RANG Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 dibentangkan di Parlimen 22 November 2011 dengan memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis, kemudian mewujudkan satu akta baru yang lebih melampau, kerana ia jelas bertentangan dengan lunas-lunas demokrasi.
Akta baru, antara lain tidak membenarkan protes jalanan manakala penganjuran perhimpunan awam memerlukan notis 30 hari kecuali peserta berada di kawasan yang ditetapkan oleh Menteri Dalam Negeri.
Menurut akta ini, tidak boleh ada perhimpunan di kawasan 50 meter di lokasi-lokasi larangan seperti sekolah, hospital dan tempat beribadat. Semuanya dibentuk dengan memberi kuasa yang besar kepada polis.
Rang undang-undang itu dijangka dibahaskan minggu depan.
Pakatan Rakyat harus bangkit menentang rang undang-undang ini, yang jelas bertentangan dengan janji perdana menteri untuk memberi lebih kebebasan dalam membuat perhimpunan.
Ia memberi kuasa yang besar kepada polis untuk menahan individu yang menyertai perhimpunan, dengan kuasa itu hanya polis sahaja menentukan sama ada sesuatu perhimpunan itu aman atau tidak.
Pada Seksyen 8 akta tersebut, menyatakan bahawa seseorang pegawai polis boleh mengambil langkah yang difikirkannya perlu untuk memastikan perhimpunan berkenaan dikendalikan dengan teratur.
Malah peruntukan yang lebih menekan dan menyekat rakyat mahu dikuatkuasa Umno-Barisan Nasional, dengan melipatgandakan jumlah denda yang boleh dikenakan kepada peserta dan penganjur terlibat.
Seksyen 9(5) dalam rang undang-undang berkenaan memberi kuasa kepada polis untuk mengenakan denda ke atas penganjur sebanyak RM10,000 sekiranya tidak mengemukakan notis untuk mengadakan perhimpunan kepada polis.
Seksyen 21(3) dalam dokumen sama turut memberi kuasa kepada polis untuk mengenakan denda sehingga RM20,000 berbanding denda sebanyak RM2,000 kepada individu yang ditahan dalam perhimpunan.
Malah, rang undang-undang yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat itu turut meluaskan lagi kawasan larangan untuk mengadakan perhimpunan.
Tempat larangan yang dinyatakan dalam rang undang-undang berkenaan mengambil takrif kawasan yang diisytiharkan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Ia membawa maksud jelas bahawa di semua tempat tidak dibenarkan rakyat berhimpun, selama mana kawasan tersebut boleh ditafsirkan dalam kuasa polis sebagai tempat larangan.
Menurut rang undang-undang itu juga, polis mempunyai kuasa untuk menyuraikan perhimpunan sekiranya diadakan di kawasan berkenaan atau dalam lingkungan 50 meter daripada kawasan larangan tersebut.
Inti pati sebenar yang dijelmakan daripada akta ini adalah ketakutan Umno-BN terhadap kebangkitan kuasa rakyat, yang sejak mutakhir ini jelas menolaj mereka.
Oleh itu, Umno-BN terpaksa merangka undang-undang untuk menghalang demonstrasi, sekali gus menghalang rakyat berhimpun secara aman.
Umno-BN cuba membuat gimik dengan membuang Seksyen 27 Akta Polis yang mewajibkan permit dipohon untuk sesuatu pihak untuk membuat perhimpunan, digantikan dengan sebuah akta baru yang lebih ketat dan zalim.
Tidak lain dan tidak bukan, ianya dirangka hanya salah satu usaha untuk memanjangkan jangka hayat Umno-BN yang sudah sampai ke penghujung.
Kita percaya akta ini tidak akan mampu mengekang kuasa rakyat, malah ia lebih membulatkan tekad rakyat untuk terus bersama Pakatan Rakyat menggantikan BN selaku peneraju Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Thursday, November 24, 2011
Wednesday, November 23, 2011
Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman : Nostalgia bom di Baghdad
TIDAK ramai yang tahu, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman, mempunyai nostalgia yang begitu menyentuh perasaan bersama mantan almarhum Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor, mantan Timbalan Presiden PAS, almarhum Ustaz Hassan Shukri, mantan Pesuruhjaya PAS Kedah, almarhum Ustaz Azahari Abdul Razak dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.
Mengimbau nostalgia silam yang berlaku 19 tahun yang lampau, Ustaz Latiff menceritakan, ketika itu beliau bersama pemimpin-pemimpin utama PAS di Hotel ar-Rashid, di tengah Kota Baghdad, Iraq hampir kena peluru berpandu yang dilepaskan tentera Amerika Syarikat yang berada di Teluk.
Ustaz Latiff yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Kuala Krai, kita itu pelajar jurusan bahasa Arab di Universiti Baghdad, membantu Ustaz Fadzil dan rombongannya semasa menghadiri seminar antarabangsa yang dianjurkan gerakan Islam sedunia.
Waktu itu hanya lima orang pelajar Melayu sahaja yang belajar di Baghdad, semasa Iraq berada di dalam sekatan udara dan ekonomi oleh Amerika.
"Ana mula-mula belajar di Pakistan. Kemudian balik ke Malaysia. Setahun ana mengajar di Pondok Sungai Durian, abang ana Ustaz Shukri menghantar ana ke Baghdad.
"Pada waktu itu ana masuk melalui Jordan. Tiada kapal terbang. Ana keseorangan menaiki bas dari Amman ke Baghdad, perjalanan merentasi padang pasir selama 14 jam. Jalan itu juga yang direntasi Ustaz Fadzil dan rombongannya," tutur beliau.
Ternyata, ianya merupakan suatu nostalgia yang amat menyentuh perasaan dan jiwa. Penulis dapat melihat raut kesedihan di wajah Ustaz Latiff ketika menceritakan situasi yang beliau alami, dalam satu pertemuan di Kota Bahru minggu lepas.
Sebagai anak muda yang terpaksa berkelana jauh seorang diri selama sepuluh tahun di perantauan, di negara yang senantiasa dalam zon perang, sudah tentu ianya merupakan situasi yang amat mencabar. Tambah-tambah lagi hampir terkena bom.
Peristiwa tersebut ada dalam berita, tetapi tiada dalam rekod. Tidak banyak gambar mengenainya.
"Waktu itu ana bersama Ustaz Fadzil, Ustaz Hassan dan Ustaz Hashim berada di lobi hotel. Kami berbual-bual sementara menunggu Ustaz Azahari yang masih berada di bilik untuk turut bersarapan bersama. Memandangkan Ustaz Azhari agak lambat turun, Ustaz Fadzil mengajak kami untuk pergi ke coffee house yang berada bersebelahan dengan lobi.
"Lalu kami bergerak ke coffee house. Masih terdapat beberapa orang di situ. Tidak semena-mena selepas lima minit sahaja kami beredar, terdengar suatu dentuman kuat menggegarkan seluruh bangunan dan menyebabkan hotel black-out," cerita beliau.
Waktu itu semua terkejut dan kelam kabut katanya. Ustaz Fadzil dan semua yang berada di dalam hotel, dibawa melalui suatu terowong khas yang dibina di bawah hotel. Peluru berpandu Amerika menyebabkan seluruh kawasan lobi hotel musnah, hancur menjadi kawah besar.
"Kami jadi terpingga-pingga, Ustaz Fadzil bimbang tentang Ustaz Azahari, hanya beliau seorang yang tiada bersama kami.
"Dalam keadaan yang huru-hara itu, tiba-tiba kelibat Ustaz Azahari muncul. Beliau turun melalui tangga kerana hotel sudah black-out. Badannya basah kuyup kerana berpeluh-peluh turun ke bawah," ujar Ustaz Latiff.
Ketika diperiksa badannya, Ustaz Azahari memberitahu pengawal keselamatan, beliau tidak cedera. Tetapi mereka tidak berpuas hati. Dalam gelap gelita badan Ustaz Azahari basah seperti orang cedera (berdarah).
"Lalu mereka bawa Ustaz Azahari ke hospital dan ketika itulah Saddam Hussein datang melawat," sambungnya.
Seronok mendengar cerita Ustaz Latiff. Banyak nostalgia menarik mengenai almarhum Ustaz Fadzil, Ustaz Hassan, Ustaz Azahari yang kita kasihi, tidak sempat diungkap dalam ruangan yang terhad sebegini.
Apa pun anak kepada almarhum Tuan Guru Abdul Rahman Sulaiman ini adalah antara wakil rakyat termuda dalam PAS Kelantan.
Selepas menamatkan pengajian di Iraq, Ustaz Latiff menyambung pengajian dalam bidang sarjana Tafsir al-Quran di Universiti Ahlul Bayt, Jordan.
Beliau kembali ke tanah air dan bertanding kali pertama pada tahun 2004 di Dun Mengkebang, tetapi tewas tipis dengan majoriti 316. Pada tahun 2008, beliau bertanding semula dan berjaya menewaskan calon BN dengan majoriti 1903.
Selaku Ketua Pemuda, Ustaz Latiff bukan sahaja bertekad untuk mempertahankan kerusinya, malah bekerja keras menggerakkan seluruh pemuda Kelantan untuk mempertahankan kerajaan pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abbdul Aziz Nik Mat.
Monday, November 21, 2011
Kami tidak akan beri BN peluang rampas Kelantan
TERLALU banyak faktor untuk rakyat Kelantan menolak BN, berbanding isu yang diciptakan mereka untuk menyerang balas Kerajaan PAS Kelantan. Sehubungan itu Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan mempertegaskan ikrar bahawa, pihaknya tidak akan sesekali memberi ruang untuk Umno-BN kembali ke tampuk kuasa. Ikuti wawancara MOHD RASHIDI HASSAN dengan Adun Temangan yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan pada 12 November 2011 di Kota Bharu.
Apakah tindakan saudara untuk memastikan kemenangan PAS Kelantan pada PRU ke 13?
Secara khususnya saya dan AJK Lajnah Penerangan merancang tindakan dan melaksanakan arahan dari kepimpinan melalui saluran Perhubungan Negeri dan Dewan Harian PAS Kelantan. Kami bertekad tidak akan memberi peluang BN merampas negeri Kelantan dalam PRU-13 nanti. Sampaikan maklumat yang betul kepada rakyat, jelaskan fitnah yang sengaja disebarkan oleh BN dan kekalkan faktor kemenangan PAS di hati rakyat. Itulah yang dilakukan oleh Lajnah Penerangan PAS dan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. Kita kekalkan momentum penolakan rakyat terhadap BN sebagaimana 2008. Itulah tanggungjawab utama kami.
Apakah isu saudara fikir, harus ditangani segera oleh PAS di Kelantan?
Sebenarnya BN tidak ada isu yang besar untuk menyerang PAS. Dalam masa yang sama mereka terpaksa berhadapan dengan kemelut dalaman mereka sendiri. Bagi mengalih pandangan dan teknik mengubah perhatian, maka mereka mencipta dan mengada-adakan isu. Antaranya kononnya kerajaan merampas tanah rakyat, kerajaan menggadaikan tanah kepada tauke Cina dan isu Air Kelantan. Isu-isu tersebutlah yang nak dijadikan modal mereka nanti. Media massa digunakan untuk mengelirukan rakyat. Digambarkan pula ahli PAS masuk Umno sana sini kerana sudah hilang keyakinan kepada PAS. Walaupun ianya adalah rekaan tetapi kita terpaksa tangani dengan segera kerana ada di kalangan rakyat yang terpedaya. Isu-isu tersebut kita jelaskan dengan benar dan berfakta. Kerajaan pula sentiasa mengambil langkah memperbaiki khidmat dan menjaga kebajikan rakyat. Apa yang tidak betul kerajaan telah berusaha dan berjaya perbetulkan. Isu kerajaan merampas dan menggadaikan tanah rakyat tidak berbangkit langsung. Kita akui kita ada masalah dalam perkhidmatan air kerana beberapa faktor. Ada yang boleh diatasi dengan segera dan ada yang perlu masa dan belanja yang tinggi. Tetapi masalah air ini ada di mana-mana. Cuma yang dibesarkan di Kelantan. Dalam hal ini kerajaan sedang memperbaiki perkhidmatan air ini dengan pelbagai cara. Sebahagiannya sudah dapat diatasi. Dengan beberapa langkah yang telah diambil kita yakin masalah ini dapat diselesaikan tidak lama lagi.
Apakah pula isu-isu yang hendak diketengahkan kepada rakyat untuk terus menyokong PAS?
Ada dua isu besar, iaitu isu-isu dalaman Umno dan Kerajaan BN, dan isu PAS. Pertamanya, isu Umno dan BN terlalu banyak. Penyelewengan harta negara, pentadbiran kerajaan yang lemah dan korup dan kos sara yang terlalu tinggi. Hidup rakyat semakin tertekan tetapi pimpinan negara dan keluarga dalam kemewahan. Di Kelantan pula, siapakah pemimpin Umno yang boleh menyaingi Tuan Guru Nik Aziz dan pimpinan PAS yang lain. Siapakah pimpinan Umno Kelantan yang amanah dan boleh diharapkan untuk membela harta dan nasib rakyat apalagi untuk menjadi contoh tauladan yang dekat di hati rakyat. Kalau hasil bumi yang jelas menjadi hak rakyat Kelantan seperti royalti petroleum pun mereka khianati, maka jelas di mata rakyat mereka adalah pengkhianat yang tidak boleh diserahkan amanah.
Keduanya isu PAS. Ia sudah mentadbir Kelantan selama lebih dari 20 tahun. Dalam tempoh tersebut terlalu banyak yang telah berjaya dilaksanakan. Apa yang tidak pernah difikirkan oleh BN, PAS buat di Kelantan. Malah ada dasar dan program kerajaan PAS yang secara malu-malu ditiru oleh kerajaan BN. Rakyat boleh menilai sendiri. Rakyat memilih PAS kerana dasar dan matlamatnya yang jelas iaitu Islam. Apabila PAS mentadbir Kelantan, ia memperkenalkan pula sistem pentadbiran yang seimbang antara rohani dan jasmani. Pentadbirannya bersih, perlaksanaanya adil, dan program rakyatnya berkebajikan. Kepimpinannya pula sederhana dan dekat dengan masyarakat. Faktor ini sentiasa melekat di hati rakyat. Sebab itulah PAS mampu bertahan walaupun berhadapan dengan berbagai ancaman fitnah dan tekanan. Dari sudut pembangunan duniawi walaupun mungkin kita tidak setanding dengan setengah negeri yang sudah pun maju tetapi tidak kalah dengan setengah negeri BN yang lain. Tetapi dari aspek pembangunan rohani, apa yang ada di Kelantan tidak ada di negeri-negeri yang lain. Itu kita yakin dan pasti. Inilah faktor yang akan terus memberikan kekuatan kepada PAS dalam berhadapan dengan BN. Rakyat sedar hal ini. Justeru tidak ada sebab untuk rakyat menolak PAS dan memilih Umno. Dengan kembalinya Umno bermakna bersamanya kembali segala macam kemungkaran yang telah lama disingkirkan di bumi Kelantan ini. Majoriti rakyat Kelantan menolak kemungkaran. Yang minoriti itulah menjadi fokus kita. Itulah perkara yang akan kita ketengahkan kepada rakyat agar rakyat terus menyokong kita dalam pilihan raya nanti.
Bagaimana dgn persiapan jentera penerangan seluruh Kelantan?
Alhamdulillah, kita sentiasa memperkemaskan gerak kerja jentera penerangan, parti dan kerajaan. Tidak seperti BN, kita mempunyai ruang dan cara yang terbatas. Namun kita sudah biasa dengan keadaan ini. Kita kena kenal pasti sama ada ianya isu parti atau isu kerajaan. Jika ianya isu parti, maka jentera penerangan parti yang akan menanganinya. Sekiranya ianya isu kerajaan maka ianya akan ditangani oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. Begitu juga, gerak kerja kita mengikut peringkat. Sekarang ini kita berada di peringkat akhir berhadapan dengan pilihan raya. Maksudnya kita bersedia menghadapinya bila-bila masa.
Adakah saudara berpuas hati dengan prestasi jentera penerangan untuk hadapi PRU?
Kita tidak boleh berpuas hati dengan kerja kita jika kita mahu ianya sempurna. Perasaan itu nanti akan memerangkap kita. Mesti ada pembaikian, baru ada peningkatan. Tapi saya sangat berpuas hati dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh seluruh jentera dan tenaga penerangan, samada parti dan kerajaan. Itulah kelebihan yang ada kepada PAS, iaitu ahli yang ikhlas berjuang tanpa menuntut pembalasan.
Kita ketahui anak muda antara bilangan pengundi yang teramai, apakah langkah yang diambil untuk menangani undi anak muda?
Anak muda hari ini terdedah dengan sumber maklumat. Mereka juga mempunyai tahap kepekaan yang tinggi. Kita bekerjasama dengan Dewan Pemuda PAS dalam mengatur program mendekati anak muda. Pemuda PAS telah bergerak keperingkat akar umbi mendekati anak muda dengan berbagai bentuk pendekatan. Di pihak kerajaan, ada Urusetia Belia dan Urusetia Wanita bersama dengan Urusetia Penerangan. Setakat ini berbagai program kita jalankan atas nama Kerajaan Negeri Kelantan agar golongan ini faham dengan dasar dan program kerajaan negeri. Bagi yang berada di luar Kelantan, kita bekerja sama dengan persatuan anak-anak Kelantan seperti Perakan, Persada dan lain-lain.
Bagaimana pendekatan PAS Kelantan utk hadapi kempen serangan maya (siber)?
Kita juga menggunakan kaedah yang sama bagi menghadapi BN. Kita bersaing dan bertarung di alam siber. Di Kelantan kita ada Jabatan IT dan Unit Media Baru. Kita mengharapkan untuk menggunakan sepenuhnya medium ini dalam pilihanraya nanti. Selain itu, dari masa ke semasa kita mengadakan pejumpaan dan perbincangan dengan kalangan bloggers dan facebookers di dalam dan luar Kelantan. Alhamdulillah PAS dan PR juga mempunyai ramai sukarelawan siber yang sedia berdepan dengan bloggers upahan Umno. Mereka ini bekerja secara sukarela tanpa mengharapkan gaji atau imbuhan. Ianya lahir dari rasa bersama bertanggung jawab dalam mempertahankan agama dan negara. Kita mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga atas sumbangan mereka.
Harapan saudara kepada seluruh jentera dan pimpinan PAS dalam usaha mengekalkan kerajaan?
Mengekalkan kerajaan PAS Kelantan adalah tanggung jawab kita. Sebagaimana dulu kita berjaya menaikkan kerajaan ini, begitulah juga caranya kita mempertahankannya. Dan kita sudah mampu melakukannya berkali-kali. Dengan pertolongan Allah, kali ini juga kita boleh melakukannya. Perubahan negara ini adalah bermula di sini. Kuatkan tekad, teguhkan azam, tingkatkan usaha, eratkan mahabbah dan kemaskan hubungan kita dengan Yang Maha Kuasa. InsyaAllah kejayaan berpihak kepada kita.
PAS Kelantan sudah sedia hadapi PRU-13
MEMASUKI 21 Tahun PAS memerintah Kelantan, PAS tidak seharusnya berasa sudah selesa, sebaliknya terus melipatgandakan usaha untuk menambat hati rakyat. Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof menyatakan keyakinan beliau, bahawa PAS akan terus diberi mandat memerintah Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, berdasarkan rekod cemerlang kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ikuti wawancara beliau dengan MOHD RASHIDI HASSAN di Kota Bharu, 12 November 2011.
Harakah: Bagaimana PAS Kelantan mempersiapkan diri untuk mempertahankan kemenangan yang diperolehi sejak 1990?
WAN NIK WAN YUSSOF: Asas kepada persiapan pilihan raya di Kelantan adalah berpandukan kepada akidah perjuangan PAS itu sendiri. Kita harus menyusun kerja berasaskan kepada penyusunan yang rapi. Firman Allah Surah as-Saff ayat 4 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.'
Oleh itu kita cuba mendidik petugas-petugas PAS bekerja secara bersungguh-sungguh bagi mempastikan gerak kerja mereka berasaskan penegasan Allah dalam ayat tadi, moga-moga Allah memberkati dan memberi jalan petunjuk kepada kita.
Selain daripada itu kita meletakkan asas kita kepada 'wa'aidu lahum mastat'tum min quwaah'. Kita bina asas-asas kekuatan kita berasaskan kepada sumber-sumber yang ada.
Kita di Kelantan, alhamdulillah sumber tenaga kerja, tenaga pakar politik, tenaga pakar siasah syar'iyah dan sumber sokongan tegas di seluruh negeri yang agak kuat. Jadi kita yakin, dengan gabungan ini semua.
Kita juga sering mengingatkan jentera kita dengan peringatan Sayidina Ali bin Abi Talib, iaitu kebenaran yang tidak diurus dengan tersusun akan ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun.
Apakah saudara rasa PAS Kelantan sudah selesa?
Pada saya, kita tidak boleh ada rasa selesa di Kelantan. Kita bina KPI kita sendiri untuk mempastikan kemenangan mutlak milik kita pada PRU ke-13 nanti.
Kita menggariskan panduan gerak kerja kita berasaskan kepada lima KPI iaitu pertama, jentera mesti disusun rapi mengikut struktur jawatan dan tugas-tugas pilihan raya.
Kedua, gerak kerja untuk mendaftarkan pengundi baru dilakukan secara berterusan. Kerana kita yakin di Kelantan ini, mengikut apa yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya, lebih daripada 400 ribu orang lahir di Kelantan masih belum mendaftar, ini termasuk yang berada di luar Kelantan.
Pada setiap suku penggal kita lakukan usaha-usaha mendaftar pengundi baru. Sehingga kini pada setiap suku penggal, kita berjaya mendaftarkan di antara 10 ribu hingga 18 ribu pengundi baru. Tidak semuanya ahli PAS, kita daftarkan menerusi kita.
Berdasarkan kepada pendekatan ini, sejak selepas PRU 2008 sehingga kini kita berjaya mendaftarkan lebih daripada 50 ribu pengundi baru. Inilah usaha kita secara langsung, walaupun pada saya ia masih belum mencapai nilai sasaran yang kita tetapkan.
Ketiganya, kita bergerak di atas dasar persiapan dana. Dalam memantau dan menggerakkan jentera pilihan raya, keperluan dana semakin mendesak. Segala-galanya mesti berasaskan kepada sumber kewangan. Kempen, persiapan, semuanya perlukan dana. Jika tiada dana, maka gerak kerja kita akan tergendala.
Oleh itu kita tekankan, bagi persiapan PRU, dana harus dijana di peringkat peti undi. Sehingga kita berjaya menyusun keperluan serta pengumpulan dana di peringkat peti undi dan sekarang ini kita memasuki fasa setiap Dun serta Parlimen. Bagaimanapun saya percaya kita tidak akan menghadapi masalah besar dalam menyediakan dana berdasarkan pengalaman kita menghadapi banyak pilihan raya.
KPI yang keempatnya, kita bina asas untuk mengekalkan mood rakyat. Kita atur program-program untuk mengekalkan mood rakyat ataupun selera rakyat kepada kita tidak berubah dan semakin baik.
Ini mengekalkan mood ini, kita buat pendekatan secara langsung dengan rakyat. Pemerintahan kita selama 21 tahun sejak 1990, adalah bukti nyata kita diterima rakyat, maka program kerajaan PAS yang bertemakan 'Membangun Bersama Islam', jelas diterima. Oleh itu kita mengadaptasikan konsep 'Negara Berkebajikan' secara berterusan.
Pengalaman yang kita hadapi pada PRU 2004, mengajar kita untuk menambah baik sistem penyampaian program parti dan kerajaan. Kita utamakan kumpulan sasar kepada pengundi teras kita dan menarik pengundi baru, terutamanya first time voters.
Kelimanya, kita mengasaskan KPI kita di atas dasar perkhidmatan wakil rakyat yang sedia ada. Kita mahu wakil rakyat kita berkhidmat dengan cemerlang. Di kawasan yang kita kalah, kita lantik penyelia-penyelia Dun, sama ada dari kalangan PAS mahupun KeADILan. Penyelia ini menjadi tali penghubung rakyat dengan parti dan kerajaan.
Dari sudut ini, kita selalu membuat pemantauan terhadap prestasi Adun, menilai pusat khidmat wakil rakyat dan penyelia dari masa ke semasa.
Maka kita tetapkan prosedur SOP kepada pusat khidmat ini, supaya setiap program mendekati pengundi dilaksanakan dengan cekap dan tersusun.
