Wednesday, April 15, 2009

Kami bukan penderhaka!

KAMI bukan penderhaka. Kami sama sekali tidak berniat untuk menentang Raja. Kami sekadar berpendapat bahawa keputusan yang diambil Raja di Perak tidak bertepatan mengikut lunas undang-undang.

Kami berbeza, kerana kami berpendapat bahawa jalan terbaik untuk membentuk sesebuah kerajaan, ialah melalui pilihan raya, bukan dengan cara membeli dan mengumpan wakil rakyat.

Adalah tidak adil sesebuah kerajaan dibentuk, bukan dengan mandat rakyat, tetapi dengan mandat rasuah, sama ada dalam bentuk wang, jawatan atau penarikan balik kes-kes jenayah yang sedang dihadapkan ke mahkamah.

Kami berbeza dengan Raja kerana kami berpendapat, jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak, ialah dengan memulangkan mandat semula, kepada rakyat melalui pilihan raya umum negeri.

Kami hanya meminta, jika pun hendak dijatuhkan sesebuah kerajaan negeri, biarlah dengan cara yang demokratik, iaitu dengan membuat undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Bukan dengan menyuruh Menteri Besar atau anggota Exco meletakkan jawatan atas alasan parti yang memerintah sudah kehilangan majoriti di dewan.

Inilah pendapat dan pendirian pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, yang dipilih secara adil dan demokratik dalam Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac 2008 lepas.

Pakatan Rakyat bukan sebuah entiti yang kecil. Ia adalah suatu 'force' yang didukung oleh jutaan rakyat Malaysia, terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Kuasa rakyat ini adalah suatu kuasa yang besar, membentuk sebilangan kumpulan yang besar, sehingga berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen.

Bilangan yang besar ini dibuktikan dengan, menempatkan suara mereka sebanyak 82 kerusi Parlimen dan beratus-ratus kerusi Dewan Undangan Negeri.

Suara rakyat yang besar ini juga mewakili negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Derhaka Umno Terengganu bukan PAS Perak

Justeru dalam menghadapi krisis di Perak, Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak keseorangan.

Penyingkiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau, tidak dipersetujui banyak pihak dalam negara, yang tidak gembira dengan keputusan Raja.

Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan keputusan Raja, manakala, Umno sudah tentu menyokong, kerana mereka mendapat kembali kerajaan negeri dengan cara yang amat mudah.

Apa pun tuduhan yang dilemparkan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, salahkah rakyat punyai pandangan berbeza dengan Raja?

Jika peristiwa di Perak menyebabkan kebanyakan rakyat mempunyai persepsi bahawa Raja membuat kesilapan, apakah kewujudan persepsi ini menyalahi undang-undang?

Jalan mudah untuk media pengampu BN menjerat Nizar ialah dengan, menuduhnya menderhaka kepada Tuanku.

Namun Umno/BN jangan lupa, 'sederhaka' manapun Nizar, jika ia berlaku, jauh lebih bersopan dari sekumpulan pemimpin Umno Terengganu yang 'membinatangkan' Raja, dalam demonstrasi di Istana Terengganu, Mac 2008 yang lalu!

Sultan Terengganu dihina dan dilemparkan dengan kata-kata nista oleh orang-orang Umno, kerana mereka mahukan Dato' Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar.

Orang-orang PAS, KeADILan dan DAP di Perak, tidak pernah sama sekali mencera Sultan Perak, sebagaimana dilakukan orang-orang Umno di Terengganu.

Soal derhaka tidak timbul sama sekali. Jika ada pihak yang menghasut Raja di Perak, baginda harus mengetahui, memahami dan membuat pertimbangan sewajarnya, jika baginda mahu menjatuhkan hukuman derhaka kepada Nizar.

Kes di Terengganu menunjukkan bahawa yang paling derhaka ialah Umno. Bukan PAS! Umno sanggup buat demo dan membawa kain pemidang yang jelas 'membinatangkan' Raja!

Bukankah tindakan pemimpin Umno itu suatu tindakan derhaka? Mana penderhaka itu semua? Mengapa mereka dibebaskan tanpa tindakan?

Apakah mereka boleh derhaka dan menyanggah Raja sesuka hati kerana mereka Umno? Apakah kerana Umno 'dilahirkan' di Istana Johor pada 11 Mei 1946, maka segala tindakan mereka terhadap Raja, semuanya boleh 'dipejamkan' begitu sahaja?

Apakah kerana Umno terlalu sinonim dengan Raja, maka Raja harus dilihat memihak kepada Umno?

Harus diingat, berlaku dalam sejarah politik negara, yang 'memaki hamun' Raja dan melucutkan hak kekebalan Raja pada tahun 1993, ialah orang-orang dan pemimpin Umno.

Umno yang mewujudkan mahkamah untuk membicarakan perilaku Raja.

Kalau boleh 'diflashback' atau dimainkan kembali pita siaran televisyen dan akhbar ketika itu, nescaya seluruh rakyat Malaysia akan memahami betapa hinanya Raja di mata Umno.

Siapa yang tampil membela Raja ketika itu? Tanyalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Yang membela Raja ketika itu ialah PAS dan Semangat 46.

Nizar bukan Hang Jebat

Dalam kes Perak, Nizar tidak menderhaka. Nizar bukannya Hang Jebat. Nizar pun tidak mahu menjadi Hang Jebat, seperti hikayat Melayu purba.

Hulubalang Hang Jebat 'mengamuk' kerana membela sahabatnya, Laksamana Hang Tuah yang menjadi mangsa fitnah. Di Perak, Nizar adalah mangsa ketidakadilan.

Menurut sejarah tragedi purba kala tersebut berlaku, akibat ketidakadilan titah Sultan Mansur Shah yang dinasihatkan secara salah oleh memanda pembesar istana di sekeliling baginda, yang mempunyai kepentingan tertentu.

Lantaran fitnah tersebut, lalu dititahkan agar Hang Tuah dibunuh.Hikayat lagenda difilemkan dengan lakonan Tan Sri P Ramlee dan ditayangkan berulang kali dikaca televisyen.

Secara moralnya, rakyat boleh mempelajari daripada ceritera-ceritera ini, berlaku dalam sejarah, ada kalanya orang-orang istana sama ada Raja, Bendahara atau sebagainya, membuat keputusan yang silap.

Sehingga wujud dalam seloka Melayu ungkapan 'Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah.'

Dalam kes Perak Nizar tidak keseorangan. Di belakangnya ada berjuta-juta rakyat Malaysia yang menyokong Pakatan Rakyat, amat kecewa dengan keputusan yang diambil Sultan Perak.

Rakyat dari kalangan rakyat berbilang kaum menyokong pendirian diambil Nizar, untuk tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Bilangan rakyat yang marah dan kecewa dengan 'rampasan kuasa' di Perak bukannya sedikit.

Sehingga ada yang menzahirkan secara terbuka kritikan terhadap Raja. Sekaligus kritikan-kritikan tersebut jika dipaparkan, hanya akan menjejaskan kredibiliti dan integriti Raja.

Akibat daripada persepsi ketidakadilan yang berlaku di Perak, ianya telah mewujudkan pemahaman bahawa 'credibility Malay Rulers at stake', apabila mereka dianggap berpihak kepada Umno.

Raja-Raja Melayu seharusnya 'above political party' dan mengelak wujudnya persepsi di kalangan rakyat bahawa mereka pro atau menjadi alat Umno-BN. Hanya dengan cara itu sahaja kredibiliti dan integriti Raja dapat dipulihkan.

Jalan terbaik untuk memulihkan keadaan di Perak ialah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri dan diadakan pilihan raya negeri semula.

Nescaya rakyat akan menerima keputusan pilihan raya dengan baik walau mana-mana pihak yang menang sekalipun, asalkan ianya dijalankan secara adil dan demokratik.

(Harakahdaily, 12 Februari 2009)

Aksi dua badut Perak pamer kebodohan sendiri

TIADA apa yang boleh dibanggakan oleh Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Adun Changkat Jering), apabila kebodohan yang mereka ciptakan menjadi alat mainan politik Barisan Nasional.

Media pengampu BN cuba untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin goyah.

Media pengampu BN cuba memberitahu rakyat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Perak mempunyai masalah dalaman yang besar.

Hakikatnya, kerajaan yang dibentuk ketiga-tiga parti, PAS, KeADILan dan DAP tidak mempunyai apa-apa krisis. Kerajaan stabil dan aman.

Yang bermasalah ialah kedua-dua Adun yang juga Exco. Mereka menghadapi tuduhan rasuah yang menanti dibicarakan.

Yang bermasalah ialah BN, yang semakin malu apabila Badan Perhubungan Umno Negeri di bawah pimpinan Dato' Seri Mohd Tajol Rosli dikecam hebat kerana campurtangan sehingga merosakkan perpaduan Umno bahagian-bahagian di Perak.

Yang sedang binggung ialah BN, kerana sehingga kini mereka tidak boleh menerima hakikat terpaksa menjadi pembangkang setelah berkuasa sekian lama.

Lalu, dicetuskan drama dengan menggunakan dua orang 'badut politik', yang berpentingan dan bermasalah, guna menjatuhkan kerajaan negeri.

Dua 'badut sarkas' ini didakwa 'dibeli' untuk memasuki Umno-BN, dengan janji 'melepaskan' mereka dari pertuduhan rasuah, dan janji dikekalkan kerusi exco oleh pihak terbabit, jika BN berjaya membentuk kerajaan.

Drama yang tercetus di Perak bukan salah Pakatan Rakyat. Ia berlaku hasil lakonan dua pihak yang mempunyai kepentingan tertentu iaitu di antara BN dengan dua Adun terbabit.

BN menjangka imejnya akan pulih di Perak, jika mereka berjaya menguasai kembali kerajaan negeri dengan 'membeli dua badut yang bodoh' ini. Namun percaturan mereka tersilap.

Imej Umno-BN yang sudah sedia hodoh, sebagai parti yang paling korup dengan pelbagai tuduhan politik wang dan rasuah tidak akan dapat dipulihkan dengan kemasukan dua 'badut sarkas' ini.

Pertama, kerana keduanya terbabit dengan pertuduhan rasuah berat dan kemasukan mereka akan mencetuskan persepsi 'hanya perasuah sahaja yang diterima masuk dalam parti rasuah seperti Umno.'

Kedua, jika keduanya diterima masuk Umno dengan janji kes rasuah mereka akan digugurkan, ini akan mendorong rakyat semakin membenci Umno, kerana Umno jelas mengamalkan 'double-standard'.

Ketiga, jika keduanya masuk Umno dengan pelbagai tawaran lumayan sebagaimana yang disebutkan dalam afidavit Fauzi Muda, maka jelas Umno-BN yang 'meroyan' akibat kehilangan kuasa di Perak, mengamalkan taktik yang paling kotor, melanggari prinsip-prinsip demokrasi.

Keempat, BN mencemarkan imej Sultan Perak. Kerana mereka mencetuskan krisis dalam kerajaan negeri, pada ketika sepatutnya kerajaan dan rakyat merayakan pemerintahan ke 25 tahun Sultan Azlan Shah menaiki tahta.

Harus diingat, ketika Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, mengalu-alukan kemasukan Ahli Parlimen (MP) BN, yang mahu berhijrah, beliau menerima kecaman yang amat hebat dari kalangan BN.

Apa yang tidak mereka sebutkan ketika 'memaki hamun' Anwar? Beliau dituduh tamak kuasa, gelojoh, merasuah jawatan, tidak demokratik dan sebagainya.

Malah ketika Adun Bota, Dato' Nasaruddin Hashim berhijrah menyertai KeADILan, beliau turut dicerca, kononnya beliau tidak bermoral dan tidak beretika.

Tetapi apa kata Presiden Umno yang juga PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengesahkan beberapa Adun KeADILan mahu memasuki Umno-BN dalam sidang media 1 Februari lepas?

"(Mereka akan) diterima dengan baik kerana itu pilihan mereka dan mereka hendak menyertai kita dalam perjuangan yang lebih besar dalam Umno dan BN.. menjadi satu pengalaman baru dan memberi kesempatan untuk berjuang (dalam BN)," kata Abdullah.

Inilah bukti kenyataan dan dasar 'flip-flop' Umno! Mereka boleh perbodoh dan peralatkan kedua-dua 'badut sarkas' terbabit. Tetapi mereka tidak boleh sama sekali memperbodohkan rakyat.

Dalam kes ini rata-rata rakyat Perak tahu menilai, bagi mereka konflik politik yang wujud di negeri ini, hasil ciptaan Umn-BN sendiri. Hampeh betui, kata orang Perak

Reaksi spontan rakyat apabila ditanya isu ini mereka menempelak kedua-dua 'badut sarkas' dan BN dengan ungkapan 'bodoh dan memalukan.'

Kedua-dua 'badut sarkas' ini sudah hilang banyak hari, entah ke mana tidak diketahui. Dimaklumkan ketika 'kehilangan' mereka, kereta kerajaan negeri yang digunakan mereka sebagai exco, pun tidak diketahui di mana.

Namun, apabila kes ini tercetus, kedua-duanya dilaporkan cuti sakit (MC) serentak.

Rakyat Perak tertanya-tanya apa penyakit dihidapi oleh dua exconya (kini bekas exco), sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di luar Perak.

"Kami pun hairan, Perak punyalah banyak klinik 'specialist', banyak bomoh, sampai hospital rawat orang gila di Tanjung Rambutan pun ada, mereka pergi cari tempat lain pasal apa," rungut seorang Ketua Kampung di Tanjung Piandang.

"Kalau MC pun takkan tak tau nak bagi notis sampai satu dunia orang cari tak jumpa, gamaknya depa (mereka) ni bekas posmen, bila posmen sakit tak boleh hantar surat, tunggu sihat dulu," komen seorang pengundi Behrang.

"Gamaknya (agaknya) depa kena penyakit gila babi, atau dijangkiti kuman JE, sebab itu kena kuarantin," perli seorang pimpinan KeADILan Perak.

Apa pun komen dan pandangan kepada Jamaluddin dan Osman, walaupun kini keduanya mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas, namun mereka tidak boleh menolak persepsi rakyat bahawa mereka hanyalah pencacai yang dipergunakan Umno-BN.

Maruah mereka sudah tercemar di kalangan rakyat. Harga diri mereka sudah tidak laku dalam Pakatan Rakyat, jawatan exco habis, Adun pun habis, malah belum tentu mereka akan mendapat pembelaan BN, jika kes rasuah mereka berjalan di mahkamah.

Jika pun ada pilihan raya kecil (jika SPR mengubah keputusan), sudah tentu BN tidak akan mengambil mereka sebagai calon. Pakatan Rakyat sudah tolak mereka, orang-orang Umno pun akan tolak mereka.

Kepada Jamaluddin dan Osman, bertaubatlah, anda berdua sudah terperosok dalam perangkap akibat kebodohan sendiri.

Kes rasuah anda akan berjalan, tanpa pembelaan sesiapa, akhirnya jika anda didapati bersalah, anda berdua akan merengkok dalam penjara dengan penuh kehinaan.

(Harakahdaily, 4 Februari 2009)

SMS dari orang Umno

PESANAN Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat kepada pemimpin dan ahli-ahli PAS khususnya, supaya jangan sesekali berasa begitu 'gah' dengan kemenangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut di Kuala Terengganu harus diinsafi.

Insya Allah, pemimpin dan ahli-ahli PAS tidak akan menjadi terlalu taksub dengan kemenangan, mereka menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah dan terima kasih kepada rakan-rakan KeADILan dan DAP, khususnya rakyat, yang memberi kepercayaan kepada PAS.

Seperti kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, kemenangan di KT bakal membuka jalan untuk PAS kembali menerajui Kerajaan Negeri Terengganu dan mahu kerjasama erat PAS, KeADILan dan DAP diperkukuhkan.

Apapun yang berlaku, kemenangan PAS di KT merupakan tamparan hebat kepada BN selepas wake-up call pada 8 Mac 2008 dan kemenangan Anwar Ibrahim di Permatang Pauh Ogos 2008, gagal dibaca dengan baik oleh pemimpin Umno.

Hasil tulisan saya dalam Harakah edisi 1409 lepas dan dalam harakahdaily.net, banyak juga respon yang diterima sama ada dalam bentuk emel dan SMS, termasuk dari kalangan orang-orang Umno.

Tidak kurang juga yang mengakui, ada yang menyokong dan ada yang melepaskan geram, khususnya apabila saya menyentuh soal Ezam Mohd Nor. Kata penulis emel itu, beliau meluat membaca artikel saya yang disifatkannya sebagai 'tidak islamik' kerana menggunakan kata-kata kesat seperti 'barua' dan sebagainya.

Mereka ini tiada hujah, sekadar hendak memberitahu bahawa mereka adalah golongan yang sangat islamik seperti Ezam dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya.

Maka mereka mahu Harakah dan penulis-penulisnya menzahirkan diri sebagai kumpulan islam yang berhemah dari sudut percakapan dan penulisan. Hasrat ini diakui baiknya.

Pada saya tidak perlulah dijawab secara verbatim emel berstatus negatif yang diterima. Namun, tulisan yang ditujukan kepada Ezam, sesuai dengan 'gelagatnya' ketika di Permatang Pauh dan di KT baru-baru ini.

Jika dia menjadi 'musuh' yang berhemah, nescaya serangan balas yang bakal diterimanya, secara berhemah juga.

Tulisan asal saya mengenai Ezam, memang lagi keras, namun alhamdulillah, ada baiknya Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman membuat sedikit editing, bagi melembutkannya.

Saya tiada agenda peribadi dengan Ezam. Masalah beliau adalah 'dosanya kepada ummah'. Segala janji, sumpah atas nama Allah yang diikrarkannya dalam banyak ceramah bersama pemimpin PAS, telah dinodainya.

Begitu juga dengan segala kata nista, kecaman, maki hamun, malah ada juak-juak Ezam yang berceramah di pentas PAS di Taman Melewar, suatu ketika, 'mencarut' dalam ceramah. Semuanya itu mereka ibarat 'menjilat ludah sendiri.' Carilah dalam youtube.com, berlambak ceramah mereka (yang menghentam BN).

Tidak mengapalah, Ezam tidak lagi relevan untuk diperbincangkan. Yang penting sekarang inilah masalah yang dihadapi Umno-BN.

Buat kali pertama Utusan Malaysia, 21 Januari lepas, membuat pengakuan terbuka mengenai punca-punca yang menyebabkan calon sepopular Wan Farid Wan Salleh kalah di KT. Yang jelas dari pengakuan tersebut memberitahu Umno-BN bahawa mereka kalah kerana trend pengundi muda yang kekal menolak BN.

Jika Harakah yang mengkritik, mereka bolehlah ignore kerana datang dari parti lawan, malah yang datang dari akhbar milik Umno sendiri juga tidak diperdulikan.

Malah ada juga rakan-rakan Umno yang membuat pengakuan jujur mengapa BN tewas di KT.

Dalam SMSnya, beliau mencatatkan 11 sebab iaitu kerana, Pemimpin Umno KT tidak bersatu ; Kebanyakan pemimpin dan calon terlalu kurang mesra rakyat; Umno gagal keluarkan 95 peratus pengundi BN; Jentera BN Terengganu dan dari luar tidak bekerjasama, bekerja sendiri-sendiri dan tidak bersemangat; Pengundi perantauan BN tidak balik; Penyokong allahyarham Razali Ismail kecil hati dengan Umno; Pengundi bukan Melayu undi PAS; Calon PAS mesra rakyat walaupun tidak bawa pembangunan; Faktor Anwar Ibrahim; Pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat bersatu; Media utama keterlaluan menyokong BN, blog dan akhbar kecil sokong PAS; dan disebarkan kononnya BN beri wang, ramai pengundi yang tidak dapat marah, lalu tidak mengundi BN.

Apapun pandangan, pengakuan atau analisis, hakikatnya Umno-BN sekarang susah hendak diperbetulkan. Umno, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain sudah semakin tidak relevan dan tidak diterima rakyat.

Masa depan rakyat bukan lagi bersama BN, tetapi Pakatan Rakyat.

(Harakahdaily, 28 Januari 2009)

Ezam undang bala

ENTAH apa silapnya pihak tertentu dalam Umno, terlalu mempercayai bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam Mohd Nor dan balaci-balacinya, sehingga dibawa berkempen di Kuala Terengganu.

Ezam ternyata membawa padah kepada Umno. Padah kerana penyertaan beliau dalam kempen BN, langsung tidak membantu. Tiada apa-apa kesan dan hanya merugikan masa dan wang Umno sahaja.

Ezam memang tiada modal. Kerjanya hanya membelasah bekas bosnya mantan TPM, Dato' Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tujuan Umno menggunakan khidmat Ezam dalam pilihan raya kecil, semata-mata untuk menyerang peribadi Anwar. Tiada sebab lain.

Malah, kali ini beliau melebarkan serangannya kepada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa. Tujuannya untuk melagakan Anwar dengan PAS, melagakan KeADILan dan PAS.

ImageMaka berceramahlah beliau sehingga 'hendak keluar anak tekak'.

Ezam bak 'ayam jantan yang mengepak-ngepak' apabila apabila media cetak dan elektronik yang menjadi barua BN, memaparkan 'kehebatannya' beserta balacinya mengecam dan memaki hamun Anwar.

Namun rakan-rakan dalam KeADILan tidak terkejut.Mereka hanya ketawa apabila mendengar ceramah Ezam. Bagi mereka Ezam hanya pecacai dan soldadu upahan yang mahu mengaut seberapa banyak 'ghanimah' daripada Umno.

"Dalam KeADILan dulu, dia maki hamun Umno, BN, Abdullah, Najib lagi teruk. Berbakul-bakul dia maki, siap bersumpah 'haram' masuk Umno lagi. Sekarang apa dia cakap?" Soal seorang MP KeADILan yang bukan berbangsa Melayu.

"Kita pergi juga dengar ceramah dia (Ezam), malam kelmarin," kata seorang AJK AMK Terengganu yang ditemui.

"Tapi ceramah dia tidak lebih dari kelentong penjual ubat tenaga batin di jalanan," katanya lagi.

Memang pun. Ceramah Ezam bukannya ada sambutan. Tidak memberi kesan langsung. Malah seorang Ketua Putera Umno sebuah negeri berkata kepada seorang pemberita akhbar harian, "Kami meluat tengok Ezam, apa kena mengena Anwar dengan Kuala Terengganu? Permatang Pauh pun tak jalan (serangan peribadi).

"Lagi banyak dia maki Anwar, pengundi Umno pun lari dari kita (BN)," rungutnya.

Betul juga kata beliau. Di Permatang Pauh, khidmat soldadu upahan ini turut digunakan seluas-luasnya. Malah 'media tiga suku' hampir hari-hari memaparkan laporan ceramah, yang akhirnya menghasilkan hampas sahaja.

Di Kuala Terengganu sekali lagi khidmat beliau digunakan. Orang-orang Umno tahu bahawa Ezam masuk Umno melalui Khairy. Dan bagi mereka Khairy yang membawa Ezam untuk berkempen membantu rakan Khairy, Dato' Wan Farid Wan Salleh.

Tetapi ada kalangan suku sakat Ezam mendakwa, tindakan Ezam membelasah Anwar dibuat kerana mendapat 'blessing' daripada TPM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Jika dakwaan mereka betul, ianya hanya bertujuan untuk menajamkan permusuhan peribadi Najib-Anwar. Jika dakwaan itu tidak betul, Ezam hanya dipergunakan oleh kumpulan Abdullah, untuk melaga-lagakan Najib dengan Anwar.

Kerjanya tidak lain, selain untuk mencerca, menghentam dan melaga-lagakan orang. Apa nilainya seorang yang 'cari makan' dengan hidup dengan cara sebegini?

Saya tidak juga bertujuan untuk menyemakkan ruang yang terhad ini untuk membincangkan soal Ezam semata-mata. Tetapi sekadar memberitahu rakan-rakan dalam Umno bahawa, mengupah Ezam hanya sekadar 'mengabehkan boreh' (menghabiskan beras) dalam guni Umno sahaja.

Ezam sudah tidak relevan. Beliau seumpama 'anjing yang menggigit tuannya'.

Ezam bukan sahaja menikam Anwar dan rakan-rakan dalam KeADILan, malah beliau memperdaya pemimpin PAS mempercayainya. Beberapa tahun selepas melepaskan jawatan Ketua Angkatan Muda, Ezam terus berceramah di pentas PAS dan sering berjumpa dengan pemimpin PAS, termasuk di peringkat AJK Harian.

Pemimpin PAS diperdaya kononnya PAS adalah parti yang akan disertainya selepas KeADILan, bukan Umno. Beliau menjaja keburukan Anwar dan KeADILan kepada pemimpin PAS.

Malah ketika pemimpin PAS, bertanya mengapa beliau masuk Umno, selepas menyumpah seranah parti itu, ada juak-juaknya membayangkan, bahawa kemasukan Ezam dalam Umno, adalah untuk memperbetulkan parti itu dari dalam.

Katanya, Ezam hanya menjadi agen Anwar dalam Umno, untuk menyusun orang-orang Anwar dalam Umno, guna bersatu dengan Pakatan Rakyat dikemudian hari. Entah betul entah tidak. Apapun, sekadar pesanan kepada semua, berhentilah daripada mempercayai Ezam.

(Harakahdaily, 21 Januari 2009)

Kuala Terengganu : BN gelabah, PAS punyai peluang cerah

DARIPADA laporan awal yang diperolehi, penganalisis menjangkakan PAS mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, berbanding Barisan Nasional.

Difahamkan setakat malam tadi BN berada dalam keadaan gelabah kerana laporan perisikan menunjukkan petanda PAS berada di hadapan dengan 51 peratus berbanding BN 49 peratus.

Angka-angka 'research' atau 'survey' yang dibuat secara profesional menunjukkan 'trend' atau pola kecenderungan pengundi Kuala Terengganu, memihak kepada PAS.

Kebanyakan angka-angka dikeluarkan semuanya menunjukkan bahawa 'PAS is still leading' (PAS masih mengatasi) calon BN sejak dari hari mula penamaan calon lagi.

Sehingga ada yang berani meletakkan PAS mengatasi BN sehingga sepuluh peratus di hadapan.

Bagaimanapun penulis lebih berminat meletakkan angka yang agak konservatif di sekitar 51 peratus di pihak PAS berbanding 49 peratus di pihak BN.

Keselesaan 'trend' pengundi terhadap PAS dibuat berdasarkan 'survey' di empat Dun iaitu Wakaf Mempelam, Batu Burok, Ladang dan Bandar. Wakaf Mempelam dan Batu Buruk adalah kerusi tradisi PAS atau 'strong hold' yang tidak pernah dapat ditembusi BN.

Pada PRU 2008, PAS memenangi Dun Ladang dengan majoriti yang tipis. Manakala BN memenangi Dun Bandar yang ditandingi calon KeADILan. PAS menang tiga Dun, BN menang satu Dun dan satu kerusi Parlimen.

Tanpa mengambilkira undi Dun Bandar, hasil gabungan undi dari ketiga-tiga Dun yang dimenangi PAS, mendapati undi PAS mengatasi BN dengan 2500 undi.

Pada ketika wujud 'trend' ada pengundi yang mengundi PAS bagi kerusi Dun, tetapi mengundi BN bagi kerusi Parlimen.

Begitu pun PAS, walaupun berada dalam kedudukan yang selesa dengan 'trend' kecenderungan pengundi yang memihak, tetap berhati-hati dan tidak 'over- confident'.

Bagaimanapun perlu juga dicatat, hasil tinjauan penulis dari sumber, sehingga petang semalam, laporan dalaman yang diperolehi oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, calon BN Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh, masih ketinggalan 8 peratus di belakang calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut.

Oleh sebab itu, Najib selaku Pengarah Pilihan Raya BN dilaporkan mengeluarkan arahan untuk memenangkan calonnya 'at all cost'.

"Tengok malam ini macam mana, kita cuba berbuat sesuatu," kata seorang pegawai yang dipercayai terbabit dengan kerja-kerja penyelidikan dalam satu perbualan sesama mereka di'coffee house' sebuah hotel.

Tidak dapat diduga dengan mudah bagaimana bentuk kemenangan 'at all cost' yang dimaksudkan.

Apapun 'kos terpaksa' yang belum digunakan BN, BN telahpun mengeluarkan belanja yang amat besar untuk menghadapi calon PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Pengeluaran dana khas dari sumber royalti minyak milik rakyat Terengganu di belanjakan tanpa had untuk merasuah rakyat. Terlalu banyak peruntukan dan projek-projek 'instant' buat gula-gula pengundi Kuala Terengganu.

Faktor yang membimbangkan BN

Kebimbangan dan kegelabahan BN dipercayai akibat beberapa laporan dalaman yang diterima dari 'Special Branch' (SB), 'Military Intelligent Officer' (MIO), Kemas dan beberapa agensi lain, tidak memberangsangkan.

BN menyedari mereka menghadapi masalah personaliti calon. Sebab itu mereka mengumumkan calonnya jauh lebih awal daripada calon PAS.

Kerana ketika itu BN berharap mereka mempunyai masa yang cukup untuk 'consolidate' bagi mengatasi masalah dalaman Umno Terengganu yang begitu 'complicated'.

Malangnya sejak hari penamaan calon, BN berada dalam keadaan yang amat sukar. BN berada dalam keadaan yang amat defensif kerana terpaksa menjawab soal keburukan personaliti calonnya berbanding dengan calon PAS.

Wan Farid dituduh elit, dituduh sombong, dituduh tidak mesra rakyat, sukar didekati, macam-macam tuduhan yang tidak perlu dicatatkan di sini. Orang PAS tidak mengetahui sangat perihal calon BN ini, rakyat juga tidak mengetahui secara 'detail' siapa beliau.

Namun, rakyat mengetahui BN menghadapi masalah personaliti calon apabila media arus perdana atau 'mainstream media' yang pro BN, memaparkan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, berulang kali di muka hadapan.

'Wan Farid bukan calon PM', 'Wan Farid bukan calon sesiapa', 'Wan Farid tidak sombong', 'Wan Farid bukan kaki karaoke' dan pelbagai lagi.

Jawapan seumpama ini barangkali baik untuk tujuan menutup kelemahan calon, tetapi jika dibuat berulang kali dari PM, TPM, Menteri semuanya dalam ceramah, terpaksa 'membela' Wan Farid, menunjukkan 'ada sesuatu yang tidak kena' terhadap calon BN.

Sekaligus paparan media ini yang dibaca pengundi ini, menimbulkan persepsi bahawa calon BN adalah calon yang paling bermasalah dan tidak layak diundi.

Sehingga ada komen-komen negatif dari kumpulan pro Najib yang mengetuai kempen pilihan raya BN, bahawa kali ini mereka mungkin malu kerana tewas bukan kerana isu, tetapi tewas kerana faktor calon.

Sikap elitis Wan Farid juga dirasai di kalangan wartawan. Berbanding calon PAS, Wahid mempunyai jadual yang padat, sehingga 16 'event' yang dihadiri setiap hari dan jadual lawatan beliau diedarkan kepada media setiap hari.

Berbeza dengan Wan Farid. Media pro BN sendiri kadang-kadang tidak mengetahui beliau berada di mana dan kempen di mana. Jadual hariannya tidak diedar.

"Agaknya dia (Wan Farid) tak suka kita ikut dia (buat liputan)," kata seorang wartawan.

"Ada suatu hari itu, kami berjumpa beliau di pejabat Umno, tetapi beliau tidak benarkan wartawan mengikutinya, kerana beliau kata ada 'private function', susah macam ni," ujar beliau.

Masalah ini belum lagi dicampurkan dengan perseteruan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh dengan Dato' Ahmad Said. Umno sedang pening, BN pun pening menghadapi pilihan raya kecil ini.

Hakikatnya, akibat 'personaliti tersendiri' yang dimiliki Wan Farid, BN gagal untuk memperbetulkan masalah dalaman dan permusuhan dalaman di Umno Kuala Terengganu dan Umno Terengganu dari mula hari penamaan calon, hingga sekarang.

Strategi BN tersasar

Tidak dinafikan BN mempunyai sumber kewangan yang banyak. Namun BN lebih tertekan apabila jenteranya tidak berupaya bergerak dengan baik dibanyak tempat.

Realiti yang terpaksa di hadapi calon BN yang amat tidak popular ataupun di anggap sebagai 'wrong bet' ini ialah sabotaj dalaman oleh orang-orang Umno sendiri, dan kegagalannya memenangi hati orang-orang Umno.

Sehingga ada orang-orang Umno menganggap, Wan Farid terpaksa memikul 'dosa-dosa' kepada Umno dan rakyat Terengganu yang dilakukan oleh abangnya, bekas Adun Ladang, Dato' Wan Hisham Wan Salleh.

Dosa bagaimana yang dimaksudkan, lebih diketahui oleh orang-orang Umno. Hasilnya menyebabkan jentera BN di Dun Ladang tidak bergerak dan sengaja dilumpuh oleh orang-orang Umno sendiri. Lumpuh kerana wujud laporan ada dua markas Dun BN dalam satu kawasan, satu yang diwujudkan Wan Farid, satu lagi diwujudkan oleh Pengerusi Umno Negeri, Ahmad Said.

Sejak awal lagi BN membuat strategi yang silap. Seminggu pertama kempen mereka 'melepaskan' Dun Ladang dan Dun Bandar kerana menganggap ianya kubu kuat BN dan lebih tertumpu kepada Wakaf Mempelam dan Batu Burok.

Hasilnya kubu PAS sukar ditembusi, kubu BN 'jam' (lumpuh). Di Dun Bandar, BN langsung tidak memperolehi hasil yang memberangsangkan di kawasan majoriti pengundi Cina.

Walaupun BN menguasai media, setakat ini banyak stategi BN dari segi kempen, peruntukan, projek dan 'ugutan' terhadap rakyat, berjaya dipintas oleh PAS dengan kerjasama erat pemimpin KeADILan dan DAP.

BN langsung tidak menyerang. Sebaliknya mereka terpaksa menjawab pelbagai isu yang dibangkit oleh PAS, dan bertungkus lumus mempertahankan keperibadian calon yang tercalar serta masalah dalaman yang 'complicated'.

Malang bagi Umno-BN, sebagai parti yang mendabik dada masih gagah kerana menguasai Kerajaan Pusat, tetapi sangat defensif dalam menghadapi pilihan raya kecil ini.

Secara umumnya boleh dikatakan strategi BN tidak mengena akibat usaha-usaha hanya sekadar 'melepas batuk ditangga'. Masalah Umno dan BN Terengganu ini boleh dikiaskan dengan kisah lucu lagenda 'Pak Pandir dengan Mak Andeh'!

Trend Pengundi Kuala Terengganu

Berdasarkan kepada 'trend' pengundian sejak tiga pilihan raya umum yang lepas, pengundi-pengundi di Kuala Terengganu sudah menunjukkan dengan jelas

Pada tahun 1999, calon PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi memperolehi 31,580 undi menewaskan calon BN, Dato' Abu Bakar Daud yang mendapat 17,132 dengan 76.51 peratus keluar mengundi.

Tahun 2004, Kuala Terengganu mencatat peningkatan keluar mengundi kepada 84.54 peratus yang menyaksikan calon BN, Razali Awang mendapat 30,994 undi menewaskan calon PAS, Dr Syed Azman yang mendapat 29,061 undi.

Manakala pada tahun 2008 dengan 82.45 peratus keluar mengundi, Razali mendapat 32,562 menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu (31,934) dan calon bebas, Maimun Yusuf (685).

Daripada fakta dan penyelidikan terhadap pola pemikiran pengundi, bagi orang- orang Melayu, pengundi sudah terbahagi dua. Dalam konteks Terengganu, sudah jelas dikenali dan diketahui siapa penyokong PAS dan siapa penyokong Umno.

Dalam erti kata lain, 'trend' pengundi Melayu sudah boleh dijangka kerana ia berada dalam keadaan 'stagnant'.

BN ada pengundi tegar, PAS juga ada pengundi tegar. Pengundi-pengundi ini adalah pengundi tradisi yang tidak akan memberikan undi kepada parti lawan walau apa pun yang berlaku.

Jika ada pun pengundi di atas pagar atau pengundi yang tidak menetapkan sokongan, hanya sekadar 5 peratus.

Ini bermakna undi penentu bagi calon BN ialah undi dari kaum Tionghua atau Cina yang berada di sekitar 9 ribu.

Berdasarkan beberapa PRU lepas, PAS belum mendapat undi yang memberangsangkan dari kalangan orang-orang Cina.

Ada pendapat mengatakan perubahan drastik sokongan pengundi bukan Melayu terhadap calon Pakatan Rakyat di Pantai Barat, tidak berlaku di Pantai Timur. Ini bermakna, secara tradisionalnya orang Cina adalah pengundi BN.

Tetapi dalam PRK Kuala Terengganu ini amat berbeza. Calon PAS sudah menembusi kawasan pengundi Cina. Pemimpin-pemimpin DAP dan KeADILan 'all-out' berkampung di kawasan Cina sejak sebelum penamaan calon lagi.

'Trend' pengundi Cina sudah berubah. 'Tsunami' politik yang melanda Pantai Barat, sudah sampai ke Pantai Timur.

Sehingga ada badan bebas yang membuat kajian berani meletakkan sokongan Cina terhadap PAS ditahap 70 peratus berbanding BN, 30 peratus.

Sokongan luar biasa ini ditunjukkan dengan sambutan yang amat hebat terhadap kempen calon PAS dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Orang-orang Cina yang terdiri dari kalangan pengundi sendiri yang memungut derma untuk membantu kempen PAS. Mereka membuat dan menaikkan 'banner' sendiri, mereka keluar sepenuhnya membawa anak beranak menyertai ceramah dan kempen PAS.

Berbanding dengan orang Melayu yang berada di saluran satu, majoritinya mengundi BN, hasil tinjauan, dijangkakan pengundi saluran satu dari kaum Cina akan membuat perubahan menyokong PAS kali ini.

Pada tahap ini BN berada dalam amat bimbang kerana kempen-kempen mereka tidak dapat menembusi penempatan Cina, sehingga ada laporan kempen pemimpin Gerakan dan MCA ditolak dan dihalau pengundi Cina.

Jika dibuat stategi kempen secara demokratik, BN akan tewas di kawasan Cina, namun difahamkan pelbagai ugutan dan sogokan terakhir dibuat bagi menyelamatkan calon BN yang sedang berada di tahap 'nyawa-nyawa ikan'.

Kesimpulan

Kesimpulan daripada analisis ini, penulis berpendapat, jika rakyat tidak termakan 'rasuah' politik dan ugutan, insya Allah PAS akan memenangi Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu.

Isu yang membelenggu calon BN yang boleh menyebabkan kekalahannya, didorong oleh masalah calon, sabotaj dalaman Umno, kesilapan strategi kempen, tiada penumpuan sepenuhnya (mungkin Umno tumpu pemilihan parti Mac depan) dan perubahan sikap rakyat.

Wan Farid bukan sahaja gagal dilihat sebagai calon yang baik untuk mempertahan dan meneruskan kesinambungan rekod Allahyarham Dato' Razali Ismail. Malah tidak mustahil calon bebas, Azaharudin Mamat akan memperolehi undi yang lebih dari kalangan orang Umno yang tidak menyukai Wan Farid, tetapi tidak mahu mengundi PAS.

Sebenarnya, hakikat yang paling besar kali ini bukan Wan Farid semata-mata. BN harus sedar bahawa momentum yang tercetus sejak 8 Mac 2008 masih segar hingga sekarang.

Sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat. Di sebalik pelbagai tohmahan media, rakyat semakin yakin dengan kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

BN menghadapi masa depan yang amat sukar kerana keyakinan rakyat terhadap mereka semakin terhakis.

Kuasa rakyat akan menumbangkan hegemoni BN. Kemungkinan BN akan menghadapi masa depan yang buruk pada PRU ke 13 semakin hampir.

(Harakahdaily, 17 Januari 2009)

Tiga kesilapan pilih Wan Farid

KESILAPAN besar Umno ialah dengan meletakkan Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjadi calon Barisan Nasional untuk mempertahankan kerusi Allahyarham Razali Ismail.

Silap bukan kerana Wan Farid calon pilihan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang tidak diterima kumpulan TPM, Mohd Najib Abdul Razak.

Walaupun ada cerita-cerita orang Umno, Najib lebih suka jika Roslan Awang Chik, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia menjadi calon.

Wan Farid dan Roslan berseteru. Roslan yang dikenali lebih rapat dengan TPM sebelum ini adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu yang ditewaskan oleh Wan Farid ketika menjadi Setiausaha Politik Abdullah beberapa tahun lepas.

Perseteruan ini bukannya persepsi. Perseteruan ini adalah realiti yang tidak dapat ditolak Umno, akibat perpecahan dalaman yang serius. Perseteruan yang berpanjangan ini merupakan kesilapan pertama Umno.

Sehingga ada orang-orang Umno tertentu, sudah menyatakan sokongan dan kesediaan untuk mengundi calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut secara diam-diam.

Hari ini Umno-BN yang meletakkan Wan Farid sebagai pengganti Razali, berkempen dengan memuji kehebatan serta jasa-jasa bekas Ahli Parlimen itu.

Rakyat di luar Terengganu boleh dibohongi. Tetapi orang-orang Umno dan rakyat Terengganu sendiri menyaksikan bagaimana ketika hayat Razali, beliau diketepikan dan dikalahkan oleh orang-orang Wan Farid dalam pemilihan bahagian.

Bagaimana mungkin Wan Farid atau Umno KT, boleh menjaja beliau sebagai kesinambungan legasi Razali, jika allahyarham bekas timbalan menteri itu langsung tidak dipedulikan ketika hayatnya?

Kesilapan kedua ialah soal personaliti Wan Farid. Bukan soal hendak dibahaskan dia orang baik atau jahat. Bukan juga nak dibangkitkan kegemarannya berkaraoke.

Masalahnya ialah beliau tidak dilihat mewakili golongan marhain dan golongan miskin bagi negeri Terengganu, yang sentiasa terletak dalam kelompok negeri-negeri termiskin di Malaysia.

Masalahnya bukan pada rakyat sahaja. Ada kalangan orang-orang Umno sendiri yang mendakwa Wan Farid jenis 'hidung tinggi'. Barangkali beliau tidak begitu, mungkin pada raut wajahnya kelihatan begitu tetapi hatinya tidak.

Soalnya perkara ini bukan persepsi atau ia menjadi bahan serangan kempen PAS untuk memburuk-burukkan personaliti lawan.

Ianya adalah hakikat yang berlaku, wujud dalam Umno sendiri. Sehingga ada kalangan Umno yang mendakwa, jika pun keluarga Wan Farid membuat kenduri, beliau lebih mengutamakan kawan-kawan di KL daripada orang Terengganu sendiri. Itu cerita orang Umno, entah betul entah tidak.

Tetapi, jika TPM sendiri yang risau dengan personaliti calon BN ini, dan meminta beliau lebih tersenyum kerana raut wajahnya yang serius berbanding Abdul Wahid, maka ada banyak perkara yang 'tidak kena' kepada calon BN itu.

Kesilapan ketiga ialah isu penguasaan kekayaan negara, sama ada peruntukan dari Kerajaan Persekutuan dan penggunaan wang royalti yang dikaitkan dengan Wan Farid serta Idris Jusoh dan anggota keluarga mereka.

Orang-orang Umno ramai yang tidak berpuashati dengan penguasaan kedua-dua mereka kepada hasil kekayaan negeri. Penglibatan abang calon BN iaitu bekas Adun Ladang, Wan Hisham Wan Salleh dalam projek besar Monsoon Cup diratib dibibir orang Umno.

Kedua-duanya Wan Farid dan Idris dikatakan tidak disenangi kumpulan Menteri Besar, Ahmad Said.

Kedua-dua mereka adalah kroni rapat menantu PM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Patrick Lim yang dikenali sebagai Patrick Badawi.

Ketiga-tiga isu ini adalah isu besar kepada Umno. Ianya bukan rahsia dan amat diketahui oleh rakyat, khususnya pengundi-pengundi di KT.

Hakikat daripada ini menyebabkan, BN menjadi terlalu defensif. BN tidak mampu lagi menjual idea pembangunan.

Mereka terpaksa menjawab isu-isu ini sebelum rakyat menjatuhkan hukuman terhadap BN.

Bagaimanapun di kalangan BN juga sedar bahawa tidak mungkin dalam tempoh seminggu dua ini semuanya dapat di atasi.

Bagaimana mungkin calon BN yang sudah lama dikenali termasuk dalam golongan elitis yang tidak mesra rakyat, boleh mengubah sikapnya dalam tempoh dua minggu.

Bagaimana mungkin seseorang yang sifatnya susah untuk 'manis muka' boleh diterima rakyat hanya selepas menjadi seperti 'badut sarkas' dalam tempoh dua minggu sahaja?

Hakikatnya, angin perubahan rakyat selepas PRU Mac 2008 sudah tidak dapat lagi dibendung. Umno sudah semakin tidak relevan dan BN semakin tidak diterima rakyat.

Implikasi kekalahan Wan Farid bukan setakat beliau hilang jawatan timbalan menteri, senator atau setiausaha politik, ia adalah signal bahawa rakyat terus menolak legasi Abdullah dan tidak menerima kepimpinan yang bakal diwarisi Najib.

(Harakahdaily, 11 Jan 2009)

Misi terdesak Abdullah

SIDANG Dewan Rakyat ditangguhkan minggu lepas selepas dua bulan bermesyuarat daripada pembentangan Bajet 2009 sehingga meluluskan dua rang undang-undang yang dilihat sebagai usaha terakhir Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat reform sebelum bersara Mac depan.

Dua Rang Undang-Undang tersebut dibentang dan diluluskan selama tiga hari merupakan suatu sejarah baru dalam pengamalan sistem demokrasi berparlimen Malaysia.

Dua akta baru itu ialah Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman 2008 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada hari Rabu, 17 Disember lepas.

PM Abdullah merupakan orang yang paling gembira, apabila kononnya dua akta ini diluluskan oleh Parlimen secara sebulat suara, tanpa memerlukan pindaan perlembagaan.

Katanya, dengan sokongan ini termasuk dari parti pembangkang (Pakatan Rakyat), membuktikan Barisan Nasional sebuah kerajaan yang kuat, mendapat sokongan ramai.
Benarkah begitu?

Wakil-wakil Rakyat (MP) Pakatan Rakyat menyokong Akta Rasuah secara bersyarat, tetapi tidak memberikan respon yang jelas dalam Akta Kehakiman.

Selalunya, apabila selesai perbahasan Speaker meminta supaya mereka menyatakan sokongan dengan menyebut perkataan 'setuju', maka Speaker membuat kesimpulan, apabila kedengaran lebih suara bersetuju, maka sesuatu akta itu diluluskan. Tidak semestinya sebulat suara.

Nampaknya, PM telah dikelirukan (mislead) oleh media pro BN, kononnya akta yang dianggap sebagai usaha reform penting di era pentadbirannya mendapat sokongan sebulat suara.

Benarkah ianya mendapat sokongan sebulat suara? Atau ianya sekadar menjadi kosmetik terakhir bagi mencantikkan wajah hodoh BN yang semakin berkarat?

Tidak dinafikan bahawa dua akta yang baru dibentang oleh PM ini adalah suatu perubahan dasar yang baik, tujuannya baik, namun ianya seakan-akan seperti sia-sia.

Sia-sia kerana akta ini tidak mendapat sokongan Umno. Rata-rata MP Backbenchers tidak mengambil bahagian dalam dua akta ini. Lebih ramai yang duduk di lounge MP daripada duduk dalam dewan sewaktu ianya dibahaskan.

Ini menunjukkan Umno-BN sendiri tidak berapa menyenangi reform yang dicadangkan oleh Abdullah, kerana akta tersebut kelihatan tidak memberikan ruang yang positif kepada parti yang berkuasa.

Rang yang sama pernah dibentangkan oleh bekas TPM, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan banyak pindaan akibat tentangan keras pemimpin Umno dan komponen BN sendiri.

Menurut Anwar, PM ketika itu. Dato' Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad sendiri menggesa ianya dipinda dan digugurkan kerana tidak disenangi oleh ramai pihak.

Walaupun rang undang-undang yang sama kini dibentang oleh Kabinet Abdullah dan diluluskan oleh Parlimen, namun tidak boleh dikatakan ianya disokong sebulat suara oleh Umno dan komponen BN.

Dalam keadaan sekarang ini tiada siapa yang berani melawan Abdullah. Walaupun Abdullah berkata akan meletakkan jawatan Mac 2009, namun beliau masih PM, suatu jawatan yang berkuasa dalam negara.

Apapun yang diperkatakan dua akta tersebut sudah diluluskan. Soalnya mengapa sekarang baru Abdullah hendak bentangkan? Mengapa selepas jadual perletakan jawatannya sudah tersedia baru hendak buat reform?

Mengapa reform tersebut tidak dibuat sebaik sahaja beliau PM atau semasa mendapat besar dalam PRU 2004?

Akta ini dijangka berkuatkuasa mulai 1 Januari 2009, apa yang Abdullah boleh buat untuk memerangi rasuah dan penambahbaikan kehakiman dalam tempoh tiga bulan?

Lima tahun berkuasa pun Abdullah tidak mampu, bagaimana beliau hendak melakukan miracle dalam tempoh tiga bulan?

Ketika ditanya wartawan, Abdullah menafikan pembentangan dua akta ini adalah hanya untuk meninggalkan legasi pemerintahan beliau. Seperti kata seorang wartawan akhbar luar negeri, "If in five years he cannot do anything, what can he do in three month?"

Justeru jika Abdullah serius hendak memastikan ianya terlaksana dengan baik, reform berlaku, maka Abdullah tidak harus 'pergi' Mac ini.

Abdullah harus mengambil kira saranan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa beliau tidak harus meletakkan jawatan PM Mac depan.

(Harakahdaily, 29 Disember 2008)