Wednesday, December 30, 2009

Husam kesayangan Tok Guru, Annual dan Saiba undur


Wujud beberapa spekulasi berkaitan kedudukan Dato' Husam Musa di Kelantan. Ada pandangan penganalisis politik bahawa Husam dijangka melalui laluan yang sukar kerana beliau dikatakan mempunyai banyak musuh.

Malah ada anggapan bahawa beberapa tindakan politik yang terjadi di Kelantan, khususnya berkaitan dengan beberapa orang kanan Tok Guru, dikaitkan dengan usaha untuk menghukum Husam.

Ada juga kebimbangan bahawa usaha sebenar mereka (musuh Husam, yang tidak dipastikan siapa) adalah untuk 'mengenakan' Husam, tetapi masih belum berhasil


Laporan Harakahdaily dipetik, untuk dinilai sejauhmana kebenaran dakwaan pihak tertentu.


Pada sidang akhbar 29 Disember lepas, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak dakwaan dua pegawainya dipecat di samping menafikan exconya, Datuk Husam Musa meletakkan jawatan.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di kediaman Menteri Besar hari ini, beliau memberitahu niat setiausaha politiknya, Anual Bakhri Haroun untuk meletakkan jawatan sudah lama dinyatakan.

Ianya dibuat atas sebab Anual mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat beliau dan juga atas masalah kesihatan anak bongsunya yang harus deberi penumpuan.

Manakala setiausaha akhbarnya pula, Mohd Saiba Yaakob akan habis kontrak hujung bulan ini.

Apa yang berlaku katanya bukan rombakan tetapi prosedur biasa lantikan politik apabila seseorang itu tamat kontrak.

Anual Bakhri mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1999 selepas Datuk Husam Musa mengosongkan jawatan berkenaan untuk bertanding dalam pilihanraya umum tahun berkenaan bagi mewakili Parlimen Kubang Kerian.

Manakala Mohd Saiba pula mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 2003.

Nik Aziz juga menolak spekulasi kononnya Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa akan meletakkan jawatannya ekoran rombakan dalam pentadbiran pejabat menteri besar.

Sebaliknya Nik Aziz memberitahu, Husam yang merupakan bekas setiausaha politiknya sebenarnya pemimpin kesayangan beliau.

“Mana boleh dia (Husam) letak jawatan...Datuk Husam ini antara yang saya sayang, dia punya kebijaksanaan,” kata beliau selepas mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di sini petang ini.

Ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa Husam akan meninggalkan Kabinet kerajaan negeri dan kerusi Dewan Undangan Negeri, Nik Aziz berkata, “siapa kata dia (Husam) nak letak jawatan? Karut semua itu.”

Dimaklumkan perkara itu dilaporkan oleh blog sejak beberapa hari lalu, Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan menegaskan, “celaka blog itu. Tak ada kerja lain... tau nak laga-lagakan orang.”

“Suka buat dosa. Berdosa menulis perkara bukan-bukan tanpa bukti dan fakta jelas,” tambah beliau.

Husam juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan. Malah juga diamanahkan untuk mengetuai jawatankuasa berkaitan isu pertikaian royalti minyak untuk negeri itu.

No comments: