Thursday, January 13, 2011

Melayu Umno patut malu dengan Cina DAP

APA salahnya jika Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang, Dato' Mohamed Fadzill Hassan benar-benar memohon kemaafan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dengan sepenuh keikhlasan?

Sikap dolak-dalik Fadzill yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), sekejap bersungguh-sungguh minta maaf, sekejap kata tidak, apabila ditekan oleh media talibarut Umno, menunjukkan beliau sangat tidak beretika.

Jika pun Fadzill penyokong tegar Umno, sebagai seorang yang beragama Islam, apa salahnya kita memohon maaf dan berbaik-baik untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.

Fadzill menerima tekanan daripada ahli-ahli persatuan kontraktor, menggesanya memohon maaf kepada Guan Eng, akibat daripada beberapa siri kenyataan yang disiarkan Utusan Malaysia, dengan cara yang amat rasis.

Fadzill menjadi penyumbang besar kepada ketajaman isu perkauman, apabila beliau menggambarkan seolah-olahnya Guan Eng, kerana beliau DAP, maka beliau dikaitkan sebagai anti-Melayu dan menindas Melayu.

Segala tuduhan dan kecaman Fadzill terhadap Guan Eng, begitu diambil serius oleh Utusan, sehingga boleh menyebabkan nyawa Ketua Menteri terancam, akibat perasaan kebencian Melayu terhadap Cina yang membuak-buak.

Malah akibat daripada kenyataan Fadzill, pemimpin-pemimpin Umno bertali arus memainkan sentimen perkauman dan membuat pelbagai kecaman yang tidak munasabah terhadap Ketua Menteri.

Paparan serangan Fadzill banyak disiarkan Utusan, tidak perlu diulang di sini.

Serangan Fadzill terhadap Guan Eng, disempitkan oleh Utusan, sebagai Kerajaan DAP, sedangkan umum mengetahui ianya adalah Kerajaan Pakatan Rakyat.

Mereka menamakan 'Kerajaan DAP' kerana hendak menyempitkan minda orang-orang Melayu, dengan seolah-olahnya mahu memberi gambaran bahawa, 'Cina DAP ini pasti akan menindas Melayu.'

Serupa juga tindakan media talibarut Umno, cuba menyempitkan fikiran golongan bukan Melayu dengan memberi label 'Kerajaan PAS' di Kelantan. Dari segi keadaannya, ya memang PAS majoriti, tetapi cara mereka melaporkan secara sempit, menunjukkan kejahatan yang melampau.


Begitu juga, ada media talibarut Umno-BN sama ada yang media cetak atau elektronik, menggunakan istilah 'Kerajaan Pembangkang' bagi negeri-negeri tertentu.

Mereka ini sebenarnya, selain mempunyai agenda yang jahat, begitu malu dengan mengaku bahawa Umno-BN sudah menjadi pembangkang di negeri-negeri terbabit.

Spesies Umno sebegini memang banyak. Mereka begitu ego dan sombong. Mereka tidak mahu menerima hakikat yang sebenar. Melayu spesies Umno inilah yang memalukan bangsa Melayu keseluruhannya.

Sama juga dengan Fadzill yang tidak tahu malu dan tidak mahu mengaku salah terhadap Guan Eng. Beliau menyerang Guan Eng dengan menuduh kontraktor Melayu ditindas dan disisihkan di Pulau Pinang.

Kenyataan yang amat rasis dan tidak bertanggungjawab ini, ditepis Guan Eng dengan mengemukakan fakta dan statistik. Jelas menunjukkan, dengan dasar tender terbuka, hampir semua projek Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, dibolot oleh orang Melayu.

Kita tanya balik kepada Fadzill, berapa banyak tender yang kontraktor Melayu Pulau Pinang dapat, semasa Ketua Menteri dari Cina Gerakan yang menjadi suku sakat Umno-BN memerintah?

Apakah apabila Cina DAP membuat kebaikan kepada orang Melayu, dianggap suatu dosa, sedangkan berdasarkan fakta, Cina Gerakan yang banyak menindas Melayu, 'dijulang dan dicium tangan' oleh orang-orang Umno?

Usah cakap soal Melayu-Cina. Usah cakap soal rasis. Tiada halangan untuk Fadzill memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu Umnonya, tetapi perjuangan itu mestikan berasas fakta dan 'berpijak di bumi yang nyata.'

Apa salahnya menjadi orang yang jujur. Di atas ketelanjuran kata, di atas kesalahan membuat provokasi melampau, yang jelas mengugat kestabilan kaum, beliau dengan 'rendah hati' memohon maaf dan berbaik-baik dengan Guan Eng.

Pagi-pagi Sabtu lepas ketika menghubungi penulis, Guan Eng menyatakan kelegaan beliau kerana kontraktor Umno datang memohon maaf kepada beliau.

"Hai Rashidi, selamat pagi, apa khabar," kata Guan Eng.

"Selamat pagi CM, saya baik sahaja, you call pagi-pagi mesti ada cerita," balas penulis.

"Ya, ini hari saya sikit legalah, semalam (Jumaat) itu Fadzill dan kontraktor Umno datang mohon maaf sama kita (Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat), ini suatu peristiwa yang amat besar di Pulau Pinang.

"Tapi saya kesal, paper, Utusan (Utusan Malaysia), semua tak keluar (tidak lapor)," ujarnya.

"Sudah tentulah, mana paper mahu keluar, ini peristiwa kasi (beri) mereka malu. Tak apalah nanti Harakah, kita bantu siarkan.

"Tapi you percayakah sama itu kontraktor Melayu (betul-betul memohon maaf?" tanya penulis keraguan.

"Tak apalah, kita memang pedih kena hentam, kena fitnah, tapi itu orang sendiri datang minta maaf, kita terima lah.

"Orang mahu baik, kita terima, kita mesti jaga silaturrahim," jelas Guan Eng menunjukkan keikhlasan beliau.

"Kalau macam itu, okay, nanti kita tolong lapor apa yang berlaku," kata penulis.

"Okay terima kasih banyak, nanti kita jumpa dekat Tenang (PRK Dun Tenang) ya," ujar Ketua Menteri mengakhiri perbualan.

Apa yang malangnya, yang berlaku tidak seperti yang diharapkan, hanya selepas dua hari permohonan maaf secara sukarela dinyatakan secara terbuka dalam sidang yang mempunyai rakaman, Fadzill mengubah cakapnya.

Ahad lepas, Fadzill mengatakan permohonan maaf pada pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini tidak berkaitan dengan teguran persatuan itu sebelum ini terhadap kerajaan negeri.

Katanya, permohonan itu dilakukan untuk saling memahami serta memaafkan antara satu sama lain.

"Permohonan maaf saya itu adalah atas kemungkinan terkasar bahasa sebelum ini terhadap kerajaan negeri, itu saja.

"Ini bukan bererti ia ada kaitan dengan teguran saya terhadap kerajaan negeri sebelum ini," katanya, sebagaimana dilapor.

Apa agenda Fadzill sebenarnya? Apakah beliau malu hendak mengaku kepada Umno bahawa beliau tersilap menyerang Guan Eng? Atau apakah orang-orang Umno terlalu suci sehingga tidak boleh mengaku silap?

Sikap yang yang ditunjukkan Fadzill ini, dengan jelas menunjukkan bahawa, beliau tetap berpegang dengan kenyataan-kenyataan berbaur rasis yang boleh mencetuskan kebencian kaum.

Sikap 'lidah bercabang' Fadzill ini hanya menunjukkan betapa tebalnya perasaan rasis beliau. Sikap ini bukan sahaja semakin mengeruhkan suasana, malah memalukan bangsanya sendiri.

Sikap Fadzill jelas mengecewakan, sehingga Lim Guan Eng berkata, beliau tidak menyangka Fadzil bercakap 'tidak serupa bikin', apabila bertindak menafikan kenyataannya yang dibuat sebelum ini.

"Kenapa beliau sanggup memutar belitkan kenyataan, walhal beliau sendiri mengungkapkannya di hadapan media serta salah seorang Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malek Abul Kassim.

"Kenapa beliau putar belitkan kenyataan yang dibuatnya sendiri. Tak apa kita ada bukti rakaman sidang media itu. Dan, ia boleh memalukanya dirinya sendiri," jelasnya.

Guan Eng berkata, beliau tidak faham kenapa tiba-tiba Fadzil bertindak seumpama itu, dengan menggunakan media talibarut Umno-BN untuk memperbetulkan dirinya semula dan membelakangkan fakta sebenar.

Apapun bagi penulis, sikap yang ditunjukkan pemimpin kontraktor Melayu, tidak berpegang kepada janji, bercakap bohong, hanya mencemarkan maruah orang-orang Melayu.

Lihat kepada orang-orang Cina DAP, yang diketuai Guan Eng, mereka berpegang kepada janji, membantu ramai orang Melayu, membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz dan sebagainya.

Apa yang dibuat oleh Cina DAP di Pulau Pinang, untuk kepentingan orang Melayu pada sesetengah sektor, jauh lebih baik daripada Cina Gerakan, malah lebih baik daripada Melayu Umno Pulau Pinang.

Orang-orang Melayu, khususnya Umno, 'harus berlapang dada' mereka wajar belajar supaya jangan terlalu ego dan menerima hakikat bahawa di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, nasib mereka lebih terjamin.

Ringkasnya, Melayu Umno patut malu dengan Cina DAP di Pulau Pinang.

Kepada Lim Guan Eng, penulis mencadangkan beliau menangani permasalahan kontraktor Melayu Umno ini, dengan mengunakan garis sempadan yang diungkapkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat.

Kata Tok Guru, "Pepatah Arab mengatakan, anjing yang kurus, bagi makan sampai gemuk, dia gigit kita balik. Oleh yang demikian bila dia minta balik, bersungguh minta balik bekerjasama, kita kata tidak."

Itulah tegas Tok Guru yang menolak sikap dolak-dalik pemimpin Umno.

Justeru, pesan penulis kepada Fadzill dan rakan-rakan dalam PKM Pulau Pinang, tolong jangan malukan Melayu, tolong jangan jadi seperti anjing dalam pepatah Arab ini.

No comments: