Friday, November 04, 2011

MB Selangor arah tiga agensi kemuka laporan segera


GOMBAK: Mengambil tindakan segera terhadap aduan penyelewengan tanah rakyat di Taman Samudera, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan tiga agensi kerajaan negeri mengemukakan laporan segera kepada beliau seberapa segera.

Arahan tersebut dikeluarkan menerusi surat yang dihantar Setiausaha Politik MB, Faekah Husin, kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor.

Serentak dengan itu MB Selangor membentuk satu Task Force khusus bagi meneliti keseluruhan aduan penduduk Pangsapuri Casmaria di dalam memorandum mereka yang mendakwa wujudnya salah laku pengambilan tanah membabitkan agensi tertentu.

Susulan daripada beberapa mesyuarat yang diadakan, PTG dalam suratnya kepada MPS 25 Oktober lepas, meminta mereka supaya mengarahkan kontraktor memberhentikan kerja-kerja pembinaan sehingga persetujuan dicapai dengan penduduk.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali ketika ditemui berkata, MB Selangor telah memanggil beliau dan mengadakan perbincangan mengenai aduan rakyat.

"Perkara ini sudah diteliti MB dan saya sendiri berkomunikasi dengan agensi terbabit untuk mengawal selia perkembangan dari masa ke semasa.

"Kita harus lihat isu ini secara keseluruhan. Kes di Casmaria ini berlaku dibanyak tempat di Selangor akibat kerakusan kerajaan dahulu," tegas Azmin.

Sebelum ini penduduk Taman Samudera mengemukakan memorandum ke pejabat MB dan mengadakan demonstrasi aman menggesa kerajaan negeri bertindak segera ke atas masalah yang berlarutan sejak lebih lapan tahun.

Antara dakwaan yang diajukan, penduduk menyatakan kekesalan mereka akibat kelemahan pihak terbabit membiarkan tanah kawasan pansapuri bertukar milik kepada beberapa buah syarikat, antara yang awal dikaitkan dengan syarikat milik bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian.

Penduduk turut merayu MB agar mengambil perhatian terhadap masalah status tanah pangsapuri dan pemendapan serius di beberapa buah blok, dapat diatasi dengan segera.

"Penduduk amat menghargai tindakan segera MB dan kita berterima kasih kepada Ahli Parlimen Gombak, yang sentiasa peka dengan aduan rakyat.

"Penduduk juga berharap, jika MB ada kelapangan untuk turun padang melawat kawasan kami," kata Setiausaha Persatuan Penduduk-Penduduk Casmaria (PPPC), Kamal Ariffin Kamaruzzaman.


(Pengerusi PPPC menunjukkan papan tanda MPS yang membuktikan pemilik tanah lapang sering bertukar tangan)

No comments: