Wednesday, March 09, 2011

Pakatan Rakyat tetap relevan

WALAUPUN Barisan Nasional memenangi dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Merlimau dan Kerdau, serta Tenang sebelum ini, ia bukan alasan yang kukuh bahawa BN sudah mendapat kembali mandat rakyat.

Sejak Pilihan Raya Umum 2008, negara melalui 16 kali PRK, lapan dimenangi Pakatan Rakyat, lapan dimenangi BN.

Pakatan Rakyat merampas dua kawasan dimenangi BN pada 2008 iaitu Parlimen Kuala Terengganu dan Sibu, manakala BN menang di dua kawasan Pakatan Rakyat, iaitu di Parlimen Hulu Selangor dan Dun Galas.

Pada waktu ini, kekuatan di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah seimbang. Sama-sama menang PRK, seri dua sama.

Jika hendak ditafsirkan secara jelas kedudukan antara Pakatan Rakyat dan BN adalah terikat dan stalemate (buntu).

Bukan buntu kerana rakyat tidak tahu memilih mana parti pilihan, tetapi kebuntuan diciptakan BN dengan mengelirukan rakyat dengan sogokan wang, projek dan propaganda yang berat sebelah.

Ketiga-tiga PRK yang terdekat di Tenang (Johor), Merlimau (Melaka) dan Kerdau (Pahang, semuanya adalah kawasan kubu kuat Umno-BN.

Tetapi cara media Umno-BN membuat propaganda dan ugutan terhadap pengundi, seolah-lah 'perang dunia' akan berlaku jika BN tewas pada PRK tersebut.

Malah cara pemimpin Umno berhempas pulas berkempen, dengan taburan wang tunai jutaan ringgit bagi kawasan sekecil Tenang, Merlimau dan Kerdau menunjukkan kegelabahan yang melampau.

Jelas, Umno-BN terpaksa berhadapan dengan kekuatan Pakatan Rakyat dalam kubu kuat mereka, mempertahankan undi mereka, 'macam orang gila'.

Jika ketiga-tiga Dun ini memang kubu kuat Umno-BN, mengapa Perdana Menteri dan isteri, Timbalan Perdana Menteri dan anggota kabinet, terpaksa menawarkan wang yang banyak kepada pengundi?

Mengapa Umno-BN, untuk menafikan kekuatan Pakatan Rakyat, terpaksa mengupah pencacai-pencacai untuk memaki hamun Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim?

Jika semua Dun tersebut kubu kuat Umno-BN, mengapa media massa tali barut, jentera kerajaan, perisik tentera dan polis, dikerah bekerja siang malam untuk memenangkan calon BN?

Sepatutnya, jika Tenang, Merlimau dan Kerdau kubu kuat BN, selepas penamaan calon, BN boleh 'goyang kaki', tidak perlu berhempas pulas kerana sudah pasti menang.

Implikasi daripada keserabutan Umno-BN berkempen untuk mempertahankan kubu kuat mereka, sebenarnya menunjukkan undi yang mereka terima pada PRK ini dan pada PRU lepas adalah sokongan yang tidak genuine (tidak tulen).

Undi yang membawa kemenangan Umno-BN selama ini adalah undi palsu, undi kerana sogokan kebendaan, bukan kerana ketulenan sokongan.

Justeru apabila kantung Umno-BN semakin kekeringan, mereka tidak mampu lagi menyogok pengundi, maka pengundi mereka akan beralih arah menyokong Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat yang dicaci maki siang malam oleh media tali barut Umno-BN, sebenarnya terus utuh dan terus relevan menjadi force yang kuat untuk mencabar hegemoni BN pada PRU akan datang.

Pakatan Rakyat membuktikan bahawa ia adalah suatu force yang mampu menggugat keangkuhan Umno-BN.

Serangan berterusan media tali barut Umno-BN terhadap beberapa individu yang menjadi pemimpin utama Pakatan Rakyat tidak memberi sebarang kesan kepada Pakatan Rakyat.

Tiada kesan kerana pada minda rakyat, bukan soal siapa yang akan menjadi PM dari Pakatan Rakyat selepas PRU nanti, tetapi pada rakyat, Umno-BN sudah terlalu lama berkuasa dan mereka harus dijatuhkan.

Umno-BN tidak akan bertahan kerana rakyat sudah semakin muak dengan mereka.

No comments: