Wednesday, April 24, 2013

SALAHUDDIN AYUB: Peluang untuk berbakti di Johor

Anyam sarung ketupat pulut       
Ketupat hendak direbus juga
Tidak sudahnya seluang melaut   
Akhirnya kembali ke pantai juga

Ayam disabung jantan dipaut     
Jika ditambat kalah laganya
Asam di darat ikan di laut          
Dalam belanga bertemu jua


Dua rangkap pantun di atas, diungkap sebagai penyambut kepada kepulangan seorang tokoh besar ke bumi tanah tumpah kelahirannya.

Berbekalkan pengalaman dua penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat di Parlimen Kubang Kerian, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan ianya sebagai satu tempoh 'menimba ilmu dan pengalaman' yang amat berbaloi.

Dengan keazaman serta iltizam yang tinggi, beliau nekad meninggalkan kawasan Kubang Kerian yang disifatkan sebagai kawasan 'selamat' demi meneruskan perjuangannya di negeri kelahirannya sendiri.

Harapan beliau, dengan iltizam serta tekad rakyat untuk menganjak negeri Johor kearah yang lebih maju dan berkebajikan, Salahuddin berharap agar beliau diberikan peluang oleh rakyat negeri Johor untuk berbakti di negeri bertuah ini.

Kepulangannya ke Johor amat dinanti-nanti. Kepulangan anak kacukan Melayu-Cina ini, 'bagaikan sirih pulang ke gagang'. Salahuddin bagaikan 'panglima perang' yang dibawa pulang untuk merobohkan tembok keangkuhan Umno-BN di Johor.

Namun Salahuddin sedar, cabaran yang digalasnya amat besar. Beliau bertanding bukan di kawasan selamat. Parlimen Pulai adalah 'kubu kuat' Umno-BN dan BN tidak pernah kalah di kawasan tersebut. Majoriti yang dinikmati BN di Parlimen Pulai bukan sedikit. Cumanya majoriti BN jatuh hampir 15 ribu daripada 34,926 undi (2004) kepada 20,449. Di Pulai Salahuddin dibantu calon PAS di Dewan Undangan Negeri Kempas, Suhaizan Kaiat dan calon DAP bertanding di Dun Rinting.

Melengkapkan kepulangannya ke Johor, Salahuddin bertanding di kerusi Dun iaitu Nusajaya dalam Parlimen Gelang Patah. Pulai dan Gelang Patah sebelah-menyebelah. Nusajaya mempunyai hampir 40 peratus pengundi Cina. Walaupun ianya suatu kelebihan buat beliau, namun BN masih lagi mempunyai lebih 7,000 majoriti di kawasan tersebut. Satu lagi, iaitu Dun Skudai ditandingi wakil DAP, Dr Boo Cheng Hau.

Nusajaya sebelum ini ditandingi KeADILan yang tewas majoriti 8851 ditangan calon BN dari MCA. Sebelum ini ia bukan kawasan yang menarik, tetapi oleh kerana Penasihat DAP bertanding di situ, calon MCA pula gugur dengan digantikan bekas Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman.

Dengan kedudukan Gelang Patah yang mempunyai sekitar 55 peratus pengundi Cina, kehadiran Ghani dianggap sebagai 'pembunuhan' karier politik beliau.

Kehadiran Lim Kit Siang di Gelang Patah, melonjakkan sokongan buat Salahuddin di Nusajaya. Nusajaya sekarang ini menjadi kawasan 'A' untuk PAS. Dengan gabungan kuat PAS-DAP dan KeADILan di Johor, Gelang Patah dianggap sudah menjadi kubur Ghani (BN), manakala 'aura' penolakan terhadap BN akan menjalar ke Pulai.

Rata-rata sambutan rakyat di kawasan yang dilawatinya cukup mengkagumkan. Mereka bertepuk tangan menyambut kehadiran Salahuddin. Sehingga ada 'apek dan nyonya' yang sudah berusia memegang pipi Salahuddin, tanda kasih mereka menyambut kepulangan 'seorang anak'.

"Saya amat terharu dengan sambutan masyarakat, orang-orang Melayu yang menjadi teras kita memberikan sokongan yang baik.

"Saya juga sempat bertemu dengan waris-waris keluarga saya dari kalangan Tionghoa yang bukan Islam, mereka gembira dengan kepulangan saya ke Johor," ujarnya kepada penulis.

Salahuddin Ayub merupakan tokoh nasional yang berpengalaman. Track record beliau menunjukkan beliau lantang memperjuangkan isu-isu rakyat, contohnya membangkitkan isu pembangunan di Pengerang.

Dengan pengalaman 30 tahun berkecimpung dalam dunia politik, sebelum ini sebagai Ketua Pemuda PAS negeri Johor, telah menjadikan beliau cukup memahami permasalahan dan harapan rakyat di negeri ini.

Visi yang dibawa beliau cukup jelas, iaitu beliau mahu membangunkan negeri Johor dengan tema 'Johor Maju dan Berkebajikan.'

Menurut Salahuddin, Pakatan Rakyat komited untuk merealisasikan kandungan manifesto Pakatan Rakyat Johor, di antara elemen penting manifesto tersebut adalah:

i) Memperkasakan kerajaan negeri Johor dengan memastikan pentadbiran yang berhemah dan bebas rasuah bertunjangkan prinsip keadilan, integriti dan akauntabiliti.

ii) Memperkasakan rakyat Johor dengan merakyatkan ekonomi negeri, mendokong pembangunan anak muda, menyantuni wanita dan meningkatkan kualiti pendidikan.

iii) Memperkasakan ekonomi negeri Johor dengan meningkatkan hasil pendapatan kerajaan negeri  dan fokus untuk membasmi rasuah dan ketirisan.

Sehubungan dengan itu, kita mengajak pengundi-pengundi di Pulai dan Nusajaya agar memberikan kemenangan kepada tokoh ini.

Kita juga berharap agar seluruh jentera kita di Johor bekerja keras untuk meruntuhkan tembok minda dogmatik yang telah terbina sekian lama.

DATO' DR HARON DIN: Taruhan terbaik di Arau

NAMA Dato' Dr Haron Din sudah cukup gah. Kelibatnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan sahaja di Parlimen Arau, mahu pun di Perlis, malah di seluruh negara rakyat rata-rata mengenali beliau.

Bukan hendak memuji semberono, yang jelas jika dibandingkan ketokohan dan ketinggian pendidikan beliau dalam bidang agama, tidak ada seorang pun pemimpin Umno, sama ada yang ulama atau yang bukan ulama boleh menandingi beliau.

Yang menjadi 'stumbling-block' kepada trend pengundian adalah apabila terdapat kalangan pengundi, rata-rata penyokong Umno-BN yang berada dalam kantung 'mental-block', sehingga tidak boleh memikir dan membandingkan di antara 'jauhari dan manikam', bak kata pepatah Melayu.

Pada tahun ini Ustaz Haron bertanding buat kali ketiga di Parlimen Arau. Beliau mula bertanding pada tahun
2004, tetapi tewas kepada adik Raja Perlis iaitu Penyandang: Dato' Seri Syed Radzlan Syed Putra Jamalullail dengan majoriti 3,243 undi.

Pada tahun 2008, Ustaz Haron bertanding menentang adik bekas MB Perlis, iaitu Dato' Ismail Kassim. Tetapi beliau tewas tipis hanya dengan 300 undi sahaja.

Pada tahun 2013 ini, berdasarkan angka terbaharu, pengundi Arau meningkat kepada 43,969, bertambah 4,092 pengundi dari 2008 dengan 39,877 ketika itu.

Dari sudut komposisi kaum, pengundi Melayu adalah yang terbesar iaitu 88 peratus, Cina 8 peratus, manakala India dan lain-lain kaum, 4 peratus, dengan 51 peratus pengundi adalah dari kalangan wanita.

Arau mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu, Pauh, Tambun Tulang, Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglang.

