Friday, May 20, 2011

Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar menggamit ribuan pencinta PAS


TAHUN ini Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-57, kembali ke Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar.

Kali terakhir Muktamar diadakan di Taman Melewar ialah pada 2003, iaitu Muktamar pemilihan pucuk pimpinan tertinggi PAS, pada tahun Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dinobat menjadi Presiden PAS, selepas kembalinya Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor ke rahmatullah pada 23 Jun 2002.

Mengapa Muktamar diadakan kembali di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar? Bukankah Markaz Tarbiyah sudah diambil alih pengurusannya kepada Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad atau nama ringkasnya KUIZM.

Walaupun nama Markaz Tarbiyah sudah ditukar kepada KUIZM, namun ia tetap Markaz Tarbiyah.

Markaz Tarbiyah adalah suatu nama yang sangat nostalgik, suatu akronim yang tidak akan diubah walaupun perjuangan PAS menjangkau ke jangka masa yang amat panjang.

Bak kata pepatah Melayu, 'tempat jatuh lagi dikenang', inikan pula tempat yang menjadi asas utama perjuangan PAS diasaskan dan subur sehingga ke hari ini.

Kata orang 'tak kenal maka tak cinta'. Kalau tidak mengenal Markaz Tarbiyah PAS Pusat, maka asas untuk mencintai perjuangan Islam yang dibawa PAS, kurang kita hayati sepenuhnya.

Bagi anak-anak muda dan orang yang baru dalam perjuangan PAS, mereka harus kenal dan faham betapa sinonimnya Markaz Tarbiyah dengan perjuangan PAS, betapa kemanisan perjuangan dalam PAS begitu dirasai, bertitik tolak daripada Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar.

Lebih manis dan nostalgik ialah apabila bangunan yang menempatkan Pejabat Agung PAS, Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor, pejabat Dewan Ulama PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat adalah hasil titik peluh dan wang saku ahli-ahli serta penyokong PAS.

Untuk mendapat cerita-cerita lama mengenai Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar, saya bersembang-sembang dengan rakan lama, Mohd Zain Hashim, 54. Beliau adalah antara pembantu dan rakan paling rapat dengan Almarhum Ustaz Hassan Shukri, mantan Timbalan Presiden PAS.

Menurut cerita Zain, sekitar 27 tahun yang lampau, iaitu pada 1984, Markaz Tarbiyah mula diasaskan.

Tidak lain dan tidak bukan, yang mula-mula sekali menggerakkan idea ini adalah Ustaz Hassan sendiri.

Pada waktu itu PAS baru sahaja mengalami transfromasi, diambil alih kepimpinan baru di bawah kepimpinan Yang Dipertua PAS Pusat, Almarhum Ustaz Yusof Rawa (Pak Yusof) pada tahun 1982 selepas Dato' Mohd Asri Muda dan berapa orang rakannya meninggalkan PAS.

PAS pada ketika itu berada di zaman kejatuhan. Selepas ditendang keluar dari gabungan Perikatan pada tahun 1978, PAS kehilangan Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui sejak 1955.

Era kegemilangan PAS di zaman Asri sudah berakhir. PAS menggerakkan era 'Kepimpinan Ulama' di bawah Pak Yusof. Ustaz Fadzil sebagai Timbalan Yang Dipertua.

Oleh itu PAS harus mencari pertapakan baru untuk perjuangannya. Ustaz Hassan selaku Setiausaha Agung PAS ketika itu mula menggerakkan peranannya.

Ustaz Hassan bukan sekadar digelar 'arkitek' Markaz Tarbiyah, malah digelar rakan taulan dengan julukan nama 'tuan tanah gedaung'. Suatu gelaran unik yang melambangkan beliau adalah pengasas utama Markaz Tarbiyah.

Pada ketika itu Ustaz Hassan dan keluarga tinggal di Taman Melewar. Taman Melewar adalah dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ia bersempadan dengan kawasan Gombak, Selangor.

Asal tanah yang dibeli dalam kawasan Kampung Changkat. Sempadan Gombak dengan Kuala Lumpur, hanya dipisahkan dengan jalan raya (Jalan Batu Geliga) Taman Melewar. Jalan masuk ke tanah Kampung Changkat tiada. Maka dengan gotong-royong ahli-ahli PAS, dibuat jalan yang kini dinamakan Lorong Haji Hassan.

Namun, uniknya walaupun tanah terbinanya Markaz Tarbiyah dalam Kampung Changkat, tetapi ia terkenal dengan nama Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar. Hebatnya penangan PAS, sehingga nama Taman Melewar terkenal dan dinotakan sehingga ke seantero dunia.

Mengimbau kembali peristiwa lampau, tiada siapa yang menyangka tanah yang dibeli Ustaz Hassan dengan bantuan Almarhum Pak Yusof, Ustaz Harun Jusoh, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Hashim Jasin dan beberapa pimpinan lain, tanah yang berada di ceruk, kawasan kebun getah yang jauh dan sukar hendak sampai ke sana, menjadi begitu signifikan kepada perjuangan PAS.

Pada waktu itu Pejabat Agung PAS di Jalan Pahang Barat (pejabat Harakah kini). PAS tiada tempat untuk berhimpun dan diadakan program di Kuala Lumpur. Antara tempat yang digunakan PAS untuk itu adalah Dewan Bahasa & Pustaka, Dewan Serbaguna Taman Ibu Kota dan Dewan Serbaguna Flat Pekeliling.

Tetapi akibat daripada ganguan pihak berkuasa, program-program anjuran PAS sering dihalang dan dibatalkan.

Maka selepas banyak kali dihalang, idea menubuhkan pusat tarbiyah untuk ahli-ahli PAS digerakkan.

Menurut Zain wang pendahuluan untuk membeli tanah, Ustaz Hassan menggunakan duit Pak Yusof.

"Saya masih ingat, selepas tanah dibeli Ustaz Hassan (melalui sumbangan orang ramai), kami bergotong-royong mengorek lubang dan memacak lapan tiang.

"Pada masa itu dalam PAS Kawasan Setapak (sebelum dipecah kepada Batu, Wangsa Maju dan Titiwangsa), kita ada lapan cawangan. Setiap cawangan diarah mengumpul dana untuk membina pejabat," kata Zain.

Pada waktu itu PAS Setapak diterajui Ahmad Subky Abdul Latif (Haji Subky). Antara rakan-rakan yang sama-sama menyumbang idea, wang ringgit dan tenaga ialah Wan Azman Wan Abdullah (Pak Wan), Aziz Bakri, Fendi Ahmad, Salehudin Radin Sumadi, Baharudin Ahmad dan beberapa yang lain.

Mereka ini semua menurut Zain, adalah antara tenaga penting yang berada di belakang Ustaz Hassan.

"Bangunan depan (pejabat lama) masa itu siap dalam lima bulan, kita kumpul duit ahli dalam belasan ribu sahaja," katanya.

Bangunan asal dibina dua tingkat, menempatkan Pejabat Agung PAS di tingkat atas, manakala bangunan bawah dikosongkan untuk sebarang aktiviti.

Tetapi aktiviti PAS di situ dijalankan sebaik sahaja tanah dibeli. Pada masa itu ceramah pertama diadakan di Taman Melewar pada tahun 1984.

"Anjung kereta rumah Ustaz Hassan (sekarang) pada waktu itu dijadikan tempat berceramah. Pada masa itu kawasan tanah tersebut masih lapang dan di kelilingi oleh kebun getah," cerita Zain.

Apa yang diceritakan Zain begitu menyentuh perasaan saya. Saya sendiri sewaktu masih dibangku sekolah sudah dibawa mengenali perjuangan PAS. Pada masa itu mengikuti jemaah Masjid ar-Rahimah, Kampung Pandan, menumpang motosikal beramai-ramai pergi mendengar ceramah PAS di Taman Melewar.

Pada masa itu, jalan hendak masuk melalui Kampung Padang Balang begitu gelap, ia jalan kampung yang agak menyukarkan untuk tembus sampai ke Taman Melewar. Kami menyusuri Jalan Gombak hingga ke Greenwood dan kemudiannya masuk ke Taman Melewar.

Jalan ke Markaz Tarbiyah pada waktu itu agak gelap. Lampu jalan pun masih tidak banyak. Lampu kalimantang hanya dipasang di tempat penceramah, manakala hadirin yang mendengar ceramah, berada dalam kegelapan malam.

Pengalaman berada di celah-celah kebun getah di sebalik kegelapan malam dihurung unggas, adalah antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Ceramah pada masa itu pun hanya diadakan pada hujung minggu atau pada hari Sabtu malam Ahad. Jika dianjur pada hari selain itu, tidak ramai yang mampu datang.

