Wednesday, January 09, 2013

'Sayidina Umar' dari Kota Belud

Aminudin (kiri) bersama Ustaz Awang.
"Dia ini semasa sekolah dulu, jahat ini. Suka kacau orang Islam. Saya masa di sekolah cukup marah dengan dia," kata Setiausaha Perhubungan PAS Sabah, Ustaz Awang Paiman Ikin, dalam dialek Sabah, sambil menunjuk ke arah rakannya.

Rakannya, Mohd Aminudin Aling, ketawa terbahak-bahak. Kami semua yang berada di Pejabat PAS Sabah di Putatan, gelak beramai-ramai. Seronok bila berkumpul dalam penuh kemesraan, berbual tentang sejarah silam masing-masing.

Cerita Ustaz Awang Paiman memecah kesunyian waktu hampir sore. Mereka berdua adalah rakan dibangku sekolah, iaitu di SMK Arshad Kota Belud tahun 1975 hinga 1977.

"Dia ini jahat, suka ejek, suka kacau orang Islam di sekolah. Aku kenal dia dari form one hingga form three.

"Selepas sekolah kami berpisah, saya terus mengaji di pondok Kepala Batas di Pulau Pinang. Tetapi kami bertemu tahun 1983 di suatu simpang, Paumin memberikan salam kepada saya, tetapi saya terus berlalu kerana dalam hati saya, dia ini sejak sekolah, sampai sekarang mahu permainkan Islam," ujarnya sambil disambut hilai tawa kami semua.

Tetapi selepas mengetahui daripada penduduk kampung bahawa Paumin sudah memeluk Islam dan namanya adalah Aminudin, Ustaz Awang mencari beliau dan mentautkan kembali persahabatan.

Sekarang ini, selepas Aminudin dilantiik menjadi Pesuruhjaya, Ustaz Awang dilantik menjadi setiausaha.

Penulis mengenali Aminuddin agak lama. Sedikit sebanyak cerita beliau, diperolehi melalui adiknya, Ustaz Ahmad Junid, bekas YDP PAS Labuan, yang juga merupakan sahabat kepada penulis.

Tidak ramai yang tahu latar belakang Aminudin sebenarnya. Yang mereka tahu, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Sabah, yang berasal dari Kota Belud.

Orangnya berwatak serius, tetapi sentiasa tenang dalam senyuman. Maklumlah orang Kota Belud, ramainya berwajah bengis, kerana berketurunan pahlawan yang gagah perkasa. Persis Sayidina Umar al-Khattab.

Aminudin atau nama asalnya Paumin Aling, berusia 52 tahun. Berasal dari Kampung Tempasuk Dua, Kota Belud.

Anak kedua dari tujuh orang adik beradik ini, adalah berketurunan Dusun yang beragama Pagan. Pagan ini pada sesetengah pihak, macam Athies.

Menurut Aminudin, beliau masuk Islam pada tahun 1982 selepas berkahwin. Sebelum itu abang sulungnya yang bertugas sebagai anggota tentera lebih awal memeluk Islam.

"Isteri saya Diwoi atau kini Faizah Antong, juga sama macam saya. Kami tiada agama. Satu hari saya cakap kepada isteri, "kita kena cari agama dan saya percaya agama pilihan kita adalah Islam," ujar Aminudin.

Walaupun pada awalnya terhadap halangan, namun berkat kesabaran, mereka suami isteri diIslamkan oleh Dato' Ismail Gimbat.

Dato' Ismail berpangkat bapa saudara kepada beliau dan sehingga kini masih aktif mendokong perjuangan PAS.

"Waktu itu, ayah agak sukar menerima. Kerana dia takut apabila anak-anak sudah Islam, kami akan menjauhkan diri. Waktu itu saya tinggal di Kota Kinabalu. Tiap-tiap minggu saya pulang ke Kota Belud, menziarahi ayah, ibu dan adik-adik.

"Kami semua adik beradik cukup mematuhi arahan ayah dan semua kerja-kerja beliau kami selesaikan tanpa banyak bicara," ujarnya.

Selepas beliau masuk Islam, kesemua lima adiknya, termasuk Ahmad Junid mengikut jejak langkah mereka. Kesemua mereka masuk usrah dan kuliah ilmu di Kota Belud, mendalami Islam dan menjadi pejuang yang komited.

Berkat kesabaran mereka tujuh beradik, dan menunjukkan akhlak yang baik, mereka berjaya membawa bapa dan ibu mereka masuk Islam.

Bapa Aminudin, Aling Pilang akhirnya sebelum kembali kerahmatullah, mewakafkan enam ekar tanah untuk dibina pondok pendidikan Islam yang disiap dibina pada tahun 1991.

Hendak menulis tentang Aminudin sebenarnya tidak cukup diruang ini. Kisah dan sejarah silamnya boleh dibuat buku. Panjang lagi cerita yang tidak sempat dinukilkan di sini.

Namun, pada kesempatan yang terhad ini, bagi penulis, Aminudin adalah kalangan orang yang termasuk dalam 'kehebatan hidayah dan takdir Allah'. Siapa tahu, orang yang sering mempersendakan Islam waktu dulu, kini pemegang panji dan obor pejuangan Islam di Sabah. Allahu Akbar, sujud syukur dengan takdir-Mu.

No comments: