up the ladder of politics. That's not what I am about.

"I want to use this time that I have while I have this 'protection' to change things, to change Umno for the better," he said.

Secara ringkasnya, Khairy mengakui hubungannya dengan PM memberikan kelebihan dan peluang kepadanya untuk 'mengubah' Umno ke suatu tahap yang lebih baik (pada pandangannya).

Dengan pengakuan jujur ini, keresahan kalangan pemimpin dan ahli Umno bahawa Khairy banyak campurtangan dalam urusan pentadbiran kerajaan dan parti memang wujud dan berasas.

Persoalannya apakah campurtangan Khairy dalam kerajaan dan parti menyumbang kepada kebaikan atau keburukan?

Setakat ini sudah banyak rungutan orang-orang Umno mengenai karenah Khairy dalam kerajaan dan parti semuanya ditepis oleh PM. Sama ada Abdullah mendengarnya, 'masuk telinga kanan keluar telinga kiri' atau tidak mahu mendengar langsung apa-apa rungutan mengenai Khairy.

Namun, walaupun Abdullah 'buat endah tak endah', beliau tidak dapat menghapuskan persepsi bahawa menantunya dilabel sebagai seorang yang 'sombong dan celupar' oleh orang-orang Umno sendiri.

Banyak kenyataan Khairy yang memberikan impak yang buruk kepada Abdullah dan Umno sendiri.

Khairy gemar dengan istilah 'beruk atau monyet'. Beliau pernah melabelkan pengkritik bapa mertuanya dalam Umno (termasuk Mahathir) sebagai beruk.

Terbaru beliau menggelar rakyat yang hendak berhimpun secara aman bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai beruk!

Lebih buruk lagi apabila Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu menggesa polis bertindak dan menangkap 'beruk-beruk jalanan' yang berhimpun.

Kenyataan angkuh dan kurang sopan itu, bukan sahaja mengejutkan perwakilan Umno, malah rakyat yang mendengar dan membaca berita mengenainya turut berasa 'tercabar'.

"Siapa Khairy pandai-pandai nak arah polis," getus seorang wartawan media kepada penulis sejurus mendengar ucapan tersebut. Jelas mimik mukanya menunjukkan beliau menyampah dengan tingkah laku menantu PM itu.

"Sebenarnya ramai orang menyampah kat (pada) dia, tetapi terpaksa buat senyum sebab dia ada kuasa," tambahnya tanpa menjelaskan apa maksud 'kuasa' yang disebutkan.

Barangkali Khairy juga tahu ramai orang dalam dan luar parti tidak menyukainya, tetapi terpaksa menunjukkan 'muka baik' kerana dia menantu Abdullah Ahmad Badawi.

Mungkin juga mereka yang tidak menyukainya di kalangan menteri, ahli majlis tertinggi, ketua bahagian dan anggota pergerakan pemuda, tetapi tiada yang berani mencabar Khairy.

Paling tragis dalam perhimpuan pemuda, sewaktu mak mertuanya (Datin Seri Endon Mahmood) masih ada, Khairy pernah 'diboo' sebanyak tiga kali.

Apakah orang-orang Umno akan membiarkan Khairy?

Yang pasti beliau sering menjadi sasaran kritikan dan serangan Dr Mahathir. Ketika ditanya hubungannya dengan Mahathir, Khairy mengatakan, "It's a love-hate relationship - I love him, but he hates me."

Ringkasnya Khairy mengatakan dia sayang kepada Mahathir, tetapi Mahathir membencinya, tanpa menghuraikan apa sebab keadaan tersebut berlaku.

Sudah tentu bagi anak muda baru mencecah usia 30 tahun, yang boleh dianggap cucu seorang datuk (orang utara gelar tok wan) berusia 82 tahun, begitu sedih jika dirinya dibenci.

Khairy barangkali terkesan kerana beliau sering menjadi sasaran utama serangan tok wan Mahathir kerana didakwa mencampuri urusan pentadbiran kerajaan yang diterajui bapa mertuanya.

Bukan sahaja Mahathir, ramai lagi orang-orang dalam Umno yang membenci Khairy tetapi tidak diketahuinya atau terpaksa disembunyikan kerana menantu PM itu mempunyai 'kuasa yang amat besar' dalam parti dan kerajaan.

Betapa besar pun kuasa Khairy sehingga terpaksa dihormati dalam kerajaan dan Umno, tidak semestinya diterjemahkan sebagai sokongan tulen dari grassroot. Bukan sahaja Khairy, bapa mertuanya pun tiada sokongan 'grassroot' dalam parti.

Umumnya orang-orang Umno sendiri mengakui, 22 tahun 'duduk di bawah pemerintahan' Mahathir, hampir ke semuanya masih pendukung kuat bekas PM, namun terpaksa mendiamkan diri.

Khairy dan juak-juaknya harus sedar, laluan mereka untuk menguasai kerajaan dan parti sepenuhnya bukannya mudah. Mereka masih muda dan mentah dalam dunia politiking Umno.

Jangan tersilap langkah, diamnya 'musuh-musuh' yang berada di sekeliling beliau bukannya mereka tidak memerhati. Silap hari bulan Khairy akan terjebak dalam perangkap jua.

Hakikatnya dalam sejarah Umno, orang yang sehebat dan nama sebesar Dr Mahathir pun, tidak sampai dua minggu melepaskan jawatan PM sudah tidak dihargai lagi.

Jika hari ini, terjadi sesuatu yang tidak elok kepada Abdullah atau ditakdirkan berlaku perkara yang menghalangnya meneruskan tugasnya sebagai PM, pada waktu itu baru Khairy akan sedar 'siapakah dirinya dalam Umno'.

'Untung sabut timbul, untung batu tenggelam..

(Harakahdaily, 20 November 2007)

Khairy Jamaluddin antara analogi beruk, monyet dan hantu dalam Pemuda Umno

Entah mengapa Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang juga menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, 31, begitu berminat dengan haiwan beruk, monyet dan pelbagai istilah yang berkaitan dengannya.

Ketika berlaku 'pertembungan' antara bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tahun lalu, Khairy melabelkan penentang bapa mertuanya sebagai beruk.

Beberapa minggu ini politik negara, khususnya para penulis di alam siber dan para bloggers diriuhkan dengan keceluparan Khairy dengan melabel mereka sebagai monyet.

Istilah beruk dan monyet dalam politik Malaysia bukan perkara baru

Ada banyak faktor mengapa orang politik suka menggunakan istilah beruk atau monyet, untuk diumpamakan atau dilabelkan kepada sekelompok manusia atau individu tertentu.

Antaranya, penglabelan beruk melambangkan kepatuhan seseorang yang hodoh terhadap ketua secara membabi buta dan monyet dikiaskan kepada pembuat cerita-cerita yang keruan sehingga heboh dan riuh rendah di dalam belantara.

Istilah-istilah ini ditujukan dan ditempelak kepada pesaing atau musuh tertentu sebagai suatu lambang penghinaan yang buruk sehodoh wajah dan perangai beruk atau monyet.

Beruk atau monyet politik yang menjadi pesaing politik sebagaimana yang diistilahkan oleh Khairy Jamaluddin, tidak harus ditujukan kepada orang yang di luar rumah Umno sahaja.

Sebelum menuduh orang luar Umno, Khairy harus sedar ada atau tidak beruk dan monyet dalam Umno? Khairy juga harus sedar jika beliau melabel pesaing politiknya sebagai beruk dan monyet, apakah mereka tidak membalikkan label berkenaaan terhadapnya?



Bukan sekadar beruk atau monyet, kini hantu pula

Sekarang ini, musuh-musuh Khairy dalam Umno, bukan sahaja melabelkannya sebagai beruk atau monyet, malah ada yang menggelar beliau sebagai hantu dalam Pergerakan Pemuda Umno.

Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda Umno Petaling Jaya Selatan di Sunway Resort Hotel, 12 Ogos lepas Ketua Umno Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Dato’ Zahar Hashim mengesa agar Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein meneruskan memimpin Pergerakan Pemuda.

Zahar membuat gesaan demikian di hadapan Hishamuddin yang menjadi tetamu khas yang dijemput untuk merasmikan mesyuara berkenaan.

Zahar menyifatkan Pergerakan Pemuda Umno kini adalah umpama sebuah rumah “berhantu” sehingga mengganggu ketua rumah, hingga ketua ingin meninggalkan rumahnya.

Zahar mengesa agar 'hantu' dalam rumah (Pemuda) dihalau sebaliknya.

Jelas Zahar secara berkias 'hantu' itu ialah orang nombor 2 (Khairy) dalam pergerakan itu dan kiasan tersebut mendapat sorakan hangat dari para perwakilan.

Banyak lagi ucapan beliau yang menyentuh sejarah perjuangan Umno, antaranya bagaimana pemimpin yang duduk di atas (menjadi Perdana Menteri) mendapat didikan tersusun sebelum mewarisi kepimpinan Umno.

Secara khususnya beliau menggesa Umno menolak pemimpin yang naik secara 'diparachutkan' atau kerana berpeluang naik kerana bapa mertuanya PM.

Mungkin Zahar tidak bermaksudkan hantu itu Khairy, mungkin juga Dato' Norza Zakaria. Entah bagaimana hendak Khairy tafsirkan dakwaan yang dibuat oleh Zahar tersebut.

Tetapi secara 'direct'nya ia merupakan suatu signal bahawa, laluannya untuk naik menjadi Ketua Pemuda Umno, seterusnya bakal PM termuda Malaysia, bukannya mudah.

Sekatan kepada perjalanan politik beliau, bukan disebabkan oleh orang di luar Umno, tetapi ianya ada adalah beruk dan monyet dalam partinya sendiri.

Kini beliau sendiri sudah dilabel sebagai hantu. Hah! Jawablah sendiri.




Nilai kesetiaan beruk dan monyet dalam Umno

Apa pun sebagai orang politik, Khairy harus sedar bahawa sejarah politik dalam Umno membuktikan tiada siapa yang terlalu setia walaupun semasa pemimpin berkuasa mereka akan mendapat sokongan ampuh daripada partinya sendiri.

Lihatlah apa yang berlaku kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Selama 22 tahun beliau berkuasa dalam parti dan kerajaan, menerima ikrar ketaatan yang terlalu hebat dalam sejarah Umno, tidak sampai dua minggu meletakkan jawatan, semua penyokongnya sudah lari.

Ini adalah bukti politiking beruk, monyet dan pengampu-pengampu yang mendokong serta menyokong tanpa asas kejujuran.

Mahathir kini sedar, apa nilai pengorbanannya terhadap Umno. Selama 22 tahun lebih menjadi Presiden, menjadi PM, membangunkan parti dan negara, kini nilainya sudah tiada.

Pandangannya, idea dan impiannya tidak dihargai, bukan oleh rakyat awam, malah dari kalangan anggota-anggota parti yang diterajuinya sekian lama.

Apakah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan menerima nasib yang sama dengan Mahathir, apabila sudah tidak berkuasa kelak?

Apa jasa Abdullah kepada negara berbanding Mahathir? Apa hebatnya Abdullah daripada Mahathir? Terlalu jauh. Orang-orang Umno pun tahu menilainya sendiri.

Apa lagi dengan Khairy...siapa yang hendak menjulangnya? Adakah dia wira negara atau banyak jasanya dalam Umno? Habuk pun tarak!

Oleh kerana itu, Khairy harus sedar, bukan orang luar yang mampu mencalar wibawanya, bukan orang luar yang boleh menggugatnya.

Kami tidak ada kuasa, kami tidak ada upaya menghalang saudara, yang menghalang saudara adalah penyokong dan pemimpin parti saudara sendiri.



Isu-isu yang didakwa dibangkitkan oleh beruk dan monyet

Jika orang-orang di luar parti Umno dilabel sebagai beruk dan monyet, Khairy harus menjawab dengan terperinci beberapa isu yang dibangkitkan, khususnya oleh bekas PM sendiri.

Antaranya, isu penjualan MV Agusta dengan harga satu Euro. Khairy mengatakan ia amalan yang normal menjual sesuatu entititi dengan hanya nominal value.

Beliau mendakwa apa yang dibuatnya sama seperti zaman pemerintahan Mahathir, apabila DRB-Hicom menjual Air Asia kepada Tune Air milik Tony Fernandes dengan harga RM1.

Cuma yang Khairy terlupanya, bahawa di dalam penjuaan Air Asia kepada Tune Air, berlaku antara satu syarikat tempatan kepada satu syarikat tempatan. Asasnya, pemilikan nasional masih berada di bawah anak Malaysia.

Berbeza dengan penjualan MV Agusta kepada Gevi spa, berlaku berlaku penjualan suatu entiti kepunyaan tempatan kepada sebuah syarikat asing.

Kemudian isu penjualan ekuiti Aliance Bank dan Pantai Holding. Khairy tidak menjawab dengan jelas isu ini melainkan menyuruh ahli Umno menyelidik sebelum ini syarikat tersebut kepunyaan siapa.

Persoalannya yang tidak terjawab, bagaimana sebuah Bank tempatan boleh dijual kepada Singapura? Di mana kebenaran Bank Negara dan Menteri Kewangan seperti yang diperlukan?

Bagaimana kelulusan diberikan oleh Kementerian Kewangan terhadap pembelian ekuiti asing melebihi 30 peratus?


Banyak lagi persoalan yang tidak sempat dicatatkan di sini. Cumanya sekadar untuk peringatan, janganlah mudah-mudah dilabel golongan yang mempersoalkan kerajaan, kredibiliti PM, peranan Khairy sebagai beruk dan monyet.

Persoalan yang dibangkitkan di alam maya, oleh penulis internet dan para bloggers harus dinilai dan diadili sebaik-baiknya.

Persoalan yang dibangkitkan adalah mengenai fakta dan ilmiah. Beruk atau monyet tidak tahu membangkitkan persoalan ini.

Tidak tahulah kalau ada cyber-troopers atau beruk dan monyet moden yang dilatih Puteri Umno untuk membalas serangan diinternet.

Lagak dan keangkuhan Khairy ibarat 'menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri.'

(Harakahdaily, 14 Ogos 2007)

Tuesday, April 17, 2007

Apakah Mahathir - Ku Li mahu selamatkan Najib daripada dicantas?

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah barangkali tidak perlu bergabung menentang kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana buat masa ini gabungan kedua-duanya dilihat tidak akan mampu mengugat Abdullah.

Apa yang penting, Kedua-dua Mahathir dan Ku Li sepakat mempertikaikan kewibawaan Abdullah menerajui negara, sekaligus membuka jalan kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggantikan Abdullah sebagai PM

Buat masa ini, walaupun Najib sentiasa memberikan komitmen dan kepatuhannya kepada Abdullah dalam menghadapi serangan Mahathir dan Ku Li, namun kedudukannya sebagai orang nombor dua dalam negara dan parti masih belum selamat.

Begitu banyak rumours yang didengar dari kalangan orang-orang Umno sendiri tentang hubungan yang agak 'rapuh' di antara PM dan TPM.

Nilai ikrar taat setia dalam Umno

Walaupun Najib cuba memperlihatkan taat setianya kepada Abdullah dan sering membuat kenyataan bahawa beliau 'tidak mempunyai masalah' dengan PM, namun Abdullah setakat ini masih membisu seribu bahasa.

ImageAbdullah tidak memberi sebarang respon langsung kepada kenyataan Najib di Pekan tempohari.

Diamnya PM terhadap spekulasi hubungannya dengan Najib, sebenarnya lebih banyak mengundang rumours yang negatif.

Jika pun Abdullah memberi respon yang positif atau mengakui beliau juga tiada masalah dengan timbalannya, barangkali rakyat sukar mempercayainya kerana pernah berlaku dalam sejarah Umno seperti yang dapat disaksikan dalam episod drama 'Anak Bapak' antara Dr Mahathir dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Dalam Umno, janji dan ikrar taat setia kepada pemimpin atasan bukan sesuatu yang pelik, ia adalah amalan kelaziman untuk 'menghiburkan' pemimpin nombor satu dengan menunjukkan seluruh anggota parti 'seolah-olahnya' menyokong kepimpinan beliau 100 peratus.

Dr Mahathir juga menerima 'hiburan' yang sama ketika menjadi PM dan Presiden Umno. Hakikatnya, tidak sampai dua minggu selepas meletakkan jawatan, semua yang berikrar padanya, semua yang menangis meratapi pemberhentiannya, terus enggan berjumpa beliau.

Janji dan ikrar taat setia adalah sesuatu yang baik. Namun dalam Umno, ianya tidak mempunyai apa-apa nilai kesantunan atau nilai etiket. Ia tidak lebih dari 'sandiwara' atas dorongan ketakutan hilang kedudukan, jawatan dan sumber rezeki.

Bukan bererti anggota parti tidak harus melafazkan ikrar taat setianya kepada pemimpin, ikrar itu amat perlu, namun pemimpin dan ahli-ahli Umno sendiri menjadikan ianya seperti hampas.

Warisan kepimpinan Umno tidak jelas

Selepas Mahathir mengambil alih kepimpinan Umno dan negara, struktur warisan kepimpinan Umno tidak diwariskan dengan jelas atau dalam erti kata lain 'no secure successor'.

Mereka yang duduk dibangku Timbalan Presiden Umno akan berasa lebih trauma kerana tiga timbalan zaman Mahathir, kesemuanya yang dikatakan 'heir- apparent' sudah mengigit jari.

Sama seperti Mahathir, Abdullah juga dikatakan tidak pernah memberikan signal bahawa Najib akan menggantikannya suatu hari nanti.

Tambahan pula apabila Abdullah dilihat jarang sekali menghadiri majlis anjuran Kementerian Pertahanan yang diterajui Najib berbanding dengan Kementerian Industri Asas Tani di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Barangkali memang Abdullah - Najib tidak bermasalah. Barangkali juga memang wujud masalah, tetapi disembunyikan.

Malah ada juga yang beranggapan, memang TPM dengan PM tidak ada masalah, masalah yang wujud adalah di antara Najib dengan Khairy Jamaludin.

Seperti kata pepatah 'jika tiada angin bertiup masakan pohon bergoyang' itulah yang sering disebut-sebut oleh orang-orang Umno di peringkat bawahan.

Tambahan pula Jun ini, kroni rapat Najib, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda akan berhadapan dengan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu, maka secara tidak langsung ia boleh menjadi punca penentu masa depan Najib.

Isunya di sini bukan soal Najib terbabit dengan kes atau tidak. Isu yang harus Najib fikirkan, apakah mungkin ada musuhnya dalam Umno, yang mahu menyekatnya menjadi Perdana Menteri! Tidak mustahil bukan?

Khairy antara punca penentangan terhadap Abdullah

Sudah diketahui dengan jelas, bahawa serangan-serangan bekas PM dan lain-lain pihak dalam Umno sendiri terhadap Abdullah adalah berpunca dari tidak senang mereka terhadap Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang juga menantu Abdullah.

Mereka mempertikaikan Khairy yang dianggap 'masih mentah' dalam dunia politik dan ekonomi, diberikan peranan seperti 'key player' dalam pentadbiran Abdullah.

Hakikatnya, Abdullah harus memikirkan mengapa orang yang melantiknya atau orang yang sebelum ini rapat dengannya, sudah mula memandang sinis terhadap keupayaannya memimpin.

ImageSama seperti Mahathir atau Tengku Razaleigh, walaupun mereka tidak bersetuju dalam banyak perkara, namun kelihatannya mereka sepakat berpendapat bahawa Abdullah memacu negara ke arah yang terpesong dari landasan perjuangan Umno.

Mahathir - Ku Li, kedua-duanya mempunyai sejarah pertembungan dan pemusuhan politik yang hebat dalam banyak perkara sejak tahun 1980-an lagi, namun kedua-duanya bersatu dalam menentang cara pemerintahan Abdullah.

Sejarah pertembungan antara bekas Perdana Menteri dengan bekas Menteri Kewangan ini, tidak terungkap kehebatannya sehingga melakar sejarah yang amat tragis bagi orang Melayu kerana pertelagahan yang mendorong Umno diharamkan pada tahun 1988.

Mahathir dan Ku Li, walaupun kini dipinggirkan dan tidak diterima pandangan mereka sama ada dalam isu politik, mahu pun ekonomi oleh Abdullah, namun kedua-duanya masih berpengaruh dan berbisa.

Kedua-dua tokoh Umno ini bertemu dalam satu majlis Ceramah Agung Tahunan Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM) di Universiti Malaya yang diadakan pada 30 Mac lepas.

Manakala Mahathir berucap di forum Kepimpinan Melayu di Era Globalisasi anjuran Umno Cawangan Kulai Besar pada 29 Mac lepas, secara khusus turut mengkritik Abdullah.

Kedua-dua tokoh veteran Umno ini, masing-masing berada dalam usia emas dan tidak mungkin berhasrat untuk merebut jawatan Presiden Umno sekaligus menjadi Perdana Menteri.

Mahathir sudah tentu tidak akan kembali sebagai Presiden Umno. Manakala Tengku Razaleigh pernah mendapat satu pencalonan sebagai calon Presiden Umno, namun 'ketakutan' yang wujud di kalangan pemimpin Umno sendiri menjadikan usaha merebut jawatan Abdullah sebagai tidak relevan.

Hakikatnya Mahathir dan Ku Li tidak perlu bergabung menentang Abdullah, mereka hanya perlu untuk terus mengasak PM dan Khairy, sekaligus membuka peluang untuk Najib diangkat menjadi PM ke 6 Malaysia!

Isu yang dibangkitkan Mahathir - Ku Li

Namun persoalan yang dibangkitkan oleh Mahathir dan Ku Li, digelapkan dan tidak langsung dihighlightkan dalam media arus perdana untuk diperbincangkan dalam situasi yang sihat.

Kerajaan didakwa menggadai maruah negara dan meminggirkan orang Melayu dalam pembangunan projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor.

Kerajaan didakwa menyebabkan kemerdekaaan sudah mula terhakis dengan dasar membuka peluang seluas-luasnya kepada pelabur asing, khususnya Singapura untuk memajukan negara, sekaligus menguasai harta-harta rakyat Malaysia melalui pelaburan.

Abdullah didakwa begitu lemah sehingga menyebabkan kerugian RM1.4 bilion akibat kegagalan projek Jambatan Bengkok dan pembinaan Kompleks Imigresen dan Kuarantin di Johor.

Kepimpinan Abdullah yang seharusnya meneruskan kemajuan dan pembangunan Proton sebaliknya dilihat hendak 'membunuh' Proton dengan mengakibatkan kehilangan RM1 bilion wang Proton.

Dilema yang dihadapi Melayu dalam era ini kata Mahathir, "Orang Melayu hanya bukan lagi tuan kepada negara ini dan akan menjadi penonton sahaja kerana kemajuan (yang dilaksanakan) tidak mempedulikan nasib bangsa."

Di samping itu dalam ceramahnya di Kulai, Mahathir dipetik sebagai berkata: “Sesetengah pemimpin cakap besar..oh anak saya kaya..mereka cakap tentang rumah mereka yang bernilai AUD 25 juta…itu RM60 juta.Sungguh aneh mempunyai rumah begitu besar.

“Kita mempunyai seorang pemimpin yang pergi jauh ke Perth untuk menghadiri pembukaan ..apa itu…restoran nasi kandar. Antara berada dalam negara ketika malapetaka dan mengendalikan perasmian sebuah restoran nasi kandar ,mana yang lebih penting? Tentulah nasi kandar."

Semua tuduhan ini sebenarnya amat serius tidak harus dipandang ringan dan memerlukan penjelasan yang telus daripada kerajaan dan Abdullah sendiri.

Sebelum ini pun banyak dakwaan dan kes-kes yang dikatakan skandal AP, penyelewengan serta rasuah tidak dijawab dan tidak diambil tindakan oleh PM.

Ini mendorong persepsi, barangkali beliau tidak tahu bertindak, beliau lemah untuk mengambil tindakan atau mungkin apa yang dituduh tidak benar sama sekali.

Secara mudahnya, Abdullah, Khairy ataupun juak-juak mereka boleh sahaja menepis dakwaan dengan mengatakan semua tuduhan ini tidak betul dan tidak berasas.

Tetapi jangan lupa, rakyat sudah bijak menilai dan meneliti mana yang betul dan mana yang tidak betul.

Suatu hari masanya akan tiba, di mana rakyat akan bangkit menuntut kebenaran.

(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 6 April 2007)