Pada tahun 2008, PAS menang kerusi Dun Simpang Empat dan Sanglang. Di Guar Sanji, undi Ustaz Haron mengatasi undi calon PAS di peringkat Dun. Beliau hanya tewas dengan majoriti tipis dari Dun Pauh dan Tambun Tulang yang dikuasai Umno.

Penganalisis berpendapat pada kali ini, merupakan peluang terbaik untuk PAS memenangi Parlimen Arau, berbanding dua lagi kerusi Parlimen di Perlis iaitu Padang Besar dan Kangar.

Bagi Ustaz Haron sendiri, beliau dapat melihat bagaimana masyarakat di Arau meletakkan harapan yang tinggi kepadanya untuk menggalas amanah, iaitu mempunyai Ahli Parlimen daripada PAS, yang ketokohannya sudah tidak harus dipertikaikan.

Namun Ustaz Haron tetap merendah diri. Katanya kepada penulis,"Saya melihat gerak kerja jentera kita sudah bermula dengan baik sebelum pembubaran Parlimen. Di mana sahaja program yang kita anjurkan, sambutan rakyat amat menggalakkan. Insya Allah dengan kesungguhan kita bekerja, kita meletakkan harapan yang tinggi untuk menang di Arau."

"Bagi umat Islam, mereka seharusnya tidak ada pilihan lain, selain mengundi calon-calon yang memperjuangkan Islam kerana berdasarkan firman Allah, mereka yang berjuang pada jalan-Nya adalah ansarullah (penolong Allah)," ujar beliau.

Nama beliau sudah diumumkan awal-awal lagi oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin untuk dipertaruhkan di kerusi Arau, ianya suatu petanda bahawa PAS sepakat untuk meletakkan calon terbaiknya iaitu Timbalan Mursyidul Am PAS.

Ustaz Haron Din adalah taruhan terbaik bukan sahaja di Arau, tetapi sebagai pencetus gelombang perubahan di seluruh Perlis.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Perlis, Bashir Ishak, selain Arau, pihaknya meletakkan harapan yang tinggi untuk menawan Parlimen Padang Besar.

"Jentera pilihan raya kita bergerak cergas untuk menawan 10 daripada 15 Dun di Perlis dan bagi kita, keputusan PRU 2008 di Arau, di mana Ustaz Haron tewas dengan majoriti tipis, iaitu 300 undi sahaja, insya Allah tidak menjadi halangan untuk kita menawannya," ujar beliau.

Sunday, April 14, 2013

Sidang Media Husam Musa Selepas Diumum Calon Putrajaya

https://www.youtube.com/watch?v=cQHq8yf_GGQ

Di Putrajaya kita bermula

Sidang Media Dato' Husam di Pejabat Agung PAS
DATO' Husam Musa meletakkan peluangnya untuk merampas kerusi Parlimen P125 Putrajaya pada tahap ini, adalah dengan nisbah 45-55.

Beliau masih meletakkan kemenangan masih berpihak kepada BN kerana demografi Putrajaya dan taburan pengundi yang kebanyakannya kakitangan awam yang didakwa kecenderungan mereka kepada parti pemerintah.

Namun tegas Husam, tiada yang mustahil dalam dunia ini boleh berlaku. Husam menyandarkan 'track-record' beliau yang cemerlang sewaktu menjadi Ahli Parlimen 1999-2004 dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan (2004-sekarang) sebagai taruhan.

Bagi beliau Malaysia bukan Indonesia di zaman Suharto, di mana undang-undang mereka memaksa secara wajib kakitangan kerajaan mengundi parti Golkar ketika itu.

"Hari ini kakitangan kerajaan bebas untuk memilih mana-mana calon yang mereka sukai. Saya menawarkan diri bertanding di Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai simbolik kepada kesungguhan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada PRU-13 ini," ujarnya.

Pada tahun 2008, kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat di Semenanjung lebih banyak daripada BN. Lebih utama kerusi-kerusi strategik, iaitu 11 daripada 12 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan dimenangi Pakatan Rakyat.

BN masih memerintah negara kerana diselamatkan kerusi Sabah dan Sarawak sahaja.

Namun senario ini sudah berubah. Pilihan Raya Negeri Sarawak jelas menunjukkan BN akan hilang lebih daripada 10 kerusi Parlimen, manakala di Sabah, berikutan angin perubahan yang kencang melanda, penganalisis menjangkakan Pakatan boleh menang sehingga 15 kerusi Parlimen.

Oleh kerana itu, bagi warga Putrajaya yang bijak bistari, sudah tentu mereka boleh berfikir, jika di KL, rakyat sudah menyokong Pakatan, jika di kawasan pedalaman pun sudah menolak BN, dan Putrajaya itu sendiri duduk di sekelilingi Selangor yang ditadbir Pakatan, buat apa mereka hendak kekal mengundi BN pada PRU ini?

Hari ini, Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini mencatat jumlah pengundi paling sedikit iaitu 15,798 orang. Keputusan 2004 dan 2008 jauh berbeza. Calon KeADILan 2004 hilang deposit, tetapi calon PAS 2008, walaupun kalah, tetapi berjaya menambah hampir tiga kali ganda undi.

Manakala calon BN mendapat undi yang statik, atau lebih tepat, undi yang diperolehi Tengku Adnan Mansor pada 2008, susut sedikit berbanding 2004.

Jika kita andaikan undi BN pada 2013 ini, statik di sekitar 4000 undi. Peluang Husam untuk menawan Putrajaya bukan lagi mimpi, tetapi akan realiti. Bahkan realisik.

Namun, kita memahami usaha untuk memenangkan Husam di Putrajaya tidak mudah kerana ianya adalah jantung dan nyawa BN.

Putrajaya adalah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menggantikan Kuala Lumpur pada 1999. Putrajaya, bandar raya pintar dalam taman.

Dari sebuah tempat terpencil yang dikenali dengan nama Prang Besar, kawasan ini melonjak membangun dengan nama Putrajaya mulai 12 Oktober 1994.

Lokasinya yang berada ditengah-tengah Koridor Raya Multimedia, Putrajaya seluas 4,931 hektar ini dibangunkan dengan kos RM20.5 bilion mengandungi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Perumahan, Kemudahan komersial, kemudahan sosial dan kemudahan keagamaan.

Pada 10 Mei 1999, Kompleks Pejabat Perdana Menteri mula beroperasi di Putrajaya. Putrajaya menjadi penanda aras kepada pembangunan dan pentadbiran sesebuah bandar baik di peringkat dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Walaupun PAS bakal menghadapi pelbagai rintangan, namun usaha untuk memenangkan Husam di Putrajaya, adalah bagaikan ibarat kisah Sultan Muhammad Al-Fateh menakluk kota Konstantinopel (Istanbul).

Kejatuhan Konstantinopel (Bahasa Turki: Istanbul'un Fethi ) adalah penaklukan ibukota Kekaisaran Romawi Timur, di bawah komando Sultan Utsmaniyah yang berumur 21 tahun, Muhammad al-Fatih, melawan tentara bertahan yang dikomando oleh Kaisar Bizantium Konstantinus XI. Pengepungan berlangsung dari Jum'at, 6 April 1453- Selasa, 29 Mei 1453 (berdasarkan Kalender Julian), ketika kota itu ditaklukkan oleh Ustmaniyah.

Penaklukan Konstantinopel (dan dua wilayah pecahan lainnya segera setelah itu Bizantium) menandai berakhirnya Kekaisaran Romawi, sebuah negara yang telah berlangsung selama hampir 1.500 tahun.

Intelektual Yunani dan non-Yunani Beberapa meninggalkan kota sebelum dan sesudah pengepungan, migrasi terutama ke Itali. Penaklukan Konstantinople adalah penanda aras 'renaissance' di benua Eropah.

Justeru, kejayaan Sultan Muhamad al-Fateh harus menjadi motivasi kita untuk yakin dan percaya bahawa Putrajaya juga akan menjadi milik kita. Tiada yang mustahil jika ianya memang kehendak Allah.

Sama-samalah kita berusaha dan berdoa agar Putrajaya milik kita.