Berdasarkan kepada lima KPI ini, kita mahu semua masalah ditangani dan segala persoalan yang berbangkit ditangani sebaik mungkin.
Adakah saudara berpuas hati dengan persiapan jentera pilihan raya PAS?
Kita sudah dan sentiasa membuat semakan terhadap gerak kerja jentera. Kita menilai mereka mengikut skala kemenangan.
Sama ada kemenangan pada PRU 2008 itu sama ada kemenangan selesa, marginal atau kelabu ataupun tewas.Daripada 45 Dun, kita bahagikan kepada tiga. Pertama, 15 yang pertama (selesa). Kedua, 15 yang kedua, menang marginal dan 15 ketiga, menang tetapi masih terancam ataupun tewas. Maka tumpukan kawasan marginal dan kelabu. Walaupun pada PRU lepas kawasan tersebut menang dengan agak baik, kita menggunakan beberapa indikator untuk menilainya.
Dalam membaiki prestasi Dun-Dun ini, kita mengunakan KPI yang dirangka untuk mempastikan 30 Dun berada dalam keadaan yang amat selesa.
Apakah asas-asas atau kriteria untuk PAS mengekalkan kuasa?
Berdasarkan perkembangan semasa, rakyat Kelantan mempunyai nilai pengharapan yang dihajati selepas 20 tahun memerintah. Nilai yang dihajatkan adalah perkhidmatan sedia ada yang masih belum dapat diperbaiki sepenuhnya.
Misalnya dalam soal perkhidmatan air dan isu-isu semasa yang lain.
Saya percaya modal ini akan digunakan Umno-Barisan Nasional untuk menyerang kita.
Jadi di sebalik itu, usaha mesti dibuat kerajaan, bahawa sistem perkhidmatan kerajaan ini boleh memuaskan rakyat, membuat penambahbaikan kepada kelemahan yang ada. Misalnya, Air Kelantan sudah melaksanakan dasar untuk memperbaiki mutu perkhidmatannya.
Maka jaringan ini sedang dikemaskinikan. Oleh itu, jika kita dapat neutralisekan kelemahan yang menjadi pengharapan rakyat, saya yakin rakyat akan terus menyokong PAS.
Kita juga dimomokkan dalam isu balak. Didakwa kita banyak mengetepikan kepentingan rakyat, sebaliknya cenderung kepada syarikat dan pelabur-pelabur luar. Ini suatu serangan yang bersifat negatif oleh Umno, untuk mengganggu sokongan rakyat terhadap PAS.
Tetapi semua serangan ini ditolak oleh rekod-rekod audit yang mengiktiraf bahawa Kelantan diuruskan dengan cemerlang. Maka kita harus meuar-uarkan info ini kepada rakyat.
Menerusi Timbalan Menteri Besar misalnya, sehingga hari ini, kita telah berjaya menyerahkan lebih 70 ribu surat hak milik tanah. Ini satu rekod yang jauh lebih baik daripada negeri-negeri yang diperintah Umno-BN.
Kerajaan juga sudah menubuhkan suatu Jawatankuasa Teknikal bagi menyelesaikan isu-isu yang tertangguh.
Maklumat sebegini amat penting, saya mengharapkan pihak Penerangan PAS boleh menjadikan isu ini sebagai bahan kempen untuk mengekalkan sokongan rakyat.
Antara yang utama ialah rekod akauntibiliti dan kredibiliti kerajaan Kelantan. Walaupun kita diserang dengan pelbagai rekod penyiasatan SPRM dalam pelbagai isu, antaranya isu PMBK, Bazar Tok Guru, maka kita harus menjawab dan membuat penambahbaikan.
Pada peringkat Jabatan Pilihan Raya Kelantan, kita membentuk suatu pasukan media kempen penerangan konservatif dan media baru. Kita lakukannya secara bersepadu.
Saya yakin, strategi Umno untuk menggugat sokongan rakyat tidak akan berjaya.
Bagaimana pendekatan saudara untuk menghadapi golongan pengundi muda yang agak kritis dalam menilai isu semasa?
Menurut statistik, dalam tempoh 20 tahun kita memerintah, kumpulan umur pengundi di antara 21 hingga 35 tahun, dari setiap masa mendominasi lebih 50 peratus daripada jumlah pengundi. Ini jumlah yang terlalu besar.
Kita di peringkat parti dan kerajaan berusaha sedaya upaya menganjurkan program mesra anak muda dan kita berusaha membuat inisiatif melalui beberapa NGO.
Selepas daripada PRU 2008, kita telah menaiktarafkan Urusetia Pembangunan Belia dan dicampur lagi dengan satu unit yang mengkhususkan tentang NGO belia. Ini inisiatif kerajaan, tetapi kita selaraskan dengan data-data parti supaya kita dapat menilai tahap sokongan anak muda menerusi NGO.
Kita juga menubuhkan persatuan untuk mendekati golongan mat rempit. Kita menubuhkan beberapa NGO untuk mendekati golongan sukarelawan. Kita tubuhkan satu pasukan sukarelawan hijau, terdiri dari anak-anak muda yang merentasi agama dan kaum.
Kita tubuhkan Persatuan Anak Muda Kelantan untuk menjadi back-up kepada PAS. Sasarannya semua anak-anak ahli PAS mesti diuruskan menerusi persatuan ini untuk kita bina kesedaran dan semangat sukarelawan untuk membantu PAS dan rakyat Kelantan.
Kita sasarkan 100 orang anak muda didaftarkan pada setiap Dun.
Sejauhmana isu-isu nasional boleh mempengaruhi kecenderungan pengundi?
Isu-isu nasional ini, jika kita ambil pengalaman 2008, apa sahaja aktiviti di Lembah Kelang seperti Bersih 1.0 turut memberi kesan. Kita masih meletakkan harapan, pengundi Kelantan yang berada di luar sejumlah 80 ribu, mempunyai maklumat bersifat nasional. Supaya mereka ini balik, untuk memberitahu ibu bapa serta rakan-rakan di kampung yang tercorot maklumat. Ini penting.
Dalam mempastikan gelombang kemenangan di Kelantan, kita masih mengharapkan suatu mood yang bertenaga di Lembah Kelang. Dalam Bersih 2.0 baru-baru ini misalnya, ia dapat melonjakkan sokongan terhadap kita.
Tuesday, November 15, 2011
Dirgahayu Tuanku
SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, Tuanku Faris Petra disambut Menteri Besar, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hadir pada Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan di Padang Merdeka dekat Kota Bharu sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-42, 11 November lepas.
Ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan pada kali ini disambut dalam keadaan yang agak berbeza. Tiada pintu gerbang berwarna warni di setiap daerah. Tiada program kebudayaan yang diatur.
Baginda Sultan sudah menunjukkan hemahnya yang tinggi. Selain daripada majlis-majlis rasmi, baginda menganjurkan program berbentuk islamik dan ibadah, mendekati rakyat, memberi kebajikan dan bersedekah sebagai salah satu upacara wajib bagi meraikan keputeraannya.
Baginda menukar laungan 'Daulat Tuanku' yang sering diucapkan pada setiap majlis yang melibatkan Raja dengan Allahu Akhbar. Titah baginda, laungan ditukar kepada Allahu Akbar, supaya pengucapnya mendapat pahala yang daripada Allah SWT.
Malah baginda turut merubah pendekatan pemerintahannya. Selaku Ketua Agama Islam Negeri, baginda bukan sahaja menyertai majlis keagamaan, malah menjadi imam serta mengetuai majlis-majlis agama yang dianjurkan.
Baginda menitahkan agar banner-banner yang digantung di seluruh Kelantan untuk upacara keputeraannya diubah kepada slogan yang baru. "Islam dijunjung, Raja disanjung, Rakyat dipayung." Itulah slogan yang baginda kehendaki.
Dengan mengubah slogan daulat kepada Allahu Akbar, menukar slogan keputeraan dengan meletakkan Islam sebagai keutamaan, ternyata daulat baginda tidak tercemar sama sekali.
Hal ini membuatkan baginda lebih disayangi dan disanjung rakyat.
Baru-baru ini selepas merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri, baginda merentasi karpet merah untuk menuju ke kenderaan rasmi. Tidak semena-mena baginda berhenti. Semua orang terkejut. Baginda berhenti dan lantas berundur ke belakang, mendapatkan mamanda Menteri Besar yang tertinggal kerana baginda yang muda berjalan dengan agak laju.
Sambil tersenyum, baginda kelihatan berseloroh dengan Tuan Guru Nik Aziz. Kedua-dua mereka menguntum senyuman. Kembali berjalan beriringan, MB menuntun Sultan ke kenderaan rasmi baginda.
Dalam banyak majlis yang melibatkan Sultan, baginda kelihatan santai dan begitu menyantuni rakyat, walaupun protokol kebanyakan Raja-Raja Melayu tidak begitu. Pendekatan sebeginilah yang membuatkan rasa kasih sayang rakyat begitu menebal kepada baginda.
Baginda menunjukkan sifatnya yang cenderung kepada agama dengan kekerapan menyantuni alim ulama di Kelantan.
Bukan apa, sekurang-kurangnya Sultan Muhammad Ke-V sudah menunjukkan suatu contoh yang baik buat Raja-Raja Melayu. Iaitu, baginda berusaha mempraktikkan title Ketua Agama Islam Negeri dengan kepribadian dan pergaulan yang islamik.
Tidak salah, malah baik untuk Raja-Raja Melayu mencontohi sifat Sultan Kelantan. Sekali gus Raja-Raja Melayu menjauhkan diri mereka daripada elemen-elemen yang boleh mencemar sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri.
Justeru, Raja-Raja Melayu harus mencontohi Sultan Kelantan yang mempraktikkan slogan "Islam dijunjung, Raja disanjung, rakyat dipayung". Allahu Akhbar, Daulat Tuanku!
Thursday, November 10, 2011
Prestasi unggul dekatkan Pakatan Rakyat dengan Putrajaya
JOM kita pakat angkat dua-dua ibu jari tangan kepada Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato' Seri Azizan Abdul Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Lim Guan Eng di atas prestasi terbaik mereka menguruskan amanah rakyat.
Mereka berjaya mengemudi negeri-negeri di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat dengan baik di sebalik pelbagai kekangan dan tekanan yang dihimpitkan Kerajaan Persekutuan.
Prestasi Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, jauh mengatasi kerajaan-kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional, walaupun dilimpahkan dengan pelbagai bantuan dan sokongan Kerajaan Persekutuan.
Kita juga percaya jika Perak tidak dirampas, nescaya Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, akan termasuk dalam kelompok terbaik ini.
Mereka berempat harus dipuji kerana berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara mengiktiraf kejayaan mereka menguruskan negeri dengan cemerlang, berjaya menambah pendapatan negeri, berjaya mengawal perbelanjaan dengan berhemah dan menunjukkan kebolehan menguruskan ekonomi negeri dengan berhemah.
Berbanding negeri di bawah pimpinan Umno-BN, yang menerima teguran dan kritikan keras Ketua Audit berikutan prestasi hambar pentadbiran mereka.
Sekurang-kurangnya rakyat kini, boleh 'membuka mata', membuat perbandingan dan menilai kemampuan Pakatan Rakyat berbanding BN.
Walaupun Pakatan Rakyat ditohmah pagi petang, siang malam oleh media-media tali barut Umno-BN, namun fakta dan petunjuk ekonomi, jelas membuktikan bahawa Pakatan Rakyat bukan sahaja boleh membuktikan ia mampu mentadbir, malah mentadbir lebih baik daripada BN.
Tekanan dan fitnah yang dilemparkan media tali barut BN terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat bukan calang-calang. Sepanjang lebih tiga tahun ini, jika kita perhatikan, tiada apa yang baik daripada Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
Negeri pimpinan BN semuanya bagus, diurus dengan baik, banyak pelabur dan macam-macam lagi ditonjolkan.
Tetapi malangnya pembohongan media pengampu ini tidak bertahan lama. Caci maki mereka terhadap Pakatan Rakyat, ditempelak oleh Laporan Audit Negara. Negeri yang ditohmah tidak pandai memerintah, huru-hara kerana parti gabungan didakwa berpecah belah, sebaliknya membuktikan prestasi ekonomi yang cemerlang. Cemerlang menguruskan hasil negeri, berhemah dalam membelanjakan hasil.
Negeri BN yang senantiasa baik di mata mereka, sebaliknya di perintah oleh manusia yang hampas, penuh dengan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme. Negeri pimpinan BN cemerlang dalam menimbunkan hutang, boros dalam membelanjakan hasil yang diperolehi.
Fakta ini seharusnya cukup menjadi asas kepada pegawai-pegawai kerajaan di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Gaji anda dibayar rakyat yang mendokong kerajaan yang memerintah. Pegawai-pegawai kerajaan jangan lagi menjadi tali barut Umno-BN. Jangan mengulangi unsur-unsur sabotaj.
Pegawai kerajaan harus sedar bahawa, sebagai ketua kerajaan negeri dan pentadbir, Pakatan Rakyat jauh lebih baik daripada BN.
Dengan bukti-bukti jelas ini, khususnya fakta angka yang terdapat dalam Laporan Audit Negara, Pakatan Rakyat boleh mencabar BN, bahawa ia mempunyai kredibiliti yang tinggi, berintegriti, transparen dan akauntibiliti sebagai kerajaan.
Pakatan Rakyat bukan lagi pencabar kepada BN, malah ia adalah alternatif kepada BN. Alternatif untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Kebangkitan rakyat akan berterusan untuk menempatkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di Putrajaya. Pakatan Rakyat adalah government in-waiting, insya'Allah.
Tuesday, November 08, 2011
Jangan kotorkan Parlimen Malaysia
PARLIMEN adalah badan legislatif yang tertinggi di Malaysia. Ia merupakan sebuah institusi yang tinggi martabatnya kerana ia menjadi penggubal undang-undang, perangka dasar, meluluskan peruntukan perbelanjaan negara.
Kewujudan Parlimen dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi, berasaskan kepada keadilan dan kesaksamaan. Ia diamalkan oleh majoriti negara sama ada yang mempunyai sistem pemerintahan beraja, mahu pun sistem republik.
Dalam konteks Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, negara mempunyai dua badan yang membentuk institusi Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Melalui sistem demokrasi yang digubal British, Dewan Negara berperanan sebagai badan check and balance terhadap Dewan Rakyat. Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat adalah Ahli Parlimen.
Keanggotaan Dewan Rakyat adalah menerusi sistem pilihan raya. Di mana seseorang calon dipilih untuk menjadi wakil rakyat. Manakala keanggotaan Dewan Negara adalah menerusi pelantikan, sama ada menerusi Kerajaan Negeri, mahu pun Kerajaan Persekutuan.
Bagi Kerajaan Negeri, nama calon Senator dikemukakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri oleh kerajaan yang memerintah, untuk dilulus dan disahkan.
Manakala calon Senator di peringkat Persekutuan, adalah di atas kuasa Perdana Menteri.
Tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa pelantikan seseorang ke jawatan Senator, Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai kanan dalam Kerajaan Persekutuan adalah di atas preogatif Perdana Menteri.
Walaupun pelantikan tersebut di atas kuasa Perdana Menteri, namun ianya harus berasaskan kepada merit. Pelantikan seseorang ke jawatan Senator, bukannya anugerah. Ia sepatutnya berasaskan kepada pengiktirafan terhadap peranan seseorang itu terhadap komuniti yang diwakilinya.
Rakyat boleh menerima pelantikan seseorang ke jawatan Senator, jika ia dibuat kerana jasa atau peranan yang beliau mainkan dalam parti, organisasi NGO, komuniti dan sebagainya. Parti atau NGO yang diwakili harus mempunyai wibawa dan diiktiraf sumbangannya kepada negara.
Pokoknya, pelantikan seseorang ke jawatan Senator mestilah dibuat menurut kriteria yang tertentu, bukannya secara semberono.
Tetapi hari ini rakyat berasa pelik dan muak kerana kerajaan, khususnya Perdana Menteri tidak mematuhi semua kriteria yang seharusnya diamalkan. Tiada merit yang disandarkan.
Pelantikan bekas Ketua Pemuda KeADILan, Mohamed Ezam Md Nor sebelum ini, dibantah keras di kalangan Umno kerana beliau tidak mempunyai apa-apa jasa dalam NGO, tiada jua peranan dalam Umno.
Pelantikan bekas pemimpin KeADILan, S Nallakaruppan ke jawatan Senator juga mendapat bantahan daripada kalangan kaum India kerana beliau langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada kaumnya sendiri.
Jasa Ezam dan Nalla yang ada hanyalah kerana mereka bekas 'budak Anwar Ibrahim' yang sudah berpaling tadah dan kini berani memaki hamun Anwar secara terbuka menerusi majlis yang dianjurkan Umno-Barisan Nasional. Itu sahaja.
Maka selepas ini barangkali Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin dan Zahrain Hashim jika tidak bertanding, mereka juga layak dilantik sebagai Senator berdasarkan peranan hebat mereka memaki hamun Anwar?
Justeru kita ingin bertanya kepada Umno-BN, adakah mereka mahu menjadikan Dewan Negara ini, diduduki oleh golongan yang bermaruah atau politikus kotor yang sering melompat parti kerana mempunyai kepentingan peribadi?
Mereka ini dikenali dalam istilah politik negara sebagai golongan 'katak'. Maka suatu istilah ringkas diwujudkan oleh pelayar siber terhadap Senator yang termasuk dalam golongan katak ini sebagai 'Senatak'.
Apakah Parlimen Malaysia akan dihormati jika ia dipenuhi oleh glongan Senatak?
Friday, November 04, 2011
MB Selangor arah tiga agensi kemuka laporan segera
GOMBAK: Mengambil tindakan segera terhadap aduan penyelewengan tanah rakyat di Taman Samudera, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan tiga agensi kerajaan negeri mengemukakan laporan segera kepada beliau seberapa segera.
Arahan tersebut dikeluarkan menerusi surat yang dihantar Setiausaha Politik MB, Faekah Husin, kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor.
Serentak dengan itu MB Selangor membentuk satu Task Force khusus bagi meneliti keseluruhan aduan penduduk Pangsapuri Casmaria di dalam memorandum mereka yang mendakwa wujudnya salah laku pengambilan tanah membabitkan agensi tertentu.
Susulan daripada beberapa mesyuarat yang diadakan, PTG dalam suratnya kepada MPS 25 Oktober lepas, meminta mereka supaya mengarahkan kontraktor memberhentikan kerja-kerja pembinaan sehingga persetujuan dicapai dengan penduduk.
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali ketika ditemui berkata, MB Selangor telah memanggil beliau dan mengadakan perbincangan mengenai aduan rakyat.
"Perkara ini sudah diteliti MB dan saya sendiri berkomunikasi dengan agensi terbabit untuk mengawal selia perkembangan dari masa ke semasa.
"Kita harus lihat isu ini secara keseluruhan. Kes di Casmaria ini berlaku dibanyak tempat di Selangor akibat kerakusan kerajaan dahulu," tegas Azmin.
Sebelum ini penduduk Taman Samudera mengemukakan memorandum ke pejabat MB dan mengadakan demonstrasi aman menggesa kerajaan negeri bertindak segera ke atas masalah yang berlarutan sejak lebih lapan tahun.
Antara dakwaan yang diajukan, penduduk menyatakan kekesalan mereka akibat kelemahan pihak terbabit membiarkan tanah kawasan pansapuri bertukar milik kepada beberapa buah syarikat, antara yang awal dikaitkan dengan syarikat milik bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian.
Penduduk turut merayu MB agar mengambil perhatian terhadap masalah status tanah pangsapuri dan pemendapan serius di beberapa buah blok, dapat diatasi dengan segera.
"Penduduk amat menghargai tindakan segera MB dan kita berterima kasih kepada Ahli Parlimen Gombak, yang sentiasa peka dengan aduan rakyat.
"Penduduk juga berharap, jika MB ada kelapangan untuk turun padang melawat kawasan kami," kata Setiausaha Persatuan Penduduk-Penduduk Casmaria (PPPC), Kamal Ariffin Kamaruzzaman.
(Pengerusi PPPC menunjukkan papan tanda MPS yang membuktikan pemilik tanah lapang sering bertukar tangan)
Wednesday, November 02, 2011
Audit buktikan Umno-BN tidak layak jadi kerajaan
MENGAPA kerajaan Umno-Barisan Nasional begitu kelam kabut sehingga hendak menyalahkan Laporan Audit, yang mendapati wujudnya salah laku, penyelewengan, salahguna kuasa, salah guna dana oleh lebih 70 peratus keMenterian dan agensi kerajaan?
Memang Laporan Audit bukan agenda politik. Ia berasaskan kepada fakta kewangan yang menjadi badan check and balance kepada sesebuah kerajaan. Tugas audit adalah untuk memastikan dana kerajaan diuruskan dengan telus oleh keMenterian dan agensi yang terbabit.
Jika wujud sebarang keraguan terhadap pengurusan kewangan, maka Jabatan Audit mesti membuat teguran dan menjadi tanggungjawab keMenterian dan agensi yang ditegur untuk memperbaiki kesilapan mereka.
Setiap tahun keluar laporan, saban tahun teguran dibuat Ketua Audit Negara, tetapi seolah-olahnya teguran beliau tidak dipedulikan.
Kita sering mendengar dakwaan pemimpin MB, khususnya dari kalangan Perdana Menteri, Menteri dan Menteri Besar yang mendabik dada kononnya Umno-BN lah yang pandai memerintah.
Hari ini terbukti dengan jelas bahawa tahap akauntibiliti kementerian dan agensi kerajaan jatuh merudum akibat ketirisan yang berulang saban tahun. Jumlahnya bukan sedikit, lebih 70 peratus didapati wujud salah laku dan penyelewengan.
Penyelewengan bukannya sedikit, jika dicantumkan keseluruhannya mencapai angka bilion ringgit.
Mengapa wang rakyat yang jumlahnya besar ini hangus jika ia diurus secara profesional?
Dalam fokus Harakah kali ini kita tumpukan pula bagaimana pengurusan dan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri di bawah BN.
Sarawak dan Sabah kita belum sentuh lagi secara khusus. Secara umumnya dicatat dalam laporan audit, Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang paling tinggi kadar kemiskinannya, sedangkan di kedua-dua negeri tersebut terdapat sumber minyak dan semua orang tahu bahawa pemimpin BN negeri kaya raya.
Jika hendak disimpulkan secara mudah ialah, kedua-dua negeri ini pemimpin Umno-PBB yang mewakili BN hidup dengan mewah, sedangkan rakyat bawahan daif dan miskin. Justeru, tiada pilihan lain selain menamatkan riwayat BN di Sabah dan Sarawak.
Kita teliti pula negeri Perlis, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, secara puratanya Ketua Audit Negara menegur mereka dengan beberapa kesimpulan yang boleh dibuat antaranya ialah:
i. Hutang negeri semakin meningkat
ii. Gagal jana pendapatan negeri
iii. Kadar kemiskinan tidak dapat diperbaiki dan semakin meningkat
iv. Belanja negeri dan jabatan tidak berhemah
v. Wujud penyelewengan yang ketara
Terdesak dengan kelemahan yang ketara ini terpacul kata-kata menyalahkan kakitangan kerajaan, yang dihamburkan oleh Menteri. Misalnya Menteri Kewangan II, Dato' Seri Husni Hanazlah mengatakan pegawai yang terbabit dengan penyelewengan akan dikenakan tindakan.
Bagaimana pula jika pegawai terbabit bertindak di atas tindakan Menteri? Siapa pula hendak disalahkan? Di atas segala kelemahan dan ketirisan ini, adakah wajar dipersalahkan kakitangan kerajaan dan agensinya?
Kita tidak nafi, kemungkinan terdapat pegawai yang menyeleweng. Tindakan tegas harus diambil jika mereka didapati bersalah. Tetapi mereka hanyalah 'ikan bilis'. Bagaimana dengan 'jerung-jerung besar'?
Kata pepatah Cina 'ikan busuk bermula di kepala'. Siapa ikan busuk yang mengepalai kementerian dan kerajaan negeri jika tidak Menteri dan Menteri Besar dari Umno-BN?
Justeru, jika rakyat tidak mahu makan ikan busuk, mereka tiada pilihan selain daripada menjatuhkan Umno-BN daripada tampuk kuasa.
Umno-BN tidak layak memerintah, tidak tahu jadi kerajaan. Yang mereka tahu menjadi tukang sapu harta rakyat.
Subscribe to:
Posts (Atom)