Monday, September 10, 2012

Khutbah Jumaat jadi alat kempen politik Umno-BN

Sejak dua Jumaat berturut-turut, khutbah rasmi kerajaan yang sediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, dipergunakan sepenuhnya untuk kempen politik Umno-Barisan Nasional.

Kedua-dua siri khutbah tersebut adalah alat politik, teks politik dan seruan politik, yang menggesa umat Islam supaya taat kepada ulil amri iaitu pemerintah.

Malangnya ulil amri yang dirujuk oleh khutbah tersebut, membawa maksud yang cenderung kepada pemerintahan kerajaan Umno-BN.Sehinggakan khatib yang membacakan ayat al-Quran, mentafsirkan khutbahnya, selepas daripada 'atiullah' (taat kepada Allah), 'waatiurrasul' (taat kepada Rasul) dengan 'waulilamri minkum' (dan pemimpin daripada kamu) kepada kerajaan pimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Walaupun makna ayat dan tafsiran ayat tersebut jelas jauh menyimpang, namun demi menyelamatkan kerajaan yang amat rapuh, khutbah jumaat dipergunakan untuk menyelewengkan fikrah umat Islam.

Tindakan ini jelasnya,  adalah manifestasi daripada kedurjanaan idealisme kapitalis nasionalisme, yang menyedari bahawa perjuangan mereka sudah tidak diterima umat Islam.

Kerajaan Umno-BN terpaksa menggunakan khidmat golongan agama untuk menggesa rakyat menyokong sambutan kemerdekaan negara ke-55.

Seruan menggesa rakyat sebagai mencintai tanah air atau hubbul watan, memang diggalakkan, tetapi yang jeleknya apabila seruan tersebut dibawa dalam khutbah dengan maksud menyokong slogan 'Janji Ditepati' yang dijaja Umno-BN dalam kempen politik mereka.

Ahli-ahli agama dalam Umno dan kerajaan diupah untuk membuat pencerahan minda, dengan meracuni fikiran umat Islam dengan 'fikrah dalalah' (fikrah yang menyimpang) dari ajaran Islam sebenar.

Ahli-ahli agama ini, hidup mereka, gaji mereka, elaun mereka dibayar untuk melakukan kerja-kerja jijik, iaitu
menyelewengkan ayat-ayat Allah, demi kepentingan pemerintah.

Kita menyeru mereka supaya sedar dan insaf. Menggunakan jawatan dalam institusi agama untuk menyebar fikrah dalalah, adalah suatu kemungkaran disisi Allah SWT.

Ahli-ahli agama yang diupah kerajaan ini, sanggup menggadaikan maruah, sanggup mengetepikan ajaran Islam yang tulen, demi menjaga 'periuk nasi' mereka.

Kita mencabar mereka membawa bukti, pada aspek mana kerajaan pimpinan Umno Najib, diperintah menurut lunas-lunas syarak?

Pada aspek syariat mana yang boleh dijadikan kriteria, untuk rakyat menerima pemimpin Umno-BN sebagai ulil amri?

Apakah harus ditaati pemimpin yang isterinya tidak menutup aurat? Apakah ulil amri boleh menari di khalayak ramai seperti kumpulan K-Pop, apakah mereka boleh dianggap ulil amri, jika hidup kaya raya dengan rasuah?

Yang lebih besar daripada itu, apakah kita boleh taat kepada pemerintah yang tidak melaksanakan syariat Allah dan menolak hukum hudud?

Justeru kita menggesa golongan agama dalam Umno dan kerajaan, supaya jangan 'melacurkan' ilmu agama mereka, dengan kesenangan material yang tidak akan kekal.

Jangan sesekali beranggapan, khutbah yang disajikan kepada umat Islam akan diterima. Ya, anda boleh puaskan hati 'tuan' yang memberi anda makan, sebagaimana 'kesetiaan seekor anjing kepada tuannya.'

Namun, apa yang anda lakukan hanyalah kejelekan, hanyalah ilusi palsu, daripada fikrah yang menyimpang dan bercanggah dengan idealisme Islam.

Mendengar khutbah sebegini, hanya menambah kebencian rakyat terhadap Umno-BN, sekali gus mengkobarkan tekad untuk menghumban mereka keluar dari Putrajaya.

No comments: