Dato' Seri Anwar Ibrahim |
Pakatan rakyat komited untuk mengembalikan asas kebijakan ekonomi – memacu pertumbuhan dan pengagihan kekayaan yg saksama. Amalan lapuk yang memperkaya segelintir keluarga penguasa dan kroni; amalan rasuah dan pembaziran yang melampau wajib dihentikan. Menjadi tugas kerajaan untuk memastikan dana khazanah negara di tadbir dengan bertanggungjawab dan memastikan pengagihan adil kepada rakyat yang berhak.
Pakatan Rakyat akan menubuhkan – Badan Perumahan Kebangsaan – dalam usaha menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat selain mengurangkan cukai eksais kenderaan sebanyak 20% menjelang 2013. Ini dijangkakan akan menambah pendapatan isi rumah di kalangan rakyat.
Penetapan gaji minima sebanyak RM 1,100 dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 300,000 kakitangan awam dan memberi kesan positif kepada sektor – sektor lain. Selain itu pembayaran wang sara hidup dari Jabatan Kebajikan juga akan ditingkatkan daripada RM300 ke RM550 yang mana akan membantu lebih 84,000 keluarga untuk keluar dari tahap kemiskinan. Usaha ini akan mampu meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kemiskinan.
Pemansuhan 1MDB dan meletakkan semula halatuju syarikat berkaitan kerajaan dan pelaburan kerajaan ke arah amalan ekonomi yang lebih berdaya saing dan mengambil kira kepentingan awam, menjadi pegangan Pakatan Rakyat yang komited membela kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia.
Penekanan khusus juga diberikan kepada negeri – negeri pengeluar petroleum dimana Pakatan Rakyat akan mencadangkan penubuhan syarikat petroleum dan gas milik kerajaan negeri. Perancangan dan pembangunan menyeluruh juga adalah agenda utama Pakatan Rakyat sejajar dengan Deklarasi Kuching demi membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak.
Pakatan Rakyat juga sedar akan sumbangan kaum wanita di negara ini, dimana kita memperkenalkan jaringan keselamatan sosial yang pertama untuk wanita – Caruman Wanita Nasional – melibatkan caruman dari kerajaan dan suami.
Pakatan Rakyat bersama dengan Belanjawan 2013 ini komited untuk terus memberikan penekanan kepada pembangunan insan, pendidikan percuma, mengurangkan harga barang, dan mengalakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama untuk seluruh rakyat tanpa mengambil kira latar agama dan bangsa.
Saya yakin, berkat sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13, usaha reformasi ekonomi untuk mengangkat kebijakan ekonomi yang merakyat dan mengembalikan Malaysia sebagai kuasa ekonomi yang mampu bersaing di peringkat global akan tercapai selepas tertubuhnya sebuah kerajaan pusat yang adil, bertanggungjawab dan cekap yang dipimpin Pakatan Rakyat kelak.
ANWAR IBRAHIM