Selepas itu PAS mula berkembang. Selepas siapnya bangunan pejabat dua tingkat, ceramah diadakan di dalam bangunan. Tetapi kehadiran peminat PAS semakin ramai dan melimpah ruah. Tempat tidak mencukupi.

Ustaz Hassan dan rakan-rakan mengubah tempat. Muslimat ditempatkan di dalam dewan, manakala manakala Muslimin mendengar ceramah di kawasan lapang dan di celah-celah kebun getah. Untuk menampung semua itu, dibuat pentas di luar bangunan (di sisi bangunan).

Pada setiap kali ceramah PAS kehadiran semakin melimpah ruah. Sudah ada tanda-tanda perjuangan PAS semakin dipulihkan. Maka pada setiap kali ceramah dikumpul dana.

Ustaz Hassan dan rakan-rakan mula giat mencari dana. Tanah pertanian (kebun getah) bersebelahan pejabat mula dibeli. Kerja-kerja membersihkan kebun getah dan semak samun dilakukan secara gotong-royong.

"Ustaz Hassan yang paling banyak cari duit. Beliau pusing satu Malaysia cari dana untuk membina Dewan Besar Markaz Tarbiyah PAS Pusat.

"Bangunan sisi pejabat Dewan Ulama dibina kemudian," cerita Zain.

Bangunan yang menempatkan dewan besar Markaz Tarbiyah mula dibina pada tahun 1986 dengan kos anggaran RM300 ribu. Muktamar pada tahun 1986 diadakan di Masjid Rusila, Marang, Terengganu.

Hasil daripada titik penuh ahli-ahli maka Muktamar Tahunan PAS Pusat kali pertama diadakan di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar adalah pada 1987.

Selepas terbinanya dewan besar. Bangunan asal pejabat dua tingkat mula diubah suai. Bangunan bawah dibuat bilik mesyuarat dan pejabat menyambut tetamu. Beberapa tahun kemudian, bilik mesyuarat dipindahkan ke tingkat atas, manakala pejabat pentadbiran sepenuhnya di bangunan bawah.

Di situlah diasaskan perjuangan PAS sekian lama. Saban tahun Markaz Tarbiyah diadakan Muktamar, sehingga yang terakhir pada 2003. Empat tahun selepas itu, iaitu pada 2007 Pejabat Agung PAS dipindahkan ke Jalan Raja Laut.

Tidak ada pemimpin utama PAS yang tidak mempunyai kenangan di Markaz Tarbiyah. Ia bukan sahaja tempat aktiviti, malah tempat penginapan pemimpin utama PAS.

Dari Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Fadzil, Ustaz Abdul Hadi, Ustaz Abu Bakar Chik, Mahfuz Omar, Mustafa Ali dan ramai pemimpin utama PAS, di Markaz Tarbiyah lah tempat tidur mereka. Tempat mereka berkelana dan bergelandangan, penuh tawaduk dan nikmat, hasil kemanisan iman perjuangan PAS.

Sewaktu Almarhum Ustaz Nik Abdullah Arshad (Pak Nik Lah) menjadi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, di Markaz Tarbiyah lah hotel beliau menginap.

Begitu juga semasa PAS menang di Kelantan pada tahun 1990. Hampir semua Ahli Parlimen PAS seperti Ustaz Buniyamin Yaakob, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood, Ustaz Ibrahim Medina, menginap di situ.

Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar sebenarnya adalah universiti tarbiyah bagi ahli-ahli dan kepimpinan PAS. Di dalamnya dianjurkan pelbagai program, secara formal atau tidak formal.

Sebut sahaja apa aktiviti seperti ceramah, qiamulail, seminar, tamrin, konvensyen, kursus dan sebagainya, semuanya di Taman Melewar.

Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar sebenarnya sudah melahirkan ramai 'graduan' hasil tarbiyah PAS. Yang kini bergelar Yang Berhormat, Dato' Seri, Dato' dan sebagainya.

27 tahun Markaz Tarbiyah menyumbang bakti kepada kesinambungan dan penyuburan perjuangan PAS. Selepas lapan tahun ditinggalkan muktamar, kini puluhan ribu ahli dan penyokong PAS akan kembali berhimpun di Taman Melewar pada 1 hingga 5 Jun ini.

No comments: