Monday, December 17, 2012

Tiada indikator jelas untuk BN kekalkan kuasa

Rakyat bersatu untuk bangkit menolak BN
Jika kita melihat kempen Umno-Barisan Nasional menerusi media massa, sama ada Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan lebih lebih lagi TV3, kita akan melihat seolah-olahnya Pakatan Rakyat akan musnah dan tidak mampu mentadbir negara.

Media yang dikawal sepenuhnya oleh Umno-BN ini, setiap detik dan hari, memang sengaja memaparkan imej yang paling buruk kepada Pakatan Rakyat. PAS, PKR dan DAP diserang siang malam. Pemimpin Pakatan Rakyat juga diserang setiap masa.

Media pencacai ini cuba untuk menonjolkan imej hebat Umno-BN. BN yang sangat hebat dan berpengalaman berkuasa selama lebih 50 tahun dalam negara.

BN yang dikhabarkan begitu kuat dan ampuh dari sebarang cabaran. Namun, kehebatan Umno-BN yang digembar-gemburkan, yang ditonjolkan dengan begitu hebat, tetapi realitinya berada di dalam kegelabahan untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat.

Jika Umno-BN terlalu kuat dan sukar digugat, mengapa Perdana Menteri tidak membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan?

Pada kita, memang tiada halangan untuk Perdana Menteri membiarkan Parlimen terbubar dengan sendirinya selepas tamat tempoh lima tahun kerajaan BN pada Mac 2013.

Namun jika Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membiarkan tempoh kerajaan berakhir secara automatik, sedangkan dia ada kuasa membubarkan Parlimen lebih awal, ia hanya akan mencacatkan persepsi rakyat terhadap Umno-BN sahaja.

Tindakan itu bakal membuktikan bahawa selama ini Najib amat takut untuk membubarkan Parlimen. Najib tidak yakin BN akan menang, jika dipanggil Pilihan Raya Umum lebih awal daripada tarikh ianya luput.

Bermula dari sekarang, Najib ada tiga bulan sahaja untuk 'survive'. Sebagai PM beliau ada kuasa untuk menentukan bila Parlimen hendak dibubar, bagi diadakan PRU.

Tetapi jika Najib hendak membubarkan Parlimen, beliau memerlukan indikator dan petunjuk yang meyakinkan. Najib sedar, dia harus menang besar, jika BN menang, tetapi lebih buruk dari 2008, sudah tentu Najib akan 'ghuyub'.

Tetapi malangnya, selepas tiga minggu Perhimpunan Agung Umno (PAU 2012)diadakan, yang dikatakan perhimpunan menyuntik semangat juang Umno-BN, tiada apa-apa impak positif yang beliau perolehi.

PAU 2012 yang mendapat liputan media pencacai siang dan malam, ibarat melaporkan kisah 'seekor ayam yang bertelur tetapi riuh sereban.' Tiada apa yang dapat membantu Najib untuk membubarkan Parlimen, selain perhimpunan 'sarkas' yang mendapat sambutan kerana lawak terbaik.

Secara seriusnya, pembentangan Belanjawan 2013 tidak dapat membantu Najib. Sebarang program dalam jelajah 'Janji Ditepati' semakin kelam dan dilupakan. Perhimpunan parti-parti komponen BN sebelum ini, juga gagal memulihkan sokongan kaum masing-masing kepada BN.

Malah, PAU 2012 pun gagal membantu kerana ia menjadi platform ramai yang melobi dan berkempen untuk menjadi calon PRU daripada memikirkan kekuatan parti.

Najib tidak yakin bukan kerana faktor luaran. Najib tidak yakin kerana faktor dalaman Umno dan BN yang masih tidak menentu dan celaru.

Najib sebenarnya, sedang menghadapi tekanan dan kritikan yang berat dari orang-orang Umno, khususnya mantan Presiden Umno dan PM, yang tidak yakin kemampuannya mengemudi bahtera BN untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat.

Tekanan yang hebat ini ibarat 'api dalam sekam'. Ia disembunyikan media pencacai demi masa menyelamatkan 'kapal Umno' daripada karam. Namun, bagi Umno, mereka sudah menghantat isyarat yang cukup jelas, bahawa selepas PRU 2013, mereka tidak mahukan Najib.

Sehingga ada suara-suara sumbang dalam PAU 2012 mengatakan, mereka terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan nyawa Umno pada PRU, dan selepas itu mereka akan membuang Najib. Itupun jika Umno-BN menang.

Nampak gayanya BN payah hendak menang. Pertama kerana, Umno dan seluruh anggota komponennya, tidak solid untuk hadapi Pakatan Rakyat. Dalam hal ini, walaupun Pakatan difitnah dengan pelbagai tohmahan, ia kekal solid dan gagah.

Kedua, kerana sokongan kepada BN diperolehi berasaskan kaum, yang sehingga kini gagal dipulihkan oleh MCA, Gerakan, PBB dan MIC, khususnya. Sokongan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan-Dusun, sudah beralih kepada Pakatan Rakyat.

Ketiga, produk-produk transformasi yang 'dipasarkan' Najib tidak mendapat sambutan rakyat, berbanding banyak produk-produk Pakatan, yang diyakini dan disenangi rakyat.

Keempat, pelbagai himpunan yang ditaja untuk BN, gagal meraih populariti untuk Najib, berbanding dengan banyak Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dianjurkan Pakatan di seluruh negara, yang secara konsistennya mendapat sambutan rakyat.

Ada banyak faktor yang boleh digariskan untuk membezakan Pakatan Rakyat dengan BN. Apa yang jelas kepada kita adalah, setakat ini, walaupun mempunyai kuasa 'menggembar-gemburkan' cerita, Najib masih tiada keyakinan.

Najib sudah merasai arus menolaknya semakin kuat dalam Umno. Dan beliau sedang mencongak dilukah mana beliau hendak berpaut, bagi menyelamatkan karier politiknya.

Bagi Pakatan Rakyat, sama ada Najib atau sesiapa yang mengemudi Umno-BN bukan soalnya. Pada kita, PRU 2013 nanti Umno-BN harus diberhentikan, dari terus berkuasa dalam negara.

No comments: